Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Ayu Raudhah sibuk buat persiapan kahwin

Posted: 17 Nov 2010 07:25 PM PST



Nama Ayu Raudhah kini semakin menjadi sebutan. Bukan hanya kerana lakonannya berkesan, tetapi kisah cintanya bersama pemain bola sepak negara, Aidil Zaquan Adha, yang lebih mendapat perhatian.

Bagai sudah tertulis, Ayu dan Zaquan, yang telah pun mengikat tali pertunangan pada Oktober lalu, kini sedang mengira detik untuk bergelar suami isteri. Tarikh keramat itu bakal berlangsung hanya kurang dua bulan lagi.

Malah, Ayu yang ditemui pada majlis anjuran Astro Warna baru-baru ini, kelihatan sangat bahagia dengan status sebagai tunangan orang.

Jelas Ayu, dia kini sedang sibuk dengan persiapan majlis perkahwinannya.

"Alhamdulillah, saya dapat meniti hari-hari bahagia saya dengan tenang. Walaupun sibuk dengan jadual penggambaran, tetapi pada masa yang sama saya juga perlu siapkan kelengkapan perkahwinan. Saya buat sikit-sikit kerana masa yang terhad. Harapnya nanti semua akan okey," katanya.

Seperti ada yang panas punggung melihat kebahagiaan anak jati Kedah ini, Ayu masih lagi dikaitkan dengan kisah rumah tangga bakal iparnya, Aidil Zafuan bersama pelakon cantik, Rita Rudaini.



Enggan dikaitkan dengan rumah tangga Rita



Menurut Ayu, dia sering kali menjadi mangsa keadaan walaupun tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung kes rumah tangga Rita dan Aidil.

"Saya tak tahulah sampai bila cerita ini akan berterusan. Saya harap sangat saya tidak dikaitkan dengan kisah itu, kerana sememangnya saya tidak tahu apa-apa mengenainya.

"Bagi saya, urusan mereka, biarlah diuruskan oleh mereka sendiri tanpa melibatkan saya. Saya sedih apabila ada orang seakan menuduh sayalah punca segala-galanya," katanya yang akan tampil dengan filem Nur Kasih tidak lama lagi.

Menurut Ayu, dia orang luar dan bercinta dengan Zaquan.

"Saya bahagia bersama Zaquan dan saya tak mahu ada orang salah anggap lagi. Saya harap sangat, cerita ini berhenti di sini," katanya.

Tambahnya, kemelut berlaku terhadap kembar tunangnya itu adalah rahsia rumah tangga dan orang luar tidak berhak memberi sebarang komen.

"Saya tak mahu lagi fikirkan soal itu. Apa yang penting, pada masa singkat ini, saya akan sibuk dengan penggambaran drama dan akan berlakon filem di bawah arahan Afdlin Shauki. Saya berharap ia tidak akan berulang," katanya.

Pada masa sama, Ayu yang akan berangkat ke Singapura kerana terlibat dengan sebuah produksi di sana bersyukur dengan apa yang diterimanya sekarang.

"Tak sangka, walaupun ada banyak kontroversi melibatkan saya, tetapi ada penerbit yang masih percaya pada bakat saya. Saya juga berbangga kerana dipilih menjadi pelakon utama untuk sebuah drama di Singapura.

"Drama berjudul Empire mengisahkan seorang gangster. Walaupun tidak memainkan watak gangster, tetapi saya berbangga dapat bekerjasama dengan produksi luar," katanya lagi.

Konsert Namewee batal

Posted: 17 Nov 2010 07:25 PM PST



KUANTAN - Pertunjukan penyanyi rap kontroversi, Namewee yang dijadualkan Sabtu ini di sebuah pusat hiburan, di sini, dibatalkan apabila mendapat bantahan banyak pihak.

Pemilik pusat hiburan berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Wong ketika dihubungi semalam mengesahkan perkara itu dan menyatakan ia berlaku akibat salah faham.

Beliau berkata, pengelola pertunjukan berkenaan sebelum ini datang menemuinya untuk menyewa premis berkenaan bagi pertunjukan seorang artisnya.

"Dia menawarkan harga yang tinggi, saya pun tidak tanya siapa artis itu," katanya.

Wong berkata, dia hanya menyedari artis berkenaan ialah Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee setelah kain rentang pertunjukan itu digantung di premisnya, Isnin lalu.

Lebih 30 badan bukan kerajaan (NGO) di Pahang membantah pertunjukan individu itu yang pernah mencetuskan kontroversi mempersendakan lagu Negaraku dalam sebuah laman sesawang pada 2007 selain menghasilkan klip video yang mencerca guru serta menyebut Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai kurang ajar.

Wong berkata, dia juga dinasihatkan polis dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) supaya membatalkan pertunjukan itu.

Pemilik pusat hiburan itu juga mempamerkan kain rentang memaklumkan pembatalan pertunjukan berkenaan.

Sementara itu di Temerloh, Pergerakan Pemuda UMNO Pahang membantah sekeras-kerasnya pertunjukan itu kerana bimbang akan mencetuskan perkara tidak diingini.:

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Abu Jimmi Samat berkata, bantahan itu bukan bersifat perkauman, tetapi bagi menjaga keamanan kerana sebelum ini pemuda terbabit pernah mengguris perasaan rakyat negara ini.

"Kita mahukan penghibur yang baik, bersih dan berakhlak mulia serta boleh menjadi idola kepada semua kaum," katanya.

Separuh Akhir MM25: Rahmat (Mega) Jadi Perhatian

Posted: 17 Nov 2010 07:23 PM PST

SHAH ALAM: Sebanyak enam buah lagu telah diumumkan bagi menduduki carta Top 14 pusingan kedua Separuh Akhir Muzik-Muzik 25 (MM25) yang diadakan pada isnin lalu di Studio Sri pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini, Isnin.

Lagu-lagu yang berjaya menduduki di carta teratas itu adalah Drama King (Meet Uncle Hussein), Tolong Ingatkan Aku (Ana Raffali), Jahat (Stacy), Susun Silang Kata (Aizat), Ku Ada Kamu (Adira) dan Sofea Jane (Black).

Pada pusingan pertama yang diadakan pada Isnin minggu lalu, enam lagu juga dipilih menduduki carta teratas iaitu Kebahagiaan Dalam perpisahan (Shahir), Mencari Konklusi (Hujan), Noktah Cinta (Hafiz), Cinta Sempurna (Yuna), Sejujur hatimu (Adibah Noor) dan Hanyut (Faizal Tahir).

Menurut penerbit MM25, G-Bam, walaupun mempunyai sedikit masalah teknikal, pusingan kedua menunjukkan persembahan yang lebih baik berbanding dengan pusingan pertama.

Stacy

"Saya harap penonton terhibur dengan pusingan kedua kali ini. Syaa juga menerima komen yang positif daripada para juri mengenai pesembahan artis-artis kita.

"Bagaimanapun, penyanyi undangan kami, Rahmat Mega yang paling menjadi perhatian.

"Para penonton siap menyanyi bersama-sama ketika Rahmat menyanyikan lagu medley 'Takdir dan Waktu' dan 'Bayangan Gurauan'. Pada pandangan syaa, Rahmat telah menenggelamkan semua penyanyi yang bertanding malam ini," katanya.

Faizal Tahir

Pada malam itu, boleh dikatakan kesemua penyanyi termasuklah Hujan dan Miwarna (Tika Masanya), Fiq dan Miqarna (Manifestasi cinta), Hujan (Kau Harus Ada), Adam dan Stacy (Menggegar Dunia), Fabulous Cats (Cinta Kosmik) dan Faizal Tahir (Adrenalin) menyampaikan lagu masing-masing dengan baik.

Bagaimanapun, ramai yang kecewa dengan persembahan Faizal yang dianggap tidak energetik seperti biasa. Dan Fiq pula memberikan persembahan yang hebat walaupun lagu Manifestasi Cinta gagal ke peringkat akhir.

Persembahan telah diadili oleh barisan juri profesional iaitu Azhar Borhan selaku ketua juri, Azmeer, Zainuri Misfar, Che Kem dan Edrie Hashim

Pusingan akhir akan diadakan pada 22 November depan dan pada hari tersebut turut diumumkan 14 lagu terbaik untuk ke Anugerah Juara Lagu 25.

Black Mahu Bertubuh Sasa

Posted: 17 Nov 2010 07:22 PM PST

Black sedang berusaha untuk menaikkan otot tubuh badannya.

PETALING JAYA: Penyanyi Black yang sering dikatakan memiliki tubuh 'kurus kering' kini sedang berusaha untuk mendapatkan bentuk badan yang sasa pula.

Beritahu Black dia serik bila orang disekelilingnya selalu mempertikaikan tubuh badannya yang kurus walaupun dia seorang yang aktif bermain bola sepak.

"Memang orang tak sudah-sudah tanya kenapa saya terlalu kurus sedangkan saya aktif bersukan. Jadi misi saya buat masa ini adalah untuk membina badan sedikit. bagi tubuh badan saya berotot.

"Selain itu bila membuat persembahan di atas pentas, sudah semestinya saya mahu kelihatan lebih mantap dan berkeyakinan.

"Tidak salah rasanya untuk membuat pembaharuan imej. Apa-apapun dari segi pemakaian pula, ia dikekalkan seperti biasa," katanya selepas pengumuman Top 6 pusingan kedua Separuh Akhir Muzik-Muzik 25 (MM25).

Tambah Black lagi, dia ingin kelihatan menarik selain memberi persembahan yang mantap kepada peminat-peminatnya.

Mengenai pemilihan lagu Drama King dan Sofea Jang dalam MM25 ke peringkat akhir, Black tidak sangka bahawa kedua-dua lagu tersebut berjaya masuk ke carta Top 6.

"Target saya hanya lagu Drama King sahaja yang akan dipilih. tapi bila nama komposer lagu Sofea Jane, Iswandi, disebut, semangat saya lebih kuat lagi dalam MM25 ini.

"Bila dah sampai ke tahap ini, saya meletakkan harapan tinggi pada dua lagu tersebut.

"Lebih-lebih lagi, Sofea jane dan Drama King mempunyai kekuatan lagu yang tersendiri.

"Alang-alag dah ke tahap ini, saya ada juga berangan untuk menang," selorohnya.

D'Jaz's Rahsia Awet Muda Jamal Abdillah

Posted: 17 Nov 2010 07:22 PM PST

Jamal melayan sesiapa sahaja dengan mesra.

KUALA LUMPUR: Anda ingin tahun rahsia awet muda Jamal Abdillah?

Ia adalah produk penjagaan kulit dan makanan tambahan terbaru berjenama D'Jaz's, keluaran penyanyi terkenal tersebut.

Selepas menggunakannya selama hampir tiga tahun, Jamal mengakui dia kini lebih langsing, segar, muda dan kulitnya semakin cerah.

Menurutnya, produk kecantikan itu menggunakan teknologi dari Perancis dan dikilangkan di negara ini.

"Produk tersebut akan dilancarkan semasa sebuah konsert khas, J2011... Legenda yang bakal diadakan di Istana Budaya pada 7 hingga 10 Januari tahun hadapan," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Pelantun lagu Kekasih Awal dan Akhir itu ditemui pada Majlis Korban sempena Aidiladha di Rumah Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Kuala Lumpur, Rabut.

Jamal dan Mohd Yunus ketika menghadiri Majlis Korban sempena Aidiladha di Rumah Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Rabu.

Jamal memberitahu, dia pernah ditawarkan menjadi duta produk itu tetapi menolaknya kerana tidak yakin akan kemujarabannya.

Jelasnya, keyakinan itu timbul apabila dia dapat merasai perubahan yang ketara selepas menggunakannya.

Jamal menambah, dia pernah merancang untuk bekerjasama dengan Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya tetapi usahasama itu tidak

berhasil ekoran kejadian malang yang menimpa usahawan kosmetik terkenal itu.

Ditanya mengapa tidak berbincang dengan anak sulung Allahyarham, Erni Dekritawati Yuliana Bukhari, Jamal menjelaskan, akaun syarikat kecantikan itu telah dibekukan memandangkan ia masih dalam siasatan polis.

"Maka saya terpaksa membuatnya sendiri dan saya tidak kisah bermula dari bawah. Ia adalah satu transformasi bagi diri saya juga," katanya.

Rimas warga asing ramai

Posted: 17 Nov 2010 07:19 PM PST

MACAM-MACAM RAGAM...kehadiran warga asing di Taman KLCC menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk tempatan dan pelancong.
MACAM-MACAM RAGAM...kehadiran warga asing di Taman KLCC menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk tempatan dan pelancong.

KUALA LUMPUR: Seperti biasa, setiap kali cuti umum, tempat tumpuan di ibu kota antaranya Taman KLCC dipenuhi ratusan warga asing yang berkumpul beramai-ramai dan melepak di kawasan berkenaan hingga menimbulkan keadaan kurang selesa kepada pelancong asing dan warga tempatan.

Ada antara mereka yang bukan saja berehat, malah melanggar peraturan dengan menceroboh masuk ke dalam kolam air pancut di hadapan Suria KLCC hingga mencacatkan pemandangan di kawasan berkenaan.


Malah, tidak kurang juga yang bersikap keterlaluan apabila tanpa segan silu bercumbu di khalayak ramai.

Suri rumah, yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 34, berkata dia bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga berikutan kehadiran terlalu ramai warga asing di taman berkenaan.


"Ini kali pertama saya dan suami datang ke sini kerana tidak dapat pulang ke kampung sempena Aidiladha, tetapi saya terkejut dengan kehadiran warga asing yang terlalu ramai sehingga saya rasa seolah-olah tidak berada di Malaysia," katanya.


Emelan Nordin, 25, dari Sabah berkata, walaupun dia sudah biasa dengan keadaan berkenaan, namun berharap pihak bertanggungjawab meningkatkan tahap keselamatan di kawasan itu."Walaupun mereka tidak mengganggu atau membuat kacau, namun pemantauan rapi perlu dilakukan kerana bukan hanya kami warga tempatan, malah saya yakin pelancong juga tidak selesa dengan sikap mereka.


"Tidak hanya melanggar peraturan yang ditetapkan di taman ini, ada juga antaranya tidak langsung menjaga kebersihan dengan membuang sampah dan meludah di merata tempat," katanya.

Bagi warga Indonesia, Hilhamjayadi, 36, cuti umum yang diperoleh digunakan sepenuhnya untuk bertemu rakan dan saudara-mara yang tidak dapat pulang menyambut Aidiladha di kampung halaman dan berkongsi pengalaman bekerja di Malaysia.


"Inilah masanya untuk kami bertemu, berkumpul sebegini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kerinduan terhadap keluarga di kampung. "Mungkin sikap tindakan kami berkumpul dipandang serong sesetengah pihak, namun sebenarnya tiada apa yang kami lakukan, hanya berkongsi cerita," katanya.


Tinjauan mendapati kebanyakan warga tempatan mengunjungi kolam kanak-kanak dengan membawa anak-anak mereka di bawah 12 tahun untuk bermain di sana lebih-lebih lagi sempena cuti sekolah sekarang.

Risau anak makin ganas

Posted: 17 Nov 2010 07:16 PM PST

CEDERA...Rakiah menunjukkan kesan luka kepada salah seorang anaknya, manakala gambar sebelah mangsa mengemas barang yang disepah suspek.
CEDERA...Rakiah menunjukkan kesan luka kepada salah seorang anaknya, manakala gambar sebelah mangsa mengemas barang yang disepah suspek.

KUALA TERENGGANU: Buntu memikirkan jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah dihadapinya, seorang ibu meminta pihak tertentu 'mengambil' anaknya yang menghidap sakit mental untuk ditempatkan di pusat pemulihan atau rumah kebajikan.

Rakiah Ngah, 60, seorang tukang sapu dari Kampung Laut di sini, berkata, dia kini hilang punca untuk mengawal anaknya, Ahmad Shaari Mohamed, 27, yang berperangai pelik dan semakin ganas sehingga sanggup mencederakannya.


Warga emas itu bimbang sekiranya Ahmad Shaari dibiarkan tanpa kawalan atau rawatan sewajarnya, nyawanya sendiri akan melayang kerana tindakan anaknya semakin keterlaluan.

"Kebelakangan ini, anak semakin ganas. Ahad lalu, dia menggigit lengan kanan saya sehingga luka dan bengkak.


"Ketika itu, saya berseorangan mencarinya di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk mengambil beg sandang yang dicurinya, tetapi dia menggigit lengan kanan saya dengan sekuat hati untuk melepaskan diri," katanya.


Rakiah berkata, mujurlah beberapa anggota polis yang bertugas di pondok berhampiran bertindak pantas menyelamatkannya kerana sebelum itu dia memberitahu mereka mengenai tujuannya ke situ untuk mencari anaknya.Menurutnya, selepas itu, anggota polis terbabit terus menahan anaknya itu dan dibawa ke balai polis sebelum dibebaskan berikutan anaknya mempunyai kad pesakit mental.


Katanya, Ahmad Shaari menjadi kurang siuman selepas rumah mereka dibakar jiran, 10 tahun lalu dan selepas tragedi itu perangai anaknya berubah menjadi pendendam.

Bekas guru ke penjara

Posted: 17 Nov 2010 07:15 PM PST

BERSALAH...Adrian dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu selepas dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan empat sebatan, semalam.
BERSALAH...Adrian dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu selepas dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan empat sebatan, semalam.

KOTA KINABALU: "Sepatutnya tugas kamu sebagai guru ialah mendidik, tetapi apa yang kamu lakukan ini menjejaskan profesion perguruan," kata Hakim Duncan Sikidol sebelum menjatuhkan hukuman 36 tahun penjara dan empat sebatan ke atas bekas guru, Adrian Simon, 31, yang didapati bersalah merogol seorang murid warga Singapura.

Adrian didapati bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam, terhadap dua tuduhan merogol murid berusia 11 tahun itu di sekolah berkenaan pada Februari dan Mac lalu.

Bagi tuduhan pertama, guru Matematik dan Sains itu dihukum penjara 18 tahun dan dua sebatan kerana merogol murid berkenaan di stor makmal sekolah antara jam 2.10 hingga 3.30 petang pada Februari lalu.

Bagi tuduhan kedua, Adrian dituduh melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di makmal jam 10.25 pagi pada 26 Mac lalu dan dikenakan hukuman penjara 18 tahun serta dua sebatan.Adrian dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Luke Ressa Balang manakala tertuduh diwakili Hairul Othman dan PJ Perira bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa.

Terdahulu, Hairul memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap anak guamnya berdasarkan kerjasama diberikan kepada polis selain tiada rekod kesalahan lampau.

Bagaimanapun, permohonan itu dibantah Luke dengan alasan tertuduh tidak seharusnya melakukan jenayah yang menjatuhkan kredibiliti perguruan.

"Sebagai guru, tertuduh bertanggungjawab mendidik murid, bukannya melakukan kesalahan jenayah. Kita harus memikirkan tekanan dihadapi mangsa dan keluarga," katanya.

Ketika penghakimannya, Duncan mengakui walaupun kekurangan bukti daripada aspek perubatan, keterangan mangsa meyakinkan mahkamah untuk menjatuhkan hukuman.

"Selepas menimbangkan semua bahan bukti, saya mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan tertuduh didapati bersalah.

"Mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan, ibu bapa sudah memberi kepercayaan kepada tertuduh menjaga muridnya, tetapi kepercayaan itu disalahguna dengan mengambil kesempatan terhadap mangsa," katanya.

Sepanjang perbicaraan selama tiga hari bermula 6 September lalu, pihak pendakwaan mengemukakan sembilan saksi, termasuk guru dan murid sekelas mangsa manakala pihak pembelaan mengemukakan empat saksi.

Mahkamah mengarahkan hukuman berjalan serentak menyebabkan tertuduh hanya perlu menjalani hukuman 18 tahun, tetapi membenarkan tarikh hukuman ditangguhkan sementara Adrian memohon rayuan di Mahkamah Tinggi.

Sempat ajar mengucap

Posted: 17 Nov 2010 07:10 PM PST

REMUK...keadaan motosikal dinaiki dua mangsa yang maut dirempuh kenderaan pacuan empat roda.
REMUK...keadaan motosikal dinaiki dua mangsa yang maut dirempuh kenderaan pacuan empat roda.

LANGKAWI: "Saya sempat beberapa kali mengajar penunggang motosikal itu mengucap sebelum dia menghembus nafas terakhir," kata Ikhwan Jaafar, 32, saksi kejadian kemalangan menyebabkan dua beranak maut di persimpangan Kampung Yooi, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Zaman Zakaria, 17, dan ibunya, Halimah Mat, 53, maut apabila motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan.

Ikhwan, saksi paling awal tiba di tempat kejadian berkata, sebaik melihat kejadian itu, dia bergegas ke arah mangsa dan cuba membantu mereka.

"Pemuda itu masih nyawa-nyawa ikan ketika saya memangkunya dan mengajar mengucap sebelum dia meninggal dunia di pangkuan saya. Ibunya pula waktu itu sudah tidak bernyawa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.Dua beranak itu dalam perjalanan ke Hospital Langkawi (HL) dari rumah mereka di Kampung Padang Kandang, di sini, untuk menziarahi seorang saudara mereka yang sakit.


Kejadian berlaku apabila Zaman yang menunggang motosikal terbabit membelok ke simpang Kampung Yooi sebelum dirempuh kenderaan pacuan empat roda itu.

Anak Halimah, Aishah Samat, 31, berkata setengah jam sebelum kejadian, ibu dan adik tirinya itu ada memberitahu mahu ke HL dengan menaiki motosikal untuk menziarahi seorang ahli keluarga mereka yang sedang sakit.

"Adik dan mak keluar rumah selepas solat Asar. Bagaimanapun, tidak lama selepas itu ada ahli keluarga menerima panggilan telefon dari seorang saksi mengatakan mereka terbabit dalam kemalangan.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, saya hanya nampak motosikal yang remuk dan diberitahu adik dan mak sudah meninggal dunia, manakala mayat mereka sudah dibawa ke HL," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Aishah berkata, kejadian itu berlaku di luar dugaan kerana adik bongsu dan ibunya ceria serta tidak menunjukkan sebarang tanda atau perubahan ketika keluar dari rumah petang kelmarin.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Trafik Langkawi, Inspektor Mohd Radzi Abd Rahman berkata, dalam kejadian itu, motosikal mangsa datang dari arah Padang Matsirat menuju ke Ulu Melaka, manakala kereta berkenaan dari arah bertentangan.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal dinaiki Zaman dan ibunya, Halimah dikatakan cuba membelok ke simpang Kampung Yooi lalu dirempuh kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan.

"Pemandu kenderaan pacuan empat roda itu adalah seorang warga asing yang menetap dan bekerja di sini dan sudah membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Trafik Langkawi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang ada maklumat diminta menghubungi polis trafik untuk membantu siasatan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

'Baru semalam kami bergurau'

Posted: 17 Nov 2010 07:08 PM PST

REMUK...keadaan kereta mangsa yang terbabas sebelum melanggar tiang monorel, pagi semalam. Gambar kecil, Intan.
REMUK...keadaan kereta mangsa yang terbabas sebelum melanggar tiang monorel, pagi semalam. Gambar kecil, Intan.

KUALA LUMPUR: "Saya masih dalam keadaan terkejut dan tidak percaya Intan sudah tiada, sedangkan baru semalam, kami sempat bergurau," kata kakak mangsa kemalangan maut di Jalan Bangsar, Liza Mohd Nazri, 35.

Liza berkata, adiknya, Intan Safiah Mohd Nazri, 25, seorang anak yang manja dengan keluarga kerana dia adalah anak bongsu daripada enam adik beradik sehingga makannya juga masih bersuap.


Intan maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan serta melanggar tiang monorel di depan dataran Maybank, kira-kira 5.25 pagi semalam.

Beliau juga kakitangan pelakon dan penerbit terkenal, Rosyam Nor yang menerajui Syarikat Suhan Movie "Sehingga kini pun jika arwah pulang ke rumah emak, Aisyah Mohamad, 60-an, di Subang, emak akan menyuapkan makanan kepadanya.


"Kali terakhir Intan makan bersuap minggu lalu ketika pulang ke rumah emak. Itulah suapan terakhir emak untuk Intan sebelum dia pergi meninggalkan kami," katanya.


Menurutnya, sebelum ini arwah tidak menunjukkan tanda-tanda yang dia akan pergi buat selama-lamanya, cuma pada hari kejadian selepas pulang ke rumah di Kampung Kerinchi pada jam 7.30 malam, arwah hanya berkurung di dalam bilik."Saya cuba mengetuk pintu biliknya beberapa kali tetapi tidak dibuka. Arwah cuma meminta saya tunggu sekejap kerana sedang berbual dengan seseorang melalui telefon bimbit.


"Tidak lama kemudian arwah memberitahu saya hendak pulang ke rumah emak. Pada waktu itu, arwah hanya membawa beg sandang dan beg tangan keluar dari rumah kira-kira jam 8.30 malam," katanya.

Bagaimanapun, selepas itu Liza tidak pulang sebaliknya keluarganya dikejutkan dengan satu panggilan misteri daripada seorang lelaki yang hanya memberitahu nombor pendaftaran kenderaan milik arwah kemalangan.


Bapa mangsa, Mohd Nazri Andak Lam, 75, berkata, dia menyangka arwah yang menghubunginya tetapi terkejut suara lelaki bercakap memberitahu kereta anaknya kemalangan.


Menurutnya, selepas itu, dia cuba menghubungi semula namun telefon bimbit berkenaan sudah dimatikan.


Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat dipandu laju sebelum hilang kawalan dan terbabas.


Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan serius pada kepala dan maut serta- merta di tempat kejadian.


"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.


"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Jenazah mangsa selamat dikebumikan selepas waktu Zohor di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kerinchi.

Diana, Lina pinjam semangat Tun Fatimah

Posted: 17 Nov 2010 07:06 PM PST

KEMBAR SEKSI...Lina (busana hitam) dan Diana persis model.
KEMBAR SEKSI...Lina (busana hitam) dan Diana persis model.

MEREKA sama cantik, sama menawan. Malah ketika mereka berdua muncul pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23), tidak lama dulu, ramai tetamu keliru - mana satu Diana, mana satu Lina?

Dengan beza usia empat minit saja, pasangan kembar seiras itu akhirnya diundang ke Balai Berita, Kuala Lumpur baru-baru ini untuk menjayakan satu sesi fotografi bagi tatapan pembaca Rap.

  • Foto

  • Foto

Ternyata Nordiana Johor Zainal Abidin atau mesra dengan panggilan Diana Johor dan adiknya, Norlina Johor (Lina) yang kedua-dua berusia 28 tahun begitu mesra bergambar dan bercerita mengenai per�kembangan terbaru mereka.

Meskipun minat bidang seni, Diana dan Lina mewarisi bakat ibu bapa mereka yang handal menjalankan perniagaan.Selain memiliki syarikat produksi sendiri, Unique Twins Sdn Bhd yang beroperasi kira-kira setahun lalu, mereka juga bertindak selaku Pengarah Hotel Pelangi di Muar, Johor dan Pelangi Balau Resort di Tanjung Balau Desaru, Johor.

Perusahaan perhotelan yang diusahakan itu adalah perniagaan milik keluarga mereka.

Diana yang memiliki Ijazah Ekonomi dan Kewangan daripada Universiti Curtin, Perth, Australia berkata, dia dan adik kembarnya, Lina cenderung menceburi perniagaan kerana pendedahan keluarga sejak usia kecil. Katanya, bisnes adalah legasi keluarga mereka yang diwarisi sejak turun-temurun.

"Perniagaan hotel kami itu sebenarnya milik ibu (Nor Aishah Abas, 54). Bagaimanapun, memandangkan kami adik-beradik sudah dewasa dan boleh belajar menguruskannya, tanggungjawab itu mula kami pikul bersama. Saya, Lina dan kakak sulung kami ada peranan masing-masing dalam memajukannya.

"Justeru, tak dinafikan jadual kami memang sibuk. Macam saya, bukan saja perniagaan perlu diberi keutamaan, tetapi karier lakonan juga. Ditambah, tawaran berlakon pun semakin ligat dan kalau tiada aral pada 23 November ini saya akan terbabit penggambaran drama Tanah Keramat.

"Drama bersiri arahan Mat London ini adalah untuk Astro Citra (Saluran 131). Bukan itu saja, bulan depan pula saya kemungkinan terbabit dengan Muzikal Tun Mahathir 2 di Istana Budaya (IB). Pementasan kali kedua ini diadakan kerana sambutan baik daripada penonton.

"Daripada apa yang saya tahu, masih ramai yang tak berpeluang menyaksikan pementasan teater ini kerana kehabisan tiket. Jadi, barangkali tidak mahu menghampakan penonton yang berminat dan sentiasa memberi sokongan, teater Muzikal Tun Mahathir akan dipentaskan lagi," kata Diana yang juga adik ipar Jejai (bekas suami Nora Danish).

Mesra berbicara, sekilas pandang memang sukar untuk mengecam antara Diana dan Lina. Lebih-lebih lagi, apabila kedua-duanya disolek dengan gaya yang sama pada sesi fotografi diadakan, kelmarin. Mujur warna pakaian mereka berbeza iaitu Diana menggayakan busana hijau manakala Lina, hitam.

Lina yang asyik menguntum senyum di bibir, kelihatan ayu. Kelembutan seorang wanita terserlah pada wajahnya, tetapi realiti sebenar, ibu kepada seorang anak ini sangat meng�gemari aktiviti lasak. Bahkan, Lina adalah bekas pelumba Program Pencarian Pemandu Wanita Pasukan Redbull.

Menurut Lina, sejak kecil lagi dia memang sukakan aktiviti lasak. Malah, dia dan Diana turut memasuki kelas seni mempertahankan diri, taekwondo ketika di alam persekolahan dulu. Tanpa berselindung, Diana pula berkata dia pernah malu kerana tewas bertarung taekwondo di tangan Lina.

"Lina, nampak saja bertubuh kecil, tetapi jiwanya besar. Saya malu juga sebab kalah pada Lina atas status seorang kakak. Sebaliknya, pada masa sama saya sangat bangga ada seorang adik yang 'gagah'. Bagi kami, wajar seorang wanita menguasai seni pertahankan diri," kata Diana.

Ujar Lina, sekarang wanita selalu menjadi mangsa penjenayah. Jadi, dengan adanya seni mempertahankan diri mereka lebih yakin. Bukan riak tapi tidak salah meminjam sedikit semangat Tun Fatimah.

"Tak kisah sama ada belajar silat, judo, karate atau apa saja, asalkan seni pertahankan diri. Apapun, saya bertuah kerana mendapat suami yang ada minat sama dalam sukan lasak dan begitu memahami.

"Oleh itu, kalau ada masa lapang saya, suami dan anak (Kifaayat Putra Mohd Julian, 5) akan berkunjung ke litar Sepang atau Pasir Gudang untuk berlumba kereta. Saya suka berlumba kerana memang minat kereta. Lagipun, apabila dengar bunyi kenderaan bising boleh hilang tekanan. Pelik bukan?

"Sekalipun sudah berkeluarga, ia tak pernah menghalang saya untuk terus aktif dengan sukan lasak. Berbanding Diana, saya dapati minatnya lebih cenderung pada seni seperti menari dan berlakon. Bahkan, di sekolah dulu Diana pernah menang anugerah pelakon terbaik dalam teater.

"Apapun, Diana lebih suka aktiviti menyelam di dasar laut. Jadi, secara tidak langsung apa yang boleh dikatakan minat kami kebanyakannya sama. Mungkin, naluri kembar itu yang dapat merasai antara satu sama lain. Namun, yang pasti kami saling memberi sokongan antara satu sama lain," katanya.

Diana dan Lina mula terbabit dalam lakonan pada usia 14 tahun menerusi drama Mas Maria. Malah, ketika aktif dulu, Lina pernah membintangi beberapa drama seperti Sekam dan Putar Alam. Selain itu, Lina dan Diana juga muncul dalam MTV Asia, program MTV Is My Live mewakili negara.

Memiliki ijazah dalam bidang perhotelan di Australia, Lina berkata setakat ini, syarikat produksi mereka baru menghasilkan dua telefilem, Hana Hani Coklat Strawberi untuk Astro dan Keras (TV3). Katanya, biarpun masih mula menapak, tetapi tidak sangka mereka diterima baik dalam industri.



PROFIL
NAMA: Norlina Johor Zainal Abidin
PANGGILAN KOMERSIAL: Lina Johor
USIA: 28 tahun
KARIER: Pengarah Hotel Pelangi, Johor, pelakon dan pelumba kereta
KELUARGA: Anak bongsu daripada tiga beradik
ASAL: Johor
STATUS: Berkahwin
ANAK: Kifaayat Putra Mohd Julian, 5
DRAMA: Antaranya Mas Maria, Sekam, Putar Alam dan Hana Hani Cokelat Strawberi
PENDIDIKAN: Ijazah dalam bidang perhotelan di Australia
PENCAPAIAN: Bekas pelumba Program Pencarian Pemandu Wanita Pasukan Redbull


PROFIL
NAMA: Nordiana Johor Zainal Abidin
PANGGILAN KOMERSIAL: Diana Johor
USIA: 28 tahun
KARIER: Pengarah Hotel Pelangi, Johor, pelakon dan model iklan komersial
KELUARGA: Anak kedua daripada tiga beradik
ASAL: Johor
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Ramelle Ashram Ramli, 32
DRAMA: Antaranya Mas Maria, Sembilu, Astana Idaman, Hana Hani Cokelat Strawberi dan Tanah Keramat
PENDIDIKAN: Ijazah Ekonomi dan Kewangan dari Universiti Curtin, Perth, Australia
IKLAN TV: Banyak, antaranya minyak masak Aliff

Bersangka baik niat orang berkorban

Posted: 17 Nov 2010 07:02 PM PST


semangat korban dibuktikan dengan ikatan ukhuwah menerusi gotong-rorong. - Gambar hiasan


ORANG yang berkorban akan dikurniakan kebajikan sebanyak bulu binatang yang dikorban. Titisan darah korban yang pertama adalah pengampunan bagi dosa-dosa yang telah lalu dan darah korban yang tumpah ke bumi akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah SWT.

Mungkin kesedaran dan pemahaman daripada beberapa janji Allah SWT buat hamba-hamba-Nya yang melaksanakan ibadat korban, antaranya seperti di atas, telah menimbulkan keinsafan sekali gus menyumbang kepada peningkatan kesedaran umat Islam dalam penganjuran majlis korban di negara ini setiap tahun.

Tetapi yang menjadi persoalan ialah niat di sebalik melaksanakan ibadat tersebut. Adakah kerana mengikut aliran atau trend semata-mata atau ia dilakukan kerana keinsafan dan mahu mendapat keredaan Allah.

Pengerusi Eksekutif Darul Fuqaha, Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, amalan agama di kalangan masyarakat meningkat kerana kefahaman yang semakin bertambah.

Apabila masyarakat makin memahami Islam, secara automatik amalan-amalan Islam memperlihatkan peningkatan.

Katanya, begitu juga dengan amalan korban. Peningkatan amalan itu di kalangan masyarakat adalah tanda positif bahawa usaha dakwah dan penyebaran ilmu Islam semakin meningkat di negara kita ini.

"Hari ini, kita melihat di Lembah Klang sendiri usaha-usaha dakwah berkembang pesat. Surau-surau dan masjid dihidupkan dengan kuliah-kuliah ilmu.

"Sudah tentu ia memberi kesan kepada peningkatan amalan Islam termasuk ibadah korban. Kepentingan melakukan ibadah korban pula bukan hanya dibicarakan di institusi masjid mahupun surau, malah pihak media massa, mahupun media elektronik semakin berperanan memberikan kesedaran. Semua itu bagi saya menyumbang kepada kesedaran ini.

"Begitu juga dengan jawatankuasa masjid, penggantungan kain-kain rentang dan sepanduk yang mempromosi ibadah korban. "Ringkasnya amalan Islam mesti dipromosikan. Apabila promosi dibuat peningkatan amalan di kalangan umat akan berlaku. Kerana itulah Allah berfirman dalam surah al-Hajj ayat 27: Dan isytiharkanlah kepada orang ramai melakukan ibadah haji… Ertinya Allah mengarahkan baginda Ibrahim untuk membuat 'perisytiharan'. Itu adalah satu promosi ibadat," kata Dr. Mohd. Khairuddin.

Menjawab segelintir pihak yang mengatakan peningkatan ini disebabkan ada peserta nampak seperti mahu menunjuk-nunjuk, Dr. Mohd. Khairuddin berkata, Allah berfirman dalam surah al-Haj ayat 34 bermaksud: Tidak akan mencapai Allah daging-daging (ternakan yang disembelih) dan darah-darahnya tetapi yang mencapai Allah ialah ketaqwaan daripada kamu.

Ayat ini jelasnya, memperingatkan tentang kepentingan membetulkan niat ketika berkorban iaitu demi mendapat keredaan Allah. Namun perlu difahami bahawa niat adalah sesuatu yang tersembunyi di dada manusia tidak diketahui oleh manusia lain.

Justeru itu ulama Islam menegaskan: "Kita menghukum berdasarkan zahir dan Allah yang menguruskan apa yang tersembunyi."

"Ertinya kita hanya berhak melihat kepada luaran amalan korban tadi. Apa pun niatnya berkorban diserahkan kepada Allah, bukan kerja kita untuk menghukum dan menilainya," tegas beliau.

Apabila masyarakat Islam semakin ramai berkorban menyembelih ternakan kita perlu menafsirkannya sebagai satu amalan positif petanda peningkatan amalan Islam.

Menurut Dr. Mohd. Khairuddin, apa yang penting syiar ibadah seperti korban mesti dilaksanakan tanpa kita mempertikaikan niat di sebaliknya.

Malah perlu difahami, meninggalkan satu amalan kerana takut riak, itu merupakan satu riak seperti ditegaskan oleh para alim ulama dalam karya-karya berkaitan kesucian jiwa.

"Kesimpulannya, kita mengajak masyarakat berkorban dengan melakukan seperti mana tuntutan hukum fiqh. Pada masa sama, kita mengajak mereka membetulkan niat berkorban kerana Allah.

"Ibadah korban mesti dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan sunnah muakkadah dan dalam masa yang sama berusaha perbetulkan niat kamu," ujarnya.

Menurut Dr. Mohd. Khairuddin, kisah korban bermula dengan sejarah Ibrahim yang diuji oleh Allah dengan perintah menyembelih anaknya. Apabila perintah itu hampir dilaksanakan, Allah menebusnya dengan seekor binatang sembelihan sebagai gantinya. Seterusnya ia menjadi sunnah bagi umat terkemudian. Ia diceritakan dalam surah Saffat ayat 102-108.

"Cerita ini menggambarkan ketaatan tidak berbelah-bagi Nabi Ibrahim dan Ismail kepada Allah. Ini cerita akidah dan keyakinan. Ibrahim dan Ismail meyakini bahawa Allah yang mencipta dirinya, memberinya nyawa, mengurniakan rezeki dan menghidup serta mematikan manusia.

"Apabila berhadapan dengan perintah Allah, manusia tidak ada pilihan selagi dia makan dan minum rezeki yang diberikan oleh Allah. Maka inilah pengajaran cerita pengorbanan Ibrahim - ketaatan mutlak kepada Allah tanpa bantahan."

Dr. Mohd. Khairuddin turut memberi amaran kepada sebahagian umat Islam yang lemah keimanannya yang mana selalu mempertikaikan perintah Allah yang kononnya, dilihat tidak logik.

"Amalan Islam tidak diukur dengan logik ilmu tapi dinilai dengan keimanan. Keimanan bermaksud keyakinan dalam hati bahawa ia perintah daripada Allah yang mencipta dirinya dan berkuasa ke atas dirinya.

"Apabila dia meyakini bahawa itu merupakan perintah Allah yang lebih bijak dan pandai daripada dirinya maka dia akan meletakkan sepenuh keyakinan untuk melaksanakan perintah tersebut tanpa bahasa.

"Malangnya sebahagian manusia suka menilai terlebih dahulu perintah Allah dengan menggunakan ilmunya yang terhad. Adakah ilmu manusia meliputi apa yang lalu dan menjangkau apa yang kehadapan? Logik akal dijadikan ukuran sedangkan logik merupakan persoalan ilmu. Sesuatu yang tidak logik pada satu zaman, menjadi logik pada hari ini kerana perkembangan ilmu manusia.

"Seorang Mukmin akan menerima semua perintah Allah tanpa bahas. Tetapi seorang yang fasiq akan sentiasa membantah dan mempertikaikan perintah Allah. Tunggulah nanti di hari Akhirat, mampukah dia berhujah di hadapan Allah," tanyanya.

Kempen autisme Purple Day

Posted: 17 Nov 2010 07:01 PM PST

(dari kiri) Andrew Brian dan Rosnah Abdul Rashid Shirlin bersama kanak-kanak dan tetamu jemputan pada majlis perasmian Purple Day di Kuala Lumpur baru-baru ini.


ANAK autisme sering dilabel sebagai kanak-kanak berkelakuan pelik, berada dalam dunianya sendiri dan berkemungkinan besar keciciran dalam pelajaran.

Dunia kanak-kanak autisme masih misteri kerana tiada siapa tahu apa yang bermain dalam fikiran mereka, khususnya apabila mereka mula 'buat perangai', sama ada tidak mengendahkan orang lain, asyik mengulangi perkara sama atau pun melakukan perkara yang boleh mencederakan diri.

Autisme adalah gangguan perkembangan otak yang dicirikan masalah hubungan sosial, komunikasi, emosi, kurang kebolehan imaginasi dan bermain serta menunjukkan tingkah laku terhad dan berulang - biasanya berkaitan minat, aktiviti dan perangai.

Ibu bapa yang dianugerahkan anak-anak istimewa itu juga perlu tabah dalam mendidik anak seperti anak normal yang lain.

Walaupun tugas mendidik anak istimewa ini agak mencabar keadaan tersebut akan jadi lebih mudah apabila ibu bapa mempunyai sedikit pengetahuan mengenai austime.

Di Malaysia dianggarkan satu daripada 600 kanak-kanak mengalami masalah itu.

Statistik menunjukkan kini ada kira-kira 47,000 penduduk negara ini menghidap autisme.

Daripada jumlah itu, empat atau lima orang bagi 10,000 pesakit mengalami autisme tulen yang mengakibatkan mereka kehilangan keupayaan memahami keadaan sekeliling, kecuali diri sendiri.

Sebagai langkah meningkat kesedaran dan pendidikan mengenai autisme di kalangan orang ramai pihak pengurusan pusat beli-belah terkenal, Suria KLCC baru-baru ini menganjur kempen dikenali sebagai Purple Day.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KLCC , Andrew Brian, kempen itu bertujuan memberi kesedaran terutama kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak yang mengalami autisme.

Malah, ia juga memberikan pengetahuan kepada orang ramai mengenai cara yang mereka boleh lakukan bagi membantu pesakit-pesakit autisme.

"Kempen ini juga merupakan tanda tanggungjawab sosial kami dalam membantu memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada orang ramai," katanya pada majlis pelancaran kempen tersebut.

Hadir merasmikan kempen ialah Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Turut hadir Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom), Teh Beng Choon.

Menurut Brien lagi, melalui kempen itu sebuah kiosks telah dibuka di tengah-tengah pusat membeli belah itu yang menempatkan barang-barang seperti baju-t berwarna unggu dan pelbagai cenderamata.

Jelas beliau, orang ramai boleh mendapatkan pelbagai cenderamata tersebut dan hasil jualan akan di dermakan kepada Nasom.

Katanya, melihat kepada sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung pusat beli-belah tersebut, kempen tersebut akan dijadikan acara tahunan KLCC dalam memberikan pengetahuan kepada orang ramai di samping membantu menambah dana Nasom.

Prapelancaran Adik-Adikku musim kedua

Posted: 17 Nov 2010 07:00 PM PST

RANCANGAN Adik-Adikku yang berlangsung pada 18 Mac 2010 telah mencetuskan fenomena baru dalam penerbitan program realiti televisyen tempatan.

Paling membanggakan apabila program berkenaan telah merekodkan jumlah hampir sejuta penonton. Sekali gus meletakkan Adik-Adikku sebagai program paling popular di TV1 bagi minggu ke-11 2010.

Rancangan itu yang mendapat liputan meluas pihak media dan pelbagai komen positif diterima daripada kalangan penonton melalui paparan komen dalam akhbar-akhbar harian.

Atas sambutan hangat tersebut dan bagi memenuhi permintaan penonton, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama RTM telah meneruskan pencarian bakat Adik-Adikku bagi musim kedua.

Program ini dilihat sebagai program alternatif kepada kanak-kanak yang tidak berkonsepkan hiburan semata-mata, ia juga terbukti mampu mencungkil bakat, karisma, kepimpinan dan membentuk keyakinan diri peserta melalui persembahan mereka di pentas Adik-Adikku.

Generasi muda hari ini sewajarnya dididik dengan sifat Rasulullah SAW semasa zaman kanak-kanak dan remaja yang sangat mulia dan berwibawa sekali gus dijadikan idola kanak-kanak hari ini.

Objektif rancangan itu adalah memaparkan karisma kanak-kanak, mencungkil bakat yang boleh dibina dalam diri kanak-kanak serta dapat mendorong membentuk jati diri dan istiqamah dalam kepimpinan kanak-kanak.

Sesi uji bakat telah dijalankan di 14 lokasi di seluruh negara. Para peserta uji bakat yang dibuka kepada peserta berumur lapan hingga 12 tahun dinilai oleh juri di lokasi daripada segi kepetahan berpidato, bertarannum, mengalunkan azan (bagi peserta lelaki) dan bernasyid.

Ada peserta yang menampilkan kelainan dengan membuat persembahan seperti berzanji, marhaban, dan kalam jama'ie dalam menambat hati juri.

Prapelancarannya akan disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz pada 27 November 2010 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor.

Program Adik-Adikku musim kedua ini masih meneruskan konsep musim pertama iaitu berkonsepkan hiburan, pendidikan dan riadah. Persembahan pidato yang ditugaskan kepada setiap peserta perlulah memenuhi elemen berikut iaitu mempunyai mesej yang disampaikan mengikut tema yang ditetapkan, jelas, persembahan gaya yang menarik dan terpulang kepada kebijaksanaan setiap pembimbing untuk mengasah bakat yang ada pada setiap peserta dan menggunakan kebolehan peserta yang ada untuk tampil berada di pentas.

Setiap pertandingan mempunyai penyingkiran peserta dan yang membezakan Adik-Adikku dengan program realiti lain adalah peserta yang tersingkir dibenarkan mengikuti semua aktiviti sepanjang di akademi sehingga tamat akademi.

Bagi aktiviti riadah pula, peserta didedahkan dengan tiga aktiviti yang sering diamalkan Rasulullah SAW iaitu berkuda, memanah dan pada musim kedua ini ditampilkan aktiviti berenang, sekali gus melengkapkan tiga aktiviti amalan Rasulullah SAW.

Para peserta juga dibawa melawat tempat-tempat tertentu bagi memberi pendedahan kepada peserta.

Bagi program kali ini, peserta yang terpilih ke akademi Adik-Adikku di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi bermula 27 November 2010 hingga 25 Disember 2010 akan dikumpulkan selama hampir sebulan.

Ia bagi mengikuti kelas pembelajaran melalui kurikulum yang diwajibkan sehingga mereka mampu lahir sebagai pemimpin kecil.

Dera emosi isteri

Posted: 17 Nov 2010 06:59 PM PST

Puan B sering diherdik dan dihina oleh suaminya melalui panggilan-panggilan yang mengaibkan dan kata-kata kesat yang digunakan suaminya dalam berinteraksi dengannya.

Suaminya tidak pernah memukul atau mengasari Puan B. Tetapi Puan B tidak pernah merasakan dirinya dihargai dan dimuliakan suaminya walaupun dalam keadaan dia berkorban bagi kegembiraan suami tersebut. Sekian lamanya, hidup Puan B berendam air mata.

Kes di atas merupakan contoh tekanan emosi dan perasaan yang oleh suami terhadap isteri hingga boleh menyebabkan isteri hilang harga diri dan kemuliaan sebagai seorang wanita.

Kajian menunjukkan bahawa komunikasi antara suami dan isteri yang tidak berkesan adalah antara punca utama konflik antara suami dan isteri.

Perlu difahami bahawa komunikasi amat penting dalam kehidupan rumah tangga. Tanpa komunikasi mustahil untuk pasangan suami dan isteri menyelesaikan masalah, mengembangkan hubungan secara sihat, membina kebahagiaan rumah tangga dan mencapai tujuan asal perkahwinan iaitu untuk mendapatkan ketenangan jiwa dan keredaan Tuhan.

Sebab itu sebilangan pengkaji ilmu komunikasi keluarga menyatakan bahawa perkahwinan adalah sesungguhnya komunikasi yang berlaku antara suami dan isteri.

Namun ramai suami atau lelaki tidak menyedari bahawa cara mereka berbicara atau berkomunikasi dengan isteri boleh menimbulkan tekanan emosi dan perasaan. Seterusnya menyebabkan hilangnya harga diri dan kemuliaan seseorang wanita tersebut.

Situasi ini amat memilukan apabila ia berlaku pada wanita yang hidupnya diabadikan untuk mengembirakan dan memuliakan suami.

Situasi yang berlaku pada Puan B di adalah satu contoh di mana suaminya tidak menggunakan kekerasan fizikal terhadap isteri. Namun secara sedar atau tidak, sang suami tersebut telah melaksanakan tindakan keganasan psikologi atau emosi melalui perlakuan yang secara terus-terusan menggunakan bahasa dan cara komunikasi yang mendatangkan kesedihan dan kepiluan yang melampau bagi si isteri.

Menurut takrifan keganasan rumah tangga yang termaktub di bawah seksyen 2 Akta Keganasan Rumahtangga 1994, keganasan rumah tangga itu juga boleh melibatkan sebarang tindakan, perlakuan atau perbuatan yang menyebabkan kesedihan yang berterusan kepada pasangan dalam perkahwinan tersebut.

Juga melalui pelbagai peruntukan yang wujud di bawah Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, tindakan kezaliman emosi yang dilakukan oleh suami boleh dijadikan asas kukuh bagi isteri mendapatkan perceraian daripada suaminya.

Umumnya terdapat pelbagai kaedah yang digunakan suami secara mereka sedar atau tidak, adalah tindakan keganasan psikologi atau emosi terhadap isteri mereka yang tersayang.

Antaranya, tindakan menyepikan diri (silent treatment) dalam rumah sendiri yang akhirnya menjurus kepada penyeksaan batin isteri, apabila isteri tidak dipedulikan sama sekali.

Seterusnya tindakan suami yang mengabaikan tanggungjawab sama ada melalui zahir atau batin, meninggalkan isteri tanpa sebarang khabar berita atau nafkah adalah satu bentuk kezaliman emosi terhadap isteri.

Situasi ini banyak berlaku dalam kehidupan suami yang mengamalkan poligami secara tidak adil dan malahan mendatangkan keseksaan selalunya kepada isteri pertama.

Terdapat juga suami yang sering memperkecilkan kebolehan isteri mereka lantas mengaplikasikan komunikasi yang sentiasa disulami dengan maki hamun dan cercaan kepada isteri tersebut.

Selain itu, ada juga suami yang suka mengawal pemikiran isteri melalui tindakan manipulasi pemikiran dan provokasi perasaan takut atau meletakkan segala kesalahan pada pihak isteri tanpa justifikasi yang waras.

Juga wujud situasi suami yang membuat suasana rumah tangga mereka dalam keadaan dikawal penuh oleh suami dan isteri dilarang sama sekali untuk bercampur atau berinteraksi dengan orang luar walaupun dengan ahli keluarga isteri itu sendiri.

Akhirnya wujud situasi kebergantungan yang melampau oleh isteri kepada suami disebabkan isteri tersebut tiada pilihan lain dalam hidupnya.

Semua situasi ini adalah contoh jelas bahawa keganasan psikologi telah dan masih boleh berlaku dalam masyarakat kita ini.

Anlene Creamy Taste lebih berkrim, lazat

Posted: 17 Nov 2010 06:58 PM PST


John McKay (kiri) pada majlis pelancaran Anlene Creamy Taste, baru-baru ini.


BAYANGKAN bagaimanakah rupa manusia tanpa tulang. Tanpa tulang, kita hanya akan kelihatan seperti sebungkus kulit yang terjelepuk di atas lantai, Kita tidak mungkin boleh berjalan, bercakap malah lebih penting ialah tidak berupaya untuk berdiri.

Rangka manusia terdiri lebih daripada 206 tulang. Tulang membentuk struktur dan memberi sokongan supaya badan kita boleh berdiri tegak, membolehkan kita bergerak juga melindungi organ dalaman seperti jantung dan paru-paru.

Ia juga berfungsi sebagai bahagian penyimpanan bagi 99 peratus daripada kandungan kalsium di dalam tubuh kita. Oleh kerana tulang memainkan pelbagai peranan penting untuk kebanyakan fungsi utama, jadi adalah amat penting untuk kita memeliharanya supaya ia kekal kuat dan sihat.

Tulang adalah tisu hidup yang terdiri daripada sel-sel hidup seperti kolagen serta mineral (kalsium dan sebagainya) dan mempunyai pengaliran darah dan pengedaran saraf.

Tulang akan terurai dan membentuk semula melalui proses semula jadi yang dikenali sebagai pembinaan semula tulang yang berlaku sepanjang hayat.

Proses penguraian dan pembinaan semula membolehkan tulang-tulang baru dibina. Kedua-dua proses ini perlu seimbang untuk mengekalkan jisim tulang. Jika aktiviti penguraian melebihi aktiviti pembinaan semula, ia mungkin akan mengakibatkan pengurangan jisim tulang. Ini bermakna jika aktiviti penguraian tulang berkurangan, anda akan dapat melindungi kekuatan tulang anda.

Tulang anda boleh mula merosot daripada usia 30 tahun. Jika ini berlaku, jisim tulang yang berkurangan tidak dapat dikembalikan.

Anlene, susu tepung yang terkenal bagi kesihatan tulang optimum untuk golongan dewasa telah melancarkan produk terbaru dalam rangkaian susu berkalsium tingginya, iaitu Anlene Creamy Taste.

Pengurus Besar Fonterra Brands (Malaysia) Sdn. Bhd., John McKay berkata, Anlene, pakar nutrisi tulang telah menghasilkan Anlene Creamy Taste untuk pengguna yang ingin menikmati susu berkalsium tinggi yang lebih berkrim di samping memenuhi keperluan kalsium harian mereka.

Beliau berkata, bahawa lebih ramai rakyat Malaysia menyedari bahawa pengambilan kalsium yang mencukupi dan amalan gaya hidup sihat dan aktif adalah penting untuk kesihatan tulang yang lebih baik.

"Ia juga mengurangkan risiko osteoporosis sejenis penyakit yang menyebabkan tulang menjadi lemah dan rapuh terutamanya di pergelangan tangan, pinggul dan tulang belakang, menjadikannya mudah patah," katanya.

McKay menambah, pada usia muda, proses pembinaan semula tulang menyebabkan lebih banyak tisu tulang dibentuk.

Apabila usia mencapai usia 20-an atau 30-an , jisim tulang mencapai kemuncaknya.

''Semakin usia meningkat, lebih banyak jisim tulang akan berkurangan kerana aktiviti penguraian melebihi aktiviti pembentukan semula. Jika ini berterusan, tulang boleh menjadi lemah dan keretakan tulang mungkin berlaku.

''Kemerosotan tulang berlaku secara perlahan-lahan, tidak menyakitkan dan tidak menunjukkan sebarang simptom. Mereka yang mengalami osteoporosis hanya menyedarinya setelah mengalami kepatahan tulang.

''Pemakanan yang seimbang, senaman dan gaya hidup sihat amat diperlukan bagi mengekalkan tulang yang kuat.

''Pengambilan nutrien tulang yang secukupnya seperti kalsium dan Vitamin D dalam diet amat penting. Susu merupakan salah satu sumber baik kerana ia membekalkan nutrien penting yang lain seperti protein, magnesium dan zink," katanya.

Teko comel cipta kelainan

Posted: 17 Nov 2010 06:58 PM PST




SUSUNAN pelbagai jenis teko teh yang unik dan comel melengkapkan lagi gaya Inggeris restoran yang terletak di SS2, Petaling Jaya itu.

Sesuai dengan nama The Teapot Cafe, lebih 200 teko teh dengan corak dan bentuk berlainan tersusun rapi pada rak khas yang melekap di dinding di setiap sudut restoran.

Ada yang berupa haiwan comel, tidak ketinggalan bentuk buah-buahan dan sayur-sayuran, kenderaan, tas tangan, piano, sinki dan pelbagai lagi.

Tidak cukup dengan itu, teko teh yang lebih kecil dibingkai kemas menghiasi dinding utama. Itu belum lagi dikira teko yang digunakan untuk hidangan pengunjung yang bertandang ke restoran.

Kesemua koleksi teko teh itu dimiliki Pengasas restoran, Puan Sri Zaleha Arshad yang sangat meminati kraftangan dan kesenian Inggeris.

Menurut Pengurus Restoran, Herny Azura Malek yang mesra disapa Azura, kesemua teko tersebut merupakan koleksi kesayangan pengasas yang diperolehi daripada serata dunia terutama United Kingdom.

"Puan Sri selalu mengikuti suami bertugas ke luar negara. Dari situ dia mengumpul koleksi teko teh yang comel dan unik," katanya.

Jelasnya lagi, peluang menetap lama di England digunakan sepenuhnya oleh pengasas untuk mempelajari kraftangan Inggeris seperti lukisan porcelain dan sulaman silang pangkah. Malah beliau kini turut membuka kelas lukisan porselein di bengkel miliknya yang terletak di Sungai Penchala.

Beberapa hasil seni Zaleha turut dipamerkan pada dinding restoran antaranya lukisan bunga mawar pada piring dan juga sulaman silang pangkah berupa teko teh yang kelihatan sangat klasik. Pada satu sudut, beberapa set teko teh dan cawan comel bercorak bunga Inggeris menancap mata memandang.

Kewujudan pelbagai jenis hiasan porselein turut melengkapkan gaya Inggeris restoran. Penggunaan kertas dinding berwarna krim keemasan di samping lantai berkayu menghasilkan satu nuansa klasik yang masih diminati ramai. Sinaran lampu malap dan juga cahaya dari chandelier Inggeris klasik mewujudkan suasana tenang restoran. Penggunaan kerusi panjang di bahagian tepi dinding membuatkan pengunjung berasa selesa seperti di rumah.

Menurut Azura, idea pembukaan restoran dicetuskan Zaleha sendiri berdasarkan minatnya yang gemar menghidangkan tetamu dengan pelbagai juadah air tangan sendiri.

"Beliau gemar mengumpul resipi dan mencuba sesuatu hidangan baru. Selepas itu beliau akan memanggil sahabat dan saudara untuk mencuba," katanya.

Daripada situ, Zaleha mengambil keputusan membuka The Teapot Cafe sekitar tahun 1998 dengan hidangan Barat sebagai taruhan utama.

Menurut Azura, asalnya restoran itu terletak di tingkat atas bangunan sekarang dan di bawahnya bilik pameran batik yang diusahakan pengasas. Kini bilik pameran itu kami pindahkan ke Sungai Penchala yang turut menempatkan bengkel lukisan porcelain.

Menghidangkan menu fusion gabungan Inggeris dan tempatan, The Teapot Cafe terkenal dengan hidangan lebih 25 jenis teh Inggeris pelbagai perasa.

"Penggemar teh pasti tahu kualiti rasa jenama Dilmah dan Whittard. Apa lagi andai digandingkan bersama scone istimewa untuk set minum petang. Itu antara hidangan signatur kami," katanya.

Selain scone yang enak dimakan bersama clotted cream dan jem strawberi, pai, kek keju, paf dan puding turut menjadi perhatian pengunjung kerana ia dimasak segar setiap hari.

Kata Azura lagi, semata-mata untuk menikmati scone istimewa The Teapot Cafe, ada pengunjung yang sanggup datang dari jauh untuk menikmati hidangan kegemaran mereka.

Selain itu hidangan tempatan seperti mee Hokkien, nasi lemak dan mee Bandung juga turut menjadi perhatian pengunjung.

The Teapot Cafe dibuka setiap Isnin hingga Sabtu bermula pukul 12 tengah hari hingga 10 malam.

Anak pandai jadi pilihan

Posted: 17 Nov 2010 06:57 PM PST

KISAH yang dipaparkan dua minggu lalu di ruangan ini sama seperti yang saya lalui semata-mata kerana ibu bapa saya lebih sayangkan anak yang lebih pandai belajar yang menjadi harapan mereka di hari tua.

''Dulu semasa kecil hidup keluarga kami memang susah, hinggakan ada antara adik- beradik kami hendak diberikan kepada saudara kerana kami miskin. Tetapi selepas ayah dapat kerja sebagai pengawal keselamatan, keadaan hidup kami berubah sedikit, walaupun bukan senang.'' Demikian cerita Juliana dalam emelnya.

''Dalam adik-beradik kami, kakak memang nampak menonjol, dia bukan sahaja pandai belajar, malah pandai menyanyi dan menari di sekolah. Malah apa sahaja aktiviti yang ada disekolah kakak akan ambil bahagian dan itu semua tidak menjejaskan pelajarannya, kakak tetap dapat nombor satu hingga tiga sahaja. Berbanding kami lima beradik.

''Ayah cukup gembira dan hadiahkan seutas rantai tangan emas untuk kakak. Dan bila ada saudara mara yang datang pasti nama kakak akan dipuji kerana kepandaiannya dalam pelajaran. Manakala kami yang lain tak boleh diharap langsung, periksa pun dapat nombor corot, begitu kata ayah merendah- rendahkan kebolehan kami.

''Sebenarnya sejak kecil, saya selalu sakit-sakit. Pernah dimasukkan ke hospital kerana penyakit kuning hampir tiga minggu. Paling menyedihkan, semasa di hospital, ayah tidak pernah menjenguk saya apatah lagi ibu.

''Ayah cuma hantar saya untuk masuk wad dan ambil bila discharge. Alasannya kerja, tak ada masa nak jenguk saya di hospital. Ibu pulak terpaksa jaga adik-adik di rumah dan tiada kenderaan untuk ke hospital KL jauh katanya.

''Selama tiga minggu di hospital terasakan macam tiga tahun. Setiap kali waktu melawat tiba, katil di kiri dan kanan dipenuhi pelawat. Tetapi saya tiada sesiapa datang ziarah. Sedihnya ketika itu, tambahan pula saya masih di sekolah rendah. Memang sejak kecil saya selalu tak sihat. Batuk dan selsema berpanjangan

''Oleh kerana sedih dengan kata-kata ayah, saya berazam belajar sungguh-sungguh. Kalau di sekolah rendah saya dapat nombor corot, tetapi masuk sekolah menengah pelajaran saya mula meningkat. Pernah dapat nombor satu. Saya tunjukkan report card dan tanya ayah bila nak belikan saya gelang emas, tapi ayah hanya diam membatu.

''Semasa tunggu keputusan SPM, saya kerja sambilan di kilang kicap untuk bantu ibu dan ayah dengan pendapatan RM5 sehari dan RM7 kalau ada overtime. Hidup kami lebih susah daripada apa yang ditunjukkan di ruangan Bersama Mu di TV3 tu.

''Sebab susah-susah mereka pun, saya tengok mereka ada tv, ada kerusi meja, ada almari. Kami tak ada semua tu. Dengan gaji RM210.00 sebulan saya beli almari pakaian yang sebelum ini pakaian kami disimpan dalam kotak-kotak sahaja. Hari berganti hari rantai tangan emas yang saya tunggu tidak juga saya dapat.

''Satu hari bulan puasa ketika mengemas rumah saya nampak satu bungkusan pakaian yang cantik tersimpan dalam almari pakaian yang saya beli. Saya tahu pasti itu bukan untuk saya. Bila tiba Hari Raya saya lihat kakak yang pakai baju cantik tu, sedihnya terasa sangat emak dan ayah tak sayangkan saya macamkan saya ni anak pungut.

''Semasa tingkatan enam kakak kerja di kilang elektronik. Kakak tak sambung belajar. Dia cuma dapat gred 3 SPM. Bila kerja malam siangnya kakak tidur sayalah yang bantu emak kerja rumah, memasak dan jaga adik.

''Setiap kali kakak dapat gaji dia tak pernah belikan saya hadiah walaupun sepasang baju. Semua gaji kakak simpan dalam ASN. Kalau tak kerja kakak jadi raja beri arahan, saya cuci pakaian di sungai, adik perempuan memasak, adik lelaki basuh pinggan di perigi dekat rumah kerana rumah kami tiada bekalan air paip waktu itu .

''Beberapa tahun kemudian saya pun berkahwin dan selepas melahirkan anak saya minta emak jagakan anak saya kerana dalam masa yang sama emak masih jaga anak kakak, tetapi emak mengelak, katanya kakak pun akan beranak tak lama lagi, jadi payahlah dia nak jaga ramai budak kecil. Kecik betul hati saya.

''Saya minta jaga anak saya untuk sementara waktu, sementara dapat pembantu. Saya faham kalau saya emak tak sayang, anak-anak saya pun emak dan ayah tak suka. Namun saya bersyukur ibu bapa mertua saya bersedia membantu menjaga anak-anak saya.

''Kini, walaupun lebih 16 tahun berlalu, tetapi saya tak boleh lupakan peristiwa. Saya tidak dapat memaafkan mereka. Terutama kakak pandai buat giliran, tetapi dia tidak pernah ikut giliran. Semuanya ikut keselesaannya. Kedua abang ipar berani tampar saya. Sedangkan dia tidak ada hak kerana saya isteri orang!

''Ketiga emak hanya mendiamkan diri apabila saya ditampar. Seolah-olah saya bukan anaknya. Keempat ayah yang menyebelahi menantunya sedangkan dulu menantu itulah yang telah memalukannya. Hati saya benar-benar luka dengan peristiwa itu.

''Baru beberapa bulan lalu, ayah dimasukkan ke hospital dan menjalani pembedahan. Kakak suruh saya bergilir-gilir jaga ayah di hospital. Sedangkan saya tidak pernah mendapat giliran yang seadil-adilnya daripada kedua ibu bapa saya dulu.'' Demikian cerita Juliana tentang pengalamannya yang tidak disayangi kedua ibu bapanya.

Bercakap tentang keadilan biarlah Allah sahaja yang menentukan, tetapi sebagai anak sepatutnya kita menjalankan tanggungjawab menjaga kebajikan kedua ibu bapa kita.

Impian hampir terlaksana

Posted: 17 Nov 2010 06:55 PM PST




SEMUANYA bermula dari hobi tatkala sering dibawa bapa, Shahrul Mohd. Ali dan ibunya, Siti Maznah Slamat ke litar go-kart berhampiran tasik di Subang Jaya, Selangor. Dari situlah terbit minat untuk lebih serius sehingga usia Siti Shahkirah mencecah 16 tahun.

JADI tidak hairanlah sekiranya orang muda ini pada zahirnya nampak lembut tetapi berubah 'warna' apabila memegang stereng go-kart 32 kuasa kuda yang mempunyai dua gear.

Dek minat yang mendalam itu, anak kedua dari dua beradik ini menyertai ratusan kejohanan di Malaysia sejak berusia sembilan tahun. Lebih membanggakan hanya Shahkirah seorang sahaja peserta perempuan yang berani berlumba kereta di trek.

''Saya tidak fikir apa-apa kalau memandu kerana tumpuan saya hanya pada garisan penamat sahaja. Saya mahu pandu cepat habiskan pusingan dan menang. Itu sahaja,'' katanya ringkas pada pertemuan baru-baru ini.

Pelbagai cabaran yang dihadapi sepanjang kejohanan itu berlangsung. Namun diakui, dugaan lebih hebat andai sang pelumba lelaki dapat tahu bahawa pemandu kereta bernombor 23 itu adalah seorang gadis.

Nah, di situlah kerap terjadi insiden langgar melanggar meskipun dilakukan secara sengaja. Iyalah, secara dasarnya, mana ada orang lelaki mahu kalah di tangan perempuan. Sementelah permainan go-kart kebanyakan didominasi oleh kaum Adam itu.

Namun, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur itu tidak gusar kerana persediaan mental dan fizikal sudah dilakukan terlebih awal apabila mengikuti beberapa bengkel secara formal.

Masa depan Shahkirah dalam dunia go-kart cukup cerah kerana terpilih sebagai salah seorang peserta program Petronas Formula Xperience Racing School 2010. Di sinilah Shahkirah mendapat pendedahan sebelum menjejak kaki ke dunia Formula Satu satu masa nanti.

Ketika anda membaca tulisan ini, Shahirah sedang ligat memberi tumpuan sepenuhnya pada kejohanan Rotax Max World Grand Finlas 2010 di La Conca, Itali yang berakhir 21 November nanti.

Ini kali pertama Shahirah mewakili negara ke peringkat antarabangsa yang turut ditemani kedua ibu bapa dan mekanik Choo Ming.

Pemegang dua lesen dari Persatuan Automobil Malaysia ini juga berharap agar dia beroleh kemenangan, sekali gus menjadi kaum Hawa termuda yang meng-

harumkan nama negara.

Menobatkan batik tempatan

Posted: 17 Nov 2010 06:54 PM PST


Noor Fatimah Ishak (tengah) melihat kakitangannya membuat lukisan batik di butiknya di Setiawangsa, Kuala Lumpur.


KETIKA pertama kali melangkah dalam dunia rekaan batik lebih 30 tahun lalu Datin Noor Fatimah Ishak tidak pernah membayangkan mampu membawa karyanya hingga ke peringkat antarabangsa.

Itulah pencapaian terbesar yang diraih berkat kerja keras dan pengorbanannya bagi menobatkan batik tempatan di persada fesyen dunia melalui jenama batiknya, Deanoor.

Anak kelahiran Kedah yang kini memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan dan Pereka Tekstil Deanoor Internation al (M) Sdn. Bhd., hanya bermula sebagai pereka tekstil biasa pada awal tahun 80- an.

Noor Fatimah mempunyai minat yang mendalam dalam bidang seni terutama rekaan batik dan pernah memenangi anugerah Traditional Batik Costume pada tahun 1970-an yang ia menjadi langkah pertama beliau dalam industri batik.

Pada tahun 1986, beliau membuka butik sendiri dengan segala minat dan kreativiti dicurahkan sepenuhnya. Batik lukisan tangan eksklusifnya mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggannya di Malaysia dan Brunei.

Bertitik tolak daripada situ, Noor Fatimah membuka langkah pertama dengan menubuhkan syarikat sendiri yang dinamakan D`Reka Batik pada tahun 1998 di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Noor Fatimah yang ditemui di pejabatnya baru-baru ini kebetulan baru sahaja pulang daripada Minggu Fesyen Milan 2010 di Itali.

"Saya bawa dua helai kaftan batik rekaan saya ke minggu fesyen tersebut. Penerimaan orang Barat mengenai batik Malaysia begitu memberangsangkan. Mereka sukakan rekaan batik kita dengan syarat rekaan mesti tulen.

"Kualiti menjadi keutamaan dan kualiti juga yang amat saya pentingkan selain warna dan rekaan batik itu sendiri.

"Saya bukannya pergi ke sana dengan tangan kosong atau bercuti. Sebelum pergi, saya membuat banyak kajian mengenai apa yang orang Eropah suka dalam fesyen seperti warna, rekaan dan tekstil yang digunakan,'' kata Noor Fatimah.

Menurutnya, negara-negara Eropah mempunyai empat musim dan setiap satu mempunyai warna pilihan dan fesyen yang berbeza.

Satu yang pasti, mereka menyukai warna-warna lembut dan mengelakkan daripada warna-warna garang atau terlalu banyak warna.

Katanya lagi, orang Eropah juga tidak begitu menyukai corak-corak bunga tetapi lebih kepada abstrak.

Justeru, sebelum menghadiri sesuatu pertunjukan fesyen seperti Minggu Fesyen Milan baru-baru ini, beliau mempersiapkan diri dan mengumpul sebanyak mungkin maklumat mengenai warna pilihan orang Barat untuk musim bunga dan panas.

"Rekaan yang dihasilkan mesti sesuai dengan pasaran Eropah, barulah kita boleh mengintai pasaran di sana," katanya.

Selain Eropah batik Deanoor turut mendapat permintaan di Amerika Syarikat dan negara Arab.

Pada September tahun depan, Deanoor sekali lagi akan mengadakan pertunjukan fesyen secara solo di Minggu Fesyen Milan dengan menampilkan 40 rekaan.

Dalam mana-mana profesion pun katanya, jika hendak pergi jauh seseorang itu mesti mempunyai wawasan dan berusaha keras untuk berjaya.

Segar berseri ketika hamil

Posted: 17 Nov 2010 06:54 PM PST


Ida Rafidah El-Emin


LETIH, lesu, sakit pinggang, kejang kaki, sukar melelapkan mata di waktu malam adalah antara keadaan yang dialami oleh ibu mengandung menjelang tiga bulan terakhir kandungan. Keadaan yang kurang selesa itu bukan sahaja menyebabkan mereka berasa letih malah mood untuk melakukan apa jua aktiviti semakin kurang.

Apabila perut semakin membesar, sistem pernafasan juga terganggu dan pendek kata kandungan yang memasuki fasa terakhir tidaklah begitu menyenangkan bagi majoriti ibu mengandung di dunia.

Justeru apakah yang boleh dibuat tentangnya?

Pakar diet dan pemilik pusat rawatan serta penjagaan sebelum dan selepas bersalin dari Iree Touch, Ida Rafidah El-Emin berkata, majoriti bakal ibu mengalami masalah seperti sakit pinggang, sukar tidur dan cepat penat pada trimester terakhir kandungan.

Malah pada sesetengah ibu, kulit mereka juga akan bertukar kehitaman di bahagian tertentu seperti di celah paha, tengkok, pelipat dan ada juga yang ditumbuhi jerawat.

"Keadaan ini berlaku akibat toksin terkumpul dalam badan ibu mengandung yang sukar dikeluarkan. Perjalanan darah yang tidak sempurna juga menyebabkan masalah seperti lenguh, kejang dan pening kepala.

"Urutan antenatal adalah penyelesaian untuk membantu memberikan keselesaan dan relaksasi buat ibu hamil," jelasnya ketika ditemui di spanya yang terletak di Bandar Puteri, Puchong, Selangor, baru-baru ini.

Ida berkata, untuk menguruskan ibu mengandung bukan sebarangan individu boleh melakukannya. Ia perlu dilakukan hanya oleh mereka yang layak dan terlatih sahaja.

"Urutan yang betul amat penting bagi mengelakkan pendarahan. Terdapat poin-poin tertentu yang sudah diketahui tukang urut tidak disentuh kerana boleh memudaratkan," jelasnya.

Kebaikan urutan antenatal ini menurut Ida, adalah bagi membantu melancarkan pernafasan ibu selain membantu sistem penghadaman dan sembelit.

"Urutan ini juga mampu memberikan nikmat serta perasaan positif dan ini amat baik untuk mental ibu mengandung mengharungi sebelum saat melahirkan tiba.

"Apabila berurut juga perjalanan darah ibu akan lancar, ini sekali gus menguatkan otot dan saraf sebagai persediaan melahirkan bayi kelak," ujar ibu kepada empat cahaya mata ini.

Ida menasihatkan urutan ini dimulakan ketika kehamilan mencecah empat bulan ke atas. Sebaiknya dua kali sebulan untuk kesegaran minda dan fizikal ibu mengandung.

"Iree Touch turut menyediakan khidmat ini agar ibu mengandung menikmati perkhidmatan yang pastinya membuatkan mereka lebih segar, bertenaga dan bersemangat pada trimester kehamilan," jelasnya.

Messo Z kaedah semburan untuk cair lemak

Posted: 17 Nov 2010 06:52 PM PST


Ziela Che Noor Selepas rangkaian minuman serat, Fiber.


KEGEMUKAN adalah punca kepada segala masalah yang tidak baik. Lemak yang berkumpul pada bahagian tertentu menjadikan tubuh seseorang itu nampak jelik. Kebiasaannya apabila seseorang itu berasa berat badannya semakin bertambah, bahagian tubuh yang paling ketara 'naik' ialah perut dan muka.

Perut kelihatan buncit seperti orang yang hamil peringkat awal sementara muka nampak tembam dan bulat. Perubahan ini memalukan apatah lagi apabila ditegur orang. Memakai baju besar mungkin boleh menyembunyikan perut buncit tetapi bagaimanakah hendak menyembunyikan bentuk muka yang tembam?

Bagaimanapun kepada anda yang menghadapi masalah ini, anda tidak perlu risau kerana terdapat cara terkini bagi mengatasinya. Anda tidak memerlukan pembedahan mahupun diet yang menyiksakan bagi memecahkan lemak yang berkumpul pada muka anda atau bahagian-bahagian lain tubuh.

Messo Z merupakan cara terbaru dan berkesan untuk mencairkan lemak. Rawatan yang tidak menyakitkan dan selamat ini menggunakan alat yang diimport dari Sepanyol dan menggunakan kaedah semburan semasa melakukan rawatan. Ia telah digunakan di beberapa buah negara.

''Kebanyakan wanita Malaysia memang suka makan sehingga mereka tidak menyedari bahawa mereka telah makan berlebihan. Akibatnya berat badan semakin bertambah dan apabila ini terjadi, susah bagi mereka hendak menjadi kurus semula atau mendapatkan berat badan dulu,'' kata Pengarah Urusan ZZ Beauty, Ziela Che Noor yang ditemui di pusat pelangsingannya di Gombak baru-baru ini.

Menurut Ziela, wanita harus pandai menjaga kecantikan dan kesihatan kerana ia adalah sebahagian daripada faktor yang menjamin kepada kebahagiaan rumah tangga.

Katanya, rawatan mencairkan lemak ini mengambil masa selama setengah jam setiap kali rawatan. Sebaik-baiknya jangan makan satu jam sebelum rawatan bagi mengelakkan daripada keadaan yang tidak selesa terutamanya jika rawatan dilakukan pada perut.

Ziela menambah, krim khas akan disapu pada bahagian yang hendak dirawat kemudian guna mesin Messo Z.

''Selepas satu kali rawatan, tunggu selama 10 hari sebelum melakukan rawatan kali kedua.

''Jika di rumah pula, sapu krim nano-tech setiap siang dan malam setiap hari bagi membantu mencairkan lemak. Hasilnya boleh dilihat bermula sekali rawatan.

Ziela berkata, selain wanita, rawatan mencairkan lemak ini juga boleh dilakukan oleh lelaki. Pelanggan digalakkan mengambil pakej 10 kali rawatan pada harga RM480.

Lebih yakin & segar

Posted: 17 Nov 2010 06:51 PM PST


JESSLYNN, Lien Siaw, Safiah dan Ainaa menunjukkan rangkaian baru produk Clean & Clear.


SIAPA kata pada usia muda anda tidak perlu menjaga kecantikan wajah. Kulit kita akan mengalami perubahan seawal usia muda. Kebiasaannya, remaja akan mengalami masalah yang lazim seperti kulit berminyak, mudah berjerawat dan ton kulit tidak sekata.

Dengan menawarkan inovasi terkini, Clean & Clear keluaran Johnson & Johnson Sdn Bhd, ia menyerap minyak sehingga lapan kali lebih berkesan.

Produk ini telah dikenali sebagai jenama yang meningkatkan keyakinan remaja dengan membantu mengekalkan kulit yang bersih, menawan dan cantik. Clean & Clear menggunakan empat teknologi yang sesuai untuk kulit remaja. Teknologi kecantikan ini digunakan dalam rangkaian penjagaan kulit yang mempunyai fungsi yang berbeza untuk pelbagai jenis kulit.

Selain daripada rangkaian Deep Action, Clean & Clear juga mempunyai tiga lagi rangkaian produk yang lain untuk memenuhi keperluan kulit remaja yang berbeza. Rangkaian Essentials mengetengahkan pembersih buih, penyegar dan pelembap yang sesuai untuk semua jenis kulit. Disarankan untuk kegunaan siang dan malam, dan merupakan rutin harian penting bagi remaja.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman "My Clean & Clear" di Facebook.

Kematangan rekaan IFF

Posted: 17 Nov 2010 06:50 PM PST


Gaya ketimuran rekaan pereka Indonesia, Malik Mustaram.


PENTAS peragaan bagi Festival Fesyen Islam (IFF) Kuala Lumpur, kali keenam bermula 7 hingga 12 November ini menampakkan kematangan para perekanya dengan rekaan yang sopan dan manis.

Malah penampilan pereka yang terlibat langsung dalam IFF memperlihatkan pemahaman dan kerja keras dengan menampilkan hasil karya terbaik serta menepati ciri-ciri berpakaian secara Islam.

Kini, busana Muslim bukan sahaja mempunyai peminat serta pengikut setia yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa tetapi lebih membanggakan, ia menjadi medium mengeratkan pelbagai budaya bangsa.

Mengangkat tema Moghul Splendour, IFF kali ini menerapkan pengaruh dari era kegemilangan Dinasti Moghul, di mana keanggunan dan kemewahan diperlihatkan dalam pelbagai cabang seni.

Fesyen yang diperagakan meliputi semua acara daripada gaun malam, pakaian majlis rasmi, keraian sehinggalah pakaian harian yang mampu dan mesti dimiliki.

Pada majlis perasmian lalu, festival ini yang dirasmikan oleh Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pastinya menjadi satu kenangan dan persepsi baru busana Muslim dengan rekaan yang lebih sopan dan moden.

Pada acara penuh ceria itu, IFF berjaya menampilkan busana penuh idea dan kreatif hasil pereka pelbagai budaya dan agama sehingga mampu mengadaptasikan pendekatan halus berkaitan busana Muslim.

Apatah lagi, fesyen adalah bahasa universal yang mampu menterjemahkan pelbagai perasaan dan apresiasi daripada ragam budaya dan bangsa dunia.

Peragaan kali ini menampilkan idea kreatif, dan semakin moden tanpa meninggalkan unsur sopan dan unsur-unsur Islamik dalam rekaan.

Menerusi perkembangan terbaru ini, ia turut memberi petanda bahawa IFF mengubah stigma stereotaip fesyen Islam.

Penampilan pereka baru Ashnita&Ashniza yang membawa tema Jodha Akbar, bagaikan membawa mesej yang tersendiri. Apatah lagi dengan kemasan pelbagai aksesori menarik.

Pengunaan fabrik mewah seperti sutera jacquard, organza, satin, sifon adalah antara kekuatan busana pereka baru itu berentap di pentas peragaan IFF.

Malah, ketelitian pada sulaman tangan serta rekaan moden mampu menghasilkan busana yang penuh bergaya. Kita harapkan IFF merealisasikan hasrat menjadikan kota Kuala Lumpur sebagai kota fesyen Islam seperti London-Paris-New York sebagai pusat fesyen barat terkemuka di dunia.

Wawa, Afiza reka Dolce Pattini

Posted: 17 Nov 2010 06:49 PM PST


Wawa (kiri) dan Afiza berbangga dengan kasut rekaan mereka, Dolce Pattini.


OBSES kepada kasut bukan sesuatu yang baru dalam jiwa Siti Azura Shari. Ia sudah lama. Malah sejak zaman remaja lagi dia suka membeli kasut. Kasut-kasut yang dibelinya itu pun pada mata orang lain mungkin tidak sanggup dipakai tetapi pada pandangan Siti Azura atau Wawa, kasut tersebut mempunyai keistimewaan.

Setiap pasang kasut tersimpan dalam kotak-kotak yang tersusun di rumahnya memang unik dengan warna-warna terang, rekaan berbeza dan pelbagai bentuk.

Sehingga kini, Wawa mempunyai koleksi lebih daripada seratus pasang kasut. Setiap pasang kasut tersebut dijaga baik dan disimpan dalam kotak apabila tidak dipakai.

Selain membeli, dia turut menghasilkan rekaan kasut sendiri yang kemudiannya akan ditempah pada tukang kasut yang telah biasa dengannya.

Minat menghasilkan rekaan kasut juga telah membuatkan Wawa terfikir untuk memulakan perniagaan kasut. Berkongsi dengan rakannya, Nurhafizah Jaafar Sidek atau Afiza, mereka berdua membuka kedai kasut sendiri yang terletak di Wisma Central, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Walaupun kedai mereka yang dinamakan Shoes Connexxion itu kecil sahaja namun kebanyakan wanita yang lalu di hadapannya pasti akan menoleh melihat kasut yang dipamerkan.

Menamakan kasut-kasut rekaan mereka sebagai Dolce Pattini - perkataan Itali yang bermaksud kasut cantik - kata Wawa, mereka mencipta kasut itu dengan minat mendalam dan penuh kecintaan.

''Semasa menghasilkan rekaan, kami akan sama-sama berbincang mengenai rekaan tersebut seperti bahan yang digunakan, ketinggian tumit, perhiasan, warna dan sebagainya.

''Namun apa yang lebih penting ialah kami akan pastikan bahawa kasut Dolce Pattini kami ini nampak bergaya, keselesaan paling penting dan mesti nampak glamor,'' kata Afiza ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Wawa, setiap wanita mempunyai minat tersendiri terhadap kasut. Terdapat antara mereka yang mahukan kasut yang nampak seksi, cantik dan lain daripada yang lain. Mereka tidak mahukan kasut yang banyak dijual di kedai kasut di pusat-pusat membeli-belah kerana ramai yang akan memakainya.

Menurut mereka, kasut-kasut rekaan Dolce Pattini sesuai dipakai ke pejabat, ke majlis glamor, kasual glamor atau berjalan-jalan.

Terdapat pelbagai bentuk, rekaan dan warna. Ada yang bertumit tinggi, bertumit baji, bertumit rendah dan leper. Ada juga yang berbentuk gladiator, open toe, peek toe dan sebagainya.

Afiza berkata, setiap rekaan kasut hanya dibuat dalam enam saiz, bermula dengan saiz lima hingga sembilan. Bagaimanapun pada masa akan datang, mereka akan menambah kepada saiz empat pula.

''Selepas sesuatu rekaan dihasilkan, kami akan mencari bahan untuk membuat kasut. Kami menggunakan bahan-bahan seperti kulit Paris, kulit Miami, suede dan fabrik sutera.

''Setelah itu, kami akan menghantar rekaan tersebut di kilang sama ada di Malaysia atau luar negara. Tempahan akan siap dalam tempoh sebulan ke atas,'' jelas Afiza.

Tambah Wawa, bagi kasut-kasut yang perlu ditambah hiasan seperti kristal atau rantai, mereka sendiri akan menjahit hiasan tersebut pada kasut.

Contohnya sepasang kasut gladiator yang dihiasi dengan rantai mengambil masa selama 32 jam untuk disiapkan.

Dengan kata lain, kasut yang mempunyai hiasan itu adalah buatan tangan. Pun begitu, harganya mampu dibeli oleh semua kerana dijual antara RM120 hingga RM180.

Selain hiasan yang menarik, Dolce Pattini amat sesuai dengan wanita yang gemarkan kasut-kasut berwarna terang seperti biru, kuning, merah, hijau, jingga selain hitam dan putih.

''Kasut Dolce Pattini turut dijual melalui Internet dan pelanggan boleh membuka facebook kami, dolce.pattini bagi melihat rekaan-rekaan terkini. Kami mempunyai ramai pelanggan di seluruh Malaysia, Sabah dan Sarawak yang membuat pesanan melalui Internet setiap pesanan akan dihantar melalui pos. Tiada sebarang caj tambahan cuma pelanggan membayar caj penghantaran sahaja,'' kata Afiza.

Kepada yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai kasut Dolce Pattini, boleh menghubungi 012-9155646 atau 017-2045550.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS