Nuffnang

Utusan Online - Hiburan

sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Raja Azmi ada bukti kukuh

Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
pengarang@utusan.com.my

Raja Azmi Raja Sulaiman (tengah) bersama (dari kiri) Siti Najihah Nasir, Myra Zafia, Saodah Othman dan Atie Zieya menunjukkan laporan polis dalam sidang akhbar berkenaan fitnah Adam Davin terhadapnya di Taman Melawati, semalam.

KUALA LUMPUR 6 Jun - Produser filem, Raja Azmi Raja Sulaiman, 53, hari ini tampil dengan bukti kukuh bagi menolak fitnah terhadapnya yang dibuat oleh seorang model iaitu Adam Davin, 25.

Dalam sidang akhbar yang diadakan di Taman Melawati di sini, Raja Azmi menjelaskan, Davin telah menggunakan namanya untuk menipu beberapa pihak, antaranya pereka pakaian, Kos Serani dan gedung pakaian Gulati's Wangsa Maju.

"Dia menuduh saya memfitnah dia tetapi perkara yang sebenarnya adalah sebaliknya kerana saya mempunyai segala bukti berhubung tindakan yang dilakukan olehnya.

"Bukan sahaja diri saya tetapi Kos Serani dan juga wakil daripada Gulati's turut berada bersama-sama bagi membuktikan bahawa Davin adalah seorang penipu," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Raja Azmi berkata demikian sebagai mengulas berhubung laporan akhbar semalam yang mendakwa dia telah memfitnah lelaki itu dan memburuk-burukkan namanya di laman sosial.

Selain itu, lelaki tersebut didakwa turut menggunakan nama Raja Azmi dan gambar mereka berdua bagi meneruskan kegiatan jahatnya.

Kata Raja Azmi, mereka berkenalan di laman sosial instagram sebelum pemuda tersebut menyatakan minat untuk menjadi penaja kepada filem terbarunya berjudul Anak Ikan.

"Perkenalan kami bermula apabila dia menyatakan minat untuk menaja filem terbaru saya, malah dia juga memperkenalkan dirinya sebagai pemilik kedai pakaian Gulati's yang bertempat di Wangsa Maju.

"Saya benar-benar percaya akan perkara tersebut apabila berjumpa dengannya beberapa kali tetapi setelah lama kelamaan, perasaan curiga itu mula timbul dan barulah saya tahu saya telah ditipu," jelasnya.

Akibat daripada pendedahan dibuat Raja Azmi berhubung kegiatan lelaki tersebut, ramai pihak tampil menghubunginya dan turut mendakwa mereka juga pernah menjadi mangsa tipu lelaki terbabit.

Raja Azmi tunjuk bukti penipuan oleh Adam Davin

Posted: 05 Jun 2013 10:40 PM PDT

RAJA Azmi Raja Sulaiman menunjukkan laporan polis yang telah dibuat terhadap Adam Davin kerana menyalahgunakan nama produser filem itu bagi tujuan menipu, pada sidang akhbar di Taman Melawati, Hulu Kelang, Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN

KUALA LUMPUR 6 Jun - Produser filem, Raja Azmi Raja Sulaiman hari ini tampil dengan bukti bagi menolak fitnah ke atas dirinya yang dibuat oleh Adam Davin.

Dalam sidang akhbar yang diadakan di Taman Melawati di sini, Raja Azmi menjelaskan, Davin telah menggunakan namanya untuk menipu beberapa pihak, antaranya pereka pakaian Kos Serani dan gedung pakaian Gulatis Wangsa Maju.

"Saya benar-benar percaya apabila dia mengatakan dia adalah pemilik Gulatis di Wangsa Maju.

"Tetapi setelah beberapa kali bertemu dengan dia, baru saya tahu telah ditipu dan kemudian saya menjauhkan diri daripadanya, katanya.

Raja Azmi turut menunjukkan laporan polis yang telah dibuat oleh dirinya dan beberapa mangsa lain yang turut ditipu Davin. - UTUSAN ONLINE

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Korban Liyana

Posted: 05 Jun 2013 04:49 PM PDT

Terpaksa 'berpisah' dengan suami demi tuntutan kerja

Baru bernikah 2 Februari lalu, Liyana Jasmay, 25, terpaksa melakukan pengorbanan besar apabila perlu meninggalkan suami, Fathuddin Mazlan, 29, bersendirian di Kundasang, Sabah, demi tuntutan tugas.

Status sebagai isteri nampaknya tidak menjejaskan periuk nasi Liyana dalam bidang seni. Sebaliknya, dia masih tidak menang tangan menerima pelbagai tawaran.

Biarpun berjauhan, namun ia tidak menghalang pasangan suami-isteri ini untuk sering berjumpa. Jika bukan Fathuddin pulang ke semenanjung untuk bertemu isteri tercinta, Liyana yang akan terbang ke Sabah bagi melepaskan rindu pada suaminya.

"Alhamdulillah, suami memahami tugas saya sebagai pelakon. Berjauhan tidak menghalang kami untuk sering berjumpa, ibaratnya belum sempat rindu bertandang, kami sudah bertemu.

"Masa Fathuddin boleh dikatakan sama banyak di semenanjung dengan di Sabah. Paling lama kami tidak berjumpa cuma untuk tiga hari, antara Isnin hingga Rabu, manakala setiap Khamis hingga Ahad dia akan berada di sana.

"Jika suami tidak berkesempatan untuk pulang, saya pula yang akan ke sana untuk menemaninya. Walaupun terpaksa menempuh perjalanan selama dua jam, ia langsung tidak memenatkan. Sebaliknya saya seronok kerana dapat berada di sisi suami," kata Liyana.

Sedia bergelar ibu
Katanya, rutin itu mungkin akan berubah seandainya dia dan Fathuddin dikurniakan cahaya mata kelak.

Belum mempunyai tanda-tanda bakal bergelar ibu, Liyana berkata, dia dan suami tidak merancang. Andai ditakdirkan mereka dikurniakan anak dalam tempoh terdekat, mereka reda.

Sebelum ini, pelakon yang bakal membintangi filem terbaru arahan Bade Azmi berjudul Sindiket, yang akan memulakan penggambaran di Kota Kinabalu, Sabah tidak lama lagi, mengakui pernah merancang untuk tidak memiliki cahaya mata dalam waktu terdekat.

Namun nasihat daripada saudara-mara serta rakan mengubah pendirian wanita ini.

"Saya akui sebelum ini memang ada merancang untuk tidak mahu terburu-buru menimang anak, tetapi Lisa Surihani menasihatkan supaya saya tidak merancang untuk anak pertama.

Nasihat Lisa, jika hendak merancang sekali pun, biarlah untuk anak kedua dan seterusnya.

"Keluarga turut menasihatkan perkara sama kepada saya. Kini saya sudah bersedia untuk bergelar ibu. Seandainya ditakdirkan saya hamil, saya perlu memperlahankan aktiviti lakonan dan mungkin saya akan lakukan kerja belakang tabir saja, seperti mengarah," katanya yang akan membawakan watak pelajar universiti bernama Noreen, yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia, dalam filem aksi itu.

Tak rela jadi simbol seks

Beberapa kali bekerja dengan Bade memberi kelebihan kepada Liyana memahami cara pengarah berkaliber itu. Katanya, pengarah yang dipanggil dengan panggilan 'uncle' itu menghormati statusnya sebagai isteri.

Walaupun watak Noreen memerlukan dia melakukan babak rogol dan berpakaian mencolok mata, Liyana tidak bimbang kerana dia percayakan Bade.

"Uncle Bade pengarah yang bertanggungjawab. Saya yakin dia tidak akan membuatkan pelakonnya kelihatan seperti simbol seks. Dia akan memastikan tiada adegan bersentuhan walaupun membabitkan aksi rogol.

"Saya sendiri kalau boleh cuba mengelak adegan yang memerlukan saya bersentuhan. Dengan status sebagai isteri, saya perlu memikirkan perasaan suami," katanya.

Pak Sudin disemadi

Posted: 05 Jun 2013 04:47 PM PDT

Dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Chua Chu Kang, Singapura pada jam 11.30 pagi, peminat, rakan artis beri penghormatan terakhir

Jenazah seniman Allahyarham S Shamsuddin atau nama sebenarnya, Samsudin Dali, 84, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Chua Chu Kang, Singapura pada jam 11.30 pagi, semalam.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa dari rumahnya di West Avenue 6, Bukit Batok ke Masjid Al-Mukminin, Jurong East pada jam 10.45 pagi untuk disembahyangkan oleh kira-kira 200 ahli keluarga dan sahabat.

Turut menziarah Allahyarham yang juga pelawak, pelakon dan penyanyi veteran itu ialah rakan artis seperti M Wari, M Ishak, Rahimah Rahim dan Suhaimi Yusof. Turut hadir Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Md Afendi Hamdan.

Afendi berkata, pemergian Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Sudin disifatkan sebagai suatu kehilangan besar.

"Kita kehilangan seorang tokoh pelakon veteran dan warga Malaysia, Singapura serta seluruh nusantara pasti meratapi pemergian Allahyarham yang terkenal dengan lakonannya yang cukup memberi kesan mendalam.

"FINAS mengucapkan takziah kepada keluarga arwah. Sempena penganjuran Hari Seniman pada 14 Jun ini, FINAS akan mengadakan majlis tahlil untuk Allahyarham," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediaman Allahyarham.

Afendi berkata, Ahli FINAS, Datuk Mustapha Maarof bersama rakan Allahyarham, Datuk Aziz Satar turut menziarah dan menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada keluarga Allahyarham, kelmarin.
Keluarga minta sedekah doa

Anak keempat Allahyarham, Arif Samsudin, 50, berkata, masyarakat seluruh rantau kehilangan insan seni berharga dalam industri hiburan. Tetapi, katanya, dia kehilangan seorang ketua keluarga yang amat disanjungi.

"Saya bersyukur ayah dijemput Allah SWT dengan cara yang tenang. Saya akan sentiasa mengingati pesanan Allahyarham supaya terus melakukan sesuatu kerja dengan bersungguh-sungguh.

"Kami sekeluarga berterima kasih kepada peminat dan media massa di Malaysia yang banyak memberi sokongan kepada arwah. Kami berharap mereka akan terus sedekahkan doa untuk rohnya," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS