Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Jadi model sara pengajianBAGI yang pernah menonton beberapa siri komersial program America's Next Top Model Cycle 15 yang ke udara di saluran Astro Star World (Astro 711) baru-baru ini, sudah pasti tertanya-tanya siapakah jejaka kacak yang menjayakan iklan tersebut dengan gaya seksi tanpa baju sehingga mencairkan hati banyak kaum Hawa yang menontonnya. Pasti ramai yang mahu mencari identiti figura yang mempunyai susunan gigi yang teratur, senyuman menawan serta berbadan tegap ini. Pemilik nama Jason Godfrey ini memulakan karier glamornya dengan menghiasi helaian majalah serta beberapa iklan komersial yang tidak pernah ditayangkan di Asia Tenggara. Mungkin ramai tidak tahu kemunculannya sebelum ini. Hakikatnya jejaka lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Alam Sekitar dari Universiti Waterloo, Kanada ini merupakan antara kilauan kelahiran agensi Elite Model Management yang sebelum ini melahirkan supermodel tersohor dunia, Tyra Banks dan Cindy Crawford. Godfrey yang ditemui di Bistro Alexis, The Gardens, Bangsar baru-baru ini memulakan karier dalam bidang peragaan ketika dia baru menjejaki ke universiti, pada mulanya hanya sekadar mencari duit poket untuk kegunaan sehariannya kerana tidak mahu membebankan ibu bapanya. "Ketika di tahun pertama, saya dapati kehidupan saya sebagai seorang pelajar memerlukan wang selain untuk membiayai yuran, saya juga perlu wang untuk tugasan tambahan bagi pengajian saya itu.
"Kemudian saya menghubungi seorang kenalan keluarga yang merupakan pereka fesyen bagi membantu saya memulakan pekerjaan sampingan menjadi model," katanya yang turut memerlukan pendapatan sampingan kerana hobinya yang gemarkan aktiviti melibatkan alam semulajadi seperti mendaki gunung dan berkhemah. Godfrey, 33, jejaka kacukan Kanada-Filipina ini, akhirnya berjaya menyertai agensi peragaan popular tersebut dengan bantuan kenalannya itu di rangkaian agensi tersebut di Toronto. "Pada mulanya, saya rasa diri ini sangat teruk, terlalu bimbang dan agak kaku apabila bekerja dengan model-model berpengalaman kerana merasakan mereka sangat hebat, malah saya malu sekiranya mereka bercakap-cakap tentang diri saya. "Memang diakui pada mulanya saya agak kaku, tetapi dalam masa saya sedang belajar untuk menjadi model profesional," katanya yang bakal muncul sebagai pengacara Oscar Breakfast Chat di samping pengacara popular, Lisa Selesner. Tidak hebat Berpeluang membuat liputan acara terbesar dalam hiburan dunia iaitu Anugerah Akademi (Oscar) ke-83 secara langsung di saluran Star Movies (Astro 413), hari ini, Godfrey ternyata teruja kerana diberi kepercayaan sedangkan dia masih mentah dalam bidang pengacaraan. Mengakui minatnya yang mendalam terhadap filem membuka ruang untuk dia tampil berani untuk mengacarakan segmen khas ulasan acara berprestij itu. "Saya memang gemar menonton filem dan saya yakin dengan minat saya itu yang akan membantu saya menyiapkan diri untuk Oscar. Sebenarnya tidak banyak yang saya tahu mengenai apa yang bakal berlaku tapi secara jujur saya memang gementar.
"Walaupun sebelum ini saya pernah terlibat dalam bidang pengacaraan, tetapi ia hanyalah rakaman, bimbang juga kerana untuk rancangan siaran langsung ini, saya perlu bijak mengawal setiap ayat yang dituturkan supaya mudah difahami dan diterima penonton," katanya yang sangat terhutang budi kepada Paulette Ellison iaitu seorang pengurus yang banyak membantunya di awal kariernya sebagai model. Menurutnya, dia hanya mengambil masa kurang dua saat untuk memberi persetujuan ketika ditawarkan untuk mengacarakan rancangan tersebut walaupun mengakui tahun-tahun sebelum ini dia bukannya pengikut setia siri Anugerah Oscar. Kata jejaka yang membesar di Kanada ini, kesibukan dia ketika menjadi pelajar dan pekerjaan sampingan menjadi model di Kanada, membataskan waktu untuk dia mengikuti sebarang rancangan di televisyen.
"Menjadikan bidang peragaan sebagai kerjaya telah memberi saya peluang untuk mengembara ke seluruh dunia, malah banyak pengalaman bernilai telah mengajar saya untuk berjaya dalam hidup. "Bagi saya, apa jua peluang yang diperoleh walaupun bukan di dalam bidang peragaan, akan saya anggap sebagai cabaran serta satu platform untuk saya melebarkan bakat saya," kata Godfrey yang sering berkongsi setiap perjalanan kehidupannya bersama peminat di laman blognya, Big Smile No Teeth. Tambahnya, peluang mengacara program itu bukan perkara main-main dan ia adalah batu loncatan untuk peluang lebih besar. "Saya juga telah mendapat peluang untuk menjadi pengacara oleh Fox International, jadi lepas ini, saya akan muncul lebih kerap di kaca televisyen, bukan saya menjadi model iklan tetapi saya mengendalikan rancangan juga," katanya yang akan terus menjadi model walaupun mendapat tawaran bidang lain. | ||||||
Posted: Maher terus pikat peminatOleh KU MOHD. RIZDUAN KU ABDUL RAHMAN MAHER ZAIN mengikat silaturahim antara Lebanon dengan Malaysia melalui lagu kerohaniannya. MAHER ZAIN dan Malaysia kini adalah satu 'ikatan' yang sinonim. Dalam tempoh enam bulan, Maher sudah dua kali berada di bumi Malaysia kerana sambutan yang cukup hangat di kalangan pencinta muzik ketuhanan yang semakin moden. Penerimaan khalayak terhadap kacak penampilannya, merdu mendayu vokalnya memuji Allah yang dibalut dalam irama pop komersial menjadikan Maher satu fenomena luar biasa di Malaysia. Justeru tidak hairan apabila Maher mampu memikat hati peminatnya dengan konsert dua hari berturut-turut yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada hujung minggu lalu, sekali gus mengumpul lebih 12,000 peminatnya untuk 'bersatu' memuji Allah S.W.T dalam konsert tersebut. Berpeluang membuat liputan pada hari pertama konsert Maher Zain Live In Concert berlangsung, kemunculan penyanyi kelahiran Lebanon itu sememangnya ditunggu-tunggu para penonton yang menanti seawal 6 petang bagi menyaksikan sendiri artis pujaan mereka dengan lebih dekat. Bahkan, persembahan Maher dianggap mempunyai kelas tersendiri kerana turut diiringi barisan pemuzik orkestra antarabangsa yang menyajikan alunan muzik mengasyikkan. Fenomena Maher Zain seakan tidak terpadam dalam memori peminat di negara ini malah aura Maher dibuktikan melalui kehadiran penonton daripada pelbagai peringkat umur walaupun harga tiket sekitar RM53 hingga RM297. Dibawakan oleh In Team Records Sdn. Bhd. dan Fiero Sdn. Bhd. serta kolaborasi dengan pihak Awakening Entertainment, konsert berkenaan turut mempersembahkan Irfan Makki dari Kanada, Mesut Kurtis dari Macedonia dan grup Nasyid tempatan, Inteam sebagai artis undangan. Melenyapkan seketika ingatan terhadap persembahan pembukaan oleh Inteam yang menyampaikan dua buah lagu iaitu Dia Muhammad dan lagu medley Kasih Kekasih, Nur Kasih, Rabiatul Adawiyah dan Setanggi Syurga.
Penonton terus dihidangkan dengan persembahan penyanyi bersuara halus kelahiran Pakistan, Irfan Makki menerusi tiga buah lagu Inggeris. Namun, semuanya hilang seketika tatkala Maher melontarkan suaranya menerusi lagu Always Be There serta menyampaikan lebih daripada 10 lagu yang menjadi ikutan ramai. Penonton juga seakan-akan terpukau dengan lelaki berusia 29 tahun itu apabila mereka mahu menyanyi bersama-sama menerusi lagu Ya Nabi Salama Alayka. Bukan itu sahaja, Maher yang kini menetap di Sweden turut berduet dengan Irfan, Mesut dan seorang penyanyi Indonesia, Fadly. Antara lagu duet tersebut adalah, Insha Allah, Allahi Allah Kiya Karo, Subhanallah dan La Ilaha Illallah. Naskhah Palestine Will Be Free membawa audiens meratapi penderitaan penduduk Palestin yang masih dibelenggu masalah sehingga kini. Gema suara Maher di dalam stadium terhenti seketika apabila dia memberi peluang kepada Mesut menyampaikan beberapa buah lagu yang tidak putus mendapat tepukan penonton. Kemunculan semula Maher mendapat tepukan gemuruh apabila dia menyampaikan lagu istimewa berjudul Freedom yang belum dipersembahkan di mana-mana tempat sebelum ini. Naskhah Freedom mengisahkan konflik yang berlaku di beberapa negara Arab baru-baru ini seperti Tunisia, Mesir dan Libya apabila rakyat mahukan kebebasan. For The Rest of My Love menjadikan ruang stadium tertutup gamat kerana sudah tentunya, lagu tersebut dinantikan dan menjadi pilihan terutama buat lelaki yang sudah berkahwin. Kemudian Barakallah dan Insha Allah (versi Melayu) mengambil alih suasana dengan tepukan gemuruh daripada penonton yang turut menyanyi malahan mereka tidak berganjak dari tempat duduk. Seperti enggan melepaskan Maher pergi, para penonton dinyanyikan kembali dengan beberapa lagu popular sebagai persembahan terakhirnya seperti Freedom, Insha Allah dan For The Rest of My Love. | ||||||
The Wanted diminati gadis Malaysia Posted: The Wanted diminati gadis MalaysiaOleh RONI HIDAYAT RIDWAN THE WANTED, dari kiri: Siva Kaneswaran, Nathan Sykes, Max George, Jay McGuiness dan Tom Parker. PENTAS seni hiburan antarabangsa suatu ketika dahulu pernah dimeriahkan dengan kehadiran begitu banyak kumpulan muzik remaja terkenal sekitar akhir tahun 90-an. Nama-nama seperti Take That, Westlife, N Sync dan Backstreet Boys adalah antara kumpulan yang menjadi kegilaan ramai remaja di seluruh dunia. Biarpun kini era kegemilangan kumpulan muzik remaja seperti tenggelam, tetapi masih terdapat lagi beberapa buah kumpulan baru yang telah ditubuhkan. Antaranya adalah The Wanted, sebuah kumpulan yang berasal dari United Kingdom dan kini sedang mengecap populariti di negara tersebut. Ia dianggotai oleh lima orang ahli iaitu Max George, Siva Kaneswaran, Jay McGuiness, Tom Parker dan Nathan Sykes. Ditubuhkan pada tahun 2009, kelima-lima anak muda ini telah bergabung setelah melalui satu sesi uji bakat yang dijalankan oleh Jayne Collins. Menariknya tentang kumpulan ini, kesemua ahlinya mempunyai latar belakang tersendiri. Max misalnya adalah bekas pemain bola sepak dan pernah mewakili pasukan Preston North End di England. Sementara, Siva yang merupakan jejaka kacukan Ireland-Sri Lanka adalah seorang model, Jay pula berbakat dalam bidang tarian sementara Tom adalah pelajar universiti dalam bidang Geografi dan Nathan adalah ahli paling muda iaitu baru berusia 17 tahun dan sering membuat persembahan nyanyian sejak kecil. Setelah ditubuhkan, kumpulan tersebut terus tidak menoleh ke belakang lagi dengan menghasilkan single pertama mereka yang berjudul All Time Low. Ternyata lagu yang dihasilkan oleh Steve Mac dan Ed Drewett itu terus mengungguli carta UK Singles pada minggu pertama ia diperdengarkan di corong radio. Kemudian pada November 2010, mereka telah menghasilkan sebuah album yang mengandungi 13 buah lagu termasuk hit mereka, Heart Vacancy dan Lose My Mind. Biarpun masih agak baru lagi dalam persada hiburan, tetapi kumpulan itu juga turut meraih beberapa kejayaan. Antaranya, menang untuk kategori Kumpulan Terhangat di 4Music Awards serta tercalon dalam kategori Kumpulan Terbaik di Anugerah Virgin Media Music. Masakan tempatan Tidak dinafikan anggota The Wanted sememangnya mempunyai raut wajah yang menarik. Maka, tidak hairanlah kumpulan ini agak mudah untuk mendapat perhatian di kalangan peminat terutamanya wanita. Malah, kehadiran mereka ke Malaysia dan mengadakan persembahan istimewa untuk peminatnya di negara ini pada 20 Februari lalu turut menerima sambutan yang cukup hangat. Salah seorang ahli kumpulan tersebut, Sam ketika ditemui pada satu sesi sidang media baru-baru ini memberitahu bahawa mereka sendiri tidak menyangka tentang sambutan daripada peminat di negara ini. "Memandangkan kami masih lagi baru dan ini pertama kali menjejakkan kaki di Malaysia, kami amat terkejut kerana terdapat begitu ramai peminat fanatik kami. Sudah tentu kami sangat gembira dengan penerimaan peminat di sini. "Ketika membuat persembahan juga kami telah mendapat respons yang begitu baik. Tidak mustahil selepas ini kami akan kembali semula ke negara ini dan untuk mengadakan persembahan yang lebih besar," ujarnya. Sementara itu bagi Tom pula, kehadiran mereka ke negara ini juga telah digunakan sebaik-baiknya untuk mengenali budaya negara ini dengan lebih dekat lagi. "Apa yang menarik tentang Malaysia adalah makanannya. Kami sempat untuk menjamu selera di Little Penang dan telah berpeluang mencuba beberapa makanan seperti laksa dan nasi lemak," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |