Nuffnang

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Cinta Di Enterprise

Posted: 06 May 2013 12:39 AM PDT

ADVERTORIAL

Filem 'Star Trek Into Darkness' yang bakal menemui penonton di pawagam semestinya menjanjikan pelbagai aksi yang mendebarkan. Selain pertempuran minda antara Kapten James T. Kirk dan John Harrison yang dinanti-nantikan para peminat tegar, turut menjadi tumpuan adalah hubungan romantis di antara Spock dan Uhura.

Di dalam filem 'Star Trek' (2009), tidak disangkal terdapatnya tarikan di antara Spock dan Uhura, dan hubungan mereka terus disingkap di dalam 'Star Trek Into Darkness'.

Bagi Zachary Quinto yang membawa watak Spock, hubungannya dengan Uhura memberi penonton imbasan ke dalam jiwa insan yang separuh manusia dan separuh Vulcan itu, yang jarang didedahkan kepada sesiapa.

"Terdapat satu babak di dalam 'Star Trek Into Darkness' di mana Uhura sedang menjelaskan kepada Spock mengapa dia begitu kecewa dengan kesanggupan Spock mengorbankan nyawanya. Spock pula menjawab, 'Kamu fikir saya membuat keputusan ini dengan mudah. Percayalah, ia bukan semudah itu.' Babak tersebut cukup meninggalkan kesan pada saya."

Seperti Quinto, Zoe Saldana yang memainkan watak Uhura juga terpikat dengan idea membawa hubungan Spock dan Uhura ke peringkat seterusnya.

"Hubungan mereka di dalam 'Star Trek' telah mengejutkan ramai tetapi jika mereka ingin bersama mereka perlu melalui dugaan yang akan menguji hubungan mereka. Dan cara ia berlaku di dalam 'Star Trek Into Darkness' pasti tidak akan diduga penonton."
Tambah Saldana, Uhura terpikat dengan Spock kerana keperibadian mereka yang serupa. Dia juga seorang individu yang hidup mengikutkan prinsip dan peraturan.

Jika Uhura dipadankan dengan Spock, bagaimana pula dengan Kirk? Jika anda masih ingat, Uhura telah menolak pelawaan romantis Kirk selepas pertemuan pertama mereka di dalam 'Star Trek'.

Ini sekaligus memberi ruang kepada para penulis untuk memperkenalkan watak Pegawai Sains Carol Marcus di dalam 'Star Trek Into Darkness'. Buat peminat siri asal 'Star Trek', anda pasti mengenali Carol sebagai bakal isteri dan juga ibu kepada anak-anak Kirk. Tetapi adakah jalan cerita mereka berdua diteruskan seperti di dalam siri asal?

Chris Pine bila ditanya jika Kirk sempat menjalinkan hubungan romantis dengan Carol memberitahu mtv.com, "Apa yang boleh saya katakan tentang filem ini, banyak perkara yang berlaku dari segi aksi dan plot cerita pada kadar yang begitu pantas hinggakan tidak banyak masa untuk Kirk melakukan benda-benda lain kecuali menyelamatkan krew dan dirinya.

"Tetapi setia dengan jati diri Kirk, dia seorang lelaki yang menyukai wanita berambut perang dan Carol seorang jelitawan. Jadi, usikan main-main, godaan di antara mereka pasti ada. Terpulang pada penonton untuk melihat sejauh mana usikan dan godaan itu akan bawa mereka. Namun begitu, kehadiran Carol bukanlah sekadar pasangan cinta Kirk tetapi pengetahuannya dalam bidang sains memainkan peranan utama dalam menyelesaikan krisis yang dihadapi."

Jika anda ingin tahu sejauh mana perkembangan hubungan cinta Spock dan Uhura serta Kirk dan Carol, pastikan anda menyaksikan 'Star Trek Into Darkness' bermula 16 Mei depan di pawagam berdekatan anda.

Tak jadi kudis pun

Posted: 05 May 2013 02:04 PM PDT

Puteri Sarah malas ulas panjang status memalukan tulisan bekas kekasih

Meskipun tidak menulis nama individu yang dimaksudkan, namun satu dunia tahu apa yang ditulis pelakon, Ammar Alfian Aziz, di dalam Twitternya menjurus kepada bekas kekasihnya, Puteri Sarah Liyana.

Pelbagai pendedahan dibuat dalam laman sosialnya termasuk perkara 'dalam kain' membabitkan mereka berdua ketika bergelar kekasih.
Biarlah dia hendak berkata apa pun. Saya malas untuk ambil tahu atau memikirkan perkara itu. Kalau saya jawab nanti, perkara ini lagi akan jadi berpanjangan dan tak akan selesai" Puteri Sarah Liyana, Pelakon

Malah, Ammar juga turut membongkar rahsia kononnya pelakon yang mula dikenali menerusi filem Lu Pikirlah Sendiri itu sedang menjalin cinta dengan pelakon serta pengarah terkenal, Syamsul Yusof.

Sebagai seorang wanita dan dirinya pula dikenali ramai, pastinya tuduhan seperti itu cukup memalukan apabila ia membabitkan maruah diri.

Namun bagi si empunya diri, perkara itu sedikit pun tidak menjadi kudis buatnya. Malah, tegas Sarah, semua kenyataan yang dikeluarkan Ammar ibarat sekadar angin lalu.

"Biarlah dia hendak berkata apapun. Saya malas untuk ambil tahu atau memikirkan perkara itu. Kalau saya jawab nanti, perkara ini lagi akan jadi berpanjangan dan tak akan selesai. Jadi tidak perlulah saya nak ulas perkara itu," katanya ketika dihubungi HIP.
Nafi bercinta dengan Syamsul

Menurut pelakon berusia 28 tahun ini, tiada apa yang perlu dimalukan kerana dia sendiri tahu apa yang sebenarnya berlaku.

"Keluarga saya juga tahu perkara sebenar dan mereka meminta saya supaya jangan mengendahkan cerita seperti itu," tegas pelakon dan juga model ini.

Mengenai dakwaan dirinya kini kononnya menjalinkan hubungan cinta dengan Syamsul, seperti yang ditulis Ammar di laman sosialnya itu, Sarah menafikan perkara terbabit.

"Apa buktinya yang mengatakan saya bercinta dengan Syamsul? Saya pun sudah lama tidak berjumpa dengannya. Jika inginkan penjelasan, baik tanyakan hal ini pada Ammar sendiri sebab dia yang buka cerita," katanya dalam nada kesal.

Bukan dugaan selepas bertudung

Memandangkan kenyataan yang dikeluarkan Ammar itu dianggap mencalarkan reputasinya, Sarah turut ditanya apakah dia akan mengambil sebarang tindakan terhadap pelakon berkenaan.

"Seperti yang saya katakan tadi, saya malas hendak memanjangkan perkara ini. Bagi saya, berdiam diri itu lebih baik," kata wanita ini.

Sarah yang baru saja mengenakan hijab turut berkata, segala kontroversi yang berlaku sejak akhir-akhir ini juga tidak dianggapnya sebagai dugaan apabila dia mula berimej baru.

"Saya tidak mahu kaitkan apa yang berlaku ini sebagai dugaan kerana mengenakan tudung.

"Saya juga mahu segera melupakan apa yang berlaku, sebaliknya memberikan perhatian terhadap kerjaya lakonan," katanya lagi.

Cinta Berkalung Duri

Dalam temubual sebelum ini, Sarah pernah menyuarakan hasrat untuk berhenti berlakon atas alasan mahu memanfaatkan kelulusan yang dimiliki. Saat diminta penjelasan apakah dia akan meneruskan impiannya itu, Sarah memberitahu, dia sememangnya sudah mempunyai perancangan untuk masa depannya.

"Bagaimanapun, buat masa ini saya masih lagi aktif berlakon dan sekarang ini saya sibuk mengikuti penggambaran drama bersiri Cinta Berkalung Duri 2, yang akan disiarkan di saluran RTM.

"Sejak mengenakan tudung ini juga, saya amat bersyukur kerana rezeki dalam lakonan tetap ada. Kebanyakan watak yang ditawarkan amat bersesuaian dengan imej saya sekarang.

"Mereka menghormati saya dengan memberikan watak yang sesuai untuk wanita bertudung," ujarnya sekali gus mengakhiri perbualan petang itu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS