Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Isteri Mengandung, Jimmy Nafi Masalah Rumah Tangga

Posted: 11 Nov 2010 11:03 PM PST

PETALING JAYA: Pengacara Jimmy Shanley Norjahan Salleh, 30, menerima berita gembira apabila isterinya, Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimi, 24, disahkan mengandung empat minggu.

Menurut Jimmy perasaannya bercampur baur apabila dia mendapat tahu berita itu dan tidak sabar menantikan ahli baru dalam keluarganya.

"Dijangka anak kami bakal dilahirkan pada bulan Julai 2011. Ketika mendapat tahu berita yang saya bakal menjadi ayah, perasaan saya bercampur gembira, takut dan macam-macam. Maklumlah, bila melangkah ke fasa baru dalam rumah tangga, rasa pelik itu ada.

"Apa-apa pun saya harap anak di dalam kandungan itu adalah kembar. Senang sikit nak capai sasaran untuk dapatkan lima orang anak," seloroh Jimmy ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Sementara itu, ditanya mengenai gosip kononnya dia sedang mengalami masalah rumah tangga, Jimmy menafikan perkara itu.

"Pada pendapat saya, gosip akan datang dan pergi. Kami bahagia dan masih berada dalam keadaan berbulan madu.

"Ini pun saya masih lagi dalam "mood" bercuti dan baru satu program televisyen sahaja yang sedang saya lakukan.

"Biasalah, dalam keadaan isteri sekarang yang baru mengandung, perwatakannya berubah-ubah," jelasnya.

Akhbar Sinar Harian Khamis melaporkan Jimmy tidak menyangkal rumah tangganya sedang bergelora tetapi enggan mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku.

Jimmy dan Norsuhaila bernikah di banglo mewah milik keluarga perempuan di di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor, pada 1 Oktober lalu dengan wang hantaran sebanyak RM31,186.

Angah Tegur Pelawak Murahan

Posted: 11 Nov 2010 11:02 PM PST

Angah (kanan) di samping pelakon filem Ngangkung Azad Jasmin (kiri) dan Shaheizy Sam pada majlis pratonton filem itu, baru-baru ini.

PETALING JAYA: Pelakon Angah (Raja Lawak) atau nama sebenar Iskandarshah Hashim, 32, meminta pelawak-pelawak muda hari ini supaya menjaga batas dan jangan berlawak pada tempat yang salah.

Angah berkata, kecenderungan segelintir pelawak muda tanah air yang gemar berlawak tanpa mengira situasi perlu dikikis kerana ia boleh mencemarkan profesion pelawak itu sendiri.

Kata pelakon filem Ngangkung itu, sebagai pelawak yang profesional, mereka seharusnya bijak memelihara eksklusif dan identiti lawak mereka.

Sikap sesetengah pelawak pada hari ini yang suka membuat lawak dan bergurau apabila berjumpa dengan orang ramai bukanlah satu sikap yang bijak kerana dikhuatiri boleh mengundang ketidakselesaan dan persepsi negatif pihak lain.

"Pelawak harus bijak dan peka memelihara kerjaya lawak mereka. Sikap segelintir pelawak muda hari ini yang cenderung membuat lawak dan bergurau tanpa mengira situasi, waktu dan tempat itu sebenarnya boleh membawa padah atau kesan negatif kepada pelawak sendiri.

"Kalau kerap sangat berlawak tidak kira situasi dan tempat, kita mungkin tidak sedar jenaka yang kita buat itu boleh mengundang perasaan tidak selesa atau meluat pada orang lain.

"Apabila kita tidak kawal lawak yang dilakukan, mungkin kita akan terlepas cakap atau melakukan perbuatan yang tidak menyenangkan orang," katanya.

Tambah Angah, sikap pelawak muda yang membuat lawak secara keterlaluan atau kurang sensitif dengan orang lain bukan sahaja boleh menimbulkan perasaan tidak selesa pihak yang mendengar, malah secara tidak langsung boleh dilabel sebagai pelawak murahan.

"Bukan bermakna kita tidak boleh bergurau atau berjenaka apabila berjumpa orang lain, cuma pelawak perlu peka dengan persekitaran mereka dan tidak wajar berlawak sesuka hati tanpa berfikir sebelum bertindak.

"Ada di kalangan pelawak yang suka berlawak tidak kena pada caranya dan secara tidak langsung mengundang persepsi negatif orang ramai terhadap profesion ini.

"Pelawak-pelawak muda termasuklah diri saya sendiri seharusnya mencontohi sikap yang diamalkan oleh pelawak-pelawak senior atau veteran. Mereka berlawak apabila di atas pentas atau dalam filem dan drama saja," katanya.

Sempat diusik mengenai perancangannya untuk berkahwin lagi, duda anak satu itu tidak menyangkal hasratnya untuk mencari wanita terbaik sebagai isteri.

Bagaimanapun, karier seni yang sedang berkembang pada waktu ini membataskanAngah untuk memikirkan secara serius tentang perkara tersebut.

Bagi pelawak yang membina nama menerusi program Raja Lawak musim pertama itu peluang dan rezeki yang terhidang ketika ini menjadi keutamaannya berbanding dengan niatnya untuk mencari isteri.

"Memang ada niat dan teringin hendak cari pengganti. Saya pun sudah empat tahun bercerai dan teringin juga untuk mencari pengganti cuma karier saya sedang berkembang pada waktu ini dan saya harus fokus pada bidang ini terlebih dulu.

"Tentang soal kahwin, jika ada jodoh lagi saya memang tidak menolak cuma buat masa ini belum bertemu dengan wanita yang sesuai," katanya.

Shamrin Fotograf Meninggal Dunia Sakit Jantung

Posted: 11 Nov 2010 11:01 PM PST

PETALING JAYA: Penyanyi Shamrin,45, (gambar) dari kumpulan Fotograf meninggal dunia akibat sakit jantung kira-kira pukul 6.40 petang, Khamis, ketika menyertai perlawanan bola sepak persahabatan dengan sebuah syarikat insurans di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur.

Allahyarham yang popular dengan lagu Di Alam Fana Cinta pada era 90-an mengadu kekejangan otot semasa bermain bola sepak sebelum terduduk di atas padang.

Rakannya, Johan Aziz yang turut menyertai perlawanan mewakili kumpulan artis berkata, Shamrin atau nama sebenarnya Mohd. Shamrin Abd. Samad, sebelum itu mengadu kepenatan kerana menghadiri pertunjukan pentas malam sebelumnya.

"Ketika dia jatuh, kami terus membawa dia ke Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru dan disahkan doktor dia meninggal dunia," katanya.

Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Shamrin yang berasal dari Kajang, Selangor telah melibatkan diri dalam lapangan muzik secara serius bersama kumpulan Fotograf yang menampilkan album pertama berjudul Iramanya Bergetar pada tahun 1989.

Setelah kejayaan album itu mereka menghasilkan lima buah album penuh 7:30 Psikosis (1990) , Fotograf 92 (1992), Fantasi (1994), Fokus (1995) dan Juara Mimpi (1997).

Fotograf pernah memenangi Lagu Pop Terbaik, pertandingan Juara Lagu 1992 untuk lagu Di Alam Fana Cintamu.

Antara lagu yang mempopularkan mereka ialah Nafas Kekasih , Asmara Gerhana, Panah Tak Bermata, Aku Yang Kecewa, Salam Buat Juwita, Mengejar Bayangan dan Luka Seribu Rindu.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Jazriatul Akma Abu Saman,29, bersama tiga orang anak iaitu Akmal Danish,5, Akmal Shamim, 18 bulan dan Siti Najwa,17, iaitu anak daripada perkahwinan terdahulu.

Jazriatul Akma Abu Saman sekarang ini sarat mengandung sembilan bulan.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam SS22, USJ Subang Jaya, Selangor sebelum solat Jumaat.

Syiling Memperingati P. Ramlee Dilancar

Posted: 11 Nov 2010 11:01 PM PST

Koleksi syiling yang bernilai RM3500 ini boleh didapati dalam bentuk pakej pek emas, perak dan tembaga.

KUALA LUMPUR: Seiring dengan usaha dan kempen untuk memperingati seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, KL Mint Sdn Bhd mengeluarkan syiling tokoh seni itu dalam tiga koleksi yang bersalut emas, perak dan tembaga.

Menurut Pengarah Projek KL Mint, Mohd Saiful Abd Latif perancangan untuk mengeluarkan koleksi syiling yang julung kali dilakukan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memartabatkan P. Ramlee.

"Seperti yang kita semua maklum, P. Ramlee adalah legenda seni yang agung. Sebelum ini, memang tiada lagi koleksi syiling dikeluarkan khas untuk karyawan seni tanah air.

"Jadi, kami mengambil inisiatif untuk mengeluarkan koleksi syiling ini sebagai tanda penghargaan kepada tokoh itu dan juga untuk disimpan sebagai warisan seni negara," katanya.

Mengulas lanjut, Saiful berkata, keputusan untuk mengeluarkan koleksi syiling itu adalah berdasarkan nilai dan keistimewaannya yang bukan saja menjadi buruan para pengumpul syiling malah ia juga tahan lama.

"Kami memilih untuk mengeluarkan koleksi syiling berbanding poster, poskad atau barangan koleksi lain adalah kerana nilai dan ciri-ciri wang syiling yang boleh diwariskan kepada generasi seterusnya.

"Jika hendak dibandingkan dengan koleksi peribadi yang lain seperti poster, poskad atau album, nilai wang syiling ini lebih tahan lama dan menjadi idaman bagi penggemar koleksi wang syiling," katanya.

Dr. Rais Yatim (dua, kiri) melihat koleksi syiling peringatan P. Ramlee sambil diperhati oleh Datuk Freddie Fernandez (kanan) pada majlis pelancaran "Heritage Series P. Ramlee On Coin" di Balai Seni Lukis Negara di sini, Khamis. Turut kelihatan Ketua Pegawai Eksekutif KL Mint, Othman Abdullah (dua, kanan).

Bercerita tentang idea pencetakan syiling tersebut, Saiful berkata, projek yang dirancang sejak awal tahun 2010 itu diilhamkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KL Mint sendiri iaitu Othman Abdullah sebelum mendapat kerjasama daripada pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Persatuan Karyawan Malaysia dan Balai Seni Lukis Negara.

Koleksi syiling peringatan itu setiap satu dijual dengan harga RM3,500 untuk syiling emas, RM250 (perak) dan RM50 (tembaga). Menariknya, bagi setiap pembelian syiling emas, pembeli juga bakal mendapat syiling perak dan tembaga.

Katanya, koleksi syiling emas dan perak hanya akan dicetak masing-masing 1,000 keping manakala bagi syiling tembaga pula bergantung pada permintaan.

Sebahagian daripada hasil jualan koleksi syiling itu akan disalurkan kepada tabung Karyawan dan Yayasan P. Ramlee.

Pameran dan jualan koleksi syiling ini akan berlangsung selama sebulan di Balai Seni Lukis Negara bermula Jumaat (hari ini).

Pelancarannya yang diadakan di Balai seni Lukis Negara, Khamis, disempurnakan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Ia turut dihadiri Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez.

Gandingan Rudy Red FM Dicari

Posted: 11 Nov 2010 11:00 PM PST

Rudy

PETALING JAYA: Bermula 15 November ini, pendengar Red FM akan disajikan dengan gaya baru, segar dan mantap menerusi segmen "Red FM Breakfast Show" dengan penampilan juruhebah baru, Rudy.

Bagi menghangatkan Red FM Breakfast Show, itu stesen radio tersebut turut mengumumkan peraduan yang bakal dianjurkan bagi menarik perhatian orang ramai untuk menyertainya.

Menurut Rudy, satu pencarian akan dilakukan bagi mencari seorang penyampai radio untuk bergandingan dengannya dalam program pagi.

"Bermula November hingga Disember ini kita akan membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk menunjukkan bakat mereka sekali gus membuka ruang kepada yang layak sebagai penyampai radio untuk bergandingan bersama saya," ujarnya.

Mereka yang terpilih akan diberi kontrak bekerja dengan Red FM dan juga peluang ke Sdyney, Australia untuk bertemu Rihanna.

Siri penjelajahan bagi mencari pasangan Rudy adalah pada 27 November di Johor Bahru manakala pada 4 dan 5 Disember di Kuala Lumpur dan 11 Disember di Pulau Pinang.

Jelajah ini akan berakhir pada 18 Disember di Kuala Lumpur dan sebuah majlis akan diadakan untuk mengumumkan pemenangnya.

Selain itu, peraduan 'Red FM's Miami Bibier Fever' akan bermula pada 15 hingga 26 November ini.

Red FM dengan berbesar hati ingin memberi peluang kepada seorang yang bertuah dan seorang kawan atau penjaganya untuk bertemu dengan Justin Bibier secara langsung di Amerika Syarikat.

Pemenang tersebut akan diberikan tiket masuk ke konsert, tiket penerbangan dan juga penginapan sepanjang di negara itu.

Untuk menyertainya, anda hanya perlu menghantar SMS jarak jarak <> dan hantarkan ke 33988.

Anda juga boleh menaip FEVER dan hantarkan ke 33988 pada bila-bila masa untuk mengetahui tempoh peraduan.

Red FM akan menghubungi peserta yang telah mendaftar setiap pagi pada pukul 7.20 pagi dan 8.20 pagi.

Apa yang pendengar perlu buat ialah jawab panggilan dengan mengatakan "I've got Red FM's Miami Bieber Fever".

Lady Gaga Terima Ugutan Bunuh

Posted: 11 Nov 2010 11:00 PM PST

PENYANYI yang popular dengan imej pelik, Lady Gaga menerima sepucuk surat ancaman bunuh daripada peminatnya.

Surat tersebut dikirim oleh seorang pelajar Rusia berusia 26 tahun bernama Anastasia Obukhova.

Kandungan surat tersebut menyebut bahawa dia mahu mati bersama penyanyi kesayangannya itu, Lady Gaga.

Malah, Obukhova juga memberitahu bahawa dirinya pernah berada dalam jarak 1 meter dari Gaga dan hanya menanti waktu yang tepat untuk menyerang.

Peminatnya bukan hanya mahu membunuh Gaga malah dia mahu mati bersama bintang pujaannya itu.

Buat masa sekarang, Gaga mengakui bimbang biarpun berada jauh dari peminat fanatiknya berkenaan.

Karnival Upin & Ipin Disember Ini

Posted: 11 Nov 2010 10:53 PM PST

SHAH ALAM: Buat julung kalinya Les' Copaque Production Sdn. Bhd (LCP) melalui anak syarikatnya, LC Merchandising Sdn. Bhd. (LCM) akan menganjurkan Karnival Upin & Ipin pada 24 hingga 28 Disember ini di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini.

Karnival tersebut merupakan anjuran bersama TV9. Berkonsepkan keriangan, karnival ini diadakan bertujuan untuk mendekatkan peminat siri animasi Upin & Ipin kepada para karyawan di sebalik kejayaan Upin & Ipin yang telah mencetuskan suatu fenomena baru dalam industri animasi tanah air.

Menurut penerbitnya, Burhanuddin Md Radzi, LCP dan TV9 telah lama bekerjasama menerusi animasi Upin & Ipin yang disiarkan di TV9.

Lantas mereka memikirkan untuk membuat aktiviti luar seperti karnival ini. LCP mensasarkan seramai 50,000 pengunjung terutama kanak-kanak yang akan berkunjung ke karnival tersebut memandangkan musim cuti sekolah.

"Kami akan mengadakan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran dan jualan. Antaranya persembahan khas pelakon suara siri Upin & Ipin, pertandingan mewarna serta sukaneka yang boleh disertai seisi keluarga.

"Apa yang lebih menarik, kami akan mempersembahkan satu perarakan yang dinamakan Animation Parade melibatkan penyertaan pelbagai watak dalam siri animasi ini," ujarnya dalam sidang media di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, Rabu.

Selain itu, pameran sukan bermotor serta tayangan filem animasi adalah antara yang menarik untuk disaksikan. Peminat Upin & Ipin juga berpeluang mendaftarkan diri sebagai ahli kelab Upin & Ipin bagi menikmati pelbagai faedah keahlian yang ditawarkan.

"Setakat ini, kami telah menerima ribuan ahli yang berdaftar selepas kelab Upin & Ipin dilancarkan baru-baru ini," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pengurusan Penjenamaan TV9, Feisal Abd Malik berkata selaku penyiar rasmi dan penganjur bersama karnival ini, TV9 akan turut menyiarkan aktiviti-aktiviti menarik di karnival tersebut di dalam rancangan-rancangan terbitan TV9 seperti Nasi Lemak Kopi O, Berita TV9 dan Adik Di 9.

"Ini merupakan karnival pertama kami dan berharap ia mendapat sambutan luar biasa memandangkan pada cuti sekolah. Jika dahulu, Upin & Ipin sentiasa bersama kami di Karnival Sua Rasa TV9, kini adik-adik boleh bertemu dengan Upin & Ipin dan kawan-kawannya di Shah Alam.

"Kami juga akan mengadakan karnival ini di Melaka Wonderland, Melaka pada 4 hingga 7 Disember ini," katanya.

Shamrin Fotograf meninggal dunia

Posted: 11 Nov 2010 10:52 PM PST


SHAMRIN mati selepas bermain bola sepak di Kampung Baru, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Vokalis utama kumpulan Fotograf, Mohd. Shamrin Abdul Samad, 45, meninggal dunia pada pukul 6 petang semalam dipercayai akibat kegagalan fungsi jantung.

Vokalis tersebut dikejarkan ke hospital selepas dia rebah ketika bermain bola sepak di padang bola Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini petang semalam.

Beliau disahkan meninggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru.

"Sewaktu sedang bermain bola, dia mengangkat tangan dan membongkok seperti mahu mengikat tali kasutnya.

"Dia kemudian pitam dan dikejarkan ke hospital," ujar Riot, bekas anggota kumpulan Kool yang turut berada di padang ketika itu.

ViVA Elite edisi Eksklusif dilancar

Posted: 11 Nov 2010 10:52 PM PST


Orang ramai tertarik dengan model terbaru ViVA Elite Edisi Eksklusif (ViVA EEE) yang dilancarkan di Puchong semalam.


PUCHONG – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) semalam melancarkan varian terbaru ViVA Elite iaitu ViVA Elite Edisi Eksklusif (ViVA EEE) dengan rekaan dalaman dan luaran yang menampilkan ciri-ciri baru yang cukup eksklusif.

Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, model terbaru dengan kapasiti enjin 1000 cc itu adalah pelengkap kepada rangkaian ViVA yang telah dikeluarkan oleh syarikat tersebut pada tahun 2007.

Beliau berkata, ViVA EEE mempunyai rekaan bergaya dengan enam perubahan rekaan dalaman dan luaran serta warna baru yang menarik.

"Kumpulan sasaran kami adalah pelanggan wanita dan lelaki sama ada yang tinggal di bandar mahupun di pinggir bandar. Mereka memiliki pendapatan di antara RM30,000 sehingga RM35,000 setahun," katanya.

Malaysia timbang beli kereta perisai Indonesia

Posted: 11 Nov 2010 10:51 PM PST


KERETA perisai Anoa 6x6 buatan Indonesia.


JAKARTA - Malaysia sedang mengkaji kemungkinan membeli kereta perisai buatan Indonesia jenis Anoa 6x6 untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menggantikan kereta perisai pengangkut (APC) jenis Condor yang digunakan sekarang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ATM sedang menilai kenderaan itu terutama dalam penggunaannya oleh pasukan pengaman Indonesia di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di selatan Lebanon.

"Kami kini di peringkat akhir menilai kemampuan Anoa berada di bumi Lebanon dan sedang meneliti jumlah kenderaan yang akan dibeli nanti," katanya di sini selepas melawat pameran pertahanan Indo Defence di sini.

Peniaga tudung dipenjara 17 tahun

Posted: 11 Nov 2010 10:50 PM PST


GAMBAR fail menunjukkan mayat Siti Bidah diusung ke dalam kenderaan polis selepas dibunuh di rumahnya di Tumpat Mac lalu.


KOTA BHARU - Seorang ibu kepada tiga anak dijatuhi hukuman penjara 17 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian ibu saudaranya pada Mac lalu.

Hakim Rofiah Mohamad memerintahkan hukuman terhadap Zuraini Ismail, 26, berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 5 Mac lalu. Dia sebelum itu ditahan di Penjara Pengkalan Chepa di sini sementara menunggu untuk dibicarakan.

Zuraini yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Zuriana dituduh membunuh Siti Bidah Ismail, 56, antara pukul 12.01 tengah malam dan 5.30 pagi 4 Mac lalu di Taman Harmoni, Kampung Berangan di sini.

Ketika melakukan perbuatan tersebut, Zuriana sedang mengandung anak ketiga. Ketika itu kandungannya berusia tujuh bulan.

Bekas jaguh lumba basikal maut

Posted: 11 Nov 2010 10:50 PM PST


ANGGOTA polis memeriksa kereta Proton Saga yang dinaiki Daud selepas dirempuh sebuah treler di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Rembau semalam.


REMBAU – Bekas jaguh lumba basikal negara, Daud Ibrahim meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 232.6, Lebuh Raya Utara-Selatan di sini semalam.

Daud, 63, maut di tempat kejadian selepas kereta Proton Saga yang dipandunya dirempuh sebuah treler dalam kejadian pukul 1 pagi itu.

Jurucakap polis berkata, selepas dirempuh, mangsa telah tersepit dan mengalami kecederaan parah di kepala serta badan.

"Bomba mengambil masa kira-kira lapan minit untuk mengeluarkan mayat mangsa," katanya yang memberitahu pemandu treler berusia 44 tahun itu tidak cedera.

Budak nyaris diculik dalam bas

Posted: 11 Nov 2010 10:49 PM PST


MOHD. AMIN gembira ketika didukung datuknya, Hashim apabila dipertemukan di IPD Cheras semalam sambil diperhatikan Abd. Rahim (kiri).


KUALA LUMPUR – Tindakan bijak seorang pekerja hotel yang terus menghubungi polis sebaik ternampak sesuatu yang mencurigakan dapat menyelamatkan seorang kanak-kanak hiperaktif, Mohd. Amin Rozi daripada dilarikan seorang lelaki warga asing kelmarin.

Sebelum dibawa ke balai polis, Mohd. Amin, 3, yang menaiki bas RapidKL seorang diri sambil memegang botol susu terlebih dahulu telah didampingi oleh lelaki asing berkenaan yang seolah-olah cuba memujuk kanak-kanak itu supaya mengikutnya.

Pekerja hotel berkenaan, Nurasyikin Ruji, 40, memberitahu, ketika itu dia bersama anak perempuannya menaiki bas berkenaan menuju ke ibu negara pada pukul 12 tengah hari.

Katanya, apabila tiba di satu perhentian, dia ternampak Mohd. Amin menaiki bas itu bersama sekumpulan remaja. Sebaik naik, kanak-kanak itu tidak duduk bersama remaja berkenaan.

"Saya lihat dia begitu lincah dan sering bertukar tempat duduk. Dia sentiasa bercakap tetapi tidak menangis.

"Saya kemudian ternampak seorang lelaki asing berusia dalam lingkungan 30-an duduk di sebelahnya seolah-olah cuba memujuk Mohd. Amin supaya mengikutnya," cerita Nurasyikin ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini semalam.

Rampas barang seludup RM1.8j

Posted: 11 Nov 2010 10:48 PM PST


SAPIAN (dua dari kanan) bersama pegawai dan anggota PGM melupuskan barang kes melibatkan mercun di Tok Bali, Pasir Puteh semalam.


PASIR PUTEH – Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Timur berjaya merampas pelbagai jenis barangan seludup bernilai RM1.8 juta sejak Januari lalu hingga semalam.

Timbalan Komander PGM Wilayah Timur, Supritendan Sapian Salihin berkata, sebanyak 60 tangkapan juga berjaya dilakukan pihaknya di sepanjang perairan sempadan Kelantan-Thailand dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, antara jenis barangan yang dirampas ialah diesel dan petrol, mercun, minyak masak, beras, gandum, gula dan pakaian.

"Jumlah rampasan mercun bernilai hampir RM200,000 yang melibatkan tujuh kes," katanya.

48,327 calon UPSR cemerlang A

Posted: 11 Nov 2010 10:47 PM PST


HANIS AZEMI (tengah) yang mendapat 5A menunjukkan laporan Kosmo! yang memaparkan penglibatannya dalam sukan luncur air kepada ibunya, Hartini Abd. Halim (kiri) dan guru besar, Nik Nab Sulaiman di SK Taman Tun Dr. Ismail (1), Kuala Lumpur semalam.


PUTRAJAYA – Seramai 48,327 daripada 482,334 calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud (gambar) berkata, keputusan tersebut merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN), iaitu indeks yang digunakan untuk menunjukkan pencapaian calon di seluruh negara.

Kata beliau, pencapaian UPSR pada kali ini menunjukkan peningkatan sebanyak 10.02 peratus berbanding 9.51 peratus pada tahun lalu dan calon mendapat minimum gred C menurun sebanyak 1.37 peratus berbanding 2009.

"Peratusan calon di bawah tahap pencapaian minimum iaitu gred D dan E turut berkurangan daripada 3.99 peratus kepada 3.39 peratus," katanya ketika membentangkan keputusan UPSR 2010 di sini semalam.

103 mangsa banjir kena halau

Posted: 11 Nov 2010 10:46 PM PST


OTHMAN (kanan) menyambut ketibaan mangsa banjir yang mendakwa dihalau dari pusat penempatan banjir SK Alor Janggus di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Gara-gara berbeza fahaman politik, mangsa banjir mendakwa dihalau keluar dari pusat pemindahan banjir.

Nasib malang itu didakwa berlaku ke atas 103 orang daripada 27 keluarga mangsa banjir yang tinggal di pusat penempatan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Janggus dekat sini semalam.

Arahan supaya mereka mengosongkan pusat tersebut dibuat oleh salah seorang ahli jawatankuasa (AJK) pusat itu melalui pembesar suara.

Amat memeritkan, mereka mendakwa hanya diberikan tempoh lima minit untuk berbuat demikian dan terpaksa berpindah ke pusat penempatan di Sekolah Menengah Alor Janggus di sini.

Tukang kebun, Abd. Aris Ahmad, 37, mendakwa, dia tidak menyangka jawatankuasa pusat berkenaan tergamak berbuat demikian memandangkan mereka adalah antara 1,700 mangsa banjir lain yang tinggal di situ sejak 2 November lalu.

"Kami ada membuat aduan tentang pelbagai perkara yang tidak mencukupi seperti makan dan peralatan lain termasuk selimut dan tikar sedangkan banyak makanan dan peralatan tersimpan dalam stor.

"Namun mereka sentiasa memberi pelbagai alasan dan apa yang menghairankan, barangan yang kami minta itu diberi kepada orang-orang tertentu sahaja tanpa banyak soal," dakwanya yang tinggal di Kampung Pulau Kerengga di sini.

7.5 juta pemilik akaun Facebook

Posted: 11 Nov 2010 10:32 PM PST

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia merupakan antara pengguna aplikasi rangkaian sosial Facebook, Friendster dan Twitter yang tertinggi di dunia.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, dianggarkan terdapat 7.5 juta pemilik akaun Facebook di Malaysia kini.

"Ini adalah potensi rakyat yang harus digunakan oleh industri dalam bidang ini untuk memajukan negara khususnya menerusi kandungan mudah alih.

"Terdapat fakta yang menunjukkan bahawa kewujudan Facebook, Twitter, inovasi platform Android, aplikasi dalam talian dan mudah alih telah mengubah landskap komunikasi, pemikiran manusia dan melahirkan jutawan baru di Amerika Syarikat," katanya.

Sam bukan Adnan

Posted: 11 Nov 2010 10:31 PM PST




SELEPAS berjaya membawakan watak Adnan dalam filem pecah panggung Adnan Sempit, nampaknya, aktor Shaheizy Sam atau Sam bergelut untuk membuang bayangan Adnan yang melekat dengan dirinya.

Terbiasa dipanggil Adnan oleh peminat, Sam bagaimana pun tidak mahu senario yang sama berlaku tatkala dia memegang watak lain dalam karya seterusnya. Pergelutan membuang watak Adnan itu jelas kelihatan dalam filem terbaru Sam berjudul Ngangkung.

Malah, perkara itu diakui sendiri oleh Sam dan pengarahnya Ismail Bob Hasim. Jelas Sam, dia enggan dibayangi watak Adnan untuk setiap karya yang ditawarkan kepadanya. Oleh kerana itu, dia cuba mengubah permainan watak dan perwatakannya sebagai Azim dalam filem Ngangkung dengan menggubah cara bercakap dan mimik muka.

"Perubahan itu atas permintaan pengarah yang mahu lihat saya lari daripada Adnan. Jadi, saya cuba dengan mengubah nada suara dan mimik wajah menjadi orang lain supaya umum akan terlupa kepada Sam dan Adnan. Saya mahu orang percaya yang mereka lihat dalam filem Ngangkung adalah Azim seorang pemandu lori yang gila main nombor ekor," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan filem tersebut di Cineleisure, Damansara baru-baru ini.

Walaupun cuba melakukan satu perubahan, namun ada kalanya, mimik wajah yang dibikin Sam nampak tidak asli. Ucapnya secara jujur, dia sendiri tidak selesa apabila terpaksa bercakap dengan mimik wajah sedemikian sepanjang penggambaran berlangsung, bagaimanapun dia telah memberi yang terbaik dengan tempoh persediaan yang cukup singkat.

"Saya sendiri tidak selesa dengan waktu yang diberi untuk bersedia cukup singkat, jadi itulah hasil terbaik yang boleh saya berikan. Memang ada kalanya saya sendiri tersasul dan tergeliat lidah apabila menuturkan dialog yang panjang," ujarnya.

Buat penonton yang ingin saksikan Sam sebagai Adnan, lebih baik anda persiapkan diri supaya tidak keluar panggung dalam keadaan kecewa. Watak Sam sebagai Azim terlalu jauh berbeza dengan watak-watak komedi yang pernah dibawakannya sebelum ini.

"Saya harap peminat datang bukan mahu melihat Adnan tetapi mahu menonton sebuah filem. Saya telah melakukan yang terbaik supaya wang RM10 yang mereka laburkan untuk menonton wayang itu berbaloi," balasnya.

Meskipun begitu, Sam mengerti andai peminat gemarkan dirinya menjadi Adnan untuk setiap drama dan filem yang dilakonnya. Bagaimanapun, sebagai pelakon yang versatil, Sam tidak mahu tersekat di takuk lama sebaliknya ingin mencuba sesuatu yang baru.

"Saya harap peminat faham kerana sebagai pelakon saya harus menjaga profil kerja yang saya miliki. Memang saya berjaya sebagai Adnan tetapi saya tidak boleh terus tersekat dengan watak Adnan. Macam dalam filem KL Drift 2, walaupun saya bawa watak serius, penonton boleh ketawa.


KURANG selesa tetapi Sam tetap memberikan penyampaian yang terbaik kepada watak Azim dengan suntikan mimik muka berbeza.


"Sebenarnya kalau peminat suka saya begitu saya sendiri tidak kisah kerana itu hak mereka. Cuma saya harap mereka akan terus menyokong saya walaupun saya bukan lagi lelaki bernama Adnan," tuturnya.

Tidak idam anugerah

Kejayaan demi kejayaan datang bergolek pada jejaka berusia 28 tahun sejak dia muncul dalam filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam pada tahun 2009 nama Sam mula mendaki menaiki tahap yang lebih tinggi.

Selepas kegagalan meraih sebarang anugerah meskipun telah tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Terbaik menerusi filem Bohsia pada Festival Filem Malaysia Ke-22 tahun lalu, nampaknya tahun ini dia menebus kembali anugerah dalam kategori yang sama menerusi filem Evolusi KL Drift 2.

Sungguhpun telah memenangi anugerah, ramai pula yang berkata Sam layak untuk menggondol anugerah kategori Pelakon Lelaki Terbaik sementelah filem Adnan Sempit mendapat kutipan pecah panggung iaitu RM7.8 juta dalam masa lima minggu tayangannya.

Luah Sam, dia bersyukur dengan apa yang dimiliki malahan, dia sendiri bukan seorang pelakon yang mengejar anugerah. Jika, mahu diberi, ia satu penghargaan untuk penat lelahnya.

"Saya rasa Bront Palare seorang pelakon hebat dan dia sememang layak untuk anugerah itu. Saya telah mendapat bahagian saya, rasanya cukuplah. Sebenarnya bagi saya terbaik itu bukannya khas untuk orang yang menang anugerah.

"Kalau naik ikutkan semua pelakon merupakan yang terbaik, mereka memiliki kelebihan pada sisi tertentu yang tidak boleh dinilai oleh mata juri majlis anugerah. Tidak menang anugerah, mereka masih terbaik di hati peminat. Terbaik dalam majlis anugerah dinilai hanya beberapa pihak sahaja dan saya lebih suka dinilai oleh penonton yang pergi menonton filem saya di panggung wayang," ujarnya.

Tegas Sam, kenyataannya itu bukan bermakna dia tidak menghargai majlis anugerah yang berlangsung setiap tahun. Cuma persepsi majlis anugerah sedikit berbeza buatnya.

"Memang saya tidak anggap majlis anugerah itu sebuah majlis kalah menang kerana festival filem merupakan satru pesta yang besar untuk penggiat industri filem. Setiap tahun saya hadir ke festival filem bukan untuk menang tetapi untuk bertemu rakan-rakan industri filem.

"Rasanya waktu itu sahaja saya akan lihat wajah-wajah yang saya jarang jumpa kerana kesibukan masing-masing. Jadi, majlis anugerah satu pesta untuk orang seperti kami berkumpul dan bertanya khabar selain menghangatkan lagi industri filem. Kalau tidak ada majlis anugerah tidak boleh juga kerana industri filem akan jadi bosan," katanya.

Kesukaran Azim

Bercerita sedikit mengenai filem Ngangkung, tutur Sam, agak sukar untuknya membawa watak Azim. Namun, atas tunjuk ajar pengarah dan rakan-rakan gandingannya iaitu Angah Raja Lawak dan Azad Jazmin perkara yang sukar menjadi mudah.


TENAGA kerja filem Ngangkung yang diarahkan oleh Ismail Bob Hashim (berdiri dua dari kiri).


Tambah Sam, mereka bertiga begitu serasi memandangkan sering bekerjasama dalam drama dalam filem sebelum ini.

"Memang susah nak bawa watak Azim kerana kena jaga cara bercakap dan mimik muka yang berbeza daripada apa yang saya lakukan setiap hari. Kalau tidak puas hati saya minta pengarah lakukan babak yang sama sekali lagi sehingga dia berpuas hati dan dapat apa yang dia mahukan.

"Kalau diminta buat 100 kali babak yang sama demi mencapai kualiti terbaik pun saya sanggup. Walaupun ia sebuah filem komedi seram, banyak mesej yang berguna dipaparkan dalam filem Ngangkung," katanya yang kini sedang sibuk dengan penggambaran sebuah filem baru terbitan Red Communication Sdn. Bhd.

Filem Ngangkung yang menelan kos sebanyak RM1.8 juta dan bakal ditayangkan pada 25 November depan adalah sebuah filem yang mengisahkan Azim (Sam) terjebak dengan hobi dua rakan baiknya, Tasnim (Azad) dan Wan (Angah) yang merupakan kaki nombor ekor atas desakan isterinya yang sering memperlekehkan pekerjaannya sebagai pemandu lori.

Ketiga-tiga mereka berjumpa pelbagai bomoh dengan satu hasrat iaitu nombor ekor dan tanpa disedari mahkluk halus yang diseru itu mengikut mereka pulang dan mengganggu anak dan isteri mereka di rumah.

Pelbagai perkara lucu terjadi sepanjang filem berlangsung, sesuai dengan genre komedi seram. Selain mereka bertiga, pelakon lain yang turut terlibat adalah Putri Mardiana, Eira Syazira, Farisya Fatin, Lan Pet Pet, Azlee Jaafar dan Ruzaidi Abdul Rahman.

Hasrat murni Lindsay

Posted: 11 Nov 2010 10:30 PM PST


LINDSAY LOHAN


MENDAPAT pelajaran paling berharga adalah hikmah di sebalik masalah kecanduan alkohol dan dadah yang dilalui oleh pelakon cantik, Lindsay Lohan.

Pengalaman bertapa dan harus menjalani kehidupan yang jauh daripada perkataan glamor di Pusat Pemulihan Betty Ford telah memberikan inspirasi buat Lindsay untuk membantu generasi muda yang lain dengan bakal menubuhkan sebuah pusat pemulihan miliknya sendiri.

Pelakon filem Mean Girls tersebut bakal menghabiskan semula untuk masa yang lama di pusat pemulihan tersebut dan dijadualkan bebas pada bulan Januari depan. Durasi yang lama di pusat tersebut membuatkan Lindsay terfikir untuk bangun dan membantu orang lain.

Niat murni Lindsay ini diungkapkan oleh ibunya, Dina Lohan yang mengakui bahawa proses pemulihan yang dijalani telah benar-benar merubah kehidupan anaknya.

"Dia mahu membuka fasiliti pemulihan sendiri untuk membantu golongan remaja yang lain. Lindsay benar-benar mengambil berat hal ini. Kita hanya mampu berfikiran positif dan melihat masa hadapan untuk mebantu keluarga lain,"ujar ibunya merangkap pengurus Lindsay.

10 terpilih daripada 1,000

Posted: 11 Nov 2010 10:22 PM PST


DEPAN, dari kiri: Shazlin, Balqis, Puteri.Tengah dari kiri: Adiba, Angel, Farra, Harris, Deeba. Belakang: Afif dan Hadi.


MEREKA masih di bangku sekolah rendah, tetapi sudah pasti perihal nyanyian, minat dan kemahuan sendiri. Program Idola Kecil musim ketiga yang akan menemui penonton hari Sabtu, pukul 9 malam setiap minggu bermula 6 November di saluran TV9 pasti menjanjikan sesuatu yang berbaloi untuk ditonton.

Suasana studio Utusan gamat apabila 10 bakat terpilih ini dihimpunkan. Kebanyakannya mempunyai latar belakang yang sedikit mengagumkan dalam bidang seni sama ada secara semi profesional atau amatur.

Menurut pengurus Besar TV9, Sherina Nordin, peserta Idola Kecil telah melalui sesi uji bakat yang telah diadakan pada Julai dan Ogos lalu.

"Proses pemilihan Idola Kecil musim ini lebih sukar dan daripada 1,000 peserta, hanya 10 yang terbaik dipilih. Mereka dipilih berdasarkan kebolehan seni mereka, tidak kira usia mahupun jantina," tambahnya lagi.

Bakat-bakat muda ini yang berumur antara 10 ke 12 tahun datang dari seluruh Malaysia dan mempunyai pelbagai latar belakang. Puteri Aszfaryna Khareeza Arif, comel dipanggil Puteri telah dua kali mencuba menyertai Idola Kecil dan bersyukur berjaya menempatkan diri sebagai 10 peserta akhir untuk kali ini.

Meminati lagu berentak perlahan, Puteri pernah berduet dengan penyanyi era 70-an Salamiah Hassan, penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura dan Adibah Noor.

"Saya rasa amat terharu dan teruja dapat berduet dengan mereka. Bukan senang dapat berjumpa dengan penyanyi terkenal seperti mereka. Saya diberikan nasihat dan tips menyanyi dengan baik," ujar Puteri.

Buat yang pernah menonton Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang yang dipentaskan di Istana Budaya, pasti teringat kelibat kepada Mohd. Afif Abdul Halim Hapit yang mesra dipanggil Afif.

Afif diberikan kepercayaan memegang watak Raja Ahmad, anakanda Sultan Melaka selama tiga musim berturut-turut.

"Saya paling gementar ketika mengadakan persembahan di Singapura. Penonton di sana terlalu ramai," tambahnya yang pernah membintangi filem Sumolah dengan watak sebagai Kodok dan The Red Kebaya.

Berlainan pula dengan Nor Harris Norashidi atau ringkas Harris yang bercita-cita menjadi terkenal seperti legenda rock, Amy Search.

Walaupun hanya berusia 11 tahun, Harris pernah mendapat jemputan mengadakan persembahan selama satu jam setengah di Hard Rock Café, Pulau Pinang. Bertindak sebagai vokalis kumpulan First Step, Harris berupaya menyanyikan hampir 15 buah lagu di dalam persembahan tersebut.

Harris juga pernah berkongsi pentas bersama Ramli Sarip dan Ezad Exist di Karnival Suria FM.

Berbakat dalam bermain dram dan gitar, Harris tidak pernah mempelajari muzik secara profesional. Namun, dia pernah mendapat nasihat dan tunjuk ajar daripada pemuzik berpengalaman iaitu Rosli Muhalim, pemain gitar Sweet Charity ketika dia mengadakan persembahan di Hotel Vistana, Pulau Pinang.

Gadis kecil dari Sabah, Angelica Paujin atau Angel pula memukau pandangan semua dengan dendangan lagu Whitney Houston ketika sesi temu ramah dijalankan.

Pernah membuat persembahan di 1Borneo, Kota Kinabalu dan memenangi tempat ketiga di pertandingan Menyanyi Pesta Menuai 2010, Angel yang agak pendiam tersebut mempunyai vokal yang lantang dan menarik.

Antara peserta lain yang akan memberi saingan hebat kali ini ialah Nurhamilya Adiba Hamzah atau Adiba; Farra Noradzlina Abdul Halim, mesra dipanggil Farra; Abdul Hadi Abdul Mazlan (Hadi); Nor Balqis Ahmad Tajudin (Balqis); Nadeera Allysha Aminudin (Deera) dan Shazlin Salamat (Shazlin).

Idola Kecil masih mengekalkan penyanyi muda iaitu Alif Satar sebagai pengacara dan sebagai tambahan Slot Klip Mini Idola Kecil dan Klip Ekstra Idola Kecil diadakan bagi musim kali ini. Kedua-dua rancangan itu akan memaparkan klip-klip menarik di sebalik tabir program Idola Kecil kali ini.

50,000 pelajar amuk bantah yuran universiti

Posted: 11 Nov 2010 10:21 PM PST


BEBERAPA anggota polis dan penunjuk perasaan bertempur di luar ruang legar ibu pejabat Parti Konservatif di London kelmarin.


LONDON - Satu tunjuk perasaan yang disertai 50,000 pelajar kelmarin bagi membantah rancangan kenaikan yuran universiti bertukar menjadi protes paling ganas di Britain sejak beberapa dekad lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Bantahan tersebut bermula secara aman di sini kelmarin tetapi bertukar ganas selepas beberapa kumpulan menghasut para pelajar supaya merusuh.

Lokasi paling teruk terjejas termasuk ibu pejabat Parti Konservatif pimpinan Perdana Menteri, David Cameron di Menara Millbank di sini yang menyaksikan kerosakan mencecah ratusan ribu pound sterling.

Pemuda-pemuda memakai penutup kepala dan topeng mengamuk dengan memecahkan tingkap-tingkap ibu pejabat Parti Konservatif sebelum mereka pergi ke tingkat tujuh bangunan tersebut dan membaling sebuah alat pemadam api ke arah anggota-anggota polis.

Mereka turut membakar patung-patung Cameron dan timbalannya, Nick Clegg dengan diiringi sorakan penunjuk-penunjuk perasaan lain.

Polis berkata, sekurang-kurangnya 14 mangsa yang cedera dibawa ke hospital termasuk tujuh anggota polis manakala 35 penunjuk perasaan telah ditangkap.

"Rusuhan ini tidak dapat diterima. ia memalukan London dan kami," kata Komisioner Polis Metropolitan London, Paul Stephenson.

Menurutnya, pihak polis cuma menempatkan lebih 20 anggota di luar Menara Millibank kerana menjangkakan protes tersebut akan berjalan secara aman.

Namun, anggota-anggota polis itu cuma mampu memerhatikan tindakan ganas kumpulan perusuh selepas mereka diasak oleh beribu-ribu penunjuk perasaan.

Pelajar-pelajar itu membantah kenaikan yuran universiti sehingga 9,000 pounds (RM44,901) setahun tiga kali daripada kadar sekarang.

Perdana Menteri Britain yang kini berada di Seoul untuk menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 yang bermesyuarat di Seoul, Korea Selatan mengutuk protes ganas itu.

Menurutnya, undang-undang perlu digunakan bagi berdepan dengan para perusuh yang memecahkan tingkap dan menceroboh pejabat Parti Konservatif yang dipimpinnya.

"Apa yang bukan menjadi sebahagian daripada demokrasi kami ialah keganasan dan melanggar undang-undang. Ia tidak betul," katanya.

Kerajaan Britain kini merancang untuk menaikkan yuran universiti dan memotong perbelanjaan universiti bagi mengurangkan perbelanjaan awam sebagai langkah mengurangkan bajet defisit.

Asap misteri dilihat di New York

Posted: 11 Nov 2010 10:21 PM PST


GAMBAR menunjukkan asap misteri yang dilihat di ruang udara di Far Rockaway, Queens, New York kelmarin.


QUEENS, New York - Selepas satu asap misteri yang dikatakan sebagai satu pelancaran peluru berpandu di pantai Los Angeles, California pada petang Isnin lalu, asap serupa turut dilihat di ruang udara Far Rockaway, Queens Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam.

Gambar gumpalan asap yang melonjak ke langit itu dirakamkan oleh seorang pejalan kaki kira-kira pukul 5 petang kelmarin.

Ia kelihatan seperti asap yang keluar dari peluru berpandu yang baru dilancarkan.

Sehingga kini, puncanya masih belum diketahui.

"Ia kelihatan seperti asap sebuah roket," kata jurugambar itu yang menyatakan bahawa asap itu muncul di selatan Rockaway yang mungkin melangkaui Brooklyn atau New Jersey.

Penduduk tempatan memberitahu asap itu tidak kelihatan seperti 'sisa' yang ditinggalkan oleh pesawat yang terbang dari Lapangan Terbang Kennedy yang terletak berhampiran dengan tempat kejadian.

Pada Isnin lalu, gambar asap yang sama dirakamkan oleh seorang jurugambar sebuah stesen televisyen semasa dia menaiki sebuah helikopter sekitar pukul 5 petang.

Ketika itu, Jabatan Pertahanan AS menafikan bahawa ia melancarkan sebarang ujian peluru berpandu dan tidak mengetahui mengenai fenomena tersebut.

Namun, jabatan itu menyatakan dalam satu kenyataan bahawa ia berpuas hati bahawa sumber asap itu adalah dari sebuah pesawat selepas pihaknya memeriksa rakaman kepulan asap tersebut berdasarkan rekod radar Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan sistem pengesanan pelancaran peluru berpandu miliknya.

Adik Sultan Brunei beri kunci istana kepada peguam Britain

Posted: 11 Nov 2010 10:20 PM PST


THOMAS DERBYSHIRE dan Faith Zaman.


MANHATTAN, Amerika Syarikat (AS) - Putera Jefri Bolkiah yang merupakan adik pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah memberikan kunci sebuah 'istananya' di sini kepada seorang peguam Britain dan isterinya sebelum mendapati mereka menyelewengkan wang miliknya melebihi AS$7.25 juta (RM22.4 juta), menurut perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Tinggi Manhattan seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar semalam.

Peguam, itu Thomas Derbyshire dan isterinya, Faith Zaman dituduh memulakan penipuan untuk melesapkan wang Putera Jefri sebanyak AS$5 juta (RM15.4 juta) bagi membeli beberapa kediaman di California selepas mereka diberi kepercayaan untuk menguruskan empayar perniagaannya.

"Beliau (Putera Jefri) memberikan kunci-kunci 'istananya' kepada defendan (Derbyshire dan isterinya) tetapi mereka mengkhianati kepercayaan itu dengan melesapkan wangnya," kata peguam, Linda Goldstein yang mewakili Putera Jefri.

Putera berusia 56 tahun itu pernah memiliki lebih 2,000 buah kereta, 600 kediaman, sembilan pesawat dan lima buah bot.

Pasangan peguam itu bagaimanapun, menyangkal tuduhan terhadap mereka dan menyaman balas Putera Jefri sebanyak AS$11.94 juta (RM36.8 juta) kerana mendakwa beliau belum melunaskan bayaran yang dijanjikan sebelum ini.

Kedua-dua peguam itu diberhentikan pada 2006 apabila Putera Jefri menuduh mereka mengkhianatinya.

Derbyshire, 43, dilahirkan di Bootle, Merseyside, barat laut England dan merupakan peguam jenayah dengan pendapatan kelapan tertinggi di Britain iaitu sekitar AS$1.07 juta (RM3.3 juta) setahun.

Dia menetap bersama isterinya, Faith Zaman, 34, di Hampstead, London Utara.

Ujian penerbangan ditangguh

Posted: 11 Nov 2010 10:19 PM PST


GAMBAR fail menunjukkan enjin Rolls-Royce Trent 1000 pada sayap pesawat Boeing 787 di sebuah lapangan terbang di Seattle, Amerika Syarikat (AS) pada 27 Oktober lalu.


DALLAS - Syarikat Boeing menggantung semua ujian penerbangan pesawat penumpang baru, Boeing 787 kelmarin selepas asap keluar dari kabin dalam ujian sebuah pesawat model itu menyebabkan ia mendarat cemas di Texas pada Selasa lalu.

Pada Selasa lalu. sebuah pesawat Boeing 787 yang menggunakan enjin Rolls Royce Trent 1000 terpaksa mendarat cemas semasa menjalani ujian penerbangan selama enam jam selepas krew-krewnya melaporkan asap keluar dari belakang pesawat itu.

Boeing menyatakan ia perlu masa selama beberapa hari untuk menganalisis data penerbangan dari pesawat berkenaan.

Menurut pihak pengurusan syarikat itu, semua ujian penerbangan pesawat Boeing itu ditangguhkan sehingga pihaknya memahami punca kejadian.

Jurucakap Boeing, Loretta Gunter berkata, pihaknya masih tidak mengetahui tempoh penangguhan itu.

Gunter berkata, kebakaran bermula di panel kawalan kuasa di dalam pesawat ujian itu.

Api memutuskan kuasa elektrik pesawat itu.

Menurut Boeing, sistem sokongan termasuk sebuah turbin penyedut udara terutamanya generator berkuasa angin telah berfungsi dengan sempurna ekoran masalah itu.

Syarikat Boeing kini memeriksa panel kuasa bagi menentukan sama ada kerja-kerja pembaikan perlu dilakukan.

Pesawat itu menggunakan enjin keluaran Rolls-Royce tetapi tidak sama dengan digunakan oleh pesawat Airbus A380 milik syarikat Qantas yang terpaksa mendarat cemas di Singapura pada 4 November lalu kerana salah sebuah enjinnya terbakar.

Pesawat dua tingkat Airbus A380 menggunakan enjin Rolls-Royce Trent 900.

Dalam kejadian yang berlaku pada Selasa lalu, sebuah pesawat Boeing 787 yang melakukan penerbangan ujian berlepas dari Yuma, Arizona dan terbang ke Montana di selatan Texas.

Juruterbang pesawat itu memaklumkan berlakunya satu kecemasan dan membuat pendaratan cemas di sebuah lapangan terbang di Laredo, Texas dekat sempadan Mexico.

Menurut Boeing, seramai 42 orang berada dalam pesawat itu termasuk krew dan juruteknik.

Ekoran insiden itu, saham syarikat Boeing Co jatuh AS$2.18 (RM6.73) atau 3.2 peratus kepada AS$67.07 (RM207.246 ) kelmarin.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah menyatakan kebakaran daripada kebocoran minyak mungkin menjadi punca kegagalan enjin pesawat gergasi dunia, Airbus A380 milik Airbus berfungsi sehingga ia terpaksa mendarat cemas pada 4 November lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.

Dalam kejadian 4 November itu, bingkai sebuah daripada empat enjin pesawat itu pecah menyebabkan ia bertaburan di bandar Batam.

Agensi itu meminta pemeriksaan teliti dilakukan ke atas pesawat yang menggunakan enjin Rolls-Royce Trent 900 itu.

Syarikat Singapore Airlines yang menggunakan 11 pesawat Airbus A380 menyatakan ia mungkin akan menggantikan beberapa pesawat itu dengan yang lebih kecil ekoran arahan agensi tersebut yang meminta enjin Rolls-Royce Trent 900 perlu diperiksa dengan teliti.

Pesawat itu boleh membawa 525 penumpang.

Pemuda cipta litar permainan F1

Posted: 11 Nov 2010 10:17 PM PST


DUA buah kereta Formula Satu berlumba di litar permainan ciptaan James-Michael Harlan.


WHITE LAKE, Michigan - Seorang pereka ruang pameran dan peminat kereta, James-Michael Harlan di sini, Amerika Syarikat (AS) menghabiskan masa selama tiga tahun dengan mencipta litar permainan perlumbaan kereta Formula Satu (F1) sepanjang 44.19 meter, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang berumur 39 tahun dan masih bujang membelanjakan sebanyak AS$6,000 (RM18,546) serta 7,000 jam untuk membina litar tersebut.

Litar setinggi 0.76 meter itu mengandungi empat lorong, tempat duduk grandstand, laluan berhenti kereta F1 dan jambatan.

"Saya mengendalikan perlumbaan malam dengan melibatkan kira-kira 30 orang," katanya yang menganggap ciptaannya itu sebagai luar biasa.

"Ia (mencipta litar itu) merupakan satu keseronokan dan saya akan menggunakannya dengan penuh kegembiraan selama beberapa tahun akan datang," tambahnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS