Nuffnang

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Usah pandang serong

Posted: 31 Dec 2012 03:45 PM PST

Jaclyn perjelas dirinya bukan pemarah, tapi lantang bertempat

Penyanyi, Jaclyn Victor tidak kisah jika peminat menafsir dirinya cukup lantang dalam meluahkan isi hati di laman sosial peribadinya.

Bagi penyanyi wanita bervokal mantap itu, dia bukanlah orang yang suka 'naik hantu' atau naik angin tidak tentu pasal.

Sebaliknya, akui Jaclyn atau mesra dipanggil Jac, hanya ruang itu saja yang dapat digunakan untuk meluahkan perasaan yang terbuku. Namun, Jac berharap tidak ada pihak yang memandang serong. Ini kerana baginya, catatan dalam akaun laman sosial itu adalah milik peribadinya.

"Saya bukanlah seorang pemarah yang suka marah-marah tidak tentu fasal. Memang ada ketikanya, saya akui lantang bersuara tetapi itu hanya berlaku jika kesabaran saya benar-benar diuji.

"Bagi saya, tidak salah meluahkan perasaan suka duka di laman berkenaan. Ia hak milik peribadi, jadi saya bebas untuk berkongsi apa saja di laman itu," kata Jac kepada HIP.

Jac mengulas tindakannya meluahkan perasaan dalam laman sosial miliknya baru-baru ini yang pantas mengundang persoalan peminat yang tertanya-tanya apakah penyanyi itu sedang ditimpa masalah.

Sukar tetapkan tarikh perkahwinan
Berbicara mengenai agendanya dalam melangkah tahun baru 2013, juara program realiti Malaysian Idol musim pertama ini nampaknya tidak mempunyai perancangan khusus.

Tatkala disoal mengenai rancangan menamatkan zaman solo, ternyata penyanyi lagu Gemilang yang sudah bertunang dengan jejaka Inggeris bernama Chris Bellamy sejak tujuh tahun lalu, tidak ada jawapan tepat.

"Saya tidak tahu hendak buat macam mana. Mungkin apa yang boleh saya katakan, setakat ini hanyalah bersabar dan tunggu saja (bila hendak berkahwin). Bila tiba saatnya nanti, akan saya beritahu semua.

"Bukan apa, hubungan jarak jauh bukanlah mudah. Saya di Kuala Lumpur sedangkan dia di London, jadi sukar untuk kami memikirkan mengenai perancangan untuk berkahwin," jelas Jac.

Projek besar dengan artis antarabangsa

Tahun 2012 yang melabuhkan tirainya semalam meninggalkan kenangan manis buat penyanyi ini. Sembilan tahun bergelar anak seni, Jaclyn nyata berpuas hati dengan perjalanan kerjaya seninya.

Malah, Jac baru merangkul anugerah Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Wanita) menerusi lagu berjudul Counting Days ciptaan Aubrey Suwito pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-19 yang lalu.

Akui wanita ini, dia bersyukur kerana peminat menerima baik kehadirannya dalam industri ini. Jac berkata, nasibnya mungkin sentiasa baik dan dan laluannya dalam industri muzik seperti dipermudahkan.

"Saya beruntung kerana sering mendapat peluang baik. Walaupun pernah tidak ada album selama tiga tahun, tetapi peminat masih ingat dan menerima saya. Sepanjang tempoh itu, saya masih terbabit dengan projek khas seperti menyanyikan lagu runut bunyi untuk filem mahupun muzikal.

"Dari situ, peminat melihat saya sentiasa ada dalam industri ini. Selain itu, hubungan dengan peminat juga sentiasa saya pelihara. Kami hanya bertemu pada waktu tertentu seperti baru-baru ini pada majlis hari lahir saya yang diadakan secara mengejut oleh peminat," katanya yang mendedahkan projek besar yang menyaksikan dia berduet dengan seorang penyanyi antarabangsa tahun ini.

Namun butiran lanjut termasuk identiti penyanyi antarabangsa terbabit akan diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Studios, Norman Abdul Halim, tidak lama lagi.

Aaron jadi gangster dalam Prince of the City

Posted: 31 Dec 2012 03:42 PM PST

Tertarik dengan penampilan Aaron Aziz dalam filem KL Gangster mendorong penerbit filem dan bintang utama Prince of the City, Julian Cheah mengundang aktor itu membintangi filem itu yang diterbitkan Axis Line Entertainment.

Pada mulanya, dia berhasrat menawarkan watak 'playboy' kepada aktor popular itu. Namun, melihat kejayaan filem KL Gangster yang mengutip RM11 juta, Julian percaya peranan sebagai gangster bernama Iskandar mampu menarik penonton ke pawagam.

Prince of The City menemui penonton di pawagam sejak Khamis lalu selepas hampir dua tahun disiapkan. Selain Aaron, dua lagi pelakon Melayu iaitu Wan Hanafi Su dan Jehan Miskin turut membintangi filem bahasa Inggeris berkenaan.

"Saya senang bekerja bersama Aaron dan Jehan. Mereka pelakon profesional, fleksibel dan sentiasa bersedia di lokasi. Pada masa sama, mereka menghayati watak diberi dengan baik.

"Saya tidak menghadapi kesukaran bekerja dengan mereka. Kami tidak perlu berlatih lama-lama. Berlatih di set saja sudah memadai. Malah saya sangat berpuas hati melihat hasil kerja Aaron dan Jehan selepas menonton produk akhir. Apa yang boleh saya katakan, penampilan mereka jauh lebih baik dari yang saya jangkakan," katanya.

Bakal ditayangkan di Kanada, United Kingdom dan Eropah

Julian juga sanggup berbelanja besar apabila turut mengundang pelakon Hollywood, Michael Madsen serta model dari Amerika Syarikat (AS), Tara Wallace membintangi filem terbitannya.
Julian berkata, dia akan memastikan setiap filem terbitannya menampilkan pelakon antarabangsa. Biarpun mengakui terpaksa berbelanja besar, namun ia adalah strategi untuk menembusi pasaran filem luar negara.

Malah Prince of the City sudah menandatangani kontrak selama tujuh tahun dengan pengedar dari AS, Acort International LLC untuk dipasarkan ke Kanada, United Kingdom (UK), Eropah dan Timur Tengah.

"Bagi saya, apabila filem tempatan menampilkan bintang popular dari Hollywood, masyarakat lebih yakin dengan filem itu. Setidak-tidaknya, mereka melihat kesungguhan kami untuk memajukan filem tempatan," katanya.

Julian berkata, dia yakin penampilan Madsen mampu menarik penonton ke pawagam.

"Lazimnya, apabila sesebuah filem mula ditayangkan, penonton tidak akan bertanya jalan ceritanya. Tetapi mereka ingin tahu siapa yang berlakon dalam filem itu. Jadi saya yakin penampilan Madsen akan menarik penonton ke pawagam," katanya.

Berlakon bersama Madsen sudah lama diimpikan Julian. Dia mengakui meminati aktor itu terutama apabila melihat penampilannya dalam filem Species. Baginya, tiada pelakon yang sesuai membawakan watak aksi selain Madsen. Malah, ketika pengarah filem itu, Roslan Husin mencadangkan dia mengundang Kiefer Sutherland, Julian keberatan kerana lebih menggemari lakonan Madsen.

Prince Of The City mengisahkan Putera Amara (Julian Cheah) yang berketurunan Portugis dibesarkan oleh seorang jutawan Sarawak. Dia diperangkap anak kandung jutawan itu sendiri, Putera Sibuyan (Jehan Miskin) atas tuduhan membunuh ayahnya dan seorang wanita Amerika Syarikat yang jelita bernama Adele (Tara Wallace).

Putera Amara kemudian terpaksa melarikan diri ke luar negara dan bertemu dengan gangster dari New York, Ben Carlton (lakonan Madsen). Ben menawar diri kepada Amara untuk membalas dendam dan merampas kuasa dari Sibuyan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS