Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Aidil Zafuan Tidak Tuntut Anak, Hanya Tangguh "Sulh"

Posted: 27 Oct 2010 06:34 PM PDT

PETALING JAYA: Pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak,23, menafikan mahu menuntut hak penjagaan anak daripada isterinya, pelakon Rita Rudaini Mokhtar,34, sebaliknya kunjungan dia ke Mahkamah Tinggi Syariah, Seremban, Selasa, adalah untuk menangguhkan permohonan sulh (perbincangan) yang dibuat sebelum ini.

Aidil berkata, laporan sebuah akhbar tabloid, Rabu mengenai tuntutan itu dipetik daripada sumber yang salah kerana dia tidak mempunyai apa-apa masalah mengenai hak penjagaan anak, Airit Rayyan Rizqin yang berusia setahun tiga bulan.

"Saya mengaku bersama peguam saya ke Mahkamah Tingi Syariah di Seremban, semalam (Selasa) tetapi untuk menguruskan permohonan penangguhan sulh yang saya buat sebelum ini. Bukan untuk tuntut hak penjagaan anak seperti yang dilaporkan," katanya di sini, Rabu.

Aidil berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kononnya dia menuntut hak penjagaan anak daripada Rita melalui proses mahkamah selepas segala kemelut yang berlaku terhadap rumah tangga mereka selama ini tidak dapat diselesaikan.

Rita Rudaini dan suaminya Aidil Zafuan mahu menjadi pasangan bahagia tetapi sayang sekali rumah tangga mereka sering diuji.

Sulh adalah proses perbincangan di antara dua pihak yang ingin mencari perdamaian melalui proses mahkamah.

Kata Aidil, penangguhan itu dibuat kerana masalah rumah tangga mereka semakin baik berbanding ketika permohonan itu dibuat semasa Hari Raya Aidilfitri lalu.

"Semasa Hari Raya Aidilfitri lepas saya ada buat permohonan ini (sulh) kerana tiada jalan lain untuk saya mendapat nasihat tetapi sekarang hubungan saya dengan Rita semakin baik.

"Disebabkan itulah saya perlu membuat penangguhan tersebut melalui peguam saya agar tidak menyusahkan pihak mahkamah nanti," katanya.

Aidil yang sedang berlatih untuk mewakili Negeri Sembilan bagi menentang Kelantan dalam perlawanan bola sepak Piala Malaysia Sabtu ini mengakui sayangkan Rita apatah lagi selepas memikirkan isterinya itu mengandung tiga bulan anak kedua mereka.

Ditanya kenapa dia tidak membatalkan penangguhan sult itu, katanya jika ditakdirkan sekiranya timbul masalah dalam rumah tangga mereka kelak, dia tidak perlu membuat permohonan tersebut semula.

Sementara itu Rita Rudaini pula berkata dia tidak membantah tindakan Aidil itu jika langkah tersebut dapat menyelesaikan masalah mengenai rumah tangga mereka.

Katanya selama ini jika mempunyai masalah sekalipun dia tidak pernah keluar dari rumah sebaliknya mendapatkan kebenaran suami terlebih dahulu untuk melakukan sesuatu tindakan.

"Saya sayangkan Aidil sepenuh hati dan tiada sedikit pun perasaan benci terhadapnya. Jika tindakan Aidil itu baik, saya turutkan kehendak dia," ujarnya.

Tambah Rita, dugaan yang berlaku dalam rumah tangganya membuatkan dia semakin tabah apatah lagi selepas mengetahui dirinya kini berbadan dua.

Pasangan tersebut berkahwin secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 25 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga lelaki yang pada mulanya tidak merestui perkahwinan itu.

Hezrie Hashim Persoal Tuduhan Gagal Kendalikan FFM23

Posted: 27 Oct 2010 06:33 PM PDT

Zizan (kiri) dan Hezrie, ketika mengacarakan FFM23.

PETALING JAYA: Pengacara Hezrie Hashim menganggap dia telah menjalankan tugasnya dengan baik sebagai pengacara bersama dalam Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) dan tidak ada sebab untuk orang lain mempersoalkan kredibilitinya.

Hezri berkata, sepanjang tempoh kira-kira tiga jam mengendalikan rancangan itu bersama pelawak Zizan dan Sharifah Shahira, dia tidak melakukan apa-apa kesilapan di atas pentas.

"Pada saya, pengacaraan saya berjalan dengan baik. Orang mungkin membandingkan saya dengan Zizan dan Shahira memandangkan selebriti RTM jarang menerima publisiti di akhbar-akhbar tempatan. Lagipun saya seorang pengacara, bukannya pelawak.

"Setakat ini, tiada kesalahan berlaku dan yang penting perjalanan acara FFM23 tidak mempunyai sebarang masalah.

"Sama ada saya layak atau tidak berdiri di atas pentas tersebut, sukar untuk saya katakan cuma saya ingin berterima kasih kepada pihak penganjur yang mengambil saya sebagai pengacara bersama Zizan dan Shahira," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.

Tambah Hezrie, mengendalikan FFM23 juga agak mudah baginya memandangkan dia sudah biasa mengacarakan program-program televisyen di stesen RTM serta turut mempunyai programnya sendiri,Santai bersama Hezrie.

Malah, walaupun Hezrie dianggap tidak popular bagi sesetengah pihak, dia merasakan kebanyakan masyarakat mengenalinya menerusi program-program RTM yang diacarakannya.

"Mengacarakan FFM23 tidak susah kerana acara ini tidak membabitkan pengacara bercakap panjang. Cuma debarannya sedikit ada, kerana ia merupakan acara yang berprestij dan saya perlu berdepan dengan tetamu-tetamu kenamaan.

"Saya dah biasa menghadapi suasana program berbentuk siaran langsung. Cuma cabarab dalam FFM23, saya memastikan agar tidak melebih-lebih ketika bercakap.

"Lagipun, bila bercakap tentang populariti, orang sudah pun mengenali saya, dan rasanya penonton tidak merasa janggal melihat saya mengacara FFM23," ujarnya.

Sejak tamatnya acara FFM23, ramai yang memberi kritikan terhadap Hezri kerana tidak sesuai digandingkan dengan Zizan dan Shahira.

Malah Hezrie dikatakan mencacatkan acara dengan lawak jenaka yang tidak menjadi.

Bagaimanapun, penyampai radio KLFM itu tidak kecewa dengan kritikan yang diterima. Sebaliknya dia menganggap perkara tersebut sebagai lumrah dan memastikan setiap program yang diacarakan akan lebih baik daripada sebelumnya.

Spider Rindukan Loloq

Posted: 27 Oct 2010 06:33 PM PDT

Album baru kumpulan Spider berjudul KauSatu tanpa sentuhan komposer Loloq

PETALING JAYA: Setelah dua tahun menyepi, kumpulan Spider bakal muncul dengan album kelima berjudul KitaSatu yang bakal berada di pasaran pada 9 November ini.

Album kelima ini memuatkan lima buah lagu baru dan dua lagu bunus ini masih mengekalkan genre muzik Ska Rock, namun kali ini tanpa sentuhan daripada komposer terkenal Allahyarham Rosli Khamis atau Loloq.

Menurut Vokalis Spider, Rustam Mustafah atau Tam berkata, pemergian Loloq merupakan kehilangan besar bagi mereka, bagaimanapun semangat Loloq masih lagi kuat dalam karya Spider.

"Kami sangat rindukan Loloq, ketika proses pembikinan lagu kami sentiasa ingatkan dia. Segala idea yang diberi dan karya-karya dia banyak menjadikan Spider sebuah kumpulan muzik yang tersendiri.

"Album kali ini tiada sentuhan dia, tapi kenangan bersama dengannya menguatkan lagi semangat kami untuk berjuang dalam industri ini," ujarnya ketika ditemui di Majlis Pra Dengar Album KitaSatu, di sini, Rabu.

Dalam pada itu, Tam juga mengakui tidak mendapat kepuasan sepenuhnya dalam album kelima ini kerana sebelum ini Spider mengeluarkan 10 buah lagu dalam setiap album mereka.

"Jika nak bercakap tentang kepuasan memang saya tidak puas. Bagi saya sebuah album adalah sebuah perjalanan, namun saya memahami peredaran sistem sekarang.

"Kalau dulu kita perlu membeli sebuah album untuk mendengar lagu tersebut, tapi kini boleh membeli melalui muat turun sahaja," katanya.

Album ini memuatkan lagu berjudul Ajaib, KitaSatu, Rasakan Resapkan, Bukan Salah Aku, Tapi Bagaimana, KitaSatu (Akustika) dan Tapi Bagaimana (Akustika).

Selain itu, selepas single pertama Spider berjudul Ajaib mendapat sambutan pendengar, single kedua berjudul KitaSatu ciptaan Tam Spider dan lirik oleh Keon bakal dimainkan dalam masa terdekat ini.

"Lagu berentak perlahan ini merupakan kesinambungan daripada lagu Rela Ku Pujuk. Kita masih mengekalkan unsur Ska dalam lagu ini.

"Menurut Keon lagu ini juga sebagai hadiah kepada perkahwinan saya tahun lalu," ujar Tam.

Keseluruhan lagu dalam album ini adalah ciptaan Tam Spider dan Spider sendiri serta mendapat sentuhan M.Nasir menerusi lirik Bukan Salah Aku dan Rasakan Resapkan, selain Keon dalam lagu KitaSatu dan Buddhi hikayat menerusi lagu Ajaib.

Spider masih lagi mengekalkan ahli terdahulu yang terdiri daripada Tam (Vokalis & Gitar), Tony (Bass), Hanafie (gitar) dan Ayie (Dram).

Album KitaSatu ini juga diterbitkan sepenuhnya oleh Spider dibawah syarikat rakaman Luncai Emas Sdn Bhd, manakala Universal Music Sdn Bhd bertindak sebagai pengedar dan wakil pemasarannya.

"Aku Tak Bodoh" Bukan Filem Ciplak

Posted: 27 Oct 2010 06:32 PM PDT

Barisan pelakon filem Aku Tak Bodoh (dari kiri) Amy Mastura, Riezman Khuzaimi, penerbit eksekutif Ahmad Puad Onah, penerbit Brando Lee, Ariel Zafrel, Aizat Hassan pada sidang media filem itu, Selasa.

PETALING JAYA: Wakil penerbit filem Aku Tak Bodoh iaitu Ahmad Puad Onah dan Brando Lee menyangkal dakwaan kononnya filem tersebut meniru filem komedi dari Singapura iaitu I Not Stupid Too (2006).

Menurut Puad yang ditemui pada sidang media filem itu di Cathay E@Curve, Damansara, Selasa, filem Aku Tak Bodoh yang diarahkan oleh pengarah baru Boris Boo itu merupakan adaptasi daripada filem arahan pengarah Singapura, Jack Neo.

Bagi menyesuaikan dengan selera dan trend penonton di Malaysia, pihak Primeworks Studios dan beberapa syarikat produksi terlibat telah pun mendapatkan persetujuan daripada penerbit filem asal itu untuk mengadaptasinya kepada versi Bahasa Malaysia.

Ahmad Puad Onah

"Filem Aku Tak Bodoh tidak meniru atau 'ciplak' I Not Stupid Too arahan Jack Neo. Malah, kami juga bekerjasama dengan Neo sendiri dalam penerbitan filem versi Bahasa Malaysia ini.

"Tak dinafikan konsep dan jalan ceritanya sama tetapi kami tidak tiru bulat-bulat. Aku Tak Bodoh diubahsuai mengikut kesesuaian budaya, bahasa dan sensitiviti masyarakat Malaysia. Jadi, isu sebegini tidak sepatutnya timbul," katanya.

Brando yang juga penerbit bersama filem komedi keluarga itu menambah, Aku Tak Bodoh bukan sahaja diubahsuai daripada aspek persembahan dan isi kandungannya sahaja malah ia juga melibatkan pelakon, krew produksi dan dana daripada Malaysia.

Brando Lee

"Aku Tak Bodoh adalah filem Malaysia yang mengadaptasi filem Jack Neo. Bukan saja pelakon yang digunakan adalah pelakon dari Malaysia, malah krew penerbitan serta dana yang dilaburkan untuk filem ini juga datangnya daripada syarikat-syarikat di Malaysia.

"Senario mengadaptasi filem lain adalah sesuatu yang normal dalam dunia penerbitan filem di dunia tetapi kita memastikan filem adaptasi ini dihasilkan dengan sentuhan yang berbeza dan mengandungi elemen tempatan," katanya.

Filem yang bakal ditayangkan pada 2 Disember depan bersempena dengan musim cuti sekolah ini membariskan pelakon-pelakon popular dan baru tanah air seperti Riezman Khuzaimi, Amy Mastura, Ariel Zafrel, Aizat Hassan, Wan Noor Aizat, Namron dan Adibah Noor.

Aku Tak Bodoh yang menelan kos penerbitan sebanyak RM1.3 juta ini berkisar kepada konflik ibu bapa yang gagal memahami dan meluangkan masa bersama anak-anak ekoran kesibukan kerja sehingga menyebabkan anak-anak terjerumus kepada perkara-perkara negatif.

Zed Zaidi Seru Artis Sambung Belajar

Posted: 27 Oct 2010 06:31 PM PDT

PETALING JAYA: Para artis dan selebriti diseru menyambung pengajian peringkat ijazah yang ditawarkan di Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk pengambilan kedua yang akan bermula pada Disember ini.

Exco Seniman Muda, Persatuan Seniman Muda (Seniman), Zed Zaidi,27, (gambar) berkata, para artis harus merebut peluang itu yang jarang sekali diadakan buat mereka.

"Kami telah mengadakan kerjasama dengan UUM untuk membolehkan para artis dan selebriti di negara kita mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang pendidikan," katanya.

Kursus yang ditawarkan UUM ialah dua pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang komunikasi dan pengurusan perniagaan.

Sebagai contoh katanya jika para artis mempunyai tahap komunikasi yang tinggi, mereka tiada masalah untuk berhadapan dengan orang ramai termasuklah wartawan

"Kami telah membina kerjasama dengan UUM untuk menggalakkan ramai artis mengikuti ijazah dalam bidang komunikasi. Sekurang-kurangnya, apabila mereka belajar tentang komunikasi, tiadalah timbul isu artis tidak tahu adab apabila bercakap dengan wartawan," katanya kepada mStar Online.

Sebelum ini, pelakon Emelda Rosmila, Diddy Hirdy, Akim AF dan vokalis kumpulan Hujan, Mohammad Noh Salleh, merupakan antara 38 penggiat seni yang melanjutkan pelajaran di universiti itu untuk kampus Kuala Lumpur.

Turut mengikuti kurus berkenaan ialah personaliti Astro Awani, Ashwad Ismail yang terlibat dalam misi kemanusiaan ke Gaza, Palestin Mei lepas serta pembaca berita Rizal Zulkapli.

Mereka ditawar mengikuti Program Khas Pengajian Luar Kampus (PLK) bagi kursus Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian (PLK) dan Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa dengan Kepujian (Mode Eksekutif) dan telah memulakan pengajian pada Ogos lalu.

Amirah Ali Serasi Dengan Patrick Terbrack

Posted: 27 Oct 2010 06:29 PM PDT

Amirah di samping Patrick, yang dianggapnya sebagai pemain seksofon dan komposer hebat.

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer Amirah Ali,27, mengaku serasi melakukan persembahan dengan iringan saksofon Patrick Terbrack, pemain saksofon jaz dan komposer dari Amerika Syarikat (AS).

Baru-baru ini, Amirah atau nama sebenarnya Amirah Ameer Ali muncul bersama Patrick ketika membuat persembahan di Power Down Music Festival sempena kempen cintai alam yang dikenali sebagai Go Green Campaign.

Selain itu, pasangan itu juga pernah sama-sama membuat persembahan di kelab No Black Tie. Mengenali Patrick, Amirah selesa bekerja dengan pemuda berasal dari Lansing, Michigan A.S itu.

"Patrick merupakan seorang pemain saksofon dan komposer yang hebat dan dia telah membuat persembahan dengan ramai pemuzik hebat antarabangsa seperti Benny Golson, Curtis Fuller, Jimmy Heath dan Jimmy Cobb.

Amirah bersama Patrick ketika membuat persembahan di Power Down Music Festival sempena kempen cintai alam yang dikenali sebagai Go Green Campaign baru-baru ini.

"Patrick juga terlibat dalam rakaman EP saya untuk lagu Malaysia dan Joget Lebaran bagi menampilkan unsur pop dan jaz," kata Amirah kepada mStar Online.

Amirah terkenal sebagai penyanyi yang membawakan lagu-lagu menggabungkan irama etnik. Sekarang dia telah menghasilkan sebuah EP bertajuk Koleksi Lagu Aidilfitri Syawal Amirah Ali yang memuatkan lima buah lagu iaitu Syawal, Joget Lebaran, Dondang Raya, Katakanlah dan Malaysia.

Selain Patrick, Amirah turut bekerjasama dengan pemain selo, Mariamlisa Zainal Abidin dan pemain saksofon, Julian Chan dari New York.

Amirah pernah belajar di Northen Illinois, Amerika Syarikat dalam bidang gamelan, seni Asian dan teater. Selepas menyelesaikan pengajian sarjananya pada Mei 2009, anak sulung dari dua beradik itu mencuba nasib sebagai penggubah lagu selama setahun di negara itu.

Kahoe, Pengarah Paling Muda Filem "Friend"

Posted: 27 Oct 2010 06:28 PM PDT

Kahoe bakal mengarah filem pendek pertamanya berjudul 'Friend' pada 30 Oktober ini.

PETALING JAYA: Selepas muncul dalam filem Talentime dan Crayon, aktor Hon Kahoe, 18, akan bergelar pengarah buat julung kalinya menerusi filem pendek, Friend.

Walaupun masih 'hijau' dalam industri seni tempatan, ia tidak menghalangnya untuk mengarah filem berdurasi 5 minit.

Kahoe agak bernasib baik kerana mendapat tunjuk ajar daripada mentornya merangkap pengarah, penulis skrip dan penerbit filem Crayon, Dean A. Burhanuddin.

Menariknya, buah tangan sulungnya ini bukan sahaja mendapat sentuhan bakat muda dan baru seperti Kahoe, malah jurukamera dan para pelakon lain yang turut serta dalam pembikinan filem itu merupakan muka-muka.

"Saya akan memulakan penggambaran filem ini pada Sabtu ini bersama-sama bakat-bakat muda lain di gelanggang futsal dan rumah saya. Selain mengarah, saya turut berlakon dalam filem berbahasa Inggeris ini.

"Filem ini mengisahkan tentang persahabatan yang mahu menyampaikan mesej tidak semua kawan itu boleh dipercayai kerana kadangkala kawan boleh menjadi musuh kita. "Ini kerana, dalam hidup kita, ada tiga perkara yang akan mempengaruhi kita iaitu wang, kuasa dan cinta. Tetapi dalam filem ini, saya akan mengaitkan tentang cinta," katanya kepada mStar Online.

Kahoe bersama-sama dengan Dean sewaktu penggambaran filem Crayon.

Demi mencapai cita-citanya sebagai seorang pengarah, Kahoe menganggap permulaan ini sebagai latihan untuk meneruskan impiannya bergelar pengarah sejak berusia 16 tahun itu.

Sebagai persediaan, model komersial Milo dan Nike ini sentiasa memikirkan tentang sudut terbaik untuk menghasilkan filem pendek yang menarik sebelum memasuki mana-mana pertandingan filem pendek nanti.

"Sebelum ini, saya banyak belajar kerja belakang tabir daripada Dean semasa berlakon filem Crayon. Saya berharap untuk mengarah filem cereka pertama pada usia 21 tahun," ceritanya yang turut meminati karya pengarah Peter Jackson dan Yasmin Ahmad. Pada tahun depan, Kahoe berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan pembikinan filem di Universal Studio, Los Angeles, Amerika Syarikat.

Saksikan lakonan Kahoe dalam filem Crayon di pawagam mulai 11 November ini. Filem tersebut turut akan ditayangkan di pawagam Laemmle, Los Angeles, Amerika Syarikat mulai 4 November depan.

Siaran MyTV3 Selama 30 Minit Mulai 7 November

Posted: 27 Oct 2010 06:27 PM PDT

Aidid Marcello semasa sesi penggambaran MyTV3.

PETALING JAYA: Kapsul MyTV3 yang bersiaran selama 2 minit di TV3 bakal berwajah baru dengan kelahiran program 30 minit yang akan mula ditayangkan pada 7 November ini, setiap hari Ahad pukul 6.00 petang.

Dihoskan oleh personaliti televisyen yang tidak asing lagi, Aidid Marcello, MyTV3 memberi peluang kepada ahli-ahlinya untuk mengikuti perkembangan terkini MyTV3 menerusi empat segmen eksklusif iaitu MyDREAMS, MyMEMBERS, MyDAY dan MyZONE.

Menerusi program 30 minit tersebut, MyDREAMS merealisasikan impian ahli MyTV3 yang terbuku di dalam hati mereka seperti mahu melancong ke luar negara, ingin memandu kereta mewah, beramah mesra dengan pujaan artis dan sebagainya.

Dalam segmen MyMEMBERS, ia memaparkan keunikan kisah hidup ahli MyTV3 untuk dijadikan sumber inspirasi kepada rakyat Malaysia supaya berjaya dalam kerjaya dan kehidupan masing-masing.

Seterusnya dalam MyDAY, krew MyTV3 akan menerjah ahli-ahli MyTV3 tanpa dijangka dan memberi kejutan yang seperti meraikan hari jadi dan menjalankan aktiviti-aktiviti spontan bersama MyTV3 Roverz.

Manakala dalam MyZONE pula, ia memaparkan pelbagai informasi dan paparan buletin tentang ahli-ahli MyTV3 yang terlibat dalam acara-acara yang dianjurkan oleh TV3 seperti Karnival Jom Heboh, MyTV3 Campus, School Attack, Kids Parade, Anugerah Juara Lagu dan sebagainya.

Krew MyTV3.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan, penubuhan keahlian MyTV3 bertujuan memberi pendekatan kepada ahli-ahli untuk menjadi sebahagian daripada warga TV3.

"Mereka bukan sahaja dapat jemputan eksklusif di acara berprestij stesen seperti Anugerah Juara Lagu, Anugerah Skrin dan juga acara padang seperti Jom Heboh, School Attack, Kembara TV3, Seminar Untukmu Wanita dan lain-lain.

"Malah mereka juga diberikan keutamaan untuk diterima sebagai pelatih stesen TV3 dalam menimba ilmu di bidang penyiaran. Kami berasa ia suatu pemberian yang amat bermakna kepada para penonton setia kami khususnya ahli-ahli MyTV3.

"Kami amat berbesar hati kerana MyTV3 masih menerima pendaftaran ahli baru di gerai MyTV3 semasa Karnival Jom Heboh, aktiviti bersama kolej dan universiti serta pendaftaran SMS. Dengan pembaharuan yang dilakukan pada program MyTV3 dan dipanjangkan masa siarannya kepada 30 minit, kami berharap dapat memberi manfaat maksimum kepada ahli-ahli My TV3 di seluruh Malaysia," kata beliau.

Pelancaran wajah baru MyTV3 akan diadakan di gerai MyTV3 bersempena dengan Karnival Jom Heboh di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 7 November ini.

Ahli-ahli MyTV3 dialu-alukan untuk meraikannya bersama krew MyTV3, MyTV3 Roverz dan juga artis-artis jemputan seperti Intan Ladyana, Erry Putra, Comel Hotel Mania dan Munir.

Selain itu, MyTV3 juga mewujudkan interaksi dua hala dengan ahli-ahli MyTV3 menerusi laman web MyTV3, laman sosial Facebook dan Twitter untuk berkongsi informasi-informasi terkini serta menerima sebarang maklum balas dan cadangan daripada mereka. Malahan, mereka juga berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik dengan menjawab soalan mingguan.

Sejak memulakan operasinya secara tidak rasmi di Karnival Sure Heboh (kini dikenali sebagai Jom Heboh) pada tahun 2004, sesi pendaftaran dan pengambilan ahli-ahli baru MyTV3 rancak dijalankan selama tujuh tahun. Sehingga kini, MyTV3 masih berdiri kukuh dengan jumlah keahlian hampir 1 juta orang. Setiap ahli ditawarkan keahlian seumur hidup dengan bayaran RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi mereka yang berumur 18 tahun ke bawah.

Sebarang maklum balas, sila hubungi talian MyTV3 03-77242485, melalui Facebook www.facebook.com/mytv3 dan emel kepada mytv3@tv3.com.my.

Zul Yahya nafi terlibat najis dadah

Posted: 27 Oct 2010 06:23 PM PDT



Kehilangan pelakon dan pelawak Zul Yahya daripada industri seni hampir setahun, mengundang pelbagai persepsi. Paling ketara, dia dikaitkan dengan masalah ketagihan dadah.

Malah, susuk tubuhnya yang dilihat semakin kurus menguatkan lagi khabar angin yang bertiup kencang itu.

Saat diajukan mengenai dakwaan itu, Zul tidak kelihatan terkejut, malah mengakui turut mendengar khabar angin sama dan menganggap ia sekadar resam perjalanannya sebagai anak seni.

"Kehilangan saya dalam industri seni dalam tempoh setahun ini bukanlah disebabkan saya cuba memulihkan diri daripada ketagihan dadah. Memang macam-macam versi saya dengar mengenai cerita saya mengambil dadah.

"Ingin saya tegaskan di sini, kehilangan saya selama setahun ini adalah disebabkan saya memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga. Jika benar saya hilang kerana dadah, sepatutnya saya hilang sebelum berkahwin bukan selepas berkahwin.

"Badan yang semakin kurus ini disebabkan saya kurang rehat kerana berniaga di restoran dan banyak benda yang perlu saya buat. Jadi, bila kurang rehat secara automatik saya hilang selera makan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Zul, jika benar dia terlibat dengan dadah tentulah hidupnya bersama isteri tercinta tidak pernah bahagia.

Katanya, orang hanya pandai menyebarkan selepas mendengar dari mulut orang lain tanpa melihat dengan mata sendiri.

Tidak cukup dengan dakwaan terlibat dengan najis dadah, Zul juga dikatakan sombong dan enggan menyahut teguran peminat selepas terkenal melalui beberapa siri TV popular.

"Saya manusia biasa yang tidak boleh memenuhi kemahuan semua orang. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Jangan menilai orang dari luaran tanpa mengenal siapa sebenarnya diri saya.

"Saya akui watak saya sebenarnya sangat berbeza daripada apa yang peminat lihat dalam TV. Walaupun saya sering membawakan watak komedi, saya sebenarnya seorang yang serius di luar set. Tapi itu bukan bermakna saya sombong, cuma saya tidak suka orang menegur saya secara kasar.

"Kita punya adat, budaya, saya begitu senang jika orang sesama agama menegur saya dengan memberi salam. Bukannya menjerit memanggil "oi" atau perkataan yang tidak menggambarkan budaya kita," katanya yang akan muncul dalam drama bersiri komedi terbaru, Takut Bini, Sayang Suami di TV9 November ini.

Tambah Zul lagi, dia bukan mahu berlagak bagus cuma dia punya pendiriannya dan sebagai manusia biasa dia mahu peminat menghormatinya.

"Kalau yang menegur saya cara kasar itu budak kecil, mungkin saya boleh membetulkan, tapi jika orang dewasa yang berbuat begitu, saya rasa tidak wajarlah. Memberi contoh yang tidak baik.

"Jika jumpa saya, tegur saya dengan memberi salam, saya tiada masalah untuk melayan peminat saya," katanya yang kini mempunyai dua orang cahaya mata berusia dua tahun dan sepuluh bulan.

Bencana 'berkembar' melanda Indonesia

Posted: 27 Oct 2010 06:20 PM PDT



YOGYAKARTA - Angka korban letusan Gunung Merapi meningkat kepada 31 orang selepas gunung berapi itu meletus dan memuntahkan debu serta batuan panas sehingga 1.5 kilometer ke udara di wilayah Sleman, Yogyakarta, kelmarin.

Antara yang terkorban termasuk bayi berusia dua bulan, seorang wartawan portal berita Indonesia, seorang sukarelawan Palang Merah tempatan dan 'penjaga' gunung, Mbah Maridjan.

Pakar gunung berapi negara itu mengeluarkan amaran awal mengenai letusan Gunung Merapi dan pihak berkuasa telah memindahkan puluhan ribu penduduk di kawasan itu ke pusat perlindungan sementara.

Menurut media Indonesia, mangsa letusan akan dikebumikan di dalam satu liang lahad dan sumbangan sebanyak Rp2.4 juta (RM840) akan diberikan kepada setiap keluarga mangsa.

Sementara itu, gempa bumi bawah laut mencetuskan ombak tsunami yang membunuh sekurang-kurangnya 272 orang penduduk di Kepulauan Mentawai, barat Sumatera, Isnin lalu.

Gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter itu menghasilkan ombak setinggi tiga meter yang memusnahkan 10 kampung dan hampir 500 penduduk dilaporkan masih hilang.

Helikopter yang membawa pasukan penyelamat bersama bantuan perubatan dan makanan mula tiba di pulau itu, semalam.

Obes selepas dibuang kerja

Posted: 27 Oct 2010 06:20 PM PDT


BALAGI terlantar di wad Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam sambil diperhatikan oleh ibunya, Rajasundi.


GEORGE TOWN - Siapa sangka lelaki obes, M. Balagi yang berat badannya mencecah 300 kilogram (kg) rupa-rupanya menyimpan kisah duka yang menjadi punca dia mengalami kegemukan melampau.

Bekas pengawal keselamatan di sebuah hotel di sini itu berkata, gara-gara kecewa selepas diberhentikan kerja kira-kira lima tahun lalu dia mengurungkan diri di dalam rumah dan makan dalam kuantiti yang banyak.

Balagi, 43, atau lebih mesra dengan panggilan Balaji oleh keluarganya, cuba melepaskan tekanan dengan memakan roti sehingga empat bungkus sehari. Jumlah itu menyamai 88 keping roti.

Dia juga suka makan tosai tetapi kurang menjamah nasi manakala minuman kegemarannya ialah kopi panas.

Menceritakan kisah lampaunya Balagi mendakwa dia diberhentikan kerja pada tahun 2005 kerana kerap mengambil cuti sakit.

Tiada sesalan di wajah pembunuh

Posted: 27 Oct 2010 06:14 PM PDT


DI rumah inilah Faridah dibunuh oleh Omar (gambar kecil) sebelum mayatnya dibuang di kawasan belukar di Persiaran Minden, George Town pada 12 September 2006.


GEORGE TOWN – "Nasiblah!" Selain ungkapan tersebut, seorang peniaga makanan, Omar Shaari ternyata tidak menunjukkan sebarang sesalan pada wajahnya selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini semalam.

Omar, 49, dijatuhi hukuman tersebut oleh Hakim Datuk Abdul Halim Aman selepas didapati bersalah membunuh jirannya, Faridah Mohd. Sharif, 46, yang mayatnya ditemui hampir reput di kawasan belukar di Persiaran Minden di sini empat tahun lalu.

Kata-kata ringkas Omar itu ternyata menyentap perasaan galeri awam apatah lagi ditambah dengan tindakannya tersenyum sambil mengangkat bahu ke arah abang kandung, isteri dan anaknya yang turut berada di situ selepas mendengar penghakiman Abdul Halim.

Seks kaki dadah

Posted: 27 Oct 2010 06:13 PM PDT


ANGGOTA AADK menyoal siasat lima penagih dadah yang ditahan dalam serbuan di Jalan Datuk Dalam, Johor Bahru kelmarin.


JOHOR BAHRU - Melakukan seks beramai-ramai sambil menghisap dadah.

Itulah tindakan yang disyaki sering dilakukan oleh sekumpulan lima penagih dadah sebelum dicekup sepasukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Johor di sebuah pondok haram di Jalan Datuk Dalam di sini petang kelmarin.

Difahamkan, kesemua penagih dadah termasuk seorang wanita berusia 20-an sedang khayal ketika dicekup. Beberapa kondom terpakai juga ditemui bersepah di lantai pondok haram terbabit.

Malah, hasil pemeriksaan di pondok penagih terbabit turut menemui pelbagai pakaian yang disyaki disimpan penagih-penagih terbabit sebagai kemudahan untuk mereka menginap di situ.

Penolong Pegawai AADK Johor, Zulhilmi Ahmat berkata, kesemua penagih terbabit ditahan dalam Ops Res-Q selama tiga jam bermula pukul 3.30 petang kelmarin hasil maklumat orang ramai.

Turut ditemui ialah beberapa kad pengenalan, lesen memandu, kad-kad bank serta kad kredit dipercayai diperoleh daripada kegiatan ragut yang dilakukan oleh penagih-penagih terbabit.

Katanya, selain itu, beberapa dadah jenis heroin, morfin dan ganja juga ditemui.

"Pihak kami percaya pondok haram yang didirikan ini merupakan markas penagih-penagih dadah berkumpul untuk menghisap dadah selain melakukan aktiviti maksiat.

"Hasil siasatan juga mendapati pondok yang berdindingkan kayu serta beratap kain khemah itu dipercayai telah didirikan baru-baru ini," katanya semasa dihubungi semalam.

Pelakon filem Susuk bercerai

Posted: 27 Oct 2010 06:12 PM PDT


ALEEZA kelihatan sebak ketika keluar dari Mahkamah Rendah Syariah di Kuala Lumpur bersama Mohd. Fauzi semalam.


KUALA LUMPUR – Model dan pelakon filem Susuk, Aleeza Kasim sah bercerai dengan suaminya, Datuk Mohd. Fauzi Che Rus di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam. Lafaz cerai tersebut dibuat oleh suaminya secara tertutup di kamar Hakim Syarie Mohd. Suhaily Rosdi.

Pasangan tersebut memasuki kamar hakim pada pukul 9.15 pagi dan keluar kira-kira 15 minit kemudian.

Aleeza, 40, dilihat menangis teresak-esak manakala Mohd. Fauzi, 47, nampak tenang.

Ketika dihampiri oleh wartawan dan jurufoto, kedua-dua mereka enggan ditemu bual.

Mereka kemudian pulang secara berasingan menaiki kenderaan masing-masing.

Lari dari gunung berapi

Posted: 27 Oct 2010 06:10 PM PDT


SUKARELAWAN mengusung mayat seorang mangsa letusan Gunung Merapi di Kampung Kinarrejo berdekatan Yogyakarta semalam.


KUALA LUMPUR - Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta semalam mengesahkan tiada laporan kematian atau kecederaan yang melibatkan rakyat Malaysia termasuk pelajar dalam kejadian gempa bumi dan letusan Gunung Merapi di Indonesia.

Menurut kenyataan Wisma Putra, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta akan terus memantau situasi terkini di Kepulauan Mentawai, Sumatera dan Jawa Tengah tempat berlakunya gempa bumi dan letupan gunung berapi tersebut.

Kenyataan itu menyebut, Kementerian Luar telah menubuhkan Bilik Operasi untuk menerima sebarang pertanyaan mengenai tragedi berkenaan.

Jelasnya, orang ramai boleh memperoleh maklumat dengan menghubungi Bilik Operasi Kementerian Luar di Putrajaya menerusi talian 03-8889 2746 atau 03-8887 4570.

Takut dengar suara Pak Belang

Posted: 27 Oct 2010 06:07 PM PDT


MOHAMAD YUSOFF menunjukkan bekas tapak kaki harimau di Kampung Ulu Kuala Long, Jeli semalam.


JELI – Pak Belang kembali ke Jeli. Itulah yang merisaukan ramai penduduk di beberapa buah kampung di daerah ini apabila ada penduduk mendakwa terdengar ngauman haiwan pemangsa itu di ladang getah Felcra Kampung Reka dan Kampung Ulu Kuala Long dekat sini baru-baru ini.

Dakwaan ada orang terserempak dengan seekor harimau yang sedang menyeberangi jalan di kawasan ladang tersebut menambahkan kerisauan penduduk.

Ada juga penduduk kampung yang mendakwa mendengar ngauman harimau dari arah kawasan Taman Rekreasi Lata Janggut dekat sini yang sering menjadi tumpuan pengunjung.

Seorang penduduk, Mohamad Yusoff Abdullah, 25, berkata, dia dan keluarganya yang menetap di Kampung Ulu Kuala Long di sini mendengar suara harimau mengaum sebanyak tiga kali dari arah puncak bukit berhampiran minggu lepas.

"Lepas dengar mengaum itu kami diselubungi ketakutan kerana saya sendiri pernah mendengar haiwan tersebut mengaum di kawasan puncak bukit.

"Saya bimbang haiwan berkenaan mengganas kerana ia boleh mencederakan penduduk kampung," katanya.

Pegawai Imigresen tak mengaku salah 3 tuduhan rasuah

Posted: 27 Oct 2010 06:07 PM PDT


MOHD. YUSOF dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban semalam atas tiga tuduhan rasuah.


SEREMBAN - Seorang pegawai Imigresen Port Dickson semalam tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tiga tuduhan rasuah melibatkan suapan RM66,950 pada Julai dan September lalu.

Tertuduh, Mohd. Yusof Bahari, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sabariah Atan dan minta dibicarakan.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan RM80 bagi setiap warga Indonesia yang menaiki feri Rasa Rindu 2 membolosi pemeriksaan Imigresen tanpa diperiksa. Rasuah itu didakwa diterima daripada seorang lelaki di sebuah restoran berhampiran Hotel Suria, Port Dickson pada pukul 7.30 malam 20 Julai lepas.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa menerima rasuah RM41,110 daripada orang tengah untuk melepaskan warga Indonesia yang juga penumpang feri Rasa Rindu 2 antara 20 Julai hingga 6 September lepas.

Dalam tuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa menerima RM25,840 daripada seorang lelaki bernama Mohamad Shariman Sharuddin untuk menghalang warga Indonesia balik ke negara mereka walaupun memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Gabungkan SME Bank, Agrobank?

Posted: 27 Oct 2010 06:06 PM PDT


agrobank dahulu dikenali sebagai Bank Pertanian Malaysia.


KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang menimbang sama ada mahu menggabungkan SME Bank dengan Agrobank atau menstruktur semula kedua-dua bank tersebut dalam usaha untuk memaksimumkan potensi dan peranan bank-bank berkenaan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kerajaan sedang mengkaji kedua-dua model pelaksanaan itu dan akan membentangkannya pada mesyuarat Majlis Ekonomi dalam masa terdekat.

"Kita sedang mengkaji dua model. Satu untuk menggabungkan SME Bank dengan Agrobank supaya menjadi entiti yang lebih besar atau menstruktur semula kedua-dua bank berkenaan," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Juruwang dituduh curi RM910,000

Posted: 27 Oct 2010 06:05 PM PDT


MOHD. NASIR menutup muka bagi mengelak gambarnya dirakam jurugambar semasa dibawa ke Mahkamah Majistret di George Town semalam.


GEORGE TOWN – Seorang ketua juruwang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam bagi menghadapi tuduhan mencuri wang sebanyak RM910,000 milik bank tempatnya bekerja di Lebuh Bishop dekat sini pada 18 Oktober lalu.

Pertuduhan terhadap Mohd. Nasir Ismail, 46, dibacakan di hadapan Majistret Nor Aini Yusof.

Timbalan Pendakwa Raya, Pang Chun Keat meminta wang jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, R.S.N. Rayer merayu jumlah itu dikurangkan kepada RM5,000 atas alasan anak guamnya perlu menanggung empat anak yang masih bersekolah.

Zizan nafi cintai Diana

Posted: 27 Oct 2010 06:03 PM PDT




KERJAYANYA baru hendak menampakkan hasilnya setelah empat tahun bergelumang dalam dunia seni. Sama naik dengan kerjanya sudah pasti sahamnya sebagai lelaki bujang yang diburu wanita. Terbaru selepas berpisah secara rasmi dengan kekasihnya, penyanyi dan pelakon Leez, Zizan kini dikatakan berkawan rapat dengan pelakon baru Diana Amir.

Malah, hubungan antara mereka juga dikatakan luar biasa seperti orang yang sedang bercinta. Ada saksi yang melihat mereka berdua pernah keluar makan bersama. Menjawab persoalan cinta dan hatinya, Zizan atau nama sebenarnya Mohd. Razizan Abul Razak yang ditemui pada majlis anjuran Butik Lord's Tailor di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini tidak menafikan yang dia pernah keluar bersama dengan Diana Amir.

Dalam tawa Zizan berkata: "Memang saya ada keluar dengan dia tetapi hubungan kami tidak lebih daripada seorang teman dalam bidang hiburan.

"Dia seorang pelakon baru dan banyak bertanya kepada saya tentang kerja. Lagipun sebelum ini saya memang berkawan dengan abang Diana. Jadi, saya rasa bukan satu kesalahan untuk saya keluar dengan dia. Kalau ikutkan saya ada juga keluar dengan teman-teman artis yang lain tetapi tidak pula dikata bercinta."

Menurut jejaka berusia 26 tahun itu lagi, buat masa ini fokusnya hanya untuk kerja kerana fikirannya tidak mengizinkan dia melakukan dua kerja secara serentak.


ZIZAN berhasrat mahu menyediakan kesenangan buat bakal isterinya nanti.


"Saya memang tidak mahu bercinta dan mempunyai komitmen buat masa sekarang kerana tidak mahu mengganggu perjalanan kerja saya. Otak saya tidak boleh fokus jika saya lakukan dua perkara secara serentak. Jadi fokus saya hanya kerja bukannya untuk mencari kekasih," luahnya.

Sungguhpun begitu, menurut Zizan lagi, andai sudah sampai waktunya untuk berumahtangga, dia akan mula serius untuk memilih calon isteri kelak.

"Saya jenis lelaki yang mahu isteri saya cuci kaki sahaja bila berkahwin dengan saya. Maknanya saya ingin sediakan segala kelengkapan seperti rumah dan kewangan yang stabil sebelum berkahwin.

"Itu hasrat saya. Untuk mencapainya saya rasa bukan dalam masa terdekat, maknanya dalam masa terdekat ini saya tidak akan bercinta kerana mahu bekerja keras," tuturnya.

Bercerita lanjut mengenai wanita pilihannya, riak wajah Zizan terus bertukar serius dan berkata dia tidak memandang rupa paras sebaliknya mahukan wanita yang mampu menjaga anak-anak dan keluarganya dengan baik selain wanita itu haruslah mampu membimbingnya untuk menjadi insan yang lebih baik.

Seumur hidup

"Saya tidak kata saya baik, memang lelaki harus membimbing wanita bila berkahwin tetapi untuk mencari pasangan untuk seumur hidup wanita itu juga harus membimbing saya andai saya tersasar dari landasan," ucapnya jujur.


TINGGAL kenangan. Zizan pernah dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan Leez suatu ketika dahulu.


Zizan juga tidak menolak andai jodohnya kelak adalah wanita yang bekerja dalam bidang yang sama dengannya. Baginya, artis itu hanya satu kerjaya. Apa yang penting adalah hati.

"Siapa kata orang bukan artis itu baik dan artis itu semuanya jahat. Ada juga orang biasa yang perangainya teruk. Begitu juga dengan artis, ada yang baik.

"Kalau sudah jodoh saya dengan artis juga, kahwin sahajalah. Kalau susah sangat nanti saya suruh emak saya carikan," katanya sambil ketawa besar.

Meskipun usia penglibatan Zizan dalam bidang seni masih baru, anak kelahiran negeri Terengganu itu bagaimanapun sudah mula berfikir panjang untuk masa depannya.

Merancang untuk memiliki sebuah syarikat sendiri suatu hari nanti, Zizan menjelaskan, syarikat itu akan menjadi periuk nasinya apabila dia sudah tidak lagi popular seperti hari ini.

"Saya jadikan ahli perniagaan Datuk Sani Salleh sebagai idola kerana dia mempunyai sebuah syarikat bas yang besar. Kalau boleh saya pun mahu jadi sepertinya, cuma bidang perniagaan apa yang mahu saya ceburi belum tahu lagi.

"Setakat hari ini saya sudah mula dengan menjual pakaian. Untuk buka syarikat, ia masih lagi dalam perancangan, mungkin saya akan buka sebuah syarikat produksi," balasnya.

Show Luo ada penyakit kelamin?

Posted: 27 Oct 2010 06:03 PM PDT


SHOW LUO


KHABAR angin terbaru yang bertebaran di Internet adalah tentang penyanyi dan aktor terkenal Taiwan, Show Luo yang dikatakan telah dijangkiti penyakit kelamin (STD).

Bagaimanapun aktor tersebut menafikan khabar angin tersebut.

"Saya tidak tahu macam mana khabar angin ini boleh berlaku, tetapi sejak kebelakangan ini saya telah menerima banyak panggilan daripada rakan dan keluarga yang risau dengan keadaan saya. Saya terpaksa menerangkan perkara yang sama kepada setiap orang.

"Saya cuma berharap orang yang menyebarkan berita palsu ini akan diampunkan Tuhan. Peminat saya diharap bertenang kerana saya sihat dan sentiasa menjaga diri saya dengan baik," katanya.

Hezrie kurang relevan

Posted: 27 Oct 2010 06:02 PM PDT


HEZRIE (kanan) bersama Shahira (tengah) dan Zizan.


RASANYA, belum terlambat untuk Marilyn ucapkan tahniah kepada para pemenang Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) yang melabuhkan tirainya di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam, Selangor Ahad lalu. Bagai menjadi lumrah, bukan Festival Filem Malaysia namanya kalau tak kedengaran suara-suara sinis sekali gus mempertikaikan keputusan pada malam itu.

Begitupun, Marilyn tak kuasa nak bercakap panjang lebar atau membebel tentang keputusan juri. Apa taknya, mereka yang buat penilaian terdiri daripada individu-individu cerdik pandai dalam pengkhususan sendiri. Nanti ada orang ingat Marilyn nak tunjuk bagus pula sebab mempersoalkan kemenangan orang itu dan ini. Iyalah, siapalah Marilyn kalau nak bersuara dalam industri seni kan?

Walaupun tak sempat hadir ke FFM23, Marilyn tetap beri sokongan dengan menonton siaran langsung anugerah berprestij itu di rumah bersama teman. Awal bersiaran tepat pukul 8.30 malam, Marilyn dapat mengagak perjalanannya sedikit perlahan dan membosankan. Ia termasuk persembahan agak tak masuk akal daripada sestengah artis yang membuatkan Marilyn macam nak tutup saja TV dan masuk bilik tidur.

Sebelum itu, Marilyn sempat jugalah tengok gelagat hos FFM23 - Zizan Raja Lawak, Sharifah Shahirah dan Hezrie Hashim. Nasib baiklah mereka sedikit sebanyak membantu menyelamatkan suasana daripada terus jadi hambar dan terus terbawa dengan 'sitkom' merepek yang dipersembahkan sepanjang dua jam. Apalah nak jadi dengan majlis anugerah itu yang semakin hilang sengatnya?

Dalam keterujaan menonton telatah tiga pengacara FFM23, Marilyn cuma terfikir apa agaknya relevan Hezrie turut disenaraikan sebagai pengacara? Kalau ikut pendapat peribadi Marilyn, hanya Zizan dan Sharifah Shahira berdua dimunculkan di atas pentas pun dah mampu menggamatkan atmosfera FFM23. Rasanya, tak perlu Hezrie menempel atau berdiri ibarat pak pacak pada majlis berskala besar berkenaan.

Yang pasti, Marilyn nampak dengan jelas keserasian langsung tak ada antara Hezrie dan dua hos FFM23. Janggal dan pelik apabila melihat kemunculan mereka bertiga. Ada waktu Hezrie enak bercanda atau berusaha tarik perhatian audiens, malangnya ia tak menjadi. Dia ibarat syok sendiri sewaktu berada di atas pentas. Kasihan sungguh Marilyn tengok dia yang sepertinya terkebil-kebil dan hilang arah.

Terlebih dulu, Marilyn nak minta maaf kepada Hezrie sebab terang-terangan berikan komen dan pandangan negatif terhadap gaya penyampaiannya pada FFM23. Lebih baik berterus terang kan Hezrie daripada Marilyn cakap atau mengutuk di belakang. Secara tak langsung, awak dapat belajar kesilapan diri sebelum mencapai impian nak bergelar pengacara disanjungi suatu hari nanti. Mudah-mudahan!

Korban tsunami Sumatera 282 orang

Posted: 27 Oct 2010 06:01 PM PDT


GAMBAR dari udara yang dirakamkan semalam menunjukkan sebuah kampung musnah akibat tsunami di Pulau Pagai, Kepulauan Mentawai.


JAKARTA – Angka kematian akibat tsunami yang melanda Kepulauan Mentawai dekat Pulau Sumatera meningkat kepada 282 orang manakala 411 lagi masih hilang, kata pihak berkuasa semalam.

Tsunami itu berlaku akibat gempa bumi bawah laut yang kuat pada Isnin lalu di Kepulauan Mentawai dengan kekuatan 7.7 pada skala Richter.

Pihak berkuasa menyatakan beberapa bekalan seperti makanan, selimut dan khemah telah dihantar ke kawasan bencana.

Bagaimanapun, air minuman bersih masih sukar untuk diperoleh dan risiko untuk mendapat penyakit kian tinggi.

Beberapa buah helikopter yang menghantar bekalan kecemasan mendarat di Kepulauan Mentawai semalam.

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono memendekkan lawatan ke Vietnam ekoran bencana tsunami dan Gunung Merapi di Pulau Jawa.

Tinjauan udara yang dibuat di Kepulauan Mentawai yang dilanda tsunami setinggi tiga meter menunjukkan beberapa kawasanditenggelami air.

Dalam tinjauan itu, sejumlah rumah musnah akibat ombak tsunami.

Sebuah rumah kelihatan senget selepas kejadian ombak tsunami itu berlaku.

Kepulauan Mentawai terletak berdekatan dengan pusat gempa bumi itu.

Menurut seorang pegawai bencana, Ade Edward, sebuah pesawat kargo pertama yang membawa 16 tan khemah, bekalan perubatan dan pakaian tiba pada tengah hari semalam.

Empat buah helikopter mendarat di Sikakap, sebuah bandar di Pulau Pagai Utara di Kepulauan Mentawai.

Ade berharap, operasi menyelamat dan mencari akan ditingkatkan.

"Kami mempunyai peluang kini untuk mencari mangsa yang hilang dengan menggunakan pesawat dan meninjau skala kemusnahan," katanya.

Seorang mangsa yang terselamat, Borinte, 32, petani dari Kampung Detumonga di pantai Pagai Utara, berkata, dia terselamat selepas berpaut pada sebatang kayu.

Namun, isteri dan tiga anaknya meninggal dunia.

"Kira-kira 10 minit selepas gempa bumi itu, kami mendengar bunyi yang kuat, bunyi seperti guruh. Kami keluar dari rumah dan melihat ombak datang. Kami cuba berlari ke tempat lebih tinggi tetapi ombak itu lebih pantas daripada kami," katanya.

Beberapa pelancong Australia turut terperangkap dalam bencana itu.

Sebuah bot pelancong dibadai dengan satu tembok air dan mangsa-mangsa yang menaikinya dibawa arus ke dalam hutan tetapi mereka selamat.

Satu lagi kumpulan sembilan peluncur ombak ditemui hidup selepas dilaporkan hilang.

Menurut beberapa pegawai, tsunami itu melanda sejauh 600 meter ke daratan di Pulau Pagai Selatan di Kepulauan Mentawai.

Di Pulau Pagai Utara, sebuah resort dan hampir 200 buah rumah musnah akibat tsunami.

50 peluru berpandu nuklear AS tak berfungsi

Posted: 27 Oct 2010 06:00 PM PDT

WASHINGTON - Satu kerosakan pada komputer telah menyebabkan talian untuk mengaktifkan 50 buah peluru berpandu balistik nuklear antara benua milik tentera Amerika Syarikat (AS) tertutup selama 45 minit pada Sabtu lalu, jelas seorang pegawai Jabatan Pertahanan AS (Pentagon).

Menurutnya, masalah itu berpunca daripada satu perkakasan komputer yang tidak berfungsi.

Pasukan Pemerintah Serangan Global Tentera Udara AS dikatakan memiliki 450 peluru berpandu nuklear di pangkalan-pangkalan tentera di Dakota Utara, Montana dan Wyoming.

Namun, wujud gangguan komunikasi yang menyebabkan tentera udara AS tidak dapat berkomunikasi dengan 50 buah peluru berpandu yang terletak di pangkalan tentera F.E. Warren Air di Wyoming.

Pada Selasa lalu, para penyiasat mendapati insiden sama pernah berlaku di lokasi-lokasi lain sejak lebih sedekad lalu.

"Nampaknya terdapat masalah mekanikal pada satu peralatan khusus. Sebaik sahaja ia berlaku, pemeriksaan keselamatan di setiap tapak peluru berpandu dibuat menerusi kamera video dan secara perseorangan.

"Tidak wujud sebarang kerosakan nyata pada sebarang peralatan. Kami tidak menemui sebarang tanda perbuatan khianat dan ia lebih bersifat mekanikal," jelas pegawai tersebut.

Presiden AS, Barack Obama telah diberi talimat mengenai insiden itu pada Selasa lalu oleh Pengerusi Ketua-ketua Laksamana, Mike Mullen dan Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates.

Misi NASA hantar angkasawan ke Marikh

Posted: 27 Oct 2010 05:59 PM PDT


LAKARAN artis menunjukkan Kapal Angkasa Seratus Tahun yang akan menghantar angkasawan menjajah planet lain.


SAN FRANCISCO - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat (AS) merancang satu misi berani untuk menghantar beberapa angkasawan dalam satu laluan sehala bagi membolehkan mereka tinggal di planet lain buat selama-lamanya, lapor sebuah akhbar semalam.

Idea itu dikenali sebagai Kapal Angkasa Seratus Tahun bagi menghantar angkasawan menjajah planet lain.

Dalam misi itu, beberapa angkasawan bakal dihantar ke planet seperti Marikh dan mereka mengetahui tidak lagi akan pulang semula ke Bumi.

Pengarah Pusat Penyelidikan Ames milik NASA, Pete Worden menyatakan bahawa pihaknya telah menerima pembiayaan sebanyak AS$1.58 juta (RM4.91 juta) untuk memulakan projek terbabit.

Pasukan penyelidik turut menerima wang tambahan sebanyak AS$100,000 (RM310,850) daripada NASA.

"Kami juga berharap dapat meminta beberapa orang bilionair untuk membentuk satu dana dikenali Kapal Angkasa Seratus Tahun.

"Program angkasa lepas sekarang sangat bermatlamat untuk membolehkan manusia tinggal di dunia lain," kata Worden.

Worden juga memberitahu, dia sudah berbincang mengenai kos penerbangan satu hala ke Marikh dengan pengasas bersama enjin carian Google, Larry Page.

Misi tersebut mungkin melibatkan kos AS$10 bilion (RM31 bilion). Dia menyatakan bahawa teknologi-teknologi baru seperti biologi sintetik dan pengubahsuaian genom manusia boleh diteroka dalam misi terbabit.

Worden mendakwa manusia boleh berada di bulan planet Marikh menjelang tahun 2030.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS