Berita Harian: Hip |
Posted: 02 Feb 2011 09:44 AM PST Hip TAHUN Baru Cina kembali lagi dan sebagaimana dimaklumi, ia juga antara perayaan terbesar di negara. Tiba pada tarikh sambutannya, ia bukan sekadar sebuah perayaan tetapi turut dianggap masa untuk bertemu dan berkumpul sesi keluarga yang datang dari jauh, mahupun dekat. Bagi masyarakat Tionghua, Tahun Baru Cina juga perayaan untuk merapatkan hubungan kekeluargaan, apatah lagi buat mereka yang sudah lama tidak berjumpa. Seperti perayaan lain, tatkala masyarakat Cina sibuk mengadakan persiapan dan seterusnya meraikan hari yang penuh warna dan kemeriahan itu, kaum lain pula turut mengambil peluang berkunjung ke rumah kenalan atau jiran tetangga sebagai lambang semangat muhibah.Dan, biarpun era sudah semakin moden, beberapa ciri tradisi pada setiap kali perayaan tetap dikekalkan. Cuma, ia disesuaikan dengan suasana peredaran zaman. Misalnya, cheongsam, pakaian tradisi yang menjadi lambang identiti kaum wanita. Keterbukaan masyarakat negara ini menjadikan pakaian tradisional boleh dipakai oleh mana-mana kaum. Bagi empat selebriti berbilang bangsa iaitu supermodel, Amber Chia, 30; Ratu Malaysia Universe 2010, Nadia Heng, 25; Ratu Pelancongan Dunia 2005, Pushpa Narayan, 33; dan pelakon, Intan Ladyana, 28, Tahun Arnab yang diraikan kali ini mempunyai pengertian tersendiri. Paling tidak sabar menanti hari istimewa itu tentu saja pengasas Amber Chia Academy kerana buat julung kali dia menyambut perayaan berkenaan dengan cahaya mata sulung, Ashton Wong, hasil perkahwinan dengan Adrian Wong, 36, yang kini baru berusia empat bulan.
"Kebiasaannya saya pulang ke Sabah untuk menyambut Tahun Baru Cina, tetapi tahun ini disebabkan Ashton masih terlalu kecil, ibu bapa dan adik-beradik saya sepakat berkumpul di Kuala Lumpur untuk 'makan besar', seterusnya berkonvoi beramai-ramai berkunjung ke rumah saudara-mara di Ipoh, Perak. "Lebih menggembirakan, abang saya yang bekerja di Singapura juga 'turun' ke Kuala Lumpur selepas setahun kami tidak berjumpa. Hubungan kekeluargaan kami cukup erat dan Tahun Baru Cina ialah hari wajib kepada semua adik-beradik saya berkumpul," katanya yang manis mengenakan cheongsam hijau hasil sentuhan Carven Ong. Kata model peramah itu, walau hidup dalam arus kemodenan, adat dan budaya yang diwarisi daripada nenek moyang tetap tidak dilupakan, terutama menghadiri makan besar. Baginya, acara itu ialah simbolik pengikat persaudaraan, selain menghias rumah dengan pokok dan buah limau sebagai simbol murah rezeki. "Memandangkan saya sudah berkeluarga dan mempunyai anak, tahun ini buat kali pertama saya perlu memberi dua angpau. Saya tidak sabar untuk berbuat demikian, apatah lagi apabila dikatakan, mereka yang ikhlas memberi akan beroleh semula kekayaan atau kebahagiaan," katanya yang mengambil cuti dua minggu untuk bersama keluarga tercinta. Masa untuk bertemu keluarga BAGI ratu cantik berdarah campuran Cina-Inggeris, Nadia Heng, sudah menjadi kemestian kepada keluarganya untuk pulang ke Port Dickson, Negeri Sembilan, pada Tahun Baru Cina bagi menghadiri acara makan besar atau jamuan pertemuan semula. "Saya mempunyai keluarga besar yang berkumpul di rumah nenek. Paling tidak sabar dinanti ialah kepulangan ibu dan bapa saudara dari Singapura serta Australia, kerana pasti ada hadiah buat kami. "Dulu ketika kecil, saya dan sepupu ditugaskan membantu nenek menghias rumah dengan perhiasan merah. Itulah istimewanya perayaan apabila dapat berhimpun bersama insan tersayang malah kalau makan besar, saya tidak sabar menjamah yee sang yang disediakan nenek. "Sebagai budak kecil, waktu yang ditunggu-tunggu pula adalah ketika pemberian angpau kerana kami akan berlumba siapa dapat wang paling banyak," katanya mengimbau memori lalu. Walaupun kini nenek kesayangannya sudah tiada, saban tahun mereka tetap berhimpun dan menyambut perayaan itu, cuma akui bekas pegawai perhubungan awam ini, kadangkala kenangan manis meraikan Tahun Baru Cina bersama nenek membuatkan hatinya sebak. 'Uniknya negara kita' LAIN pula cerita pelakon yang turut bergelar pengacara dan model, Puspha Narayan, yang juga berasakan bahang kemeriahan pesta angpau apabila berpeluang menikmati pelbagai makanan istimewa yang kebiasaannya hanya boleh didapati pada musim Gong Xi Fa Cai, seperti bebola pulut manis dalam sup atau Tangyuan. Katanya, dirinya berasa cukup bertuah kerana dilahirkan di negara yang mempunyai masyarakat berbilang bangsa, sekali gus keistimewaan itu membolehkan seluruh warga negara menikmati budaya dan adat setiap kaum. "Suami saya sendiri kagum dengan semangat muhibah rakyat Malaysia yang hidup harmoni. Keakraban itu lebih terasa menjelang musim perayaan apabila mereka mengekalkan adat berziarah atau mengadakan majlis rumah terbuka yang dipenuhi aneka hidangan. "Kebiasaannya, saya tidak melepaskan peluang memenuhi undangan rumah terbuka bukan hanya pada Tahun Baru Cina malah Aidilfitri dan Deepavali kerana ketika itulah saya dapat berjumpa rakan atau saudara. Kemeriahan begini yang tidak mungkin saya lepaskan," katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Richard Frederick Robless sejak tiga tahun lalu. Seronok tengok pelbagai tanglung PELAKON Intan Ladyana pula mendedahkan, saat yang ditunggu pada Tahun Baru Cina adalah pada hari ke-15 yang juga penutup perayaan itu apabila berlangsungnya Chap Goh Mei, malah pada hari berkenaan aneka tanglung dinaikkan hingga dipanggil Pesta Tanglung. "Inilah istimewanya perayaan Tahun Baru Cina apabila pelbagai 'warna' kehidupan dapat kita selami dan saya sendiri ketika kecil seronok melihat bermacam jenis serta saiz tanglung dipasang, malah hingga kini tradisi itu tetap diteruskan biarpun di tengah-tengah ibu negara," katanya. Akui anak jati Kuala Lumpur itu lagi, sejak bekerja dengan MIG di bawah kendalian orang kuat syarikat itu, David Teo, katanya, pelakon dan kakitangan akan diraikan dalam majlis yang lebih kepada merapatkan hubungan sesama tenaga kerja, sekali gus memberikan pengalaman berbeza kepadanya. "Dulu ketika zaman sekolah saya sekadar berkunjung ke rumah rakan yang menyambut Tahun Baru Cina, namun apabila bekerja dan bernaung di bawah MIG, kami diraikan dalam majlis istimewa malah boleh dikatakan tetamu turut mengenakan cheongsam. "Situasi itu tentu saja menyeronokkan kerana selepas penat bekerja, kita berpeluang berkumpul dengan rakan lain yang selama ini hanya sesekali dapat berjumpa, malah David juga cukup bermurah hati memberikan angpau kepada kami," katanya yang menyerlah dalam filem Adnan Sempit. |
Pernah cuba berbaik dengan Abby Posted: 02 Feb 2011 09:42 AM PST Hip PELAKON Suhaiza Suhaimi atau lebih dikenali sebagai Memey mengaku, segala kontroversi yang melanda dirinya tidak menjejaskan karier lakonan yang diceburinya sejak beberapa tahun lalu. Dia sendiri bagai sudah lali dengan segala cerita kurang enak yang melanda diri.Jika diberikan pilihan, tentu sekali Memey enggan mencampur adukkan soal peribadi dengan kerjaya seni, namun sebagai artis dia cukup mengerti onak duri yang harus ditempuh. Ketika yang sama dia amat bersyukur apabila semua kontroversi yang melingkari dirinya, tidak meninggalkan kesan buruk terhadap kerjaya yang sangat disayanginya itu. Dia melahirkan kesyukuran kerana rezeki dalam bidang itu terus datang bertali-arus, membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk bergelar anak seni. "Saya bersyukur apabila cerita berkaitan peribadi saya tidak memberi kesan kepada kerjaya. Begitu juga barisan pengarah yang menawarkan watak kepada saya, mereka amat memahami apa yang saya lalui."Malah gosip dan kontroversi ini membuatkan saya terus maju dan bertambah kuat. Saya seperti sudah biasa dengan gosip yang dilemparkan kepada saya dan apabila bekerja, saya tidak mencampur adukkan soal kerjaya dan peribadi. Saya tidak tahu sampai bila orang ramai mahu mempersoalkan mengenai peribadi saya. Sedangkan, seboleh-bolehnya saya sendiri mahu senyap daripada segala cerita kurang enak itu. "Saya memang tidak mahu memperbesarkan cerita yang sedia ada. Kalau boleh saya tidak mahu orang melihat kemunculan saya di dalam industri seni berlandaskan kontroversi. Saya mempertaruhkan bakat dan saya ingin melebarkan lagi sayap di dalam dunia lakonan ini," kata Memey yang ditemui di lokasi penggambaran Bola Cinta baru-baru ini. Pelakon ini terjebak dalam kontroversi yang agak panjang apabila dia dan pelakon Norman Hakim ditangkap khalwat pada Oktober 2008. Selepas beberapa ketika menepis wujudnya hubungan intim antara mereka, kedua-dua pelakon ini akhirnya mengikat tali pertunangan pada September tahun lalu.
Justeru, dia mengambil tindakan untuk berdiam diri kerana itulah jalan terbaik bagi dirinya dan keluarga, yang tidak putus-putus memberikan semangat supaya dia tidak mudah rebah apabila berdepan cabaran sebegitu. Memey turut memaklumkan, dia baru saja pulang dari Bandung, Indonesia, bersama Norman bagi membeli barang persiapan perkahwinan mereka yang akan diadakan dalam tahun ini. Kedua-duanya menghabiskan masa selama empat hari di sana, bagi memastikan segala barangan diidamkan dapat dicari. Menurut pelakon yang mengidamkan majlis perkahwinan dalam taman itu, persiapan untuk hari cukup bersejarah mereka kini sudah pun siap kira-kira 40 peratus.
Memey dan Norman juga belum menetapkan tarikh perkahwinan mereka, serta tidak mahu terburu-buru dalam berbuat demikian kerana kedua-duanya mahu perancangan ke arah itu berjalan dengan teratur. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |