Adsense

Selasa, 1 Mac 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Semakin hangat

Posted: 28 Feb 2011 03:53 PM PST

Hip

pix_gal0
BIARPUN hampir 10,000 pengunjung membanjiri pusat beli-belah Kuantan Parade untuk memeriahkan acara siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 Ahad lalu, namun mereka semua nyata berdisiplin, membuatkan segala agenda berjalan dengan baik.

Pujian buat peminat di Kuantan yang memang sporting! Mereka bukan hanya datang untuk melihat sendiri kelibat barisan finalis ABPBH edisi ke-24 ini dengan lebih dekat, malah mereka turut memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada setiap acara yang disediakan pada hari terbabit.

Lalu, acara pada petang itu berlangsung dengan sungguh meriah sekali. Sambutan hangat berkenaan turut membuatkan barisan selebriti yang menjayakan siri jelajah di pusat beli-belah terkenal itu kian bersemangat untuk memberikan persembahan terbaik. Kuantan Parade muncul lokasi kedua siri jelajah berkenaan, selepas SACC Mall pada 19 dan 20 Februari lalu. Kali ini, kira-kira 16 finalis tampil menghangatkan suasana, dengan pelbagai acara menghiburkan termasuk nyanyian, permainan dan kuiz spontan yang sememangnya mendapat kerjasama penuh daripada orang ramai.

Pusat beli-belah itu, petang berkenaan, menjadi medan berkumpul penyanyi, pelakon, penyampai radio, pengacara TV dan pelawak terkenal negara, di hadapan ribuan peminat yang tidak berganjak sepanjang acara diadakan. Tatkala mereka terpegun melihat kemunculan artis kesayangan masing-masing, mereka juga sentiasa patuh kepada segala arahan diberi. Sememangnya orang Kuantan mengagumkan penganjur dan selebriti yang hadir.

Acara bermula kira-kira 2.30 petang dengan calon artis komedi, Along Raja Lawak dan Didie Alias menaiki pentas mengambil tempat mereka sebagai pengacara. Gandingan mereka cukup serasi, dengan gelagat selamba yang sering menggeletek hati pengunjung.

Seperti biasa, acara persembahan nyanyian memang ditunggu-tunggu peminat. Apatah lagi penyanyi yang bakal tampil petang itu semuanya mempunyai nama yang cukup kuat dalam industri hiburan tempatan.
Lebih istimewa, petang itu peminat dikejutkan dengan gimik yang cukup menjadi apabila tiba waktunya Shahir menaiki pentas untuk menghiburkan orang ramai. Sebaik saja juara Akademi Fantasia musim kelapan itu bersedia hendak melangkah ke pentas, dia dihalang pegawai bertugas. Pelik jugalah Shahir dibuatnya kerana ketika itu dia memang dijadualkan menyampaikan lagu popularnya, Kebahagiaan Dalam Perpisahan.

Tanpa diketahuinya, seorang peminat yang memiliki wajah seakan-akan dengannya, Mohd Shahfiq Mohamad, terlebih dulu naik ke pentas lalu menyanyikan lagu berkenaan. Ketika itu, peminat bersorak sebaik saja melihat kemunculan 'Shahir'. Mereka juga tidak perasan, si penyanyi tadi bukanlah Shahir sebenar. Tidak lama kemudian, barulah si empunya diri betul-betul naik ke pentas menghiburkan mereka.

Artis bijak layan peminat

SELAIN Shahir, segmen nyanyian turut dimeriahkan dengan persembahan bertenaga daripada calon Top 5 kategori Penyanyi Lelaki/Wanita Popular seperti Anuar Zain, Faizal Tahir, Black, Ana Raffali dan Alyah.

Black yang dicalonkan pada kategori sama buat tahun kedua turut terkejut dengan sambutan memberangsangkan pada siri jelajah ABPBH2010, yang berbeza dari tahun sebelum ini.

"Tahun ini ialah tahun kedua saya dapat mengikuti siri jelajah ABPBH. Kuantan pula lokasi pertama saya dapat ikut sama tahun ini. Memang agak terkejut sebaik saja melangkah masuk ke Kuantan Parade, apabila melihat lautan manusia sudah bersedia menantikan kemunculan kami.

"Sebelum ini saya pernah mengadakan persembahan di Kuantan pada acara hiburan yang lain. Ketika itu, pengunjung tidaklah seramai hari ini. Dari situ saya dapat melihat ABPBH2010 memang medan semua warga hiburan berhimpun dan tidak hairanlah sebab apabila peminat yang datang lebih ramai berbanding acara hiburan lain," katanya.

Tidak ketinggalan mengadakan persembahan ialah calon kategori Artis Duo/Berkumpulan Popular seperti Bunkface dan Meet Uncle Hussain.

Pengunjung juga tidak kering gusi melihat gelagat artis seperti Maya Karin, Zizan, Fizz Fairuz, Lisa Surihani, Fara Fauzana dan Angah (Raja Lawak) apabila mereka berada di pentas menjayakan pelbagai permainan disediakan. Mereka nyata bijak melayan peminat, membuatkan khalayak tidak pernah bosan.

Lebih istimewa, peminat bertuah dapat pula menaiki kenderaan tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd bersama-sama finalis berkenaan.

Peluang dekati penyokong

HANYA tinggal lima minggu saja lagi sebelum acara kemuncak ABPBH2010 berlangsung dengan penuh gilang gemilang di Arena of Stars Genting Highlands. Ia dilihat antara acara yang sememangnya memberikan pengiktirafan terbaik buat penggiat seni sepanjang tahun lalu.

Sudah tentu juga debaran kian dirasai baik calon Top 5 mahupun peminat sendiri, malah siri jelajah inilah menjadi medan terbaik buat finalis mendekati peminat.
Kelebihan itu turut menjadi milik pelakon Fizz Fairuz yang tidak ketinggalan menjayakan siri jelajah di Kuantan Parade.

"Inilah peluang saya untuk beramah mesra dengan peminat di kampung sendiri, Kuantan. Apa yang saya lihat, ramai jugalah peminat saya di sini dan bersyukur saya sangat dihargai orang kampung sendiri. Menjadi sedikit kelebihan kepada saya untuk mengikuti siri jelajah ABPBH2010 ini, di sini, dan sebab itulah saya tidak mahu melepaskan peluang ini. Saya rasa bangga apabila sebaik menjejak kaki ke pantas, pengunjung mula menjerit-jerit menyebut nama Fizz.

"Sebelum Kuantan, saya juga berkesempatan mengikuti siri jelajah di Shah Alam. Namun, sambutan peminat kali ini tampak lebih meriah. Memang rezeki saya agaknya," katanya sambil menguntumkan senyuman.

Selain menaiki kereta bersama finalis, peminat turut membawa pulang hadiah menarik tajaan Celcom dan produk Perusahaan Orang Kampung.

Lokasi seterusnya siri jelajah promosi ABPBH2010 ialah The Mall, Kuala Lumpur pada 5 dan 6 Mac ini. Difahamkan, kira-kira 20 artis bakal berhimpun di pusat beli-belah itu, pada Ahad nanti. Pada 5 Mac pula, penganjur ABPBH2010 akan mengadakan sesi uji bakat pencarian Bintang Idola Berita Harian (BIBH).


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pesona Maher Zain

Posted: 28 Feb 2011 03:51 PM PST

Hip

Lebih 6,000 peminat terpukau dengan kelunakan suara penyanyi ini tatkala muncul dalam konsert di Stadium Malawati

SELAMA dua malam berturut-turut, peminat Maher Zain terpesona dengan kelunakan suara penyanyi kelahiran Lubnan yang terkenal dengan lagu ketuhanan dan kemanusiaan itu. Bertempat di Stadium Malawati Shah Alam, penyanyi terbabit muncul menghiburkan penyokong setianya di sebelah sini, Jumaat dan Ahad lalu.

Pada malam pembukaan, lebih 6,000 peminat tidak melepaskan peluang menyaksikan sendiri penyanyi yang berpangkalan di Sweden itu mengadakan persembahan secara langsung. Walaupun sudah beberapa kali mengadakan pertunjukan di Malaysia, namun sambutan hangat tetap diterima jejaka berusia 30 tahun itu. Pada malam kedua pula, difahamkan 7,000 tiket habis disambar peminat tegar artis bertopi ini.

Maher Zain Live in Concert sememangnya memenuhi impian penggemar lagu bercorak keislaman dan kemanusiaan, walaupun muzik yang diperjuangkan Maher tidak jauh bezanya dengan muzik popular. Bezanya, pemuda yang bakal bergelar bapa tidak lama lagi ini menghiburkan peminat dengan irama bersulam lirik ketuhanan, puji-pujian ke atas nabi junjungan, serta pesanan ke arah kebaikan. Konsert yang menampilkan Eddie Marzuki sebagai pemimpin muzik itu bermula jam 9 malam dengan penampilan kumpulan Inteam, yang turut menyaksikan kemunculan semula Suhaimi bersama mereka.

Kumpulan berkenaan mengembalikan nostalgia peminat terhadap populariti dikecapi mereka apabila mempersembahkan rangkaian lagu yang menjadi siulan ramai pada konsert terbabit, termasuk Nur Kasih dan Setanggi Syurga.

Selepas itu, penyanyi dari Pakistan yang kini menjadikan Kanada sebagai rumahnya, Irfan Makki, menghiburkan penonton dengan beberapa lagu seperti Mother dan Waiting for the Call. Seperti mana Maher, Irfan juga bernaung di bawah label Awakening Records.

Suasana dalam stadium menjadi lebih gamat tatkala Maher muncul di pentas. Sememangnya, dialah bintang utama yang dinanti-nantikan peminat. Lagu Always Be There yang menerima tepukan gemuruh daripada penonton membuka persembahannya pada malam berkenaan.
Pesona Maher tidak syak lagi begitu kuat. Dengan suaranya yang merdu dan senyuman tidak lekang di bibir, penyanyi ini seterusnya memukau peminat dengan alunan selawat Ya Nabi Salam Alaika, disusuli dengan lagu Hold My Hands.
Seperti kebiasaan, Maher tidak menyanyi bersendirian, sebaliknya sering menghalakan mikrofon ke arah penonton untuk sama-sama mengalunkan setiap lagu disampaikan.

Sebagai kejutan buat penonton pula, Maher mengundang penyanyi utama kumpulan Padi, Fadly, untuk berduet bersamanya menyanyikan lagu popular Insha-Allah. Jika Maher menyanyikan rangkap berbahasa Inggeris, Fadly pula menyanyikan baris-baris seni kata dalam bahasa Melayu.

Lagu lain yang disampaikan penyanyi yang juga komposer berbakat itu ialah Palestine Will Be Free, Thank You Allah, Allah Hi Allah Kiya Karo, The Chosen One, For The Rest Of My Life, Open Your Eyes dan Baraka Allahu Lakuma. Sebelum memulakan sesebuah lagu, penyanyi ini tidak lupa berceloteh seketika bersama penonton.

Selain Inteam, Irfan dan Fadly, konsert terbabit juga diserikan dengan kemunculan penyanyi dari Macedonia, Mesut Kurtis, yang menghiburkan khalayak dengan beberapa lagu petikan album Salawat dan Beloved, juga daripada label Awakening. Dia turut menyanyikan sebuah lagu bersama Maher malam itu, berjudul Never Forget, dibantu beberapa kanak-kanak.

Maher yang berulang kali menyatakan rasa bangganya dapat kembali menghiburkan penyokong setianya di Malaysia tidak ketinggalan memperkenalkan lagu terbarunya berjudul Freedom, yang baru saja dihasilkan, berinspirasikan kebangkitan rakyat di negara Mesir.

Maher Tidak kedekut

TERUJA dengan sambutan hangat diberikan peminat malam itu, Maher nyata tidak kedekut untuk menyanyikan sekali lagi lagu Insha-Allah, kali ini dalam versi Melayu. Lagu terbabit dimuatkan dalam album Thank You Allah edisi platinum.

Walaupun sudah sampai ke penghujung, peminat yang bagaikan terpaku dengan persembahannya enggan berganjak dari tempat duduk. Maher sendiri kelihatan cukup seronok dengan suasana yang cukup membanggakan itu. Lalu, dia sekali lagi menyampaikan lagu Freedom dan For the Rest of My Life. Sebagaimana biasa, peminat menjadi penyanyi latarnya secara tidak rasmi. Buat kesekian kali, suasana dalam stadium bergema dengan nyanyian ribuan peminat Maher dan kali ini, akur dengan permintaan idola mereka, penonton mengangkat tangan sambil menggenggam telefon bimbit. Sungguh indah suasananya ketika itu.

Belum cukup dengan persembahan bonus terbabit, Maher buat kali ketiga mendendangkan lagu utamanya Insha-Allah, kini dalam versi Inggeris.

Dia turut sempat mengucapkan kata-kata yang sememangnya dinantikan peminat, sebelum betul-betul meninggalkan pentas.

"Saya sayang Malaysia. Saya sangat terharu dengan sokongan dan kehadiran anda semua malam ini dan Insya-Allah saya akan mengadakan persembahan seumpama ini lagi pada masa depan," katanya.

Sebaik saja lampu kembali diterangkan, wajah ribuan penonton yang hadir pada malam itu nyata menunjukkan kepuasan dengan persembahan penuh bertenaga selama dua jam setengah yang baru saja mereka saksikan. Ia memori amat bermakna buat penggemar muzik Maher Zain, termasuklah beberapa wajah popular seperti Dayang Nurfaizah, Datuk Khatijah Ibrahim dan penyampai radio, Linda Onn.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.