Adsense

Selasa, 1 Mac 2011

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Rosyam Nor Harap ‘Trilogi Cinta’ Cecah 2 Juta Penonton

Posted: 28 Feb 2011 09:29 PM PST


PETALING JAYA: Pelakon Rosyam Nor berharap rating drama Trilogi Cinta lakonan dan terbitan syarikatnya, Suhan Movies Trading berjaya melepasi sasarannya iaitu 2 juta penonton.

Setakat ini, drama yang disiarkan di TV1 pada setiap Ahad hingga Selasa, pukul 10 malam itu telah berjaya mencatat rating 1.5 juta penonton.

Rosyam yang dihubungi mStar Online bersyukur dan lega dengan sambutan positif yang diberikan penonton drama yang turut dilakonkan oleh Fouziah Gous, Amyza Aznan, Yuswaizar, Aida Khalida dan Siti Fazurina itu.

"Saya bersyukur kerana Trilogi Cinta menjadi bualan hangat ketika ini walaupun banyak drama yang disiarkan di televisyen.

"Saya juga mendapat tahu banyak reaksi yang diberikan oleh pengunjung blog-blog di Internet tentang drama ini.


"Saya menganggap kejayaan drama ini hasil kerjasama banyak pihak yang mana kita lihat drama ini diangkat dari tiga buah novel popular Sharifah Abu Salem yang pastinya sudah mempunyai pengikut tersendiri dan pastinya mereka mahu melihat cerita tersebut dihasilkan dalam bentuk visual," katanya ketika melawat ibunya, Rubiah Kamarudin, 68, di Hospital Pantai, Bangsar, Isnin.

Ibu Rosyam telah selamat menjalani pembedahan pada matanya pada 23 Februari lalu dan telah seminggu dirawat di hospital tersebut.

Tambahnya: "Walaupun drama ini tidak berjaya memenuhi 100 peratus mengikut novel tersebut, tetapi saya rasa sekurang-kurang 70 peratus perkara yang terdapat dalam drama ini dikira 'menjadi'.

"Saya mendapat tahu ramai yang berpuas hati dengan gabungan pelakon-pelakon hebat dalam drama ini. Tahniah juga diucapkan kepada Fouziah Gous yang melakonkan watak utama sebagai Norjinah dalam drama ini dengan baik serta pengarah drama ini, Amie Maziah."

Dalam perkembangan lain, Rosyam bakal menerbitkan drama Asmara 2 dan drama muzikal Inspirasi Kasih yang dilakonkan oleh artis Pilih Kasih.

Selain itu, drama Begitukah Cinta terbitan Suhan Movies sedang disiarkan di TV3.

Bekas Suami Rossa Ditahan Suspek Syabu

Posted: 28 Feb 2011 09:28 PM PST


JAKARTA: Polis menahan pemain drum kumpulan Padi Surendro Prasetyo (Yoyo) kerana disyaki menyalah guna dadah di kediamannya di pangsapuri Sudirman Park, di sini, Isnin.

Jurucakap polis Bahagian Anti Narkotik berkata, bekas suami penyanyi Rossa (gambar) itu ditangkap setelah polis mengawasi gerak gerinya selama tiga hari. Syabu seberat 0.5gm serta beberapa alat menghisap syabu telah dirampas dari kediaman Yoyo dalam serbuan antara 2 dan 3 pagi itu.

Yoyo merupakan salah seorang daripada 12 artis popular Indonesia yang sedang dalam perhatian polis kerana disyaki mengambil dadah jenis syabu, kata jurucakap itu. Ujian air kencing telah mendapati dia positif syabu.

Beliau berkata Yoyo pernah mengaku menjadi pengguna dadah jenis heroin 10 tahun lalu dan mula menggunakan syabu sejak lima bulan terakhir.

Polis sedang memburu seorang suspek yang dipercayai membekalkan syabu kepada sejumlah artis yang tinggal di beberapa apartmen di Jakarta.

Penyampai XFM Enggan Dedah Identiti ‘Brader Lev’

Posted: 28 Feb 2011 09:27 PM PST

KUALA LUMPUR: Penyampai radio XFM enggan mendedahkan identiti 'Brader Lev' yang menjadi penyelesai masalah cinta untuk pendengar radio tersebut.

Ramai pendengar yang tertanya-tanya siapa gerangan sebalik insan yang hanya dikenali dengan nama 'Brader Lev' itu sejak ia dikeudarakan pada dua tahun lalu.

Stesen radio yang dikeudarakan pada tahun 2004 ini dikendalikan oleh empat penyampai iaitu Shaz, Aimee, Nana dan Shac.

"Kami tidak akan mendedahkan siapa gerangan 'Brader Lev' kerana semuanya menjadi rahsia penyampai dan pihak pengurusan XFM.

"Kalau ada yang nak minta tolong dari Brader Lev, boleh hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip BL jarak mesej atau masalah dan hantar ke 32399," kata Shaz dan Nana ketika ditemubual.

Biarpun sasaran stesen radio ini bermula dari umur 18 hingga 25 tahun, namun tidak dinafikan pendengar berusia antara 30 hingga 50 tahun turut mendengar stesen radio itu.


Shaz mengendalikan segmen Ra'yat Pagi X di samping Aimee.
Menurut Shaz atau nama sebenarnya Muhd Shazli Md Mukhtar yang mengendalikan segmen Ra'yat Pagi X pada pukul 6 hingga 10 pagi di samping Aimee, XFM mendapat maklum balas yang baik daripada pendengar yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

"Kami mendapat tahu mereka menggemari lagu-lagu yang diputarkan yang popular pada masa kini.

"Memang kami lebih memfokuskan kepada golongan remaja tetapi tidak sangka pula apabila ada pendengar berusia antara 30 hingga 50 tahun turut mendengar XFM berdasarkan panggilan telefon yang dilakukan," kata Shaz yang berkhidmat dengan XFM seawal stesen ini diperkenalkan pada 2001 dan waktu itu dikenali sebagai Xfresh.

XFM turut menjadi platform untuk bakat-bakat muda yang baru bertapak dalam industri muzik memperkenalkan muzik masing-masing.

Antara artis yang telah mendapat pendedahan awal melalui XFM termasuklah Hujan, Bunkface, Meet Uncle Hussain, Pesawat dan Ana Raffali.

"Kami membantu mempromosikan band indie dan artis tempatan kerana lagu-lagu mereka tidak mendapat tempat di stesen radio tempatan lain.

"Kami juga menjadi stesen radio pertama yang memutarkan lagu-lagu Bunkface. Terbaru, kami mempromosikan band Drama, Projek Pistol, Sam Kuman dan Under Highlight," katanya yang telah 10 tahun bertugas sebagai penyampai radio.

Bermula 7 Mac ini, XFM akan menganjurkan 'XFM Macbeth Secret Show' yang melibatkan 10 persembahan akustik yang terhad kepada 100 pemenang bertuah dengan perlu menyertai peraduan tersebut.

Siapakah akan membuat persembahan? Jawapannya akan ditentukan oleh pendengar sendiri yang boleh mengundi penyanyi atau band pilihan masing-masing di www.xfm.com.my selama dua minggu.

Dengar isyarat XFM Macbeth Kuasa 2, kemudian pemanggil pertama perlu menyatakan tajuk serta nama penyanyi lagu tersebut. Pemenang akan memenangi dua jemputan khas ke 'XFM Macbeth Secret Show' di samping barangan Macbeth.

Selain itu, XFM akan memutarkan 1001 lagu terbaik yang telah diputarkan sejak tahun 2004 sehingga sekarang bermula 7 Mac ini.

Hikayat Merong Mahawangsa, Filem Epik Terhebat Malaysia?

Posted: 28 Feb 2011 09:16 PM PST


TINGGAL 11 hari lagi, filem mitos Hikayat Merong Mahawangsa bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia. Tayangannya bermula 10 Mac depan.

Lantas, perasaan teruja daripada peminat-peminat filem tempatan untuk menyaksikan sejauh mana kehebatan filem epik pertama yang diterbitkan oleh KRU Studios Sdn. Bhd itu.

Manakan tidak, menonton treler filem itu sahaja di laman Youtube telah membakar semangat sesiapa sahaja untuk meneruskan hajat menyaksikan filem tersebut apabila ia ditayangkan kelak.

Dan yang pasti, si pengarahnya, Yusry Abdul Halim, pula turut berdebar menantikan reaksi atau respons masyarakat selepas menonton karyanya itu.

Lebih-lebih lagi apabila ia akan ditayangkan ke 72 buah negara di bawah syarikat pengedaran filem antarabangsa, Epic Pictures, dari Amerika Syarikat (AS), dengan menggunakan judul The Malay Chronicles: Bloodlines.

Sebelum ini, KRU Studios mengambil langkah pertama untuk memasarkan filem Hikayat Merong Mahawangsa ke seluruh dunia dengan menandatangani perjanjian persefahaman dengan Universal Pictures International Entertainment Ltd untuk hak pengedaran di Amerika Utara.

Seperti yang diketahui, pembikinan filem yang diadaptasi daripada prosa Hikayat Merong Mahawangsa meriwayatkan sejarah terawal kerajaan Kedah ini bukanlah satu kerja yang mudah untuk disiapkan, sebaliknya ia memakan masa lebih daripada dua tahun untuk disiapkan.

Tidak sanggup


Yusry ketika mengarah pelakon utama filem tersebut iaitu Stephen Rahman.
Sampai ke satu tahap, Yusry seperti tidak sanggup untuk meneruskan filem tersebut kerana penat dengan kajian yang dibuat.

"Bayangkan, untuk pra-produksi sahaja ia mengambil masa setahun dengan pencarian kostum, barang-barang penggambaran (prop) dan pembinaan set termasuklah kapal.

"Memang rasa macam nak 'muntah' dibuatnya lebih-lebih lagi ketika penggambaran filem ini berlangsung. Waktu itu rasa dah tak boleh nak terima.

"Penggambaran dibuat selama 52 hari bermula 9 Jun 2009 hingga 8 Ogos 2009. Memang jangka masa penggambarannya juga agak lama. Mungkin kerana tenaga mental dan fizikal saya sudah habis dikerah, membuatkan saya rasa tak larat.

"Tidak cukup dengan itu, pada pasca produksi pula, ia mengambil masa selama setahun. Memang ia sangat meletihkan dan saya harap tenaga dan kreativiti yang dikeluarkan itu dapat dinikmati oleh penggemar-penggemar filem tempatan termasuklah antarabangsa.

"Bagaimanapun, mungkin Hikayat Merong Mahawangsa ini merupakan filem epik terakhir saya arahkan," ujarnya.

Dalam filem tersebut, Yusry turut menggunakan kepakarannya dalam teknik imej janaan komputer (CGI) untuk menghasilkan latar belakang berkonsepkan sejarah serta latar fizikal yang hanya terdiri daripada empat buah kapal, perkampungan Melayu pada abad kedua, pelabuhan kapal, set penggambaran istana di Rom, China dan juga pelabuhan Goa di India.

"Walaupun sudah biasa dengan teknik CGI, filem ini memberi sedikit cabaran kepada saya apabila sebanyak 3,000 syot yang memerlukan teknik tersebut.

"Saya beruntung kerana mempunyai 12 orang pembantu dalam menghasilkan CGI seperti yang dikehendaki. Setakat ini mereka dilatih di bawah saya," tuturnya.


Umi Nazeera menjadi salah seorang heroin dalam filem ini.
Sedikit kecewa buat pengarah muda ini, pembelian prop pelbagai jenis senjata daripada pelbagai negara untuk kegunaan filem mitos itu terpaksa dilupuskan atas arahan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Ketika dalam pra-produksi, saya sudah mula mereka kostum dan ada sesetengahnya saya beli, begitu juga dengan peralatan senjata-senjata yang diperlukan dalam Merong.

"Peralatan senjata yang dibeli daripada pelbagai negara seperti pedang merupakan senjata yang asli dan jika diasah, ia mampu mencederakan orang lain.

"Justeru itu pihak KDN mengarahkan pihak kami untuk menghapuskan kesemua senjata yang berbahaya selepas tamat penggambaran.

"Memang agak sedih dan kecewa apabila terpaksa melakukannya kerana saya sanggup menghabiskan sebanyak RM1,200 untuk sebilah pedang dan saya membelinya dengan jumlah yang banyak," katanya.

Tambah Yusry, filem sentuhannya itu lebih ke arah elemen realiti berbanding mitos sebenar yang banyak menyentuh mengenai Hinduisme dan Buddhisme agar tidak mengaitkan sensitiviti masyarakat Islam.


Antara syot sinematografi menarik yang harus ditonton.
Sinopsis

Pada tahun 120 sebelum Masihi, Empayar Rom ketika itu di bawah pemerintahan Hadrian sementara di negara China, Dinasti Han merupakan sebuah empayar yang kuat dengan memperluaskan pemerintahannya sehingga ke Asia Tengah.

Sewaktu angkatan Rom sedang membaik pulih kapal mereka di Goa, mereka meminta pertolongan Merong Mahawangsa mengiringi Putera Rom ke Langkasuka (dikatakan terletak di utara Malaysia) untuk berkahwin dengan seorang Puteri China yang cantik dari Dinasti Han.

Bagaimanapun, puak lanun dari Geruda mempunyai perancangan yang berbeza. Mereka memutuskan untuk menculik Puteri China dan menjadikannya sebagai tebusan. Di hujung perairan Selat Melaka, Merong Mahawangsa dan angkatannya diserang oleh Geruda.

AMP Himpun 50 Penyampai 9 Stesen Radio

Posted: 28 Feb 2011 09:12 PM PST


KUALA LUMPUR: Rangkaian radio Airtime Management Programming Sdn Bhd (AMP) menghimpunkan hampir 50 penyampai dari sembilan stesen radio di Ciao Ristorante, Jalan Kampung Pandan, di sini, Isnin

Stesen radio yang bernaung di bawah anak syarikat Astro itu merupakan ERA fm, MIX fm, MY FM, hitz.fm, LiteFM, SINAR fm, THR Gegar, THR Raaga dan XFM.

Antara penyampai radio yang hadir termasuklah Aznil Nawawi (ERA), Nana (XFM), Nasa (THR Gegar), Raja Azura (SINAR), Salih Yaccob (SINAR), Ean (hitz.fm), Reefa (MIX), Reza (ERA) dan Adi (ERA).

Selain sesi memperkenalkan penyampai-penyampai, AMP turut menganjurkan permainan menyusun puzzle yang mencantum nama-nama stesen radio tersebut.

Acara ini diadakan bertujuan untuk mendekatkan hubungan media dengan para penyampai di samping menghebahkan tentang program menarik yang disediakan oleh setiap stesen radio.

Program tersebut adalah 'Aznil vs Muzik' bermula 28 Februari hingga 25 Mac di ERA fm, 'Talian Selebriti JJ dan Ean' (7 Mac/ hitz.fm), 'JD & Dilly's Short Cuts to Cash' (MIX fm), 'Catch Us If You Can bersama Zak & Sara' (LiteFM), 'Perkataan Pertama di SINAR' (7 Mac/ SINAR fm), 'XFM Macbeth Secret Show' (7 Mac/ XFM) dan Mesin Wang Gegar' (6 Mac/ THR Gegar).

Turut diadakan adalah sesi cabutan bertuah, suai kenal bersama media, sesi bergambar dan jamuan makanan Itali.