Adsense

Selasa, 29 Mac 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Memori indah di Klang

Posted: 28 Mar 2011 03:42 PM PDT

Hip

Sebahagian finalis ABPBH 2010 yang hadir di Klang Parade menghadiahkan barangan peribadi sebagai cendera mata kepada peminat

JAM tangan, baju T, cakera padat (CD), poster malahan wang tunai RM200 adalah antara cendera mata istimewa daripada beberapa finalis kepada peminat yang memenuhi ruang legar Klang Parade, Klang sempena dengan siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2010).

Ia dilihat sebagai tanda terima kasih sebahagian artis di atas sokongan peminat yang sentiasa teruja dengan program sempena ABPBH2010 yang acara kemuncaknya di Arena Of Star, Genting Highlands pada 3 April nanti. Acara yang berprestij dan ditunggu-tunggu ini juga turut disiarkan secara langsung di TV3 dan radio HotFM. Bercakap mengenai sifat murah hati, dua penyanyi terkenal iaitu Black dan Faizal Tahir menghadiahkan peminat dengan barangan peribadi mereka. Riuh seketika di Klang Parade ini apabila Faizal membuka baju namun rupa-rupanya tindakan spontan penyanyi yang popular dengan lagu Selamat Malam itu adalah kerana mahu menjadikan baju kemeja T miliknya itu sebagai cenderahati buat mereka.

Jika Faizal menghadiahkan baju, Black terus mengekalkan sifat pemurah kepada peminat apabila menghadiah tali pinggang, baju, jam tangan serta cakera padat (CD). Begitulah sayangnya Faizal dan Black buat peminat yang selama ini tidak pernah jemu-jemu menyokong perjalanan karier seni mereka.

Bukan mudah mengumpulkan finalis terbabit untuk siri promosi seperti ini. Dengan jadual harian yang padat, kalau diikutkan agak mustahil untuk mereka meluangkan masa. Namun menyedari ini adalah satu-satunya platform berkempen paling meriah dan berkesan, sesibuk manapun, mereka cuba untuk memenuhi undangan, lebih-lebih lagi mengetahui bahawa ini adalah siri promosi ABPBH2010 yang terakhir sebelum semua keputusan diumumkan pada malam kemuncak yang akan berlangsung Ahad ini.

Finalis atau Top 5 ABPBH2010 yang turut meluangkan masa menyertai acara itu termasuklah Aizat, Alyah, Ana Raffali, Lisa Surihani, Zizan, Rabbani, Nabil, Diana Danielle, Mirwana, Awal Ashaari, Scha Alyahya dan 6ixth Sense.
Turut membuat kemunculan istimewa ialah pelakon yang mula dikenali menerusi drama Nur Kasih,Tiz Zaqyah, Aaron Aziz, Didie Alias, Fizz Fairuz, Nurul Syuhaida (Dottie) dan Sharifah Shahira.

Manakala Along Raja Lawak serta dua penyampai Hot FM, Kieran dan Leya bertindak sebagai pengacara. Pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah istimewa daripada penaja utama ABPBH2010, Celom selain diberi layanan istimewa iaitu menaiki kenderaan bersama artis terpilih dalam kereta Nissan Grand Livina dan Nissan Teana, kedua-duanya tajaan Edaran Tan Chong Sdn Bhd.

Bukan calang-calang orang diberi keistimewaan seumpama itu dan dan pengalaman itu hanya boleh diperolehi dalam siri jelajah promosi ABPBH. Bagi mereka yang gemar mengumpul cenderahati, barangan ekslusif keluaran Berita Harian seperti kemeja T, payung, mug turut dijual di gerai berdekatan.

Sebelum acara berakhir sekitar jam 7 malam, penonton dihiburkan dengan persembahan Meet Uncle Hussain dan kesempatan itu juga digunakan penganjur untuk menyambut ulang tahun ketua kumpulan itu iaitu Taja.

Jumpa lagi tahun depan

BERAKHIR sudah siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010) yang memulakan kembaranya lebih sebulan lalu. Sepanjang tempoh itu, lima lokasi terpilih dikunjungi dan untuk destinasi terakhir ini, buat kesekian kalinya pusat membeli-belah Klang Parade, Klang Selangor menjadi pilihan penganjur.

Mengulangi sejarah yang pernah dicipta oleh ABPBH 2009, kali ini jumlah penonton yang hadir menyamai dengan jumlah yang diperoleh tahun lalu iaitu hampir enam ribu penonton hadir memberikan sokongan.

Justeru tidak hairanlah mengapa lokasi ini menjadi kegemaran penganjur untuk tiga tahun berturut-turut. Sebelum sesi persembahan bermula, pengunjung terlebih dulu disajikan dengan acara kemuncak pertandingan akhir Bintang Idola Berita Harian (BIBH) yang menyaksikan perunding sambilan di sebuah institusi kewangan, Mohd Azhar Osman dinobatkan sebagai juara.

Suasana tenang selepas pertandingan akhir BIBH selesai kembali bergegar sebaik saja pengacara, Along Raja Lawak mengambil alih pentas sekali gus menandakan bahawa acara yang ditunggu-tunggu bakal bermula.

Jelas tergambar keseronokan peminat apabila dipelawa naik ke pentas, mereka sentiasa berebut-rebut mahu menyertai acara bersama artis pujaan walaupun mengetahui akan dikenakan di pentas. Ada saja permainan, idea kreatif dan kuiz dilakukan. Tabik 'spring' buat pengunjung daripada pelbagai peringkat umur di Klang Parade yang memang `sporting' kerana tidak keberatan untuk menyertai pelbagai aktiviti bersama artis di atas pentas.

Bukan sahaja di Klang, tetapi siri jelajah ABPBH2010 di SACC Mall, Shah Alam; Kuantan Parade, Kuantan; The Mall, Kuala Lumpur; Village Mall, Sungai Petani dan Kompleks Bandar Baru Pasir Gudang, Johor pastinya meninggalkan kenangan manis bukan sahaja kepada artis tetapi juga peminat.

Lagi gambar-gambar menarik siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 terdapat dalam akhbar Berita Harian hari ini


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

KRU terbit filem bertaraf Hollywood

Posted: 28 Mar 2011 03:28 PM PDT

Hip

Konsep aksi dipilih untuk Vikingdom kerana dekat dengan jiwa penonton antarabangsa

JIKA segala-galanya berjalan dengan lancar, KRU Studios bakal mencatat sejarah tersendiri sekali gus mengharumkan nama negara apabila menjadi produksi tempatan pertama menghasilkan filem bertaraf Hollywood berjudul Vikingdom.

Masih mengekalkan Yusry sebagai pengarah, Vikingdom akan dihasilkan dengan kerjasama Epic Pictures, syarikat produksi yang selama ini bertindak sebagai ejen pemasaran filem terbitan KRU Studios di luar negara. "Selepas menghasilkan filem Hikayat Merong Mahawangsa, Vikingdom akan menjadi sebuah lagi filem yang akan mengetengahkan elemen imej janaan komputer (CGI) dan menampilkan pelakon asing.

"Sebenarnya idea untuk menghasilkan filem ini sudah lama berada dalam kotak fikiran kami, iaitu sebelum menghasilkan filem Hikayat Merong Mahawangsa lagi. Namun disebabkan pembikinannya agak rumit dan memerlukan masa yang banyak pada peringkat pra-produksi, jadi baru sekarang kami rasa masa yang sesuai untuk menerbitkan filem ini," jelas Pengerusi Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim pada sidang media mengenai strategi pemasaran antarabangsa syarikat terbabit di bangunan KRU Studios, Cyberjaya, petang Jumaat lalu.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Epic Pictures, Patrick Ewald, Yusry dan juga Edry.

Tambah Norman, mereka sengaja memilih filem berkonsepkan aksi kerana filem seperti ini begitu dekat dengan jiwa penonton di luar negara, yang sememangnya menjadi sasaran utama.
"Tajuknya saja cukup unik iaitu gabungan perkataan Viking dan Kingdom. Kita kena akur pada realiti bahawa untuk menarik penonton di luar negara, kita kena hasilkan filem yang dekat dengan jiwa mereka.

"Vikingdom akan dihasilkan dengan menggunakan teknologi yang lebih tinggi lagi selepas kami mengutip pengalaman ketika menerbitkan filem Hikayat Merong Mahawangsa. Dari segi skrip, kami tiada masalah kerana rakan kongsi kami, Epic Pictures, turut mempunyai hubungan baik dengan penulis skrip filem Vikingdom iaitu James Coine," kata Normah bersungguh-sungguh.

Bercerita lanjut mengenai pembikinan filem berkonsepkan stereoskopik 3D ini, Yusry berkata, mereka masih lagi dalam peringkat pra-produksi, sebelum menjalani penggambaran sekitar Oktober atau November depan.

"Kami memang sudah bersedia sejak awal lagi untuk peringkat pra-produksi filem ini seperti meninjau lokasi penggambaran, melihat sendiri kesan peninggalan sejarah Viking di Sweden dan sebagainya. Insya-Allah, jika tiada aral melintang, filem ini akan mula menjalani penggambaran sekitar Oktober atau November depan. Kami memilih lokasi di studio FINAS serta di kawasan tanah tinggi seperti Genting Highlands dan Bukit Fraser," cerita Yusry mengenai projek meganya itu.

Memandangkan filem terbabit bakal menjadi sebuah projek mega milik trio tiga beradik ini, tentunya filem berkenaan menelan belanja paling mahal kerana menggunakan khidmat bintang popular dari Hollywood. Ketika mengulas perkara ini, Norman berkata, perkara itu akan diumumkan kemudian selepas segala-galanya selesai.

"Dari segi kos pembikinan filem ini, kami belum membuat perkiraan akhir lagi kerana perlu menunggu keputusan siapakah pelakon yang akan terbabit dalam filem ini. Apa yang boleh kami katakan, Vikingdom bakal menggunakan khidmat pelakon Hollywood.

"Siapakah mereka, akan kami maklumkan kemudian. Namun pelakon berkenaan perlulah dikenali di pasaran televisyen Hollywood, tetapi janganlah mengharapkan Brad Pitt atau Johnny Depp kerana ia memerlukan belanja yang lebih besar," kata Norman sambil tertawa.

Walaupun filem ini mempunyai sentuhan Hollywood, namun tegas Norman, sama seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Vikingdom masih mengutamakan kepakaran kru tempatan untuk bertugas di balik tabir.

Layak dicalonkan untuk Oscar

BIARPUN mendapat ulasan negatif daripada sesetengah pihak, namun filem Hikayat Merong Mahawangsa yang ditayangkan dua minggu lalu meneruskan kecemerlangan filem Melayu sebelumnya apabila berjaya mengutip sebanyak RM5.5 juta. Satu angka yang cukup memberangsangkan, sekali gus mampu membuat penerbitnya tersenyum bangga dengan pencapaian itu.

Perasaan bangga tidak terhenti setakat itu saja apabila hasrat mereka untuk melihat filem lakonan Stephen Rahman-Hughes ditayangkan di lebih 70 negara menjadi kenyataan. Semua itu hasil usaha gigih mereka selain mendapat bantuan Epic Pictures yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan KRU Studios untuk filem Deadline lakonan Brittany Murphy.

"Insya-Allah, jika tiada aral melintang, filem ini akan ditayangkan di beberapa panggung di Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom dan juga Jerman. Untuk pasaran di sana, filem ini akan diubah judulnya menjadi The Malay Chronicles: Bloodlines.

"Manakala untuk negara lain seperti Kanada, Australia, New Zealand, China, Turki, Switzerland, Austria, Russia, Asia Tengah, Baltik, Asia Barat dan Scandinavia, judulnya masih belum ditentukan," katanya.

Mengulas lanjut perkara itu, Ewald berkata, pengedar di sana berminat untuk mengedarkan filem terbabit kerana tertarik dengan kualiti produksi, termasuk trailer yang ditampilkan.

"Sebagai agensi pemasaran filem ini, kami berbangga dengan kualiti filem yang dihasilkan KRU Studios. Kepakaran mereka membuatkan nilai produksi filem ini setaraf dengan piawaian antarabangsa. Pengedar luar menganggap kos produksinya dianggarkan antara RM30 juta hingga RM60 juta," ujarnya.

Apabila bakal ditayangkan di Amerika Syarikat, secara tidak langsung hasrat Norman untuk melihat filem ini dicalonkan di dalam Anugerah Academy seperti yang pernah diluahkan sebelum ini akan menjadi kenyataan. Sebagai penerbit, pastinya perkara itu akan menambahkan lagi perasaan terujanya.

"Memang itulah yang saya harapkan. Walaupun sekadar pencalonan dan bukan disenarai pendek, namun ia sudah cukup memberi makna buat keseluruhan produksi ini," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.