Nuffnang

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Misi Dahlia Shazwan

Posted: 15 Dec 2012 01:43 PM PST

Finalis On Air nafi dia 'anak emas' Aznil Nawawi kerana sering diberi peluang jadi pengacara

Walaupun sekadar berentap hingga pusingan separuh akhir dalam program realiti pengacaraan TV, On Air musim pertama, Dahlia Shazwan Mohd Amin, 24, dilihat lebih menonjol berbanding finalis program terbabit.

Selepas berpeluang mengacarakan program hiburan Gala TV di Astro Awani, dia seterusnya diberi kepercayaan untuk berganding dengan pengacara, Awal Ashaari untuk segmen karpet merah dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-19, baru-baru ini.
Saya tidak menganggap kerjaya pengacara adalah bidan terjun untuk saya mencari kerja. Fokus saya kini adalah dalam pengacaraan dan ingin tinggalkan nama seperti ditinggalkan barisan pengacara wanita generasi terdahulu dan saya berharap untuk mengisi kekosongan itu. - Dahlia Shazwan Mohd Amin

Melihat deretan peluang diperolehnya membuatkan ramai mengandaikan Dahlia ibarat 'anak emas' kepada Aznil Nawawi atau Pak Nil yang dianggap mentor kepada barisan pengacara pelapis di Astro. Bukan ingin mendabik dada, Dahlia berasakan peluang keemasan yang diterimanya itu adalah kepercayaan Astro terhadapnya untuk meningkatkan lagi pengetahuan dan pengalaman dalam bidang berkenaan.

"Semua peserta On Air akan mendapat peluang dan sekarang adalah rezeki saya untuk mengendalikan beberapa program di Astro. Tiada unsur 'anak emas' di Astro mahupun oleh Pak Nil kerana masing-masing perlu menonjolkan bakat dan kerja yang baik untuk mendapat peluang.

"Pak Nil adalah seorang profesional, dia lebih tahu untuk menilai bakat seseorang untuk di tonjolkan ke depan. Saya tahu Pak Nil membuat perancangan terbaik untuk semua peserta On Air, cuma masing-masing perlu merebut peluang diberikan.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kerana Pak Nil memberi kepercayaan dan yakin dengan kemampuan saya mengacarakan segmen karpet merah AIM19 dan kepercayaan ini harus saya balas dengan hasil kerja yang mampu memuaskan hati semua pihak terbabit.
Walaupun kali pertama, saya berpuas hati dengan hasil kerja itu dan saya akui masih banyak perkara lagi perlu diperbaiki untuk mengendalikan sesuatu program yang disiarkan secara langsung," katanya.

Pengalaman berharga

Jelas Dahlia lagi, pembelajarannya mendalami selok belok dalam bidang pengacaraan tidak akan tamat sebaliknya peluang mengacarakan majlis tertentu adalah pengalaman paling berharga untuk memantapkan lagi kerjayanya.

"Pembelajaran tidak pernah berhenti dan pengalaman akan mengajar saya untuk lebih cepat belajar dalam selok belok dunia pengacaraan. Lagipun sekarang di bawah kendalian Pak Nil, kami masih lagi mengikuti kelas pengacaraan setiap minggu sehingga tahun depan.

Melalui kelas terbabit, ia banyak memberi saya ilmu baru hasil pengalaman luas Pak Nil dalam bidang pengacaraan, selain sesi post mortem untuk mengenal pasti kesilapan untuk diperbaiki. Seperti semua tahu, Pak Nil memang seorang serius dan tegas ketika bekerja tapi dia tidak pernah menjatuhkan sebaliknya memberi motivasi untuk meningkatkan lagi keyakinan kami semua," katanya yang menjadikan bekas pengacara, Wan Zaleha Radzi sebagai idolanya.

Pendedahan sejak kecil

Tambah Dahlia, minatnya dalam bidang media penyiaran lebih menjurus kepada pengaruh bapanya yang juga pesara dalam bidang media, melalui pendedahan sejak kecil itu menimbulkan minatnya untuk terjun dalam bidang berkenaan.

"Sebelum menyertai On Air, saya bekerja dalam bidang produksi tetapi pada masa sama saya mencari peluang untuk terjun dalam bidang media. Bila diadakan sesi uji bakat dan saya berjaya melangkah dalam program terbabit, saya berasakan perjalanan semakin lancar untuk mengejar cita-cita. "Saya dibesarkan dalam dunia kewartawanan kerana ayah adalah seorang wartawan.

Ini yang menjadikan minat itu terbit sejak kecil lagi dan saya sudah tetapkan kerjaya yang saya akan lakukan bila dewasa. Lagipun bidang kewartawanan dan pengacaraan tidak jauh bezanya dan saling berkait menjadikan saya pilih untuk terjun dalam dunia pengacaraan," kata pemegang Diploma Komunikasi dan Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka.

Melihat tidak ramai yang menjadikan bidang pengacaraan ini sebagai kerjaya menjadikan Dahlia optimis untuk terus mendambakan diri dalam bidang ini dan yakin mampu untuk meninggalkan kekosongan itinggalkan pengacara generasi terdahulu.

"Saya tidak menganggap kerjaya pengacara adalah bidan terjun untuk saya mencari kerja. Fokus saya kini adalah dalam pengacaraan dan ingin tinggalkan nama seperti ditinggalkan barisan pengacara wanita generasi terdahulu dan saya berharap untuk mengisi kekosongan itu.

"Tapi bukannya senang untuk mengisi kekosongan itu kerana masih banyak yang harus saya lalui.

Bidang pengacaraan juga ada risiko tersendiri, jadi saya harus tumpu kepada usaha meningkatkan diri sendiri dan setiap hari adalah pembelajaran," katanya.

Adik Manja versi 2012

Posted: 15 Dec 2012 01:30 PM PST

Filem: Adik Manja Returns
Genre: Komedi Drama
Pelakon: Dharma Harun Al-Rashid, Rozita Che Wan, Maria Tunku Sabri, Faezah Elai, Jihan, Juliana Evans
Pengarah: Dharma Harun Al-Rashid− Penerbit: Adik Manja Sdn Bhd− Tayangan: Mulai 20 Disember 2012

Dulu, peng hujung era 1970-an, filem Adik Manja arahan Othman Hafsham pernah mencipta fenomena. Filem itu juga melonjakkan nama pelakonnya, Dharma Harun Al-Rashid serta pelakon pembantunya, Adibah Amin hinggakan tokoh wartawan itu meraih trofi Aktres Pembantu Terbaik menerusi Festival Filem Malaysia edisi pertama (FFM1) pada 1980. Malah, Adik Manja juga meraih gelaran Filem Komedi Terbaik dan Skrip Terbaik FFM1.

Selepas 34 tahun filem Adik Manja diterbitkan iaitu pada 1978, kemudian ditayangkan pada 1979, kini pelakon utama filem terbabit, Dharma mengambil peranan untuk menerbitkan semula filem yang pernah memenangi tiga anugerah itu. apakah Dharma menghasilkan filem ini untuk bernostalgia ketika zaman kegemilangannya? Atau, mungkin dia 'merindui' watak cikgu yang dibawanya dalam filem itu bersama gandingannya dulu, Norkumalasari?

Buah tangan sulung
Kini, filem Adik Manja Returns dihasilkan yang menyaksikan Dharma sendiri menjadi sutradaranya, sekali gus ia adalah buah tangan sulungnya dalam pengarahan filem. Menerusi terbitan Adik Manja Sdn Bhd, filem ini juga boleh dilihat sebagai mengembalikan semula ingatan generasi muda terhadap filem hebat yang pernah menjadi boxoffice pada 1979.

Jika dulu, Adik Manja dibarisi Dharma, Norkumalasari, Adibah, Noraini Hashim dan Shasha, kali ini untuk versi 2012 ia dibintangi Rozita Che Wan, Maria Tunku Sabri, Faezah Elai, Juliana Evans dan ramai lagi.

Untuk edisi remake, nyata Dharma dilihat masih mengekalkan formula asal denga n menampilkan kenakalan pelajar perempuan, cuma kali ini ia diangkat pada tahap kolej. Namun, gelagat dan kenakalan pelajar yang menjadi nadi kepada naratif Adik Manja Returns.

Ini menjadikan penonton tidak boleh lari daripada membandingkannya dengan versi asal. Dalam dunia yang sudah berubah, pengarah menyelitkan isu terkini terutama minat golongan muda terhadap perlumbaan drift kereta dan tarian hip-hop serta shuffle, selain plot utama menampilkan konflik antara dua kumpulan iaitu kumpulan Bib (Faezah) dan Su (Juliana Evans).

Namun begitu, konflik digambarkan kurang berkembang baik, sebaliknya lebih menumpukan kepada aktiviti yang dijalankan kumpulan Bib, menjadikan lakonan Faezah Elai dan Jihan (Tam) dilihat lebih menonjol berbanding lakonan Juliana Evans. Begitu juga mutu lakonan yang ditunjukkan Rozita sebagai Pengetua Sofia yang dilihat agak kaku dan kurang berkesan.

Gaya tersendiri

Biarpun lebih dikenali dalam bidang pengacaraan, penampilan Maria Tunku Sabri sebagai Cikgu Dibah juga mempunyai gaya tersendiri membawa watak terbabit tanpa mengikut lakonan asal oleh Adibah. Tidak banyak yang dapat dihuraikan dengan penampilan Dharma sebagai Cikgu Azmi dalam filem kali ini yang dilihat biasa saja tanpa boleh membandingkan watak asalnya yang dicorakkan Hafsham dulu.

Menilai keseluruhan filem ini, dari awal filem lagi penonton disajikan gerak tarian, namun disebabkan terlalu mengikut lagu menjadikan babak-babak berkenaan menjadi sedikit hambar untuk ditonton. Selain itu, untuk menutup kelemahan tarian yang ditunjukkan barisan pelakon filem ini, pengarah memanjangkan babak tarian oleh sekumpulan penari lelaki sedangkan mereka hanya penari undangan dalam filem ini.

Namun, tidak boleh dinafikan filem ini mampu untuk membuatkan penonton ketawa dengan keletah pelakonnya. Mungkin pada minit awal filem ini berjaya menarik penonton untuk mengetahui jalan ceritanya. Filem ini bukannya mengajak penonton untuk lebih mengikuti penceritaannya, sebaliknya lebih untuk berkongsi cerita dengan dunia remaja masa kini.

Bagi mereka yang masih mengingati filem versi dulu, ia lebih menarik untuk dibuat perbandingan apatah lagi untuk melihat suasana latar zaman, gaya hidup, penampilan fesyen pakaian, cara berdialog serta isu semasa yang dikupas.

Senopsis Adik Manja Returns:
Mengisahkan kenakalan pelajar perempuan di Kolej Professional Skill hingga menyebabkan Pengetua Sofia (Rozita Che Wan) terpaksa mengambil khidmat bekas pensyarah lelaki kolej terbabit iaitu Cikgu Azmi (Dharma). Banyak cabaran terpaksa dihadapi Cikgu Azmi bagi memulihkan sikap pelajar di situ, terutama dua kumpulan pelajar yang sering mendatangkan masalah disiplin iaitu kumpulan Bib (Faezah) dan kumpulan Su (Juliana). Filem ini juga memaparkan gaya hidup remaja kini yang gemarkan tarian shuffle dan hip-hop. Namun, Cikgu Azmi menggunakan formulanya sendiri bagi memulihkan dan mendamaikan dua kumpulan pelajar perempuan berkenaan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS