Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Sukar miliki cinta SarahKESUKARAN memperolehi cinta penyanyi Siti Sarah Raissuddin telah menambahkan lagi keazaman Shuib yang merupakan salah seorang anggota Sepah untuk menambat hati Sarah. Itu pengakuan yang dibuat oleh Shuib sendiri pada majlis pernikahan mereka yang berlangsung di Jeumpa D'Ramo Bangsar, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu. Menurut Shuib, tempoh setahun lebih perkenalan, percintaan antara mereka hanya berlangsung separuh daripada tempoh masa itu dan kerana kesukaran itulah yang menyebabkannya berani untuk melamar suri hatinya itu. "Sebab susah untuk dapatkan hatinya, saya berani untuk sampai ke tahap ini (perkahwinan) kerana susah untuk saya lepas dia. Dia seorang yang sangat susah untuk cakap sayang dan cinta pada seseorang," kata Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad. Tambah Shuib lagi, dia pernah berhenti di tepi lebuh raya, hanya untuk membuat pengakuan kepada Sarah yang dia benar-benar jatuh cinta kepadanya. Justeru, selepas sekali lafaz Shuib bergelar suami yang sah kepada Sarah, hanya perkataan syukur yang terluncur daripada bibirnya. Jelasnya lagi, Sarah merupakan orang yang tepat kerana dia berbeza daripada gadis-gadis yang pernah dikenalinya sebelum ini. "Sarah seorang yang utamakan hati dalam hubungan dan dia miliki sesuatu yang tidak dimiliki orang lain. Itu yang menyebabkan dia lain daripada yang lain. Dia sangat istimewa sehingga sukar untuk saya luahkannya dengan kata-kata. "Dia menjadikan saya orang yang lebih baik dan berfikir untuk masa depan. Bagi saya memang susah untuk saya jumpa dengan orang sepertinya," luah Shuib lagi. Shuib orang yang tepat Sarah yang kelihatan jelita pada majlis tersebut menjelaskan, perkataan cinta dan sayang bukan perkataan yang boleh diluahkan pada mana-mana lelaki kerana ia membawa makna yang cukup besar dalam dirinya. HANYA lafaz syukur yang membasahi bibir Shuib sebaik sah memperisterikan Sarah. Selepas melihat kesungguhan dan kesabaran yang dimiliki Shuib telah mencairkan hati wanitanya, lantas dengan terbuka bersetuju untuk menjalinkan percintaan serius sehingga ke jinjang pelamin. "Shuib seorang yang sabar, jujur, telus dan bersungguh untuk miliki saya sebab itu saya memilih dia. Saya tidak mencari harta, status dan sebagainya kerana untuk mencari suami, saya mencari hati yang benar-benar menerima saya seadanya dan sentiasa bersama saya dalam waktu senang dan susah," jawab Sarah sambil tersenyum. Sambung penyanyi lagu Kesetiaan itu, hari pernikahan pada 26 Februari lalu merupakan satu hari yang istimewa buat mereka berdua dan ia berlangsung selepas mereka meneliti jadual kerja masing-masing. "Hari nikah ini memang istimewa tetapi tarikh ini dipilih selepas kami mencari satu tarikh yang kami tidak sibuk. Ia bukanlah tarikh kami mula bercinta atau ada maksud sebaliknya, kerana pernikahan ini terjadi begitu sahaja," tutur penyanyi yang memulakan kerjaya seni pada usia 16 tahun itu lagi. Apabila bercakap mengenai cahaya mata, pasangan yang masing-masing berusia 27 tahun itu, mereka tidak membuat perancangan kerana jika dikurniakan segera oleh Allah, mereka terima dengan hati yang terbuka. "Kalau cepat syukur Alhamdulillah, kalau lambat itu kehendak-Nya. Kami terima bila-bila masa sahaja kerana dengan usia saya sekarang, saya memang sudah bersedia untuk menjadi ibu," balas Sarah lagi. DENGAN hanya sekali lafaz Shuib sah memperisterikan Sarah. Mengenai lokasi berbulan madu pula, mereka telah mempunyai perancangan untuk berkunjung ke sebuah pulau tetapi disebabkan kesibukan kerja, agenda bulan madu terpaksa ditunda buat sementara waktu. "Memang kami hendak ke pulau tetapi saya sibuk dengan penggambaran dan dia pula telah mula berkerja pada 3 Mac, jadi memang tidak sempat. Bila ada kelapangan baru perancangan itu akan terjadi," ucap Shuib. Meskipun mereka merupakan pasangan pengantin baru, kedua-duanya akan kembali bekerja dalam masa yang singkat, oleh itu majlis resepsi mereka akan berlangsung selepas mendapat tarikh yang sesuai. "Shuib sibuk dengan penggambaran, tengoklah macam mana. Memang saya akan buat juga satu majlis resepsi jika tidak ada aral melintang akan berlangsung dalam masa yang terdekat ini," beritahu Sarah. Disoal mengapa majlis pertunangan mereka sebelum ini berlangsung dalam keadaan tergesa-gesa dan secara sembunyi pada 16 November lalu, begitu juga dengan pernikahan yang berlangsung dalam tempoh yang singkat. Jawab Shuib: "Sarah pernah mempunyai sejarah (putus tunang), kerana itu saya lebih berhati-hati, takut melukakan hatinya lagi. Atas nasihat ibu bapa dan keluarga mertua, majlis pertunangan berlangsung dalam keadaan sederhana sahaja dan majlis pernikahan diadakan secepat mungkin." DIRAIKAN. Pasangan Sharifah Shahira dan Ijoy turut hadir meraikan mempelai. Dalam majlis pernikahan itu, Sarah yang menyarungkan pakaian pereka fesyen terkenal Hatta Dolmat telah dinikah oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan dan Pembantu Hal Ehwal Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, Kuala Lumpur, Mohd. Nizar Mohd. Nadzir, manakala komposer terkenal yang merupakan kenalan rapat Sarah, Aidit Alfian bersama seorang lagi teman Sarah, Mohd. Ashraf Md. Yusof menjadi saksi penikahan itu. Selain lima dulang hantaran berbalas tujuh, Sarah turut menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 dan sebentuk cincin, bagaimanapun jumlah wang hantaran yang diterima Sarah dirahsiakan atas persetujuan kedua-dua belah pihak atas ia bersifat peribadi. | ||||
Ady Putra dampingi Shah Rukh Khan Posted: Ady Putra dampingi Shah Rukh KhanOleh FARHANA HANIM MOHD. MYDIN
WALAUPUN hanya satu babak, pelakon popular, Ady Putra, 30, bangga apabila diberi peluang menjayakan watak sebagai peguam kepada hero Bollywood pujaan ramai, Shahrukh Khan bagi filem Don 2 yang menjalani penggambarannya di Melaka baru-baru ini. Bagi sekuel filem Don itu, Ady membawa watak sebagai peguam yang telah membantu Shahrukh Khan membebaskan diri daripada hukuman penjara. "Saya tidak pernah terlintas langsung untuk bergandingan dengan Shahrukh Khan. Ini adalah satu pengalaman manis buat saya. "Malah terlibat dalam pembikinan filem yang berskala besar ini, saya anggap sebagai takdir dalam perjalanan kerjaya lakonan saya yang kini semakin mendapat perhatian dalam industri hiburan," katanya yang menjalani penggambaran babak di penjara yang dirakamkan di Sungai Udang, Melaka. Don 2 mengisahkan lakonan Shahrukh Khan sebagai Don iaitu anggota polis yang menyamar dalam sindiket penyeludupan dadah manakala Priyanka Chopra melakonkan watak teman wanita Don sebagai Roma. Ady sebelum ini terkenal dengan beberapa drama antaranya Chinta, Akukah Tanggang? dan filem tempatan seperti Anak Halal, Histeria dan Haq bangga apabila terpilih oleh produksi Bollywood walaupun bakal muncul satu babak sahaja. "Dapat berlakon bersama Shahrukh Khan sudah membuktikan ia satu penghormatan untuk pelakon tempatan. Saya sendiri tidak sangka apabila terpilih, oleh itu peluang yang diberikan ini digunakan sebaik mungkin untuk melebarkan kerjaya seni saya. "Pemilihan saya ini diharap dapat membuka mata masyarakat di luar sana untuk melihat bakat saya malah dalam masa yang sama mengetengahkan bakat pelakon Malaysia," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar drama terbaru slot Seram TV3, Mantera Anjasmoro di Garden Cafe, One Utama baru-baru ini. Dia yang teruja menceritakan pengalamannya bekerja dengan produksi luar itu berkata, meskipun tampil hanya untuk satu babak sahaja, ia dianggap satu pengalaman yang sukar diperoleh oleh pelakon lain.
"Babak yang akan dipaparkan kepada penonton ialah babak yang dirakamkan di penjara. Lebih istemewa babak itu dilakukan terus tanpa sebarang latihan. "Walaupun teknik penggambaran mereka sedikit berbeza namun penggambaran itu berlaku dengan mudah sahaja," ujarnya. Katanya lagi, penggambaran filem yang mengambil masa dua hari itu cukup memberi impak kepada perjalanan filem tersebut kerana wataknya itu yang menyebabkan Don dibebaskan dari penjara. Menceritakan lebih lanjut, Ady yang kini dalam proses mengurangkan berat badannya untuk sebuah filem aksi komedi berkata dia dilayan sama rata dengan pelakon-pelakon lain ketika di set penggambaran, malah mereka juga tidak memperlekehkann gaya lakonannya. Dalam pada itu, Ady yang sudah lapan tahun berada dalam industri lakonan berkata, dia belum puas dengan kerja yang dilakukan dan mahu meningkatkan mutu lakonannya dari semasa ke semasa. Mengulas mengenai penglibatannya dalam drama bersiri Mantera Anjasmoro, Ady mengakui agak susah untuk dia menjayakan watak tersebut kerana ada bahagian di mana dia perlu berimaginasi sedang sakit seperti ada sesuatu yang berat di atasnya serta membayangkan dirinya dicangkuk dengan besi. "Tetapi walaupun agak mencabar, saya tertarik dengan kesan khas visual yang sebenarnya agak baru bagi saya," kata Ady yang menyifatkan drama tersebut sarat dengan mesej khas untuk masyarakat zaman ini. Drama bersiri 13 episod arahan Aidilfitri Mohamad Yunos itu bakal memberi pengajaran kepada mereka yang masih lagi mengamalkan ilmu hitam pada zaman moden ini. Selain Ady Putra, barisan pelakon drama yang menggunakan banyak teknik imej janaan komputer (CGI) ialah Eja, Fauziah Gaos dan Raja Norbaizura. | ||||
Posted: Oscar tiada kejutanFILEM The King's Speech menguasai empat Anugerah utama pada majlis Anugerah Academy kali ini. DEBARAN dan kehangatan tanda tanya yang bermain di fikiran peminat filem Hollywood mengenai perebutan dalam menjulang Oscar pada majlis Anugerah Academy ke-83 sudah pun terjawab, semalam. Sama ada tidak berpuas hati atau gembira dengan keputusan yang diumumkan, kemenangan itu tetap menjadi milik karyawan-karyawan hebat yang sudah dinilai oleh juri profesional. Sebenarnya, teka-teki kemenangan bagi beberapa kategori yang dipertandingkan sudah menjadi sebutan umum sebelum ini. Paling mendapat perhatian peminat ialah dalam kategori filem, pelakon lelaki dan wanita terbaik. Pertama kali, majlis Anugerah Academy ke-83 yang berlangsung di Hollywood, California kali ini seolah disuntik elemen pembaharuan apabila dimeriahkan dengan jenaka manja daripada dua hosnya yang boleh dikategorikan sebagai pelakon generasi baru Hollywood iaitu Anne Hathaway dan James Franco. Menepati jangkaan awal, pelakon jelita Natalie Portman diumumkan sebagai aktres terbaik hasil lakonannya menerusi filem Black Swan yang mengisahkan sisi hitam seorang penari balet benar-benar menguji keupayaan Portman. Sungguhpun begitu, keupayaan Portman, 30, untuk mengukir senyuman manis pada raut wajahnya yang tenang sepanjang berlangsungnya anugerah berprestij akhirnya berbaloi, sementelah dia turut dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik dalam Anugerah Golden Globe ke-68 dan Anugerah Akademi Filem Britain (BAFTA) baru-baru ini menerusi filem yang sama. Tidak mustahil sekiranya dia berbangga dengan diri sendiri apabila kerjaya lakonannya itu telah meraih pengiktirafan pada Anugerah Academy kali ini memandangkan Oscar merupakan anugerah yang bukan sahaja paling diidamkan oleh karyawan filem Hollywood, namun oleh seluruh karyawan filem di seluruh dunia. REZEKI berganda. Selepas 30 tahun menghambakan diri sebagai pelakon dan semasa hamil anak sulung, Natalie Portman dinobatkan sebagai Aktres Terbaik. "Ini merupakan sesuatu yang luar biasa. Terima kasih kepada seluruh keluarga saya yang memberi peluang aktif dalam bidang lakonan. "Saya juga menghadiahkan anugerah yang diberikan pada malam ini kepada saingan calon-calon lain. Mereka juga tetap hebat dan sudah tentu saya kagum dengan anda semua," ucap Portman sebaik sahaja menerima trofi Oscar yang disampaikan oleh aktor Jeff Bridges. Aktres hebat lain yang bersaing dengan Portman ialah Annette Bening (menerusi filem The Kids Are Alright), Nicole Kidman (Rabbit Hole), Jennifer Lawrence (Winter's Bone) dan Michelle Williams (Blue Valentine). Wajah Portman yang berseri-seri ketika naik ke pentas untuk menjulang trofi kemenangannya itu sebenarnya turut disumbangkan oleh keterujaan dirinya yang bakal bergelar ibu memandangkan dia kini sedang sarat hamil anak sulung hasil perkongsian cinta bersama teman lelakinya, Benjamin Millepied yang merupakan seorang penari. Paling hebat Berkongsi tahap kegembiraan pada tahap yang sama sudah tentu aktor British, Colin Firth yang dinobatkan sebagai Aktor Terbaik mengalahkan empat saingan hebatnya iaitu Javier Bardem (untuk filem Biutiful), Jeff Bridges (True Grit), Jesse Eisenberg (The Social Network) dan James Franco (127 Hours). Aksi Firth menerusi filem The King's Speech terbukti paling hebat kali ini untuk kategori Aktor Terbaik. "Terima kasih kepada semua kru produksi (filem The King's Speech) Jeoffrey, Helena, David Sydler dan Tom Hooper kerana menjadikan filem ini sebuah karya yang hebat. Dalam pada masa yang sama banyak membantu saya dalam memberi aksi lakonan yang berkesan," ungkapnya di hadapan audiens Anugerah Academy ke-83.
Firth setakat ini telah memenangi dua anugerah untuk lakonannya sebagai ayahanda kepada Ratu Elizabeth II termasuk pada BAFTA dan Golden Globe Lebih mengujakan, tempias lakonan Firth turut terkena pengarah filem tersebut iaitu Tom Hooper yang diumumkan sebagai Pengarah Terbaik. Saingan terhebat Hooper sudah pasti datangnya daripada Fincher menerusi filem The Social Network yang turut mempunyai ramai peminat. Bagaikan satu rezeki yang tidak pernah putus untuk filem The King's Speech, ia sekali lagi mencatat kemenangan apabila dipilih sebagai Filem Terbaik kali ini. Kejayaan lalu, filem The King's Speech muncul sebagai Filem Terbaik pada anugerah BAFTA, manakala pelakon utamanya, Firth yang memegang watak raja yang mengalami masalah gagap itu dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik. Selepas kejayaan gemilangnya memonopoli tujuh anugerah pada BAFTA yang diadakan di Royal Opera House, London itu, The King's Speech 'memonopoli' Academy ke-83 dengan menguasai empat anugerah utama iaitu Filem Terbaik, Aktor Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Asal Terbaik. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |