Nuffnang

Utusan Online - Hiburan

sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Stubborn kekal ‘degil’ demi muzik

Posted: 18 May 2013 02:00 AM PDT

STUBBORN mula dikenali ramai selepas memperkenalkan genre irama Melayu laju dalam industri muzik indie tempatan.

MULA ditubuhkan pada tahun 2006, kumpulan ini nyata kental apabila dua ahli asalnya meneruskan perjuangan yang telah dilaksanakan sejak mereka masih di bangku sekolah lagi.

Kini, kumpulan ini dianggotai oleh empat anak muda yang masing-masing mempunyai kerjaya sendiri tetapi minat yang mendalam terhadap muzik membuatkan mereka terus bersatu.

Ahli kumpulan Stubborn terdiri daripada Anissabri Alaihi Malek, 24, (vokal/gitar), Farul Fadzri Mohammad Fuzi, 23, (gitar), Mohd. Mu'izzudin Mohd. Minhad, 22, (bass) dan Shafiq Farhan Shahidan, 23, (drum).

Menurut Anissabri Alaihi, persaingan yang wujud ketika kumpulannya mula menapak dalam industri muzik indie sememangnya tidak dapat dilupakan kerana sukar untuk mendapatkan kepercayaan daripada peminat dengan mempertaruhkan karya mereka.

Kami memutuskan untuk mencari dan memiliki ciri-ciri unik untuk membezakan Stubborn dengan kumpulan muzik underground sedia ada agar mudah dikenali oleh peminat.

Stubborn mula bergerak serius pada tahun 2009 dan mencetuskan fenomena baharu dalam industri muzik underground apabila mencipta genre yang agak unik iaitu irama Melayu laju," katanya.

Single pertama mereka bertajuk Mimpi diberi nafas menggunakan genre baharu itu terus melonjakkan nama mereka pada tahun 2010. Sehingga kini masih ramai peminat mereka yang meminta untuk mempersembahkan single itu setiap kali Stubborn muncul di atas pentas.

Secara keseluruhan, kumpulan ini membawa konsep Punk Rock (Jepun dan Amerika Syarikat) dalam kebanyakan lagu mereka dan nyata berkesan apabila peminat muzik indie tanah air menerimanya walaupun genre berkenaan masih baharu.

Irama yang kami bawakan masih fresh dan ia sangat membantu perkembangan karier kami, sekali gus menjadi identiti kami termasuk pembawaan irama Melayu laju.

Kami juga sentiasa menghasilkan lagu-lagu yang mempunyai jalan penceritaan yang dekat dengan masyarakat kita di samping menyelitkan mesej berunsurkan nasihat dan hakikat di zaman moden ini," katanya.

Baru-baru ini, Stubborn telah melancarkan single terbaru mereka yang bertajuk Heyy Kirana pada Mac lalu berserta penghasilan video klip yang dilakukan dengan kerjasama Pengarah Lemediator Production, Idham Md. Din menggunakan teknologi skrin hijau.

Single ini lebih bercirikan Pop Punk dan juga Dance yang mengisahkan seorang insan melalui satu proses yang sukar untuk menyampaikan hasrat tetapi menunggu saat yang tepat supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

Kepada anda yang masih tidak berpeluang mendengar genre unik yang dibawa oleh kumpulan ini, apa kata anda dengar sendiri dengan melayari www.facebook.com/stubbornmalaysia, www.twitter.com/wearesostubborn, www.youtube.com/stubbornmalaysia atau stubbornband@yahoo.com. - AZRIN

Ainul Aishah sibuk berniaga

Posted: 18 May 2013 02:00 AM PDT

KEKANGAN masa tidak menghalang Ainul Aishah untuk beramah mesra serta berkongsi cerita mengenai perkembangan terbaharu dengan peminat-peminatnya.

DIKENALI sebagai seorang pelakon wanita yang cukup berbakat dan mempunyai potensi besar dalam bidang lakonan, namun semenjak kebelakangan ini penampilan Ainul Aishah Azizun, 27, kini dilihat semakin berkurangan sama ada di kaca televisyen atau di layar perak.

Selain mencipta nama sebagai dramatis yang sudah membintangi pelbagai drama, pelakon berkenaan juga sudah tampil dengan beberapa buah filem seperti Nana Tanjung, Nana Tanjung 2, Otai, Skrip 7707 dan Histeria.

Jika kamu ingin tahu, Ainul kini semakin bergiat aktif dalam menguruskan perniagaan biskutnya dan selain perniagaan berkenaan, Ainul juga menolong keluarganya membuka cawangan Tutty Fruity di Bangi, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan.

Berkesempatan menemui pelakon berkenaan dalam satu majlis baru-baru ini, Ainul memberitahu buat masa ini dia sememangnya mengurangkan aktiviti seninya dan menumpukan perhatian terhadap perniagaannya yang baru beroperasi dua bulan lalu.

Mengimbau kembali penglibatannya dalam bidang seni, wanita bertubuh genit ini berkata, semuanya bermula seawal usia 13 tahun dan dia terlibat secara langsung dalam beberapa iklan komersial televisyen.

Maka tak hairanlah namanya pernah terpilih membintangi lebih 30 buah iklan antaranya Pepsi, Maxis, TM, Head & Shoulder dan banyak lagi.

Menurut Ainul, idea membuka perniagaan berasaskan biskut bermula hanya suka-suka dengan mempelajarinya di laman web YouTube dan lama-kelamaan dia tergerak hati untuk menjadikan satu cabang niaga buat dirinya.

Tanpa diduga, usahanya itu memberi pulangan yang menggalakkan apabila beberapa jenis biskut yang dijualnya mendapat sambutan luar biasa.

Kata Ainul, disebabkan perkara itu dia terpaksa menggaji seorang pembantu kerana perlu memenuhi permintaan dan tempahan daripada orang ramai.

Ainul nyata seorang yang mempunyai wawasan dan jelas memikirkan masa depannya. Ini kerana dia meletakkan pelbagai strategi untuk memasarkan biskut buatannya itu antaranya dengan cara menempatkan biskut-biskut tersebut di bazar-bazar tertentu serta kedai runcit di sekitar Bangi dan Kuala Lumpur.

Menamakan biskut-biskutnya Ainul A Cookies, Ainul juga berhasrat untuk membuka sebuah kafe tidak lama lagi bagi mengembangkan perniagaan tersebut.

Sehubungan itu, tambah pelakon drama Begitulah Cinta ini, disebabkan ingin memberi fokus terhadap dunia perniagaan membuatkan dia terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon terutamanya drama bersiri.

Mengakui berlakon memerlukan komitmen yang tinggi, membuatkan dia menjadi selektif dan tidak mensia-siakan sekiranya ada watak yang bagus serta sedikit sahaja dia akan pertimbangkan.

Terbaharu, Ainul baru selesai penggambaran filem Pilot Cafe dan mengakui menerima tawaran tersebut kerana ingin berlakon di bawah arahan Osman Ali biarpun wataknya hanya sekadar pembantu sahaja.

Bagi kamu yang ingin merasai keenakkan biskut buatan Ainul bolehlah melawati instagram miliknya, hanya taip Ainul Aishah dan boleh terus membuat tempahan di situ.

Sebagai anak seni, biar sibuk mana sekalipun, Ainul tetap mengutamakan para peminatnya. Baru-baru ini, .com berkesempatan menemukan Ainul bersama peminatnya di satu majlis pembukaan Cosway cawangan Kota Damansara, baru-baru ini. - NORLIDA ROSLAN / AZLAN HADI

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Langkah Yuka

Posted: 17 May 2013 07:23 PM PDT

Nama Yuka Kharisma masih belum dikenali ramai di kalangan rakyat Malaysia, namun melihat kemampuan vokalnya, peserta program realiti Indonesia Idol musim kelima itu mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan penyanyi Indonesia yang popular.

Suara serak basahnya ada ketika kedengaran seperti Anggun C Sasmi, dalam sisi lain pula seperti Bunga Citra Lestari (BCL). Bagaimanapun, anak kelahiran Lhokseumawe, Acheh Utara itu tidak sesekali meniru identiti Anggun mahupun BCL untuk cepat menempa nama dalam industri hiburan. Sebaliknya, ia hanya secara kebetulan.

Isu suaranya mirip Anggun dan BCL mula timbul apabila peminat mendengar dua singlenya berjudul Kita Harus Percaya dan Ku Bersedia, dua-duanya ciptaan Pay Burman dan lirik oleh Dewiq.

Yuka yang kini di bawah pengurusan Mentari Management Sdn Bhd berkata, Anggun dan BCL adalah nama besar dalam industri hiburan, manakala dirinya pula baru mengatur langkah bergelar penyanyi.

Ton suara agak serupa

"Saya tidak meniru sesiapa, ia hanyalah persepsi peminat apabila mendengar suara saya. Ada yang mengatakan suara saya lebih mirip Anggun, ada pula yang beranggapan kedengaran seperti BCL. Antara kami banyak perbezaannya.

Mungkin ton suara kami agak serupa tapi, saya lebih cenderung menyampaikan lagu pop. Bagaimanapun, terpulang pada pendengaran masing-masing.
"Saya rasa tidak timbul isu saya meniru suara Anggun mahu BCL, mereka terlalu hebat buat saya. Siapalah saya? Bagaimanapun, saya mahu berdiri teguh dengan identiti tersendiri," katanya yang ditemui B*POP ketika memprosikan single dan video muzik, Kita Harus Percaya.

Selain itu, Yuka berada di Kuala Lumpur selama dua minggu untuk rakaman lagu terbarunya, Tiada Luka ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik Shah Shamsiri.

Akui Yuka, dia tetap menyimpan impian bergelar penyayi biarpun hanya sempat berada dalam Top 14 dalam Indonesia Idol pada 2008.

"Impian ini terlaksana apabila saya bertemu wakil Mentari Management Sdn Bhd. Secara kebetulan, saya menerima undangan menyanyi di majlis resepsi seorang teman di Kuala Lumpur.

"Saya tambah gembira apabila keinginan bekerjasama dengan komposer terkenal seperti Pay Burman terlaksana. Bukan mudah, Pay Burman ada penilaian sendiri sebelum memberikan lagu. Sebelum ini, mereka pernah menghasilkan lagu buat Rossa, Agnes Monica, Kris Dayanti, Kotak dan Datuk Siti Nurhaliza.

"Jujurnya, saya sudah mula menyanyi sejak berusia tiga tahun. Selalunya saya akan menyanyi dalam acara keluarga atau kenduri kahwin. Saya juga menyertai pelbagai pertandingan nyanyian di sekolah, selalunya akan bergelar juara," katanya anak ketiga daripada empat adik beradik itu.

Erti Persahabatan Kirk & Spock

Posted: 17 May 2013 05:27 PM PDT

Perkenalan awal mereka boleh digambarkan sebagai tegang. Seperti yang dilihat di dalam filem 'Star Trek' (2009), Spock telah tampil membuat pendakwaan terhadap James T. Kirk kepada Starfleet Academy, di mana dia menuduhnya menipu ketika menjalani ujian simulasi Kobayashi Maru.

Tuduhan berkenaan menyebabkan Kirk digantung tugasnya buat sementara waktu. Keadaan bertambah buruk apabila Kapten Christopher Pike melantik Kirk sebagai pegawai kanan Spock, memaksa mereka untuk bekerjasama.

Sememangnya perwatakan mereka cukup berbeza. Spock seorang Vulcan yang bersandarkan pada pemikiran logik dan di luarannya, seakan tidak beremosi.

Zachary Quinto yang sekali lagi diberi tanggungjawab menggalas watak ikonik Spock, memberitahu filem 'Star Trek Into Darkness' melihat Spock bergelut dengan persoalan emosi dan apa maknanya menjadi seorang sahabat.

"Di permulaan filem, Kirk telah membuat beberapa keputusan yang akhirnya memakan diri sendiri, malah turut membahayakan nyawa Spock. Spock, benar kepada jati dirinya, sanggup mengorbankan nyawanya demi menegakkan undang-undang.

"Tetapi Kirk tidak akan membiarkan kawannya mati disebabkan hanya beberapa peraturan. Percanggahan pendapat di antara mereka menjadi tema sepanjang filem. Namun ada satu ketika di mana Spock akhirnya memahami apa erti persahabatan, bila dia sendiri mengakui memiliki kemampuan menaruh emosi terhadap orang lain."

Berlainan pula Kirk. Kapten kapal Enterprise itu mempamerkan sifat-sifat idealistik manusia dan lebih cenderung membuat keputusan berdasarkan naluri.
Namun, di sebalik perbezaan personaliti mereka, kedua-duanya memiliki keinginan yang sama iaitu untuk menerokai angkasa lepas, merungkai persoalan-persoalan keajaiban saintifik dan menghormati semua bentuk kehidupan. Terikat dengan matlamat ini, Spock dan Kirk berjaya membentuk satu persahabatan dan kerjasama yang unik dan utuh.

Bak kata Chris Pine yang membawa watak Kirk, "DNA mereka cukup berbeza tetapi akhirnya, mereka menemui sintesis sebagai sahabat."

'Star Trek Into Darkness' 3D & 3D IMAX akan menemui peminat di pawagam bermula 15 Mei ini manakala tayangan rasmi pada 16 Mei.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS