Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Makanan daun pisang di Riverside

Posted: 04 Nov 2010 07:53 PM PDT


Para pengunjung pastinya tidak sabar hendak menikmati makanan daun pisang yang lazat ini.


MEMERIAHKAN sambutan Deepavali hari ini, Restoran Riverside Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menyediakan promosi makanan sentuhan India yang dimakan di atas daun pisang. Bermacam-macam jenis makanan India yang lazat dan menyelerakan boleh dinikmati di sini.

Bagi menyemarakkan suasana Deepavali, persekitaran restoran diterangi dengan perhiasan dan lampu berwarna warni. Terdapat juga 'kohlam' yang dihiasi indah diletakkan di ruang masuk restoran. Tidak ketinggalan, para pelayan restoran lelaki dan perempuan mengenakan busana tradisional kaum India pelbagai warna. Sambil menjamu selera, pengunjung turut dihiburkan dengan lagu-lagu tradisional India.

Majlis perasmian telah dilakukan oleh Datuk Dr. M. Kayveas dengan ditemani oleh seorang pelakon terkenal tanah air, V. Suresh atau lebih dikenali sebagai MGR Suresh kerana wajahnya yang mirip pelakon legenda terkenal India, MGR dan gemar menyanyikan lagu-lagu pelakon tersebut.

Restoran Riverside menyediakan lebih 50 jenis juadah India setiap hari bagi memenuhi selera pengunjung yang bukan sahaja terdiri daripada masyarakat India tetapi juga Melayu, Cina dan sebagainya yang menggemari masakan tersebut.

Chef Ragaman Bibi Mohd. Sharif yang telah 17 tahun bekerja di Restoran Riverside telah ditugaskan untuk menyiapkan semua masakan dengan dibantu oleh dua chef lain.

Ragaman Bibi berkata, makanan yang disediakan ini adalah makanan India Selatan yang menggunakan bahan-bahan masakan seperti santan, kelapa, minyak dengan makanan utamanya nasi yang dimakan dengan pelbagai jenis lauk-pauk.

''Makanan India Utara pula berbeza kerana masyarakat di sana lebih menggemari krim, keju, puri yang dicampurkan di dalam masakan mereka. Selain itu, mereka lebih suka memakan roti dan bukan nasi,'' ujar Ragaman lagi.




Menurut beliau, sebagai pembuka selera terdapat pelbagai jenis raita seperti timun, mangga, tomato, nanas, tembikai susu dan sebagainya. Sementara itu, terdapat juga rasam pedas dan masam, sup jagung manis dan sup kacang pis.

Restoran Riverside yang pertama kali menyediakan promosi makanan India daun pisang ini turut menyediakan makanan tradisional seperti nasi beriani ayam, nasi beriani kambing, ayam vareval, kari ikan merah dan tomato masala, aloo gobi, kobis goreng bersama kelapa, kari sardin dan terung dan kari ikan makerel.

Untuk pencuci mulut pula, disediakan pelbagai jenis kuih-muih manis seperti payasum, gulab jam, palkowa, ladu, jelebi, puding jagung, kandi kelapa dan halwa maskat.

Sempena promosi yang bermula daripada 1 hingga 12 November, Isnin hingga Jumaat ini, harga yang ditawarkan oleh Restoran Riverside kepada pengunjung amat berpatutan, iaitu RM35++ seorang.

Selain boleh dinikmati bersendirian, bersama keluarga dan rakan-rakan, restoran ini juga amat sesuai tempat mengadakan sebarang majlis keramaian.

Puding karamel

Posted: 04 Nov 2010 07:51 PM PDT


Puding karamel.


RASANYA yang enak lebih-lebih lagi jika dimakan sejuk membuatkan ramai yang tidak dapat menahan untuk menjamahnya.

Namun ada segelintir yang mengeluh apabila hasil yang dibuat tidak memuaskan. Alasannya gula yang diberi adalah gula berasa pahit kerana terhangus.

Untuk membuat puding karamel atau krim karamel bukanlah sesusah yang disangka sebenarnya. Jadi pada minggu ini kita belajar cara yang betul untuk membuat puding karamel!.

Bahan-bahan asas membuat puding ini adalah telur, susu dan gula. Puding karamel yang asli hanya menggunakan esen vanilla untuk menambah rasa dan aromanya tetapi anda boleh mempelbagaikan rasanya dengan menambahkan perisa nescafe, pandan atau coklat.

Teknik yang paling penting dalam membuat puding karamel adalah ketika anda membuat gula karamelnya.

Gula karamel ini juga dikenali sebagai gula perang. Gula ini dipanaskan sehingga bertukar menjadi perang dan jangan biarkan gula yang dipanaskan itu menjadi hangus. Gula yang hangus membuatkan puding anda berasa pahit dan kurang enak untuk dimakan.

Gula yang sudah menjadi perang sepenuhnya harus ditutup apinya dan serta merta tuangkannya di dalam loyang. Biarkan gula itu mengeras sebelum anda menuang adunan puding nanti. Gula yang sedang dicairkan hanya perlu dikacau sekali-sekala, jangan dikacau dengan terlalu kerap dan keterlaluan kerana ia akan merubah kristal gula dan mengganggu pencairan gula.

Gunakan api yang sederhana agar gula dapat diperangkan dengan sekata dan terkawal. Untuk membuat pudingnya pula sila pastikan ketika membancuh adunan puding jangan memukul susu, telur dan gula terlalu kuat. Memukul dengan kuat akan membentuk buih yang akan menyebabkan permukaan puding kasar dan berbintik-bintik. Tapis bancuhan ke dalam loyang yang mengandungi gula karamel tadi.

Menapis dapat membuang chalazae (seakan-akan bentuk jeli putih) yang melekat di antara putih telur dan kuning telur. Ini penting untuk mendapatkan puding yang licin dan bersih. Terdapat dua teknik memasak puding karamel iaitu mengukus atau menggunakan teknik steam bake (kukus dan bakar). Steam bake adalah teknik yang menggunakan oven.

Caranya, letakkan air lebih kurang ¼ penuh di dalam dulang, kemudian letakkan loyang yang berisi puding di atas dulang yang berisi air tadi. Pastikan dulang yang berisi air tadi lebih besar daripada loyang yang mengandungi puding. Masukkan di dalam ketuhar dan bakarlah seperti biasa. Anda digalakkan menggunakan api di atas dan di bawah supaya puding anda masak dengan sekata.

Itulah teknik-tenik membuat puding karamel jadi saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua pembaca beragama Hindu dan ambillah kesempatan cuti hari ini untuk membuat puding karamel.

100 disenarai pendek Gerbang Cinta

Posted: 04 Nov 2010 07:50 PM PDT


Ahmad Abdul Hamid (lima dari kiri) bersama para penaja ketika memilih peserta bagi peraduan Gerbang Cinta Musim kedua, baru-baru ini.


SEJAK dilancarkan 4 Ogos lalu, Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia musim kedua terus mendapat sambutan daripada pasangan bercinta yang merancang untuk melangsungkan perkahwinan.

Gerbang Cinta yang dibuka penyertaannya kepada pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan buat kali pertama telah menarik perhatian ramai kerana selain menawarkan pelbagai hadiah yang menarik, segala-galanya juga akan ditaja termasuk kenduri kahwin.

Peraduan yang menawarkan penajaan majlis perkahwinan percuma kepada bakal pengantin bernilai lebih RM300,000 menghampiri ke kemuncaknya dengan 100 penyertaan terpilih di senarai pendek.

Kehebatan sambutan dapat dilihat dengan penerimaan hampir 10,000 borang dari seluruh negara sebaik tamat tarikh tutup pada 9 Oktober lalu.

Penolong Ketua Pengarang II Kumpulan Utusan, Ahmad Abdul Hamid berkata, 100 peserta yang dipilih merupakan antara penyertaan yang diterima dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Tambah beliau, pemilihan yang dilakukan adalah berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan termasuk slogan yang menarik.

''Mereka yang terpilih akan dipanggil menghadiri kursus kahwin secara percuma yang dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selama tiga hari bermula 12 November ini di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi.

''Bagaimanapun, daripada jumlah itu, kita akan memilih 50 pasangan yang akan meneruskan cabaran untuk sesi temu ramah bersama panel Gerbang Cinta yang diwakili Jakim, pihak penganjur dan penaja bagi menentukan mereka layak menjadi 10 pasangan peringkat akhir,'' katanya ketika ditemui selepas sesi pemilihan peserta bersama semua wakil penaja di Pusat Latihan Utusan, di Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Peraduan yang diadakan kali kedua ini bertujuan memberi peluang kepada pembaca setia akhbar Utusan Malaysia khasnya yang ingin melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat memenangi hadiah lumayan.

Peraduan anjuran sisipan Mega ini diteruskan hasil kejayaan peraduan sama tahun lepas yang telah berjaya menarik lebih 10,000 penyertaan.

Tahun ini, peraduan lebih mantap dengan penyertaan Avon Cosmetics selaku penaja utama yang tampil di bawah tiket Kempen Keganasan Rumah Tangga.

Peraduan ini juga mendapat kerjasama daripada Jakim yang diberi mandat untuk mengendalikan sesi kursus dan seminar perkahwinan juga temu ramah peserta pada peringkat separuh akhir.

Untuk menyertai pertandingan ini, pembaca hanya perlu menghantar tiga keping gambar bersama pasangan berukuran 5R semasa majlis pertunangan berserta tarikh dan lokasi di bahagian belakang gambar.

Selain itu, mereka juga perlu mengumpulkan sekurang-kurangnya 20 keping kepala akhbar (masthead) Utusan Malaysia dan melengkapkan slogan tidak lebih 15 patah perkataan pada borang penyertaan asal yang boleh didapati dalam sisipan Mega.

Peraduan yang diadakan selama dua bulan itu menawarkan hadiah tempat pertama pakej perkahwinan bernilai RM100,000 dan wang tunai bernilai RM5,000 hadiah tempat kedua pakej perkahwinan bernilai RM80,000 dan wang tunai RM3,000.

Bagi tempat ketiga dan keempat, meraih pakej perkahwinan bernilai RM50,000 bagi setiap pasangan dan masing-masing wang tunai RM1,000 dan RM500. Selain itu, enam hadiah sagu hati berupa baucer-baucer pakej perkahwinan.

Antara para penaja peraduan yang turut serta memeriahkan peraduan ini ialah Kampung Pengantin, Mastar Catering, Precious Moment, Syokkahwin.com, Utusan Online, Picture Element, Afidah Khamis, T&T Boutique, Sri Sutra Travel, CJ Print, D'Sayang Entertainment, Dios Astana Bridal dan Preety Pictures.

Menurut Ahmad lagi, tahun ini setiap penyertaan yang diterima pihaknya dilihat lebih hebat dan menarik.

''Tahun ini, para penaja pening hendak membuat pilihan kerana dapat dilihat setiap peserta yang menyertai peraduan ini sudah membuat persiapan yang rapi.

''Bukan itu sahaja malah ada juga penyertaan yang dihantar adalah hasil kreativiti masing-masing termasuk gambar pertunangan yang lebih menarik,'' katanya.

Deko restoran berasaskan filem

Posted: 04 Nov 2010 07:48 PM PDT


Suasana di dalam restoran yang diinspirasikan dari filem Forest Gump.


KALI pertama mengunjungi restoran ini, mata bagaikan terpukau dengan dekorasi unik yang disajikan untuk tatapan pengunjung.

Menggunakan konsep kreatif dalam gubahan restoran, Bubba Gump merupakan restoran pertama yang berasaskan produk sesebuah filem.

Memperoleh inspirasi daripada filem terbitan Paramount Pictures yang dibintangi oleh Tom Hanks iaitu Forrest Gump, Bubba Gump Shrimp Co. (BGSC) yang terletak di pusat beli-belah, The Curve, bukan sahaja mampu memikat pengunjung dengan keindahan dekorasi yang dihias malah makanan yang ditawarkan juga pastinya membuatkan peminat-peminat udang terliur.

Memulakan pembukaan restorannya yang pertama di Monterey, California, Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1996, Bubba Gump pantas mengembangkan sayapnya ke serata AS dan juga lokasi antarabangsa.

Kini ia mempunyai lebih 31 buah cawangan di seluruh dunia termasuk Indonesia, Mexico, Hong Kong, Filipina dan Jepun.

Di Malaysia, Bubba Gump dibawa masuk oleh anak syarikat automotif terkemuka negara, Kumpulan Naza, NZ Diners Sdn. Bhd., sebagai restoran ke-32 di seluruh dunia.

Menurut Pengurus Jualan dan Pemasaran, Rozila Abdul Rahman Wong, restoran Bubba Gump diyakini dapat memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai karisma Forrest Gump yang sebenar sambil menikmati makanan laut berkualiti.

Jelas beliau lagi, Restoran Bubba Gump di The Curve merupakan restoran pertama yang di buka di Malaysia manakala cawangan keduanya telah dibuka di Kompleks membeli-belah Sunway Pyramid dan ia merupakan yang terbesar di Asia.

''Restoran Bubba Gump di Sunway Pyramid mempunyai keluasan 836.1 meter persegi dan boleh memuatkan 300 pelanggan pada satu-satu masa manakala di The Curve pula memuatkan seramai 250 pelanggan.

''Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mempunyai restoran Bubba Gump terbesar di Asia,'' ujarnya.

Antara dekorasi berasaskan filem Forrest Gump yang diketengahkan termasuk foto, helaian-helaian skrip yang ditulis semula, papan cerita, kostum, gambar dan kasut untuk menambahkan keceriaan sesebuah restoran.

Restoran yang menawarkan hidangan gaya Amerika Selatan serta pengalaman menikmati makanan dalam suasana unik ini sudah pasti memberikan keseronokan kepada pengunjung untuk terus berada di Bubba Gump.

Bukan itu sahaja malah bagi peminat setia Forrest Gump, sebuah kedai jualan juga terdapat dalam restoran tersebut yang menjual seleksi barangan cenderamata, kemeja-T, baju panas serta barangan khas seperti rantai kunci dan topi.

''Yang pasti pengunjung Bubba Gump dapat menikmati makanan laut berkualiti dalam suasana yang kasual dan menyeronokkan,'' tambah Rozila lagi.

Restoran ini beroperasi pada setiap hari Isnin hingga Ahad, mulai pukul 11 pagi hingga 12 tengah malam.

Keluarga celaru buat anak sakit mental

Posted: 04 Nov 2010 07:48 PM PDT


Cuba atasi tekanan menerusi perbincangan bersama pakar psikitiari. - Gambar hiasan


BAGAIMANAKAH anda boleh mengenali seseorang individu yang mempunyai kesihatan mental yang baik? Sukar untuk memberikan jawapan kerana kesihatan mental tidak boleh dilihat dari luaran. Bagaimanapun terdapat tanda-tanda kepada diri seseorang yang membuatkan anda boleh menilai tahap kesihatan mentalnya.

Di antara tanda-tanda tersebut ialah keupayaannya bekerjasama dengan orang lain, boleh menjalin hubungan yang sihat dengan orang lain dan tidak mempunyai keupayaan menangani cabaran dalam kehidupan.

Keluarga merupakan sebuah institusi sosial yang sangat penting kerana ia adalah unit asas dalam pembentukan sahsiah termasuk kesejahteraan mental seseorang individu.

Banyak kajian menunjukkan ramai remaja yang mengalami kekosongan jiwa dan rohani kerana tidak mendapat didikan yang baik daripada kedua-dua ibu bapa.

Kebanyakannya berasal daripada keluarga yang bercelaru seperti konflik berterusan yang berlaku di dalam keluarga tersebut, keluarga yang tidak berfungsi secara berkesan, ahli-ahli keluarga terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut dan menganggapnya sebagai perkara yang normal.

Juga ahli keluarga yang bergantung kepada dadah dan ketagih arak, mempunyai ahli keluarga yang mempunyai penyakit mental yang tidak mendapat rawatan dan ibu bapa yang mewarisi masalah daripada ibu bapa mereka yang juga bermasalah.

Sesebuah keluarga berfungsi dan mempunyai beberapa tanggungjawab di antaranya memenuhi keperluan ekonomi, menaikkan status keluarga, memberikan pendidikan, memberi ajaran agama, berekreasi bersama, memberi perlindungan dan memberi kasih sayang.

Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin berkata, anak-anak yang membesar dalam keluarga yang bercelaru mengakibatkan kesan pembesaran yang tidak sihat.

''Anak-anak akan mempunyai sifat-sifat negatif yang ketara termasuklah perasaan marah yang melampau, ketakutan yang tidak bertempat, kesedihan yang berpanjangan dan pemikiran untuk membunuh diri, tidak dapat menjalin hubungan yang baik dan rapat dengan individu lain, mempunyai sikap memberontak dan suka membuli atau menjadi mangsa buli.

''Apabila meningkat dewasa, mereka dilihat mempunyai tahap disiplin diri dan keyakinan diri yang rendah, terlibat sebagai penjenayah, gagal menangani tekanan dengan baik dan tidak dapat merangka strategi yang berkesan bagi menangani cabaran kehidupan,'' kata Dr. Zaleha.

Beliau berkata, di antara ciri-ciri yang dapat dilihat pada keluarga yang bercelaru ialah masalah yang dihadapi tidak cuba dikongsi bersama ahli keluarga yang lain di mana seorang ahli sahaja yang menanggung tekanan yang berat. Ahli keluarga mengambil penyelesaian negatif seperti penyalahgunaan dadah, arak, perceraian, lari daripada rumah, sakit mental, keganasan rumahtangga, konflik emosi, kemurungan dan seumpamanya. Ini seterusnya membuka ruang kepada penyakit mental, kecelaruan mental, jenayah atau perbuatan yang merosakkan diri sendiri.

Tambah beliau, di dalam keluarga tersebut tiada kepercayaan di antara satu sama lain, kurang kasih sayang dan tiada sifat saling memahami, keperluan ahli keluarga diabaikan, keganasan mental dan fizikal, tidak ada nilai atau krisis nilai dan keluarga yang tidak bercerai tetapi sentiasa berkonflik, atau dengan erti kata lain menanggung derita dalam diam.

Mereka juga tidak sensitif dengan sesetengah ahli keluarga lain, bersifat pilih kasih, menafikan masalah sedia ada yang dihadapi, kegagalan menghormati maruah, hak atau fizikal orang lain dan bertindak secara ekstrim dalam menghadapi konflik serta suka bertengkar.

Menurut Dr. Zaleha lagi, gejala keluarga yang bercelaru dapat dilihat daripada sifat cemburu yang melampau. Atau perlakuan mengawal yang keterlaluan, ibu bapa yang bercerai atau tinggal berasingan dan sentiasa berkonflik tetapi tidak bercerai, tidak mengutamakan keluarga dengan tidak menyediakan masa bersama. Juga mempunyai perlakuan seksual yang songsang (berzina, sumbang mahram), anak-anak takut bercakap tentang apa yang berlaku dalam keluarga mereka dan ahli-ahli keluarga tidak mahu mengaku sebagai ahli keluarga tersebut atau tidak mahu dilihat bersama keluarga tersebut.

Katanya, beberapa langkah pencegahan dan pemulihan boleh dilakukan bagi mengatasi masalah ini. Tidak ada masalah yang tidak ada penyelesaian seperti pendekatan pemulihan terapi jangka masa panjang kepada mangsa sumbang mahram, rogol dan sebagainya.

Juga intervensi, iaitu keluarga yang celaru boleh dibantu secara profesional dengan dikesan daripada tanda-tanda awal di kalangan ahli keluarga, proses menghentikan kitaran ganas oleh golongan profesional dan bukan profesional. Juga melalui pendekatan agama dengan saling memaafkan, membantu ahli keluarga yang menghadapi perceraian dengan program kaunseling (sebelum, semasa dan selepas), membantu ahli keluarga menghadapi realiti kehidupan serta program out-reach kepada keluarga yang bercelaru.

Gangguan panik penyakit genetik?

Posted: 04 Nov 2010 07:47 PM PDT

GANGGUAN panik atau PD merupakan sejenis penyakit mental yang tergolong di dalam kategori penyakit kebimbangan. Terdapat aspek neuropsikologi dalam penyakit ini dan kemungkinan wujudnya pertalian atau hubung kait di antara PD sebagai penyakit genetik (atau epigenetik) berdasarkan kepada fakta neuropsikologi.

PD digambarkan sebagai satu keadaan kebimbangan yang melampau dan berlaku secara tiba-tiba tanpa dapat dikawal atau dihalang.

Fellow Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Khairul Azhar Idris berkata, terdapat pelbagai tanda PD seperti perasaan ingin menjadi gila, ingin mati atau rasa hilang kewarasan dan hilang akal, ingin pitam dan pengsan, terasa akan mendapat serangan jantung atau strok, rasa seperti di awangan dan sebagainya.

''Penyakit ini juga diiringi dengan perasaan seperti ingin menangis dan menjerit secara tiba-tiba ketika serangan berlaku dan seterusnya ingin melarikan diri daripada situasi ketika serangan itu berlaku bagi menyelamatkan diri.

''Semua tanda gejala ini akan berterusan ketika tempoh serangan panik ini berlaku. Ia akan berakhir dalam tempoh selama antara lima hingga 10 minit.

"Namun demikian, ia akan terus berlaku secara berulang-ulang. Fenomena ini mendorong individu terbabit sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan akan ditimpa serangan panik yang berikutnya yang menjadikan mereka takut terhadap serangan itu atau berasa takut terhadap kesan buruk daripada serangan itu.

''Keadaan ini menjadikan mereka berada dalam ketegangan sistem saraf autonomik yang mempunyai tanda-tanda umum fizikal berkaitan kebimbangan dan ketakutan,'' katanya pada Seminar Kesihatan Mental Mendepani Cabaran Hidup Semasa, baru-baru ini.

Beliau menambah, pelbagai tanda gejala sosial yang wujud seperti perasaan takut terhadap objek atau situasi tertentu yang dipercayai boleh mencetuskan serangan panik atau kemungkinan akan berlaku panik dan seterusnya menjauhi objek atau situasi berkenaan.

Seterusnya kata Khairul Azhar, mereka lebih suka menyendiri dengan duduk di rumah dan akan terus mengasingkan diri daripada pelbagai aktiviti luaran yang akhirnya memusnahkan aktiviti sosial mereka.

Beliau berkata, serangan panik mencetuskan pengalaman ketakutan melampau kepada individu terhadap sebarang rangsangan autonomik dan kesan buruk daripada rangsangan itu.

Ini akan mendorong pemikiran dan perhatian individu terbabit tertumpu kepada diri sendiri, sama ada ia masih waras atau sebaliknya selepas serangan itu.

Keadaan ini ujarnya, menjadikan mereka semakin bimbang dan semakin berwaspada terhadap kemungkinan serangan yang seterusnya dan apakah perubahan diri yang akan berlaku.

Setiap perubahan diri akan dinilai secara negatif dan dilihat sebagai tanda-tanda awal panik akan datang menyerang. Secara tidak langsung, ia akan meningkatkan rasa kebimbangan yang seterusnya berakhir dengan serangan panik secara berulang-ulang dalam lingkungan kitaran ganas PD. Keadaan ini akhirnya menjejaskan keupayaan individu terbabit untuk berfungsi sebagai individu yang normal dan produktif.

''Menurut perspektif neuropsikopatologi, PD terhasil akibat kecenderungan individu terbabit dalam memproses dan menilai maklumat yang berbentuk ancaman. Mereka didapati lebih memberi keutamaan kepada sebarang maklumat yang mengancam kesejahteraan, keselamatan dan kestabilan diri serta kehidupan mereka berbanding maklumat yang bersifat positif atau neutral.

''Keadaan ini tidak berlaku di kalangan mereka yang normal. Pada masa yang sama, individu PD juga cenderung untuk menilai maklumat negatif atau ancaman itu secara merbahaya. Sindrom ini juga wujud sebagai hasil daripada ketidakupayaan mereka untuk mengawal dan mengatur cara mereka memproses maklumat berkaitan ancaman dengan cara yang lebih berkesan lagi. Mereka didapati mudah terangsang oleh input yang mengandungi maklumat emosi yang bersifat negatif,'' katanya.

''Tidak dapat dipastikan sehingga kini punca sebenar dan kukuh berkaitan punca PD. Namun terdapat pelbagai model dan pendekatan yang cuba merungkai permasalahan dan gangguan ini berdasarkan kepada latar belakang dan kerangka teori masing-masing dengan nilai prognostik dan pemulihan yang baik. Ia terdiri daripada pendekatan biologi dan farmakologi dan juga psikologi seperti pendekatan psikoanalisis, behavioristik dan kognitif,'' ujar Khairul Azhar.

Menurutnya, serangan panik yang telah dialami untuk kali pertama tidak semestinya akan berulang lagi. Namun bagi sesetengah individu, serangan ini berkemungkinan akan berulang lagi buat seterusnya.

Budaya Melayu untuk semua

Posted: 04 Nov 2010 07:46 PM PDT


Low Kar Yee tidak kekok menarikan tarian Melayu sambil dibantu oleh Muhd. Badrul Robert Abdullah.


KEAKRABAN penduduk pelbagai kaum di Malaysia yang terdiri daripada Melayu, Cina, India dan beberapa etnik lain telah menjadikan negara ini sebuah negara yang unik.

Keunikan ini ditambah lagi dengan ragam rakyat Malaysia yang mempunyai cara hidup, hubungan kemasyarakatan dan juga budaya yang tersendiri termasuk alat muzik tradisional.

Secara umumnya, masyarakat Melayu di negeri ini popular dengan paluan gendang dan kompang serta pelbagai tarian mengikut negeri yang sering dimainkan dan dipersembahkan pada sesuatu majlis keramaian.

Pada masa yang sama, kompang juga dilihat berpotensi untuk dijadikan platform dalam menyatukan hubungan pelbagai masyarakat di negara ini.

Menyedari akan hakikat tersebut, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Cempaka Fasa 3, Ampang, Selangor, telah menubuhkan Biro Kesenian dan Kebudayaan pada 30 Mac lalu.

Uniknya, persatuan kompang di taman ini dianggotai oleh anak-anak kecil dan remaja yang berusia dari tujuh hingga 14 tahun, termasuk dua berbangsa Cina yang berusia lapan dan sebelas tahun.

Ternyata kelibat kedua-dua adik beradik tersebut di dalam kumpulan tersebut memberi kelainan dan mereka sedikit pun tidak kekok untuk bermain alat muzik tradisional tersebut.

Setakat ini ahli-ahlinya yang seramai 21 orang telah pergi ke merata tempat memenuhi undangan bagi memeriahkan majlis perkahwinan, perasmian, meraikan dan sebagainya di bawah nama Kompang Nur Cempaka.

Pengerusinya, Che Ani Din, 59, berkata, penubuhan biro tersebut bertujuan memartabatkan kompang ke persada antarabangsa.

Menurutnya, kompang perlu dimartabatkan kerana ia merupakan satu-satunya alat yang dimainkan secara rasmi pada istiadat perkahwinan masyarakat Melayu dan beberapa majlis keagamaan.

''Bagi saya, penglibatan anak-anak muda Taman Cempaka dalam Biro Kesenian dan Kebudayaan ini banyak memberi faedah kerana secara tidak langsung kita turut mempertahankan budaya bangsa.

''Pada masa sama, permainan kompang perlu terus dimartabatkan kerana ia bukan sahaja merupakan satu budaya yang dapat dikekalkan, malah diperkembangkan lagi terutamanya kepada generasi muda dalam usaha menyemai perasaan sayang terhadap budaya Melayu,'' katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Dalam pada itu, menurut tenaga pengajarnya, Awang Pazilah, 41, sesi latihan pasukannya berjalan berterusan pada setiap minggu (Sabtu dan Ahad).

Beliau yang merupakan seorang ahli muzik yang berpengalaman turut mendedahkan bahawa bermain alat muzik kompang juga perlu mempunyai kemahiran.

''Keunikan kompang ini ialah ia boleh dimainkan oleh pemain dalam keadaan berdiri, berjalan atau duduk.

''Ia juga tiada not untuk diikuti malah cara bermainnya hanya mengikut key yang telah ditetapkan,'' katanya.

Bagi mereka yang ingin melibatkan diri di dalam Biro Kesenian dan Kebudayaan KRT Taman Cempaka Fasa 3 atau ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut, bolehlah hubungi Che Ani di talian 013-2749616.

Kempen amal Drypers

Posted: 04 Nov 2010 07:46 PM PDT


Para ibu bapa sibuk menggantikan lampin bayi mereka pada kempen amal Drypers Change For Charity di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


DRYPERS baru-baru ini telah menganjurkan kempen amal yang dipanggil Drypers Change For Charity.

Acara lima hari yang bermula 20 Oktober lalu yang diadakan di Atrium, Ikano Power Centre itu menyaksikan ibu bapa selebriti seperti Siti Shahrizah, Aishah Sinclair, Sheahnee Lee dan Sari Yanti serta ribuan pelanggan setia bersatu membantu bayi-bayi yang kurang bernasib baik.

Sebanyak 1,073 pertukaran lampin telah berjaya dilakukan sepanjang lima hari yang menyaksikan Drypers menyumbang lampin berjumlah 10,730 kepada setiap empat rumah amal terpilih iaitu wad kanser kanak-kanak Pusat Perubatan Universiti Malaya, Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Cacat Ipoh, Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Cacat Klang dan Taman Sinar Harapan Kuala Kubu Baru.

Pengarah Komersil SCA Hygiene Malaysia, Singapura dan Filipina, Su Ting Nee berkata, pihaknya amat teruja kerana berjaya mencapai sasaran 1,000 pertukaran lampin.

Selain itu Drypers turut memberi sumbangan wang berjumlah RM100,000 yang dibahagikan antara empat buah rumah amal tersebut.

Rumah-rumah amal tersebut telah dipilih sebagai penerima sumbangan acara Drypers Change For Charity kerana bayi atau kanak-kanak yang mendalami rumah ini memerlukan perhatian kerana keadaan tempat tinggal dan keperluan mereka yang istimewa.

''Oleh itu matlamat Drypers ialah membantu mereka memperoleh perubahan dan menyediakan sedikit kemewahan untuk meringankan ketidakselesaan mereka.

''Selaras dengan SCA Hygiene sebagai korporat yang bertanggungjawab, kami mahu menganjurkan kempen amal untuk membantu bayi yang kurang bernasib baik,'' jelasnya.

Bagi setiap lampin yang ditukar, Drypers menggandakan sumbangan dalam bentuk produk lampin bayi sebanyak 10 kali untuk disalurkan kepada rumah-rumah amal.

Turut diadakan ialah cabaran menukar lampin paling pantas dimana para ibu bapa dan selebriti serta pengguna beradu antara satu sala lain menukar lampin bayi mereka untuk menentukan siapa yang boleh menukar lampin bayi dalam masa yang singkat.

Hilang derita berganti bahagia

Posted: 04 Nov 2010 07:45 PM PDT

PELBAGAI kisah yang tersiar di ruangan ini mendapat maklum balas positif daripada pembaca setia akhbar kesayangan ramai ini. Ada yang sedih, lucu dan kisah teladan yang boleh dijadikan pengajaran di dalam kehidupan ini.

Begitu juga dengan tip yang diturunkan dari kisah-kisah yang tersiar dan terkadang kisah yang tidak boleh diterima akal, tetapi itulah hakikat kehidupan yang sukar untuk diramalkan. Sabar itu terlalu berat untuk ditanggung, hanya mereka yang teguh iman sahaja yang boleh bertahan dan sentiasa reda.

Begitu juga pengakuan Suri (bukan nama sebenar) yang sudah tidak lagi dapat menanggung derita didera mental dan fizikal oleh suaminya.

Namun setiap yang tersurat itu pasti akan ada hikmah yang tersembunyi nikmatnya, itulah yang dialami Suri. Kita ikuti cerita Suri untuk teladan bersama.

Ikhsan (bukan nama sebenar) adalah seorang suami yang terlalu sibuk dengan aktiviti sosial, terlalu garang dengan anak-anak dan suka menghabiskan masa dengan rakan-rakan.

"Saya tidak pernah menghalangnya untuk aktif walaupun hak saya sebagai seorang isteri diabaikan. Tetapi sampai bila harus saya bertahan?

"Ada ketikanya saya merasakan diri ini 'terhina' dengan lagak suami yang ego dan tidak mahu bertolak- ansur. Kami selalu bergaduh di hadapan anak-anak sehingga anak-anak menangis kerana ketakutan.

"Bila bergaduh, semua kisah yang silam diungkit! Bosan saya dengan sikap barannya itu.

"Anak-anak yang tidak bersalah menjadi mangsa keadaan, 'disemburkan' dengan kata-kata kesat tetapi dengan kawan-kawan dia amat mesra sekali, bila bercakap lembut gigi daripada lidah.

"Anak bongsu saya berusia lima belas tahun seorang yang tegas dan berani menegur ayahnya. Pernah di suatu ketika dia meminta ayahnya meninggalkan kami andai tidak lagi menyayangi keluarga.

"Tergamam saya dengan kata-kata tersebut. Tidak sangka dia berani berkata begitu kepada ayahnya. Jika seorang anak remaja boleh berkata demikian ertinya dia sudah tidak hormat dan sayangkan ayahnya lagi.

"Di manakah harga diri seorang lelaki yang bergelar suami dan ayah? Sebagai ibu saya sentiasa mengingatkan anak-anak supaya menghormati ayah mereka, dan jangan sesekali putuskan hubungan dengan ayah dan ibu.

"Kepada mereka saya pesan, tanpa ibu dan ayah siapalah kamu. Saya beritahu mereka saya mahu mereka hormat ayah mereka walaupun dia tidak sempurna sebagai ayah dan suami kepada saya.

"Saya korbankan hati dan perasaan demi anak-anak yang sedang membesar. Tangisan itu adalah teman setia saya. Namun saya tidak pernah menyesal dengan suratan ini dan sentiasa berdoa agar di suatu masa kelak tangisan itu akan bertukar kepada senyuman.

"Allah itu Maha Adil, segala penderitaan yang saya harungi digantikan dengan kejayaan anak - anak. Kini kesemua anak-anak saya membesar menjadi insan yang berjaya dengan kerjaya yang boleh saya banggakan.

"Jika semasa mereka masih kanakkanak saya tidak dapat bersabar dengan badai yang melanda, kemungkinan mereka juga akan kecundang dan menjadi sampah masyarakat.

"Saya selalu memanjatkan doa kepada Ilahi setiap kali sujud kepada-Nya, lima waktu sehari. Saya menangis sepuas hati dan amat bersyukur kerana Allah mendengar rintihan dan doa saya.

"Melihat anak-anak yang berjaya suami akhirnya berubah sikap dan kembali menjadi seorang insan yang bertanggungjawab.

"Kita perlu bersabar dan berdoa kerana langit tidak selalunya mendung, hilang kabus cerahlah maya. Usah pentingkan diri sendiri dengan mencari jalan keluar yang terkadang mengundang kehancuran dan penyesalan. Tetapkanlah kepercayaan bahawa setiap kesukaran akan disertai dengan kemudahan.

"Sesungguhnya sesebuah keluarga yang harmoni akan dapat membahagiakan ramai orang yang tersayang.

"Kini saya bahagia dengan suami dan anak-anak. Syukur kepada Allah kerana membuka pintu hati suami untuk berubah dan kembali ke pangkal jalan. Dia kini menjadi suami dan ayah yang baik dan bertanggungjawab serta kuat beribadah. Alhamdulillah. Semoga kebahagiaan ini akan berterusan," demikian Suri menamatkan ceritanya.

Saya kagum dengan kesabaran yang ditunjukkan Suri, semoga ia menjadi teladan kepada isteri lain dalam mengejar kebahagiaan abadi.

Syabas Suri, teruskan sikap murni anda itu. Semoga anda dan suami terus tabah mengharungi hidup dan menghargai kejayaan anak-anak yang telah menyambung semula kasih sayang anda berdua.

Semoga hidup anda sekeluarga dilindungi Allah SWT di dunia dan akhirat.

Saya akhiri catatan minggu ini dengan serangkap pantun:

Putih bersih bunga teratai,

Cantik dihias disanggul nyonya,

Sabar dan redha teramat bernilai,

Yang teguh pendirian jadi miliknya.

Salam.

Kempen tingkat kesedaran

Posted: 04 Nov 2010 07:43 PM PDT


Wong Mei Lin memberi penerangan mengenai kanser payu dara kepada sebahagian penduduk yang datang mendapatkan pemeriksaan kesihatan.


ADA tanggapan mengatakan penduduk di luar bandar terutama orang kampug kurang kesedaran kesihatan. Tetapi adakah realitinya begitu? Benarkah pengetahuan penduduk kampung mengenai kesihatan rendah?

Kesempatan menyertai Ekspedisi Saringan Kesihatan Kelantan Pfizer Care-A-Van di Machang dan Tanah Merah, Kelantan baru-baru ini membolehkan penulis mengetahui sendiri sejauh mana kebenaran dakwaan itu.

Penulis inginkan kepastian sejauh mana mereka mengambil langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko kemudaratan atau jangkitan penyakit terutama yang menjadi pembunuh nombor satu wanita dan lelaki iaitu jantung, kanser payu dara, kanser serviks serta kanser prostat.

Ternyata, pengetahuan kebanyakan penduduk kampung yang menyertai kempen itu tidak mengecewakan. Mereka cukup faham, sedar dan prihatin akan isu yang berkaitan kesihatan.

Seorang pengunjung dari Kampung Pek, Rina Sulaiman, 41, berkata, sejak remaja dia sememangnya sangat mementingkan kesihatan.

Justeru, setiap tahun dia akan menjalani pemeriksaan beberapa kali di klinik dan hospital bagi memastikan kesihatannya sentiasa baik.

Rina yang mempunyai tiga cahaya mata berkata, dia bukan sahaja menjalani pemeriksaan apabila sakit, tetapi juga ketika sihat dan semasa kempen kesihatan dianjurkan mana-mana pihak.

"Kesihatan adalah segala-galanya kerana ia memainkan peranan besar dalam memastikan kebahagiaan dan kesempurnaan hidup.

"Saya sering mendapatkan maklumat berhubung isu kesihatan termasuk seksual dan reproduktif bagi mengelakkan diri dijangkiti penyakit berkaitannya.

"Pada masa sama, saya memuji usaha Pfizer ini kerana mampu menggalakkan lebih ramai orang prihatin mengenai kesihatan mereka setiap masa," katanya ketika ditemui di Kampung Kemuning, Machang.

Suri rumah kepada tujuh orang anak, Maznah Yaacob, 58, menyifatkan komitmen yang dijalankan Pfizer satu tugas murni dan amat bagus dalam membantu memberi kesihatan lebih baik kepada masyarakat.

"Walaupun saya cukup sedar pemeriksaan kesihatan amat penting, saya jarang melakukan pemeriksaan berkala kerana kesibukan menguruskan rumahtangga.

"Seringkali saya hanya akan mengikuti program kesihatan yang dianjurkan di kawasan berhampiran seperti ini.

"Selepas membuat pemeriksaan pada kempen Pfizer, baru saya tahu yang saya menghidapi penyakit darah tinggi namun nasib baiklah ia tidak teruk," ujarnya tersenyum.

Suri rumah, Normah Harun, 44, memberitahu, dia dan suami cukup menitikberatkan soal pemeriksaan kesihatan.

"Sejak bertahun-tahun, saya, suami dan anak-anak akan menjalani pemeriksaan setiap tahun bagi memastikan kami sentiasa sihat.

"Di rumah, saya akan menyediakan makanan seimbang untuk keluarga dan sering membaca maklumat berkaitan kesihatan.

"Sekiranya sakit, kami sekeluarga akan membuat pemeriksaan di klinik atau hospital walaupun ada mengamalkan cara perubatan tradisional yang disarankan nenek moyang," katanya yang cukup berpuas hati dengan kaedah pemeriksaan yang dianjurkan Pfizer ini.

Pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Adnan Azman, 39, pula berpendapat, masyarakat perlu diberikan pendedahan secara berterusan berhubung isu atau masalah kesihatan.

"Ia mampu menggalakkan kesedaran dan ingatan mereka supaya memelihara kesihatan setiap masa.

"Selain bahan bacaan dan risalah, kempen bersesuaian penting dalam memastikan orang ramai terutama penduduk kampung lebih faham, mudah dan bersetuju melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala," katanya.

Angin rindu Sarajevo

Posted: 04 Nov 2010 07:42 PM PDT


Bangunan fakulti Pengajian Islam Universiti Sarajevo.


SELEPAS 15 tahun berlalunya peristiwa tragik Perang Bosnia, Sarajevo kelihatan tenang dan terus meniti hari hari gemilang sebagai sebuah ibu kota yang masyhur dengan jolokan Jerusalem Eropah.

Kehadiran saya di bumi Balkan ini bagi menghadiri persidangan The Future of Faith in the Age of Globalization. Selain itu, cuba menjejaki kesan peninggalan perang dan projek kemanusiaan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sekali gus memperbaharui fasa baru hubungan kedua-dua negara di peringkat NGO.

Dari kejauhan saya memandang keindahan panorama Bandar Lama Sarajevo yang dikelilingi oleh bukit bukau yang memukau serta rumah-rumah yang melukut di celah-celah cerun bukit-bukit tersebut.

Panorama ini menjadikan ia landskap antara tercantik yang pernah dilihat dalam siri kembara penulis di bumi Eropah. Bandar Lama Sarajevo yang terletak sebelah menyebelah dengan Bandar Baru Sarajevo menyimpan pelbagai cereka suka duka perjuangan umat Islam Bosnia serta menjadi nadi ekonomi kepada umat Islam Bosnia.

Sementara saki baki etnik Serbia Kristian menempati Bandar Baru Bosnia yang lebih kelihatan lebih moden dan elegan. Walau apa pun keadaan, kemodenan dan kemajuan Bandar Baru Bosnia tidak mampu menandingi keunikan Bandar Lama Bosnia yang telah wujud sejak tahun 1400 Masihi.

Justeru tidak hairanlah ia menjadi tarikan utama pelancong untuk menikmati, menafsir dan menilai keunikan daripada pelbagai sudut aspek ketamadunan, sejarah, budaya dan seni bina yang mempunyai kelasnya yang tersendiri.

Bandar Lama Sarajevo amat terkesan banyak dengan pengaruh Empayar Turki Uthmaniyyah yang pernah membuka dan mentadbir wilayah Balkan tersebut pada abad ke-13.

Penduduk Bosnia yang pada ketika itu bermazhab Kristian Bogomil berbondong-bondong memeluk Islam dan melupakan seketika perubatan wilayah yang terjadi antara Kristian Katolik di sebelah Barat dan Kristian Ortodoks di sebelah Timur.

Dengan perluasan pengaruh Turki Uthmaniyyah ke wilayah Bosnia membuatkan kedua-dua mazhab Kristian yang saling berebut tersebut kempunan untuk menawan Bosnia.

Faktor sejarah yang panjang ini serba sedikit melatari konflik berdarah Perang Bosnia 1991 di mana Etnik Croatia mewakili Kristian Katolik dan Etnik Serbia mewakili Kristian Ortodoks terus menerus berebut Bosnia yang menatijahkan umat Islam sebagai mangsa buli mereka.

Perang meletus pada 1991 apabila 65 peratus rakyat Bosnia memilih untuk merdeka. Puak Serbia cuba untuk menguasai Bosnia dan melakukan pemberontakan dan kekejaman serta jenayah penghapusan etnik yang amat dahsyat pada abad ini.

Ketika meneguk secangkir kopi Bosnia, Saed Ali Begovic menceritakan pengalaman dramatik beliau bagaimana beliau ditahan oleh puak Serb dalam kem tahanan.

Namun takdir Allah beliau terlepas daripada tahanan dan terpilih untuk ke Malaysia untuk menyambung pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau juga memberi contoh kekejaman puak Serb sehingga sanggup memijak bayi yang baru lahir di depan mata ibunya sehingga bayi tersebut menemui ajal.

Adakah tiada lagi kemanusiaan dalam diri mereka hanya kerana pentingkan ketamakan dan sifat dengki yang tidak kunjung padam?

Selepas berjihad berbulan-bulan lamanya, akhirnya umat Islam hampir menemui cahaya kemenangan. Namun pantas di situ Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bertindak memaksa pasukan umat Islam di bawah pemimpin karismatik Alija Izetbegovic menandatangani perjanjian damai Dayton pada tahun 1995.

Perjanjian berat sebelah ini, memecahkan Bosnia kepada Republica Srpska (RS) yang dikuasai puak Serb dan Persekutuan Bosnia and Herzegovina (BiH) yang dikuasai umat Islam dan Croat.

Ini bermakna pada hakikatnya umat Islam tidak menguasai sepenuhnya Bosnia walaupun mereka merupakan majoriti.

Apa yang lebih penting adalah masa depan Bosnia pasca perang. Perang menyatukan umat Islam Bosnia, namun kini umat Islam berpecah, apa sudah jadi?

Umat Islam juga pernah mengecapi kemenangan di Afghanistan menghalau Tentera Merah Soviet, namun sayangnya berpecah juga akhirnya kerana berebut kuasa.

Kelihatan perpecahan yang melemahkan umat ini menjadi fenomena global umat di mana menurut Almarhum Sheikh Abul Hasan Ali an-Nadwi banyak merugikan bukan sahaja umat Islam tetapi dunia secara umumnya.

Adakah umat Islam kehilangan kepimpinan yang berkaliber yang mampu menyatukan kecelaruan pemikiran umat? Dalam konteks Bosnia, mampukah umat Islam melahirkan semula Alija Izetbegovic yang berjaya menyatukan Bosnia?

Mampukah Bakir, anak Alija yang memenangi pilihan raya Presiden Bosnia baru-baru ini menyatukan umat dan juga menyatukan Bosnia yang mempunyai tiga Majlis Presiden? Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Selain itu, peranan proaktif bekas pelajar Bosnia di UIAM yang memegang pelbagai jawatan dan peranan penting dalam kerajaan, swasta dan perniagaan Bosnia amat ditagih bagi membantu Bosnia ke arah penyatuan dan pembangunan yang lebih mapan di masa hadapan.

Di peringkat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang pernah bertapak di Bosnia melalui projek Malaysia Relief Centre ketika era perang, harus menyambung semula usaha-usaha murni ini. Mungkin tema kemanusiaan sudah tidak bersesuaian, sebaiknya digantikan dengan tema pembangunan sosial dan perpaduan umat.

ABIM melalui unit sukarelawan antarabangsanya iaitu Kelab Generasi Pemuda Tamadun Dunia (GPTD) boleh menghantar sukarelawan mudanya untuk bekerjasama dengan NGO tempatan seperti Sumejja dan Nahla bagi membangunkan belia dan komuniti dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, sosial, wanita dan keluarga.

Teringat kepada filem Behind Enemy Lines, buku Kolonel Jihad dan drama Angin Rindu Sarajevo yang mungkin boleh membantu pembaca dalam memahami isu Bosnia secara lebih santai tapi sarat dengan informasi.

Sanad Riwayat Hafs

Posted: 04 Nov 2010 07:41 PM PDT


Pembacaan al-Quran dengan pelbagai Qiraat menjadikan al-Quran tersebar dengan cepat di seluruh pelosok dunia. - Gambar hiasan


Perbezaan bacaan al-Quran dalam Qiraat Tujuh atau Qiraat Sepuluh adalah untuk menyempurnakan lagi makna al-Quran. Tidak ada satupun kalimah yang dibaca dengan beberapa qiraat mempunyai pertentangan makna.

Selain itu, banyak juga kalimah al-Quran yang hanya berbeza dari sudut sebutannya sahaja, seperti imalah, taqlil, tashil dan tahqiq.

Hakikatnya ilmu qiraat telah memberi kemudahan kepada umat nabi Muhammad SAW yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan bahasa pertuturan untuk membaca al-Quran.

Keizinan membaca al-Quran dengan pelbagai qiraat menjadikan al-Quran tersebar dengan cepat di seluruh pelosok dunia.

Riwayat bacaan al-Quran yang tersohor dalam dunia Islam hari ini ialah Riwayat Hafs daripada Imam Asim.

Majoriti umat Islam membacanya dan kebanyakan al-Quran dicetak mengikut riwayatnya.

Bagaimanapun timbul persoalan kenapakah Riwayat Hafs amat popular di kalangan umat Islam berbanding dengan riwayat lain seperti Khalaf, Khallad, al-Susi dan lain-lain.

Dalam satu seminar al-Quran, penulis pernah bertanyakan hal ini kepada tokoh al-Quran iaitu Sheikh Husien al-Sabbah yang pernah berkhidmat di Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Sheikh Husien al-Sabbah menjawab, faktor tersebarnya Riwayat Hafs dalam dunia Islam pada hari ini kerana tiga sebab utama.

A) Khilaf bacaan yang terdapat dalam riwayat ini amat sedikit berbanding riwayat lain. Terdapat hanya satu imalah sahaja iaitu dalam surah Hud, satu tashil sahaja iaitu dalam surah Fussilat, satu raum atau isymam sahaja iaitu dalam surah Yusuf, empat tempat saktah iaitu dalam surah al-Kahf, Yasin, al-Haqqah dan al-Mutaffifin. Dan beberapa khilaf yang lain.

B) Sanad Riwayat Hafs adalah secara langsung dan bersambung daripada beliau hingga kepada Rasulullah SAW tanpa wasitah atau perantaraan sebagaimana beberapa riwayat lain seperti Qunbul, al-Bazzi, Khalaf dan Khallad.

Dengan maksud Imam Hafs bertalaqqi dan mempelajari al-Quran dari Imam Asim. Imam Asim pula bertalaqqi dari gurunya Abu Abdulrahman al-Sulami yang menekuni bacaan al-Quran daripada gurunya Ali Ibn Abi Talib r.a yang mengambil al-Quran daripada Rasulullah SAW.

C) Semua pembawa sanad Riwayat Hafs adalah ulama al-Quran yang tersohor dan amat dipercayai pada zaman mereka.

Ali Ibn Abi Talib, umum mengakui kealiman dan ketokohannya yang tiada tolak bandingnya.

Sementara Abu Abdulrahaman al-Sulami yang meninggal pada tahun 74 hijrah adalah orang kepercayaan Uthman Ibn Affan r.a yang mengutusnya bersama mushaf kepada penduduk Kufah.

Walaupun beliau adalah seorang yang cacat penglihatan, namun beliau menguasai ilmu yang banyak dan tempat rujukan utama penduduk Kufah berkaitan al-Quran.

Selepas Abu AbdulRahman al-Sulami meninggal, ulama yang menggantikannya sebagai rujukan penduduk Kufah ialah Imam Asim Abu al-Najud. Seorang yang tinggi akhlak dan ilmu al-Quran.

Al-Quran berada dalam dadanya ibarat seperti darah yang mengalir di tubuhnya. Atau ibarat yang selalu dikatakan oleh penghafal al-Quran, cair seperti air.

Walaupun khilaf dalam riwayat Hafs adalah sedikit namun masih ramai umat islam membacanya tidak mengikut kaedah yang betul. Justeru dapatkan tunjuk ajar dari guru bagi mencapai satu bacaan yang tepat.

Lauren Booth dapat hidayat di Iran

Posted: 04 Nov 2010 07:40 PM PDT


Lauren Booth antara yang lantang mengkritik dasar berat sebelah barat dalam isu Palestin sejak belum memeluk Islam lagi.


APABILA adik ipar bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, Lauren Booth, 43, memeluk Islam, pelbagai tuduhan dilemparkan terhadapnya dan Islam itu sendiri, semuanya sangat menyakitkan.

Ini termasuklah kononnya tekanan kerajaan Iran yang memaksa Booth memeluk Islam jika ingin berada dan bertugas lebih lama di negara itu sebagai wartawan.

Malah tidak kurang yang menuduh Booth sebenarnya bercakap di bawah pengaruh dadah yang kononnya mudah di dapati di Iran ketika mengumumkan beliau memeluk Islam baru-baru ini.

Apabila di laman-laman web disiarkan gambar Lauren bersama suami, Craig Darby 42, dan dua anak perempuan mereka, Alexandra dan Holly misalnya, maka timbul persoalan yang begitu prejudis dan anti Islam.

Adakah Booth akan mendidik anak-anak perempuannya itu menjadi jihadis atau lebih tepat pengganas sebagaimana yang mereka fobia pada hari ini?

Walaupun tanpa dapat dikenalpasti pengislamannya secara rasmi tetapi diyakini bahawa wanita cekal ini benar-benar ikhlas memeluk Islam.

Ini kerana Islam kepada wanita ini bukan perkara yang baru. Malah beliau sangat mengenali Islam dan masyarakat yang menganutnya.

Sebelum bergelar Muslimah lagi, Booth sudah lantang mempertahankan Islam, memperjuangkan hak-hak orang Islam, mengecam dan mengutuk sebarang tindakan penindasan terhadap umat Islam dan sentiasa berada di barisan hadapan membela umat itu.

Terutama apabila bercakap soal Islam di Palestin, Iraq, Afghanistan, lokasi-lokasi konflik yang di mana Barat campur tangan secara tidak adil dan tidak berperikemanusiaan.

Abang iparnya, antara yang sering dikritik pedas oleh Booth atas dasar-dasar pentadbiran Blair terhadap soal ketenteraan, kewangan dan sebagainya terhadap krisis-krisis Asia Barat.

Namun 'pengalaman suci' ketika berada di Iran baru-baru ini adalah faktor serta merta Booth memeluk Islam.

Kisahnya, ketika melawat sebuah makam suci Fatimah al Maksumah@al Masumeh (saudara perempuan Imam Ali Ibn Musa Rida) di bandar Qom, Iran.

"Pada petang Khamis itu saya duduk berdekatan makam tersebut. Tiba-tiba saya bagai disuntik sejuta ketenangan yang sukar untuk saya ungkap melalui kata-kata.

"Tidak pernah saya rasa setenang ini. Bukan sahaja minda malah jiwa saya terasa bagai ada air sejuk yang mengalir dan sekembali saya semula ke Britain terus saya memeluk Islam secara rasmi," kata Booth dalam temuramahnya di akhbar The Mail.

Sejak itu, Booth terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai umat Islam. Belajar menutup aurat, sembahyang lima kali sehari semalam di masjid dan tentu sekali juga, membaca al-Quran.

"Saya sudah membaca sehingga muka surat 60 sekarang ini," ujarnya gembira.

Beliau juga terus meninggalkan minuman keras yang menjadi kegemaran beliau selama ini.

"Sehingga hari ini merupakan hari yang ke 45 saya tidak menyentuh arak, iaitu satu tempoh paling lama sejak 25 tahun meminumnya.

"Perkara ini sangat menghairankan sejak saya memeluk Islam sedangkan dahulunya sekurang-kurangnya setiap hari saya pasti meneguk arak sekurang-kurangnya satu atau dua gelas sehari," katanya jujur.

Cara gaya keibubapaan

Posted: 04 Nov 2010 07:39 PM PDT


Kepimpinan ibu bapa banyak mempengaruhi perkembangan psikologi anak-anak. - Gambar hiasan


CARA gaya keibubapaan adalah merupakan satu peranan yang diamalkan oleh ibu bapa untuk mendidik, memupuk, melindungi dan juga memberi arah panduan kepada anak-anak dengan cara atau acuan sendiri yang mungkin dipelajari daripada ibu bapa mereka atau melalui pengalaman persekitaran.

Banyak telah diperkatakan dan juga melalui dapatan hasil kajian akademik, cara gaya keibubapaan banyak menyumbang kepada tingkah laku anak.

Ada setengahnya mendapati cara gaya keibubapaan yang berbeza amalannya menyumbang kepada kejayaan anak dalam aspek akademik, kerjaya, dan juga akhlak yang mulia.

Tidak kurang dapatan juga mendapati bahawa cara gaya keibubapaan juga menyumbang kepada masalah tingkah laku anak sehingga terjebak dalam jenayah dan ketidakstabilan perkembangan psikologi.

Semua ibu bapa inginkan anak-anak mereka berjaya dunia dan akhirat tetapi cabarannya adalah cara gaya keibubapaan yang mana satu yang berkesan.

Ibu bapa perlu mempelajari ilmu kemahiran keibubapaan memandangkan tuntutan dan cabaran perubahan yang pesat dalam kesibukan bekerja.

Terdapat ibu bapa yang tidak mempedulikan perkembangan dan kebajikan anak.

Jika ada di antara mereka yang mengambil tahu tentang perkembangan anak, ada setengahnya tidak mempunyai masa atau tenaga untuk memantau tingkah laku dan perkembangan anak.

Ibu bapa yang kisah dan memantau perkembangan anak, mungkin ada yang tidak nampak apa-apa kesalahan tingkah laku anak.

Sekiranya semua tersusun atur, masih ada ibu bapa yang tidak mempunyai kekuatan atau keupayaan menghukum atau menegur kesalahan tingkah laku anak.

*PROF. MADYA DR. KHAIDZIR ISMAIL ialah pensyarah di Pusat Pengajian Psikologi Dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tilawah baiki bacaan saudara Muslim

Posted: 04 Nov 2010 07:36 PM PDT


Tuanku Nur Zahirah menyampaikan anugerah Tokoh Saudara Muslim kepada Shah Kirit Govindji Abdullah di Majlis Anugerah Penghargaan Majlis Tilawah Al-Quran Saudara Muslim 2010 di Seri Perdana, Putrajaya baru-baru ini.


SETIAP Muslim perlu memainkan peranan dalam membangunkan syiar Islam. Ia demi mengukuhkan semangat ummah. Sebabnya, pengukuhan ummah tidak akan terbina berasaskan kepada kaum, kerakyatan, kedaerahan, penaklukan, kerabat atau kepentingan istimewa.

Sebaliknya ia merentasi sempadan politik dan nasional. Ini kerana asas ummah dalam Islam adalah prinsip yang membawa kepada pengabdian sepenuhnya terhadap perintah Allah, mematuhi segala perintahnya, dan komitmen penuh terhadap perjuangannya.

Salah satu cara yang boleh dilakukan untuk menyebarkan syiar Islam adalah dengan menganjurkan majlis seperti tilawah. Ini kerana ia merupakan asas terbaik bagi golongan saudara baru berhimpun dan saling bertukar-tukar pandangan berhubung Islam selain memupuk persefahaman lebih baik berhubung nilai-nilai agama dan Islam.

Pada 24 Oktober lalu berlangsung Majlis Tilawah al-Quran Saudara Muslim 2010 di Bangunan Amphitheatre, Kraftangan Malaysia, Kuala Lumpur.

Majlis itu anjuran bersama Nusantara Iman Sdn. Bhd. dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Seramai 98 peserta mengambil bahagian dalam tilawah yang terbahagi kepada lima kategori iaitu kategori terbuka bagi qari dan qariah; kategori millenium (bagi yang memeluk Islam sejak 2006); kategori khas (bagi golongan kurang upaya).

Turut dipertandingkan kategori azan putera (untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun) dan kategori azan remaja (kanak-kanak berusia 12 hingga 18 tahun).

Majlis bertaraf antarabangsa itu adalah di bawah naungan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Raja Rezza Shah berkata, majlis itu bertujuan menyatukan umat Islam sebagai satu ummah dan memberi peluang kepada saudara baru berinteraksi dalam satu majlis keagamaan.

Katanya, ini jelas menunjukkan bahawa semua kaum muslimin sememangnya sebahagian daripada satu komuniti yang tidak hanya mengembangkan kemajuan untuk penyatuan umat, tetapi juga menghargai prinsip syariah.

"Kita berasa terpanggil untuk mendengar bacaan yang indah dalam al-Quran, keajaiban abadi, buku terakhir dari Allah yang dihantar sebagai pedoman bagi umat manusia melalui Nabi Muhammad SAW iaitu nabi terakhir.

"Keajaiban al-Quran dihantar kepada Nabi Muhammad SAW dan ia menghasilkan pengetahuan di benak masing-masing dan di atas semua itu disertakan panduan bagi umat manusia sebagaimana dinyatakan dalam ayat 120 surah al-Baqarah," katanya.

Ibnu Abbas r.a berkata: "Sesiapa yang mengikut al-Quran ini, maka Allah SWT akan memberinya petunjuk, meneguhkannya di dunia dan membahagiakannya di akhirat. Dan sesiapa berpaling dari al-Quran, maka Allah SWT akan menyesatkan ketika dia di dunia, menjadikan kehidupannya sempit dan menghinakannya di akhirat."

Wanita makin pentingkan kesihatan

Posted: 04 Nov 2010 07:35 PM PDT


SALAH seorang sukarelawan Pfizer memeriksa seorang penduduk yang datang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.


JIKA beberapa puluh tahun lalu bilangan wanita di negara ini yang menjalani pemeriksaan kesihatan seksual dan reproduktif secara berkala boleh dibilang dengan jari, namun kini keadaan itu semakin baik.

Jika dahulu, pemahaman wanita mengenai kepentingan pemeriksaan kesihatan tersebut kurang menggalakkan, tetapi hari ini mereka lebih bijak, berilmu dan mengambil berat.

Keadaan positif itu berlaku antara lain ekoran komitmen tinggi secara berterusan Persatuan Perancangan Keluarga (PPK) yang ditubuhkan sejak 53 tahun lalu iaitu pada 1957.

Bagi Pengurus Negeri Persatuan Perancangan Keluarga Kelantan (PPKK), Wong Mei Lin, hal yang sama berlaku di negeri itu.

Katanya, badan bukan kerajaan (NGO) itu diperkenalkan bagi meningkatkan kesedaran terutama di kalangan wanita mengenai kepentingan kesihatan seksual dan reproduktif.

Ujarnya, PPKK berperanan memberikan pelbagai perkhidmatan dan menjalankan program berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif termasuk perancangan keluarga, masalah kesuburan, penyakit tularan seks, kanser payu dara, menopaus, kanser serviks, isu remaja dan keganasan rumah tangga.

"PPKK mengadakan pemeriksaan kesihatan, memberi rawatan dan ubat-ubatan pada harga yang amat berpatutan.

"Kami juga mengadakan sesi penerangan, perbincangan, seminar, ceramah dan demonstrasi kepada wanita dan lelaki di sekolah, kampung, bandar, kawasan tumpuan masyarakat dan klinik kami di seluruh Kelantan.

"Kami adalah satu-satunya NGO kesihatan yang menjalankan usaha menangani isu-isu penting kesihatan yang kurang mendapat perhatian orang ramai," katanya yang sudah 26 tahun berkhidmat bersama PPKK.

Beliau berkata demikian kepada rombongan media yang mengadakan kunjungan ke PPKK Daerah Machang sempena program Ekspedisi Saringan Kesihatan Kelantan Pfizer Care-A-Van di Kelantan, baru-baru ini.

Program empat hari bermula 5 Oktober lalu yang dianjurkan Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd. itu bertujuan menjalankan saringan kesihatan kepada penduduk sama ada wanita atau lelaki di enam kawasan perkampungan di Machang dan Tanah Merah, Kelantan.

Dikendalikan doktor, jururawat dan pegawai Pfizer bertauliah, penduduk berpeluang menjalankan pelbagai ujian pemeriksaan saringan kesihatan secara percuma termasuk tahap kandungan gula, kadar kolestrol, tekanan darah, payu dara serta pap smear.

Mei Lin berkata, pada awal penubuhan PPKK, banyak cabaran ditempuhi pegawainya terutama terlalu sukar 'membuka mulut' bercerita mengenai kesihatan seksual dan reproduktif kerana mentaliti masyarakat yang kurang memahaminya.

Katanya, punca yang menyebabkan penduduk tidak terbuka ketika itu adalah takutkan rawatan, kurang memahami isu berkenaan dan menganggap perancangan keluarga haram di sisi Islam. Namun dengan usaha berterusan, ia semakin menunjukkan perkembangan positif.

Selain itu, jelasnya, usaha yang dijalankan PPKK itu akan lebih berkesan dengan kerjasama, sokongan dan komitmen daripada syarikat korporat, agensi kerajaan dan swasta.

"Justeru, PPKK amat menghargai dan berterima kasih kepada Pfizer kerana menganjurkan saringan kesihatan secara percuma ini kerana ia menggalakkan orang ramai terutama penduduk di kawasan kampung untuk menyertainya.

"Pengunjung turut berpeluang mengikuti sesi penerangan dan perbincangan sementara menunggu giliran menjalankan pemeriksaan.

"Di kesempatan ini, saya ingin menasihatkan kepada semua orang, pemeriksaan kesihatan berkala tidak boleh diambil ringan kerana ia amat penting dalam membantu menjamin kualiti hidup yang terbaik," ujarnya.

Tiga saintis wanita diiktiraf

Posted: 04 Nov 2010 07:35 PM PDT


Pengarah Urusan L'Oreal Malaysia, Andrew Stanleick (kanan) bersama tiga pemenang Anugerah Biasiswa L'Oreal di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


MEREKA adalah wanita yang sanggup mengorbankan masa, tenaga, buah fikiran demi mencari formula dan menghasilkan penemuan baru yang dapat memberi manfaat kepada manusia sejagat. Kegigihan golongan wanita ini memang sukar dinilai dengan kata-kata mahupun wang ringgit, usaha mereka diibaratkan seperti menanam padi yang hasilnya akan dituai dan dinikmati bersama seluruh penduduk.

Bagi menggalakkan lagi golongan wanita menceburi bidang sains dan penciptaan, L'Oreal dan Unesco telah memberikan Anugerah Biasiswa L'Oreal untuk tiga lagi wanita pada tahun ini.

"Saingan yang diterima pada tahun ini amat sengit dan kami para juri berhadapan dengan cabaran untuk memilih tiga wanita dari bidang sains untuk menerima anugerah ini," ujar Profesor Asmah Ismail selaku ketua juri yang bertindak sebagai pemilih pemenang anugerah tersebut.

Beliau juga tidak menafikan bidang yang dipilih ketiga-tiga pemenang itu adalah yang bermanfaat untuk manusia.

Pepatah mengatakan wang bukanlah segalanya namun realitinya segala-galanya memerlukan wang. Apatah lagi jika kita berbicara tentang soal kaji selidik yang melibatkan pelbagai eksperimentasi, tenaga, uji kaji, dan pelbagai lagi jenis ujian yang amat perlu bagi menghasilkan satu uji kaji atau penemuan terbaik yang bermanfaat untuk semua. Semua itu bukan melibatkan jumlah wang yang sedikit.

Pengalaman menulis sebanyak 10 buah kertas kerja selama setahun adalah segelintir dari rentetan kisah seorang saintis wanita dari Universiti Sains Malaysia (USM) dalam usaha untuk mendapatkan dana atau tajaan demi kajiannya.

Dr. Widad Ismail, yang juga seorang pensyarah kanan di fakulti kejuruteraan elektrik dan elektronik Universiti Sains Malaysia (USM) mengakui bukan senang untuk meyakinkan pihak swasta untuk menaja kajian yang dilakukan bersama kumpulannya.

"Dalam hal ini saya akui duit adalah segalanya, memang susah untuk mendapatkan dana tajaan untuk memulakan satu kajian. Saya perlu melakukan penerangan sacara teliti kepada syarikat yang berpotensi untuk menaja dan menerangkan kepada mereka bahawa projek yang saya akan lakukan tersebut memberikan kesan atau impak yang baik untuk negara," jelas ibu kepada tiga cahaya mata ini.

Mengimbas tentang pengalaman beliau sebagai pelajar, Dr. Widad berkata, bukan mudah bergelar ibu dan pada masa yang sama bekerja dan belajar. Widad yang berkahwin ketika melanjutkan pelajarannya di United Kingdom pada tahun 1999 penuh optimis dengan keputusannya untuk memegang gelaran, isteri, ibu, pelajar dan pekerja dalam satu masa. Tindakan Widad nyata memberikan satu tanggapan positif bagi wanita yang menganggap status sebagai penghalang untuk mencapai kejayaan.

"Bila dikenang balik memang rasa macam sukar percaya, namun itulah hakikatnya yang saya telah mencapai tahap ini. Pengalaman pahit itu satu perkara yang normal dan yang penting kita mempunyai sokongan keluarga dan rakan di sekeliling yang sudi membantu dalam apa jua situasi," ujar wanita kelahiran Kedah ini.

Widad yang memang sejak kecil bercita-cita untuk menjadi saintis memberitahu minatnya dalam bidang tersebut bercambah apabila melihat banyak penciptaan sains dan teknologi yang telah mengubah dunia.

"Sebab itu saya mendapat motivasi untuk menjalankan projek identifikasi teknologi dengan frekuensi radio sebagai salah satu agenda teknologi terpantas dan bakal digunakan pada tahun 2010.

Objektif utama projek yang saya jalankan ini adalah untuk memudahkan pihak hospital dengan menggunakan aplikasi pintar bagi mengurangkan melakukan kesilapan, mempertingkatkan keselamatan pesakit serta mengurangkan beban pihak berkuasa. Selain itu projek ini juga mempercepatkan proses pengurusan, pendaftaran dan segalanya berkaitan perkhidmatan kesihatan," jelas Widad yang mendapat tajaan RM20,000 untuk projeknya.

Seorang lagi penerima anugerah, Chong Pan Pan, dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur akan memanfaatkan biasiswa yang diterimanya untuk kajian perubatan bagi masalah lutut dan peha.

"Dengan adanya biasiswa ini saya yakin kajian saya akan menemui kejayaan. Dengan menggunakan sel stem penyakit osteoarthritis boleh dielakkan dari berlaku pada usia muda, impian ini akan saya buktikan dalam masa lima tahun dari sekarang," ujarnya yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang PhD di Fakulti Perubatan Universiti Malaya.

Kisah Pan Pan dalam bidang sains memang menarik, ketika di bangku sekolah, gurunya pernah berkata kepada ayat berikut 'kalau miskin tak semestinya pendidikan kita juga 'miskin', jangan biarkan seorang kanak-kanak miskin walau anda sendiri pada ketika itu tidak mempunyai apa-apa'. Maksudnya begitu mendalam dan membuatkan dia mahu menjadi seorang yang berguna untuk orang lain.

Bagi Pan Pan, dia tidak menghadapi banyak masalah ketika menjalankan kajian dan yakin usaha dan pengurusan diri serta masa yang betul menjadi kunci kepada kejayaan.

"Cuma kadangkala kajian saya menjadi agak perlahan kerana kurangnya geran yang diberikan, jadi dengan adanya biasiswa ini diharap ia menjadi pemacu kepada kejayaan projek saya," ujarnya.

Dr. Lim Kue Peng adalah seorang saintis di Pertubuhan Kajian Inisiatif Kanser. Kajian Kue Peng dilihat praktikal di kala bertambahnya pesakit kanser di Malaysia setiap tahun.

"Atas sebab itulah maka terdorongnya saya untuk menjadi seorang saintis. Bagi saya kes kanser yang meningkat tiap tahun perlu dikurangkan dan untuk tujuan itu maka lebih ramai saintis yang diperlukan untuk mencari ubatnya," jelasnya.

Kue Peng juga berpendapat saintis adalah satu kerjaya yang membolehkan dia berbakti kepada masyarakat.

"Apabila kita faham tentang sesuatu penyakit dengan lebih mendalam, kita berpeluang untuk mencegah dan mengubatnya. Dengan terpilihnya saya untuk biasiswa ini ia sebagai penyuntik semangat untuk saya lakukan terbaik demi masyarakat," jelasnya.

Anugerah Wanita Dalam Sains ini telah dilancarkan pada tahun 2006 oleh L'Oreal dengan kerjasama Suruhanjaya UNESCO. Ia turut mendapat kerjasama dengan Akademi Sains Malaysia, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pengajian Tinggi.

Bergaya dengan bajet rendah

Posted: 04 Nov 2010 07:34 PM PDT


Aksesori cermin mata dan jam tangan khusus untuk lelaki.


RAKYAT Malaysia pelbagai kaum rancak menyambut perayaan masing-masing. Bagi masyarakat berketurunan India, kesibukan membuat persiapan menyambut Deepavali memang terasa. Umat Islam pula akan meraikan Hari Raya Korban tidak lama lagi sementara kemeriahan musim cuti sekolah juga semakin dirasai.

Menyemarakkan suasana hujung tahun, jenama-jenama besar menampilkan rekaan terkini dan memenuhi selera pelanggan.

Mengikut arus fesyen yang semakin berkembang pesat, jenama Alfio Raldo menampilkan koleksi mewah dan moden.

Koleksi fesyen dengan elemen mewah dan glamor ternyata menjadi rebutan di kalangan penggemar aksesori kerana harganya yang murah dan sederhana. Menjadikan konsep pelbagai guna, sederhana dan realistik sebagai konsep utama, Alfio Raldo menterjemahkannya menjadi satu koleksi yang pasti menjadi idaman. Dengan bajet RM500 ke bawah, anda boleh memiliki padanan kasut dan beg tangan dengan kualiti dan rekaan terkini.

Memaparkan beg tangan dan kasut berwarna mewah yang mengasyikkan seperti emas metalik, gangsa, off-white, turqoise, perak, violet dan merah terang, pastinya sambutan setiap perayaan menjadi lebih ceria.

Gabungan aksesori seperti manik, kristal, rantai, yang berkilat bak berlian menjadikan aksesori anda sempurna dan pelengkap personaliti.

Antara aksesori yang semakin digilai ramai adalah beg sandang mini tote bag, oversize hobo bag dan tote bag. Tidak ketinggalan, koleksi kasut yang terbaik seperti mules, sling back, pump, blok heel dan ankle strap hell.

Mencuri tumpuan penggemar fesyen, koleksi kali ini menampilkan ciri istimewa dengan rekaan kasut sepadan dengan beg tangan.

Konsep suai padan ini dilihat bergaya untuk ke pejabat, majlis formal atau menghadiri mesyuarat dan temu janji.

Seperti golongan wanita, koleksi lelaki turut menampilkan kepelbagaian. Koleksi kasut, dompet, jam tangan dan aksesori lelaki membantu penampilan lelaki lebih segak dan menarik.

Wajah seksi dan elegan

Posted: 04 Nov 2010 07:33 PM PDT




HADIR dengan warna yang menjadi gaya solekan terkini, Estee Lauder tampil dengan tiga konsep berbeza. Blue Dahlia, Metalic Smokey dan Red Lips antara trend solekan musim ini. Sesuai untuk majlis-majlis kasual, formal atau koktel, wajah lebih seksi, elegan dan jelita. Baru-baru ini bertempat di KL Pac, Sentul, Kuala Lumpur, Estee Lauder memperkenalkan warna-warna menawan untuk mata dan bibir, Pure Color. Jurusolek antarabangsa Estee Lauder, Zohn Ho menunjukkan teknik senik kecantikan mata dengan Pure Color Eyeshadow terbaru. Alamilah sendiri tip solekan terkini dengan koleksi warna-warna yang menawan hati.

Hasliza, Fadilah cantik & yakin

Posted: 04 Nov 2010 07:32 PM PDT




KEHADIRAN dua wanita ini menggamatkan suasana fotografi finalis Peraduan Citra Wanita One Drop Perfumes dan Mingguan Malaysia. Kedua-duanya tidak menyangka terpilih ke peringkat akhir walaupun menghantar borang penyertaan di saat akhir.

Si jelitawan, Nor Hasliza Hashim anak kelahiran Kedah manakala Fadzilah Ahmad Marzuki memilih busana batik berasal dari Johor. Sama cantik dan berkeyakinan, mereka tampil menarik tatkala memakai aksesori eksklusif Tomei.

Berusia 26 tahun, Hasliza bertugas Pentadbir di Biotehcorp bercita-cita menjadi usahawan berjaya. Berpengalaman melakukan pertunjukan fesyen, dia terus berusaha dan tidak jemu memperbaiki serta melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan.

Baginya, gelombang modenisasi dan kepantasan teknologi dalam dunia kini menuntut golongan wanita mengetahui perkara baru.

"Justeru peluang menyertai peraduan ini menjadikan saya lebih berkeyakinan dan cuba memperbaiki diri," ujarnya yang meminati fesyen yang cantik dan sopan.

Sentiasa bersikap ikhlas dan terbuka, Fadzilah, 28, percaya akan kebolehan diri sendiri. Dia mahu sentiasa memberikan yang terbaik dalam melakukan apa sahaja.

Sebagai pembantu tadbir, dia tidak pernah terbeban menjalani tugas sebagai pekerja dan suri rumah.

"Saya ingin bercita-cita menjadi seorang isteri yang baik dan mampu menjadi contoh kepada wanita lain. Saya selalu mengingati pesanan ibu dan bapa saya yang menitikberatkan masa adalah aset penting kepada seseorang. Oleh itu, saya tidak mahu sia-siakan peluang menyertai pencarian ini. Mungkin dengan menyertainya, saya mampu menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat," ungkap peminat Shiela Majid ini.

Shoeville syurga kasut

Posted: 04 Nov 2010 07:32 PM PDT


Pelbagai jenis kasut jenama antarabangsa di Shoeville.


KECANTIKAN dan gaya yang menyerlahkan personaliti seseorang wanita tidak hanya terletak pada busana, solekan yang sesuai mahupun aksesori yang dipadankan.

Ini kerana kasut turut memainkan peranan penting dan kasut juga merupakan antara aksesori pakaian yang akan memastikan anda melangkah dengan penuh yakin.

Kerana itu jugalah, kecantikan seorang wanita sering kali digambarkan 'dari hujung rambut hingga ke hujung kaki'.

Menyedari betapa pentingnya kasut kepada dunia fesyen hari ini, Shoeville tidak ketinggalan menawarkan pelbagai jenis dan bentuk fesyen kasut yang menarik untuk digayakan kaum Hawa.

Untuk koleksi musim luruh dan sejuk 2010, Shoeville yang terletak di pusat membeli-belah Bangsar mempunyai pelbagai pilihan kasut yang berkualiti dan pastinya selesa untuk dipakai.

Bersesuaian dengan perwatakan wanita yang ayu, Shoeville mengilhamkan kasut hasil daripada gabungan gaya kasual, feminin serta cantik yang semulajadi.

Shoeville juga merupakan sebuah butik kasut yang menampilkan gaya moden, penuh keyakinan, kemewahan dan bergaya.

Antara jenama-jenama yang boleh diperoleh ialah Satryani, Via Uno, Raphaella Booz dan Biondini.

Kesemua jenama kasut-kasut tersebut merupakan kasut yang diimport dari Brazil dan setiap rekaan adalah eksklusif dan hanya boleh diperoleh dalam kuantiti yang terhad.

Setiap jenama menampilkan pelbagai rekaan yang menarik di samping warna-warna pilihan mengikut cita rasa wanita hari ini.

Bukan itu sahaja, malah bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan kasut-kasut tersebut terdiri daripada bahan campuran yang terdiri daripada kulit, kain bercetak, cetakan kulit ular serta suede.

Yang pasti, keempat-empat jenama yang terdapat di Shoeville mempunyai rekaan serta gaya yang tersendiri.

Inspirasi dari Mumbai

Posted: 04 Nov 2010 07:30 PM PDT


Inspirasi warna-warna tanah untuk musim 2010.


CERIA dan warnakan hari anda dengan koleksi terbaru fesyen MS. READ 2010 yang diinspirasikan daripada kota penuh warna-warni Mumbai, India.

Blaus untuk wanita yang diilhamkan kali ini oleh MS. READ diperhalusi dengan lisu dan baju tanpa lengan kembang yang berwarna romantik, sama ada jalurannya daripada warna yang lebih gelap sehinggalah ke kuning jagung dan krim butterscotch.

Blaus-blaus ini sesuai untuk dipadankan dengan skirt denim, jeans atau seluar biasa yang mencipta momen chic dan kelihatan sofistikated.

Sesuai untuk dipakai pada hujung minggu. Sekiranya terasa sejuk seketika diselubungi angin dan hujan monsun, pakaikan sahaja jaket denim MS. READ dan anda telah sedia untuk ke mana-mana destinasi yang dikehendaki.

Terasa tenang dan kasual, dengan gaya romantik baju maxi yang panjang dan beralun yang melitupi tubuh dengan keadaan yang sangat padan dihiasi manik-manik yang dipecah-pecahkan dari warna yang terang sehinggalah pada hari yang panas.

Bagi rangkaian secara klasik, pakaian ke pejabat lebih kelihatan kemas dan feminin dengan kot yang berputar dan jaket dada berganda, ketika t-shirtnya beralun ke sana sini.

Dari waktu kerja ke bersosial, rangkaian pakaian selepas pukul lima petang kelihatan lebih seksi dengan tube, skirt ikan duyung dan top toga yang meletakkan anda mod untuk berlibur dan bersosial, yang pastinya anda akan menjadi perhatian pada petang itu.

Gayanya diperhalusi dengan top panjang yang beralun dengan dihiasi warna-warna permata hidupan laut, merah delima dan kilauan nilam.

Sesungguhnya pada musim ini segala-galanya mengenai anda, inspirasi anda dan pakaian yang anda kenakan.

Balqis pelajar terbaik keseluruhan UPSRA

Posted: 04 Nov 2010 07:29 PM PDT


Jamil Khir Baharom menyampaikan anugerah kepada Balqis Zainal sambil diperhatikan Che Mat Che Ali di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 3 Nov. - Memakan kismis setiap hari menjadi amalan Balqis Zainal, 12, yang muncul pelajar terbaik keseluruhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bagi tahun ini.

Murid Sekolah Rendah Agama Seri Rampai, Setapak ini juga mengehadkan masa menonton televisyen hanya sejam sehari untuk memberi tumpuan kepada pelajaran sehingga meraih A dalam kesemua sembilan mata pelajaran iaitu Al-Quran, Penulisan Jawi, Khat, Akhlak, Tauhid, Fikah, Sirah, Tajwid dan Bahasa Arab.

"Saya mengulang kaji seperti rakan-rakan lain, tiada had masa tetapi yang menjadi amalan adalah makan kismis setiap hari, tonton televisyen juga hanya sejam sehari," katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan UPSRA di sini, hari ini.

Pengumuman keputusan tersebut dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada majlis yang turut dihadiri Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali.

Balqis yang bercita-cita untuk menjadi pensyarah bidang agama mencatat purata kelulusan 95 peratus.

Dalam pada itu, Jamil Khir berkata, seramai 132 murid mendapat 9A iaitu peningkatan 0.3 peratus berbanding pencapaian tahun lalu yang menyaksikan seramai 114 murid memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil.

Pada masa sama katanya, calon yang mendapat 8A juga meningkat seramai 16 orang pada tahun ini berbanding jumlah keseluruhan tahun lalu sekadar 114 orang.

"Begitu juga pencapaian 7A, meningkat sebanyak 0.8 peratus dengan jumlah calon seramai 245 orang mendapat 7A berbanding hanya 193 orang pada tahun lalu," jelasnya.

Pelajar Jepun dalami budaya kita

Posted: 04 Nov 2010 07:27 PM PDT


SALAH seorang guru SMK Puchong Perdana menunjukkan cara menganyam ketupat kepada pelajar Jepun yang melawat sekolah itu di Puchong, Selangor, baru-baru ini.


PUCHONG - Program pengantarabangsaan adalah platform terbaik kepada pelajar dan guru di negara ini untuk mendapat pendedahan, pengalaman dan pengetahuan baru pendidikan di peringkat global.

Salah satu pendekatan yang sering diamalkan ialah lawatan sambil belajar melibatkan institusi pendidikan antara dua negara seperti yang dilakukan oleh Yamato-Nishi Senior High School dari Jepun yang berkunjung ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong Perdana di sini baru-baru ini.

Pengetuanya, Zuraidah Mohamad berkata, objektif utama program itu adalah bagi menggalakkan pertukaran budaya dan kehidupan antara pelajar dari kedua-dua negara.

Ia juga, katanya, untuk memberi pendedahan kepada para pelajar dan guru dari kedua-dua sekolah untuk berkongsi maklumat serta pengalaman pengajaran dan pembelajaran (P&P) di negara masing-masing.

"Program ini juga dapat menggalakkan perhubungan sesama mereka melalui rangkaian Internet untuk terus berhubung dan berkongsi pengalaman serta maklumat berguna mengenai kedua-dua negara pada masa akan datang," jelasnya ketika ditemui pada program itu di sini baru-baru ini.

Beliau menambah, kebolehannya berkomunikasi dalam bahasa Jepun merupakan salah satu faktor sekolah Yamato-Nishi bersetuju melawat SMK Puchong Perdana kerana mudah untuk kedua-dua pihak berkomunikasi dan saling memahami kehendak serta tujuan masing-masing.

Pelawat dari Jepun itu terdiri daripada 280 pelajar dan sepuluh guru.

Manakala Pengetua Yamato-Nishi Senior High School, Kazuhiko Matsui pula berkata, lawatan itu berjaya menggalakkan para pelajarnya memperluaskan penggunaan bahasa Inggeris ke tahap yang lebih tinggi selain membantu mereka berkomunikasi dengan masyarakat antarabangsa.

Menurutnya, program lawatan itu merupakan antara aktiviti penting dalam kalendar tahunan mereka demi memberi pendedahan kepada pelajar.

"Diharap para pelajar dan guru-guru kami mempelajari tentang Malaysia seterusnya memperkenalkan negara ini kepada keluarga serta sahabat mereka apabila kembali ke Jepun," ujarnya.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan semasa lawatan itu seperti kuiz kebudayaan, mencanting batik serta membuat roti jala dan teh tarik.

Aktiviti sukan tradisional Malaysia seperti sepak takraw, sumpit, congkak, terompah gergasi, batu seremban, konda kondi turut diperkenalkan kepada para pelawat seterusnya dimainkan oleh mereka sendiri.

SMK Kajang Utama rai pelajar PPKI

Posted: 04 Nov 2010 07:26 PM PDT


Pelajar PPKI SMK kajang Utama dirai pada majlis Jamuan Akhir Tahun di sekolah itu di Kajang, Selangor, baru-baru ini.


KAJANG - Seramai 70 pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kajang Utama diraikan pada Jamuan Akhir Tahun di sini baru-baru ini.

Penolong Kanan Hal Ehwal Muridnya (HEM), Khairiah Ab. Karim berkata, melalui aktiviti seperti ini diharap mampu menjadikan pelajar PPKI Bermasalah Pembelajaran dan Bermasalah Penglihatan itu berdikari dan berdaya saing apabila tamat persekolahan kelak.

Menurut beliau, majlis ini juga dapat mengukuhkan kerjasama antara guru, ibu bapa, pembantu pengurusan murid (PPM) dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Badan Kebajikan sekolah itu dalam usaha meluaskan pengetahuan serta pengalaman pelajar, mengaplikasikan pengajaran dan pembelajaran (P&P) di luar bilik darjah merentasi mata pelajaran Sains Sosial dan Alam Sekitar.

"Ia juga mampu merapatkan lagi hubungan sesama pelajar PPKI, guru, ibu bapa dan PPM," katanya pada majlis itu.

Pada majlis itu, pihak sekolah turut meraikan perpisahan guru pendidikan khas, Wan Maziani Wan Muhammad yang akan berpindah ke Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Putrajaya.

Majlis Sambutan Hari Jadi Murid-murid, guru dan PPM peringkat kedua dan ketiga juga turut diadakan.

Menurut Khairiah lagi, objektif majlis itu adalah untuk melatih pelajar berinteraksi dan menyesuaikan diri dengan masyarakat luar.

"Secara tidak langsung ia dapat menimbulkan rasa dihargai dan diperlukan dalam diri pelajar PPKI ini seterusnya menjadikan mereka lebih ceria dan bersemangat untuk belajar," tambahnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS