Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Percaturan bijak PortmanLEON (The Professional). Heat. Beautiful Girls. Star Wars. Black Swan. No Strings Attached. Sekadar menyebut beberapa filem lakonannya. Tidak perlu diberi mukadimah yang panjang, wanita dengan nama asal Natalie Hershlag yang lebih terkenal dengan nama pentas Natalie Portman diketahui bukan calang-calang pelakon. Dia berada dalam wilayah tersendiri, yang tidak tersentuh oleh orang lain. Portman - si bijaksana lulusan Universiti Harvard dengan ijazah psikologi yang boleh menguasai bahasa Perancis, Jepun dan Arab dengan baik ini punya ceritera yang luar biasa tentang kariernya. Sejak kecil dia sudah menentukan apa yang diinginkan untuk kehidupan kini. Sewaktu berusia 10 tahun, Portman dilamar produk kecantikan gergasi, Revlon untuk menjadi salah seorang model mereka. Namun tidak mengambil masa yang lama, dia menolak tawaran yang barangkali tidak akan ditolak oleh anak kecil lain. Sebaliknya, dia memilih untuk fokus terhadap bidang yang dicintainya - dunia lakonan. Alasan Portman yang kini telah menggoda dunia dengan karismanya: "Saya berbeza dengan kanak-kanak lain. Saya berusaha keras untuk mendapatkan apa yang saya mahu. Saya adalah seorang kanak-kanak yang serius." Dia yang kini berusia 30 tahun nyata memang tahu aturan dan kemahuan hidup sendiri. Wanita ini telah mempersona dunia dengan karisma, kredibiliti dan profesionalisme yang cukup teguh. Sewaktu kariernya memuncak, Portman tidak gentar untuk mengendurkan aktiviti lakonannya demi mengejar ilmu. Persepsi yang dilontar oleh segelintir pemerhati dunia hiburan tentang Portman akan gagal dalam kerjayanya kerana menuntut ilmu dipintas sinis oleh wanita yang dilahirkan di Jerusalem, Israel itu. FIGURA Hollywood paling menggoda saat ini, Natalie Portman merupakan gabungan kejelitaan, kredibiliti dan realiti yang membentuk suatu kesempurnaan yang berkuasa meyakinkan khalayak terhadap posisinya sebagai seorang aktres terbilang global. "Saya lebih rela menjadi orang yang bijak daripada tidak menjadi sesiapa," katanya penuh yakin. Ternyata apa yang dikatakan Portman bukan satu dialog kosong. Usai pengajian pada tahun 2003, termometer kariernya masih tinggi. Sekadar menyelak portfolio Portman, sejak penampilan perdananya pada usia 13 tahun menerusi filem Léon (The Professional), dia telah memacak tanda aras yang tinggi buat diri sendiri. Pada usia sementah itu dia membuktikan kehadirannya bukan datang untuk mengejar glamor, tetapi wujudnya dia dalam pentas hiburan adalah untuk dipuja khalayak yang menghargai bakat seorang pelakon yang berpendidikan tinggi. Kata wanita yang juga terkenal sebagai aktivis politik ini: "Sewaktu saya mula berlakon semasa kecil, saya mahu membahagiakan semua orang dan sering memerlukan restu semua orang. Namun apabila saya membesar dan masih lagi ingin berlakon, saya berlakon bukan untuk membahagiakan orang lain lagi. Saya berlakon untuk kepuasan diri sendiri." Benar apa yang dikata Portman. Semakin menginjak dewasa, dia mula lebih selektif dan hanya akan muncul dalam naskhah-naskhah yang mempunyai magis tersendiri. Paling dihindari sejak dahulu adalah melakonkan aksi bogel. Bagi Portman, tindakan berbogel dalam filem yang dilakukan kebanyakan pelakon wanita pada usia muda mereka akan memberi impak negatif apabila mereka meningkat dewasa. Ia, kata Portman lagi bukan satu perlakuan yang bijak untuk membuat diri seorang pelakon diberi penghormatan. Kecuali ia mempunyai sebab yang cukup kukuh untuk berbogel, bukan untuk tujuan komersial semata-mata. Malah dalam hampir setiap naskhah yang dituang dengan keupayaannya sebagai pelakon, dia akan pulang dengan penghargaan. Begitu yang terjadi apabila dia memegang karakter 'misteri' Nina Sayers si penari balet dalam filem Black Swan yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam.
Melalui karakter Nina sahaja, dia telah menggondol tujuh anugerah termasuk dalam Anugerah Golden Globe yang kesemuanya mengangkat dia sebagai Aktres Wanita Terbaik. Bersama tujuh penghargaan tersebut, Portman kini diramal bakal merangkul satu lagi anugerah yang sama melalui majlis penghargaan paling berpengaruh, Oscar yang akan berlangsung pada hari Isnin ini. Bersaing dengan empat pencalonan yang juga tidak kalah hebat iaitu Annette Bening (The Kids Are All Right), Nicole Kidman (Rabbit Hole), Michelle Williams (Blue Valentine) dan Jennifer Lawrence (Winter's Bone), Portman bagaimanapun diramal akan membawa pulang trofi Aktres Wanita Terbaik kerana keberkesanan lakonannya dalam filem arahan Darren Aronofsky itu. Jika Portman berjaya membawa pulang Oscar dan telah menerima tujuh penghargaan terdahulu yang diklasifikasikannya sebagai satu penghormatan besar buatnya, ia sebenarnya berbaloi dengan kepayahan yang dilalui sewaktu menjalani penggambaran filem tersebut. Dia menjalani rejim latihan yang ketat - lima jam sehari, tujuh hari seminggu dan dia dilatih dua bulan sebelum filem memulakan penggambaran oleh penari New York Coty Ballet yang berpengalaman selama 10 tahun, Mary Helen Bowers. Selain Mary, Portman yang memang mempunyai asas tarian sejak usia empat tahun dibantu oleh koreografer Benjamin Millepied yang juga merupakan tunang dan bapa kepada cahaya mata mereka kelak. "Latihan tarian yang saya jalani membuat banyak otot terkejut. Saya harus kurang makan dan sempat cedera di bahagian rusuk, tetapi saya sangat sukakan balet," katanya tentang kepayahan yang berbaloi menjadi Nina. Saat ditanya berapa dekat Nina dengan kehidupan sebenarnya, Portman memberitahu, secara jujur dia tidak tahu untuk mengatakan jika Nina mempunyai persamaan dengan dirinya. Malah dia juga takut untuk bersetuju jika Nina, penari balet yang mempunyai sisi gelap dan eksentrik itu 'hidup' dalam dirinya. Cuma kata Portman, setiap pelakon memang akan cuba mengaitkan watak yang dimainkan dengan kehidupan peribadi mereka.Jika tidak banyak, pasti ada sedikit.
Namun buat Nina 'hidup' di dalam Portman, wanita ini hanya menjawab: "Yang saya tahu, saya amat sukakan Nina kerana karakter ini ditulis dengan begitu spesifik. Jadi tidak perlu untuk berusaha menjadi dia atau dia menjadi saya." Bersaing dengan Black Swan, Portman sebenarnya turut mempertaruhkan kredibilitinya dalam filem komedi romantik buat pertama kali sepanjang karier lakonannya iaitu menerusi No Strings Attached. Dia yang berpasangan dengan Ashton Kutcher turut terlibat sebagai penerbit eksekutif. Bercakap tentang pembabitan perdana sebagai penerbit eksekutif sekali gus pelakon, Portman memberitahu: "Ia adalah proses yang mengujakan apabila saya dapat melibatkan diri di belakang tabir dan di depan layar." Dengan pembukaan dua filem hebat pada tahun ini, Portman sebenarnya mempunyai beberapa naskhah yang dijangka akan meneruskan keteguhan wilayah kehebatannya sendiri termasuk untuk filem adaptasi Thor dan bakal membawa karakter Elizabeth Bennet yang juga diadaptasi daripada novel Pride and Prejudice serta Zombies. | ||||
Hidup saya lebih sempurna - Lan Posted: Hidup saya lebih sempurna - LanOleh HARYATI KARIM
VOKALIS band Azlan & The Typewiter, Norazlan Rosle, 27, atau Lan kini telah selamat bergelar suami kepada pasangannya Normala Hassan, 27, yang dinikahinya pada 1 Januari lalu. Ia berlaku selepas majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung pada November tahun lalu ditunda. Bercakap tentang alam perkahwinan yang baru ditempuhinya, Lan yang ditemui pada majlis pelancaran program RTM, Xpresi Kembara di Pulau Perhentian, Terengganu baru-baru ini, dia mengakui kehidupannya kini lebih sempurna selepas bergelar suami. "Saya tidak tahu macam mana ingin menterjemahkan kebahagiaan selepas berkahwin. Memang saya bahagia dan seronok melalui kehidupan saya sekarang," tuturnya. Meskipun telah selamat melangsungkan perkahwinannya di Cheras, namun masih terdapat khabar yang kurang enak berhubung majlis perkahwinannya. Ini kerana Lan tidak mengotakan janjinya sebelum ini untuk menjemput pihak media. Disoal, mungkinkah Lan cuba menyembunyikan sesuatu apabila tidak menjemput pihak media, Lan menjelaskan kesibukan menjelang hari perkahwinannya menyebabkannya dia tidak sempat untuk menjemput pihak media. Sementelah katanya, majlis tersebut diuruskan oleh isterinya. "Majlis perkahwinan saya diuruskan oleh isteri kerana ketika itu saya sibuk dengan Anugerah Juara Lagu dan persembahan pentas. "Bayangkan saya sendiri menolak banyak persembahan pada tahun baru. Saya terlalu sibuk, bukannya saya tidak mahu jemput media," ungkap Lan. Tambahnya: "Lagipun, tiada apa yang saya mahu sembunyikan. Rasanya ramai pihak media kenal siapa isteri saya. "Jadi, tidak ada apa yang mahu disorokkan pada majlis perkahwinan saya itu. Majlis itu berlangsung secara sederhana. Saya berharap semua pihak doakan kebahagiaan saya," katanya. Jumpa dua kali seminggu Walaupun sudah bergelar suami isteri, namun kata Lan dia dan isterinya hanya berjumpa dua kali seminggu dek kesibukan kerjayanya sebagai penyanyi yang mengadakan persembahan di seluruh Malaysia. "Memang kami berjumpa sekali atau dua kali seminggu, nasib baik saya dapat isteri yang memahami kerjaya saya sebagai penyanyi, kalau tidak susah juga.
"Kalau saya ingin bawa dia ikut persembahan pentas tidak boleh juga sebab dia ada kerjayanya sendiri di Kuala Lumpur," ucapnya lagi. Apabila berbicara soal cahayamata, ujar Lan, mereka membuat perancangan untuk memiliki anak buat masa yang terdekat ini. "Bagi saya untuk ada anak, ia memerlukan kepada suatu komitmen yang besar terutama daripada segi masa,. "Sekarang ini kami masing-masing sibuk, kalau ada anak dan tidak dapat beri sepenuh perhatian susah juga. Tengoklah macam mana, andai ada rezeki dan mengikut perancangannya, saya memang teringin anak," beritahunya sambil tersenyum lebar. Selepas menjadi seorang suami, kata Lan, dia masih orang yang sama tiada apa yang berubah. Kerjayanya juga masih kukuh sebagai penyanyi dan pemuzik. "Kalau daripada segi luaran tiada apa yang berubah tetapi segi dalaman memang banyak berubah terutama berkaitan dengan faktor kematangan menguruskan keluarga dan tanggungjawab yang semakin bertambah," akuinya. Selain memberi tumpuan kepada band Azlan & The Typewritter, Lan juga merupakan anggota band projek A.P.I dan terbaru, Prima Domestik gabungan bersama Hillary (Search) , Joe (Wings) serta Kelly dan Ujang (Exists). "Syukur, rezeki saya tidak hanya terikat dengan band sendiri sebaliknya projek-projek band yang lain juga. "Saya kini juga vokalis untuk band Prima Domestik dan kami telah merakamkan empat buat lagu. "Kemungkinan besar akan ada enam buah lagu secara keseluruhannya. Single pertama yang akan keluar berjudul Sedingin Pluto," jelasnya yang telah mula membuat rakaman pada bulan Disember tahun lalu. | ||||
Posted: KD sanggup tinggal di Dili
MENJELANG pernikahannya dengan Raul Lemos, Krisdayanti atau KD memberitahu bakal suaminya itu lebih sibuk berbanding dirinya. Dia memberitahu, Raul merancang dan membuat segala perkahwinan mereka. Malah, Raul sanggup mengenepikan urusan perniagaannya untuk memberi fokus terhadap persiapan perkahwinan mereka. "Jujur, dia (Raul) yang paling sibuk menguruskan persiapan perkahwinan kami. Banyak projeknya yang banyak terbengkalai kerana mengurus persiapan ini. Pekerjaan jadi sedikit tidak terurus kerana harus berulang alik Jakarta - Dili," ungkap KD. Mereka akan bernikah pada 24 Mac, bertepatan dengan ulang tahun Krisdayanti yang ke-36. Persiapan sedang dilakukan oleh keduanya, dan majlis perkahwinan akan berlangsung di Jakarta. "Ya di Jakarta saja, tidak menyusahkan semua orang," tegas KD lagi. Malah seperti satu balasan atas kebaikan Raul, KD tidak menolak untuk hidup dan tinggal di Dili selepas berkahwin. Katanya: "Ya, saya siap tinggal di Dili, kerana harus mendampingi suami. Selepas sudah bernikah dan ada komitmen, saya berusaha untuk tetap bersama suami." |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |