Nuffnang

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Fida beralah

Posted: 21 Jul 2013 04:45 PM PDT

Tak tahan diganggu SMS orang ketiga dorong penyanyi lagu Apo Kono Eh Jang putuskan hubungan dengan Zalif

Menyelami hati Rafida Ibrahim, rupanya penyanyi dan pelakon ini sering ditimpa malang dalam berkasih. Baru hendak memulakan hubungan baru selepas kisah cintanya dengan Mamat Sepah berakhir, bibit perkenalan dengan Zalif Sidek juga menemui noktah gara-gara orang ketiga.

Ketika saling mengenali hati budi, apakan daya muncul individu yang mengaku teman wanita kepada pelakon berusia 28 tahun itu. Tambah memburukkan keadaan, dakwa Rafida, wanita terbabit sering mengugutnya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Tidak tahan dengan tohmahan dan desakan wanita terbabit yang sering mengugutnya meninggalkan Zalif, Rafida yang mesra disapa dengan panggilan Fida, mengambil keputusan untuk tidak meneruskan hubungan mereka.

"Saya mengambil keputusan mengundur diri kerana tidak tahan dengan SMS yang dihantar. Kami tidak putus, sebaliknya menyepi begitu saja.

"Saya akui Zalif memang baik. Cuma orang ketiga yang membuatkan saya nekad untuk tinggalkan dia. Perhubungan kami sekejap saja dan dia boleh terima saya sebagai kawan, jadi saya tidak ada masalah untuk menerimanya sebagai kawan," luah artis ini.

Hubungan yang terputus akhir tahun lalu itu tidak akan bersambung semula. Fida mahu menumpukan perhatian kepada karier seninya daripada memfokuskan soal cinta.

Pilih hati berbanding rupa
Serik untuk bercinta lagi, bagi Fida, kehidupannya sekarang lebih kepada diri sendiri dan kerjaya.

Bukan menolak takdir, tetapi jika sudah dipertemukan jodoh, Fida lebih selesa memikirkan soal berumah tangga daripada bercinta.

"Mungkin wanita itu fanatik dengan Zalif sehingga sanggup SMS saya dengan kata-kata yang kurang enak dibaca. Selain itu, ramai yang bertanya, kenapa pilihan hati saya agak berbeza daripada orang lain? Ini bukan soal rupa paras atau saiz tubuh, sebaliknya lebih kepada soal hati.
"Pilih yang tidak ada paras rupa menarik juga boleh putus di tengah jalan, apatah lagi yang kacak dan bergaya. Bagi saya, kalau itu sudah jodoh, saya terima," katanya yang ditemui di majlis tayangan program raya dan berbuka puasa Astro di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tak mungkin kembali berkasih dengan Mamat

Biarpun hubungannya dengan Mamat sudah lama berakhir, mereka kembali berkawan selepas muncul bersama dalam program Apa Saja FBI.

Kembali berhubung dan keluar bersama - namun bukan kerana ingin menjalin semula percintaan yang lama terlerai, Fida yang menginjak usia 27 tahun ini mahukan hubungan baik mereka terus kekal.

"Saya lihat Mamat sekarang lebih matang. Malah, dia sering menghubungi serta SMS saya. Kami juga pernah keluar lepak bersama kawan-kawan lain.

"Jika hendak dikatakan cinta akan bertaut kembali, ia tidak mungkin berlaku. Sejak berkawan semula, saya lihat dia pun sudah melupakan kisah lalu. Tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan dia ingin kembali kepada saya," katanya yang akan beraya di ibu negara iaitu di Kampung Baru.

Sibuk dengan karier seni terutama nyanyian, Fida akan muncul dengan single terbaru bersama kumpulan Stellar berjudul Wan Lebor selepas single pertama mereka, Apo Kono Eh Jang menambat hati pendengar.

Zizan sarung kostum cicak

Posted: 21 Jul 2013 04:43 PM PDT

Siri ketiga filem adiwira bakal jalani penggambaran selepas raya

Selepas mencatat kejayaan dengan dua judul terdahulu, filem adiwira tempatan, Cicak Man, akan kembali menemui penonton dengan episod terbaru tidak lama lagi. Filem yang sekali lagi mendapat sentuhan pengarah, Yusry Abdul Halim, itu dijangka memulakan penggambaran pada 15 Ogos ini.

Memasuki siri ketiga penerbitan, Cicak Man 3 juga akan tampil dengan pembaharuan apabila menyandarkan muka baru bagi membarisi filem terbitan KRU Studios ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norman Abdul Halim, yang dihubungi HIP Jumaat lalu, berkata pihaknya tidak berniat mengenepikan pelakon yang pernah memantapkan filem terbabit sebelum ini, sebaliknya pemilihan wajah baru dilakukan bagi memberi suntikan kelainan kepada jenama berkenaan.

Antara barisan pelakon yang dipilih membintangi filem susulan ini ialah Lisa Surihani, Zizan Razak, Fizz Fairuz dan Yus Jambu.

Bagaimanapun maklumat lanjut mengenai filem berkenaan hanya akan didedahkan pada majlis sidang media yang bakal diadakan Rabu ini.

"Memang ada beberapa elemen pembaharuan dalam judul ketiga ini, tetapi kita masih lagi mengekalkan kesinambungan cerita di antara filem yang pertama hingga ketiga. Logo Cicak Man juga masih kita kekalkan, cuma mungkin ada pembaharuan dari segi kostum.

"Walaupun menampilkan wajah baru, kita tidak mengenepikan pelakon lama yang pernah menjayakan filem Cicak Man sebelum ini. Tidak bermakna apabila khidmat mereka tak diperlukan, kita terus mengetepikan mereka. Watak mereka langsung tidak kita matikan.
Sekiranya kami berhasrat untuk melanjutkan filem ini pada masa akan datang, berkemungkinan pelakon lama seperti Saiful Apek, Sharifah Amani dan yang lain-lain boleh kita panggil lagi," katanya.

Lisa dipilih bukan kerana Yusry

Diminta mengulas mengenai pemilihan Lisa sebagai teraju utama, yang mungkin boleh mencetuskan kontroversi berikutan pertalian pelakon itu dengan KRU Studios, Norman menjelaskan, tidak wujud dasar pilih kasih sebaliknya kredibiliti wanita berbakat itu sebagai pelakon popular menjadi faktor utama syarikat produksi berkenaan memilihnya untuk membintangi filem terbabit.

"Kami memilih Lisa bukan sebab dia isteri Yusry, tetapi kita turut mengambil kira kedudukannya sebagai antara pelakon yang masih lagi popular dan relevan dengan industri perfileman hari ini.

"Begitu juga dengan pemilihan Zizan, dia juga antara pelakon yang cukup popular pada masa kini. Dengan pemilihan pelakon yang ada nama, ia akan memudahkan kami dalam soal tajaan," katanya.

Pungutan hampir cecah RM10 juta

Bakal memulakan penggambaran selepas Aidilfitri nanti, penggambaran Cicak Man 3 dijadualkan memakan masa selama 45 hari.

Menurut Norman lagi, dia difahamkan penggambaran akan dijalankan di sekitar Kuala Lumpur serta di beberapa negeri lain.

Cicak Man diperkenalkan buat kali pertama pada 2006 dan ia mencatat kejayaan luar biasa dengan catatan pecah panggung RM6 juta. Dua tahun kemudian, Cicak Man 2 - Planet Hitam menemui peminat di pawagam dan mencatat kutipan RM2.84 juta.

Selain Apek dan Amani, antara barisan pelakon yang pernah membintangi filem Cicak Man termasuklah Fasha Sandha, Datuk Aznil Nawawi, Adlin Aman Ramlie, Datuk AC Mizal, Yusry dan Tamara Blezinsky.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS