Adsense

Jumaat, 4 Februari 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Winnie, Amber, Suki mahu lebih berjaya

Posted: 02 Feb 2011 05:49 AM PST

RONA merah dan sampul angpau cukup berkait rapat dengan sambutan Tahun Baru Cina. Merah melambangkan keberanian, rezeki dan semangat selain menyerlah dalam banyak perkara.

Perayaan kali ini disambut sempena Tahun Arnab. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, Tahun Baru Cina melambangkan permulaan dalam nasib dan kehidupan.

Sempena Tahun Baru Cina kali ini, sisipan Rap menggandingkan selebriti popular Amber Chia, Suki Low dan pemilik butik barang kemas Rafflesia The Pearl Centre dan Mandalay, Winnie Sin.

Apa yang pasti, Winnie yang turut memiliki wajah cantik persis model tidak kekok untuk bergandingan dengan dua personaliti jelita itu.


Uniknya bagi perayaan Tahun Baru Cina kali ini, ketiga-tiga selebriti turut memilih rona hijau yang dipercayai membawa maksud tersendiri.


Hijau adalah warna yang biasa dilihat pada alam semula jadi khususnya tumbuh-tumbuhan. Selain memberi kelainan, ia boleh disesuaikan dengan beberapa aksesori pilihan pemakainya.

Mereka juga antara 30 selebriti yang bergaya dengan pakaian rekaan 17 pereka fesyen popular dalam memeriahkan program Green Cheongsam Showcase yang berlangsung di The Weld, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selebriti popular tanah air yang hadir antaranya Nasha Aziz, Erra Fazira, Shila, Zahnita, Farahdyia, Farah Asyikin, Puspha Narayan, Juliana Evans, Julia Evans, Farhan, Eja, Fazura, Azharina, Faezah Elai, Nur Fatiya, Intan ladyana, Mislina, Amanda Amani, Kilafairy dan Irma Hasmie.

Antara pereka fesyen yang terbabit pula ialah Alvin Tay, Ariff Shukor, Bill Keith, Carven Ong, Daniel & Leslie, Keith Kee, Rizman Ruzaini, Razman Razmi, Riffai, Salikin Sidek, Wanpa, Wan Huzairil, Faizel Azraff dan Von Jolly.

Menurut Winnie, masyarakat Cina bersikap terbuka untuk memilih selain warna merah untuk mencari kelainan, jadi tahun ini mereka memilih warna hijau untuk digayakan pada musim perayaan ini. Apatah lagi tahun ini, hijau membawa nasib yang bertuah bagi orang Cina.

"Biasanya warna merah memang tidak dapat dipisahkan dengan cheongsam. Pada dasarnya, masyarakat Cina akan memilih warna tertentu yang membawa kebaikan dan boleh digayakan pada Tahun Baru Cina. Menerusi acara ini juga, kami mahu menampilkan sesuatu yang berbeza, justeru warna hijau dipilih untuk bergaya pada majlis ini.

"Malah cheongsam hijau tambah menarik apabila digayakan dengan barang kemas daripada jed atau mutiara," katanya.

Mengenai sambutan Tahun Baru Cina pula, Winnie yang kelihatan menawan memakai cheongsam rekaan Bill Keith memaklumkan akan bercuti selama seminggu.

"Sejak beberapa tahun lalu saya sering meluangkan masa berkunjung ke beberapa destinasi menarik dalam dan luar negara. Saya juga merancang ke Pulau Pangkor. Begitupun, disebabkan masa yang terlalu singkat dan kebanyakan hotel penginapan sudah penuh, kami membatalkan hasrat itu.

"Pada saya sambutan Tahun Baru Cina kali ini adalah masa yang terbaik untuk berkumpul bersama keluarga dan saudara-mara terutama dengan kehadiran kanak-kanak yang pasti menceriakan suasana," katanya.

Dia juga bersedia dengan pelbagai rekaan dan warna cheongsam antara yang pasti menjadi pilihan adalah warna hijau yang digayakan pada majlis itu.

Bagi pelakon dan model terkenal, Amber Chia, 29, sambutan perayaan Tahun Baru Cina kali ini pastinya lebih meriah. Ibu kepada Ashton Wong, 5 bulan, merasai pengalaman tahun pertama menyambut perayaan sebagai keluarga besar.

Mengulas mengenai sambutan perayaan kali ini, Amber memberitahu memandangkan baru berpindah rumah, dia merancang menghabiskan waktu cuti selama seminggu di Kuala Lumpur. Dalam keadaan Ashton yang masih kecil, dia menjangkakan kehadiran saudara-mara berkunjung ke rumahnya.

"Memang perayaan kali ini cukup berbeza sekali. Saya dapat merasai kemeriahan membuat persiapan termasuk membeli pakaian untuk anak. Kali ini juga saya perlu bersedia dengan dua angpau memandangkan ini tahun pertama menyambut perayaan sebagai isteri dan ibu. Menurut adat kepercayaan kaum Cina, angpau bermaksud harapan dengan bersikap pemurah seseorang itu akan dikurniakan rezeki yang berlipat ganda pada masa depan.

"Setiap tahun saya dan keluarga cukup menanti perayaan Tahun Baru Cina. Kesempatan cuti panjang digunakan untuk berkumpul bersama keluarga. Lebih seronok apabila abang yang berkerja di luar negara akan pulang menyambut raya di tanah air. Selepas setahun tidak bertemu memang saya cukup teruja menantikan tahun baru," ujarnya.

Lebih bermakna apabila semua enam adik-beradik dapat berkumpul pada perayaan tahun ini. Sejak beberapa minggu lalu, duta produk kecantikan L'Oreal yang dilahirkan di Ipoh, Perak dan membesar di Tawau, Sabah ini sudah menghiasi rumah untuk menyambut perayaan. Pelakon filem The 3rd Generation, Trio & A Bed, Possessed dan Seed of Darkness ini tampil anggun bergaya dengan pakaian rekaan, Carven Ong.

Juara pertandingan realiti nyanyi, One In A Million (OIAM) musim pertama, Low Sook Yee, 21, atau Suki, pula merancang bercuti selama 10 hari sempena Tahun Baru Cina. Gadis cantik itu bakal menyambut perayaan di kampung halaman di Seremban dan Kuala Lumpur.

Perayaan kali ini turut dimeriahkan dengan kehadiran kakak yang menetap di Hong Kong lebih dua tahun. Anak kedua daripada tiga beradik itu membayangkan cuti panjang sempena perayaan kerana perlu berkerja keras.

"Sebelum ini saya tidak pernah memberi angpau. Namun saya agak segan dan berasakan diri sudah dewasa. Selain sudah mempunyai pendapatan sendiri, saya berhasrat memperuntukkan sedikit wang untuk memberi angpau kepada saudara-mara yang lebih muda daripada saya.

"Persediaan untuk menyambut perayaan kali adalah seperti biasa. Cuma lebih bermakna apabila kami sekeluarga dapat berkumpul bersama. Setiap kali perayaan, keluarga kami sentiasa merancang untuk berkunjung ke destinasi menarik. Mungkin sekitar ibu kota untuk meluangkan masa bersama," katanya.

Berbicara mengenai perkembangan seni pula, Suki yang cantik mengenakan cheongsam hijau rekaan Keith Kee memaklumkan, dia kini dalam perancangan untuk menghasilkan album Melayu. Buat masa ini, dia mempertimbangkan kerjasama bersama beberapa komposer selain meneliti beberapa lagu yang sesuai.

Kata Suki, sejak bergelar juara OIAM rezeki dalam karier seni ternyata tidak pernah putus buatnya. Malah dia turut berpeluang melebarkan sayap seni di Taiwan apabila ditawarkan membintangi drama bersiri, The Give. Selain itu, dia membuat penampilan di pentas teater apabila menjayakan pementasan muzikal, In Love With di Genting Highlands, tahun lalu.

"Buat masa ini, saya mahu memberi tumpuan kepada nyanyian. Lakonan sekadar percubaan saya untuk melebarkan sayap seni selain menimba pengalaman. Begitupun, jika mendapat tawaran untuk berlakon, saya pasti akan membuat pertimbangan bergantung kepada masa dan watak yang sesuai," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

PK hampiri kemuncak

Posted: 02 Feb 2011 05:38 AM PST

SETIAP minggu ada saja kejutan daripada Rosyam Nor. Pada Pilih Kasih (PK) minggu kelapan yang berlangsung Sabtu lalu, penerbit program itu sekali lagi menggemparkan dengan penyingkiran dua peserta PK serentak.

Selepas Leyla Krisya dan Afiq Meadin disingkirkan bersama pada Pentas minggu ketiga, kini tiba giliran rakan seangkatan mereka, Bil Azali, 19 dan Kris Cempaka, 26, untuk menyertai mereka. Bil dan Kris, dilihat semakin menyinar melalui lakonan drama dan teater yang disampaikan setiap minggu. Akan tetapi, ia nampaknya tidak memadai untuk memastikan mereka terus kekal berada dalam pertandingan ini.

'Bil Azali, anda bukan pelakon yang saya cari'. Itulah kata-kata keramat daripada Rosyam yang menamatkan perjalanan Bil di PK. Minggu lalu, penonton tidak mendengar kata-kata itu daripada Rosyam kerana tiada penyingkiran.

'Kris Cempaka, anda juga bukan pelakon yang saya cari', kata Rosyam sejurus selepas dia menyingkirkan Bil. Sudah menjadi lumrah, seorang peserta perlu disingkirkan untuk meneruskan pertandingan sesuatu program, namun agak mengejutkan apabila dua orang tersingkir sekali gus. Namun, perkara yang dianggap mustahil itu memang boleh berlaku dalam mana-mana program realiti TV.


Apatah lagi apabila yang tersingkir itu antara bintang yang sedang menyinar dan berkembang mekar. Lakonan Bil dan Kris sangat selamba tetapi memberi impak yang besar kepada penonton. Kris dan Bil sudah pasti akan dirindui bukan saja oleh peminatnya tetapi juga tenaga pengajar dan artis PK yang lain.


Selepas ketiadaan Bil dan Kris, tinggal lapan peserta PK yang akan berentap mempertaruhkan lakonan mereka untuk minggu ini. Nampaknya program PK sudah hampir ke kemuncaknya. Tanggal 20 Februari ini, akan diketahui siapa yang bakal menggondol gelaran pelakon pilihan Rosyam untuk musim yang kedua ini selepas Pilih Kasih musim pertama dimenangi Iqbal Mazlan.

Menyorot kembali Pentas PK minggu lalu, menurut Rosyam, dia was-was dengan keputusan yang ingin dibuatnya.

"Saya keliru dan ragu-ragu untuk menentukan siapa yang harus disingkirkan. Minggu lalu, saya membuat pengecualian dengan tiadanya penyingkiran, tetapi minggu ini tidak ada lagi sebarang alasan boleh diberi. Penyingkiran tetap perlu dilakukan," katanya.

Akhirnya pengkritik tetap PK, Fauziah Nawi tampil ke pentas untuk bersama-sama Rosyam dan memberi pandangannya mengenai tiga peserta yang tercorot undiannya malam itu. Bil Azali mendapat undian 6.04 peratus, Kris pula 5.83 peratus dan Nur Jannah, 5.76 peratus.

"Mereka bertiga adalah pelakon serba boleh dan mempunyai keistimewaan tersendiri. Bagaimanapun, saya mahu Nur Jannah terus kekal di PK yang akan datang. Nur Jannah terselamat daripada penyingkiran buat kali kelima dan ini semestinya satu lagi peluang bermakna buatnya untuk terus membuktikan kepada rakyat Malaysia akan kebolehan dan bakat beliau.

"Saya putuskan Bil dan Kris undur diri dari PK dengan hati yang berat. Jika diberi pilihan, saya tidak mahu menyingkirkan sesiapa pun malam ini kerana ketiga-tiganya antara yang terbaik," katanya.

Setiap minggu, PK menjemput artis terkenal untuk memeriahkan Pentas PK. Selepas Noor Khiriah, Fizz Fairuz dan beberapa artis yang lain, minggu lalu tiba giliran Aaron Aziz menceriakan Pentas PK.

Lakonan spontannya sebagai pengarah filem seram dalam teater Dilema Hantu pada malam itu ternyata tidak menghampakan. Nasihat Aaron kepada artis PK, jangan hafal skrip tetapi cuba untuk memahami dan mendalaminya dengan baik. Itulah cara yang terbaik untuk menghidupkan sesuatu watak dan menjadi pelakon serba boleh.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.