Utusan Online - Hiburan |
Posted: Keputusan yang dikitar semulaOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
SEPERTI mana yang dijangka dari awal lagi, keputusan Anugerah Academy Ke-83 atau Oscar tahun ini tidak mengundang sebarang kejutan seperti mana yang mungkin diharapkan. Semuanya menepati ramalan seperti mana yang sudah diperkatakan sebelum ini. Apa yang pasti, Kodak Theatre telah menjadi saksi persaingan sengit antara filem The King's Speech dan The Social Network. Memang tidak dinafikan lagi, kedua-dua filem itu telah bersaing hebat sejak dari awal musim anugerah bermula. Setiap kali apabila memperkatakan tentang Oscar, kejutan memang tidak dapat lari daripada majlis yang meraih perhatian meluas di seluruh dunia itu. Walaupun The King's Speech menjadi calon pilihan untuk Oscar tahun ini memandangkan ia merupakan filem paling banyak dicalonkan iaitu 12 kategori, namun, pengkritik dan pemerhati filem mengharapkan magis Oscar akan berpihak kepada The Social Network. Lebih-lebih lagi, selepas The King's Speech gagal memenangi sebarang anugerah untuk kategori teknikal, ia telah meletakkan The Social Network di hadapan untuk mengungguli Oscar tahun ini. Ia dikuatkan dengan kemenangan filem itu untuk tiga kategori yang tidak kurang pentingnya iaitu Lakon Layar Adaptasi, Skor Muzik Asal dan Suntingan Filem Terbaik. Apatah lagi untuk kategori Skor Muzik Asal dan Suntingan Filem Terbaik menyaksikan The Social Network menewaskan The King's Speech lalu memberi laluan mudah buat filem tersebut untuk mencatatkan kejayaan besar pada malam bersejarah itu. Namun, semua harapan itu berkecai apabila The King's Speech menunjukkan taringnya dengan memenangi Lakon Layar Asal Terbaik, Pengarah Terbaik untuk Tom Hooper dan Pelakon Lelaki Terbaik (Colin Firth) sekali gus Filem Terbaik untuk melengkapkan kemenangan mereka. Ketika pemenang Pengarah Terbaik tahun lalu, Kathryn Bigelow bersama Hilary Swank mengumumkan pemenang Pengarah Terbaik, memang ramai yang mengharapkan trofi emas itu akan menjadi milik David Fincher selaku pengarah The Social Network. Siapa yang mampu menidakkan kuasa Oscar apabila pihak juri sebulat suara dan secara kolektif mengisytiharkan Hooper sebagai Pengarah Terbaik tahun ini. Ternyata, Hooper bagaikan hilang kata-kata sewaktu namanya diumumkan sebagai pemenang dan Hooper mendedikasikan kemenangannya itu khusus buat ibunya, Meredith. Kata Hooper, jika bukan kerana ibunya yang menyakinkan dirinya untuk menerima cerita The King's Speech itu, tidak mungkin filem itu dapat direalisasikan. "Semuanya bermula sewaktu ibu saya yang juga seorang warganegara Australia menghadiri sesi pembacaan skrip untuk teater tentang kisah seorang pakar terapi percakapan yang membantu Raja George VI mengatasi masalah gagap. "Apabila ibu saya yang memegang watak pakar terapi dalam pementasan itu pulang ke rumah, dia menyerahkan skrip itu sambil berkata dia telah menjumpai projek filem terbaru saya. "Malam ini saya mahu menghargai ibu saya dengan trofi ini dan moral daripada cerita saya ini, jadilah seorang anak yang mendengar kata ibu," ucapnya disambut tepukan gemuruh daripada hadirin. Watak seorang raja gagap yang disifatkannya sebagai watak yang paling sukar dibawakan sepanjang bergelar seorang aktor juga membawa tuah kepada Firth. Kemenangannya sebagai Pelakon Lelaki Terbaik memang sudah dijangka dari awal memandangkan dia tidak pernah gagal membawa pulang setiap trofi sejak bermulanya musim anugerah kali ini. Sememangnya kemenangannya tahun ini telah mengubat kekecewaan Firth yang gagal memenanginya tahun lalu menerusi filem A Single Man apabila ia menjadi milik mutlak Jeff Bridges bagi filem Crazy Heart. "Saya merasakan karier saya sudah sampai ke kemuncaknya dengan kemenangan saya malam ini. Memang sukar untuk menggambarkan perasaan saya ketika ini, bercampur baru. "Tetapi, apa yang penting dan lebih bermakna buat saya apabila melihat bagaimana filem ini mempunyai hubungan yang cukup baik dengan penonton. "Penerimaan mereka yang turut merasai emosi dan jiwa filem ini membuatkan ia begitu dekat dengan saya sebagai pelakon sehinggakan saya merasakan ia bersifat begitu personal," ujarnya yang cukup terkenal menerusi watak Mark Darcy dalam dua buah filem Bridget Jones's Diary. Selain itu, filem-filem yang telah memperkenalkan nama anak kelahiran, Hampshire, United Kingdom berusia 50 tahun ini termasuklah A Christmas Carol, Mamma Mia!, Nanny McPhee, Love Actually, Girl With A Pearl Earring dan Shakespeare In Love. Selain Firth, aktres jelita berusia 29 tahun, Natalie Portman juga menepati ramalan ramai pihak apabila memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik kerana persembahan hebatnya dalam filem Black Swan. Portman yang menggayakan gaun ungu violet rekaan Rodarte nampaknya telah membenamkan harapan pesaing terdekatnya, Annette Bening yang dicalonkan menerusi filem The Kids Are All Right. Sejak namanya dicanangkan akan memenangi Oscar pertamanya, Portman tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi. Untuk itu, dia mengucapkan terima kasih kepada anak yang berada di dalam kandungannya yang sering menendang perutnya bagaikan memberi ingatan kepadanya untuk tidak terlalu hanyut dengan pengiktirafan itu. "Saya berharapkan kemenangan ini akan memberi peluang bekerja dengan calon-calon lain dalam kategori ini," ucap Portman dalam nada terharu sewaktu menerima trofinya daripada Jeff Bridges. Dengan kemenangannya di pentas Oscar itu, ia telah melengkapkan koleksi anugerah Pelakon Wanita Terbaik milik Portman yang dimenangi sejak bermulanya musim anugerah kali ini. Sebelum ini, Portman pernah dicalonkan untuk Pelakon Pembantu Wanita Terbaik bagi filem Closer pada tahun 2005. Bertungkus-lumus dan bekerja keras untuk menghidupkan watak Nina Sayes dalam filem arahan Darren Aronofsky itu sememangnya telah menuai hasil yang cukup lumayan untuk Portman. Mungkin ada yang tidak tahu dengan rejim dan latihan intensif sebelum memulakan penggambaran Black Swan, berat badan pelakon jelita kelahiran Jurusalem, Israel itu telah berkurangan sebanyak sembilan kilogram. "Selepas ini, saya hanya mahu berehat di atas katil dan membiarkan wajah saya tanpa dicalit sebarang solekan," jelas Portman yang menunggu kelahiran bayi pertama hasil perkongsian bersama tunangnya, Benjamin Millepied. Meskipun tewas dalam mengungguli kategori utama, filem The Fighter mampu berpuas hati dengan kejayaan dua pelakonnya iaitu Christian Bale dan Melissa Leo. Kedua-dua bintang itu juga berjaya menepati ramalan apabila memenangi Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik berdasarkan kecemerlangan lakonan masing-masing dalam filem autobiografi tentang peninju terkenal, Micky Ward itu. Menariknya juga, Oscar nampaknya menjadi medan penebus kekecewaan buat Chistopher Nolan apabila filem Inception tidak pulang dengan tangan kosong. Filem yang dianggap sebagai filem terbaiknya setakat ini, memenangi empat kategori iaitu Efek Visual, Adunan Bunyi, Suntingan Bunyi dan Sinematografi Terbaik. | ||
Posted: Pesona karpet merah OscarOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
SETIAP tahun, sudah menjadi tradisi Anugerah Academy atau Oscar apabila ia bukan hanya dilihat sebagai pentas pengiktirafan untuk karyawan seni Hollywood. Tetapi, ia sudah menjadi medan peragaan untuk para pelakon dan artis dalam memperagakan setiap busana yang menyaluti tubuh mereka. Bukan sembarangan busana, setiap daripada mereka yang hadir mendapat sentuhan mewah daripada pereka fesyen terkemuka untuk diperagakan di karpet merah. Untuk edisi ke-83 tahun ini, penampilan fesyen oleh artis-artis ternama Hollywood ke majlis anugerah yang cukup berprestij ini juga tidak kurang hebatnya. Pelbagai rekaan dan warna dapat dilihat di karpet merah Oscar apabila kebanyakan daripada mereka hadir dengan penampilan yang cukup menawan. Penggunaan warna merah juga tidak terlepas daripada menjadi pilihan beberapa orang aktres terkenal sekali gus meletakkan mereka dalam kelompok pakaian terbaik seperti mana yang dapat dilihat menerusi paparan ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |