Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


'Kami tetap akan bersatu'

Posted: 17 Oct 2010 09:50 PM PDT

pix_middle
HANGAT BERCINTA...hubungan Watie dan Joey jadi tumpuan masyarakat.
HANGAT BERCINTA...hubungan Watie dan Joey jadi tumpuan masyarakat.

SEGALA-GALANYA bermula tanpa dijangka oleh Watie sendiri. Hanya kerana berniat ingin berkongsi perasaan gembira serta mendedahkan hubungan cintanya dengan Joey kepada peminat, mereka kini teruk menjadi sasaran kecaman ramai.

Mengimbas sejenak apa yang berlaku, gosip bertiup kencang sebelum ini mengatakan pasangan ini sedang hangat menyemai benih cinta.

Selepas persoalan demi persoalan, akhirnya Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali, 34, dan Joey atau Zulkifli Daud, 37, tampil membuka mulut kepada pihak media memberitahu hubungan mereka yang bersemi apabila menjalani penggambaran drama Blues Pasar Tani di Muar, Johor, hujung Mac lalu.

"Joey seorang lelaki sangat penyayang dan sentiasa menggembirakan hati saya. Dari situ, kami akrab sebagai teman dan lama-kelamaan hadir rasa serasi dan selesa hingga saya percaya dan membuka ruang di hati untuk menerimanya.

"Joey kelakar dan bijak membuat saya ketawa. Saya ikhlas berkawan dengan dia. Saya menerima untuk mengenalinya dengan lebih rapat selepas mengetahui dia sudah bercerai.

"Apabila lama mengenalinya saya dapati seorang lelaki yang baik dan hairan kenapa dia sering dikaitkan dengan cerita tak elok," katanya menggambarkan kebahagiaan yang sedang dilaluinya kini.

Kisah cinta mereka juga secara tidak langsung melonjakkan populariti pasangan ini apabila mendapat liputan meluas semua media. Apatah lagi tiba-tiba muncul Noraini Nasir, isteri Joey sendiri yang mendakwa Watie menjadi punca keruntuhan rumah tangga mereka.

Semakin panas apabila pelbagai tuduhan dilemparkan oleh Noraini, 44, terhadap Joey dan Watie yang sememangnya sinonim dengan kontroversi.

Namun secara pantas, Joey tampil membela kekasihnya ini apabila meminta isterinya tidak mengaitkan Watie sebagai punca penceraian mereka.

"Hentikan spekulasi dan usah babitkan Watie dalam masalah ini kerana dia tiada kena-mengena langsung.

"Saya melihat tiada gunanya kita mengaibkan mana-mana pihak kerana tindakan itu tiada penghujung dan penyelesaian sebaliknya hanya memberi ruang untuk orang sekeliling menepuk tangan.

"Kenyataan itu bukan saja memalukan pihak saya dan dia, malah tak semena-mena nama Watie pula dikaitkan sedangkan punca itu tak pernah wujud sejak awal lagi. Usah mudah menuding jari dan mencari punca dengan mengaitkan nama Watie dalam masalah ini. Perceraian ini tidak langsung disebabkan soal orang ketiga sebaliknya antara kami sudah tiada persefahaman lagi.

"Saya kecewa dan tertekan kerana nama Watie pula dibabitkan. Hubungan kami memang baik dan keluarga kedua-dua pihak juga merestuinya. Saya tak mahu masalah rumah tangga saya memberikan tekanan kepada orang lain," kata Joey yang berkahwin dengan Noraini pada 4 Mei 2005 dan mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun bernama Zidani Zulkifli.

Seperti mana Joey, Watie juga tidak duduk diam dengan tohmahan yang dilemparkan.

Katanya, dia tidak perlu marah atau melenting kerana sikapnya tidak seperti yang didakwa. Apatah lagi statusnya yang sudah enam tahun bergelar janda memang menjadi sasaran fitnah. Itu semua adalah alasan bagi menuding seseorang menjadi punca kepada sebuah masalah.


"Saya tak terusik atau merasa sedih dengan kata-kata sebegitu kerana perkara sebegini bukan pertama kali dilontarkan.

"Saya sudah lali dan kalis dengan cacian meskipun ada kalanya tuduhan itu melampaui batas. Penat untuk dijelaskan dan saya melihat perkara ini tak perlu diperbesarkan kerana yang akan menjadi mangsa akhirnya adalah saya. Justeru, selagi boleh dielak, saya akan cuba," katanya.

Biar serong mana pandangan orang, pasangan ini tetap dengan impian melihat percintaan mereka akan berakhir di jenjang pelamin.

Namun sekali lagi Watie diuji apabila Noraini bertindak memfailkan pengesahan lafaz cerai dengan Joey di Mahkamah Rendah Syariah Kajang pada 15 Oktober lalu. Seolah-olahnya semua punca ini datangnya dari Watie.

"Seperti saya katakan, saya hanya menjadi mangsa keadaan. Ini hal rumah tangga Joey dan bekas isterinya, biarlah mereka selesaikan elok-elok. Saya tak mahu masuk campur. Apabila Joey beritahu saya yang dia belum failkan kesnya ke mahkamah, saya sendiri menyuruhnya pergi selesaikan elok-elok kerana tak mahu orang kata macam-macam terhadap saya.

"Ternyata nasib saya memang malang kerana akhirnya dituduh jadi punca sedangkan saya baru rapat dengan Joey pada tahun ini.

"Malah, kawan-kawan pun baru sekarang dapat tahu yang saya sedang rapat dengan Joey. Saya seorang yang suka berterus terang dengan semua kawan-kawan apabila bercinta dengan lelaki.

"Saya bukan jenis manusia hipokrit yang suka merahsiakan perkara yang benar dan saya juga tak berani mengaku benda yang tak betul.

"Saya kecewa kenapa masya�rakat selalu pandang serong dan melabelkan saya sebagai perampas suami orang, sedang�kan sepanjang hidup saya, tak terniat pun nak menghancurkan hati wanita lain.

"Ketika perkahwinan sebelum ini, saya sanggup menjadi isteri kedua kerana tidak mahu bekas suami menceraikan isteri pertama dan tak mahu dia jadi mangsa.

"Kenapa masyarakat selalu mengata saya sedangkan bukan saya yang minta semua ini? Tolong jangan pandang saya macam 'syaitan' sangat kerana saya juga manusia yang ada maruah dan bertungkus lumur besarkan anak saya, Ahmad Afif Danial, 6 tahun.

"Di luar, orang nampak saya gembira tapi tak bertanya kesedihan dalam hati saya. Buat apa saya nak bercerita masalah pada orang kerana nanti dikata lain pula.

"Saya minta jangan disamakan saya dengan watak lakonan di TV kerana saya bukanlah perempuan 'gedik.' Saya hairan kenapa pula isterinya nak tuduh saya bukan-bukan.

"Mesti ada masalah sendiri kenapa mereka bercerai. Nasib baiklah ibu bapa saya dah tiada, kalau ada mereka pasti sedih dengar tuduhan ini.

"Tapi saya ada adik-beradik yang bekerja di pejabat dan sedikit sebanyak mereka akan berasa malu. Saya hairan kenapa dia nak tuduh saya? Sepatutnya dia kena terima qada dan qadar Tuhan dan tak boleh tuduh saya yang bukan-bukan.

"Setiap yang berlaku pasti ada kesilapan dari kita sendiri. Janganlah asyik nak tuding jari kepada orang lain. Tolonglah jangan salahkan saya. Saya baik dengan bekas isteri pertama Joey, tapi Noraini lain sikit gayanya. Dia perlu ingat kalau buat dosa dengan Allah, mung�kin kita akan diampunkan, tapi kalau buat dosa sesama manusia, susah jadinya kalau tak diampunkan orang itu," tambah Watie.

Watie yang ketika ini sibuk dengan penggambaran drama bersiri Dia Bukan Mariam arahan Erma Fatimah berkata, dia bersyukur kerana rezekinya tetap ada dalam seni. Namun dia terkilan kerana kehilangan satu 'job' sebagai duta produk yang terpaksa ditarik balik apabila isu tuduhan sebagai perampas hangat diperkatakan.

Mengulas mengenai jodohnya dengan Joey, Watie berkata dia menyerahkan perkara ini kepada takdir dan boleh menerima dengan tenang apa saja yang bakal berlaku.

"Apabila kenal Joey, saya dapati dia seorang lelaki yang baik. Kalau boleh saya merancang untuk berkahwin dengannya dalam tahun ini juga. Apapun biarlah dia selesaikan dulu masalahnya dengan Noraini secara baik. Kalau ada jodoh, kami kahwin dan kalau tiada pun saya terima ketentuan Allah dengan hati terbuka," katanya.


PROFIL
NAMA PENUH: Norwati Sadali
NAMA KOMERSIAL: Hanna@Watie
TARIKH LAHIR: 21 April 1976
TEMPAT LAHIR: Grik, Perak
ASAL: Sungai Besar, Selangor
KELUARGA: Anak keempat daripada lima beradik
STATUS: Ibu tunggal seorang anak
KERJAYA: Penyanyi, pelakon dan penari
ALBUM: Catwalk, Tamparan dan Idola (bersama Elite)
TEATER: Si Tanggang, Mak Yong, Tun Fatimah dan Taming Sari.
DRAMA: Astana Idaman 2, Haryati 1 & 2, Jendela Hati Yang Terbuka, Rama-Rama Yang Terkopak Sayapnya, Biar Rindu Berbisik, Lara Maisara, Inai Malam Pengantin, Gelora Di Hati Sara, Iris dan Rozana dan Rahsia Hati.

Terbayang maut ditikam perompak

Posted: 17 Oct 2010 09:38 PM PDT

BERLUBANG...Noraini menunjukkan tingkap rumahnya yang diumpil perompak, semalam.
BERLUBANG...Noraini menunjukkan tingkap rumahnya yang diumpil perompak, semalam.
DISELONGKAR...kabinet televisyen diselongkar perompak terbabit.
DISELONGKAR...kabinet televisyen diselongkar perompak terbabit.

KUANTAN: "Ketika perompak itu berdiri di hujung katil, saya hanya terbayang akan ditikam, mati atau dirogol," kata Nurul Asmidah Takuki, 20, menceritakan saat mencemaskan apabila rumahnya di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di Balok Pine, di sini, dimasuki lima perompak, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, seorang daripada lima perompak terbabit dipercayai warga Indonesia yang bersenjatakan sebilah pisau mengopak pintu belakang rumah mangsa sebelum masuk ke satu daripada bilik dalam rumah berkenaan.


Nurul Asmidah berkata, sebelum kejadian, dia tidur lena dalam bilik sebelum terjaga dan terlihat kelibat mencurigakan berdiri di hujung katil.


Menurutnya, sebaik membuka mata, perompak terbabit yang tidak bertopeng menunjukkan pisau sambil memberi isyarat memintanya mendiamkan diri.


Bagaimanapun, katanya, disebabkan ketakutan melihat wajah bengis perompak terbabit, dia menjerit memanggil ibunya, Noraini Aziz, 44, yang tidur bersama dua lagi adiknya berusia 11 dan 17 tahun di bilik bersebelahan.


"Perompak itu yang terkejut selepas mendengar suara ibu yang menjawab jeritan saya melarikan diri melalui pintu belakang.


"Selepas membuat pemeriksaan, saya mendapati tiga telefon bimbit bersama wang tunai RM20 dan dokumen penting hilang dipercayai dilarikan perompak terbabit mengakibatkan jumlah kerugian semuanya kira-kira RM400," katanya di sini, semalam.


Menurutnya, dia tidak pasti bilangan sebenar perompak terbabit dan kenderaan yang dinaiki, tetapi yang jelas hanya seorang masuk ke dalam bilik tidurnya tanpa menutup muka sebelum lintang-pukang melarikan diri ketika ibunya datang ke biliknya.


Nurul Asmidah berkata, dia juga tidak pasti sama ada lima perompak yang ditembak mati polis berhampiran bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Indera Mahkota, di sini, pagi semalam mempunyai kaitan dengan kejadian samun di rumahnya.


Bagaimanapun, katanya, seorang pegawai polis datang ke rumahnya dengan menunjukkan gambar seorang daripada perompak terbabit dan dia mendapati wajahnya sama dengan perompak yang masuk ke bilik tidurnya.


"Saya mendapati pintu belakang dikopak perompak terbabit selain hanya memikirkan soal mati atau dirogol ketika berdepan perompak terbabit," kata anak kedua daripada empat beradik.

Bagaimanapun, dia bersyukur tidak dicederakan perompak terbabit sebelum membuat laporan di Balai Polis Beserah, di sini, kira-kira jam 4 pagi semalam.


Sementara itu, difahamkan kira-kira jam 3 pagi selepas menyamun rumah berkenaan, kelima-lima penyamun dipercayai warga Indonesia itu ditembak mati polis selepas dikejar kira-kira 10 kilometer dari rumah mangsa.

Usah salah faham

Posted: 17 Oct 2010 09:37 PM PDT

TAHNIAH...Shabery menyambut kepulangan bintang badminton negara, Datuk Lee Chong Wei di KLIA, Jumaat lalu.
TAHNIAH...Shabery menyambut kepulangan bintang badminton negara, Datuk Lee Chong Wei di KLIA, Jumaat lalu.

DESAS-DESUS mengenai jumlah sebenar ganjaran diberikan kepada atlit yang berjaya mengharumkan nama negara dengan membawa pulang pingat emas, perak dan gangsa Sukan Komanwel New Delhi terjawab apabila bakal memperolehi habuan masing-masing dalam tempoh terdekat.

Bukan itu sahaja, atlet negara yang berjaya membawa pulang 12 emas, 10 perak serta 14 gangsa akan menerima habuan atas kecemerlangan dipamerkan di bangunan Parlimen.


Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata atlit yang meraih emas akan menerima habuan RM80,000, perak (RM40,000) dan gangsa (RM20,000) membabitkan peruntukan dikeluarkan untuk imbuhan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Atlit Kebangsaan (SHAKAM) Majlis Sukan Negara berjumlah RM2.3 juta.


"Semua atlet akan menerima habuan wang tunai tanpa sesenpun pemotongan dan tidak timbul masalah sumber kewangan mencukupi atau sebaliknya.


"Kabinet sudah bersetuju dan sebagai penghargaan kerajaan atas kecemerlangan dipamerkan atlet, kita memilih bangunan Parlimen sebagai lokasi untuk majlis penyampaian habuan," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian penutup Konvesyen Terengganu 2010, di Kuala Terengganu, kelmarin.


Beliau juga mengakui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetap akan membuat kajian mengenai pemberian ganjaran kepada atlet yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa pada masa akan datang, tetapi tidak timbul masalah kerajaan kekurangan peruntukan.


"Jangan timbul soal sama ada kita mampu atau tidak...termasuk mengurangkan jumlah ganjaran. Apa yang kita maksudkan ialah skim itu sudah lama tidak dibuat kajian dan berkemungkinan ganjaran akan ditambah, termasuk menawarkan insentif dalam bentuk barangan.


"Apa yang saya maksud ialah untuk mengkaji semula jumlah tambahan ganjaran tanpa mengambil kira soal kemampuan kewangan kerana KBS akan berusaha untuk mendapatkan sumbangan pihak swasta bagi menambah dana untuk tabung itu.


"Kajian termasuk memberi anugerah dalam bentuk lain mengikut kesesuaian seperti ditawarkan kerajaan di beberapa negara lain turut diambil kira, tetapi jangan sekali-kali timbulkan soal pengurangan ganjaran," katanya.


Ahmad Shabery berkata, KBS sedar jika dikurangkan jumlah ganjaran, semangat atlet terutamanya untuk bersaing pada Sukan Asia Guangzhou pada 12 November depan mungkin terjejas.


"Jika kita kurangkan ganjaran, jumlah yang akan diterima atlet hanyalah 70 peratus kerana 20 peratus akan diagihkan kepada jurulatih, manakala 10 peratus lagi untuk persatuan yang diwakili atlet," katanya yang mengakui jumlah ganjaran ditawarkan atlet lebih tinggi jika dibandingkan dengan beberapa negara termasuk Australia.

KD, Raul boleh kahwin selepas 21 Disember

Posted: 17 Oct 2010 09:36 PM PDT

RAUL dan KD.
RAUL dan KD.

SECHAH Salem Sag�ram alias Silvalay Noor Athalia atau lebih dikenali de�ngan nama singkatnya, Ata, tidak sabar untuk bercerai dengan suaminya, Raul Lemos, yang juga kekasih penyanyi Krisdayanti atau KD.

Dalam kenyataannya kepada media minggu lalu, Ata juga menolak dakwaan kononnya dia sengaja melengah-lengahkan percerai�annya dengan Raul kerana mahu menghalang perkahwinan lelaki itu de�ngan selebriti terkenal Indonesia berkenaan.

"Ramai yang mendakwa saya menjadi penghalang perkahwinan Raul dengan KD. Saya dituduh menjadi punca proses perceraian itu lambat. Mereka menuduh, kerana saya, perkahwinan Raul yang dirancang sejak Februari lalu hingga bulan ini masih tidak dapat dilaksanakan," kata Ata kepada wartawan Rabu lalu.

Ibu anak empat itu menjelaskan bahawa proses perceraiannya dengan Raul berjalan normal.

"Bukan saya melengah-lengahkannya. Memang proses perceraian di Timor Leste berbeza dengan di Indonesia.

"Di sana, pasangan suami isteri diberi tempoh enam bulan dari tarikh permohonan cerai dikemukakan untuk membolehkan mereka mencari jalan damai," katanya.

Perbicaraan mengenai perceraian mereka mula�nya ditetapkan pada 6 Ogos sebelum ditunda pada 6 September 2010.

Menurut Ata, setakat ini, dia dan Raul sudah dua kali menghadiri perbi�caraan dan keputusannya akan diumumkan 21 Disember ini.

"Sudah jelas pada tarikh itu kami akan cerai. Dan terserah kepada mereka untuk memilih tarikh untuk berkahwin selepas tarikh berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, kerana masih belum bercerai, Raul, ahli perniagaan berasal dari Timor Leste, masih belum mendapat restu daripada keluarga KD untuk melangsungkan perkahwinan de�ngan penyanyi itu, yang juga bekas isteri pencipta lagu, Anang Hermansyah.

"Yang penting di sini bukan kata sepakat antara KD dan Raul, tetapi persetujuan antara Raul dengan keluarga KD," kata peguam yang juga sahabat karib penyanyi itu, Elsie Lontoh.

Katanya, keluarga KD hanya akan menentukan pendirian mereka apabila Raul secara rasmi bercerai dengan Ata.

"Mereka hanya akan berbicara mengenainya apabila ada surat cerai. Mereka enggan bercakap kosong saja. Semuanya bergantung kepada status Raul secara rasmi," kata Elsie.

Menurutnya, kerana masalah itu, KD dan Raul tidak mungkin berkahwin tahun ini.
"Tidak mungkin tahun ini. Mereka mungkin memerlukan setahun untuk membuat persiapan seperti katering dan undangan. KD tidak mahu perkahwinannya diadakan secara tertutup," kata Elsie.

Dia enggan mengesahkan laporan kononnya majlis itu akan berlangsung Februari 2011 tetapi mengiakan bahawa KD sudah memesan gaun untuk majlis kahwinnya.
"Gaun itu akan dipakai KD pada hari perkahwinannya. Ia berbeza dengan gaun ketika KD melangsungkan perkahwinannya dengan Anang.

"Perkahwinan KD, dari gaun, pesta dan makanan yang akan disajikan akan berkonsepkan antarabangsa. KD, ketika bernikah dengan Anang sudah memakai cara tradisional," kata Elsie.

Program B5 diterima baik

Posted: 17 Oct 2010 09:35 PM PDT

BRISCOE...puji
BRISCOE...puji

LANGKAH kerajaan melanjutkan Taraf Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan bagi aktiviti penjanaan tenaga daripada sumber boleh diperbaharui dan penjimatan tenaga sehingga 31 Disember 2015, disambut baik kalangan industri.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2011 Jumaat lalu berkata, kerajaan komited memajukan teknologi hijau bagi menjamin kelestarian pembangunan negara.


"Dalam hal ini kerajaan terus menyediakan beberapa insentif termasuk pengecualian duti import dan cukai jalan ke atas peralatan penjanaan tenaga daripada sumber yang boleh diperbaharui dan penjimatan tenaga dilanjutkan sehingga 31 Disember 2012.


Beliau berkata, pengecualian cukai bagi pendapatan daripada perdagangan sijil Certified Emission Reduction Certificates dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2012.


"Pengecualian duti import sepenuhnya dan duti eksais 50 peratus diberi kepada pemegang francais kereta hibrid sehingga 31 Disember tahun ini. Bagi menggalakkan pemilikan kereta hibrid, pengecualian duti import dan duti eksais dilanjutkan sehingga 31 Disember, 2011," katanya.


Sehubungan itu Najib mencadangkan pelaksanaan Program Campuran Minyak Bio dengan Minyak Diesel (Program B5) bermula Jun tahun depan dengan pelaksanaan secara mandatori bermula di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.


Langkah itu disambut baik syarikat automotif terkemuka, BMW yang memuji fokus kerajaan pada pembangunan teknologi terbabit.


Pengarah Urusan, BMW Group Malaysia, Geoffrey Briscoe berharap kerajaan memberikan butiran lengkap mengenai rancangan memperkenalkan B5 iaitu campuran minyak bio dengan Program Diesel Petroleum sebelum menjadikannya wajib pada Jun 2011. "Biodiesel dalam bentuk Palm Methyl Ester (PME) digunakan sebagai alternatif bahan bakar bersih di beberapa negara dicampur dalam jumlah kecil," katanya.

Syiling kahwin William, Kate

Posted: 17 Oct 2010 09:33 PM PDT

SAMPAI MASA...hubungan William dan Kate sejak sembilan tahun lalu dijangka diteruskan sebagai suami isteri tidak lama lagi.
SAMPAI MASA...hubungan William dan Kate sejak sembilan tahun lalu dijangka diteruskan sebagai suami isteri tidak lama lagi.
CONTOH...gambaran artis mengenai bentuk syiling khas itu.
CONTOH...gambaran artis mengenai bentuk syiling khas itu.

LONDON: Agensi yang bertanggungjawab menghasilkan syiling Britain, The Royal Mint, kini dilaporkan bersedia menghasilkan wang kenang-kenangan bagi meraikan perkahwinan pewaris takhta negara itu, Putera William dengan kekasihnya, Kate Middleton.

Pendedahan itu sekali gus menguatkan spekulasi bahawa pasangan itu akan mengumumkan pertunangan mereka tidak lama lagi.


Menurut sumber, acuan syiling berkenaan - langkah pertama bagi menghasilkan wang kenang-kenangan itu - sudah disiapkan.


Disebabkan proses itu dibuat secara rahsia, semua kakitangan The Royal Mint yang terletak di Llantrisant diharamkan bercakap mengenainya.


Di sebalik larangan itu, ada sumber mengesahkan reka bentuk awal syiling berkenaan kini siap untuk diproses.


"Saya nampak sendiri contoh acuan itu yang akan digunakan pada bila-bila masa.


"The Royal Mint hanya menunggu arahan untuk memulakan proses menghasilkan syiling itu," katanya.


Sementara itu, cubaan media bertanya kepada pegawai The Royal Mint tidak mendapat sebarang pengesahan.


Sebaliknya, mereka hanya berkata, seperti bisnes lain, mereka sentiasa merancang pengeluaran masa depan 'sesuai dengan potensi komersial'.


Sumber istana pula mendakwa, mereka tidak tahu-menahu mengenai rancangan The Royal Mint.


Jika William memang akan melamar Kate, dia perlu mendapatkan kebenaran Ratu Elizabeth terlebih dulu dan persetujuan itu akan dimaklumkan kepada kerajaan untuk pengumuman rasmi.

Walaupun pejabat media istana enggan membuat sebarang spekulasi mengenai pertunangan itu, seorang pegawai kanannya seolah-olah memberi pengesahan.


Katanya, tiada siapa tahu mengenai tarikh pertunangan itu kecuali William dan Kate sendiri.


"Kami tidak menjangkakan ia dimaklumkan sehinggalah pada saat akhir.


"William memang suka berahsia," katanya.

Oktober bulan merah jambu

Posted: 17 Oct 2010 09:31 PM PDT

BERGAMBAR...Rohani (tengah) bersama Winnie (lima dari kanan) serta Choo bergambar bersama tetamu jemputan dan selebriti yang menjayakan majlis mengumpul dana Pink Oktober.
BERGAMBAR...Rohani (tengah) bersama Winnie (lima dari kanan) serta Choo bergambar bersama tetamu jemputan dan selebriti yang menjayakan majlis mengumpul dana Pink Oktober.

SETIAP wanita harus memeriksa payudara pada setiap bulan setiap kali selepas haid bermula pada hari ketujuh bagi memastikan payudara dalam keadaan normal serta mengesan tiada benjolan berbahaya pada payudara mereka.

Walaupun barah payudara berlaku pada usia 30 tahun ke atas, pemeriksaan awal terutama selepas haid pertama pada setiap bulan memungkinkan wanita terbi�asa dengan perubahan yang ada pada payudara mereka, seterusnya mendapatkan rawatan segera.

Menurut Presiden Pertubuhan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), Ranjit Kaur, barah payudara tidak boleh dicegah, namun pengesanan awal membolehkan penghidap mampu menjalani kehidupan lebih panjang serta berkualiti.

"Wanita harus prihatin pada perubahan yang berlaku pada payudara mereka. Ibarat sebiji jerawat yang tumbuh pada kulit muka, wajah akan dibelek setiap hari, jerawat akan dipicit, begitu juga dengan payudara.

"Sentuh, pegang serta rasai perubahan pada payudara setiap hari bermula pada usia remaja sehingga apabila usia anda mencecah 30 tahun, perubahan yang tidak normal akan mudah dikesan, seterusnya segera mendapatkan rawatan," katanya.

Tambah Ranjit, apabila wanita meningkat usia 30 tahun mereka harus berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan secara klinikal. Ini kerana pemeriksaan secara terperinci akan dilakukan bagi mengesan sekiranya terdapat sebarang perubahan pada payudara.

Apabila usia meningkat 40 tahun, wanita harus menjalani rawatan mamogram pada setiap tahun bagi mengesan sekiranya terdapat sel barah. Rawatan mamogram mampu mengesan sel barah dua tahun lebih awal sebelum merebak.

"Mamogram adalah ujian untuk mengesan perubahan pada tisu payudara dengan menggunakan mesin pengimbas khas. Ini dilakukan dengan menekan payudara
di antara dua kepingan logam.

"Walaupun akan menyebab�kan ketidakselesaan dan kesakitan, ia hanya untuk beberapa ketika. Rawatan mamogram boleh mengukur saiz dan penyebaran barah pada payudara serta mengesan barah pada payudara sebelah lagi.

"Sekiranya sel barah masih terlalu kecil dan berada pada peringkat pertama, rawatan segera membantu mengelak sel merebak.

"Malangnya 30 peratus hingga 60 peratus pesakit yang datang ke hospital sudah berada pada tahap kritikal iaitu tahap tiga dan empat serta tidak mempunyai harapan untuk sembuh," katanya.

Ranjit menjelaskan, rawatan kepada penghidap barah bergantung kepada jenis dan tahap keterukan barah. Sekiranya wanita didiagnosa menghidap barah payudara, mereka perlu mendapatkan khidmat kaunseling terlebih dulu sebelum menjalani rawatan.

"Kajian menunjukkan kaunseling, sokongan dan maklumat mengenai penyakit dan rawatan yang dijalankan akan membantu memulihkan pesakit serta mengurangkan masalah yang ditanggung pesakit sama ada dari segi fizikal dan emosi," jelasnya.

Antara rawatan yang dijalankan adalah pembedahan sama ada membuang atau tanpa membuang payudara, pembentukan semula payudara, radioterapi, kemoterapi dan terapi hormon yang semuanya mempunyai kesan berbeza bergantung kepada tahap keterukan kanser.

Walaupun pelbagai program diadakan mengenai bahaya barah payudara, ramai wanita masih tidak mahu melakukan pengesanan awal sehinggakan barah ini menjadi pembunuh utama wanita berbanding penyakit lain.

Menurut Daftar Barah Kebangsaan (NCR), sejak dua tahun lalu, sekurang-kurangnya 70,000 kes barah baru dilaporkan dan barah payudara adalah ancaman paling besar.

"Kadar kematian yang tinggi dan meningkat setiap tahun tidak seharusnya berlaku. Walaupun barah payudara tidak boleh dicegah, pengesanan awal mampu memberi peluang kepada pesakit untuk hidup lebih lama. Sekurang-kurangnya mereka mempunyai banyak masa bersama keluarga serta menjalani kehidupan lebih bermakna," katanya.

Menurut Ranjit, setiap tahun BCWA mengadakan pelbagai kempen, bengkel serta pameran di pusat beli-belah mengenai bahaya barah serta meminta sukarelawan menunjukkan cara menjalankan pemeriksaan payudara sendiri.

Bulan Oktober setiap tahun dipilih sebagai bulan barah payudara sedunia bagi memberi kesedaran kepada wanita mengenai bahaya penyakit ini.

Tambahnya, dia sangat berbesar hati apabila ada syarikat korporat seperti Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad menjadi penaja kempen unik Pink Oktober anjuran Gleneagles Kuala Lumpur bagi mengumpul dana RM75,000 untuk disalurkan kepada BCWA.

Menerusi kempen ini, orang ramai boleh memberikan sumbangan dengan membeli beg Pink Couture rekaan pereka fesyen Bill Keith yang diperbuat daripada kanvas serta boleh dikitar semula bernilai RM25.

Turut hadir pada majlis berkenaan, pereka kasut tersohor, Profesor Datuk Jimmy Choo yang berkongsi cerita mengenai ketabahan ibunya yang menghidap barah �payudara yang berjaya dikesan sejak peringkat pertama.

Menurut Choo, ibunya sangat mementingkan kesihatan dan sering menjalani rawatan kesihatan di hospital sebelum dikesan menghidap barah.

"Keterbukaan wanita serta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan mengenai penyakit yang mereka hadapi memungkinkan penyakit barah payudara mampu dikesan lebih awal sebelum merebak ke tahap lebih kritikal.

"Sebagai contoh, ibu saya menghidap barah payudara, namun dia menerima dengan tabah serta menghadapi hari-hari mendatang dengan gembira. Ini kerana kegembiraan serta ketenangan membuatkan kehidupannya lebih berkualiti dan bermakna.

"Tambahan pula, apabila seluruh keluarga memberi sokongan kepadanya sama ada dalam bentuk mental dan fizikal sehingga dia mampu menjalani kehidupan yang sangat baik sepanjang 15 tahun sebagai penghidap barah," katanya.

Menurutnya, setiap wanita harus mempunyai kesedaran, pengetahuan serta tanggungjawab kepada diri sendiri dengan menjalani pemeriksaan awal barah payudara.

Walaupun mereka tidak menghidapnya atau masih berada pada peringkat awal, pemeriksaan harus dilakukan terutama bagi wanita yang sudah meningkat usia 40 tahun, lakukan pemeriksaan pada setiap tahun.

Selain itu, orang ramai harus memberi sokongan kepada pesakit barah tidak kira dalam bentuk apa sekalipun. Sokongan moral dan emosi mampu menghalang sel daripada merebak lebih cepat di samping rawatan kesihatan di hospital.

"Seperti yang dilakukan pada hari ini, walaupun hanya membeli sebuah beg bernilai RM25, anda mampu membantu mereka yang memerlukan. Malah, perkataan dan lambang pada beg walaupun hanya reben berwarna merah jambu, mesej yang ingin �disampaikan sangat besar iaitu 'fikirkan mengenai �kesihatan'," katanya.

Selain Choo, turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim; pemilik Pusat Mutiara Rafflesia, Winnie Sin serta perunding bedah barah payudara Gleneagles Kuala Lumpur, Datuk Dr Suseela Nair serta selebriti tanah air.

Orang ramai boleh membeli beg Pink Couture berharga RM25 di Gleneagles Kuala Lumpur serta Menara Great Eastern.

Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti yang diadakan Gleneagles Kuala Lumpur sempena bulan Pink Oktober, anda boleh melayari laman sesawang www.gleneagles.com.my.


Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP)

Periksa payudara anda pada hari ketujuh hingga ke-10 ketika haid. Terdapat tiga kaedah PSP yang dilakukan iaitu:

Kaedah 1

Periksa payudara ketika berbaring dengan meninggikan bahu kanan menggunakan bantal atau tuala.

Tekan payudara sebelah kanan menggunakan tangan kiri dengan pergerakan membulat dan rasakan sebarang ketumbuhan atau penebalan kulit.

Picit puting dan kawasan di sekelilingnya perlahan-lahan dan periksa untuk memastikan kewujudan cecair jernih atau berdarah.

Ulangi langkah yang sama pada payudara sebelah kiri.

Kaedah 2

Berdiri di hadapan cermin untuk memeriksa payudara.

Periksa payudara ketika berdiri tegak, tangan diangkat ke atas dan kemudian memeriksa payudara dengan tangan di pinggang.

Perhatikan sebarang perubahan dari segi saiz, bentuk, kehadiran lekukan atau sebarang perubahan dari segi rupa bentuk dan kedudukan puting. Pastikan anda memeriksa kedua-dua payu dara.

Kaedah 3

Dengan kaedah ini anda boleh melakukan PSP ketika mandi iaitu apabila kulit anda basah dan bersabun.

Pastikan jari tangan kiri anda rata dan lakukan pada payudara kanan dengan tangan kanan diangkat ke atas. Ulangi kaedah yang sama untuk payudara sebelah kanan.

Watie Tenang Hadapi Masalah Bertimpa

Posted: 17 Oct 2010 09:28 PM PDT

PETALING JAYA: Pelakon Watie (Elite) menghadapi kehidupannya dengan tenang walaupun ditimpa pelbagai masalah termasuklah dikatakan menjadi perampas suami orang.

Lebih parah lagi, dia turut menerima padah apabila tawarannya sebagai duta produk kecantikan di sebuah syarikat turut dibatalkan akibat masalah itu.

Bagaimanapun Watie dapat menghadapi masalah itu dengan tenang dan berpendapat hanya Tuhan sahaja yang memahami perasaannya itu.

"Secara luaran memang nampak tenang tetapi dalam hati Tuhan sahaja yang tahu. Kalau saya tunjuk rasa sedih nanti, orang akan ketawakan saya atau menganggap saya cuba meraih simpati.

"Bagaimanapun, saya berharap kebenaran akan timbul suatu hari nanti," katanya yang sedang menjalani penggambaran drama 26 episod Dia Bukan Mariam arahan Erma Fatima untuk TV9.

Bagaikan sudah memahami corak 'politik' dalam industri hiburan tempatan, Watie menganggap sesuatu kontroversi yang melanda seseorang artis atau selebriti itu pasti memberikan kesan buruk atau sebaliknya.

Bukan berniat hendak memalukan syarikat produk kecantikan yang membatalkan tawaran sebagai duta produk tersebut, sebaliknya Watie seakan geli hati apabila mendengar alasan yang diberikan apabila mengaitkan pembatalan itu disebabkan kontroversi melibatkan rumah tangga aktor Joey itu.

"Mungkin tiada rezeki saya dengan syarikat itu atau ada hikmah lain selepas ini. Pengajarannya, saya rasa susah juga untuk hidup sebagai artis kerana walaupun saya berjalan dengan lurus, orang tetap akan kata saya sebaliknya.

"Bagaimanapun, saya tetap akan meneruskan hidup ini dengan sabar," ujarnya.

Mengikut perbincangan yang dilakukan sebelum bulan Ramadan lalu, dia sepatutnya dilantik sebagai duta untuk produk baru keluaran syarikat tersebut selepas Hari Raya Aidilfitri lalu.

Bagaimanapun setelah tiada panggilan daripada wakil syarikat itu, Watie terus mendapatkan kepastian sama ada mereka mahu melantiknya sebagai duta atau tidak. Namun, segalanya hampa apabila dia menerima jawapan yang menyedihkan.

"Masa itu (bercakap menerusi telefon) saya berada dalam kereta. Apabila mendengar jawapan (batal menjadi duta), hati saya berasa sedih dan air mata terus mengalir walaupun dalam masa yang sama saya masih boleh tersenyum," ujarnya lagi.

Mengenai bhubungannya dengan Joey atau Zulkifli Daud, 37, Watie berkata, jika ada jodoh dengan penyanyi Beradu Suratan itu, mereka akan diijabkabulkan selepas selesai kes penceraian Joey dan isterinya, Noraini Nasir.

Noraini telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Jumaat lalu.

Permohonan itu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 kerana mendakwa Joey telah melafazkan cerai di luar mahkamah pada Jun lalu.

Rosyam Nor Jangka "Trilogi Cinta" Bakal Popular

Posted: 17 Oct 2010 09:27 PM PDT

Rosyam dan Fouziah ketika menjalani penggambaran drama Trilogi Cinta.

PETALING JAYA: Produser dan pelakon Rosyam Nor menjangkakan drama Trilogi Cinta yang akan disiarkan menerusi RTM1 pada November ini akan popular berdasarkan novel-vovel popular karya Sharifah Abu Salem.

Drama itu adalah hasil rangkuman tiga buah novel karya penulis berkenaan iaitu Tak Seindah Mimpi, Tak Semanis Impian dan Tiada Lagi Mimpi yang mendapat sambutan ramai.

"Saya menjangkakan peminat novel-novel itu pasti akan menunggu untuk melihat karya berkenaan yang telah dihasilkan dalam bentuk drama. Tapi saya ingin ingatkan, kisah dalam drama ini tidak diambil seratus peratus seperti karya dalam novel tersebut," katanya.

Fouziah melakonkan watak orang gaji bernama Norjinah.

Menurut Rosyam, dia dan Sharifah merombak drama ini agar bersesuaian dengan tema cerita tetapi tidak banyak bezanya dengan kisah dalam novel-novel berkenaan.

Ini kerana katanya jika mereka mengikut kesemua jalan cerita dalam novel itu, ia akan melibatkan kos penggambaran yang tinggi.

"Misalnya, kami tidak dapat mewujudkan i watak Razif yang digambarkan sangat kaya dan mempunyai pejabat di KLCC. Tetapi kami hanya mampu menunjukkan kekayaan itu menerusi rumah. Boleh dikatakan dalam 80 hingga 90 peratus skrip Trilogi Cinta mengikut novel tersebut," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Mengikut jadual, drama itu akan disiarkan setiap dua episod seminggu di mana setiap episod mengambil masa selama 1 jam.

Razif lakonan Rosyam ketika melihat kecurangan isterinya, Salmi lakonan Amyza.

Selain Rosyam Nor, drama itu turut melibatkan pelakon lain antaranya Fouziah Gous, Amyza Aznan, Siti Fazurina, Aida Khalida, Raisuddin Hamzah dan Roslan Salleh.

Maureen Santiago Muncul Kembali Selepas 12 Tahun

Posted: 17 Oct 2010 09:26 PM PDT

Maureen Santiago melakar nama di Amerika Syarikat menerusi tiga lagunya iaitu Save The Memories, Believe In Yourself dan When You Look At My Face.

PETALING JAYA: Penyanyi popular 80-an, Maureen Santiago, 46, muncul kembali dalam industri hiburan tempatan selepas 12 tahun menetap di Amerika Syarikat (AS).

Maureen berkahwin dengan warga Minneapolis, Minnesota, Kanada iaitu Gregg Cherne, 45, seorang arkitek komputer yang bekerja di sana dan dikurniakan seorang anak lelaki, Devan, 11.

Finalis Bintang RTM tahun 1980 ini kini bukan sahaja membawa pulang buah tangan dari AS berupa lagu-lagu terbarunya, malah dia juga merancang untuk membuat persembahan di ibu kota.

Menurut Maureen, selepas dia meninggalkan Malaysia pada tahun 1998, tidak bermakna dia melupakan terus dunia muzik dan nyanyian yang bagaikan sudah sebati dalam dirinya.

Tiga buah lagu Inggeris berjudul Save The Memories, Believe In Yourself dan When You Look At My Face itu mendapat sentuhan komposer dan penerbit lagu dari Amerika Syarikat iaitu Kazual, Craig Damon termasuk dirinya sendiri.

Lagu-lagu yang dirakamkan di Los Angeles, Amerika Syarikat pada Ogos 2009 tersebut boleh dimuat turun menerusi laman web iTunes.

"Saya masih mahu menyanyi dan terus menyanyi kerana mendapat sokongan daripada ramai peminat yang berhubung dengan saya menerusi laman web Facebook.

"Mereka sering bertanya kepada saya tentang kemunculan semula saya di Malaysia selepas menetap di Amerika Syarikat.

"Atas dorongan peminat, keluarga dan suami supaya saya kembali dalam industri seni tanah air dengan membawakan lagu-lagu terbaru saya," kata Maureen dalam satu temubual di Menara Star, di sini, Ahad.

Kepulangannya ke Malaysia selama tiga bulan mulai 30 September lalu hingga 26 Disember ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk diisi dengan temubual bersama media tempatan dan memenuhi persembahan jemputan.

Alang-alang membuat kemunculan semula, pemenang anugerah Best Overall Female Act of Asia di Avima Awards 2010 menerusi lagu Believe In Yourself ini merancang untuk merakam sebuah lagu Melayu pada bulan November ini.

"Saya gemar karya komposer baru seperti Helen Yap dan komposer veteran seperti Fauzi Marzuki, Manan Ngah dan Ross Ariffin.

"Saya belum pasti genre yang bagaimana tetapi kalau boleh saya mahukan genre yang seimbang supaya sesuai untuk generasi muda dan tua.

"Saya ada juga membuat lagu baru berentak rancak berjudul Your Love yang dicipta oleh penerbit lagu Jayan McQuay di Seattle, AS. Saya akan nyanyikan lagu ini dalam persembahan di sini (Malaysia) pada November ini sebelum ia diterbitkan di sana (AS)," ujarnya.

Setakat ini, dia merancang untuk membuat persembahan di Celebrity Club, Bukit Kiara selama dua jam dengan menyanyikan kurang daripada 20 buah lagu dengan iringan band The Signature yang diketuai oleh pengarah muzik Aylwin Santiago.

Wanita kelahiran Ipoh, Perak ini juga mahu menyanyikan lagu lamanya berjudul Aku Sayang Kau Pun Sayang. Jika ada peluang, Maureen mahu merakamkan semula lagu tersebut dengan sentuhan rentak baru.

Bagi peminat yang mahu menghubungi Maureen, boleh menghantar emel kepadanya menerusi emailme@maureensantiago.com atau layari www.maureensantiago.com.

Hati Farahdhiya Sudah Terkunci

Posted: 17 Oct 2010 09:25 PM PDT

MELIHAT raut wajah gadis berketurunan Melayu-Inggeris ini, ramai yang percaya bahawa watak yang dilakonkan sebagai penggoda adalah gambaran dirinya yang sebenar. Tapi hakikatnya diri wanita bernama Farahdhiya Mohd Amin (gambar) ini tidaklah seperti itu.

Wanita berusia 26 tahun ini mengakui sudah muak dilabel sebagai perempuan jahat tetapi sesekali dia mahu diuji dengan watak-watak lain yang lebih melambangkan sudut sebenar dirinya.

Keinginan itu mendatangkan hasil apabila Farah ditawarkan untuk melakonkan peranan sebagai wanita bertudung bernama Saadatul Saadiah dalam drama terbaru berjudul Chinta terbitan TV3.

"Saya sudah biasa diberi watak-watak antagonis sehinggakan saya merasakan sudah terlalu pakar untuk melakonkan watak-watak begitu. Ya lah... bila kita sering buat kerja yang sama, sudah tentu perkara tersebut jadi mudah.

"Namun bila pertama kali ditawarkan watak perempuan baik dan bertudung dalam drama Chinta ini saya betul-betul gembira. Pada mulanya saya fikir ia pasti mudah, tapi hakikatnya ia adalah cabaran kepada saya untuk menukar persepsi yang sudah lama tertanam di minda penonton," katanya.

Sering kali mendengar pujian dalam lakonannya sebagai wanita jahat, kali ini Farah ingin membuktikan kepada penonton bahawa dia juga mampu membawa peranan baik.

Namun dia berdebar dan tidak sabar menanti reaksi penonton terhadap lakonannya yang dijangka akan keluar pada minggu hadapan.

"Saya harap watak ini berjaya seimbangkan persepsi masyarakat pada saya. Saya mahu mereka kenali saya sebagai seorang yang boleh melakonkan pelbagai watak.

Kepercayaan pengarah juga penting kerana ini kali pertama mereka berani beri watak baik kepada saya, jadi saya tidak mahu dianggap gagal," ujarnya.

Wanita konservatif

Tidak adil rasanya menilai wanita ini dari kaca televisyen semata-mata tetapi dari sudut luaran memang dia seorang yang moden.

Hendak pula dia lahir dari darah kacukan. Tapi sebaliknya dalam jiwa 'minah salih' ini dia seorang yang agak konservatif.

"Ramai yang anggap saya seorang yang moden, mudah bergaul atau bersosial. Tapi sebenarnya saya seorang yang agak konservatif dan sangat mementingkan budaya ketimuran. Saya bukan seorang yang sukan bersosial dan terlalu terdedah dengan kehidupan bandar.

"Saya lebih suka duduk di rumah dan habiskan masa bersama keluarga jika tidak bekerja. Sebab itu saya suka memasak untuk keluarga jika tidak bekerja. Bagi saya sesebuah ikatan kekeluargaan akan lebih bahagia jika diikat dengan masakan sendiri," ujarnya yang pandai memasak masakan Melayu berbanding masakan barat.

Diusik dengan lelaki istimewa yang sedang bertakhta di hatinya, penyanyi lagu Bertakhta Di Hati ini memberitahu buat masa ini dia belum mempunyai teman istimewa.

Malah dia menganggap ketika ini dia masih belum terdesak untuk mempunyai seorang lelaki. Dia mengakui setelah dikecewakan berkali-kali hatinya kini sudah terkunci.

"Buat masa ini hati saya belum terbuka, tapi saya tidak pernah menolak jodoh. Bagi saya jika ada sesiapa yang boleh membuka hati saya saat ini saya bersedia untuk berkahwin. Sebagai perempuan saya memang impikan sebuah keluarga yang bahagia, ketika kecil lagi saya berangan-angan untuk berkahwin pada usia 20an.

"Tapi sekarang baru saya sedar bukan mudah untuk mencari seorang lelaki yang benar-benar sesuai dengan saya. Bukan saya terlalu memilih tetapi saya mahukan seseorang lelaki yang mementingkan keluarga dan kalau boleh bukan mereka yang terlibat dalam industri hiburan," katanya yang pernah digosipkan bercinta dengan beberapa artis lelaki tanah air.

Masih jadi penyanyi

Kerjaya lakonannya yang semakin bersinar tidak menutup bakatnya sebagai penyanyi yang berjaya membawa namanya ke persada industri hiburan tanah air. Setelah beberapa kali dugaan menimpa dalam proses menerbitkan album, Farah tidak pernah sesekali berputus harap.

Mendapat tawaran daripada komposer, Julfekar Ahmad Shah untuk menerbitkan album, Farah kini sudah merakamkan tiga buah lagu untuk album yang bakal dikeluarkan pada November ini.

"Saya sayangkan bidang nyanyian, tapi banyak sahaja dugaan yang menimpa. Album kedua saya gagal disebabkan promosi dan syarikat rakaman yang sudah tutup, selepas itu saya cuba bersama syarikat rakaman Meastro tetapi nasib tidak menyebelahi saya.

"Sudah enam tahun selepas album pertama Bertakhta Di Hati, saya dikatakan berhenti dari bidang ini. Sebenarnya saya masih aktif memenuhi undangan nyanyian untuk syarikat-syarikat korporat. Namun tawaran untuk keluarkan mini album daripada Julfekar memberi sinar baru bagi saya," katanya yang bakal muncul dengan single terbaru berjudul Kau Telah Pergi.

Tambah Farah, harapan terhadap album kali ini terlalu tinggi. Dia mahu dikenali semula sebagai seorang penyanyi seperti satu masa dahulu. Malah dia juga menjanjikan single terbarunya itu bakal meruntun jiwa pendengar seperti lagu Bertakhta Di Hati.

Malek Noor Imbas Lari Pakai Cawat

Posted: 17 Oct 2010 09:23 PM PDT

Malek ditemui semasa rakaman rancangan Selami Jiwa yang dihoskan Dato' Dr. Fadzilah Kamsah baru-baru ini.

JAGUH bina badan negara, Datuk Malek Noor,53, benar-benar berubah selepas meninggalkan bidang sukan yang telah menaikkan namanya suatu ketika dahulu.

Sejak tahun 2002, Malek mula menyedari hidupnya selama ini banyak menyimpang dan dia sering terleka dengan segala keseronokan yang tiada penghujungnya.

Tapi lelaki ini merasakan dirinya amat bertuah kerana selepas meninggalkan dunia sukan, dia mendapat petunjuk untuk menjadi seorang manusia yang lebih berguna kepada agama dan dirinya sendiri.

Bersyukur kerana pada usia 46 tahun, Tuhan masih lagi menyayanginya, Malek menghabiskan masa dengan menguruskan lima buah syarikat yang antaranya ialah Sportec's Divemate Sdn. Bhd., KK Design dan Universal Fitness and Leisure (UFL).

"Sekarang saya dah dapat merasai betapa bersihnya jiwa selepas meninggalkan dunia hidup saya yang penuh kemilau suatu ketika dahulu.

"Saya masih teringat peristiwa ketika saya mahu berubah, saya mengadakan pertunjukan bina badan di Hong Kong dengan memakai cawat. Ketika itu saya benar-benar rasa bersalah terhadap diri sendiri.

Selain Malek Noor, Amy (Search) turut diundang menjadi ahli panel rancangan tersebut.

"Apabila menang dalam pertandingan itu dan orang mahu ambil gambar, saya cepat-cepat lari masuk ke bilik," katanya mengimbas kenangan silam.

Malek ditemui semasa rakaman rancangan Selami Jiwa yang dihoskan Dato' Dr. Fadzilah Kamsah baru-baru ini. Selain Malek Noor, Amy (Search) turut diundang menjadi ahli panel rancangan tersebut.

Ujar Malek, tidak kiralah seseorang itu apa juga agamanya, bukanlah mudah untuk berubah kalau tidak ada kekuatan dan semangat terhadap agama dan Tuhan masing-masing.

Malah akui Malek dia juga amat sukar untuk menjauhkan diri dengan tempat maksiat sehinggalah dia cuba untuk tidak bergaul dengan orang yang selalu mengajaknya untuk berada di tempat-tempat itu.

Menurut Malek, selepas insaf dengan keseronokan dunia yang dilaluinya barulah dia terasa banyak perkara yang ingin dilakukannya tidak kesampaian lebih-lebih lagi hajatnya seperti mahu mencium arwah ibunya sepuas-puas hati.

Dalam pada itu, Malek juga enggan mengejar harta yang dianggapnya tidak dapat dibawa ke mana-mana kerana dia berpendapat harta juga boleh mengubah seseorang menjadi tamak dan bangga diri.

"Dulu pernah sekali saya membeli jam tangan berharga RM140,000 ketika mahu pergi bersyarah di sebuah tempat di Kedah. Bila saya pergi ke tandas, ia tercicir dan saya hanya sedar ketika mahu pulang ke Kuala Lumpur.

"Saya tak kesal jam itu hilang kerana saya anggap ia mungkin bukan rezeki saya. Siapa yang jumpa itu, rezeki dialah," katanya yang pernah membintangi filem Juara dan Ujang sebagai pelakon utama tidak lama dulu.

Sementara itu, walaupun sudah dua kali bercerai, Malek masih lagi mencari seorang wanita yang sesuai untuk dijadikan sebagai isterinya.

Bagaimanapun segala-galanya diserahkan kepada Tuhan untuk menentukan jodohnya itu.

Kehangatan Paramore Semakin Terasa

Posted: 17 Oct 2010 09:23 PM PDT

OKTOBER 2010 mungkin boleh dianggap sebagai bulan konsert bagi anak muda dan pencinta muzik tanah air. Selain persembahan penyanyi Lubnan, Maher Zain, naib juara American Idol 8 Adam Lambert dan gitaris legenda George Benson, Malaysia juga bakal menyambut kunjungan kumpulan rock Paramore (gambar) pada 19 Oktober ini.

Menerusi konsert Paramore Live in Kuala Lumpur 2010, kumpulan yang dianggotai oleh Hayley Williams (vokal), Josh Farro (gitar utama), Jeremy Davis (pemain bass), Zac Farro (drum) dan Taylor York (gitar rhythm) ini bakal menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Persinggahan kumpulan yang sinonim dengan jalur muzik emo dan punk pop ke Malaysia adalah bersempena dengan rangka promosi album terbaru mereka iaitu Brand New Eyes dan dibawakan oleh Tune Talk.

Mengimbas profil lima anak muda ini, kembara berliku Paramore di persada muzik antarabangsa yang bermula pada tahun 2004 hanya menyerlah selepas kemunculan album kedua iaitu RIOT! mendapat sambutan hebat daripada peminat.

Album tersebut bukan sahaja terjual lebih dua juta unit di seluruh dunia, malah turut melonjakkan nama Paramore di carta-carta radio di United Kingdom, Australia, Mexico, Brazil, Perancis, Jerman dan Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Menerusi album RIOT!, kumpulan yang berasal dari Franklin, Tennessee, Amerika Syarikat ini turut dicalonkan sebagai Artis Baru Terbaik pada Anugerah Grammy 2008 dan memenangi anugerah Artis Antarabangsa di Anugerah Muzik Video MTV 2008 di Brazil.

Pada malam konsert itu nanti, Paramore dijangka mempersembahkan lagu-lagu daripada album ketiga mereka Brand New Eyes seperti Ignorance, Where The Lines Overlap, Misguided Ghosts, The Only Exception dan All I Wanted, selain lagu-lagu daripada album sulung All We Know Is Falling (2005) dan RIOT! (2007).

Tiket-tiket yang berharga RM98, RM168 dan RM268 (Duduk) serta RM358 (Rock Zone - Berdiri) kini dijual di kaunter-kaunter Rock Corner dan Ticketpro, selain jualan secara dalam talian menerusi airasiaredtix.com dan ticketpro.com.my.

Untuk maklumat lanjut, peminat boleh melayari www.rockthisjoint.com.my.Pintu stadium akan mula dibuka pada pukul 7 malam, satu setengah jam sebelum konsert bermula. Album Brand New Eyes kini berada di pasaran edaran Warner Music Malaysia.

Agnes Tak Sabar Temubual Beyonce, Lady Gaga Di AMA 2010

Posted: 17 Oct 2010 09:22 PM PDT

PENYANYI popular Indonesia, Agnes Monica (gambar) mengimpikan untuk menemubual penyanyi popular Amerika Syarikat iaitu Beyonce, Lady Gaga dan Rihanna di American Music Awards (AMA) 2010 pada 21 November ini.

Majlis tersebut akan berlangsung di Nokia Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat.

Malah dia sudah tidak sabar untuk bergelar hos untuk acara 'red carpet' semasa majlis tersebut buat julung kalinya.

"Saya teringin untuk menemubual Beyonce, Lady Gaga dan Rihanna," kata Agnes menurut detikhot, Ahad.

Agnes dijangka akan menemubual lebih dari 80 artis Hollywood yang hadir di majlis tersebut. Dia turut berbangga kerana dibenarkan menggunakan sedikit bahasa Indonesia ketika mengacarakan majlis tersebut.

Ketika tampil di hadapan kamera, Agnes ingin menggunakan busana yang menggabungkan budaya timur dan barat. Mengikut perancangan, dia mahu menampilkan busana bercorak batik.

Agnes akan terbang ke sana pada 19 November ini.

Courteney Cox Luah Perasaan 'Bosan Dengan Perkahwinan' Dalam Filem

Posted: 17 Oct 2010 09:21 PM PDT

Tinggal kenangan...Cox bersama-sama suami pada Februari lalu.

SEBELUM mengumumkan penceraiannya dengan David Arquette, pelakon Hollywood, Courteney Cox dan pasangannya itu sama-sama berlakon dalam filem Scream 4, berkisarkan seorang wanita yang 'bosan' dengan suaminya.

Cox, 46, dan Arquette, 39, bertemu pada 1996 buat pertama kalinya menerusi filem Scream dan berkahwin tiga tahun selepas itu.

Dalam filem seram itu, Cox berlakon sebagai wartawan bernama Gale, yang juga isteri kepada sheriff Dewey lakonan Arquette.

"Kami telah berkahwin selama 10 tahun. Saya bosan dengan kerja saya sebagai wartawan hiburan...Saya bosan dengan hidup dan perkahwinan saya," beritahu Cox kepada Entertainment Weekly.

Dalam kehidupan sebenarnya, ibu bapa kepada Coco, 8, ini mengumumkan perbicaraan penceraian mereka pada Isnin lalu.

Arquette memberitahu Howard Stern pada Selasa lalu bahawa Cox "tidak mahu menjadi isteri saya lagi."

Jabatan Imigresen Sememangnya Penuh Dengan Cabaran

Posted: 17 Oct 2010 09:16 PM PDT

Abdul Rahman Othman

JABATAN Imigresen sering dilanda pelbagai kontroversi namun kehangatannya bermula apabila seramai 20 tahanan warga Afghanistan melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Ogos lalu.

Kredibiliti kakitangannya juga terjejas apabila empat pegawai imigresen ditahan reman berhubung dakwaan rasuah membabitkan kemasukan pendatang asing tanpa asing (PATI) ke negara ini melalui Pulau Ketam, Klang, baru-baru ini.

Begitu juga dengan penahanan dua pegawai imigresen oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan PATI di Jeti Port Dickson.

Terbaru, polis menahan tujuh pegawai imigresen di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan warga asing ke negara ini.

Lebih panas apabila kesemua mereka dipercayai bersekongkol dengan ketua sindiket berbahaya yang turut terdedah dengan jenayah serius lain seperti aktiviti pengganas, penyeludupan senjata api, dadah dan pengintipan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi kata dua kepada Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman bahawa tidak mustahil beliau akan ditukar jabatan sekiranya perkara ini berulang .

Teka-teki mengenai kedudukan Abdul Rahman akhirnya terjawab beberapa hari lalu apabila beliau menerima surat rasmi berhubung pertukaran jawatannya pada hari yang sama beliau sepatutnya ditemuramah oleh wartawan Mingguan mStar.

Abdul Rahman ditukarkan ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memegang portfolio Setiausaha Bahagian Imigresen berkuat kuasa pada Jumaat lalu (15 Oktober).

Jawatan yang disandangnya sejak 21 Julai 2008 itu kini diisi oleh Datuk Alias Ahmad yang sebelum ini merupakan Setiausaha Bahagian Keselamatan di KDN.

Mingguan mStar menjadi media terakhir yang menemuramah Abdul Rahman Othman sebagai Ketua Pengarah Imigresen.

MSTAR: Jabatan Imigresen sering dilanda kontroversi. Apa kata Datuk?

ABDUL RAHMAN: Saya melihat tugas di Jabatan Imigresen merupakan sesuatu yang mencabar bukan sahaja di pintu masuk tetapi di kaunter bagi sistem penyampaian.

Kegagalan kita memeriksa atau memerhati seorang itu di pintu masuk dengan teliti bermakna kita juga gagal di benteng pertahanan terakhir negara.

Dari segi pertahanan, Jabatan Imigresen merupakan agensi terakhir. Sebab itu saya tidak pertahankan isu penahanan pegawai imigresen oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Isu penahanan melibatkan soal kredibiliti. Komen Datuk?

Imej buruk imigresen berpunca daripada sikap tidak jujur pegawai yang ditahan tidak akan menjejaskan semangat pegawai imigresen lain.

Dalam mana-mana sistem pasti ada yang tidak berperanan dengan baik tetapi 95 atau 99 peratus pegawai imigresen masih bertanggungjawab menjalankan tugas.

Mereka terus berkhidmat di pintu masuk meskipun imej sedikit tercalar. Ini memberikan peringatan bahawa tugas mereka sentiasa dipantau.

Dalam dunia ini tiada yang sempurna 100 peratus dan setiap daripada mereka yang silap perlu belajar serta memperbaikinya.

Begitu juga dengan Jabatan Imigresen yang seharusnya diberikan peluang untuk menunjukkan prestasi baik menerusi tugas, keupayaan dan kredibiliti.

Jangan hanya kerana tujuh pegawai imigresen yang ditahan polis di bawah ISA kita harus melupakan peranan, sumbangan dan tanggungjawab pegawai-pegawai lain.

Jangan persalahkan kami sahaja hanya kerana beberapa kes sedangkan banyak pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba membolosi masuk ke negara berjaya ditahan.

Kami juga mendapat pengiktrafan seperti dicapai oleh Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai imigresen lapangan terbang terbaik dunia oleh Anugerah Skytrax.

Pengiktrafan itu berdasarkan keupayaan, kecekapan dan keberkesanan dalam menguruskan kemasukan di pintu masuk utama negara.

Tidak dinafikan penahanan pegawai imigresen sedikit sebanyak mencalarkan imej tersebut namun ia tidak dianggap sebagai hari terakhir bagi Jabatan Imigresen.

Namun kita sepatutnya bangkit semula dengan meneruskan penambahbaikan bagi mengembalikan semula kecemerlangan sebelum ini malah lebih baik.

Tidakkah imej pegawai imigresen lain turut tercalar?

Jumlah pegawai imigresen yang ditahan itu sangat kecil berbanding 14,276 kakitangan keseluruhan atau antara 4,000 dan 5,000 pegawai bertugas di pintu masuk.

Saya tidak membezakan mana-mana pun kerana ia melibatkan kakitangan secara menyeluruh. Namun saya telah menerangkan kepada pegawai penyelia di barisan hadapan mengenai tanggungjawab semua.

Jika tidak dipatuhi, ia akan memberikan imej buruk, kehancuran atau kemudaratan lebih besar kepada Jabatan.

Tidak perlu cakap pasal rasuah, jika terdapat salah laku pegawai seperti tidak datang bertugas pun sudah cukup besar kesalahan itu.

Sistem penyampaian akan gagal kerana kekurangan kakitangan bertugas sedangkan masyarakat mengharapkan perkhidmatan terbaik. Jika pegawai penyelia tidak dapat melaporkan salah laku pegawainya untuk tindakan maka sampai bila-bila pun mereka akan terus bermasalah.

Pun begitu, pegawai imigresen perlu melihat kejadian berlaku sebagai peringatan bahawa pihak lain akan bertindak sekiranya gagal melaksanakan tanggungjawab.

Ini juga peringatan menunjukkan bahawa kita melakukan kesilapan dan perlu memperbaiki perkara itu ke arah lebih baik.

Kita seharusnya melihat ia sebagai satu ujian untuk mengembalikan kekuatan. Paling penting adalah menguruskan rakan sepasukan dengan lebih baik kerana antara mereka mungkin alpa kerana sudah banyak 'keuntungan' diberikan sebelum ini.

Apakah 'keuntungan' yang dimaksudkan?

Skim perkhidmatan imigresen ditambahbaikkan diperkenalkan mulai 1 Disember 2007 menerusi Skim Perkhidmatan Bersepadu. Mana-mana pegawai imigresen yang sekadar berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja boleh dinaikkan jawatan ke peringkat pengurusan dan profesional.

Mungkin kerana mereka merasakan keuntungan itu sudah begitu besar berikutan peluang kenaikan pangkat begitu besar menyebabkan mereka mudah lupa.

Pada masa ini tidak ada perkhidmatan lain dalam kerajaan yang akan merasai kenaikan pangkat setelah sembilan tahun sahaja bekerja.

Ia turut melibatkan penambahan jawatan apabila depot dipertanggungjawab sepenuhnya di bawah Jabatan Imigresen pada 1 Ogos 2009.

Ketika itu kerajaan meluluskan 938 jawatan baru pelbagai peringkat bagi mengisi kekosongan di bahagian tersebut.

Kerajaan juga baru-baru ini meluluskan peruntukan RM100 juta menerusi bajet luar jangka untuk penambahbaikan dalam Jabatan Imigresen.

Bagaimana percaturannya dalam kedudukan Jabatan Imigresen?

Kerajaan sememangnya prihatin terhadap kedudukan Jabatan Imigresen maka para pegawai-pegawai mestilah melaksanakan tugas lebih baik.

Masalah pembolosan warga asing sebenarnya tertumpu kepada depot yang tidak lengkap dengan sistem kawalan bermutu.

Namun kini segalanya tersedia dengan peruntukan secukupnya sekaligus semua pegawai imigresen perlu menghargai keprihatinan sumbangan kerajaan.

Bila sudah ada peruntukan dan penambahbaikan skim perkhidmatan, mereka sepatutnya menunjukkan prestasi lebih baik dan bukan memberi masalah.

Apakah cadangan untuk penambahbaikan?

Banyak perkara di Jabatan Imigresen boleh diperbaiki dan sudah tiba masanya untuk meneliti cadangan penjenamaan semula.

Jabatan Imigresen hari ini terlalu banyak menumpukan perhatian kepada kemudahan untuk warganegara seperti pasport. Bagaimanapun, menyusuri perkembangan globalisasi, kita semua terbuka kepada ketibaan warga asing dari seluruh dunia ke negara ini.

Kerajaan turut berusaha untuk membawa masuk bakat dari luar negara dengan menyediakan peluang lebih baik untuk golongan itu. Justeru, kita seharusnya menukarkan fokus dengan memberikan peluang lebih baik kepada mereka yang bukan warganegara untuk berada di negara ini.

Ketibaan warga asing adalah 23 juta orang dengan purata 2.7 juta orang setiap hari.

Mereka adalah pekerja asing, pelajar antarabangsa, ekspatriat, pelawat harian dan pelancong asing. Semua warga asing di negara ini diuruskan oleh Jabatan Imigresen dan pilihan yang ada pada pegawai adalah menguruskannya dengan lebih baik.

Kita dahulu terlalu fokus kepada warganegara tetapi sekarang perlu beralih kepada warga asing dengan aliran yang turut ditunjukkan kerajaan.

Antaranya jangkaan terhadap kedatangan pelancong asing serta usaha untuk mewujudkan pusat kecemerlangan dan hab pendidikan.

Bagaimana pula dengan operasi dan perkhidmatan lain?

Antara cadangan penjenamaan semula yang sudah pun diuar-uarkan kepada kerajaan adalah mengkhususkan pejabat imigresen. Sebagai contoh, jika hari ini kita pergi ke pejabat imigresen Kajang namun pejabat itu hanya membuat urusan pasport Malaysia sahaja.

Apabila mewujudkan pejabat imigresen bermakna ia harus melibatkan semua urusan bukan sekadar tertumpu kepada pasport semata-mata.

Kita juga perlu menaiktaraf kemudahan teknologi maklumat bagi melancarkan urusan di pintu masuk sebagaimana pelaksanaan pintu pagar automatik (autogate) untuk pasport Malaysia.

Kemudahan itu wajar diperbanyakkan supaya Jabatan Imigresen dapat menumpukan urusan keluar masuk warga asing. Kita sudah mempunyai pejabat di luar negara yang menguruskan pengeluaran visa maka kemasukan mereka ke negara ini sudah melalui proses saringan.

Bagaimanapun, isu warga asing memasuki negara ini kerana memiliki pasport dan visa palsu tidak dapat dielakkan kerana ia merupakan tanggungjawab pihak imigresen di sesetengah negara.

Apa yang kita boleh lakukan adalah menyekat kemasukan mereka sekiranya mereka didapati melakukan kesalahan demikian.

Adakah adil sekiranya Jabatan Imigresen dipersalahkan berhubung kes pendatang asing tanpa izin (PATI)?

Tidak. Jabatan Imigresen tidak patut dipersalahkan 100 peratus dalam kes PATI kerana ia turut melibatkan beberapa peringkat pertahanan.

Jika kemasukan menerusi jalan laut ia akan melalui agensi lain iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim dan Pasukan Gerakan Marin.

Saya juga ingin menjelaskan bahawa Jabatan Imigresen hanya bertanggungjawab di 117 pintu masuk menerusi laluan udara, darat dan air yang diwartakan sahaja.

Seperti laluan tikus di perairan tidak dipantau oleh Jabatan Imigresen kerana ia melibatkan tiga agensi lain tetapi sebagai agensi terakhir tetap dipersalahkan.

Yang terakhir itu melibatkan soal imej dan sekiranya tiga agensi itu berperanan maka maka Jabatan Imigresen hanya melengkapkan sahaja maka hebatlah.

Tetapi jika ketiga-tiganya gagal, sehebat mana Jabatan Imigresen masih tetap gagal sebagai agensi terakhir di benteng pertahanan negara.

Begitu juga dengan pihak lain, mahu menjadikan negara sebagai hab pendidikan tetapi pihak berkenaan tidak mengetahui sejauh mana kualiti pelajar itu.

Jabatan Imigresen diminta memberi sokongan ketibaan pelajar asing dan akhirnya dipersalahkan sekiranya pelajar terbabit terlibat dengan jenayah.

Namun saya tidak menganggap perkara ini sebagai beban tetapi cabaran untuk terus maju ke hadapan.

Bagaimana dengan usaha mempertingkatkan kualiti pegawai imigresen?

Penambahbaikan kualiti perkhidmatan akan diteruskan. Kita sebagai penyedia perkhidmatan maka tiada pilihan melainkan mempertingkatkan kualiti dari masa ke semasa kerana masyarakat mahukan yang terbaik.

Sistem pendidikan akan diteruskan bukan terhad sekadar induksi tetapi sebenarnya meliputi latihan meluas seperti pengkhususan, perkhidmatan dan integriti.

Latihan interaksi tentang bagaimana untuk bertingkah laku sebagai seorang pegawai diperlukan supaya mereka dapat menjalankan pengurusan secara profesional.

Mereka akan menjadi pelaksana dan diajar bagaimana untuk membuat keputusan, tentang bagaimana untuk memberi arahan serta memantau arahan.

Latar belakang dan kemahiran yang perlu ada pada pegawai imigresen dan perlu diberikan penekanan.

Kedudukan Jabatan Imigresen adalah memberi perkhidmatan dan masyarakat perlu membantu memberikan sokongan.

Ini terutama melibatkan isu 'pemberi' dalam perantaraan terhadap sesuatu urusan kerana mahu cepat atau demi kepentingan tertentu.

Masyarakat harus ingat bukan semua perkara boleh dibayar dengan duit. Mereka juga harus berperanan membanteras gejala rasuah.

Apakah reaksi apabila ditukarkan sebagai Setiausaha Bahagian Imigresen di Kementerian Dalam Negeri (KDN)?

Saya melihat keputusan ini sebagai kesempatan kepada saya untuk menyumbangkan lebih besar lagi kepada imigresen.

Ini menunjukkan kerajaan masih melihat saya untuk terus menyumbang maka saya ditempatkan sebagai Setiausaha Bahagian Imigresen di KDN.

Sumbangan lebih besar merujuk kepada apa yang tidak dapat saya laksanakan semasa jadi Ketua Pengarah Imigresen.

Apabila di tempat baru nanti, saya perlu mempunyai idea lebih baik. Di KDN, kita menetapkan dasar. Oleh itu, dasar-dasar imigresen haruslah lebih baik daripada apa yang ada pada hari ini.

Cakap-cakap mengatakan penukaran itu disebabkan Datuk tidak menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah Imigresen dengan baik. Komen Datuk?

Itu pandangan masing-masing. Yang pasti, saya sudah berusaha menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Jika saya tidak menunjukkan prestasi yang baik atau dianggap pertukaran ini sebagai satu hukuman, sudah tentu saya akan diberikan peranan di bahagian lain yang tiada kaitan dengan imigresen.

Tetapi saya masih lagi diberikan peluang untuk terus berkhidmat untuk imigresen yang lebih baik.

Apa perasaan Datuk apabila meninggalkan kerusi Ketua Pengarah dalam keadaan Jabatan Imigresen penuh kontroversi?

Kedudukan Jabatan Imigresen pada hari ini meskipun dilanda pelbagai kontroversi lebih kepada soal peringatan.

Ia juga sebagai satu peringatan untuk saya. Ini bermakna saya perlu menunjukkan prestasi lebih pada masa akan datang.

Sebab itulah saya masih lagi diberikan peluang menjalankan tugas melibatkan imigresen.

Saya berterima kasih kerana diberikan peluang meneraju di sebuah jabatan yang penuh dengan cabaran. Jabatan Imigresen sememangnya penuh dengan cabaran dan Ketua Pengarah baru akan mendepani cabaran seperti yang saya lalui.

Apa yang saya buat (sebagai Ketua Pengarah) adalah sesuai pada waktu saya. Apa yang saya buat juga berdasarkan cara saya memimpin.

Ketua Pengarah baru mungkin mempunyai cara lain, lebih baik daripada cara saya. Mungkin kesesuaian itu akan membawa kecekapan lebih baik kepada Jabatan Imigresen. Itu yang saya harapkan.

Apakah kunci utama Jabatan Imigresen untuk terus kukuh?

Hakikatnya, Jabatan Imigresen merupakan sebuah organisasi unit beruniform. Semangat perjuangan begitu kuat begitu juga dengan kerjasama sepasukan.

Kita perlu membina kekuatan berdasarkan strategi dan kelebihan yang ada. Perkara itu paling penting dan tidak sukar untuk melakukannya.

Bagaimanapun, masyarakat juga perlu terus memberikan kerjasama untuk merangsang kekuatan itu dan bukanlah sekadar mengharapkan yang terbaik daripada Jabatan Imigresen.

Dengan peluang kedua dan sokongan termasuk penambahbaikan dan pembaharuan, saya percaya Jabatan Imigresen akan terus kukuh.

Merah Jambu Tanda Sokongan

Posted: 17 Oct 2010 08:58 PM PDT

Selebriti tanah air mengambil kesempatan bergambar di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad yang diterangi cahaya neon merah jambu sempena kempen kesedaran kanser payu dara di Kuala Lumpur.

OKTOBER ini, merah jambu adalah warna rasmi. Bukan kerana ia rona paling feminin atau banyak majlis perkahwinan berlaku (ramai memilih tanggal 10 Oktober untuk melangsungkan perkahwinan), sebaliknya ia adalah disebabkan kemeriahan sambutan kempen kesedaran kanser payu dara (BCA) yang digelar Pink October.

Malah mercu tanda ikonik Kuala Lumpur, bangunan Sultan Abdul Samad di hadapan Dataran Merdeka turut dilimpahi cahaya merah jambu neon yang secara tidak langsung menceriakan suasana seluruh kawasan tersebut.

Dianggap kempen terbesar dan paling signifikan dengan peningkatan nisbah penghidap kanser payu dara, Pink October bukan sekadar suka-suka berbaju sedondon, sebaliknya merupakan inisiatif penting yang sentiasa berkembang ke arah memastikan keberkesanan penyebaran mesej kepada semua lapisan masyarakat.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, pada ketika ini sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan paling sibuk melaksanakan pelbagai program demi membangkitkan kesedaran umum mengenai bahaya kanser payu dara dan langkah mudah bagi mengesan sekali gus mengelak kebarangkalian menghidap penyakit berbahaya itu.

Komitmen Estee Lauder

Salah satu penganjur terbesar di Malaysia adalah Syarikat Estee Lauder Malaysia (Estee Lauder).

Sejak 13 tahun lalu, Estee Lauder menyumbangkan lebih 550,000 kad panduan pemeriksaan sendiri payu dara dan reben merah jambu dengan RM1.6 juta disumbangkan kepada Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara (BCWA), Kolej Radiologi, Pertubuhan Kanser Kebangsaan dan terbaru, Yayasan Inisiatif Penyelidikan Kanser.

Ia merupakan rentetan komitmen Estee Lauder Companies (ELC) Inc, khasnya Evelyn Lauder dan Naib Presiden Korporat Kanan, Alexander Penney yang ketika itu merupakan pengarang majalah Self. Beliau mewujudkan idea reben merah jambu yang kemudiannya menjadi objektif penting ke arah memerangi kanser payu dara di kalangan wanita pada 1992.

Kini, usaha tersebut menjangkaui lebih 140 negara di seluruh dunia. Hampir 18 tahun kemudian, Yayasan Penyelidikan Kanser Payu Dara yang ditubuhkan Lauder berjaya mengumpul lebih USD200 juta bagi tujuan penyelidikan kanser dan membangkitkan kesedaran jutaan manusia dengan reben simbolik itu.

Sempena kempen BCA tahun ini, Estee Lauder mengambil tema Connect. Communicate. Conquer (Berhubung. Berkomunikasi. Tangani), kempen provokatif oleh Presiden Kanan dan Pengarah Kreatif MAC, James Gager menggunakan khidmat jurugambar tersohor dunia, Michael Thompson.

Pengarah Urusan Syarikat Estee Lauder, Loo Kai Nan memberikan ucapan alu-aluan pada majlis Iluminasi Mercu Tanda Bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur 5 Oktober lalu.

Imej wanita menyentuh payu dara kiri itu mengimbas kembali kaedah 'High-Touch' pada 1946 di mana para pengguna dihubungkan menerusi telefon dan telegraf.

Pendekatan menangani kanser payu dara lebih simbolik apabila wanita dan lelaki moden masa kini harus lebih rapat antara satu sama lain untuk jaringan komunikasi efektif.

Iluminasi mercu tanda

Dalam pada itu, inisiatif Global Landmarks Illumination yang dilancarkan 10 tahun lalu pula bertujuan menumpukan perhatian global terhadap isu kanser payu dara dengan menerangi ratusan mercu tanda di seluruh dunia.

Antaranya termasuk Empire State Building, Niagara Falls, menara condong Pisa, bangunan Taipei 101 dan Menara Kuala Lumpur (KL).

Pada 5 Oktober lalu, buat julung kalinya bangunan Sultan Abdul Samad dipilih sebagai mercu tanda negara tahun ini.

Pelancaran itu dihadiri Timbangan Menteri II Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin D'Cruz selain Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Zuraidah Mohd Said; Pengarah Urusan Suria Meriang Sdn Bhd, Loo Kai Nan; Pengarah Urusan Hwa Tai Industries Berhad, Airique Soo dan Pengerusi Jawatankuasa Kempen BCA Estee Lauder 2010, Michael Liew.

Pada masa yang sama di New York, sebanyak 38 mercu tanda bersejarah mencatatkan Rekod Dunia Guiness sebagai mercu tanda paling banyak diterangi bagi tujuan tertentu dalam tempoh 24 jam.

Jangka masa dicatatkan bermula 12 tengahari pada 30 September dan berakhir pada waktu yang sama, keesokan harinya.

Jurucakap Estee Lauder, Elizabeth Hurley bersama-sama Lauder menerangi bangunan Empire State dengan cahaya neon merah jambu sempena memperingati usaha tersebut yang bermula di mercu tanda tersebut, 11 tahun lalu.

Rekod dunia tersebut bermula di Federation Square dan National Library, masing-masing di Melbourne dan Canberra, Australia pada 30 September diikuti struktur ikonik Taj Mahal Palace & Tower Hotel (India), Burj Al Arab (Dubai), Tokyo Tower (Jepun), Las Condes City Hall (Chile), Hotel Majestic (Perancis) dan banyak lagi.

Program padat

Dalam usaha memerangi kanser payu dara di negara ini, Estee Lauder mengambil kesempatan melaksanakan aktiviti lebih besar yang diharapkan memberi lebih impak pada setiap tahun.

Kalender aktiviti Kempen BCA Syarikat Estee Lauder 2010 merangkumi jadual padat bermula bengkel kecantikan Look Good, Feel Better akhir Julai lalu di Hotel Nikko, Kuala Lumpur yang memberi semangat dan harapan kepada pesakit kanser agar dapat mengawal kesan sampingan fizikal akibat rawatan.

Bengkel terdahulu termasuk kumpulan jurusolek profesional Estee Lauder memberikan tip untuk wanita agar tampil berkeyakinan, walaupun dipadankan dengan rambut palsu.

Bukan itu sahaja, jurugambar profesional turut dipanggil bagi merakamkan potret kenangan para peserta untuk dibawa pulang.

Turut diadakan kembara promosi di pusat membeli-belah seperti Mid Valley Megamall dan The Gardens, 1 Utama.

Sepanjang kempen itu, khidmat nasihat dan klinikal ditawarkan kepada umum tanpa sebarang bayaran.

Selain itu, pemeriksaan klinikal payu dara oleh pakar dan ahli nutrisi.

Para pengunjung juga berpeluang menderma kepada dana kesedaran kanser payu dara dengan menyumbang minimum RM10 untuk merakamkan gambar masing-masing dan ditampal pada Pink Photo Wall.

Dengan sebarang amaun derma juga, anda diberikan logo reben merah jambu percuma sebagai tanda sokongan anda.

Pada 28 Oktober ini, Estee Lauder mengadakan BCA Charity Golf Tournament 2010 di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), acara tahunan sejak 11 tahun lalu.

Pengarah Urusan, Loo Kai Nan berkata, kejohanan golf itu merupakan program terawal yang dianggap paling penting kerana membantu menjana ribuan ringgit.

"Setiap tahun 128 hingga 150 pemain golf menyertai kejohanan ini setiap tahun demi menyokong kempen kesedaran terhadap kanser payu dara.

"Tahun ini, penghibur antarabangsa Francis Yip akan turut serta buat pertama kalinya. Jika orang ramai ingin bersama-sama bersaing dengan beliau, hanya perlu menyumbang RM9,000 untuk peluang sekali dalam seumur hidup," katanya.

Pada 29 Oktober pula, Yip akan mengadakan persembahan istimewa bagi mengumpul dana lebih besar kepada tujuan itu di Plenary Hall, KLCC.

Untuk mendapatkan tiket, hubungi AXCESS Hotline di talian 03 7711 5000 atau layari laman web www.axcess.com.my.

Sempena pembukaan tirai Pink October tahun ini, Estee Lauder menawarkan Bobbi Brown Pink Shimmer Brick Compact secara eksklusif di semua premis Isetan pada RM150 bagi mengumpulkan sebanyak mungkin dana kepada yayasan tersebut.

Pada masa sama, beberapa produk eksklusif turut ditawarkan seperti reben merah jambu Estee Lauder Enamel (RM10), baju-T Estee Lauder Companies Malaysia Breast Cancer Awareness Campaign (RM50) dan Origins Peace of Mind on-the-spot Relief, produk aromaterapi daripada daun selasih dan pudina untuk menenangkan minda. Botol merah jambu istimewa ini direka khas sempena bulan BCA (RM53).

Di samping itu, koleksi eksklusif Estee Lauder Evelyn Lauder Pink Ribbon juga menemui peminat Estee Lauder.

Rona-rona bagi koleksi gincu ini dipilih sendiri oleh Evelyn Lauder, iaitu Pure Color Crystal Tiramisu, Pure Color Candy dan Pure Color Rubellite.

Didatangkan dalam bekas merah jambu lembut, koleksi ini merupakan peringatan ke arah menyokong usaha itu.

Sepanjang Oktober juga, semua kaunter dan premis Aramis, BeautyBank, Bobbi Brown, Clinique, DKNY, Estée Lauder, La Mer, Lab Series Skincare for Men, Origins, Tommy Hilfiger dan Sean John Fragrances mengedarkan reben merah jambu dan kad pemeriksaan sendiri payu dara. Untuk maklumat lanjut, layari www.elcbca.com.my.

Berpindah Tak Semudah Menerima Notis

Posted: 17 Oct 2010 08:57 PM PDT

Kami tak mahu pindah...Sebahagian daripada penghuni kuarters Jalan Cochrane menunjukkan isyarat tidak setuju dengan arahan JPM supaya mereka mengosongkan kuarters selewat-lewatnya 15 Disember ini atas beberapa sebab.

BERPINDAH ke rumah baru dengan kerelaan sendiri memang menyeronokkan. Namun perasaan sebaliknya akan dirasai bagi mereka yang terpaksa berpindah atas kehendak empunya kediaman atau faktor lain yang tidak dapat dielakkan.

Lebih merumitkan keadaan penyewa apabila mereka diminta berpindah dalam masa yang singkat tanpa pemilik kediaman memberi sebarang bayangan sebelum mengeluarkan notis pindah terlebih dahulu.

Namun, nasib seperti inilah yang terpaksa diterima lebih 500 penghuni kuarters kerajaan Jalan Cochrane, Kuala Lumpur (KL) yang kebanyakannya sudah menetap di sini lebih dari 10 tahun.

Realitinya mereka yang terdiri daripada penjawat awam ini menghadapi masalah kewangan untuk berpindah selain perlu berdepan beberapa masalah lain. Mingguan mStar cuba menyingkap isu dan permasalahan ini.

TANPA sebarang desas-desus kedengaran, secara tiba-tiba seramai 553 keluarga yang menghuni di kuarters Jalan Cochrane, Kuala Lumpur diarahkan keluar dari kediaman mereka selewat-lewatnya 15 Disember tahun ini.

Arahan tersebut diterima melalui notis yang dikeluarkan oleh Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan dihantar sendiri oleh kakitangan jabatan tersebut.

Notis bertarikh 4 Mei 2010 dan dihantar sekitar pukul 10 malam itu mengarahkan kesemua penghuni terbabit mengosongkan kuarters kerajaan berusia sekitar 40 tahun yang sedang didiami berikutan projek yang akan dijalankan di kawasan berkeluasan kira-kira 14 hektar itu.

Bagi penghuni-penghuni kuarters tersebut, mahu atau tidak notis yang sampai ke tangan mereka itu terpaksa diterima tanpa sepatah kata mahu pun bantahan.

Sedar kediaman yang didiami itu bukan hak mutlak mereka, apa yang pasti tersemat pelbagai rasa dan kegusaran dalam hati masing-masing apabila mereka berasa arahan tersebut meninggalkan impak seterusnya memberi tekanan kepada mereka yang rata-ratanya sudah berkeluarga.

'Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul'! Melangkah keluar dari situ nyata tidak semudah mereka menyambut notis yang diberikan.

Banyak perkara dan urusan perlu dilangsaikan sebelum mereka dapat mengangkat kaki meninggalkan kediaman milik kerajaan itu sehinggakan tempoh persediaan selama tujuh bulan yang diberikan dirasakan tidak mencukupi.

Kuarters kerajaan Jalan Cochrane bakal dirobohkan untuk tujuan pembangunan.

Di sana-sini terdengar keluh-kesah penghuni kuarters yang 'pening kepala' memikirkan kos dan perbelanjaan yang perlu ditanggung mereka untuk urusan perpindahan.

Lebih merungsingkan fikiran apabila jarak perjalanan di antara kuarters di Jalan Cochrane dengan kuarters di Putrajaya yang disediakan untuk mereka begitu jauh dengan tempat kerja mereka yang kebanyakannya mencari rezeki di ibu kota.

Ini bermakna, jika mereka bersetuju berpindah ke Putrajaya, secara tidak langsung kos ulang-alik ke tempat kerja turut meningkat berbanding kos sebelum ini.

Seandainya penghuni-penghuni yang diarahkan keluar ini terdiri daripada penjawat awam peringkat atasan, barangkali mereka tiada masalah menuruti arahan tersebut.

Namun situasi adalah sebaliknya! Penduduk-penduduk terbabit majoritinya terdiri daripada penjawat awam kumpulan sokongan dengan pendapatan bulanan lingkungan RM2,500 ke bawah.

Belum selesai kemelut kewangan, timbul juga masalah menguruskan pertukaran sekolah anak-anak.

Beberapa perancangan yang telah diatur sedari awal seperti kenduri-kendara, urusan pemergian ke Mekah dan sebagainya turut terbantut gara-gara disuruh berpindah.

Justeru, penghuni di sini telah membuat beberapa tindakan dan rundingan dengan pihak bertanggungjawab dalam usaha mempertahankan hak mereka sebagai penjawat awam.

Sebuah jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Bertindak Penangguhan Perpindahan Kuarters Jalan Cochrane telah ditubuhkan bagi menunjukkan tanpa protes penghuni dan dalam masa yang sama membolehkan rayuan dikemukakan kepada pihak kerajaan supaya melanjutkan tempoh berpindah sehingga tahun hadapan.

Harga Naik, Perokok Macam Mana!

Posted: 17 Oct 2010 08:55 PM PDT

Kempen Tak Nak! menelan belanja promosi sebanyak RM100 juta.

PETALING JAYA: Baru-baru ini, harga rokok telah meningkat sebanyak 70 sen bagi satu pek 20 batang rokok yang sebelum ini dijual pada harga RM9.30.

Peningkatan harga rokok kepada RM10 itu adalah satu kenaikan harga tertinggi untuk rokok kerana sebelum ini kenaikan harga adalah antara 10 sen hingga 30 sen.

Kenaikan tersebut adalah langsung daripada harga minimum rokok ditetapkan pada harga RM6.40 bagi 20 batang sebelum ini apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan)(No.2) 2009 yang diwartakan.

Kenaikan itu akan menyebabkan pek rokok bergred tinggi dijangka melonjak kepada RM14 dan menyebabkan jualan rokok akan menurun sebanyak 10 peratus.

Malah ketika Mingguan mStar mendapatkan komen daripada Pengarah Komunikasi Korporat Philip Morris (Malaysia) Sdn Bhd, Richard James, berhubung perkara itu, beliau berkata, kenaikan itu berkemungkinan menyebabkan pasaran rokok seludup bakal berleluasa di negara ini.

Richard berkata, pada ketika ini, kadar penyeludupan rokok tiruan berada pada tahap 37 peratus dan angka itu telah cukup untuk meletakkan Malaysia sebagai negara yang paling teruk mengalami masalah penyeludupan rokok menurut satu penyelidikan yang dilakukan oleh Goldman Sachs Group Inc.

"Keputusan kerajaan menaikkan cukai akan menyebabkan masalah penyeludupan rokok bertambah teruk," katanya.

Daripada kenyataan Richard itu jelas menggambarkan perokok di negara ini sanggup melakukan apa sahaja demi memuaskan nafsu mereka yang tidak berkesudahan itu.

Kempen anti-merokok 'Tak Nak' yang dilancarkan oleh kerajaan dengan peruntukan promosi membabitkan kos sebanyak RM100 juta masih juga gagal mengurangkan tabiat merokok kerana setahun selepas promosi itu, jumlah perokok wanita meningkat sekali ganda.

Menurut satu sumber daripada Kementerian Kesihatan Malaysia yang mengatakan pihak mereka tidak mempunyai statistik purata bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan untuk perkhidmatan berhenti merokok memburukkan gambaran mengenai perokok di negara ini.

"Khidmat ini tidak sekata bagi seluruh negara dan bergantung kepada minat dan kemampuan pegawai yang menyampaikan khidmat berhenti merokok di Klinik masing-masing serta kesungguhan pesakit untuk meninggalkan tabiat buruk mereka," katanya.

Sementara itu, tinjauan Mingguan mStar terhadap perokok tegar mengenai kenaikan harga rokok menunjukkan rata-rata daripada mereka tidak mempunyai hasrat untuk berhenti dengan alasan sukar untuk meninggalkan tabiat itu.

Kebanyakan daripada mereka juga bercadang untuk mendapatkan jenama rokok yang lebih murah sebagai ganti untuk memuaskan nafsu mereka dan bersetuju kes penyeludupan rokok akan lebih bertambah teruk di negara ini.

Tiga juta rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM15 juta sehari bagi membeli rokok, dan dengan kenaikan harga rokok angka yang dibelanjakan itu dijangka terus meningkat.

Mengikut statistik Bahagian Kawalan Penyakit kementerian itu, jumlah perokok di Malaysia diramal meningkat kepada 3.8 juta orang pada tahun 2015 dan lebih empat juta menjelang 2020.

Peningkatan jumlah perokok itu menyebabkan lebih 10,000 kes kematian di kalangan perokok direkodkan setiap tahun.

Dengan ketagihan terhadap tembakau merupakan penyebab kedua kematian di dunia selepas penyakit tekanan darah tinggi, pandangan serta langkah bersungguh-sungguh perlu diambil terhadap pasaran tembakau di negara ini.

Salima sedih gambar peribadi tersebar

Posted: 17 Oct 2010 08:54 PM PDT



Sudah lama tidak melihat kelibatnya di kaca TV mahu pun di dada-dada akhbar. Hakikatnya, dia masih bernafas di dalam industri seni ini. Salima atau nama sebenarnya Nor Salima Habibi,22, masih belum mengundur diri daripada dunia nyanyian.

Biarpun sibuk sebagai speaker di AC Konsortium, syarikat milik pelakon terkenal, AC Mizal kira-kira tujuh bulan lalu, Salima mengurangkan aktiviti seninya kerana ingin memberi tumpuan kepada kerjaya barunya itu.

Pun begitu, masih wujud cerita kurang enak mengenai dirinya. Ia mengaitkan gambar Salima bersama teman lelakinya, Afif yang tersebar di Internet.

"Sebenarnya gambar yang menjadi cerita pihak tak bertanggungjawab itu adalah gambar lama saya dan Afif.

"Ia diambil kira-kira dua tahun lalu ketika mula mengenali Afif. Saya benar-benar tak sangka, cerita lama boleh timbul semula. Paling sedih apabila ada yang memberi kata-kata kurang senang terhadap kami," katanya.

Menurutnya, tujuan gambar tersebut dipaparkan di laman sosial sekadar untuk berkongsi dengan peminatnya.

"Saya akui memang silap saya meletakkan gambar-gambar kami kerana ia boleh memberi impak kepada hubungan kami serta peminat yang mungkin memandang serong terhadap hubungan kami.

"Bukanlah niat saya untuk menghebahkan kisah percintaan kami. Tapi, malangnya ada juga yang salah anggap dengan niat saya.

"Saya tak marah cuma sedikit terkilan sahaja kerana ada pihak yang menuduh saya yang bukan-bukan. Sejak itu, saya tidak lagi meletakkan sebarang gambar kami.

"Sudah dua tahun berlalu, tiada lagi gambar-gambar saya bersama Afif. Saya juga tidak bercerita mengenai kisah cinta saya. Tapi, tetap juga ada yang kurang senang dengan saya.

"Saya anggap mereka sengaja mencari cerita. Apa yang boleh saya buat hanyalah berdiam diri dan mengambil langkah tidak melayan cerita-cerita sebegitu. Tambahan pula saya sudah ada kehidupan saya sendiri dan saya bahagia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, baru-baru ini.

Ditanya mengenai rancangan perkahwinan, Salima berkata, dia tidak akan menunggu lama untuk berkahwin memandangkan dirinya dan Ariff sudah mempunyai kerjaya tetap.

"Jika ada jodoh dan sampai seru, mungkin tahun depan kami akan berkahwin. Kami pun dah kenal lebih dua tahun dan keluarga pun sudah merestui hubungan kami. Kami tak ada halangan Cuma buat masa ini, saya mahu tambah lagi pendapatan," katanya.

Kisah cinta tipikal

Posted: 17 Oct 2010 08:52 PM PDT



Bagi penonton yang menggemari filem cinta, Cuti-Cuti Cinta boleh menjadi tatapan di waktu senggang.

Filem yang bakal ditayangkan pada 21 Oktober ini, memaparkan kisah gadis sombong, Eeva Elyana (Nora Danish), yang dikecewakan oleh tunangnya, Remy (Zed Zaidi).

Dia yang tertekan dengan keadaan itu, akhirnya membawa diri ke sebuah pusat peranginan di pantai Morib.

Namun, sikapnya yang cerewet membuatkan semua pekerja di hotel itu tidak menyenanginya, melainkan Omar Rudy (Farid Kamil), yang tidak pula jemu melayaninya walaupun terpaksa mengikut segala telunjuknya.

Sehinggalah suatu hari Eeva dan Omar Rudy terperangkap di sebuah pulau. Maka, di situlah bermulanya kisah cerita cinta penuh romantis antara mereka.

Melihat pada jalan cerita filem itu, ia tidak ubah seperti filem 9 September lakonan Pierre Andre dan Fasha Sandha. Ironinya, kisah cinta antara dua darjat, yang terdampar di pulau, adalah terlalu klise untuk tatapan umum.

Malah, jika kita imbau kembali, filem Bollywood, Kaho Naa Pyar Hai, lakonan Hitrik Rosyam dan Amisha Patel yang pernah 'meletup' tidak lama dulu juga mempunyai naratif cerita yang sama.

Bagaimanapun, bagi pengarah filem ini, Ahmad Idham, Cuti-Cuti Cinta tetap ada kelainannya. Dengan gandingan Farid Kamil dan Nora Danish sebagai peneraju utama, Idham percaya filem itu mampu menarik penonton ke pawagam.

"Walaupun filem ini mengisahkan tentang cinta, namun ia tetap memberikan cabaran pada saya. Biasanya, dalam filem-filem cinta sebelum ini, banyak menggunakan ayat-ayat cinta seperti 'Aku cinta padamu', tapi istimewanya filem arahan saya kali ini, tidak menggunakan ayat-ayat cinta.

"Dan itulah yang sukar kerana saya harus terjemahkan perasaan itu menerusi persembahan dan suasana filem itu tanpa mengungkap sepatah pun kalimah cinta," kata Idham yang turut berpuas hati dengan lakonan Farid dan Nora.

Selain lakonan mantap Farid Kamil dan Nora Danish, Cuti-Cuti Cinta juga turut dibintangi kumpulan The Fabolous Cat, Zed Zaidi, (Remy), Zaibo (Tan Sri Zaini), Azizah Mahzan (Puan Sri Salmah), Kaza (Pak Adam) dan Delimawati (Mak Yah).

Berita Nasional TV1 lewat 12 minit

Posted: 17 Oct 2010 08:49 PM PDT


BERITA Nasional di TV1 disiarkan lewat 12 minit malam tadi.


KUALA LUMPUR – Para penonton TV1 yang menunggu siaran Berita Nasional TV1 yang sepatutnya disiarkan pada pukul 8 malam tadi terkejut apabila siaran berita itu terlewat dan hanya dimulakan 12 minit kemudian.

Kelewatan yang agak lama itu menimbulkan kehairanan banyak pihak terutama peminat setia siaran Berita Nasional yang disiarkan oleh RTM kerana biasanya ia ke udara tepat pada pukul 8 malam.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya berkata, beliau masih belum menerima laporan lengkap mengenai kelewatan itu.

"Saya diberitahu tentang kelewatan itu semasa permulaan siaran dan mengarahkan supaya perkara itu diatasi segera," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. Beliau kini berada di Tokyo, Jepun.

Ibrahim berkata, beliau belum pasti punca sebenar yang mengakibatkan kelewatan siaran tersebut tetapi memberi jaminan akan menyiasat masalah itu.

Bakal pengantin hilang

Posted: 17 Oct 2010 08:48 PM PDT


Sabariah menunjukkan gambar anaknya, Rozaliya yang hilang di Kemaman semalam.


KEMAMAN - Seorang gadis, Rozaliya Mat Lazim (gambar) yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 12 November depan hilang ketika keluar membeli barang-barang persiapan untuk hari bahagianya di Kuantan pada 13 Oktober lalu.

Keluarga mangsa mendakwa, Rozaliya, 20, hilang selepas gadis itu menghantar dua mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada tunangnya berbunyi 'ada dua lelaki sedang mengekori' dan 'abang datang cepat, saya takut'.

Ibu mangsa, Sabariah Mansor, 42, memberitahu, anaknya dijemput tunangnya, Mohd. Helmi Mohd. Nor, 24, dengan sebuah kereta kira-kira pukul 11 pagi dari rumahnya di Bandar Baru Cheneh dekat sini pada Rabu lalu.

"Tetapi kira-kira pukul 6 petang saya dihubungi Helmi menyatakan anak saya hilang," katanya ketika ditemui di rumahnya dekat sini semalam.

Menurut Sabariah, Mohd. Helmi yang bekerja sebagai pegawai Felda memberitahu dia meninggalkan Rozaliya di pasar raya Mydin, Kuantan sejurus tiba di sana kerana terpaksa kembali ke pejabatnya di Bandar Baru Cheneh ekoran ada urusan kerja yang perlu diselesaikan segera.

"Ketika Mohd. Helmi baru saja tiba di pejabatnya dia dapat dua SMS daripada anak saya dan dia cuba menghubungi anak saya tetapi gagal menyebabkan dia pergi semula ke Kuantan kira-kira pukul 3 petang," katanya sambil menyatakan anaknya bertunang pada bulan Februari lalu.

Tasik air panas lubuk curi pasir

Posted: 17 Oct 2010 08:47 PM PDT


PELBAGAI jentera berat begitu rakus mengorek pasir di Semenyih baru-baru ini.


SEMENYIH – Jika satu masa dulu tasik air panas di kawasan Batu 28, Kampung Pasir di sini menjadi tarikan pengunjung untuk bersantai namun ia cuma tinggal sejarah selepas ia dirosakkan oleh sindiket korek pasir.

Kawasan yang terletak kira-kira 10 kilometer dari pekan Semenyih itu terlindung dan kesempatan itu digunakan sebuah sindiket untuk mengorek pasir di beberapa tempat di sekitarnya

Tarikan utama pengunjung ke tasik yang berkeluasan 10 hektar (24.7 ekar) itu sebelum ini adalah kerana keistimewaan airnya yang didakwa mampu dijadikan penawar penyakit kulit.

Namun, sejak setahun lalu, kawasan yang merupakan milik kerajaan Selangor itu tidak ubah seperti koloni bagi warga Myanmar dan Indonesia. Mereka tinggal di rumah-rumah sewa di Kampung Pasir di sini dan diupah oleh sindiket.

Sejak adanya kegiatan mengorek pasir di situ yang dilakukan di antara pukul 9 pagi hingga pukul 7 malam, pemandangan di sekitar tasik tersebut kini berhiaskan beberapa bekas lombong.

Malah tidak jauh dari lombong-lombong yang telah diteroka itu, bermacam jenis jentera bagi tujuan mengorek pasir seperti jentera pengorek, mesin sedut pasir dan membuang air berdiri megah.

Sembilan GRO ‘sardin’ dicekup

Posted: 17 Oct 2010 08:47 PM PDT


ANGGOTA polis memeriksa dokumen perjalanan sembilan GRO warga asing yang ditahan di Taman AST, Seremban semalam.


SEREMBAN – Tindakan sembilan pegawai perhubungan pelanggan (GRO) warga asing bersembunyi dan berhimpit-himpit seperti sardin di dalam bilik menyimpan barang yang sempit memakan diri apabila kesemua mereka ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman AST di sini kelmarin.

Serbuan pukul 8 malam itu dilakukan selepas polis menerima maklumat awam dan risikan bahawa premis berkenaan menggaji pekerja asing tanpa permit.

Dalam serbuan itu, polis menahan seramai tujuh wanita warga China dan dua wanita warga Thailand berusia di antara 20 dan 31 tahun.

Pegawai Turus Bahagian Anti Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Deputi Supritendan Habibi Majinji berkata, pada mulanya polis hampir putus asa apabila mendapati tiada GRO yang bekerja ketika serbuan dibuat.

"Bagaimanapun, selepas kita membuat pemeriksaan dengan teliti, kita dapati ada sesuatu yang mencurigakan dalam bilik menyimpan barang.

"Sebaik dibuka, kita dapati sembilan GRO sedang bersembunyi di dalam bilik itu dalam keadaan berhimpit-himpit. Mereka mungkin bertindak demikian selepas dapat menghidu kehadiran kita," katanya di sini semalam.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS