Adsense

Sabtu, 26 Februari 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Mahu bina masjid lagi

Posted: 25 Feb 2011 06:44 AM PST

APABILA menyebut 'membina masjid' pasti kita lebih terbayangkan dua insan yang ingin mendirikan rumah tangga. Bagaimanapun, berbeza dengan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa kerana sejak kecil lagi masing-masing sudah memasang impian untuk benar-benar membina sebuah masjid - tempat bagi umat islam beribadah.

Nyata penyatuan dua jiwa yang sudah bergelar haji dan hajah itu akhirnya memungkinkan hajat mereka menjadi kenyataan apabila terbinanya Masjid Al-Khalidiah yang tersergam indah di Kampung Permatang Pasir, Kuala Muda, Kedah. Ia selamat dirasmikan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada 19 Februari lalu.


Masjid yang dibina dengan kos RM1.7 juta itu diharap dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh umat Islam khususnya masyarakat setempat.

Ia dibangunkan Yayasan Nurjiwa yang diasaskan Siti dan Khalid bagi menggantikan masjid lama yang dibina pada 1896 di tapak sama.

"Sebelum terbinanya masjid baru itu, suami Siti selalu melihat kerosakan pada masjid yang lama dulu apabila bumbungnya bocor dan banyak yang rosak.

"Suami Siti terus berbincang dengan penduduk kampung untuk membina masjid baru untuk keselesaan mereka beribadah. Lalu menerusi wang yang terkumpul dalam Yayasan Nurjiwa, kami salurkan kepada pembinaan masjid ini.

"Kebetulan masih ada lagi tanah di sekeliling masjid lama yang belum digunakan maka dapatlah kita membina masjid baru yang lebih besar.

"Masjid ini mula digunakan untuk solat Aidilfitri tahun lalu. Bagaimanapun, ketika itu hanya ruang untuk solat saja yang baru siap. Masjid itu hampir siap sepenuhnya pada Aidiladha lalu," kata Siti.


Siti berkata, mereka sekeluarga sangat gembira dengan pembinaan masjid itu kerana dapat memenuhi hajat dia dan suaminya.


"Arwah bapa mentua Siti suka membuat kerja kebajikan dan sejak kecil suami itu kagum dengan usaha bapanya itu. Sekarang suami Siti meneruskan apa yang biasa dilakukan bapanya dulu. Dengan adanya masjid baru ini, penduduk kampung pun seronok dan bersemangat untuk bersolat jemaah.

"Dengan kemudahan baru, mudah-mudahan dapatlah mereka mengadakan pelbagai aktiviti di masjid itu," katanya.


Siti turut berdoa Allah SWT meluaskan lagi rezeki dirinya dan suami untuk membina sebuah masjid di kampungnya pula iaitu di Kuala Lipis, Pahang. Walaupun belum dapat membina masjid di kampungnya, Siti akan cuba membantu masyarakat di sana dalam cara berbeza. Contohnya, ketika banjir melanda Johor dan Pahang, Yayasan Nurjiwa juga turun padang memberikan sumbangan untuk mengurangkan beban mereka yang ditimpa bencana.

"Yayasan Nurjiwa juga ingin membantu orang miskin membina kehidupan yang lebih baik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti sudah bersedia untuk merakamkan musim kedua program bual bicara SITI yang kini rancak ke udara di Astro Ria, setiap Sabtu dan Ahad, jam 9 malam.


"Siti masih dalam proses belajar menjadi pengacara yang baik. Masih kekok kerana siapalah Siti kalau hendak dibandingkan dengan pengacara yang sudah terkenal. Bagi membaiki apa yang kurang untuk musim kedua, kami akan melakukan 'brainstorming'. Kalau tiada aral, rakaman musim kedua akan dibuat bulan depan," katanya.


Program bual bicara itu dibahagikan kepada enam segmen yang menonjolkan karisma Siti selaku penghibur dan pengacara yang peka.


Enam segmen itu adalah Gambit Pembukaan dan Muzikal, Sesi Temu Ramah, Interaksi Siti Dengan Audien, Perspektif Siti, Sentuhan Kasih dan Siti Bersama Bakat Istimewa Minggu Ini.

Segmen Sentuhan Kasih misalnya, akan menyentuh perasaan dan jiwa penonton. Di sini, Siti akan berkongsi kes mereka yang kurang bernasib baik dalam kalangan masyarakat. Kisah dan cabaran hidup mereka akan diketengahkan dan Siti akan mengajak penonton supaya bersama-sama prihatin, mempunyai sifat mengasihani dan mengambil bahagian dalam tugas membantu mereka yang memerlukan.

Menyentuh perjalanan dunia nyanyiannya, Siti berkata dia masih menyanyi, namun aktiviti seni terpaksa diperlahankan sedikit kerana memberi tumpuan kepada perniagaan kosmetiknya, SimplySiti.

"Siti dalam rangka mempromosikan SimplySiti dan bertemu peminat di beberapa lokasi antaranya ke Johor Bahru, Kota Bharu dan beberapa daerah di luar bandar. Sekarang SimplySiti ada lebih 100 produk termasuk kosmetik dan penjagaan kulit," katanya.


Hampir lima tahun berkahwin, Siti dan suami terus mengharapkan kehadiran cahaya mata namun penyanyi nombor satu negara itu tidak mahu terlalu memikirkannya sangat soal itu agar tidak memberikan tekanan hidup.


"Siti akan terus bekerja seperti biasa dan berdoa agar Allah SWT mengurniakan kami zuriat satu hari nanti," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Cabaran teater Terima Kasih Cinta

Posted: 25 Feb 2011 06:36 AM PST

MENGANGKAT naskhah asal filem menjadi teater muzikal bukan satu kerja mudah, ia memerlukan keberanian tinggi untuk dilaksanakan. Apatah lagi jika filem itu mempunyai jumlah penonton yang ramai sewaktu ditayangkan dan pernah diangkat menjadi karya terbaik.

Cabaran untuk mementaskan teater muzikal yang diangkat daripada filem juga besar. Lebih-lebih lagi jika jalan cerita ditampilkan sama dengan filem asal. Untuk mengekalkan cita rasa dan perasaan penonton juga tidak mudah. Paling tidak, teater muzikal dihasilkan itu perlu sama atau seimbang dari sudut penghayatan dan permainan watak dengan filem asal. Jika ini tidak berlaku, pementasan dilaksanakan pasti dilihat sebagai satu usaha sia-sia.


Walaupun tahu risiko dihadapi besar, ia bukan penghalang The Creative Partnership Sdn Bhd mementaskan Terima Kasih Cinta (TKC) yang mengangkat naskhah asal filem Cinta. Selain berjaya membuat kutipan pecah panggung dengan kutipan RM2 juta sewaktu ditayangkan, Cinta diarahkan Kabir Bhatia dan skrip ditulis isterinya, Mira Mustaffa turut memenangi anugerah Filem Terbaik dan Lakon Layar Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM20).

Menerusi TKC, pengarahnya yang juga seorang pereka tari terkenal, Pat Ibrahim mengangkat kembali keajaiban cinta Hariss dan Airin, Elyas dan Rubiah, Dian dan Dhani, Adiranna dan Taufiq serta Azlan dan Azura.


Pelakon terbabit dalam teater muzikal TKC yang mula dipentaskan pada 17 Februari lalu hingga 6 Mac ini di Istana Budaya juga ternyata berbeza berbanding filem asal.


Pementasan TKC dibintangi Latif Ibrahim melakonkan watak Elyas, Safura (Rubiah), Diddy Hirdy (Amin), Tony Eusoff (Hariss), Norish Karman (Airin), Shajiry Damery (Azlan), Farahdhiya (Azura), Anding Idrawani (Dhani), Deja Moss (Dian), Vince Chong (Taufik) dan Nadia Aqilah (Ariana). Ia turut menampilkan hampir 20 orang esemble yang banyak menyokong perjalanan teater muzikal TKC. Ada antara mereka dikenali dan berbakat besar seperti Sharifah Aleeya yang turut memegang peranan sebagai pemilik kedai buku, Akma AF, Qhaud, Eliza dan bintang muda yang semakin mencipta nama di pentas teater, Amar. Bagi mereka yang pernah menjayakan filem Cinta menganggap apa yang dilakukan The Creative Partnership Sdn Bhd adalah usaha yang bagus. Apatah lagi ia pertama kali dilaksanakan.

Kabir yang ditemui sempena pementasan gala yang diadakan kelmarin secara jujur menyatakan persembahan TKC tidak mengecewakan.


"Ia bermula dengan baik, begitu juga dengan set pentasnya begitu menarik. Tenaga produksi pementasan ini juga kreatif apabila berjaya memaparkan lima jalan cerita berbeza di atas pentas yang sama.

"Begitupun, emosi dimainkan pelakon seharusnya lebih menonjol. Namun, saya faham ia tidak mudah untuk dilaksanakan kerana filem dan teater adalah dua medium berbeza. Begitupun saya ucapkan syabas kepada usaha dibuat," katanya.


Bagi Mira pula, ada beberapa elemen dalam TKC ini menarik minatnya seperti muzik ditampilkan juga persembahan vokal daripada barisan pelakon.


"Pementasan ini juga sebenarnya perlu mengambil beberapa babak menarik daripada filem asal. Bagaimanapun, saya faham kerana filem dan teater adalah berbeza. Untuk melaksanakannya juga tidak mudah.


"Adaptasi daripada filem juga agak mencabar kerana ramai yang sudah mengetahui naskhah asalnya. Begitupun, ada antara babak ditampilkan mampu mencuit hati. Saya tidak tahu sama ada ia dilakukan secara bersahaja atau memang sudah tertulis dalam olahan skrip kerana ia tidak ada dalam filem terutama babak membabitkan Ariana dan Elyas," katanya.


Bagi Fatimah Abu Bakar yang memegang watak Rubiah dalam filem Cinta berpendapat, TKC seimbang sekiranya dibandingkan dengan filem. Malah dia turut mengagumi persembahan diberikan esemble teater muzikal ini.


"Jangan bandingkan teater muzikal TKC dengan filem Cinta kerana ia ternyata berbeza. Filem boleh disunting sedangkan pentas teater ini persembahannya secara langsung. Cuma saya terkilan kenapa Vince yang melakonkan watak Taufik tidak dilebihkan. Namun, apabila difikirkan kembali, tentu payah kerana ia membabitkan lima jalan cerita.


"Melihat kepada reka pentas, ia juga mengagumkan dan sangat kreatif. Jika penghayatan lebih diberikan tumpuan, saya percaya ia cukup kuat dan tidak malu sekiranya orang luar menontonnya. Malah mungkin ia menjadi satu pementasan bertaraf dunia," katanya.


Persembahan Vince dan Nadia juga dirasakan begitu serasi pada pandangan Fatimah sehingga menyebabkan dia mahu menyaksikan mereka lebih lagi. Selain itu, dia turut memuji lakonan Tony Eusoff dan Anding. Begitu juga dengan Latiff yang begitu bersahaja dan mencuit hati. Gandingan pelakon veteran itu dengan Safura dirasakan mantap dan menyentuh perasaan.


Bagi Sharifah Amani pula yang sebelum ini melakonkan watak Ariana dalam filem Cinta berpendapat, secara keseluruhan teater muzikal TKC adalah baik. Malah dia faham untuk mementaskan naskhah diangkat dari filem terbaik tidak mudah.


"Mementaskan teater ini cabarannya besar, begitupun ada beberapa babak yang saya rasakan menarik. Persembahan daripada esemble juga memantapkan lagi persembahan dalam TKC. Sayang Vince hanya mempersembahkan satu atau dua lagu saja," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.