Adsense

Rabu, 23 Februari 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Oscar milik Natalie atau Annette?

Posted:

Oscar milik Natalie atau Annette?

Oscar milik Natalie atau Annette?

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my


ADAKAH Annette Bening terpaksa akur dengan pilihan juri sekali lagi tahun ini?


MEMANG harus diakui, setiap tahun menjelangnya Oscar, kategori Pelakon Wanita Terbaik merupakan antara yang paling mendapat perhatian.

Siapa yang dapat lupakan bagaimana persaingan yang cukup hebat telah berlaku tahun lalu antara Sandra Bullock dan Meryl Streep sehingga tiga calon lain dianggap sebagai pelengkap senarai pencalonan sahaja.

Mungkin kedengaran agak kasar tetapi itulah hakikat yang perlu dihadapi oleh semua pihak tahun lalu yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Bullock menerusi filem The Blind Side.

Setiap tahun Oscar pasti akan memperlihatkan saingan yang cukup sengit sehingga peminat, pengkritik dan pemerhati filem sendiri berasa sukar untuk membuat pilihan mereka.

Kita hanya boleh meramal tetapi keputusannya sudah pasti terletak di tangan pihak juri yang lebih bijak menilai dalam mencari pemenang sejati.

Untuk edisi kali ini, saingannya juga bukan sembarangan kerana lima calon terpilih dalam Pelakon Wanita Terbaik tahun ini semuanya hebat-hebat belaka.

Lima aktres hebat yang dicalonkan ialah Annette Bening menerusi filem The Kids Are All Right, Nicole Kidman (Rabbit Hole), Jennifer Lawrence (Winter's Bone), Natalie Portman (Black Swan) dan Michelle Williams (Blue Valentine).

Pelbagai watak dan corak persembahan yang ditampilkan oleh kelima-lima calon ini namun, hanya ada satu sahaja pemenang yang akan dijulang kelak.

Tetapi, siapa tahu, Oscar mahu membikin kejutan kali ini dengan memilih dua pemenang untuk menjadikan keputusannya seri.

Mustahil? Tidak mungkin kerana anugerah itu pernah mengiktiraf dua aktres sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada tahun 1969 lalu menjadikan ia antara rekod luar biasa pernah dicipta di pentas Oscar.

Dua aktres unggul yang dimaksudkan itu ialah Katharine Hepburn dan Barbra Streisand yang telah berkongsi kemenangan masing-masing menerusi filem The Lion in Winter serta Funny Girl.

Berbalik kepada calon tahun ini, dua aktres akan bersaing hebat untuk merebut trofi dan gelaran yang menjadi idaman ramai aktres itu.

Portman dan Bening yang masing-masing dicalonkan menerusi filem Black Swan dan The Kids Are All Right pastinya akan membuatkan juri pening kepala untuk memilih salah seorang daripada mereka.

Sejak dari awal musim anugerah kali ini, Portman telah merangkul tiga anugerah utama iaitu Golden Globe, Screen Actors Guild dan BAFTA serta pelbagai pengiktirafan daripada badan pengkritik filem di Amerika Syarikat.

Lalu, ia menjadikan Portman sebagai calon utama untuk memenangi Oscar tahun ini sekali gus melengkapkan koleksi trofi Pelakon Wanita Terbaik tahun ini.

Merupakan seorang calon Oscar sebelum ini untuk kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada tahun 2005, kebarangkalian Portman untuk diiktiraf di pentas Oscar memang cukup besar.

Lakonannya sebagai Nina Sayers dalam filem Black Swan merupakan antara persembahan terbaiknya sepanjang bergelar seorang aktres.

Permainan emosi dan karakter yang dianggap sebagai luar biasa itu ternyata benar-benar menonjolkan kredibiliti Portman sebagai seorang aktres sejati.

Melihat dirinya dalam filem Black Swan memang jelas membuktikan Portman menghayati dan mendalami wataknya sebagai seorang penari balet yang mempunyai sisi gelap tanpa disedarinya.

Walau bagaimanapun, Portman enggan memikirkan soal kemenangan kerana baginya saingan tahun ini bukan calang-calang.

"Apa yang mencabar saya ketika ini adalah untuk mencari busana yang sesuai untuk dipakai pada malam itu nanti. Dengan perut ini, sudah pasti saya mahu mencari gaun yang mempunyai ruang yang luas untuk saya bergerak (ketawa).

"Sekarang ini zaman sudah berubah. Fesyen merupakan perkara utama yang diambil perhatian dan bukannya lagi cerita tentang filem yang dipertandingkan," ujar Natalie memberikan pandangannya.

Untuk Bening pula, sudah empat kali dia dicalonkan namun gagal memenangi sebarang trofi untuk disimpannya sebagai kenangan.

Kali pertama Bening dicalonkan untuk Oscar adalah pada tahun 1992 bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Bugsy.

Lapan tahun kemudian, sekali lagi namanya menjadi perhatian dan disebut-sebut untuk memenangi Pelakon Wanita Terbaik berdasarkan lakonan hebatnya dalam filem American Beauty.

Namun Bening harus akur dengan kehendak dan pilihan juri yang menobatkan Hilary Swank ketika itu.

Pertembungan antara Bening dan Swank berlaku untuk kali kedua dalam acara yang sama pada tahun 2005 di mana Bening dicalonkan bagi filem Being Julia manakala Swank pula untuk filem Million Dollar Baby.

Sekali lagi, Bening pulang dengan kehampaan untuk merasai nikmat kemenangan Oscar apabila dia tewas kepada Swank buat kali kedua.

Atas alasan itu, ramai yang meramalkan sudah tiba masanya untuk Bening diiktiraf selepas tiga kali ditewaskan.

Sementelah lakonannya sebagai seorang ibu dan lesbian dalam filem romantik komedi, The Kids Are All Right cukup menyakinkan dan mendapat pujian sehingga melayakkannya memenangi Golden Globe untuk Pelakon Wanita Komedi atau Muzikal Terbaik.

Atas keberkesanan lakonannya itu, mungkin akan memberi peluang kepada Bening untuk menggenggam Oscar tahun ini?.

Atau isteri kepada pengarah dan pelakon veteran Warren Beatty akan mengalami nasib yang sama seperti pelakon Deborah Kerr yang pernah menerima enam pencalonan Pelakon Wanita Terbaik namun tidak pernah memenanginya?

Bagaimana pula dengan Kidman? Memang tidak mustahil jika pihak juri merasakan Kidman layak untuk memenangi Pelakon Wanita Terbaik sekali lagi.

Sebagai Becca Corbett, seorang ibu yang berdepan dengan tekanan selepas anak lelakinya meninggal dunia, lakonan Kidman sememangnya berada dalam kelas yang tersendiri.

Pelakon muda, Jennifer Lawrence yang meraih perhatian ramai menerusi filem Winter's Bone memang dari awal lagi dijangka akan tercalon untuk Oscar.

Sejak filem tersebut ditayangkan dan seterusnya memenangi Filem Terbaik pada Festival Filem Sundance tahun lalu, nama Lawrence terus meniti bibir pengkritik filem yang merasakan lakonannya begitu autentik dan terperinci.

Pelakon Wanita Terbaik juga tidak terlepas daripada kejutan apabila nama Michelle Williams tersangkut sebagai salah seorang calon.

Dicalonkan atas tiket filem Blue Valentine, mungkin belum tiba masanya untuk Williams menjulang trofi keramat itu.

Siapa tahu, mungkin filem My Week With Marilyn akan membawa tuah buat Williams seandainya dia dicalonkan untuk Oscar tahun depan.

Pilihan Hits: Natalie Portman - Black Swan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Gelap yang mempesona

Posted:

Gelap yang mempesona

Gelap yang mempesona

Oleh SYAZWAN ZAKARIAH
syazwan_zakariah@astro.com.my


NATALIE Portman memberikan persembahan yang sempurna dalam filem Black Swan.


TIDAK keterlaluan kalau saya katakan ini adalah filem terbaik Darren Aronofsky. Apa yang digembar-gemburkan mengenainya bukan sekadar gimik atau publisiti kosong.

Black Swan sememangnya sebuah naskhah yang bukan saja layak masuk Oscar, tetapi mampu menghiburkan khalayak massa.

Nina Sayers, lakonan Natalie Portman ialah seorang penari balet yang bercita-cita tinggi. Dia berusaha keras untuk membuktikan dirinya bernilai, apatah lagi memikul keinginan ibunya yang tidak kesampaian.

Apabila syarikat baletnya berdepan masalah, pengarah Thomas Leroy, lakonan Vincent Cassel membuat keputusan untuk memperbaharui versi klasik Swan Lake. Pemilihan Nina sebagai bintang utama yang dilihat sebagai satu rahmat, sebenarnya membawa kecelakaan.

Watak yang diserahkan kepada Nina adalah dua peranan berbeza. Dia harus menjadi White Swan yang penuh kemurnian, dalam masa yang sama sebagai pasangan kembarnya Black Swan yang jahat. Pencarian sifat hitam di dalam dirinya menjadikan Nina serba keliru.

Bukan itu saja, Nina berdepan dengan tekanan untuk menjadi lebih baik daripada primadona Beth Mcintyre, lakonan Winona Ryder. Dia juga berasa terancam dengan kehadiran penari baru, Lily, lakonan Mila Kunis. Obsesi Nina dalam mengejar kesempurnaan telah menggugat mental dan fizikalnya.

'Kesakitan' yang dialami Nina dipaparkan sejak awal filem. Dia mula melihat wajah orang lain di cermin dan mempunyai kesan luka yang tidak tahu punca.

Semakin filem bergerak, penonton semakin jelas bahawa Nina mengalami masalah halusinasi yang kronik sehingga tidak dapat membezakan realiti.

Black Swan merupakan satu pengalaman tontonan yang mengasyikkan. Naskhahnya bersempadan antara perkara yang indah dan yang menakutkan, seperti mana yang pernah dipamerkan Aronofsky menerusi The Wrestler (2008) dan Requiem for a Dream (2000).

Di antara drama, psycho-thriller dan horror, sukar untuk mengklasifikasikan filem ini pada satu genre. Pengarah muda ini bijak membuatkan penonton berasa tidak selesa, namun tetap mahu menyaksikannya.

Black Swan dibuka dengan agak perlahan, tetapi sebaik saja 'kegilaan' Nina bermula, filem ini tidak akan lepas dari pandangan. Imaginasi Aronofsky berjaya mengelakkan momentum filem ini dari meleret atau menjunam.

Penonton dapat merasai transformasi Nina daripada satu karakter yang tulus kepada karakter yang mengerikan. Salah satu babak yang paling saya gemari ialah antara babak terakhir, ketika 'tumbuhnya sayap' Nina sebagai Black Swan. Kesan yang dipamerkan sangat mengagumkan.

Visual dan suntingan memainkan peranan penting dalam menjadikan filem ini cemerlang. Black Swan banyak bermain dengan warna hitam dan putih serta cermin yang menjadi perlambangan sifat baik, jahat dan penuh misteri.

Karakter-karakter utama seperti Nina, ibunya, Lily dan Thomas, diberikan beberapa dimensi, agar penonton sentiasa meneka dan tertanya-tanya.

Seperti filem-filemnya sebelum ini, terutamanya Closer (2004), Portman tidak pernah mengecewakan.

Malah, dalam Black Swan, dia bukan saja memberikan persembahan berkesan tetapi adjektif yang paling sesuai ialah sempurna.

Di mata penonton, dia bukan lagi seorang pelakon, tetapi seorang penari balet sebenar bernama Nina yang hidupnya serba tidak keruan. Adalah sesuatu yang sangat pelik jika Oscar tidak memilih Portman sebagai Pelakon Wanita Terbaik.

Barisan pemain pembantu melengkapi lakonan luar biasa Portman, terutama sekali Kunis yang selama ini tidak diselongkar keupayaannya.

Wataknya, Lily yang terheret dalam fantasi Nina, berjaya mengelirukan penonton untuk mempercayai dia adalah antagonis.

Walaupun kebarangkalian Black Swan untuk menang Filem Terbaik Oscar agak jauh, namun saya menganggap filem ini adalah adikarya Aronofsky.

Saya bersetuju dengan pandangan seorang rakan, bahawa pengarah ini membawa tafsiran seram yang baru, seperti mana zaman keemasan Roman Polanski dengan Rosemary's Baby (1968) atau The Tenant (1976).

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.