Nuffnang

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Yana masih solo

Posted: 22 Jan 2013 02:07 PM PST

Pelakon Wawa Semput lali gosip, tiada masa untuk bercinta

Bukan sekali atau dua dirinya digosipkan mempunyai hubungan cinta dengan selebriti lelaki tanah air. Justeru, dia bagai sudah lali dengan segala khabar angin itu dan kini dia hanya mampu ketawa tatkala diajukan pertanyaan berhubung perkara itu.

Terbaru, Yana Samsudin dikaitkan pula dengan penulis yang juga pelakon, Fadzil Zahari. Sekali lagi wanita peramah ini menjelaskan semua itu hanyalah gosip.
Tengok pada jadual kerja, mana ada masa untuk saya bercinta? Selepas ini, siapalah pula agaknya yang akan dikhabarkan sebagai kekasih saya?" Yana Samsudin, Pelakon

Tegasnya, dia terlalu sibuk dengan lakonan, membuatkan dirinya tidak punya waktu untuk bercinta. Kata Yana juga, dia masih solo dan belum ada sebarang perancangan untuk berkahwin.

"Sekarang ini, hendak bercuti pun tak ada masa. Saya cuma dapat cuti sebulan pada Oktober lalu. Saya memang sibuk dengan lakonan. Selepas berlakon drama arahan Rashid Sibir ini, saya akan sibuk dengan promosi filem pula," katanya ketika ditemui di lokasi Surat Dari Langit Biru di ibu kota, kelmarin.

Drama lakonannya bersama Johan As'ari, Fizo Omar, Tania Hudson, Fauziah Nawi, Datuk Rahim Razali dan Nasir Bilal Khan itu akan menemui penonton TV3 mulai 6 Februari depan.

Sibuk berlakon filem
Menurut Yana, pada 31 Januari ini dia akan tampil dengan filem Wawa Semput, diikuti 2 Kalimah pada Februari dan Cerita Kita pada Mac. Baru-baru ini, filem seram lakonannya, Minyak Dagu, mendapat sambutan baik penonton. Pada tahun ini juga, lakonannya turut dapat disaksikan menerusi Adnan Sempit 3.

Selain filem, Yana tidak melupakan skrin kecil. Jika tahun lalu dia popular dengan siri Bini-Biniku Perkasa, tahun ini Surat Dari Langit Biru pula menjadi pilihannya. Jika boleh, dalam setahun dia cuba untuk muncul dalam sebuah drama bersiri.

"Tengok pada jadual kerja, mana ada masa untuk saya bercinta? Sudah banyak gosip yang mengaitkan saya dengan pelakon sebenarnya. Selepas ini, siapalah pula agaknya yang akan dikhabarkan sebagai kekasih saya?" katanya sambil tersenyum.

Tuah dicalonkan peminat

Mengenai pencalonannya pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2012, Yana mengaku tidak menyangka dirinya akan tersenarai buat kali kedua dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular.

Berasakan dirinya bertuah berada dalam senarai lima popular, Yana cukup bersyukur apabila peminat sudi menghabiskan duit untuk mengundi dirinya.

Selain itu, Yana turut dicalonkan dalam tiga kategori online iaitu Gandingan Serasi di Layar, Artis Wanita Stailo dan Artis Berpengaruh di Laman Sosial.

"Kalau dilihat kepada calon lain, semuanya hebat-hebat. Apatah lagi Zizan berada dalam kategori yang sama dengan saya, bagaimana saya nak menang?

"Begitupun, melihat pada artis seperti Tasha Shilla yang tidak dicalonkan tahun ini, saya memang terkejut. Namun bagi saya, andainya nama tidak dicalonkan, bukan bermakna sudah tak popular. Semuanya turut bergantung pada tuah. Saya pula agak bertuah sebab peminat sudi keluar duit beli surat khabar dan hantar undian," katanya yang teruja untuk mengikuti siri jelajah ABPBH ke empat lokasi.

Info: Filem Yana Samsudin 2013
* Minyak Dagu
* Wawa Semput
* 2 Kalimah
* Cerita Kita
* Adnan Sempit 3

Sentuhan Ikon 2013 janji kelainan

Posted: 22 Jan 2013 02:05 PM PST

Pertandingan realiti mencungkil bakat artis berkumpulan bukanlah baru. Kali ini, program berkonsep sama yang diterbitkan Marhaen Production iaitu Sentuhan Ikon 2013 ada keistimewaan tersendiri.

Program realiti ini yang bakal ditayang di saluran RTM, tidak lama lagi membawa kelainan apabila tiga kumpulan muzik terkemuka iaitu Alleycats, Lefthanded dan May akan menjadi tenaga pengajar.

Pengarah Sentuhan Ikon 2013, Kudin Ramly yang juga bekas anggota kumpulan Headwind memberitahu HIP, pembabitan artis berpengalaman dalam program itu memberi kelainan berbanding program sama yang diterbitkan pihak lain.

Cungkil bakat kumpulan

"Saya lihat setakat ini, program mencungkil bakat artis berkumpulan tidak seperti program realiti mencari penyanyi solo. Ini kerana peserta solo diberi tenaga pengajar yang dapat berkongsi pengalaman dengan peserta.

"Jadi saya terpanggil untuk mengambil khidmat tenaga pengajar dalam Sentuhan Ikon 2013 bagi berkongsi ilmu dengan bakat baru," katanya.

Kudin berkata, melalui khidmat sifu, peserta akan mendapat gambaran sebenar cabaran dalam dunia muzik selain menyusun strategi untuk bertahan lama dalam bidang muzik.
"Tidak dinafikan, kita ada ramai artis berkumpulan generasi baru. Tetapi mereka mudah hilang jati diri apabila sudah popular. Jadi dalam program ini, kami mahu membimbing peserta ke arah yang betul," katanya.

Kudin berkata, peserta yang ingin mencuba nasib dalam program itu boleh mengirim rakaman muzik sama ada menerusi Youtube atau saluran berkaitan.

Syarat penyertaan

Menurutnya, antara syarat ditetapkan ialah setiap kumpulan perlu berusia 30 tahun ke bawah serta dianggotai antara tiga hingga enam pemuzik saja.

Menurut Kudin, dia berharap dapat mencungkil bakat di kalangan penduduk luar bandar. Ini kerana kata Kudin, dia yakin mereka berbakat tetapi tidak tahu bagaimana hendak menonjolkannya.

Cari band berwawasan

Tiga tenaga pengajar Sentuhan Ikon 2013 tidak sabar-sabar berkongsi ilmu dengan anak didik mereka.

Vokalis kumpulan May, Mus berkata, pengalaman 27 tahun dalam industri muzik akan digunakan sebaik-baiknya untuk membimbing pelajar.

"Bukan mudah untuk bertahan sepanjang dua dekad ini. Banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa dihadapi sehingga ada suatu peringkat, saya bertindak keluar dari kumpulan," katanya.

Mus berkata, selain berkongsi ilmu dan mengajar bagaimana hendak membuat persembahan mantap, mereka akan berkongsi petua bertahan lama dalam industri.

"Kami akan mengajar mereka bagaimana mahu berdepan masalah yang mungkin timbul apabila bersama dalam satu kumpulan supaya tidak berlaku perpecahan," katanya.

Pemain gitar kumpulan Lefthanded, Man Kidal pula mahu mencari kumpulan yang tahu arah tuju muzik mereka.

"Kalau kita lihat industri muzik hari ini kekurangan band yang ada imej sendiri dan mempunyai hala tuju muzik berbanding kumpulan muzik pada era 1960-an dan 1970-an.

"Pada zaman itu, walaupun mereka memainkan muzik a go go, masing-masing ada imej sendiri dan punya hala tuju. Cuma, ketika itu, peluang untuk mencipta nama di luar amat terbatas," katanya.

Jelas Man Kidal, mereka mahu mencari band yang berwawasan, bukan sekadar mahir menguasai muzik.

Bagi vokalis kumpulan Alleycats, Datuk David Arumugam, dia cukup teruja berkongsi ilmu termasuk rahsia mengekalkan populariti selepas 43 tahun berkecimpung dalam bidan seni.

"Kita tidak boleh suka-suka masuk industri muzik. Generasi baru sebenarnya perlukan guru yang boleh mengajar mereka perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan apabila bergelar artis.

"Mereka tidak boleh hanya memikirkan glamor semata-mata atau sibuk menjalin skandal, sebaliknya mereka perlu tahu bagaimana hendak bertahan lama dalam industri," katanya.

Mereka yang berminat untuk menyertai program ini boleh menghubungi hotline 013-2111186.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS