Adsense

Jumaat, 4 Februari 2011

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Erra enggan melatah

Posted: 03 Feb 2011 04:00 PM PST


SEJAK bergelar artis hampir tiga dekad lamanya, kehidupan peribadi aktres jelita, Erra Fazira atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 36, ini bagaikan tidak sudah dilanda gosip liar.

Sekalipun bekas Ratu Cantik Malaysia 1992 itu cekal berhadapan dengan gosip, namun sejak akhir-akhir ini semakin kerap pula khalayak mempersoalkan tentang kisah rumah tangganya yang dikatakan sedang dilanda krisis.

Semuanya gara-gara dakwaan kononnya si suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin mempunyai hubungan rapat dengan seorang wanita di tempat kerja.

Gosip yang diperkatakan itu bukanlah baru kerana sebelum ini Erra sendiri pernah berulang kali menafikan apa yang dihebahkan, sekali gus menyangkal kebenaran khabar angin tersebut.

Mungkin khabar angin itu reda seketika. Tetapi baru-baru ini, dalam satu ruangan gosip yang ke udara di sebuah stesen radio swasta, timbul perihal rumah tangga seorang pelakon dan penyanyi popular yang sedang dilanda masalah kerana suaminya mempunyai hubungan dengan rakan sekerja.

Sinonim dengan gosip yang pernah melanda Erra, ramai membuat telahan gosip di radio itu ada kaitan dengan rumah tangga Erra - Emran.

Buat kesekian kalinya, sewaktu Hits berkesempatan bertemu dengan Erra di majlis pengumuman aktiviti Erra Art Club di Borders, The Curve, Mutiara Damansara baru-baru ini, sekali lagi soalan yang sama terpaksa diajukan.

"Saya tidak ambil kisah dengan gosip itu. Memang kalau diikutkan bunyinya seperti gosip yang pernah melanda saya dahulu tetapi mungkin yang dimaksudkan dalam gosip kali merujuk kepada orang lain.

"Kita sebenarnya tidak tahu siapakah yang mereka maksudkan di sini, oleh sebab itu saya tidak mahu ambil serius mengenai perkara itu.

"Saya juga tidak menafikan bahawa saya pernah terdengar gosip yang mengaitkan suami saya. Namun seperti yang pernah saya nyatakan dahulu, selagi tiada bukti yang sahih, saya tidak akan ambil peduli," kata Erra dalam nada tenang.

Erra sedar, apabila dia berkecimpung dalam dunia yang penuh glamor ini, dirinya memang tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan pelbagai gosip yang kadang kalanya menimbulkan fitnah.

Namun, katanya, untuk apakah dia cepat melatah andai akhirnya nanti hanya akan mempamerkan kebodohan diri sendiri.

Erra dengan nada gurau menjelaskan, dia pernah menyuarakan tentang gosip tersebut kepada suaminya, namun dia tidak mahu memandang perkara yang samar sebagai sesuatu yang boleh mendatangkan amarah.

Sebelum bernikah dengan Engku Emran pada 25 Oktober 2007, Erra yang pernah mendirikan rumah tangga dengan salah seorang anggota KRU, Yusry Abdul Halim menjanda selama dua tahun.

Bersama Yusry, anak didik Pengarah Six Million Dollar Man, Datuk Yusof Haslam itu tidak dikurniakan cahaya mata.

Apabila berkahwin buat kali kedua, Erra dan Engku Emran dikurniakan seorang puteri, Engku Aleesya yang bakal menginjak ke angka usia dua tahun pada 30 Mac ini nanti.

Natijah dilanda gosip liar terus menyelubungi Erra sehingga membuatkan dia terpanggil untuk menyangkal dakwaan yang kononnya pernah mendapatkan khidmat kaunseling berikutan krisis yang melanda rumah tangganya.

Mungkin sudah menjadi lumrah aktres cantik ini, apa sahaja yang dilakukannya mendapat perhatian.

Maka itulah, apabila tidak kelihatan kelibat suami, Engku Emran sewaktu Erra mendukung watak sebagai Tun Dr. Siti Hasmah dalam pementasan di Istana Budaya tahun lalu, kisah nista rumah tangganya terus dijaja.

Kata Erra, apa lagi yang mampu dilakukannya selain daripada berdoa agar gosip yang tidak berasas itu cepat reda dan senyap begitu sahaja.

Pasak dalam minda

Bukan itu sahaja, malah Erra juga mengharapkan apa-apa sahaja gosip yang melanda dirinya selepas ini, biarlah mempunyai bukti yang kukuh.

"Hal sebegini bagi saya tidak sepatutnya menjadi isu sehingga memberi tekanan dalam hubungan kami suami isteri. Bukankah ia hanya membuang masa.

"Dalam hidup ini kita perlu bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan kerana kehidupan ini hanyalah bersifat sementara.

"Walau macam mana sayangnya kita kepada seseorang itu, jika bukan kita yang akan pergi meninggalkan dia, mungkin dia yang tinggalkan kita.

"Itu adalah kata-kata yang saya pasak dalam minda sebab itu kita tidak boleh kata, tidak bersedia dengan sebarang kemungkinan," tegas Erra.

Bercerita tentang ramai artis yang mendapatkan khidmat kaunseling demi menyelamatkan rumah tangga mereka, kata Erra, itu merupakan langkah yang baik demi menyelamatkan sesebuah rumah tangga.

"Bagi saya, tidak salah kalau ada pasangan yang mendapatkan khidmat kaunseling bagi menjernihkan hubungan dalam rumah tangga.

"Kalau cara itu terbaik, apa salahnya. Ini bermakna mereka ada niat untuk pulihkan kembali keadaan dan berbaik-baik semula," kata Erra yang pernah dua kali dinobatkan sebagai Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia menerusi filem Soal Hati (2001) dan Hingga Hujung Nyawa (2005).

Ditebak pula dengan soalan, bagaimanakah pandangan Erra jika sesi kaunseling yang dihadiri dihebahkan kepada orang ramai sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi negatif dan terkesan kepada pasangan tersebut?

Kata pelakon filem Sembilu itu, tidak seharusnya tindakan pasangan berjumpa kaunselor bagi mendapatkan khidmat nasihat disalahertikan oleh khalayak.

Ini kerana, katanya, apabila orang kecoh melihat mana-mana pasangan artis menghadiri sesi kaunseling, secara tidak langsung mereka akan jadi takut untuk ke sana lagi.

"Apa pun, semuanya terserah kepada individu. Bagi Erra, yang penting sekarang fokus kepada kerjaya di samping melihat tumbesaran anak.

"Aleesya pun sudah banyak ragam. Malah dia sudah pandai main deram. Masa inilah dia perlukan perhatian daripada ibunya.

"Andai kata Tuhan mahu mengurniakan seorang lagi cahaya mata dalam waktu terdekat ini, saya tak akan menolak malahan menerimanya dengan penuh kesyukuran," kata Erra pasrah.

google: erra fazira, masalah rumahtangga erra fazira, krisis rumahtangga erra fazira, erra fazira dan suami, gambar terbaru anak erra fazira, erra fazira dan anak, foto gambar terkini terbaru anak erra fazira, gosip rumahtanggan erra fazira, suami erra fazira

RL5 tampil lawak pelbagai

Posted: 03 Feb 2011 03:57 PM PST

SAMA seperti bidang muzik yang mempunyai pelbagai rentak lagu, begitu juga halnya dengan pertandingan Raja Lawak musim kelima (RL5) yang menampilkan gaya lawak yang berbeza-beza di kalangan pesertanya.

Gelanggang RL5 yang disiarkan setiap Jumaat pukul 9 malam itu menampilkan para pesertanya yang bukan sahaja datang dari merata tempat, tetapi gaya lawak mereka juga berbeza di antara satu sama lain.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, pendekatan itu dilakukan bagi memastikan para penonton tidak berasa bosan dengan gaya persembahan lawak yang ditampilkan menerusi saluran Astro Prima.

"Setiap peserta RL5 mempunyai karekter dan gaya berlawak yang berbeza di mana ia mengikut kecenderungan masing-masing. Selain mampu menggambarkan kecenderungan setiap peserta, cara itu juga akan lebih menarik perhatian ramai.

"Contohnya, minggu lalu kita ada peserta seperti kumpulan Kami yang tampil dengan gaya lawak mereka yang disulami dengan adegan lakonan atau drama. Begitu juga dengan Kopi O yang tersingkir pada minggu keempat ini.

"Kopi O tampil dengan gaya lawak yang dikenali sebagai silent comedy atau komedi senyap. Mereka tidak banyak menggunakan dialog tetapi lebih kepada pergerakan yang lucu," katanya kepada Hits baru-baru ini.

Pada pertemuan selepas berakhirnya Gelanggang RL5 di Hulu Klang, Selangor itu, Nizam turut menyatakan itu adalah kelainan yang cuba ditampilkan dalam pertandingan yang mencungkil bakat-bakat pelawak baru itu.

Namun, beliau tidak menafikan pertandingan yang memilih para pemenangnya 100 peratus daripada undian khidmat pesanan ringkas (SMS) itu mempunyai risiko tersendiri menerusi konsep jenaka yang dipersembahkan para pesertanya.

"Saya katakan risiko apabila para peserta cuba menampilkan lawak yang kurang popular atau tidak difahami oleh para penonton. Ia mungkin akan menyebabkan penonton bosan dan kurang untuk mengundi mereka.

"Dalam hal ini pendekatan terbaik ialah memilih lawak yang mudah difahami jalan ceritanya dan isu-isu yang dipaparkan juga relevan dengan situasi yang sedang berlaku ketika ini. Kalau tidak ia akan membosankan para penonton," ujarnya.

Pada Gelanggang RL5 minggu keempat Leman mendapat SMS tertinggi 18.3 peratus, Nazmi (12.9 peratus), Man (12.7 peratus), R2 (12 peratus), Lucky (10.1 peratus), Balas (9.7 peratus), Epy (9.6 peratus) dan Pukaw (7.6 peratus).

Pada pertandingan minggu itu, kumpulan duo Kopi O yang dianggotai oleh Black dan One telah tersingkir kerana mendapat undian SMS paling rendah sebanyak 7.1 peratus selain mendapat kritikan daripada pengkritik tetapnya.

Kopi O yang dikritik oleh tiga pengkritik tetap RL5 iaitu Afdlin Shauki, David Teo dan Sathiya dan tampil dengan gaya lawak senyap akur dengan keputusan itu biarpun sudah bertungkus-lumus memerah idea untuk pertandingan itu.

Salah seorang anggota Kopi O, Black atau nama sebenarnya Syariwan Joir, 28, berkata, dia juga tidak berkecil hati apabila disingkirkan daripada pertandingan itu kerana dikatakan membawa konsep lawak senyap yang agak membosankan.

"Saya akur dengan penyingkiran ini. Kami tidak boleh kata apa kalau orang kata gaya lawak kami membosankan. Ini kerana, kami lebih ke arah lawak yang sebegini.

"Kami tidak nafikan bukannya mudah untuk membuatkan para penonton ketawa hanya berdasarkan gaya pergerakan kami semata-mata. Kami mahu kelihatan lain dalam persembahan lawak kami. Sebab itu kami pilih konsep ini.

"Pada masa sama, kami akui konsep lawak ini berisiko kerana kalau persembahan melalui pergerakan badan dan mimik muka kami tidak menjadi ia akan menyebabkan para penonton susah untuk ketawa," jelasnya.

Sewaktu ditanya perancangan Kopi O selepas ini, Black berkata dia dan One atau Fakhruddin Mohd. Azmi sanggup berhenti kerja sebagai kakitangan di sebuah resort di Kuala Rompin, Pahang bagi mencuba nasib dalam bidang lakonan.

Ini kerana, katanya, dia yakin mampu mengembangkan lagi bakat Kopi O dalam bidang lawak jenaka dan lakonan selain berharap kerjaya itu akan menjanjikan masa depan yang lebih cerah berbanding sekarang ini.

google: raja lawak musim ke 5, video raja lawak musim ke 5, youtube raja lawak musim ke 5, peserta raja lawak musim ke 5, pemenang raja lawak musim ke 5, juara raja lawak musim ke 5, naib juara raja lawak musim ke 5, raja lawak musim ke 5, astro raja lawak musim ke 5, raja lawak musim ke 5 2011

Haq yang keliru

Posted: 03 Feb 2011 03:55 PM PST

MENYAKSIKAN sedutan filem Haq tahun lalu, saya menyimpan keyakinan bahawa filem ini bakal menjadi 'sesuatu'. Sedutannya nampak mahal hasil sinematografi dan suntingan yang kemas, apatah lagi barisan pelakonnya bukan sekadar wajah majalah.

Dalam lambakan filem Melayu yang mahu menjual komersial semata-mata, Haq memberikan saya persepsi yang berbeza.

Jujurnya, saya tidak mengharapkan Haq menjadi filem yang luar biasa tetapi sekurang-kurangnya sebuah produk yang mampu bercerita dengan baik.

Shamsul Haq ialah seorang kanak-kanak yang dianugerahkan kuasa aneh, sama seperti bapanya. Dia berupaya menggerakkan objek di sekeliling menerusi kawalan minda. Kebolehannya itu dicemburui abang angkatnya, Badrul Hisham.

Sifat iri hati itu dibawa sehingga mereka dewasa. Haq membesar sebagai lelaki yang berhemah hasil didikan agama, manakala Bad yang menghilangkan diri bertahun-tahun akhirnya pulang ke Malaysia dengan dendam dan amarah.

Sinopsis di atas saya baca sebelum menghadiri tayangan perdana filem ini. Sayangnya, selepas menyaksikannya pun, hanya itulah yang saya dapat.

Dalam erti kata lain, Haq tidak menawarkan saya sesuatu yang ekstra, selain apa yang saya tahu menerusi sinopsis.

Haq cuba menyampaikan cerita menerusi bingkai-bingkai gambar yang cantik. Namun, selepas setengah jam menonton, saya masih tidak mampu menangkap isinya.

Persoalan demi persoalan berlegar di fikiran dan sehingga ke penghujung, saya tidak mendapat jawapan.

Saya tertanya-tanya; dari mana Bad tiba-tiba mendapat kuasa sakti, sedangkan pada awal cerita, dia digambarkan seorang manusia normal?

Bagaimana dia boleh berhubung dengan Haq secara telepati? Apa signifikannya guli-guli merah bercahaya? Siapa sebenarnya Aina dan apa pertaliannya dengan keluarga Haq?

Maaf, saya tidak boleh mengenepikan persoalan-persoalan itu kerana ia adalah kunci cerita. Tanpa memahaminya, saya tidak mampu menikmati filem ini.

Kelebihan teknikal, stail penggambaran dan lakonan bersungguh-sungguh tidak cukup untuk menutup kekeliruan tersebut.

Haq tidak mampu 'menggenggam' satu-satu aspek dengan cukup berkesan. Filem ini berada di tengah-tengah garisan, di antara menjadi dengan tidak.

Hendak dikatakan drama, ia tidak cukup menyentuh. Hendak dikatakan aksi, ia biasa-biasa saja. Hendak dilabelkan filem superhero? Belum lagi.

Efek yang ditampilkan sekadar cukup makan. Ia tidak buruk tetapi tidak juga memukau. Lagak ngeri atau aksinya juga tidak mampu membuatkan penonton tercengang.

Adegan pertarungan sambil terbang di antara Haq dan Bad tidak terasa kemuncaknya. Sedangkan babak itulah yang sepatutnya menjadi babak paling kuat dalam filem ini. Malah grafik sistem pemanduan ala Tron semasa Haq menjejaki Zahra kelihatan amatur.

Sebagai pelakon berkredibiliti, Zul Huzaimy sudah memberikan sedaya-upaya untuk menyelamatkan Haq. Begitu juga dengan Fatimah Abu Bakar, Nanu Baharudin dan Raja Farah yang memberikan persembahan terbaik.

Cuma lakonan Adi Putra yang masih berada dalam lingkungan tipikal watak jahat. Bisik suara, ketawa dan mimik wajahnya tidak mengenal erti subtle. Begitupun, lakonan mereka terasa dipersia tanpa pembangunan karakter yang sewajarnya.

Saya tidak mahu mempersoalkan bagaimana Haq boleh memenangi anugerah Lakon Layar Terbaik pada Festival Filem Malaysia yang lalu. Saya juga tidak mahu meragui hasrat penerbit yang dikatakan ingin menghasilkan sambungan filem ini.

Akan ada sekuel atau prekuel, itu soal kedua. Penonton berhak untuk mengetahui apa yang sedang disaksikan. Sesebuah filem harus mampu berdiri sendiri, apatah lagi sebagai filem pertama yang sepatutnya menjadi teras sesebuah naskhah atau 'jenama'.

google: haq, sinopsis haq, pelakon haq, cerita haq, filem haq, kutipan filem haq, adegan panas filem haq, filem haq ost, filem haq poster, trailer filem haq, pengarah filem haq, penerbit filem haq, kos filem haq

Kurang sambutan?

Posted: 03 Feb 2011 03:53 PM PST

BERAKHIRLAH sudah sesi pencarian calon peserta program realiti popular TV3, Mentor untuk musim kelima (Mentor 5) yang dilabuhkan tirainya oleh biduanita terkenal, Datuk Sharifah Aini di Sri Pentas, Damansara Ahad lalu.

Program yang menawarkan ganjaran wang tunai RM100,000 untuk juara dan mentor mereka, bakal memulakan siarannya di saluran itu pada 13 Februari ini.

Berbeza dengan sesi uji bakat pertama Mentor 5 yang dikendalikan oleh pelakon dan pengarah, Afdlin Shauki yang diadakan di Sri Pentas pada 15 Januari lalu yang menggamit kehadiran lebih 900 peserta, hanya 50 peserta sahaja yang hadir ke uji bakat bersama Sharifah.

Tidak mendapat sambutan atau kerana syarat hanya memilih peserta wanita yang ditetapkan oleh penyanyi yang cukup selesa dengan panggilan Kak Pah itu? Apakah ia mempengaruhi jumlah kehadiran peserta?

Namun, bagi pelantun lagu Hapuslah Air Matamu itu ketika ditemui pada sesi uji bakat tersebut memberitahu, dia langsung tidak gusar dengan jumlah kehadiran peserta kerana sebilangan besar peserta yang hadir ke uji bakatnya mempunyai bakat nyanyian yang boleh diketengahkan.

"Bilangan yang datang bukan penentu bahawa mereka yang mencuba nasib tidak bagus. Hakikatnya, sebilangan besar yang hadir hari ini memang berbakat dan berkebolehan menyanyi pelbagai lagu," katanya.

Mungkinkah juga kerana faktor cuaca yang hujan sepanjang hari dan gelaran biduanita yang digenggam Kak Pah banyak mempengaruhi jumlah kehadiran peserta?

Menjawab hal tersebut, kata Kak Pah, dia tidak menolak kebenaran andaian tersebut.

"Saya ada rasa ramai yang takut nak datang sebab risau dengan gelaran itu. Namun, saya tidak nafikan juga kemungkinan kerana faktor cuaca dan syarat saya untuk mengambil perempuan sahaja menyebabkan kurangnya jumlah yang hadir pada sesi uji bakat ini.

"Sekurang-kurangnya saya boleh lebih teliti dalam menilai peserta yang hadir. Boleh mendengar mereka menyanyikan dua atau tiga lagu sebelum memutuskan sama ada mereka layak ke peringkat seterusnya atau tidak," kata Kak Pah yang kini sudah mula memakai hijab

Luna, Cut bakal didakwa?

Posted: 03 Feb 2011 03:52 PM PST

JAKARTA 2 Feb. - Selepas Ariel Peterpan didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara, kini tiba pula giliran Luna Maya dan Cut Tari akan dihadapkan ke muka pengadilan.

Kedua-dua artis wanita popular itu difahamkan akan didakwa kerana sejak awal kes itu dibicarakan nama mereka sudah dikaitkan dalam penerbitan video lucah bersama Ariel.

Cut, sebelum ini pernah membuat pengakuan di mahkamah bahawa dia pernah mengadakan hubungan seks dengan Ariel sebanyak tiga kali.

Menurut Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat Polis Republik Indonesia, Anton Bachrul Alam, Luna dan Cut mempunyai pertalian dengan kes yang melibatkan Ariel dan mereka boleh didakwa.

"Oleh kerana (kes penerbitan video lucah) saling berkait, sudah tentu ada susulannya (dakwaan)," katanya seperti dilaporkan akhbar Warta Kota, hari ini.

Anton tidak pula memberitahu bilakah pihak berkuasa akan mendakwa Luna dan Cut.

Pada masa yang sama, polis kata beliau, amat menghormati keputusan Mahkamah Bandung pada Isnin lalu yang menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun setengah dan denda 250 juta rupiah (RM85,000) ke atas Ariel.

Ariel, 29, didapati bersalah oleh mahkamah selepas membenarkan orang lain untuk menyebar dan menerbitkan video pornografi membabitkan dirinya dan pasangannya.

Polis juga sudah menyiapkan kertas siasatan ke atas Luna serta Cut dan akan menyerahkannya kepada pejabat Peguam Negara.

Hukuman yang dijatuhkan ke atas Ariel menguatkan dakwaan bahawa Luna dan Cut adalah dua wanita yang terlibat dalam penerbitan video lucah yang disebarkan secara meluas di Internet itu. - UTUSAN