Utusan Online - Hiburan |
Posted: Maya temui lelaki idamanOleh KHADIJAH IBRAHIM
AKHIRNYA, saya dapat bersama dengan lelaki yang dicintai. Tidak seperti sebelum ini, percintaan saya sering berakhir dengan kekecewaan," akui Maya Karin. Maya Karin Roelcke, 32, yang telah bercerai dengan bekas suami, Steven David Shorthose, 42, pada 16 Julai tahun lalu mengakui beliau senang dengan kehadiran Remy Ishak yang sudi menerimanya tanpa prejudis. Kata Maya, semuanya berlaku tanpa dirancang dan apabila sering digandingkan bersama di pentas teater atau layar lebar, keserasian antara mereka terbina dengan sendiri. Beliau mula bekerjasama dengan Remy dalam filem Anak Halal, teater Natrah dan terbaru, pasangan itu akan muncul dalam filem Cun, arahan Osman Ali yang bakal ditayangkan di pawagam pada 31 Mac ini. Sambil mengukir senyuman, Maya memberitahu mereka bukan setakat berlakon bersama, malah turut berduet menerusi lagu Cun Selalu, ciptaan Nurzaidi Abd. Rahman. Kemesraan antara Maya dan Remy bukan setakat dalam filem malah di luar pun sama dan secara tidak langsung, ia memudahkan jurufoto merakam foto mereka ketika majlis beramah mesra filem Cun yang diadakan di Restoran Enak Kuala Lumpur, Starhill Gallery, Bukit Bintang, baru-baru ini. Baginya, Remy adalah seorang lelaki yang dedikasi kepada kerja dan mudah bekerjasama dengan sesiapa sahaja. Meskipun mengakui senang dengan Remy, namun Maya yang juga digosip dengan Yusry KRU, mengakui yang beliau masih solo dan ingin melalui hidup 'bujangnya' dengan gembira. "Memang ada lelaki yang cuba untuk menjalin hubungan serius tetapi saya tolak dengan baik. Saya beritahu mereka yang saya belum bersedia untuk melaluinya sekali lagi. "Hidup saya tidak pernah sunyi tanpa ditemani lelaki kerana sekarang ini saya lebih senang menumpukan perhatian pada kerjaya," katanya. Tidak mahu terus berteka-teki tentang hubungan cintanya, Maya mengakui yang hubungannya dengan Remy adalah sekadar rakan artis dan beliau amat senang berlakon bersama pemuda itu. Katanya, sebagai pemegang watak Luna Latisya yang bercinta dengan Atan, lakonan Remy dalam filem Cun, beliau perlu menjiwai watak tersebut sepenuh hati agar nampak 'hidup'. "Luna adalah seorang pengacara rancangan gosip yang berjaya dalam industri hiburan. Dia seorang yang 'gila-gila' dan membawa diri ke sebuah kampung setelah melalui satu tragedi. "Sikapnya yang energetik itu sama dengan keperibadian saya. Kali ini, saya tidak gedik seperti dalam filem Pisau Cukur. Kiranya watak Luna Latisya ini seorang yang lebih ceria," akuinya. Bagi Maya, pengalaman menjalani penggambaran di kampung dan bermain lumpur di sawah bukan sekadar memenuhi tuntutan kerjaya, malah ia juga merupakan satu percutian indah untuknya. Katanya, beliau rasa tenang sekali berada jauh dari ibu kota dan tidak ada perasaan bosan kerana dikelilingi krew yang ramai, mereka diibaratkan seperti satu keluarga. "Seronok berlakon Cun kerana ada perkara yang saya tidak pernah buat sebelum ini, saya lakukan dalam filem ini. Contohnya, tunggang kerbau. "Memang ada rasa berdebar, takut kalau tiba-tiba kerbau itu mengamuk atau tendang saya. Untuk babak tunggang kerbau itu, tiga atau empat kali take jugalah," ceritanya. Kata Maya, Cun adalah cerita cinta lakonannya yang kedua selepas filem Seri Dewi Malam dan bakal menyusul nanti, Ombak Rindu. Menurutnya, hanya jalan cerita Cun disudahi dengan happy ending dan itu memberi kepuasan kepadanya kerana beliau dapat bersama dengan lelaki yang dicintai. Album baru Maya Disebabkan kerap berlakon, tidak hairanlah kalau ramai hampir terlupa bahawa Maya juga seorang penyanyi dan pernah tampil dengan album Erti Cinta (2001) dan Bukan Qalamaya (2003). Setelah lapan tahun menyepikan diri dari studio rakaman, kini Maya kembali menggilap semula bakat nyanyiannya menerusi album ketiga. Katanya, album yang memuatkan enam buah lagu itu sudah hampir siap dan bakal menemui peminat selewat-lewatnya tahun ini juga. "Rasa-rasanya orang sudah lupa yang saya juga menyanyi. Disebabkan lama tidak buat rakaman, mula-mula memang berdebar tapi atas tunjuk ajar Audi Mok, saya dapat lakukannya dengan selesa. "Selain Audi, Azlan Typewriter juga sumbang lagu. Tiga daripada lagu dalam album itu adalah kisah saya sejak 10 tahun lalu. Saya tidak tulis lirik tapi saya ceritakan kisah itu kepada penulis lirik," katanya. Maya akui beliau tidak sabar untuk melihat album berkonsep pop itu berada di pasaran. | ||
Posted: Iron MaidenOleh ABD. AZIZ ITAR
TIDAK keterlaluan jika para peminat meletakkan Iron Maiden sebagai kumpulan nombor satu di persada muzik heavy metal dunia selepas 36 tahun mereka ditubuhkan di England. Ini kerana, sepanjang lebih tiga dekad bergelumang dengan irama muzik bingit dan menghasilkan 25 album termasuklah album kompilasi, Iron Maiden tetap utuh sehingga ke hari ini. Keunggulan mereka bukan setakat mampu bertahan lama dan menghasilkan banyak album tetapi juga keaktifan kumpulan enam anggota itu mengadakan konsert di seluruh dunia. Sejak ditubuhkan pada tahun 1975, Iron Maiden telah mengadakan ribuan konsert bergerak di seluruh dunia terutamanya setiap kali mereka muncul dengan album terbaru. Vokalis kumpulan itu, Bruce Dickinson menyifatkan lagu-lagu mereka melangkaui sempadan bangsa dan agama di mana ia relevan sepanjang zaman. "Kami telah mengadakan konsert di seluruh dunia dan para peminat kami terdiri dari pelbagai bangsa dan agama termasuklah juga dari negara-negara Islam. "Iron Maiden pernah mengadakan konsert di Arab Saudi dan ia diterima di sana. Ini menunjukkan muzik kami bersifat sejagat," katanya pada konsert mereka di Singapura baru-baru ini. Namun, sepanjang ditubuhkan kumpulan yang baru muncul dengan album terbaru berjudul The Final Frontier itu belum pernah mengadakan konsert di Asia Tenggara. Singapura boleh dikatakan bertuah kerana menjadi negara destinasi pertama Iron Maiden di rantau ini untuk mengadakan Konsert The Final Frontier World Tour 2011 di Stadium Tertutup Singapura. Konsert anjuran LAMC Productions itu yang mengenakan tiket berharga daripada S$98 dolar (RM225) sehingga S$158 dolar (RM363) mendapat sambutan hangat daripada peminat. Kuasa Iron Maiden bermula di luar stadium lagi yang mana seawal pukul 4 petang lagi, peminat berpusu-pusu membanjiri stadium kerana mahu membeli barangan rasmi Iron Maiden terutama lapan corak kemeja-T ikon genre heavy metal. Terdapat tiga gerai menjual kemeja-T kumpulan itu yang dijual dengan harga S$50 dolar (RM115) setiap sehelai dan ia habis dijual sebelum berlangsungnya konsert tersebut. Stadium itu juga sentiasa bergema dengan suara Dickinson: "Jeritan untuk saya Singapura," laungnya saat berada di atas pentas berskala besar. Ruang stadium itu sesak dengan 12,000 peminat Iron Maiden yang bukan sahaja terdiri daripada warga tempatan malah ramai juga yang datang dari Malaysia, Thailand, India dan Indonesia. Tepat pukul 9 malam, stadium bergema dengan jeritan para peminat sebaik sahaja enam anggota kumpulan itu muncul di pentas selepas intro berjudul Satellite 15 dan lagu The Final Frontier bergema. Persembahan diteruskan menerusi lagu popular, El Dorado yang dipetik daripada album terbaru mereka itu dengan aksi yang sungguh bertenaga. Gaya Dickinson yang memakai kemeja-T tertera tulisan Psych Ward yang sesekali melompat tinggi di atas pentas menambahkan lagi semangat para penonton yang bagaikan diserang histeria memberi sorakan dan pekikan sebagai tanda terhibur dengan persembahan Iron Maiden. Suasana bertambah hangat apabila Iron Maiden menyampaikan salah satu lagu yang pernah popular pada tahun 1980-an berjudul 2 Minutes To Midnight kerana lagu itu mengimbau nostalgia mereka sebagai artis berkumpulan heavy metal. Pemain bass yang juga salah seorang anggota asalIron Maiden, Steve Harris mencuri perhatian dengan aksinya yang menghalakan bucu gitarnya ke arah para penonton. Itulah trade mark Harris sejak mula menganggotai kumpuan tersebut. Seakan-akan memahami kehendak para peminat yang tentunya mendambakan lagu-lagu lama mereka mengalunkan lapan lagu lama antaranya berjudul The Trooper, Iron Maiden, Wickerman, Hallowed By Thy Name dan Number of the Beast. Namun sebagai tanda pengenalan yang mereka telah tampil dengan album terbaru, Iron Maiden mempersembahkan lima lagu daripada album The Final Frontier antaranya termasuklah Coming Home, When The Wild Wind Blows dan The Talisman. Iron Maiden yang menyampaikan 17 buah lagu ternyata tidak mengecewakan para peminat mereka dengan kualiti bunyi yang bagus dan set pentasberskala besar. Persembahan hebat mereka didokong oleh latar pentas yang berubah-ubah setiap kali lagu daripada album yang berbeza-beza di sampaikan. Sewaktu The Talisman dilantunkan, pentas dilatari dengan gambar kulit album terbaru mereka yang tertera maskot kumpulan itu iaitu wajah Eddie versi makhluk asing. Kelaziman dalam konsert Iron Maiden, maskot gergasi Eddie akan muncul di pentas dengan aksi tersendiri. Konsert pada malam itu diakhiri dengan lagu berjudul Running Free yang menyaksikan para penonton turut sama menyanyikannya dengan Dickinson. Ternyata penjelajahan Konsert The Final Frontier World Tour 2011 itu tidak terhenti di Singapura sebaliknya diteruskan ke Jakarta pada 17 Februari dan Bali 20 Februari. Selepas itu Iron Maiden yang turut dianggotai oleh Steve Harris (bass), Dave Murray (gitar), Adrian Smith (gitar), Janick Gers (gitar) dan Nicko McBrain itu turut diadakan di lebih 20 negara. Antara negara yang akan dilawati sempena konsert bergerak itu ialah Mexico, Denmark, Jepun, Australia, Argentina, Jerman, Belanda, Perancis dan Rusia. Perjalanan Iron Maiden penuh bergaya dengan pesawat Boeing 757 Ed Force One dengan dipandu sendiri oleh Dickinson sehingga hujung tahun ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |