Utusan Online - Hiburan |
Bukan mudah lafazkan cinta - Sarah Posted: Bukan mudah lafazkan cinta - SarahOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
SEBAIK sahaja wanita genit ini melangkah turun tangga penuh santun, rata-rata hadirin yang hadir dapat melihat seri yang terpancar jelas di wajahnya. Senyuman manis yang tidak putus terukir menyerlahkan lagi wajahnya bagaikan memberi isyarat bahawa hari bahagia itu sememangnya ditunggu-tunggu sejak sekian lama. Apatah lagi dengan kehadiran kedua ibu bapanya, Raissuddin Hamzah dan Nooraini Mohamad menyaksikan pengisytiharan cintanya ternyata memberikan makna yang cukup mendalam buat Siti Sarah Raissuddin, 27. Biarpun pernah melalui laluan penuh liku sebelum ini dalam membina kebahagiaan untuk bergelar seorang isteri, ternyata ia bukan satu halangan buat penyanyi yang cukup dikenali dengan nama pentas Sarah Raissuddin itu menerima cinta sejati daripada sang arjuna yang ternyata ikhlas mahu menyunting dirinya. Pada petang yang mendamaikan tanggal 26 Februari lalu, tepat pukul 5.45 petang, telah mencatatkan detik yang paling manis dalam hidup Sarah apabila hanya dengan sekali lafaz sahaja, dia sah menjadi suri kepada Shahmira Muhamad, 27, atau lebih dikenali sebagai Shuib. Sambil disaksikan oleh ahli keluarga kedua belah pihak dan rakan-rakan yang hadir menyaksikan pernikahan mereka itu, Sarah memang tidak dapat lagi menyembunyikan kegembiraannya. Bertemu dengan pasangan ini selepas majlis yang diadakan penuh sederhana namun meriah itu, Sarah mengakui bukan mudah untuk dia melafazkan cinta kepada Shuib yang benar-benar ikhlas dan mahu menjadikannya sebagai isteri. Malah, sepanjang setahun setengah menjalin hubungan, tidak pernah sekali pun Sarah mengungkapkan kata cinta dan sayang kepada Shuib. "Bagi saya, ungkapan I love you bukan untuk diberi kepada semua orang hanya semata-mata mereka menjalinkan hubungan cinta dengan kita. "Cinta itu merupakan satu perasaan yang cukup suci dan berharga yang Allah SWT berikan kepada setiap hamba-Nya dan sudah pasti saya mahu memberikan cinta saya kepada lelaki yang benar-benar ikhlas dan jujur. "Adakah kerana hanya kita mula berpacaran, itu menandakan kita perlu mengucapkan dan melafazkan kata cinta? Tidak bagi saya. "Tetapi, selepas melihat kesungguhan dan keikhlasan Shuib yang mahu menjadikan saya sebagai isteri, barulah saya melafazkan kata cinta kepadanya kerana saya benar-benar ikhlas untuk berbuat demikian," jelas Sarah sambil melirik manja ke arah suaminya. Sememangnya Shuib dan Sarah bijak merahsiakan hubungan cinta mereka selama satu setengah tahun namun, akhirnya terbongkar apabila pihak media mula dapat menghidu percintaan mereka. Biarpun sering mengelak untuk membicarakan soal cinta, namun, selepas mereka disahkan mengikat tali pertunangan pada 16 November lalu telah menguatkan lagi spekulasi hubungan mereka selama ini. Sebelum ini, Sarah pernah mengikat tali pertunangan dengan seorang pelumba motosikal, Mohamad Haris Fuad Robinson pada tahun 2007. Namun, hubungan itu tidak kekal lama dan hanya bertahan sehingga dua tahun sahaja. Pasangan tersebut dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan yang juga Pembantu Hal Ehwal Islam, Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, Mohd. Nizar Mohd. Nadzir dalam majlis yang berlangsung di Bangsar, Kuala Lumpur, minggu lalu. Pada majlis itu, Sarah telah menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 dan lima dulang hantaran yang terdiri daripada sebentuk cincin, senaskhah al-Quran dan telekong, barangan penjagaan diri dan wangian, tepak sirih serta kek. Pihak pengantin perempuan membalas juga dengan lima dulang merangkumi cincin, al-Quran dan sejadah, barangan penjagaan diri dan wangian, tepak sirih serta kek. Walau bagaimanapun, Sarah dan Shuib sepakat untuk tidak mendedahkan jumlah wang hantaran di majlis tersebut atas permintaan keluarga masing-masing. Menyambung bicara, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Kesetiaan dan Saat Hilang Cintamu itu turut menjawab pertanyaan pihak media ketika ditanya tentang keistimewaan Shuib yang juga merupakan anggota kumpulan Sepah itu. Sambil ketawa manja, Sarah yang anggun mengenakan busana rekaan Hatta Dolmat pada majlis itu memberitahu, dia cukup kagum dengan kesungguhan diri Shuib serta kesabaran yang dimiliki oleh jejaka dari Kulai, Johor itu. "Suami saya seorang yang telus dan kami melalui jalan yang sama lalu ia dapat mencipta keserasian antara kami berdua. Jalan apa yang kami maksudkan itu, biarlah ia menjadi rahsia antara kami," ujar Sarah yang pernah dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik Ke-10 (2003) itu lagi. Sarah menjelaskan tiada apa yang signifikan tentang tarikh 26 Februari yang dipilihnya untuk mengadakan majlis pernikahannya. Katanya, dia dan Shuib sibuk dengan kerjaya apabila masing-masing melihat hanya tarikh itu sahaja yang sesuai untuk mengadakan majlis pernikahan, mereka meneruskannya sahaja. "Bagi saya, ini semua kerja Allah SWT. Dia yang telah menetapkan hari ini dan pada waktu ini saya akan bergelar seorang isteri. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar seperti mana yang dirancang," katanya. Tentang cahaya mata pula, Sarah sama sekali tidak akan menolak rezeki yang diberikan oleh Yang Maha Esa kepada dirinya dan Shuib. "Soal bulan madu pula, kami memang ada perancangan untuk menghabiskan masa di beberapa pulau pilihan kami tetapi selepas ini, kami akan sibuk dengan kerjaya masing-masing. Insya-Allah, kami akan mencari masa yang sesuai nanti," ujar anak kedua daripada empat beradik itu sambil memberitahu akan muncul dengan lagu terbarunya tidak lama lagi. | ||
Posted: Akim dan Stacy lafazkan cintaOleh KHADIJAH IBRAHIM
KEDUA-DUA mereka tidak pernah menafi tentang hubungan mesra yang terjalin. Namun baik Akim atau Stacy apabila diaju pertanyaan sering mengatakan hubungan mereka tidak terpahat perasaan cinta. Meskipun sering berkata tidak, namun pergerakan tubuh masing-masing apabila digandingkan menggambarkan mereka menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan ramai. Gara-gara kisah percintaan itulah Akim dan Stacy dilihat mempunyai keserasian untuk menjadi duta ais krim Wall's Cornetto bagi kempen Lafazkannya dengan stail Cornetto. Pengarah Bahagian Makanan, Malaysia dan Singapura, Unilever (Malaysia) Holding Sdn. Bhd., Hugo Verkuil berkata, ais krim jenama ini amat sinonim dengan cinta dan persahabatan, justeru Akim digandingkan dengan Stacy. Katanya, kempen Lafazkannya dengan stail Cornetto mahu memberi inspirai kepada warga Malaysia untuk meluahkan kasih sayang mereka. Kali ini, Wall's Cornetto menggunakan bahasa sejagat cinta iaitu muzik dan keindahan manis ais krim sebagai platform untuk meluahkan rasa cinta. "Akim dan Stacy akan bertindak sebagai orang tengah untuk menyampaikan rasa cinta, para peserta yang terpilih kepada pasangan masing-masing," katanya pada majlis memperkenalkan duta Wall's Cornetto yang baru di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Turut hadir, Pengurus Jenama Kanan Malaysia & Singapura, Wall's Ice Cream, Unilever (Malaysia) Holdings Sdn. Bhd., Chang Meng Yang. Jika sebelum ini, Akim bergandingan dengan Juliana Evans menerusi drama mini bersiri Inikah Cinta? sebagai salah satu promosi, kini beliau berduet dengan Stacy menerusi lagu Jahatnya Cinta yang merupakan lagu tema kempen terbaru syarikat berkenaan. Jahatnya Cinta adalah gabungan lagu asal dendangan Akim, Inilah Cinta dan Jahat oleh Stacy yang disatukan oleh Edry KRU menjadi sebuah lagu baru. Kata Akim, beliau suka dengan gabungan lagu itu kerana ia menampilkan dua karakter muzik yang berbeza. "Lagu saya, Inikah Cinta, melodinya mellow berbanding Jahat yang rancak. Apabila digabungkan melodi Jahatnya Cinta menjadi sesuatu yang baru. Pertama kali mendengarnya, saya terus suka," katanya yang merupakan pencipta asal Inikah Cinta. Malah penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) itu juga tidak sabar untuk menjalankan aktiviti kempen Wall's Cornetto. Antara aktiviti yang bakal dilakukan oleh Akim dan Stacy adalah bertemu para peminat Wall's Cornetto di pusat membeli-belah dan menjayakan konsert Cornetto. Sempena kempen itu juga Wall's Cornetto akan memberi 100,000 aiskrim secara percuma kepada orang ramai di enam buah bandar di seluruh negara secara serentak pada 26 Februari lalu, bermula pukul 12 tengah hari. Lokasi terpilih adalah di Sungai Wang, Kuala Lumpur, Plaza Alam Central, Shah Alam, Sutera Mall dan City Square, Johor Bahru serta Queensbay Mall dan Gurney Plaza, Pulau Pinang. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |