Adsense

Isnin, 14 Mac 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Mahu kendali program serius, analitikal

Posted: 13 Mar 2011 08:31 AM PDT

TIDAK dinafikan berita pertunangan pengacara popular Ally Iskandar Mohd Mardzi atau Ally dengan naib juara pertandingan pencarian bakat Gadis Melayu musim pertama, Aishah Zainal membuatkan banyak hati kecewa terutama peminat wanita yang sudah lama menaruh minat padanya.

Begitupun pada waktu sama bagi mereka yang kenal rapat dengan selebriti yang dibesarkan di Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu ini, berita pertunangan itu berupa berita gembira.

Maklumlah sebelum ini, Ally seperti sudah beberapa kali gagal dalam percintaan. Apabila majlis pertunangan antara dia dan Aishah berlangsung ramai memanjatkan syukur, kerana hati jejaka idaman ramai itu sudah diikat.

Ditemui pada sesi fotografi khas bersama Rap, di Sri Pentas, Bandar Utama

baru-baru ini jelas Ally, dia bersyukur kerana akhirnya ditemukan dengan gadis yang serasi, lebih penting kedua ibu bapanya juga merestui pilihannya itu.

"Memang pernah beberapa kali gagal dalam usaha mencari jodoh hidup, tetapi tidak bermakna saya berputus asa. Sebagai manusia kita hanya mampu merancang namun jodoh ditentukan Tuhan. Mengikut perancangan asal saya mahu mendirikan rumah tangga pada usia 25 tahun tetapi ia tersasar 10 tahun. Umur 35 baru bertemu dengan bakal isteri," katanya.

Bercerita latar hubungannya dengan Aishah, jelas Ally dia dan Aishah hanya rakan biasa, namun yang membuatkan hatinya 'bulat' untuk melamar gadis berasal dari Melaka itu apabila keluarga turut menyenanginya.

"Aishah boleh diibaratkan kenalan keluarga juga. Malah hubungannya dengan
adik-beradik saya yang lain juga baik seperti rakan. Bukan itu saja, sebelum ini sekiranya ada program di rumah keluarga saya dianjurkan TV3 mahupun TV9, dia akan singgah di rumah bertemu ibu bapa saya. Setiap kali saya balik, mereka akan bertanya mengenai Aishah. Melihat kepada perkembangan itu saya berasakan, Aishah adalah orang yang sesuai di jadikan suri hidup," katanya lagi.

Beralih topik kepada kerjaya, sepanjang 10 tahun pembabitannya dalam bidang pengacaraan, Ally yang begitu sinonim dengan TV3 sudah mengendalikan hampir semua jenis program sama ada hiburan mahupun temu bual.

Bagaimanapun pengacara yang turut dicalonkan dalam Kategori Pengacara TV Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH 2010) lebih menggemari program serius dan analitikal, selain memiliki editorial yang sangat kuat.

"Bakat saya dicungkil daripada rancangan Sinaran Pasport Kegemilangan TV3. Bagaimanapun kerana belum ada pelapis saya masih lagi aktif mengendalikan rancangan hiburan. Kalau mahu tinggalkan program hiburan pun saya akan lakukan secara perlahan-lahan. Dalam tempoh lima tahun akan datang saya percaya TV3 akan bertemu dengan pelapis baru.

"Menyentuh mengenai wajah yang sinonim dengan TV3, saya berterima kasih dengan stesen nombor satu ini yang berjaya mencungkil bakat saya dan mengembangkannya sehingga saya berada sekarang. Malah saya akan terus bersama TV3 selagi bakat diperlukan.

"Saya gembira sepanjang berkhidmat untuk TV3, ia ibarat datang bekerja di rumah sendiri. Saya percaya jika saya ke stesen televisyen lain, saya tidak akan memperoleh keseronokan bagaimana saya bekerja di sini," katanya.

Selain itu Ally turut berkongsi pengalaman bagaimana hendak bertahan dalam dunia pengacaraan, katanya sepanjang pembabitannya sebagai pengacara dia belajar setiap kali beraksi di hadapan kamera berkenaan program terbabit dan bukan dirinya.

"Tugas saya memastikan program dilaksanakan dengan lancar. Lebih penting orang
ingat program yang diterbitkan dan bukannya saya sebagai pengacara. Orang akan bosan kalau pengacara lebih menonjol berbanding rancangan dikendalikan. Kalau perkara itu berlaku bermakna pengacara itu cuba membayangi rancangan terbabit.

"Contoh terbaik untuk menjelaskan perkara ini pada saya adalah Ryan Seacrest dalam mengendalikan rancangan American Idol. Dia tidak pernah cuba menonjol sebaliknya menonjolkan peserta bertanding. Seperkara lagi sebagai pengacara, sekiranya rancangan dikendalikan itu bagus orang tidak akan memuji pengacara melaksanakan kerja dengan baik, tetapi sekiranya rancangan itu kurang menarik pasti pengacara akan dipersalahkan. Itulah antara cabaran yang harus dihadapi pengacara," katanya.

Selain mengendalikan rancangan Malaysia Hari Ini (MHI), Ally kini turut mengacarakan rancangan hiburan pencarian bakat Mentor musim kelima yang disiarkan setiap Ahad, jam 9 malam. Menyentuh mengenai program itu jelas Ally penonton harus ingat bahawa ia bukan mengenai Protege tetapi Mentor.

"Mengapa saya berkata demikian, sebenarnya Mentor menonjolkan kemampuan penghibur berpengalaman membentuk bintang baru. Lihat saja Mohd sewaktu menyertai Mentor. Bagaimana Ziana berusaha mencungkil bakatnya sehingga dia muncul juara. Jadi dari sudut itu

kita sudah tahu bahawa sebenarnya Mentor adalah menonjolkan kemampuan Mentor, dan kerana itu judulnya rancangan ini Mentor," katanya.

PROFIL

Nama Penuh: Ally Iskandar Mohd Mardzi
Panggilan: Ally
Tarikh Lahir: 13 Januari 1976
Umur: 35 tahun
Asal: Kuala Lumpur (dibesarkan di Gong Badak,Kuala Terengganu)
Adik-Beradik: Anak kedua daripada tujhu beradik.
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dan
Pengajian Filem University of The Pacific, Stockton, California, Amerika Syarikat.
Makanan Kegemaran: Nasi lemak masakan ibu.
Minuman Kegemaran: Kopi O
Hobi: Bola keranjang
Kerjaya: Penerbit dan pengacara
Rancangan TV: Ally, MHI (Malaysia Hari Ini) di TV3, Anugerah Juara Lagu, Konsert Jom Heboh, Majalah Tiga Edisi Perkahwinan Aidid Marcello dan Norzie Pa'Wan Chik, Tiada Rahsia Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Mohd Jiwa, Singgah Sahur, ResQ, Peringkat Akhir Pesona Nona dan Mentor

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mamat tetap merendah diri

Posted: 13 Mar 2011 08:22 AM PDT

DALAM nada merendah diri Mamat Khalid berkata, kejayaan filem arahannya, Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) yang berjaya meraih kutipan RM7.9 juta kerana komitmen semua pelakon filem itu.

Katanya, dia hanya aturkan saja dan merekalah yang mengadunkan filem itu dengan baik.

Antara pelakon filem itu, Zami Ismail (Pak Abu), Awie (Hussein), Delimawati (Kak Limah), Johan Raja Lawak (Abu Hurairah), Man Kadir (Pak Jabit) dan Ummi Nazeera (Cik Nien).

Mamat ditemui pada majlis penghargaan kepada tenaga kerjaa HKLBR dan juga pemberian bonus, Jumaat lalu, berkata Awie membuktikan yang dia pelakon versatil dan siapa sangka dia boleh berlakon komedi.


Dengan suara macho dan tubuhnya yang sasa, Awie dikurniakan bakat melawak.


"Kejayaan HKLBR terletak kepada lakonan semua pelakon dan apa yang mereka beri. Saya hanya mengaturkannya saja, yang lain itulah daya usaha pelakon.

"Mereka berjaya menjadikan filem ini kegemaran ramai. Karya sesebuah filem itu amat bergantung kepada bakat tetapi jika tiada yang mahu melayan apa yang saya hendak buat, ia tidak akan jadi juga.

"Terima kasih kepada Gayatri (Gayatri Su-lin Pillai - Pengurus Besar dan Penerbit Eksekutif Tayangan Unggul Sdn Bhd- TUSB). Amat susah untuk mendapat layanan sebegitu daripada produser lain. Kejayaan filem ini memberi nafas baru bagi saya apabila filem yang sangat saya sayangi, Estet, gagal di panggung.

"Kegagalan itu membuatkan saya tertanya-tanya 'di manakah aku dalam industri ini?'. Namun kejayaan HKLBR juga tiada maknanya tanpa bantuan dari rakan media yang begitu banyak memberikan sokongan," katanya.

Menurut Mamat, asalnya ia adalah telefilem dan tidak mendapat sambutan penonton. Kemudian rakan baiknya, Raffi Zamani menyarankan dia buat dalam versi filem pula.

"Maka saya pun pergilah mengadu dengan Gayatri dengan mengatakan padanya filem ini bagus dan akan meletup. Harapan saya dengan menerbitkan filem HKLBR ini dapat menampung semula kerugian filem Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM) yang menang Anugerah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia tetapi kurang diterima penonton. Sedih betul masa itu.

"Meskipun begitu, KMBM berjaya mengembara ke sekeliling dunia apabila dipanggil menyertai festival filem luar negara. Seperti dijangkakan HKLBR mendapat sambutan tetapi tak sangka pula dengan kuasa Allah, sambutan terhadapnya sangat hebat.

"Dengan kejayaan itu, ia petanda baik menunjukkan filem kita ada penonton dan dengan jumlah kutipan itu juga jumlah penonton filem Melayu sudah hampir sejuta," katanya.

Menceritakan latar filem itu yang terjadi di Kampung Pisang, jelas Mamat di seluruh negara ini ada Kampung Pisang. HKLBR adalah filem kedua Mamat yang berlaku di Kampung Pisang selepas filem Zombi Kampung Pisang. Turutan daripada itu Mamat sudahpun menyiapkan sekuel ketiga yang terjadi di Kampung Pisang, berjudul Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.

"Saya juga sudah siapkan skrip Zombi The Ultimatum tetapi kerana saya masih sayangkan semua watak dalam filem itu yang dapat dikembangkan menjadi jalan cerita yang lebih menarik saya akan arahkan tiga lagi filem sebelum Zombi The Ultimatum sebagai filem terakhir untuk siri Kampung Pisang.

"Kampung Pisang melambangkan Malaysia dan masyarakat Melayu. Bagaimanapun dalam setiap filem, saya bukan hendak menyampaikan mesej tetapi kritikan sosial.

"Bukan kerja kita untuk mengajar orang lain. Dalam setiap filem yang diarahkan saya hanya ingin mengupas apa saya lihat dan rasa.

"HKLBR menunjukkan betapa masyarakat kita sangat mempercayai tahyul. Hussien misalnya tidak percaya cerita tahyul tetapi dia sendiri akhirnya terpaksa berhadapan dengan hantu Kak Limah. Kita hidup dalam masyarakat yang percayakan benda halus dan supernatural.

"Apapun, perkara yang paling penting dalam filem saya mesti ada elemen hiburan. Misalnya seperti saya buat telefilem Rombongan Cik Kiah, 12 tahun lepas, moralnya ada di situ.

"Daripada filem pertama lagi saya cuba sajikan unsur hiburan dari pelbagai sudut dan saya lebih mengutamakan penerimaan penonton daripada kehendak saya sendiri.

"Kalau ikutkan keinginan hati, saya hendak buat filem yang menceritakan asal usul orang Melayu dan filem epik," katanya.

Kejayan HKLBR ini memberi cabaran baru kepada Mamat kerana penonton akan mula berharap sesuatu yang luar biasa daripadanya.

"Sebagai pengkarya saya perlu mengekalkan prestasi dengan sentiasa mencari kelainan. Dalam filem Apokalips saya buat khusus untuk penonton muda dari 15 hingga 25 tahun. Ketika mengarahkan filem itu, saya berasakan yang diri ini kembali muda.

"Saya perlu mencari peminat dan penonton baru. Tanpa perlu ada pelakon cantik dan seksi, HKLBR membuktikan dengan jalan cerita yang bagus dan lakonan berkesan, ia tetapi diminati ramai.

Gayatri selalu gaduh dengan Mamat

DARIPADA 28 filem yang ditayangkan, HKLBR adalah filem pertama yang mencapai kutipan pecah panggung dan sebagai menghargai jasa semua yang terbabit dalam pembikinan filem itu, TUSB menyediakan RM200,000 sebagai pemberian bonus buat mereka.

Walaupun sebelum ini ada juga filem Mamat yang kurang berjaya namun Gayatri terus bekerjasama erat dengannya kerana yakin dengan kebolehannya yang luar biasa.

"Penonton sudah faham dan boleh menerima karya Mamat. Pada awalnya mungkin mereka tidak berapa faham apa yang cuba disampaikan oleh Mamat dan sekarang mereka ternanti-nanti karyanya. Tidak semestinya apabila satu filemnya dengan TUSB tidak 'menjadi' kami terus menolaknya. Peluang itu mesti terus diberi.

"Misalnya, meskipun KMBM tidak mendapat sambutan penonton namun dipandang tinggi di luar negara dan secara tidak langsungnya nama TUSB jadi besar di mata dunia.

"Penangan HKLBR juga ada orang yang tidak pernah menonton filem di panggung wayang selama 30 tahun, tiba-tiba dia tergerak hati untuk menonton filem ini.

"Dalam bekerjasama saya dan Mamat, kami selalu bergaduh demi mencapai keputusan yang terbaik," katanya.

Sebagaimana Mamat, Gayatri sendiri tidak menyangka kutipan tiket HKLBR akan capai hampir RM8 juta.

"Apabila kutipannya mencecah RM4.5 juta, saya ingat ia mesti hanya akan pergi setakat RM5 juta. Saya sangat berbangga dengan pencapaian filem ini kerana ia adalah filem yang biasa dan bukannya filem yang ada banyak CGI. Terbukti filem yang dekat di hati penonton dan kehidupan mereka, akan diterima ramai," katanya.

Dalam memantapkan lagi industri filem tanah air, Gayatri berkata, TUSB juga membuka ruang kepada produser baru untuk bekerjasama.

"Kerjasama itu menerusi pelaburan bersama dalam tiga atau empat filem. Jika satu filem saya, hasilnya tidak akan nampak. TUSB membuka ruang kerjasama itu kerana saya lihat ramai produser hari ini yang tersalah langkah dan selepas menerbitkan satu filem, syarikat itu terus hilang begitu saja," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.