Nuffnang

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Terukir Di Bintang juara lagu

Posted: 06 Jan 2013 04:00 PM PST

Lagu ciptaan Yuna ketepikan 11 ciptaan lain rebut RM35,000

Kekuatan melodi berserta lirik yang cukup puitis dan berkualiti membolehkan lagu Terukir Di Bintang ciptaan sepenuhnya Yuna dipilih sebagai juara Anugerah Juara Lagu Ke-27 (AJL27).

Lagu nyanyian asal penciptanya sendiri itu dipersembahkan oleh Aizat pada pertandingan yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil, malam tadi. Dengan kemenangan itu, mereka membawa pulang wang tunai RM35,000 dan trofi.

Idola ciptaan Audi Mok dan Azlan pula diumumkan sebagai naib juara yang menyaksikan mereka membawa pulang wang tunai RM15,000 berserta trofi.

Tempat ketiga jatuh kepada lagu Ku Akui hasil karya Ajai yang dinyanyikan Hafiz sekali gus meraih hadiah wang tunai RM12,000 dan trofi.

Tuah juga nampaknya masih berpihak kepada Hafiz apabila vokal mantap penyanyi ini membolehkannya mengekalkan gelaran Vokal Terbaik buat tahun ketiga berturut-turut. Dia menerima hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi.

Gandingan mantap Black dan RJ pula melayakkan mereka bergelar pemenang Persembahan Terbaik menerusi lagu Teman Pengganti untuk meraih RM10,000 dan trofi. Buat julung kali, kategori ini menyerahkan kuasa undian sepenuhnya kepada peminat.
Hadiah disampaikan Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Ahmad Izham Omar.

Lagu Ombak Rindu pula diumumkan sebagai Juara Mobile.

AJL27 turut diserikan dengan persembahan pembukaan oleh Misha Omar melalui lagu Bunga-Bunga Cinta, Ziana Zain dengan Fatalistik serta Faizal Tahir bersama Royal FT Force menghangatkan suasana stadium dengan lagu terbaru, Anti Graviti.

Menerusi segmen Interlude, penonton diajak mengimbas kembali zaman rock kapak apabila menampilkan persembahan empat vokalis legenda iaitu Rahmat daripada kumpulan Mega, Aris Ariwatan, Joey Bumiputera Rockers (BPR) dan Ramli Sarip. Persembahan mereka diiringi gitaris terkenal tanah air seperti Man Keedal (Lefthanded), Rodi (Kristal), AG (Coco) dan Edrie Hashim (Projek Pistol).

Penyampai radio Hot FM, Faizal Ismail, dan bekas hos Muzik-Muzik, Cheryl Samad, bertindak sebagai pengacara bersama malam anugerah yang bertemakan Ekspresi Seni itu.

INFO: Pemenang/Hadiah AJL27
* Juara - Terukir Di Bintang (Trofi dan wang tunai RM35,000)
* Naib Juara - Idola (Trofi dan wang tunai RM15,000)
* Tempat Ketiga - Ku Akui (Trofi dan wang tunai RM12,000)
* Persembahan Terbaik - Black & RJ (Trofi dan wang tunai RM10,000)
* Vokal Terbaik - Hafiz (Trofi dan wang tunai RM10,000)

Finalis diumum Rabu

Posted: 06 Jan 2013 02:58 PM PST

ABPBH 2012 bakal saksikan saingan paling sengit calon akhir

Ketika artikel ini disiapkan, proses pengiraan undi bagi menentukan calon yang layak ke peringkat Top 5 Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 sedang rancak dilakukan, selepas borang terakhir pencalonan awal disiarkan pada 25 Disember lalu dan tarikh tutup penyertaan pula tiba beberapa hari kemudian.

Hanya tinggal beberapa hari saja lagi proses pengiraan berkenaan dijalankan sebelum pengumuman mengenai calon akhir diadakan pada sidang media kedua ABPBH 2012 yang dijadualkan berlangsung petang Rabu ini di Subang Jaya. Jemputan pun sudah dihantar kepada pihak media yang sudi membuat liputan, seterusnya menyokong penganjuran.

Ketika ini juga, tentu saja calon yang layak bertanding pada peringkat awal anugerah berdebar-debar menunggu panggilan daripada penganjur. Andainya mereka menerima panggilan untuk hadir ke majlis sidang media terbabit, maknanya nama masing-masing turut tersangkut sebagai finalis. Ia juga pastinya menjadi khabar paling menggembirakan beberapa hari selepas kedatangan tahun baru.

Semua calon yang bertanding sedar, untuk disenaraikan sebagai calon awal saja sudah begitu ketat 'syarat' dan 'kriterianya'. Inikan pula tersenarai sebagai calon akhir, ia sudah tentu boleh dianggap kejayaan awal walaupun keputusan sebenar siapa yang menaiki pentas untuk menjulang trofi ABPBH edisi ke-26 ini hanya diketahui pada April nanti.

Faktor kejayaan

Berdasarkan kedudukan semasa undian, nyata bayangan calon yang memboloskan diri ke peringkat Top 5 amat hebat. Selain wajah yang pernah menjadi finalis dalam anugerah ini, ada juga nama baru yang ternyata cukup dirasa impak kemunculan mereka dalam industri seni hiburan negara.
Tidak kiralah sama ada undian peminat terhadap calon terbabit adalah berdasarkan produk mereka yang menonjol sepanjang tahun lalu ataupun hasil publisiti meluas diterima artis berkenaan kerana pelbagai cerita sensasi membabitkan diri masing-masing, boleh dikatakan calon yang berjaya memang berada dalam kelompok yang dikenali serta sering diperkatakan sepanjang 2012.

Populariti sesebuah lagu, filem, rancangan TV dan program radio nyata memberikan kelebihan buat sesetengah calon untuk meraih banyak undian daripada peminat. Pendek kata, lagi kuat sesebuah produk membabitkan mereka, lebih cerah peluang untuk artis atau personaliti terbabit terpilih sama sebagai finalis ABPBH kali ini.

Begitu juga kejayaan seseorang calon pada sesebuah anugerah sebelum berlangsungnya acara berprestij ini. Faktor itu dilihat turut membantu seseorang artis untuk menyaksikan nama mereka melekat sama sebagai calon akhir, yang akan sama-sama memeriahkan acara kemuncak anugerah ini di Bukit Jalil, kira-kira tiga bulan dari sekarang.

Pendedahan di media

Tidak dinafikan sumbangan pendedahan meluas diberikan media massa kepada seseorang artis ataupun personaliti. Walaupun baru beberapa produk dalam genggaman, tetapi dek kontroversi mahupun cerita hangat yang sentiasa mengekor di belakang, ia juga menolong sesetengah nama untuk bersaing pada acara sebenar.

Usah terkejut andainya nama yang sudah lama tiada dalam senarai akhir kembali memberikan saingan hebat dek produk mereka yang semakin menambat hati peminat. Begitu juga jangan kecewa apabila artis pilihan gagal disenaraikan ke peringkat Top 5 akibat prestasi mereka yang menurun sepanjang 2012. Semuanya boleh terjadi dalam ABPBH.

Pada masa yang sama, peluang artis yang kuat mendapat sokongan kelab peminat untuk melangkah gah sebagai finalis tidak harus diperkecilkan. Menerusi semangat dan kerja keras semua pihak dalam kelab berkenaan, mungkin hasilnya cukup membanggakan.

Secara ringkas, berdasarkan kedudukan semasa, calon yang berpotensi melangkah ke peringkat Top 5 kali ini bakal memberikan cabaran paling hebat pernah disaksikan dalam sejarah penganjuran.

Bagi calon yang mempunyai drama atau siri TV popular, filem yang meletup di pawagam, lagu yang kerap diputarkan di radio atau mendapat tontonan tinggi di YouTube, rancangan televisyen yang menerima rating hebat dan program radio yang menjadi ikutan ramai sepanjang beberapa bulan akan datang, tentunya semua itu akan menguatkan lagi profil masing-masing serta membantu diri mereka untuk bergelar pemenang.

Kepada mereka yang layak bergelar calon akhir ABPBH 2012, tahniah kami ucapkan. Buat mereka yang kali ini kurang bertuah, ingatlah kejayaan itu tidak datang dalam sekelip mata. Kemenangan yang hadir atas hasil usaha keras pula selalunya akan lebih manis rasanya.

Sila layari http://www.abpbh.com.my/

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS