Nuffnang

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Mizz Nina optimis

Posted: 18 Apr 2013 10:01 AM PDT

Selalunya, dialah penyanyi tempatan yang diundang menjayakan konsert artis antarabangsa seperti Justin Bieber dan Bruno Mars, di negara ini. Bagaimanapun, bulan depan, lain pula kisahnya apabila tiba giliran Mizz Nina menjemput bintang luar negara memeriahkan persembahannya.

Konsert Around the World yang akan diadakan di KL Live @Life Centre pada 18 Mei depan menyaksikan bintang sensasi Amerika Syarikat (AS) keturunan Korea, Jay Park, muncul sebagai penyanyi undangannya. Park juga ialah artis yang ditampilkan Nina dalam single terbaru, Around the World.

Park tarik peminat K-pop

Kemunculan penyanyi lelaki itu nanti tentunya mampu menarik minat penggemar muzik K-pop ke konsert terbabit dan Nina tidak menolak hakikat bekas anggota 2PM itu antara tarikan utama persembahannya nanti.

Begitupun, isteri Noh Salleh ini menyangka dakwaan kemunculannya sendiri bakal dibayangi penyanyi Abandoned itu. Dia sebaliknya berkeyakinan lagunya mampu memberikan impak dan menarik kehadiran penonton.

"Saya rasa konsert ini akan jadi menarik dengan adanya Park. Namun, saya tidak berasakan dia akan membayangi persembahan ini. Lagi pun, Park mempunyai ramai peminat di sini, jadi tak salah kalau kita saling membantu.

"Saya mula mengenalinya pada acara MTV World Stage, tahun lalu. Dari situ timbul hasrat untuk berduet dengannya, sehinggalah terhasil single Around the World. Saya menyukainya kerana perwatakan, muzik dan kreativitinya dalam berkarya," kata Nina yang pernah berduet dengan penyanyi, Flo Rida, menerusi lagu Take Over, Theo Martins (Let Me C U Get It) dan Colby O' Donis (What You Waiting For).
Lokasi kecil sudah memadai

Mengenai pemilihan lokasi yang hanya mampu memuatkan kira-kira 3,000 penonton itu pula Nina berkata, ia sudah memadai buatnya memandangkan inilah percubaan sulungnya mengadakan konsert selepas tiga tahun kembali memeriahkan industri muzik sebagai artis solo.

"Bukan saya tidak mahu lokasi besar, tetapi takut tidak ramai orang datang. Lagi pun, saya sukakan KL Live kerana pentas dan kemudahannya. Malah, ada juga artis antarabangsa yang membuat persembahan di sini.

"Saya tidak tahu berapa ramai yang akan datang. Jadi, kalau buat di lokasi besar, takut nanti banyak pula modal yang perlu dilaburkan. Kalau konsert ini berjaya, saya pasti akan membawanya ke lokasi yang lebih besar selepas ini," katanya.

Menyanyi dengan iringan pemuzik

Konsert sejam yang menampilkan Noh sebagai artis pembukaan itu akan menampilkan dendangan 15 lagunya, dengan iringan pemuzik.

Mengakui agak sukar untuk mengadakan persembahan dengan iringan kumpulan muzik, berikutan lagunya lebih kepada muzik elektronik, namun sebahagian lagu akan disusun semula melodinya supaya bersesuaian dengan alunan instrumen 10 pemuzik terbabit.

"Saya betul-betul yakin dengan konsert ini kerana idea untuk menganjurkannya sudah lama disimpan. Pada mulanya, kami ingin mengadakannya pada tahun lalu, tetapi memandangkan tiada single baru, jadi terpaksalah ditunda.

"Konsert ini lebih kepada perjalanan kerjaya seni saya sejak menganggotai kumpulan First Born Troopz dan Teh Tarik Crew. Ia juga lebih kepada bentuk teater yang berkonsepkan tangga kecemasan di New York, dan saya akan tampil dengan empat persalinan hasil rekaan Michael Ong," katanya yang teringin berduet dengan Justin Timberlake.

Melantik Raja Malek sebagai pereka set pentas, Genervie Kam sebagai pengarah muzik dan Marcus Tucker sebagai koreografi, dia juga akan tampil diiringi 19 penari.

Tak minat sertai politik

Posted: 18 Apr 2013 09:57 AM PDT

Pengalaman dibesarkan dalam kehidupan serba kekurangan membuatkan Afdlin Shauki mensyukuri segala kesenangan dan nikmat dikecapi hari ini. Tanpa berselindung, menurutnya, kemewahan itu banyak dibantu parti yang memerintah, Barisan Nasional (BN).

Pujian diberikannya itu bukanlah kerana ada udang di sebalik batu, sebaliknya dek peluang diberikan BN sepanjang memerintah negara.

"Kehidupan kami sekeluarga sangat susah sewaktu saya kecil. Kami pernah tinggal di rumah pangsa. Tetapi corak pemerintahan BN yang memberi dan menyediakan peluang untuk rakyat memperbaiki kehidupan serta memajukan diri membuatkan saya terhutang budi pada mereka.

"Apa yang mereka berikan kepada rakyat selama ini saya ucapkan terima kasih dan disebabkan itulah saya menyokong perjuangan mereka," dedah Afdlin ketika ditemui pada majlis pelancaran sim kad Bebaskan Palestin milik syarikat perkhidmatan prabayar dengan kadar terendah, Tune Talk, di Bangsar, kelmarin. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Jason Lo.

Enggan dedah aib orang lain

Walaupun secara terangan menyokong parti berkenaan, namun Afdlin mempunyai pendirian tersendiri terhadap politik iaitu tidak terlalu taksub dan juga tidak berminat untuk menceburi dalam bidang itu.

"Ada juga yang mengajak saya berkempen, tetapi dalam hal sebegitu, saya lebih berhati-hati. Saya hanya membantu jika orang yang saya bantu itu memang saya kenal latar belakangnya. Jika saya tak kenal, saya akan menolak dengan cara baik. Sebagai contoh, saya kenal lama dengan Datuk Mukhriz Mahathir, sejak zaman RAP dulu, bersama-sama Datuk Sheila Majid.
"Bila dia ajak saya datang ke majlisnya, saya tidak akan menolak kerana saya kenal dia dan kami sudah lama berkawan. Bagaimanapun, saya tidak minat langsung untuk berpolitik. Itu bukan bidang saya. Kalau mahu saya berbincang mengenai sesuatu isu, saya boleh lakukan, tetapi kalau nak suruh saya berkempen sambil membuka aib orang, saya bukan orangnya," tegas Afdlin.

Andai ada yang berpendapat perbezaan politik boleh memecah belahkan masyarakat dan mewujudkan kelompok tertentu, pendapat itu tidak diguna pakai dalam keluarga pelakon, penyanyi, pengarah dan penerbit ini.

"Bapa mentua saya ialah anggota parti pembangkang di Sabah. Begitupun kami tidak pernah bertelagah walaupun berbeza fahaman politik. Semangat seperti itulah yang sepatutnya diamalkan masyarakat hari ini demi keharmonian negara," ujarnya.

Kembali ke Palestin

Bakal kembali menjejak bumi Gaza selepas pilihan raya ini, Afdlin berkata, pemergiannya adalah untuk menyiapkan dokumentari berkenaan situasi di situ dari sudut pandangan peribadinya.

"Buat masa ini kami belum memutuskan apakah dokumentari ini akan dijual di stesen televisyen ataupun tidak. Mengikut perancangan awal, kami akan menayangkannya di laman YouTube. Kalau ada stesen TV yang berminat, mungkin akan kami pertimbangkan. Jika jual pun, wang itu akan didermakan kepada penduduk Gaza untuk kegunaan mereka," katanya yang bakal menghasilkan sebuah album khas berkenaan dengan Gaza.

Bercerita mengenai projek sim kad Bebaskan Palestin pula Afdlin berkata, kad konsep Use & Donate membolehkan pengguna Tune Talk memberi bantuan kepada rakyat Palestin dengan cara mudah.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan sim kad ini boleh mengunjungi syarikat produksi Afdlin iaitu Vision Works Sdn Bhd dan Pertubuhan Bukan Kerajaan, Aqsa Syarif Berhad.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS