Adsense

Isnin, 28 Februari 2011

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Artis Hargai Penerbitan Mingguan mStar

Posted: 27 Feb 2011 07:06 AM PST

MINGGUAN mStar akan melalui detik bersejarah setiap kali hadirnya tarikh 28 Februari setiap tahun. Ini kerana pada tarikh itu meningkatlah satu angka usia akhbar berkenaan.

Hari ini, usia akhbar yang diterbitkan bersama Sunday Star ini melalui tarikh istimewa itu. Sempena sambutan ulang tahun pertama, Mingguan mStar tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan komen sebahagian daripada beberapa artis yang pernah diberi peluang menjadi penghias muka belakang, iaitu segmen utama ruangan hiburan.

Mereka berpendapat, Mingguan mStar mampu bersaing dengan akhbar-akhbar lain. Dalam masa yang sama, sisipan pertama dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris ini adalah satu idea menarik yang tidak dilakukan oleh syarikat-syarikat penerbitan lain.

Mingguan mStar mendapatkan pandangan mereka.


Juliana Evans.
Lebih santai - Juliana Evans

Pelakon Juliana Evans berpendapat akhbar Mingguan mStar sebuah akhbar baru yang banyak menyokong perjalanan artis-artis tanah air terutamanya artis-artis baru sepertinya.

"Bagi saya dari segi pengisian, akhbar ini lebih santai berbanding akhbar-akhbar utama. Terutamanya apabila duduk bersantai bersama seisi keluarga.

"Apa yang istimewa ialah sisipan berbahasa Malaysia dari dalam sebuah akhbar Inggeris ini membuka peluang kepada kaum lain untuk mengetahui tentang dunia hiburan Malaysia," katanya.

Tambahnya, dari aspek kualiti, tidak dapat dinafikan berbeza dengan surat khabar lain sama ada kualiti kertas dan reka letak yang menarik.



Ainul Aishah.
Wadah pembaca berbeza - Ainul Aishah

Kali pertama diberi peluang untuk menjalani sesi fotografi bersama akhbar Mingguan mStar, pelakon Ainul Aishah berpendapat ia mempunyai keistimewaan tersendiri.

Menurut Ainul, prospek pembaca akhbar ini lebih luas berbanding akhbar lain yang lebih tertumpu kepada audiens Melayu.

Mingguan mStar secara tidak langsung mempromosi artis kepada audiens berbeza.

"Biarpun baru berusia setahun, ia telah dikenali ramai. Bukan sahaja akhbar malah mStar Online juga menarik.

"Sebagai artis yang saling memerlukan publisiti, saya berharap Mingguan mStar meneruskan usaha memartabatkan industri tempatan dan membantu artis- artis baru yang mula mencari tapak dalam bidang seni," katanya.


Medium bacaan baru - Diana Amir


Diana Amir.
Bagi pelakon baru, Diana Amir, Mingguan mStar merupakan sebuah medium bacaan baru yang muncul mewarnai dan menghangatkan industri seni.

"Saya suka membacanya kerana pengisian lebih memberi informasi dan maklumat terbaru berbanding gosip dan kontroversi.

"Selain itu, gaya penulisan yang bersahaja dan santai membuatkan lebih mudah difahami dan menarik terutamanya golongan remaja untuk meneruskan bacaan.

"Saya percaya Mingguan mStar sudah mempunyai pengikut tersendiri biarpun baru setahun keluarannya. Kita sudah sedia maklum ia bermula dari portal mStar Online yang sentiasa padat dengan maklumat terkini terutamanya hiburan telah menarik bilangan pengikutnya untuk membaca akhbar tersebut," katanya.


Adeline Tsen.
Peluang artis baru tonjol diri - Adeline Tsen

Bagi pelakon Adeline Tsen, Mingguan mStar berbeza dari akhbar-akhbar lain, dari sudut berita hiburan yang disajikan kepada pembaca sehinggalah rencana-rencana lain.

"Saya tertarik untuk membaca keseluruhan isi kandungannya yang bukan sahaja menghiburkan malah memberi informasi terkini.

"Apa yang saya lihat sudut pandangan Mingguan mStar berbeza dari akhbar lain, ia banyak fokus kepada perkembangan kerjaya seseorang artis dan berita tentang mereka.Selain itu, Mingguan mStar turut memberi peluang kepada artis baru untuk memperkenalkan diri mereka melalui medium ini.

"Saya juga berbangga kerana Mingguan mStar memberi lebih banyak ruang kepada artis tempatan berbanding artis luar negara," katanya.


Gambit Saifullah.
Kualiti menarik - Gambit

Sementara itu, pelakon kacak Gambit Saifullah atau Gambit mengakui Mingguan mStar mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding akhbar-akhbar lain.

Ia bukan sahaja menjadi sisipan dalam akhbar berbahasa Inggeris pertama di negara ini sebaliknya golongan sasaran mereka berbeza, malah pengisian juga lebih banyak informasi.

"Keluaran setiap hujung minggu sangat bertepatan dengan berita yang disajikan lebih santai dan menarik. Tidak hanya memaparkan kontroversi kosong tetapi isu yang dibangkitkan memberi pengajaran berguna kepada para artis.

"Semoga dengan kehadiran Mingguan mStar yang masih hijau ini mampu membantu industri hiburan agar lebih berdaya saing," ujarnya.

Bagaimanapun menurut pelakon Awan Dania ini, dari sudut kualiti, akhbar ini merupakan antara akhbar berkualiti terbaik. Cantik dan menarik yang mampu menarik lebih ramai pembaca.


Farahdhiya.
Banyak informasi terkini - Farahdhiya

Bagi pelakon Faradhiya, kehadiran akhbar Mingguan mStar sudah pun disedari walaupun ia baru sahaja setahun.

"Saya tahu kewujudan akhbar ini sejak pertama kali ia dikeluarkan. Apa yang saya lihat ia bukan sekadar hiburan sahaja, malah memberi banyak informasi tentang hiburan.

"Mingguan mStar mempunyai sudut pandangan berbeza yang lebih banyak menumpukan soal berita hiburan terkini tanah air," ujarnya.

Tambah Farah, lebih menarik lagi ia menjadi sisipan kepada akhbar berbahasa Inggeris, Sunday Star.

"Saya rasa ini satu-satunya akhbar bahasa Melayu yang berada dalam akhbar berbahasa Inggeris.

"Pada saya dari segi golongan pembaca turut berbeza yang bukan sahaja dari peminat hiburan Melayu," katanya.


Intan Ladyana.
Saingan kepada akhbar lain - Intan Ladyana

Bagi pelakon Intan Ladyana, potensi akhbar ini berkembang dan memberi saingan kepada akhbar lain sangat besar.

"Saya pergi semasa majlis pelancarannya pada tahun lalu dan ketika itu saya sudah nampak ia mampu untuk pergi jauh seperti akhbar lain.

"Selain itu, berita- berita yang dipaparkan juga berguna untuk artis, ia bukan sekadar gosip semata-mata," ujarnya.

Tambah Intan, kertas dan warna pada akhbar tersebut juga menarik minat pembaca untuk terus membaca.

"Saya harap semua yang ada dikekalkan, malah menambah lebih banyak lagi ruangan hiburan berbanding sekarang. Saya ucapkan selamat maju jaya pada masa akan datang," katanya.


Marsha.
Dapat tenangkan fikiran - Marsha

Bagi penyanyi Marsha, Mingguan mStar merupakan sebuah akhbar yang menyajikan bahan hiburan yang menarik dan santai.

"Saya suka membaca hiburannya yang lebih ringan dan mudah diterima. Bagi saya ia sesuai dengan waktu dan hari Ahad di mana kita mahukan bacaan yang lebih untuk menenangkan fikiran.

"Bagaimanapun, sayangnya ia hanya boleh didapati di Lembah Klang sahaja. Ramai yang tidak mengetahui tentang kewujudan akhbar ini terutamanya pembaca di luar Kuala Lumpur," katanya.

Selain itu, katanya perbanyakan lagi maklumat tentang perkembangan dunia hiburan sepanjang minggu untuk dimuatkan dalam akhbar tersebut.


Memey Suhaiza.
Ada pengikut sendiri - Memey

Pelakon Memey Suhaiza atau lebih dikenali Memey juga menganggap Mingguan mStar sebagai medium maklumat baru yang berkesan.

"Saya percaya ramai yang sedar kewujudan Mingguan mStar terutamanya dari kalangan pengikut portal mStar Online.

"Peminat-peminat saya juga sering memberi maklumat tentang saya yang keluar di Mingguan mStar. Malah ramai yang beri maklum balas positif tentang penulisan akhbar ini," katanya.

Selain itu, menurut Memey, reka letak dan grafik pada setiap berita juga menarik perhatian untuk pembaca meneruskan bacaan.


Irma Hasmie.
"Saya tertarik dengan gambar dan grafik pada Mingguan mStar yang menarik minat saya agar terus membaca sesebuah berita," katanya.

Hidangkan maklumat hiburan - Irma Hasmie

Manakala bagi pelakon Irma Hasmie, Mingguan mStar mempunyai perspektif berbeza berbanding akhbar lain, ia lebih ringan sebagai bahan bacaan.

"Apa yang saya lihat Mingguan mStar lebih banyak memaparkan perkembangan kerjaya artis dan cerita-cerita terkini tentang artis.

"Seronok membacanya kerana ia lebih menjurus kepada menyalurkan maklumat berbanding mencipta kontroversi," katanya.

Selain itu, kata Irma hiburan yang disampaikan melalui ruangan hiburan banyak memberi pengajaran dan bersifat ilmiah.

"Saya sentiasa menyokong perkembangan dan kemajuan akhbar ini sejak dari pelancarannya tahun lalu. Saya yakin ia pasti berjaya dalam persaingan dengan akhbar-akhbar tempatan yang lain.

"Kewujudan Mingguan mStar memberi pilihan kepada pembaca untuk mendapatkan banyak maklumat tentang perkembangan dunia hiburan tempatan," katanya.

Balu Loloq Belum Sedia Berkahwin Lain

Posted: 27 Feb 2011 07:04 AM PST


KUALA LUMPUR: Selepas lebih tiga tahun penulis lirik prolifik, Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis meninggal dunia, balunya, Hariah Yaacob, 39, akui masih belum bersedia atau terfikir untuk berkahwin lain.

Sehingga kini, dia masih mengingati arwah dan pada setiap Jumaat, pasti Hariah dan anak-anaknya akan melawat kubur arwah Loloq di Tanah Perkuburan Bandar Baru Sungai Buloh dan mensedekahkan ayat-ayat suci al-Quran.

Lebih mengharukan, ulang tahun perkahwinan Hariah dan Loloq yang jatuh pada 27 Februari pada setiap tahun akan dikenang bersendirian tanpa ditemani sang suami di sisi.

Bagaimanapun, ibu kepada tiga orang anak ini setia menyokong setiap sumbangan peninggalan arwah suaminya dalam industri seni muzik tempatan.

Terbaru, Hariah membenarkan syarikat produksi Global Network Entertainment Sdn Bhd, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Badan Kesenian Kementerian Pertahanan dan Istana Budaya untuk menganjurkan Konsert Untukmu Loloq.

Konsert tersebut bakal berlangsung pada 22 hingga 24 April ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

"Saya sangat menyokong konsert yang dianjurkan oleh pihak-pihak yang sudi mengangkat karya arwah Loloq sebagai tanda penghargaan mereka kepada sumbangan penulis lirik sepertinya yang dirasakan pertama kali dilakukan.

"Sebelum ini, pihak penganjur konsert lebih memberikan penghargaan kepada penyanyi," kata Hariah dalam satu sidang media.

Pengarah konsert, Lokman Ghani memaklumkan Hariah dan anak-anak Loloq mungkin akan terlibat dalam konsert tersebut.

Bagaimanapun, Hariah menafikan perkara tersebut sebaliknya mengakui kemungkinan anak bongsunya bernama Yasha Nur, 10, akan mendeklamasikan sajak berjudul 'Papa Jangan Kau Pergi'.

"Yasha menulis sendiri sajak 'Papa Jangan Kau Pergi' sewaktu berusia 7 tahun iaitu beberapa bulan selepas arwah suami saya meninggal.

"Mungkin dia akan membaca sajak tersebut," katanya.

Hasil perkahwinan dengan Loloq, Hariah turut dikurniakan anak bernama Krsty Nur, 15, dan Jaevn Nur, 12.

Konsert Untukmu Loloq terbahagi kepada empat segmen iaitu berkisar latar belakang arwah, nyanyian lagu-lagu popular karya Loloq oleh kumpulan Spider, Ella dan Ramli Sarip, sketsa pendek tentang Loloq dan penampilan khas M.Nasir.

Loloq aktif menulis lirik sejak berusia 20 tahun dan terkenal dengan beberapa nama pena lain seperti Nurbisa.

Selain itu dia juga dikenali sebagai pelakon filem dan drama televisyen seperti Pari-Pari, Lang Buana, Zombi Kampung Pisang dan Man Laksa.

Antara lirik lagu ciptaannya adalah Andalusia, Ghazal Untuk Rabiah, Mentera Semerah Padi, Apokalips, Bonda dan Aladin.

Harga tiket Untukmu Loloq dijual pada harga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM295 dan RM450.

Izreen Sapu Madu Pada Muka

Posted: 27 Feb 2011 07:03 AM PST


MINGGUAN mStar kali ini mendedahkan rahsia kecantikan pelakon Izreen Azminda Mohd Aznam (Izreen), 26, yang menggunakan madu dan air gula untuk merawat kulit wajahnya.

Petua yang diperolehi daripada seorang rakannya itu dipercayai mampu mengekalkan awet muda dan menaikkan seri wajah.

Kata Izreen, dia menyapu madu pada muka setiap dua kali seminggu manakala air gula pula disapukan pada muka setiap pagi selepas bangun tidur.

"Saya mempunyai seorang kawan yang kelihatan seperti berusia 30-an tetapi sebenarnya berumur 50-an. Apabila saya bertanya rahsianya, dia menyuruh saya amalkan menyapu madu pada muka selama setengah hingga satu jam dan selepas itu basuh muka dengan air.

"Selain itu, saya selalu menyapu air gula yang dicampur dengan air suam sambil berselawat sebanyak tiga kali. Tunggu sehingga kering dan selepas itu basuh muka dengan air. Orang kata kalau kita nak buat orang suka dengan kita, amalkan petua ini. Insya-Allah, berkesan," kata pelakon drama Isabella, Gelora Di Hati Sara 2, Nenek Kebaya dan Samson Delaila ini.



Bercerita lebih lanjut tentang petua kecantikan lain yang turut diamalkan oleh Izreen, dia juga menggunakan jamu Mustika Ratu untuk penjagaan dalaman.

Izreen berkata dia mula terdedah dengan jamu sejak bersekolah di tingkatan empat selepas membaca buku kecantikan.

"Saya makan jamu setiap hari sejak zaman remaja dan kesannya sangat bagus. Saya gemar mengamalkan petua tradisional dan kalau mempunyai masa lapang, saya akan membasuh muka dengan air beras," ujarnya yang turut mengambilkan beberapa jenis vitamin setiap hari untuk memelihara tenaga.

Bagaimanapun, Izreen tetap tidak dapat mengelak daripada berlakunya masalah pada kulit muka pada waktu-waktu tertentu setiap bulan dan terdedah kepada pancaran lampu di set penggambaran.

Bagi mengurangkan berlakunya masalah kulit, gadis yang dibesarkan di Jitra, Kedah ini tidak putus menggunakan produk asas penjagaan kulit muka seperti pencuci muka, penyegar muka, pelembap muka dan krim pelindung cahaya matahari.

Produk-produk kecantikan yang dibelanjakan biasanya tidak melebihi RM500 dan boleh bertahan sehingga empat atau enam bulan.Dalam berhati-hati menggunakan produk kecantikan, dia pernah menjadi mangsa produk.

"Baru-baru ini, saya tersilap menggunakan satu produk dan secara tiba-tiba jerawat tumbuh dengan banyak pada muka seperti terkena demam campak.

"Pada dua tahun lepas, kulit muka saya tiba-tiba menjadi gelap seperti wanita dalam filem lama, Dayang Senandung kerana produk itu tidak sesuai dengan kulit saya," ceritanya.

Tambahnya lagi: "Bukan sahaja silap guna produk, saya juga pernah tersilap memotong rambut yang pada asalnya mahukan potongan fringe (berjambul) tetapi akhirnya dipotong ala-ala seperti macam topi keledar.

"Sejak daripada itu, saya mula takut memotong rambut mengikut potongan fringe. Untuk menutup kelemahan itu, saya sanggup menyambung rambut palsu."

Pelakon yang petah bercakap ini juga akui berkunjung ke salun kecantikan untuk melakukan rawatan muka sekali dalam sebulan mengikut kelapangan waktunya.

Tekan tubi

Selain mementingkan penjagaan wajah, Izreen tidak lupa menjaga kesihatan dan kecantikan badannya dengan mengamalkan senaman.

"Saya selalu melakukan senaman tekan tubi sebanyak 10 kali serta melompat sebanyak 100 kali setiap pagi dan sebelum tidur," ceritanya.

Beralih kepada penampilan, Izreen bukanlah seorang yang terlalu mementingkan jenama dari segi fesyen. Tetapi dalam satu atau dua pakaiannya pasti ada barangan yang berjenama mengikut kemampuannya.

"Saya jenis yang tak kisah tentang jenama tetapi sekali-sekala kalau teringin memakai pakaian berjenama, saya akan keluarkan duit lebih untuk membelinya.

"Kebanyakan pakaian tersebut dibeli di pusat membeli-belah Sungei Wang Plaza dan Bukit Bintang kerana pakaian yang dijual di situ cantik-cantik dan menepati cita rasa saya," ujarnya yang membela tiga ekor kucing sebagai penemannya di rumah.

Dengan keramahannya, dia yang telah tiga tahun menceburi dunia lakonan akan berbual dengan kucing untuk menghilangkan rasa stres.

Jika stres, Izreen suka menghabiskan masa di rumah dengan relaks, makan, tidur dan menonton televisyen.

Mila Sesuai Dengan Lagu Balada

Posted: 27 Feb 2011 07:02 AM PST


PERTARUHAN sebanyak lapan buah lagu yang dimuatkan dalam album kedua juara Akademi Fantasia 5 (AF5), Nursyarmilla Jirin atau Mila (gambar) berjudul Mila Jirin memberikan sebuah nafas baru buat penyanyi jelita ini.

Empat tahun dalam industri muzik menampakkan kematangan yang cuba ditonjolkan oleh Mila dengan mengetengahkan muzik berentak pop moderate, nuansa rock dan elektronik fusion pada album tersebut.

Menerima sentuhan daripada komposer-komposer hebat seperti Ajai, Aidit Alfian, Richard Kyoto dan Amir, imej muzik yang dibawakan Mila menampakkan sedikit kelainan berbanding album pertamanya, Persis Mutiara.

Pertama kali mendengar album ini, lagu-lagu yang dinyanyikan tidak banyak yang 'mesra pendengar'.

Mungkin kerana genre muzik sentuhan Aidit Alfian yang dibawakan, seperti lagu Bebas, Malu Malu dan Luahan Hati agak pelik kedengaran, ia terasa sedikit janggal apabila Mila membawakan lagu-lagu tersebut. Lagu-lagu tersebut yang dinyanyi Mila seperti kurang penjiwaan dan vokalnya terasa seperti tidak masuk dengan muzik yang dimainkan.

Bagaimanapun, apabila lagu-lagu tersebut kerap dimainkan, ia mungkin menjadi lagu pilihan buat peminat-peminat Mila.

Dengan usianya yang muda untuk mencuba sesuatu yang baru, tidak salah jika Mila ingin mencuba membawakan muzik yang berbeza.

Diakui, vokal mantap Mila lebih hebat apabila membawakan lagu berkonsep pop dan balada seperti lagu Kata Hati, Siapa Tak Perlu Cinta dan Kasih Yang Terdampar.

Selain itu, dua lagu iaitu Aku Lebih Tahu, La Ober La La La dinyanyikan semula dengan cara yang tersediri.

Secara keseluruhan, anak jati Pulau Pinang ini mengeluarkan album baru ini dengan memberikan santapan segar buat peminat-peminatnya serta pencinta muzik yang baru ingin mengenali penyanyi ini, seiring dengan selera pendengar masa kini.

Album ini diterbitkan oleh MJ Panacea Records Sdn Bhd dengan kerjasama Erama Records Sdn Bhd dengan menggunakan susunan muzik berkonsepkan band.

Artis: MilaLagu Pilihan: Bebas, Malu Malu, Kata Hati, Kasih Yang TerdamparEdaran: Erama Records Sdn Bhd