Kosmo Online - Hiburan |
Siti Saleha dahagakan publisiti Posted: Siti Saleha dahagakan publisitiDI pangkal pengenalannya, terhias nama anak kacukan ini sebagai Siti Saleha. Sebagai penyuluh aksi, kelibatnya menjengah ke mata ramai sebagai gadis penyeri iklan komersial. Dari satu titik kecil, dia menjadi putik yang sedang berkembang. Benang sari daripada kelopaknya mulai manis di mata ramai, lantas satu demi satu peluang diraih. Dalam tempoh dua tahun, wanita yang mesra dibahasakan Siti itu sedang enak menggilap tumpuan. Hasilnya sudah disaksikan menerusi Habil dan Qabil, Awan Dania, Ustaz Amirul dan terbaru Sudu dan Garpu. Kerdipan populariti sudah terbias ke wajahnya dan Siti harus bersedia privasinya tidak seperti dahulu. "Soal populariti itu, kalau boleh saya mahu lebih dikenali dan biarlah populariti itu datang daripada hasil kerja bukan daripada kisah peribadi yang digembar-gembur," katanya. Hati sudah dimiliki Tidak perlu menipu diri, menolak populariti dengan alasan bekerja untuk seni, Siti menambah: "Sebagai artis populariti itu penting, fotografi dan publisiti itu juga penting untuk artis baru seperti saya. "Tahun ini, fokus saya lebih besar. Jika ada peluang, saya teringin ke layar perak. "Tapi kalau belum ada yang nampak kemampuan saya, saya tetap akan berusaha kerana lakonan sudah menjadi cinta saya." Tanpa menunggu banyak waktu, hati wanita berdarah campur Melayu-Inggeris ini dirisik soal hati. Jika lakonan sudah menjadi cinta, bagaimana pula dengan si jantung hati. Tidak sekadar menembak secara rawak, nama pemain bola pasukan Sabah, Syed Adney Syed Hussin yang juga bekas pemain skuad Kelantan dibidik menjadi peluru. MENARUH harapan untuk muncul di layar perak, Siti Saleha juga tidak mahu ketinggalan dalam bidang akademik. Tersenyum sedikit kelat oleh soalan yang tidak diundang, Siti cuba menjadi natural. Pada awal perkenalan kepada privasi yang kian terhakis, dia cuba menjadi sejujur mungkin. "Memang dulu saya dan Syed Adney pernah rapat, saya dah lama mengenalinya tetapi sekarang kami kawan biasa sahaja. "Lagipun saya sudah ada teman lelaki," satu pengakuan tulus terluah daripada bibirnya. Jiwai watak isteri Sekali lagi Siti membuat percaturan, kalau boleh biarlah kisah peribadi ditolak ke tepi sementara fokusnya mahu melebarkan nama di bidang lakonan. "Tapi saya tidak mahu berbohong apabila ditanya tentang teman lelaki. Ya, saya sudah berteman tetapi tidak perlulah ia menjadi bahan publisiti. "Lagipun dia bukanlah artis," beritahu Siti sedikit bayangan gerangan pemilik cintanya. Menurutnya, si dia yang dimaksudkan itu juga anak kacukan sepertinya.
Entah kenapa kata Siti, secara tanpa sedar, pandangannya mudah tertarik kepada lelaki berdarah campur. Apabila perihal personal semakin digali, nada suaranya sedikit gusar, barangkali memikirkan impak di hari depan. Siti masih berpegang kepada prinsip menjual bakat. Fikirannya berputar terhadap senario semasa, tentang kisah panas yang kerap membabitkan selebriti. Kepada dirinya, si Saleha ini mahukan ruang yang lebih besar, ruang untuk bekerja bersama nama-nama besar, pengarah, pelakon mahu naskhah yang punyai harga di mata khalayak. "Industri ini sangat kompetitif apatah lagi ada ramai wanita yang cantik-cantik, saya pilih untuk dikenali kerana bakat tetapi tidak menolak bahawa gosip mahupun cerita sensasi boleh menyumbang 'sesuatu' kepada seseorang artis itu. "Cuma, saya tidak mahu terganggu oleh perkara sebegitu," pintanya seolah-olah mahu menoktahkan cerita tentang kisah peribadi. Sedang mengepung emosi dengan watak isteri dalam sebuah drama bersiri, Kasih Yang Suci, adik kepada Sam, vokalis Bunkface itu cukup bersemangat. Masih berbaki lima episod sebelum berehat seketika, drama arahan Jet Li itu disifatkannya satu cabaran besar yang harus dipikul. "Ia sebuah drama kekeluargaan, ada konflik dan cinta yang harus saya tangani, ada juga babak yang menonjolkan kemesraan suami isteri. Nasib baik hero saya, Aaron Aziz banyak membantu.
Sambung belajar "Di lokasi, saya bahasakan dia sebagai 'uncle' tetapi dalam penggambaran, kami kena jadi suami isteri," ucap Siti mengaku lebih gemarkan watak perempuan jahat. Mujurlah juga kata Siti, watak Munirah yang sedang dipersembahkan menerusi slot Zehra itu memiliki sedikit perasaan dendam. Itu menjadikan karakter itu seimbang sifat manusiawinya. Bercerita lagi tentang karakter, dia yang baru sahaja menghiburkan penonton dengan cerekarama Sudu dan Garfu berkongsi keseronokan sepanjang menghabiskan kisah komedi romantik itu. "Sebelum ini saya pernah berlakon dalam drama komedi Di Bawah Ketiak Isteri, dalam Awan Dania pun watak saya agak komedi tetapi bukan watak utama. "Saya semakin bersyukur sebab dapat variasikan watak," katanya lagi. Mengakui jadualnya sendat dengan rutin kolej dan lokasi penggambaran, pemilik nama lengkap Siti Saleha Mohd. Baharom, 21, tidak mahu mengeluh penat "Saya seronok menjadi orang yang paling sibuk, saya tak mahu memikirkan soal tekanan kerana belajar dan berlakon, kedua-duanya mengisi hidup saya. "Tapi, selepas habis penggambaran Kasih Yang Suci nanti, saya mahu berehat lama sedikit, mahu fokus dengan pelajaran. "Masih tinggal tiga semester sebelum pengajian peringat diploma saya selesai. "Selepas itu, saya berhajat mahu sambung pengajian ke peringkat ijazah," katanya yang memilih Britain sebagai destinasi ilmu. Memandangkan dia juga dilahirkan serta mempunyai saudara-mara yang menetap di Britain maka tidak hairan negara itu menjadi pilihan terbaik. Namun, itu cuma perancangan. Dia serius mahu membina nama sebagai pelakon, segulung ijazah pula sebagai bekalan untuk memenuhkan ilmu di dada. | ||||
Dira & Zizan selangkah hoskan Melodi Posted: Dira & Zizan selangkah hoskan Melodi
AGAK mengejutkan apabila nama pelakon yang eksotik wajahnya, Dira Abu Zahar dicanang-canang sebagai antara nama baru yang akan mengambil alih mikrofon yang selama ini dipegang kemas oleh Fara Fauzana sejak enam tahun lalu sebagai pengacara Melodi. Khabar panas itu mula bertiup selepas kemunculan terbaru Dira sebagai hos bersama Fara Fauzana yang popular disebut Fafau dan Wahid Senario dalam Melodi, Ahad lepas. Sebelum itu, Dira juga sudah beberapa kali menjadi penyeri program yang disiarkan setiap Ahad pukul 12.30 tengah hari itu. Lebih mengiakan, terdengar pula ura-ura bahawa akan berlaku rombakan besar-besaran dalam program berkenaan bermula Mac nanti. Bukan nama Dira seorang sahaja yang dipetik sebagai pengacara baru program itu bahkan Zizan Raja Lawak juga disebut-sebut sebagai watak baru yang menggantikan tempat Wahid. Kemunculan Zizan dalam Melodi sebelum ini juga seperti isyarat awal anak kelahiran Terengganu itu sedang diperhatikan sebagai semangat baru kepada program bersifat sensasi dunia hiburan itu. Penerbit Melodi, Azman Ghaffar bagaimanapun tidak menafikan bahawa pihaknya sedang mencari pengacara baru Melodi bagi menggantikan Fara Fauzana dan Wahid. Azman berkata, ia disebabkan pasangan berkenaan sudah terlalu lama mengemudi rancangan tersebut. Bagaimanapun kata Azman, khabar angin bahawa Dira dan Zizan akan menjadi pengacara baru Melodi adalah tidak benar. Jika benar, Dira dan Zizan bakal diumumkan sebagai hos baru Melodi dalam tempoh tidak sampai sebulan dari sekarang, sudah tentu tuan empunya badan sudah sedia maklum dengan keputusan berkenaan. Namun, sebaliknya yang berlaku. Dira dan Zizan tergamam seolah-olah berlakon tidak tahu dengan kekecohan pertukaran pengacaraan di Melodi. Sebagai rekod, Dira sebelum ini pernah mengacarakan program Beat TV, Fulus Mania dan Jom Ronda manakala Zizan pula popular dengan program Raja Lawak, Bolos dan Jozan.
Sensasi Bintang: Sudah bersedia mengemudikan kerusi panas Melodi? DIRA: Ini bukan soal bersedia atau tidak, tetapi boleh atau mampukah saya memikul tanggungjawab itu. Saya sendiri tidak tahu semua ini, pihak TV3 atau Media Prima Bhd. tidak memberitahu apa-apa lagi. Saya tak berani bercakap, nanti saya yang dituduh berangan pula. Adakah anda mahu menjadi pengacara sebuah program seperti Melodi yang cenderung pada kisah sensasi artis? Saya sendiri bermula di Beat TV, juga sebuah program informasi dunia artis yang agak sensasi, kemudian barulah saya berlakon. Jika diberi tanggungjawab, tak kisahlah sensasi atau informasi, saya akan terima dan buat sehabis baik. Khabar angin pertukaran pengacara Melodi itu sudah kecoh diperkatakan dan mulai Mac ini anda disebut-sebut terbabit dalam rombakan program itu, tetapi mengapa masih bermain wayang? Saya terkejut dan tak sanggup dengar bila orang kata saya ganti tempat Fara Fauzana sedangkan saya tidak tahu apa-apa. Memang pihak TV3 kerap hubungi saya untuk jemput sebagai tetamu, macam dalam Wanita Hari Ini begitu juga dengan Melodi, tak tahulah pula ada kena-mengena dengan pertukaran pengacara program itu. Anda dan Zizan heboh diperkatakan sebagai gandingan baru dalam Melodi, jadi bagaimana? Jujurnya saya tak tahu dan lebih baik saya berdiam. Tentang Zizan pula, saya tidak boleh komen apa-apa, kami tidak pernah bekerjasama sebelum ini. | ||||
Posted: Pahit manis Halimah Jongang
POPULAR sebagai gadis bergigi jongang menerusi telefilem Halimah Jongang, Sheera Iskandar mengecap manis dan pahit yang terlalu banyak. Manis kerana popularitinya sedikit terangkat dan namanya yang selama ini sekadar ada semakin terserlah sinarnya. Ketika Halimah Jongang musim ketiga masih ditayangkan, tiba-tiba sahaja dia dilabel sebagai artis tidak berdisiplin, melanggar kontrak termasuklah memotong rambut ala tomboy seperti yang diuar-uarkan oleh penerbit drama berkenaan, A. Aida. Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar mesra disapa Sheera bersama ibunya, Aznah Hamid tergamam berikutan cara isu itu ditangani yang dianggap terlalu keras. Penggambaran siri berkenaan tamat sekitar Ogos 2010 tetapi menjadi kontroversi hanya pada bulan lepas. "Dalam keadaan sekarang, saya tidak boleh nak menjelaskan apa-apa, kami tidak tahu dan tidak dapat apa-apa maklumat tentang tindakan pihak penerbit berkenaan, nak saman atau bagaimana. Untuk tidak mengeruhkan suasana, lebih baik saya tutup mulut, risau pula takut diputarbelitkan, akhirnya saya juga yang menjadi mangsa. "Keadaan itu menyebabkan saya tertekan dan penat melayan macam-macam pertanyaan orang," katanya yang sedang menghabiskan penggambaran sebuah drama bersiri Iparku Diva untuk siaran Astro Warna. Sedang muncul dengan drama bersiri Fantasi Cinta Teruna serta Si Capik 3, Sheera bakal muncul di pawagam pada tahun ini menerusi filem KL Gengster dan Aku Bukan Tomboy. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |