Nuffnang

Utusan Online - Hiburan

sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Selepas 4 tahun, teater Putera Salang Ur akhirnya dipentaskan

Posted: 14 Jun 2013 10:16 PM PDT

KUALA LUMPUR 15 Jun - Setelah empat tahun menanti, hasrat kumpulan teater Suara Alam Selangor akhirnya tercapai apabila teater sulung mereka berjudul Putera Salang Ur dipentaskan di Panggung Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Teater bangsawan itu dipentaskan di bawah program Semarak Seni Bangsawan anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan (JKKN), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta DBKL selama tiga hari mulai semalam, pada pukul 8.30 malam.

Pengarahnya, Mohd. Rosli Abd. Wahab berkata beliau tidak menyangka percubaannya selama empat kali menghantar karyanya kepada JKKN akhirnya diterima pada tahun ini untuk dipentaskan.

"Tahun ini sangat bertuah kepada kami kerana akhirnya naskah bangsawan saya dapat dipersembahkan buat julung kalinya kepada orang ramai setelah empat tahun atau empat kali percubaan untuk menghantarnya dan ia merupakan satu penghargaan daripada pihak JKKN kepada kami.

"Kami telah mengambil masa dua bulan untuk membuat persiapan bagi pementasan ini dengan krew seramai 70 orang, termasuk pelakon dan petugas di sebalik tabir," katanya kepada Bernama.

Katanya, karya ini ditulis hasil olahan daripada cerita lisan rakyat yang berkaitan dengan asal-usul negeri Selangor.

"Saya yakin tidak ramai yang tahu siapa putera yang pertama di negeri Selangor, jadi saya petik kisah ini untuk dipersembahkan dalam bentuk teater kepada orang ramai.

"Jadi dengan cara persembahan teater itu dapat memberi pemahaman secara jelas kepada penonton tentang cerita lisan rakyat yang diolah secara unik itu," katanya.

Katanya, teater berbentuk bangsawan sudah jarang dipersembahkan kepada orang ramai kerana kebanyakan teater dipersembahkan dalam bentuk moden.

"Kebanyakan teater sekarang berbentuk moden, disebabkan teater bangsawan banyak menggunakan prop dan peralatan, jadi tidak ramai yang nak dimainkan.

"Teater bangsawan ini secara tidak langsung dapat mendedahkan kepada generasi muda tentang budaya bangsa Melayu," katanya.

Pementasan selama tiga hari itu antara lain mengisahkan perjalanan hidup putera Negeri Langkapura Tengku Daik yang membina negeri Salang Ur setelah dihalau oleh kekanda kembarnya, Tengku Muda akibat salah faham.

Orang ramai yang ingin menyaksikan pementasan teater bangsawan Putera Salang Ur itu boleh mendapatkan tiket dengan harga RM5.

- BERNAMA

Darah muda Heart-A-Tack berbisa

Posted: 15 Jun 2013 06:02 AM PDT

Sambutan yang menggalakkan terhadap EP mereka yang dilancar Jun lalu membuatkan mereka lebih bersemangat untuk terus maju dalam industri muzik.

PERSAHABATAN sejak di bangku sekolah tidak berakhir begitu sahaja, sebaliknya ahli kumpulan Heart-A-Tack terus bersama-sama tetapi dalam perkara berbeza iaitu memperjuangkan minat mereka dalam bidang muzik.

Walaupun masih muda dan mentah dalam bidang muzik, namun mereka menjadikan banyak band tempatan dan antarabangsa sebagai idola seperti Bunkface dan juga Paramore untuk terus maju dan menghasilkan karya yang bagus.

Menggunakan genre Pop Punk, kumpulan ini mula bergerak dengan enam ahli sejak 2008 iaitu Amir Shazrin Hashim, 21, (vokal), Mohamad Aiman Afzal, 21, (gitar), Muhammad Najmi Afifi Norizam, 21, (gitar), Muhd Hakimi Shairi, 21, (bass), Muhammad Faizul Rusli, 21, (keyboard) dan Aiman Aqwa Rozlan, 23, (drum).

Menurut Amir Shazrin yang lebih dikenali sebagai Ayeen, persahabatan sejak zaman persekolahan menyebabkan mereka mempunyai persefahaman serta tidak kekok bersama, apatah lagi untuk membuat persembahan di hadapan khalayak ramai.

Katanya, nama mereka mula dikenali bukan hanya kerana lagu tetapi kerana persembahan yang bertenaga, tambahan pula kesemua mereka masih berada pada usia awal remaja.

Kami cuba membawa kelainan dalam setiap persembahan dan membuat yang terbaik adalah satu kewajipan bagi kami setiap kali melangkah ke atas pentas.

Baru-baru ini juga bakat kami mendapat perhatian kumpulan Bunkface, jadi kami berpeluang untuk membuat persembahan bersama mereka melalui siri jelajah seluruh Semenanjung," katanya.

Mengakui pengalaman mereka tidak seberapa jika dibandingkan dengan banyak band lain tetapi mereka sentiasa berusaha untuk tidak ketinggalan menghasilkan karya yang berkualiti.

Pada Jun lalu, kami telah melancarkan EP yang mengandungi tiga single pada tahun 2011 dan tiga lagi pada 2012. Kesemuanya kami cipta sendiri, sekali gus membuktikan kami mampu dan sentiasa mencuba melahirkan hasil yang segar," katanya.

Selain itu, katanya, mereka masih membuat perancangan untuk melancarkan satu lagi EP atau single pada awal tahun hadapan yang mana kesemua lagu dicipta sendiri.

Walaupun usia kumpulan itu masih setahun jagung, namun kumpulan tersebut membuktikan mereka mendapat sokongan ramai peminat apabila muzik video bagi lagu Hilangkan mendapat sambutan yang menggalakkan, sekali gus menunjukkan muzik mereka diterima peminat muzik indie tempatan.

Kepada pembaca .com yang ingin melihat sejauh mana bakat kumpulan ini, cuba dekati

kumpulan ini di www.facebook.com/

HeartATackBand atau http://Twitter.com/HeartATackband. - AZRIN

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Cahaya bahagia Dian

Posted: 13 Jun 2013 09:18 PM PDT

Lengkap kini kebahagiaan aktres Indonesia yang meraih populariti selepas membintangi filem fenomena, Ada Apa Dengan Cinta, Dian Sastrowardoyo, 31, yang dikurniakan cahaya mata kedua, petang Jumaat lalu.

Bayi perempuan yang diberi nama Ishana Ariandra Nariratana Sutowo dilahirkan secara pembedahan oleh isteri kepada Maulana Indraguna Sutowo pada jam 7.35 malam.

Dian sebelum ini dikurniakan cahaya mata lelaki, Shailendra Naryama Sastraguna Sutowo yang bakal meraikan ulang tahun kedua, pada 17 Julai depan.

"Saya dan suami bersyukur atas anugerah terindah diberikan Allah, malah begitu bahagia menerima kehadirannya. Alhamdulillah, sepanjang hamil mahupun ketika melalui proses melahirkan anak semuanya berjalan lancar.

"Kehadiran puteri ini adalah rahmat, sekali gus amanat yang perlu sentiasa kami pelihara. Kehidupan akan dijalani seperti biasa, namun tanggungjawab sebagai ibu dan bapa adalah keutamaan.

"Terima kasih atas perhatian dan doa," kata Dian dalam satu kenyataan media yang diedarkan pada pagi Isnin lalu.

Perjalanan hidupnya berubah sejak bergelar ibu dan Dian mengakui, memandikan anak adalah rutin yang paling dinanti selain berada di dapur menyiapkan hidangan untuk dinikmati mereka seisi keluarga.
Banyak perkara baru yang perlu dikuasainya dengan pantas, namun lebih mencabar katanya, bagaimana mahu mendidik zuriatnya menjadi insan yang berguna.
"Sedikit beruntung kerana informasi mengenai pendidikan anak mudah didapati. Selain buku, internet juga menjadi rujukan sejak saya hamil, melahirkan dan kini membesarkan anak.

"Sebagai ibu, saya agak tegas kerana saya menggantung harapan tinggi kepada mereka. Menerusi pembacaan, seorang ibu digalakkan untuk 'memusuhi' anaknya tetapi permusuhan itu dilakukan dengan penuh kasih sayang.

"Saya menyayangi anak, malah lebih senang membesarkan mereka dengan tangan sendiri. Namun sebagai ibu, saya perlu tegas supaya mereka tahu apa yang boleh dilakukan atau sebaliknya," katanya.

Bagaimanapun, Dian yang pernah meraih pelbagai penghargaan termasuk Pemeran Utama Wanita Terbaik Festival Filem Indonesia 2004 menerusi Ada Apa dengan Cinta? berkata, dia memiliki formula tersendiri supaya anaknya tidak berasa dibebani.

"Saya akan sentiasa cuba mendampinginya. Itu adalah komitmen penting sebagai orang tua. Jika ingin melihat anak meraih hasil yang maksimum, jangan sesekali mengabaikan mereka.

"Seandainya kita menyerahkan tanggungjawab itu kepada orang lain, jangan menaruh harapan terlalu tinggi. Disebabkan itu, saya mengambil inisiatif untuk belajar dan mendidik anak sendiri," katanya.

Dian beruntung meskipun tidak lagi aktif dalam lakonan, wajahnya masih laris sebagai duta produk terutama untuk jenama kecantikan dan perawatan bayi.

Mengakui sudah cukup menikmati saat indah ketika namanya di puncak, Dian tidak keberatan berkorban melepaskan kepentingan diri dan memberikan seluruh perhatian kepada suami serta anak.

"Dulu saya punya waktu untuk membaca, tetapi sejak mempunyai anak kesempatan itu semakin kurang. Saya harus membahagikan masa untuk anak dan suami. Ada ketika untuk mencoretkan sesuatu di Twitter juga tidak berkesempatan.

"Namun saya bahagia menikmati ruang itu. Mereka yang tertekan biasanya belum bersedia menempuh perubahan drastik seperti ini.

"Alhamdulillah, ketika mengambil keputusan untuk bernikah dan bergelar ibu, mental saya sudah bersedia menerima semua itu. Saya akur meskipun masa untuk diri sendiri dan bersama teman semakin terbatas," katanya.

Tidak kehilangan

Meskipun hanya sesekali berkesempatan untuk berbual santai bersama teman rapat, namun kata Dian, dia tidak pernah berasa kehilangan.

"Bukan langsung tiada masa, cuma pola pertemuan itu sudah berubah. Jika tidak menimbulkan kesulitan, saya akan membawa bersama anak atau ada kalanya keluar sebentar di kawasan berdekatan ketika dia tidur.

"Sejak bergelar ibu, saya sudah jarang berbelanja. Kali terakhir membeli pakaian baru ketika mahu ke Perancis. Itupun kerana keperluan.

"Jangan terkejut jika saya katakan, saya tidak lagi terlalu mengikut trend semasa. Untuk pakaian harian, cukup hanya menyarung jeans dan baju T atau kemeja. Saya sudah jarang keluar jika tiada acara penting," katanya.

Mengimpikan untuk memiliki empat cahaya mata, Dian merancang jarak usia antara anak tidak terlalu jauh supaya mereka dapat membesar bersama.

"Tetapi untuk anak bongsu, biarlah jarak usianya jauh. Nanti jika anak yang besar melanjutkan pelajaran atau mendirikan rumah tangga, dia dapat menjadi teman saya ketika tua," katanya.

Bergelar ibu juga kata Dian, mengubah penilaiannya terhadap seorang wanita. Andai 12 tahun lalu, dia masih mencari jati diri dan terlalu menitikberatkan penampilan luar, tetapi kini semua itu sudah berubah.

"Saya menilai kecantikan wanita itu dari pelbagai dimensi. Saya lebih tertarik untuk mendekati wanita yang melakukan sesuatu yang bermanfaat, tidak hanya kepada dirinya tetapi juga keluarga dan masyarakat.

Elfira, Zoey bercinta di Munich

Posted: 13 Jun 2013 09:18 PM PDT

Amboi! Tengok foto romantis pasangan pelakon cun popular - Zoey Abdul Rahman (kiri) bersama Elfira Loy di Munich, Jerman pada akhir Mei lalu.

Mereka bercintan-cintun dan jadi pasangan suami isteri dalam siri drama terbaru , Demi Dia' arahan Aziz M Osman sebanyak 24 episod terbitan Ace Motion Pictures untuk siaran TV3 nanti.

Menurut Elfira, 19, pada 25 Mei hingga 1 Jun lalu mereka menjalani penggambaran di Jerman dan Austria. Turut ke sana pelakon popular, Erma Fatima dan Amar Bahrin.

Elfira pegang watak Azura dan Zoey sebagai Zack. Siri drama itu adalah adaptasi dari filem cinta popular, Azura'.

Kini Elfira atau panggilan manjanya El sedang sibuk pula shooting filem Rentap The Movie arahan Simon Long terbitan Double Visions.

El pegang watak heroin bernama Elaine iaitu wartawan yang membongkar sindiket menculik anak yatim.

Juwie tanya: "El dah ada boyfriend ke?"
Jawab El: "El tak pernah bercinta. Sejak umur 12 tahun sibuk sekolah dan berlakon hinggalah sekarang. Emak selalu temankan El. Masa lapang bersama keluarga.

"Lelaki yang menjadi kawan baik El ialah Zoey, Dafi dan Hairul Azrin."

JUWIE: Suka budi bahasa El. Moga suatu hari nanti El menang anugerah Aktres Terbaik dan Bintang Popular BH.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS