Pernah murung disebabkan berjauhan dengan keluargaPernah terdetik perasaan ragu untuk mencuba nasib di tempat orang, Elfaeza Ul Haq akur barangkali rezeki masih belum berpihak kepadanya meskipun jalan untuk meneroka laluan sudah terbentang luas.
Pelakon asal Jurong, Singapura ini pernah ditawarkan untuk serius mendalami dunia lakonan namun ditolak. Disebabkan tidak mampu menangani tekanan, Elfaeza nekad pulang ke tanah kelahiran selepastamat penggambaran drama berantai, Impak Maksima.
"Mungkin kerana masih muda, banyak perkara yang tidak mampu saya tangani seorang diri terutama apabila dimarahi di set penggambaran.
"Ketika itu saya juga berperang dengan diri sendiri. Industri belum bersedia menerima kehadiran pelakon luar, malah saya pernah terasa hati apabila dianggap ke Kuala Lumpur untuk mencuri rezeki orang lain.
"Memikirkan barangkali belum masa untuk saya bertapak di rantau orang, saya ambil keputusan pulang ke pangkuan keluarga.
"Dari situ saya beroleh peluang berlakon di Singapura. Saya terima dengan niat untuk belajar dan mendalami setiap aspek dunia lakonan. Kesempatan itu juga diambil untuk membina nama kerana saya masih belum gah di negara sendiri," katanya.
Bagaimanapun, Elfaeza yang memulakan langkah dalam bidang nyanyian selepas menyertai program realiti, Anugerah pada 2003 akur kekangan yang terpaksa dihadapinya.
Situasi industri hiburan Melayu yang kecil di Singapura membataskan langkahnya. Dirinya tersepit antara keinginan untuk mencabar kemampuan namun akur, peluang itu tidak mungkin diperoleh jika dia kekal di situ.
Fikirkan tanggungjawab
"Saya disarankan supaya mencuba nasib di Kuala Lumpur. Tetapi hati saya berat, memikirkan tanggungjawab terhadap adik yang masih bersekolah.
"Bagaimanapun pada 2011, apabila produksi teater tempat saya bekerja ditutup, Tuhan seperti membuka mata saya supaya memikirkan perancangan untuk diri sendiri.
"Ketika itu juga adik membina keluarga dan saya mendapat sedikit kebebasan. Ketika itu saya mendapat tahu ada uji bakat di Kuala Lumpur, lantas menggerakkan hati saya untuk kembali mencuba memikirkan ia adalah masa yang tepat," katanya.
Tanpa membuat persediaan lengkap, Elfaeza nekad untuk terbang ke Kuala Lumpur dan menghadiri uji bakat untuk drama berantai, Adam & Hawa. Rezeki menyebelahinya apabila dia diterima untuk watak Azie. Namun kegembiraan Elfaeza tidak lama kerana dia kembali diuji.
"Penggambaran ditangguhkan dan ketika itu, saya kehilangan pekerjaan. Untuk meneruskan survival, saya ambil beberapa tawaran kecil di Singapura dan membintangi drama, Biarlah Rahsia.
"Alhamdulillah kerana penantian panjang itu membuahkan sesuatu yang tidak pernah saya jangka. Adam & Hawa menjadi fenomena dan dari situ, saya menerima banyak tawaran hingga akhirnya saya semakin selesa dengan kehidupan di Kuala Lumpur," katanya.
Antara drama berantai yang dijayakan Elfaeza adalah Cinta Qaseh, Tiara, Dalam Setiap Sujudnya dan terbaru Mukhlis bergandingan dengan Sharnaaz Ahmad.
Dia juga menyerikan drama seperti Biarlah Rahsia, Jambatan Ke Syurga, Siapa Di Hatimu dan Tanah Kubur.
Hampir berputus asa
Berjauhan dari keluarga kata Elfaeza, menuntut kekuatan emosi yang tinggi kerana kerinduan yang tidak tertahan hampir meragut semangatnya yang suatu ketika dulu begitu membara.
Telah Elfaeza, disebabkan sudah terbiasa hidup berdikari di Singapura, dia tidak akan berdepan ujian berat apabila memilih untuk berhijrah ke Kuala Lumpur.
"Apabila sebatang kara di sini, baru saya faham perbezaannya. Dulu setiap perkara saya ambil sambil lewa kerana keluarga sentiasa di sisi. Suara yang dulu jarang saya endahkan, mula saya rindui.
"Lebih terasa setiap kali pulang ke rumah sewa, tiada siapa yang menyambut. Situasi itu membuat saya murung dan kerap menitiskan air mata.
"Hampir lapan bulan saya begitu dan pernah satu tahap, saya menghubungi teman di Singapura memberitahu saya mengalah dengan dugaan ini.
"Bayangkan ketika di lokasi Adam & Hawa, saya terpaksa berperang dengan diri sendiri. Alhamdulillah, semua itu sudah mampu diatasi.
"Saya bersyukur kerana mempunyai semakin ramai kenalan di sini," katanya berterima kasih kepada teman pelakon Singapura, Shah Iskandar yang banyak membantu ketika dia mula bertapak di Kuala Lumpur.