Adsense

Selasa, 17 Mei 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


‘Bukan saya yang kata’

Posted: 16 May 2011 06:31 AM PDT

RIUH-RENDAH jadinya lokasi fotografi di Restoran Gardens Cafe, 1Utama apabila pelakon, pengacara yang juga pelawak, Ahmad Nabil Ahmad digandingkan dengan dramatis jelita, Nora Danish.

Tidak henti-henti pelakon kecil molek itu diusik Nabil, kononnya dirinya kini kembali single tanpa kekasih dan ruang kosong itu tiada masalah untuk wanita bergaya seperti Nora.

Mujur Nora yang sememangnya sinonim dengan sikap ramah, bijak mencantas semula usikan Nabil hingga ada kalanya bintang yang juga juara program realiti Raja Lawak musim kedua itu terdiam mengukir senyuman.

Baru saja pulang menunaikan umrah di Makkah bersama keluarga tercinta, membuatkan Nora lebih banyak pengalaman yang ingin dikongsi.


Tidak hanya bersyukur kerana diberi peluang menjejakkan kaki di Rumah Allah, bintang berusia 29 tahun yang mula dikenali menerusi sitkom Puteri ini menyifatkan pemergiannya ke Tanah Suci itu bagai sebuah doa yang dimakbulkan.


Mengakui rasa perit dan sedih kerana terpaksa meninggalkan anak tunggal kesayangannya, Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram sepanjang pemergiannya, pelakon kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu yang selesa dengan sandaran ibu tunggal ini memahat jiwa ke Makkah untuk mencari ketenangan paling hakiki buat dirinya.

"Alhamdulillah, sampai juga saya ke sana bersama ayah, mak dan adik-beradik yang lain. Sudah lama saya menyimpan hasrat ini sejak awal pembabitan dalam lapangan seni lagi dan akhirnya terlaksana juga impian itu. Kami ke sana selama 12 hari dan saya berpeluang manfaatkan sepenuhnya masa yang ada dengan menunaikan kewajipan sebagai seorang Islam.

"Awalnya saya sendiri bimbang sama ada cukup persiapan untuk saya menjejakkan kaki ke sana. Namun sebaik berpijak di bumi suci itu, barulah saya sedar apa erti sebuah kenikmatan sebenar.

"Sebelum ini, saya hanya mendengar pengalaman teman yang sudah pergi, tetapi selepas berpeluang sendiri ke sana, saya sedar keindahan yang sering kali diceritakan orang. Jiwa saya tenang dan damai. Segala-galanya indah dan saya seolah-olah diberi nafas baru lengkap dengan semangat dan peribadi yang lebih terpelihara," katanya.

Tegas Nora, pemergiannya ke sana berlandaskan nawaitu dan rasa ikhlas di hati, bukannya ingin menunjuk atau memasang niat seperti yang pernah disiarkan akhbar sebelum ini.

Sebelum ini ada laporan mengatakan Nora akan bertudung atau berubah sebaik pulang.

Katanya, semua itu bukan daripada mulutnya sendiri.

"Saya tidak mahu berjanji apa-apa atau meletak satu sasaran jika selamat pulang kerana semua itu adalah ketentuan dan takdir. Jika diberi petunjuk dan cahaya yang menyuluh laluan ini, Insya-Allah saya berubah.

"Namun, usah menjadikan itu sebagai satu kayu pengukur pula kerana tidak mahu terjerumus atau terperangkap dengan persepsi orang yang membaca.

"Nanti lain pula ceritanya sedangkan hakikatnya, saya masih aktif berlakon dan kekal seperti saya yang sebelumnya.

"Ibadat itu satu kewajipan dan alhamdulillah, setidak-tidaknya saya sudah menjalankan tanggungjawab itu dengan kemampuan yang ada. Asasnya, saya kembali dengan diri yang baru dan tidak mahu lagi menoleh ke belakang.

"Ketika di sana, saya juga berdoa untuk kesejahteraan semua keluarga dan sahabat-handai. Malah, saya juga memasang impian ingin membawa Raykal pula jika diberi keizinan dan rezeki apabila dia besar nanti," katanya yang terkilan kerana uzur beberapa hari akhir yang membataskan langkah ibadatnya.

Terlanjur menyentuh doa yang dipasang bintang filem Cuti-Cuti Cinta dan Jangan Pandang Belakang Congkak ini ketika di sana, terlintas pula persoalan mengenai hajatnya ingin mencari pengganti selepas hampir dua tahun bersendirian.

Tidak berselindung mengenai hubungannya dengan seorang lelaki yang disifatkan serasi bersamanya, Nora bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Bohong jika saya katakan tidak kerana alang-alang sudah menjejakkan kaki ke sana dengan habuan yang dijanjikan, doa itu lebih makbul jika menadah tapak tangan di Tanah Suci itu. Doa untuk dipertemukan jodoh sudah pasti saya lakukan. Saya ingin mencari kebahagiaan dan berharap agar kesilapan lalu tidak berulang. Berkali-kali saya berdoa agar diberi petunjuk yang benar.

"Namun usah lekas menabur spekulasi kerana segala-galanya mengenai hubungan cinta baru saya ini adalah di luar kemampuan saya. Saya hanya terus berdoa dan membiarkan soal itu kepada jodoh saja," katanya.

Mendengar luahan Nora yang kini sedang bahagia diulit cinta, tangkas wajah Nabil yang juga pengacara program Ewah-Ewah setiap Isnin jam 11 pagi di TV3 ini mencuka pula. Kononnya jiwanya sunyi tanpa kekasih dan tidak punya ruang untuk membenarkan sesiapa datang menghampirinya.

Di sebalik jenaka dan usikan yang tidak henti, masih jelas sinar jujur pada mata anak seni yang pernah dijulang Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 ini, dirinya memang sendiri tanpa teman istimewa.

"Setakat ini saya masih sendirian dan menunggu jika ada yang sudi. Bukan serik atau berhati-hati, sebaliknya jadual kerja dan rezeki yang datang bertimpa sekarang membuatkan saya sibuk hingga ada kalanya terlupa akan diri sendiri.

"Namun perasaan itu akan datang pada waktu senggang, tapi ia bukanlah satu beban atau masalah besar bagi saya kerana apa yang lebih menjadi keutamaan sekarang adalah kerja dan tanggungjawab terhadap keluarga.

"Saya juga tidak mahu kesilapan lalu dan segala macam tanggapan negatif pada saya itu kembali lagi. Alhamdulillah, peminat dan keluarga sentiasa setia menyokong dan kepercayaan pihak produksi juga masih ada walaupun apa yang pernah terpalit itu bukan sesuatu perkara remeh.

"Namun itulah pengalaman yang mengajar saya dan membentuk keperibadian agar lebih kuat dan kental," katanya.

Lakonan Nabil akan dapat disaksikan melalui drama You Saka...Pergi Jauh-Jauh arahan Jamal Khan untuk slot Seram di TV3. Dalam drama 13 episod itu, Nabil memegang watak Adrus yang bekerja sebagai pemburu hantu.

Kata Nabil, dia mengharapkan diberi watak yang menguji kemampuannya dan tidak hanya bersandar pada komedi sebaliknya lebih serius dan mencerminkan sisinya yang berbeza.

"Saya inginkan watak seperti penjahat dan seorang yang kejam. Ini membolehkan saya beraksi dan melakonkan babak lasak. Insya-Allah jika ada peluang itu, saya tidak akan persiakan," katanya.

You Saka...Pergi Jauh-Jauh yang turut dibintangi Eira Syazirah, Fauzi Nawawi, Dynas Mokhtar dan Amyza Adnan, bakal menemui penonton setia TV3 bermula 2 Jun depan, jam 9.30 malam.

Nora pula membawakan watak Ana dalam drama arahan Pierre Andre, Ana Lulu sebanyak 13 episod yang akan mula disiarkan pada 7 Jun depan, jam 9 malam menerusi slot Lestary di TV3.

Membariskan pelakon popular lain seperti Kamal Adli, Adey Syafrien, Sharifah Sakinah, Zarina Zainuddin dan Mustapha Kamal, Ana Lulu mengangkat genre komedi yang punya sedikit persamaan konsepnya dengan drama siri Hollywood popular, Ugly Betty.

PROFIL

NAMA PENUH: Ahmad Nabil Ahmad
NAMA KOMERSIAL: Nabil
TARIKH LAHIR: 26 September 1983
UMUR: 28 tahun
KELAHIRAN: Mambau, Seremban, Negeri Sembilan
KELUARGA: Anak ketiga daripada tujuh beradik
PENCAPAIAN: Juara Raja Lawak Musim 2, Artis Baru Lelaki Popular, Artis Komedi Lelaki Popular & Bintang Paling Popular (ABPBH 2008)
FILEM: Sifu & Tonga, Lu Pikirlah Sendiri De Movie, Kecoh Betul, Jin Notti, Eee...Hantu, Momok The Movie, Pisau Cukur, Magika, Uncle Hussein, Bangladesh dan Cicak-Man
PROGRAM: Lu Fikirlah Sendiri Nabil, Apa Cerita Nabil, Hua...Hua...Hua Pondok Pondok, Studio Nabil, Ewah-Ewah dan Hartamania.
DRAMA: Sonata Labu Labi.

PROFIL

NAMA SEBENAR: Nora Danish Mohd Hanif
TARIKH LAHIR: 7 Mac 1982
UMUR: 29 tahun
TEMPAT LAHIR: Kuala Terengganu, Terengganu
PENDIDIKAN: SPM (Sekolah Menengah Kebangsaan Convent, Kajang)
ANAK: Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram
FILEM: Gila-Gila Pengantin Popular, Senario Dalam Pemburu Emas Yamashita dan Cuti-Cuti Cinta
DRAMA TV: Puteri, Pendekar 5, Arjuna dan Ejen 016

  • Mekap: Fauzi (012-3918430)
  • Penghargaan: Garden Lifestyle Store and Cafe Outlets, 1Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya
    (03-89622282 atau layari www.garden-cafe.com.my)
  • Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

    Hasnah Harun terlantar barah

    Posted: 16 May 2011 06:25 AM PDT

    TIDAK sampai seminggu, dunia seni tanah air dikejutkan dengan berita pemergian pelakon veteran dan penulis, Datuk Omar@Abdul Majid Puteh atau Aimi Jarr, 72, dan penyanyi veteran, Datin Orchid Abdullah, 64, yang menyambut seruan Ilahi.

    Aimi Jarr disahkan meninggal dunia di rumahnya di Taman Melawati pada 10 Mei lalu, jam 8.05 pagi akibat serangan jantung sementara Orchid meng–hembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang, Jumaat lalu, jam 12.30 tengah hari, selepas menderita akibat penyakit ketumbuhan (paragangloima) sejak tiga tahun lalu.

    Dalam mengenang yang tiada, masih ada insan seni yang kini uzur akibat masalah kesihatan dan menghidap pelbagai penyakit.

    Antaranya, pelakon dan pelawak veteran, Zami Ismail atau Pak Uda (Pi Mai Pi Mai Tang Tu) yang dimasukkan ke hospital susulan masalah sesak nafas, minggu lalu.


    Seorang lagi insan seni yang menghadapi masalah kesihatan ialah penyanyi 70-an, Hasnah Harun yang kini terlantar sakit akibat kanser pangkal rahim.


    Pak Uda yang dihubungi semalam, kedengaran ceria dan memaklumkan keadaan kesihatannya kembali pulih, cuma dia menghadapi masalah penyakit asma dan doktor memberikan beberapa hari cuti rehat.

    Kata Pak Uda yang menetap di Rawang, dia berasa tidak sabar untuk menyelesaikan beberapa babak lakonan yang tertangguh akibat keadaan kesihatannya itu. Ia membabitkan satu babak dalam drama Gulai Tempoyak Chicken Chop manakala sesi memasukkan rakaman suara untuk filem Halimmunan.

    Sementara itu, anak Hasnah, Haslinda Mohd Yunos, 39, memaklumkan keadaan ibunya yang uzur menyebabkannya tidak boleh bergerak dan hanya terbaring di katil.

    Penyakit yang dialami ibunya itu menyebabkan kurang selera makan seterusnya mengakibatkan badan semakin susut.

    "Ibu disahkan menghidap penyakit ini dua tahun lalu. Sejak itu, dia tidak terbabit lagi dengan aktiviti seni. Ibu hanya bergantung kepada ubat yang diberikan doktor dan beberapa ubat tambahan.

    "Tidak dinafikan kos untuk rawatan pesakit kanser cukup tinggi. Begitupun, kami mencuba ubat yang benar-benar sesuai dengannya. Kami juga terpaksa mendapatkan rawatan kimoterapi setiap tiga minggu. Pada masa sama, kami juga mencuba kaedah rawatan tradisional yang lain," katanya.

    Akibat menanggung kos rawatan yang tinggi, Haslinda cuba mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun masih belum ada maklum balas.

    Hasnah yang popular menerusi irama Pop Yeh Yeh, kini menetap di kediaman anak-anaknya di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

    Sementara itu, rakan rapat Hasnah, Rubiah Suparman bersimpati dengan nasib yang menimpa rakannya itu. Setiap kali berkunjung ke Singapura, dia tidak lupa menziarahi rakan yang dikenali sejak zaman anak dara lagi itu. Kali terakhir mereka bertemu pada 1 Mei lalu.

    "Saya sentiasa mengikuti perkembangan kesihatannya. Malah, saya menyarankan kepada anaknya membawa Hasnah ke Kuala Lumpur untuk mencuba rawatan di sini. Selepas diberitahu anaknya dia menjalani rawatan kimoterapi buat kali kedua, membuatkan saya risau.

    "Saya mencadangkan berikhtiar rawatan tradisional terlebih dulu. Menerusi perbincangan dengan anaknya, kami cuba mencari masa yang sesuai untuk mencuba kaedah rawatan di sini selewat-lewatnya minggu depan.

    "Mungkin mendapat rawatan bersama Ustaz Lokman atau Ashraf Muslim yang membuka Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah di Gombak. Masalahnya, keadaan Hasnah terlalu lemah dan ini mungkin menyukarkan usaha untuk membawanya ke sini bagi menjalani rawatan itu," katanya.

    Bekas pelakon drama bersiri popular Naik Tangga Turun Tangga itu sentiasa mendoakan yang terbaik buat sahabatnya itu. Penderitaan yang dialami rakannya itu dapat menjadi iktibar kepada generasi artis muda.

    Kata Rubiah, dia turut bersetuju dengan kenyataan yang ditulis pengacara popular, Aznil Nawawi atau Pak Nil menerusi ruangan Borak Pak Nil di Metro Ahad, kelmarin, berkenaan isu artis veteran terbiar masih tiada penyelesaian.

    "Saya bersetuju dengan cadangan Pak Nil setiap artis perlu mencarum dan membuat insurans sebagai bekalan masa hadapan kerana artis tidak mempunyai pendapatan tetap.

    "Tidak kira artis muda atau senior, mereka perlu merancang lebih awal untuk melakukan sesuatu. Pada usia yang muda, artis sepatutnya sudah merancang menabung atau mencari sumber pendapatan tetap sebagai bekalan untuk hari tua.

    "Persatuan juga perlu memainkan peranan penting dengan menggalakkan ahlinya membuat caruman pada masa depan sama ada menerusi KWSP atau sebagainya," katanya.

    Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.