Nuffnang

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Jejak kasih ABPBH

Posted: 24 Mar 2013 05:36 PM PDT

Aktiviti amal di SMK Tun Tuah, Ayer Keroh temukan Johan As'ari dengan guru lama

Aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Tuah, Ayer Keroh, Melaka, Sabtu lalu, sempena penganjuran Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 nyata meninggalkan kesan mendalam buat calon Pelakon TV Lelaki Popular, Johan As'ari.

Johan begitu terharu dan terkejut apabila dia secara tidak sengaja bertemu kembali dengan bekas wardennya, Ustaz Abdullah Tahir, pada acara terbabit.

Hampir 12 tahun tidak bertemu, Johan tidak sangka aktiviti amal yang disertainya di sekolah berkenaan meninggalkan kenangan cukup manis buatnya. Dia terkesima apabila Ustaz Abdullah yang pernah mengajar subjek agama Islam pada 1999 hingga 2001 di Sekolah Menengah Tinggi Melaka datang menegur.

"Saya memang terharu apabila dia datang menegur dan bersalaman dengan saya. Memang saya tak sangka dapat berjumpa Ustaz Abdullah di sini. Mana tidaknya, lebih 10 tahun kami tidak bertemu.

"Ustaz Abdullah seorang yang tegas dan berdisiplin, sebab dia jugalah saya menjadi diri saya yang sekarang ini. Saya cukup gembira dapat berjumpa dengannya di sini, selepas begitu lama. Saya juga ada mengambil nombor telefonnya tadi, untuk kami terus berhubung selepas ini," ujar Johan gembira.

Sama-sama berpanas baiki surau, tanam pokok

Ustaz Abdullah sendiri kelihatan ceria kerana bekas murid jagaannya kini sudah mempunyai kerjaya yang boleh dibanggakan.
Kongsi Ustaz Abdullah, Johan seorang yang ceria dan sangat aktif di sekolah dulu, serta tidak sombong walaupun berasal daripada keluarga yang senang.

Siapa sangka aktiviti CSR sebegini boleh meninggalkan coretan kenangan untuk barisan artis serta mereka yang terbabit menjayakannya. Tidak dinafikan setiap pelajar begitu teruja dengan kehadiran finalis ABPBH tahun ini seperti Johan, Hazama, Hafiz, Emma Maembong, Jihan Raja Lawak, Hanez Suraya dan Didie Alias.

Bersama-sama mereka memasang mozek di Surau Al-Hidayah dan menanam pokok di sekitar sekolah berkenaan. Barisan calon akhir ABPBH pula tidak kekok membantu, malah mereka turut bermandi peluh di bawah sinaran panas terik mentari petang itu.

Sebelum itu, ketika tiba di Ayer Keroh kira-kira jam 3 petang, barisan penganjur dan artis dihiburkan dengan persembahan nasyid dan sesi ramah mesra. Sebaik saja menjejakkan kaki ke sekolah itu pula, rombongan ABPBH 2012 disambut dengan meriah berserta taburan bunga rampai dan iringan paluan kompang.

Seronok sekolah jadi pilihan artis popular

Menurut Penolong Kanan Pentadbiran SMK Tun Tuah, Norsiah Abdul Rahman, mereka tidak menyangka sekolah berkenaan menjadi pilihan artis popular untuk beramal.

"Aktiviti ini menjadi perbualan hangat di laman sesawang Facebook sekolah kami sejak dua minggu lalu. Kami tentunya berasa amat bersyukur apabila hari yang dinanti-nanti oleh pelajar dan penduduk sekeliling tiba juga. Paling tidak, kami dapat melihat dengan lebih dekat artis kegemaran ramai ini," katanya.

Barisan artis yang hadir juga turut menghiburkan pelajar dan guru dengan celoteh serta nyanyian ringkas. Bersama-sama, artis yang ada menyanyikan lagu Kau Ilhamku, nyanyian asal oleh Man Bai, dan Ombak Rindu.

Malah, Johan dan Emma yang kelihatan pemalu turut diminta menyanyi bersama yang lain. Dan, paling menggelikan hati apabila Hazama menyampaikan lagu Ombak Rindu dalam versi Ramli Sarip. Mereka yang hadir seronok melihat gelagat bekas pelajar Akademi Fantasia itu.

Bukan saja dapat menyaksikan hiburan di depan mata, malah pelajar juga berkesempatan merakamkan gambar bersama artis kegemaran masing-masing. Maklum saja, peluang sebegitu tidak selalu menjelma. Jadi, kesempatan berharga itu pastinya enggan dilepaskan begitu saja.

Program CSR ini dianjurkan bersama Suara Komuniti BH dan turut dihadiri Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid; Pengedar R A Talang Enterprise, Shell Service Station, Ridzuan Ahmad; dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2012 yang juga Pengarang Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir.

Along hadiahkan rumah untuk bapa

Sementara itu, pada sebelah malam pula, rombongan bertandang ke rumah bapa Along Cham di Ehsan Heights, Johor Bahru, untuk menjamu selera.

Meriah dengan hilai tawa dan gelagat masing-masing, acara santai ini dijadikan tempat untuk selebriti melepaskan penat-lelah sesama mereka, dengan bergurau-senda, selepas seharian perjalanan.

Malah lebih menarik lagi apabila jemputan ini diadakan bersempena dengan pemberian rumah baru daripada Along kepada bapanya, Ahmad Zakaria, 57.

Baru sebulan berpindah dari rumah lama di Johor Jaya, Ahmad begitu ceria melayan setiap tetamu yang hadir ke rumah barunya itu.

Dalam tidak sedar, acara sebegini sebenarnya mengeratkan lagi hubungan antara satu dengan yang lain.

Shaheizy Sam yang tidak terbabit pada aktiviti sebelah siang juga singgah sebentar ke rumah Along untuk menjamu selera dan menemui rakan yang lain.

Coret-Coret:

  • Ketika dalam perjalanan ke Ayer Keroh, Melaka, Hafiz dan Hazama menghiburkan ahli rombongan ABPBH dengan nyanyian karaoke yang menggelikan hati. Hazama gemar meniru nyanyian Papa Rock yang terkenal dengan suara garaunya, sehingga membuatkan yang lain ketawa tanpa henti.
  • Makan tengah hari ditaja Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, di Restoran Botanikal, Ayer Keroh, Melaka.
  • Ahli rombongan disajikan dengan hidangan nasi berlauk dan laksa Johor serta pelbagai kuih tradisional Melayu. Barisan artis kelihatan begitu berselera menjamu hidangan disebabkan penat seharian dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor.
  • Ketika berehat sebentar di hentian R&R, Didie Alias didatangi peminat lelaki berbadan tegap, yang seakan-akan mahu bergaduh. Walaupun kelihatan kasar, peminat itu sebenarnya hanya mahu bergambar kenangan dengan Didie.

Belanja RM500,000 demi P Ramlee

Posted: 24 Mar 2013 05:30 PM PDT

Jamal Abdillah guna duit sendiri adakan konsert kenang Seniman Agung

Perasaan kagum dan hormat terhadap Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, tidak pernah surut dalam diri Jamal Abdillah. Malah semakin hari perasaan itu semakin menebal sehingga terbit keinginan untuk mengabadikan sanjungan serta kekagumannya itu menerusi sebuah konsert khas.

Bukan berangan-angan kosong, sebaliknya hasrat itu menjadi realiti apabila Konsert Ekstravaganza Jamal Abdillah - P Ramlee bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, bermula 30 & 31 Mei dan 1 & 2 Jun depan.

Walaupun tanpa penaja, namun demi minat serta mahu melakarkan kenangan terindah buat artis pujaannya, Jamal menerusi syarikat produksinya, Bintang Chanell, tidak kisah jika terpaksa mengeluarkan belanja sendiri.

"Terus-terang, saya buat semua ini kerana saya amat meminati Allahyarham. Konsert ini ialah cara saya untuk mengenang jasanya dalam bidang seni. Biarpun terpaksa mengeluarkan belanja sendiri, iaitu RM500,000, saya tak kisah kerana itulah sumbangan saya untuk P Ramlee.

"Apa yang penting, konsert ini dapat diadakan seperti dirancang. Demi anak seni sepertinya, saya sanggup berhabis. Soal keuntungan juga saya tolak ke tepi. Saya buat konsert ini pun bukan kerana memikirkan soal duit, tetapi lebih kepada soal kepuasan," katanya ketika ditemui pada sidang media di Istana Budaya, Khamis lalu.

Hadir sama, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, serta pengarah muzik konsert terbabit, Leonard Yeap.

Tubuh tabung khas
Memandangkan konsert ini menggunakan nama P Ramlee, tentunya ramai yang ingin tahu apakah Jamal juga akan memberikan sumbangan kepada waris seniman agung yang ditinggalkan itu supaya dia tidak dianggap mengambil kesempatan atau mengeksploitasi Allahyarham seperti yang sering berlaku sebelum ini.

Jamal berkata, ia tidak seharusnya berlaku dan pihak yang bertanggungjawab perlu memantau perkara terbabit.

"Perkara seperti itu tidak sepatutnya dibiarkan berleluasa. Kerajaan atau mana-mana pihak perlu bertegas dalam soal ini. Kita tidak mahu nama Allahyarham terus dipergunakan untuk kepentingan diri sendiri.

"Bagi saya sendiri, memandangkan konsert ini diadakan bersempena dengan Hari Seniman, jadi saya juga akan menubuhkan tabung untuk disumbangkan kepada waris P Ramlee.

"Butiran lanjut mengenai tabung itu akan saya umumkan pada sidang media kedua, yang akan diadakan di Pustaka P Ramlee, Setapak, dalam tempoh tiga minggu akan datang," katanya.

Nak buat penonton menangis

Istimewanya konsert ini, Jamal berkata lagu yang bakal didendangkan nanti ialah lagu popular seniman itu. Ada nyanyian solo, ada juga yang akan disampaikan secara duet bersama penyanyi popular lain. Antara penyanyi yang bakal berpadu suara dengan Raja Pop ini ialah Azlina Aziz, Mulsy Ramly, Isma Aliff dan Nas Adila.

"Saya juga akan memastikan penonton akan menangis melihat persembahan saya malam itu menerusi adunan nyanyian dan juga visual menarik yang dipetik daripada filem lakonan Allahyarham. Selebihnya kenalah datang menyaksikannya sendiri," ujarnya berahsia.

Info: Konsert Ekstravaganza Jamal Abdillah - P Ramlee:

* Persembahan Jamal bakal diiringi 55 pemuzik orkestra terdiri daripada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM).

* Bagi peminat yang ingin mendapatkan tiket bolehlah melayari laman sesawang www.ticket2u.biz ataupun menghubungi talian 03-41478600.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS