Harian Metro: Rap |
Posted: 23 Mar 2011 08:44 AM PDT SEBAIK merancang untuk dihasilkan oleh Pengarah Urusan Penerbitan Jas, Raja Azmi ...Dalam Botol sudah dikaitkan dengan pelbagai isu panas. Bermula dengan tajuknya yang pada peringkat awal mahu menggunakan Anu Dalam Botol, ia kemudian berdepan isu kelulusan pihak berkuasa. Menampilkan isu atau jalan cerita dianggap sensitif, tempias 'panas' dikaitkan dengan ...Dalam Botol turut dirasai pelakon utamanya. Masakan tidak, ini kali pertama filem mengisahkan mengenai cinta antara lelaki gay dihasilkan untuk tontonan umum. Tema diangkat Raja Azmi berdasarkan kehidupan benar seorang kenalannya dianggap tabu dalam masyarakat kerana belum pernah diperkatakan secara terbuka. Apatah lagi wujud juga isu pelakon utamanya, Azharudin Ramli atau Arja Lee sebagai Rubidin/Ruby digambarkan menjalani pembedahan mengubah alat kelamin semata-mata kerana alpa dengan cinta songsangnya bersama Ghaus, lakonan Saiful Redzuan A Bakar atau Wan Raja. Begitupun menonton keseluruhan filem ini, ternyata pengisiannya bukan mengenai isu 'panas' yang hangat diperkatakan semata-mata, sebaliknya tema ditampilkan disentuh lebih mendalam (dari sudut pergolakan emosi), penuh warna dan menarik untuk ditonton. Mengambil contoh Rubidin bertemu cinta sejati sewaktu bersama Dina, lakonan Diana Danielle.
"Ada orang yang ditemui bertanya adakah saya seperti Ghaus di luar filem iaitu meminati kaum sejenis. Bagi mereka yang sudah menontonnya pula berkata, lakonan saya 'sesuai' sangat. Saya faham apa yang mereka maksudkan iaitu saya pernah melakukan perkara seperti apa yang digambarkan ....Dalam Botol," katanya "Jawapan saya kepadanya, walaupun dalam drama yang kami jayakan menggambarkan saya dan dia bercinta, di luar drama perkara itu tidak berlaku. Begitulah juga jawapan saya berikan apabila ada yang bertanya," katanya lagi. Melihat kepada jalan cerita, tidak dinafikan kesangsian seperti dijelaskan Wan Raja pasti timbul memandangkan dia pelakon baru dan sebelum ini latar hidupnya tidak diketahui ramai. Malah pada waktu sama, ramai yang bertanya mengapa dia sanggup membintangi ...Dalam Botol memandangkan tema ditampilkan pasti mengundang pandangan serong masyarakat yang sebelum ini memang memandang rendah lelaki lembut. "Pandangan awal saya juga begitu, malah sewaktu jurusolek salah satu produksi drama yang dibintangi menyarankan saya menjalani uji bakat dijalankan Raja Azmi membuatkan saya tergelak. Begitupun, semuanya berlaku secara tidak sengaja apabila seorang rakan juga pelakon meminta saya menemaninya untuk menjalani uji bakat diadakan. "Di situ juga saya bertemu Raja Azmi. Dia meminta saya mengisi borang dan menjalani uji bakat. Waktu itu saya tidak terfikir langsung dan melakukannya atas dasar mencuba selepas dipelawa. Tidak sangka pula rezeki berpihak kepada saya," katanya. Persepsi yang timbul dalam diri Wan Raja akhirnya berubah apabila pertama kali membaca skrip dan mengetahui jalan ceritanya. Ternyata ia bukan sebuah filem gay murahan, sebaliknya tema ditampilkan sangat berat dan benar-benar mencabar kredibiliti seorang pelakon. Waktu sama dia terfikir patutlah ramai pelakon berbakat besar turut mahu mencuba nasib membintangi ...Dalam Botol. "Saya bertuah kerana sepanjang menjayakan filem ini banyak diberi bimbingan terutama daripada pelakon senior seperti Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Normah Damanhuri dan Jalil Hamid. Waktu sama, pengarahnya, Khir Rahman juga banyak memberi tunjuk ajar. Saya banyak belajar untuk menjadi pelakon yang baik dalam ...Dalam Botol," katanya. Bagi Arja Lee, 27, dia perlu berdepan dengan dugaan paling besar apabila kenyataannya membabitkan babak bogel sewaktu mandi menjadi kontroversi. Lebih daripada itu, ia turut membabitkan nama universiti tempat dia mengikuti pengajian dalam bidang seni persembahan. "Mujur mereka memahami. Hendak diikutkan waktu itu memang saya rasa tertekan, tetapi keluarga banyak memberikan kata semangat. Fakulti pengajian saya termasuk pensyarah memberikan perangsang dengan berkata itu perkara biasa. Mereka memandang jauh dan menjelaskan tidak semua orang faham mengenai dunia seni. Saya pula menganggap sebagai pelakon ini, antara cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi," katanya. Menjelaskan lebih lanjut, jelas Arja, babak yang didakwa dia mandi tanpa seurat benang sebenarnya membawa makna perubahan Ruby kembali kepada Rubidin. Apatah lagi sebelum itu ayahnya meninggalkan wasiat yang mahu Rubidin memandikan jenazahnya. Bagi orang beragama Islam, babak itu amat bermakna dan itulah yang menjadi titik permulaan kepada segala penyesalan yang dihadapi watak utama filem ...Dalam Botol. Menjayakan watak Rubidin/Ruby dan bercumbuan dengan Wan Raja bagi menjayakan filem ...Dalam Botol tidak mudah. Apatah lagi adegan mesra dan pergolakan dilalui sewaktu ditinggalkan lelaki disayangi benar-benar mencabar kemampuan. Apatah lagi ini filem pertama Arja Lee dan memegang peranan besar. "Saya tahu sebagai mak nyah, saya tidak mempunyai bentuk tubuh sesuai, apatah lagi raut wajah saya agak kasar. Hendak jadi mak nyah dalam filem itu sangat susah. Kening saya dicabut sampai sekarang susah hendak tumbuh balik, itu belum masuk kaki terpaksa dicukur kerap. Saya juga tidak terlalu lembut kerana perlu beraksi berdasarkan pembangunan watak dalam filem itu. Selaku pengarah, Khir Rahman sendiri tidak mahu saya nampak cantik dan sempurna," katanya. Bercerita mengenai keserasian dalam melakonkan watak panas antara dia dan Wan Raja, jelas Arja, dia bertuah kerana selaku penerbit, Raja Azmi memberikan segala ruang untuk kedua-dua pelakon utama itu mengenali antara satu sama lain sebelum penggambaran dimulakan agar apabila beraksi di lokasi tidak wujud perasaan kekok. "Bayangkan Raja Azmi sanggup membawa Khir Rahman, Wan Raja dan Rosnan yang turut membintangi filem ini ke Pulau Pinang untuk mengenal karakter masing-masing selama seminggu di sana memandangkan waktu itu saya baru saja mengikuti pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM). Sewaktu penggambaran juga, kami turut diberi pendedahan awal. "Memang watak mak nyah dan lelaki lembut juga bukanlah satu masalah bagi saya kerana sepanjang membabitkan diri dalam bidang seni, saya dikelilingi rakan yang begitu. Maklumlah sebelum ini saya turut menjadi penari dan penyanyi, jadi mereka ada di sekeliling saya. Apabila membintangi ...Dalam Botol saya mengambil satu karakter yang hendak dimainkan. Waktu sama, Khir turut memberikan kebebasan untuk pelakonnya bermain dengan watak tapi tidak terkeluar dari ruang yang dibina," katanya. PROFIL Nama penuh: Azharudin Ramli PROFIL Nama penuh: Saiful Redzuan A Bakar |
Posted: 23 Mar 2011 08:35 AM PDT TURUN padang mendekati pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) antara strategi promosi filem Cun! kerana golongan muda inilah yang bakal memenuhi panggung dan mereka juga perlu dididik untuk menghargai filem Melayu daripada mengagungkan filem asing. Justeru, Selasa lalu, dua pelakon utama filem itu, Maya Karin dan Remy Ishak memenuhi undangan pelajar Kursus Strategi Perhubungan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, untuk sesi temu ramah di stesen radio Putra FM. Filem Cun! terbitan Tayangan Unggul dan arahan Osman Ali, akan ditayangkan di pawagam pada 31 Mac ini.
Menurut Maya, dia rasa puas dapat berjumpa dengan pelajar IPT itu kerana merekalah generasi yang akan menggerakkan industri seni pada masa depan. Mereka perlu diserapkan semangat mencintai produk tempatan termasuk filem yang dihasilkan penggiat seni tanah air. "Kita perlu menarik minat mereka untuk mencintai filem Melayu dan dengan adanya promosi seperti ini, saya juga dapat mendekati serta bermesra dengan mereka. Hubungan akrab antara peminat dan artis amat penting kerana merekalah yang menentukan sejauh mana kedudukan kita dalam industri.
"Saya terkejut kerana sambutan yang diberikan sangat hebat dan terasa kehadiran saya begitu dihargai. Saya harap Cun! dapat ditayangkan khusus untuk pelajar UPM dan dapat lagi saya berjumpa dengan mereka," katanya. Kata Maya, selepas sembilan tahun berlakon, dia sangat teringin berlakon filem romantik komedi. Lantaran itu, dia sangat gembira apabila pengarah filem itu, Osman Ali menyerahkan watak Luna Latisya kepadanya. "Selama ini saya selalu diberikan watak berat yang sarat dengan permainan emosi. Tetapi watak Luna yang 'happy go lucky' rupanya lagi susah untuk dibawa. Semakin watak itu nampak ringkas, lagi sukar kerana gerak laku, tutur kata dan ketawa kita mesti nampak 'natural' atau bukan dibuat-buat. "Mujur saya dan Remy ada kesesuaian, maka watak Luna serta Atan itu dapat 'disatukan' dengan baik sekali. Seronok berlakon filem ini apatah lagi lokasinya jauh di utara tanah air. Ia mengundang rasa yang menggembirakan sekali dengan sawah ladang terbentang luas depan mata," katanya yang akan berlakon dalam filem Lagenda Budak Setan 2. Remy yang sibuk di lokasi filem terbarunya Aku, Kau Dan Dia, arahan Pierre Andre, baru balik rumah jam 6 pagi. Dalam keadaan yang masih penat dan mengantuk, dia sanggup datang ke sesi temu ramah itu. "Inilah komitmen saya sebagai artis. Kedudukan saya semakin selesa dalam industri ini pun kerana sokongan peminat. Maka apa saja undangan yang datang selagi tidak bertindih dengan jadual kerja lain, saya akan datang. "Kali pertama saya datang mempromosikan filem di IPT dan sambutannya sangat menggalakkan. Mereka memberikan reaksi positif terhadap filem Cun!. "Dengan adanya pertemuan seperti ini juga kita boleh bertanyakan pendapat mereka, filem apa yang mereka suka tengok kerana merekalah yang akan datang menonton di panggung. Perlu ada hubungan dua hala dan bukan buat filem syok sendiri," katanya. Dalam Cun!, Remy diberi watak budak kampung bernama Atan yang sering lepas laku. Biarpun dia menjadi rebutan pengarah drama dan filem, pemuda itu masih merendah diri. "Saya tidak sebagus mana dan banyak lagi kena belajar. Tidak pernah menemui titik kepuasan dalam berkarya. Setiap masa saya ingin melakukan yang lebih baik. "Dalam perjalanan ini juga, saya akui ada melakukan kesilapan. Sebagai manusia, kita tidak terus pandai dalam semua perkara. "Seperti bayi yang baru lahir, dia tidak terus berlari. Sebaliknya dia akan belajar meniarap dulu, kemudian barulah dia merangkak, duduk, berdiri dan barulah berlari. "Selepas mengharungi segalanya barulah kita mengenali siapa diri kita, apa yang kita mahukan dalam hidup ini dan belajar pula untuk kenal hati budi orang lain," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |