Utusan Online - Hiburan |
Kemuncak adrenalin lelaki perkasa Posted: Kemuncak adrenalin lelaki perkasaOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
KALI pertama ditayangkan pada tahun 2001, filem The Fast and the Furious telah mencetus ledakan yang cukup hebat di setiap panggung di seluruh dunia. Apatah lagi, filem yang menampilkan kisah perlumbaan kereta jalanan itu telah dianggap sebagai pencetus revolusi baru dalam pembikinan filem di Hollywood. Mana tidaknya. Jika sebahagian besar pembikin filem di sana lebih selesa memilih genre seram, komedi mahupun drama, Universal Pictures selaku penerbit begitu yakin dengan konsep penceritaan The Fast and the Furious. Ditambah pula pada waktu itu kegilaan masyarakat khususnya kaum Adam terhadap perlumbaan kereta jalanan dan tidak dilupakan kereta berkuasa tinggi yang menjadi faktor mengapa filem itu mendapat sambutan hangat. The Fast and the Furious berjaya mencatatkan kutipan sebanyak AS$207.2 juta (RM627.8 juta) di seluruh dunia. Sesungguhnya rekod itu dianggap sesuatu yang mengejutkan Universal Pictures kerana mereka tidak menyangka ia mendapat kutipan sebanyak itu. Kejayaan itu juga telah mendorong mereka untuk menerbitkan empat sekuel selepas itu termasuk 2 Fast 2 Furious (2003), The Fast and the Furious: Tokyo Drift (2006), Fast & Furious (2009) dan terbaru, Fast Five yang kini sedang hangat ditayangkan. Ia sekali gus meletakkan siri filem ini sebagai salah sebuah francais filem terlaris di dunia bersama-sama siri Harry Potter, Spider-Man, Shrek dan James Bond apabila mencatatkan kutipan keseluruhan sebanyak AS$1.4 billion (RM4.24 billion) di seluruh dunia. Populariti filem itu juga secara tidak langsung berjaya melonjakkan lagi nama dua aktor utamanya, Vin Diesel dan Paul Walker yang menjadi tunjang utama kepada kekuatan francais filem ini. Gandingan mereka berdua yang memegang watak sebagai Dominic "Dom" Toretto dan Brian O'Conner telah dilihat sebagai pasangan layar perak yang cukup serasi dan diminati ramai. Selain Vin dan Paul, barisan pelakon asal yang kembali untuk Fast Five termasuklah Jordana Brewster, Tyrese Gibson dan Matt Schulze selain muka-muka baru, Dwayne Johnson, Luis Da Silva, Elsa Pataky dan Joaquim de Almeida. Kembali bersatu untuk sekuel kelimanya, Fast Five (di Malaysia, tajuknya adalah The Fast and the Furious 5), baik Vin mahupun Paul, masing-masing melahirkan rasa teruja untuk siri kelima ini. Tugas mencabar Vin Diesel MEMANG diakui, sebelum membintangi siri filem The Fast and the Furious, nama Vin Diesel tidak begitu dikenali ramai melainkan mereka yang menonton filem Pitch Black (2000). Namun, sebaik sahaja dia mempamerkan kehebatan lakonannya dalam filem pertama The Fast and the Furious, dengan sekelip mata popularitinya terus memuncak. Malah, Vin sendiri mengakui akan kebenaran itu dan atas faktor itu, dia mempunyai alasan sendiri untuk kembali ke filem kelima ini. Untuk pengetahuan, hanya filem 2 Fast 2 Furious sahaja yang tidak melibatkan Vin kerana pada ketika itu dia sibuk dengan penggambaran filem xXx. "Saya harus akui memang saya cukup teruja dengan filem kelima ini atas pelbagai faktor. Pertamanya, saya dapat kembali berlakon dan terus meneraju filem ini (ketawa). "Dan, sudah pasti, sebagai produser juga, saya dapat membentangkan idea saya bagi memastikan filem kelima ini tidak akan menjadi klise dan senang diduga oleh para peminat serta penonton," ujar Vin atau nama sebenarnya, Mark Sinclair Vincent ini bersungguh. Bagi Vin, walaupun empat filem The Fast and the Furious sebelum ini mendapat kejayaan yang membanggakan, namun, dia tidak mahu filem Fast Five dibuat sambil lewa. Sekadar berkongsi cerita, pelakon berusia 43 tahun ini memberitahu idea untuk menghasilkan Fast Five timbul selepas filem The Fast and the Furious: Tokyo Drift. "Mereka mahukan saya kembali sebagai produser dan membawa sekuel terbaru ini ke arah yang berbeza. Kami tidak mahu mengulangi apa yang telah dilakukan sebelum ini. "Kerana itu, filem keempat, Fast & Furious dianggap sebagai pembikinan semula siri ini dan seterusnya, Fast Five. Begitu juga dengan perkembangan kesemua watak yang saya mahukan ia lebih kuat berbanding sebelumnya. "Jika semuanya berjalan lancar, saya berani mengatakan pra produksi filem keenamnya akan bermula tidak lama lagi," kata Vin yang merupakan anak jati New York, tanpa selindung. Sengaja mahu memberi persekitaran baru untuk Fast Five, Vin menjelaskan lokasi seperti Puerto Rico, Atlanta dan Brazil sengaja dipilih selain merasakan ketiga-tiga lokasi itu sesuai dengan jalan filem Fast Five. Begitu juga dengan wataknya dalam filem kelima ini yang disifatkan Vin telah melalui fasa baru dalam hidupnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Mentor 5 semakin sengitOleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
AHAD lalu, tirai separuh akhir bahagian pertama Mentor musim kelima (Mentor 5) dibuka untuk memberi laluan kepada protege yang masih mempertahankan kedudukan masing-masing bagi merebut dua slot terakhir untuk bergelar juara Mentor 5. Pertarungan antara Shiha, protege kepada Datuk Sharifah Aini, Salma (Erra Fazira), Ratnah (Afdlin Shauki) dan Iqa (Edry Abd. Halim) masih lagi berlarutan di pentas keramat program terbitan TV3 itu apabila mereka diberi peluang sekali lagi pada minggu ini untuk menebus kesilapan yang dilakukan dalam persembahan minggu lalu. Justeru, peringkat separuh akhir bahagian kedua Mentor 5 pada Ahad ini nanti dijangka semakin sengit, apatah lagi tanda-tanda awal itu telah pun ditunjukkan minggu lalu. Ditambah pula dengan komen pengkritik tetap Datuk Ramli M.S, keempat-empat protege dilihat begitu kompetitif pada malam separuh akhir bahagian pertama yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam, Selangor. Ramli berkata, masing-masing menunjukkan usaha untuk memenangi hati juri bagi mengekalkan kedudukan mereka dalam program ini. "Dari aspek vokal, saya tidak mahu komen banyak kerana mereka telah menunjukkan respons terhadap kritikan saya sebelum ini. "Ia dibuktikan pada malam ini apabila mereka mempamerkan persembahan yang menarik. Saya tidak mahu membuat perbandingan antara keempat-empat protege ini kerana setiap seorang mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. "Secara amnya, saya berpuas hati kerana mereka membuat homework terlebih dahulu sebelum tampil dengan persembahan pada malam ini," komen Ramli ringkas mengenai persembahan keempat-empat protege wanita berkenaan. Pada Ahad lalu, selaku peserta pertama membuat persembahan, Shiha dilihat gah dalam persalinan gaun kuning keemasannya tatkala menyampaikan lagu hit nyanyian Shila Amzah, Memori Tercipta dengan penuh penghayatan walaupun tampil dengan konsep ala-klip video. Bukan itu sahaja, Shiha seharusnya berbangga apabila juri jemputan pada malam itu, Marcell memberi tabik hormat kepadanya atas lontaran vokalnya yang begitu memukau. Bagaimanapun, kemunculan Salma selepas itu mendapat kritikan negatif daripada Ramli walaupun protege Erra Fazira itu tampil dengan persembahan bertenaga yang mendapat tepukan gemuruh peminatnya. Komen Ramli, lagu popular Safura, Sedalam Mana Cintamu yang dinyanyikan Salma pada malam itu tidak bersesuaian dengan kelantangan vokalnya. "Walaupun ia sedap didengar, saya yakin Salma mampu membawakan lagu lain yang lebih hebat berbanding lagu itu. "Pada peringkat ini, setiap protege seharusnya berani mengambil risiko dan jangan memilih untuk berada di zon selamat," kritik Ramli di akhir persembahan Salma. Pemilihan lagu Khatimah Cinta yang dipopularkan 6ixth Sense oleh Iqa untuk persembahan solonya menarik perhatian Ramli. Ujar Ramli, Iqa dan mentornya, Edry Abd. Halim bijak memanupulasi audiens dengan aura segar yang menyelitkan bunyian instrumen tradisional seperti caklempong, seruling dan rebana dalam lagu tersebut. "Standard persembahan seperti inilah yang diperlukan pada peringkat sebegini. Ia adalah satu persembahan intelektual," puji Ramli terhadap persembahan Iqa. Dalam pada itu, Ratnah yang dilihat mempunyai kelebihan dari aspek tarian tampil dengan sebuah lagu rancak, Bukannya Aku Takut, dendangan Mulan Jameela. Walaupun pada awalnya dijangka protege Afdlin Shauki itu akan memilih sebuah lagu berentak catchy, ia nyata tidak mengecewakan penonton dan juga juri dengan koreografi tari yang mempersonakan. Mengikut kata Ramli, gunakan kekuatan yang ada untuk memberi saingan kepada peserta lain. "Dengan cara itu yang membuatkan setiap peserta berbeza dan mempunyai personaliti tersendiri," ujarnya. Di samping itu, walaupun Salma mengungguli markah daripada juri awam sebanyak 20 mata, berbanding Shiha (19), Ratnah (18) dan Iqa (17), ia belum pasti menjanjikan laluan selesa untuk ke peringkat akhir. Ini kerana pemarkahan juri profesional dan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) pada malam itu tidak didedahkan kepada umum. Rasional di sebalik tindakan itu ialah TV3 tidak mahu para peserta berasa selamat sekiranya mereka berjaya mengumpulkan markah tertinggi. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |