Adsense

Jumaat, 25 Februari 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


'Jangan hina filem Melayu'

Posted: 24 Feb 2011 11:29 AM PST

KEMUNCULANNYA sebagai jejaka budiman dalam filem komedi Pisau Cukur membuatkan ramai gadis jatuh hati. Tidak kurang ada yang mahu mengenali dengan lebih dekat jejaka bernama Shah Redza Minhat, 30.

Begitupun kelibatnya yang agak jarang dalam filem mahupun drama TV membuatkan ada pula berpendapat Redza begitu pemilih serta menjaga penampilannya di layar perak atau kaca TV. Dalam erti kata lain jejaka berasal dari Ipoh, Perak ini mahu menjaga eksklusiviti beliau.


Ditemui pada sesi fotografi khas bersama RAP, di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini, Redza bagaimanapun menjelaskan bukan niatnya mahu membataskan penampilan diri namun hal sebenar kerana dia terikat dengan tugas di sebuah institusi kewangan dan kebanyakan tawaran datang secara mendadak menyebabkan ia tidak dapat memberikan komitmen. Malah sesi fotografi tempoh hari pun terpaksa dibuat pada hari minggu.

Begitupun Redza tetap menegaskan dia sangat serius dengan dunia lakonan. "Sebenarnya kesibukan sebagai pegawai pelaburan di sebuah institusi kewangan menyebabkan saya tidak dapat memenuhi kebanyakan tawaran yang datang. Selalunya aktiviti lakonan hanya boleh dilakukan pada waktu malam ataupun pada hujung minggu. Kerana itu saya lebih aktif dalam pementasan teater kerana latihan dan pementasan biasa dibuat pada waktu malam," katanya.


Seperkara lagi tegas Redza, dunia teater lebih memberikan lebih kepuasan dan menerusi pentas lakonan, dia berpeluang untuk menimba lebih banyak pengalaman. Jejaka berasal dari Ipoh, Perak ini sebenarnya sudah lama membabitkan diri dalam dunia teater sejak di zaman universiti lagi.

Kecintaannya kepada dunia teater juga membawa Redza pergi jauh dengan menghasilkan skrip. Ia satu pencapaian boleh dibanggakan. Hampir 10 tahun membabitkan diri dalam dunia teater, Redza sudah menghasilkan lima skrip yang sudah dan bakal dipentaskan.

"Saya bertuah kerana apabila bekerja saya mengenali satu sudut kehidupan yang lain dan dunia teater membawa saya menyelami satu lagi sisi kehidupan manusia berbeza. Ia satu pengalaman cukup menarik dan turut memberi ilham dalam berkarya," ujarnya.


Seperkara lagi jelas Redza, dia cintakan dunia teater kerana disiplinnya yang berbeza berbanding beraksi di depan kamera. Malah kesungguhan ditunjukkan warga kerja dalam bidang teater ini cukup mengagumkan.

"Dalam teater, setiap penggiatnya sama ada pelakon mahupun mereka yang terbabit di balik tabir benar-benar mencintai seni tanpa memikirkan sangat soal wang. Kebanyakan teater yang saya berlakon berskala kecil dengan belanja rendah, jadi bayaran diterima tidak tinggi. Percaya atau tidak ada antara mereka sanggup bekerja secara percuma kerana tahu pihak produksi kekurangan dana. Bagi mereka kepuasan jauh lebih penting berbanding wang ringgit.

"Semangat kerjasama juga tinggi. Ada antara penggiat teater berlakon sepenuh masa tetapi peluang untuk beraksi dalam drama mahupun filem tidak pernah dapat. Mereka saling menyokong dan memberikan peluang kepada mereka ini. Menerusinya kami belajar mengenal erti setia kawan," katanya lagi.


Melihatnya secara kasar pasti ada yang berpendapat bahawa Redza lelaki 'urban' dan tidak mungkin menonton filem Melayu. Bagaimanapun apabila membicarakan mengenai perkara ini, nada suaranya mula berubah. Dia menjadi lebih tegas dan berbicara dengan penuh semangat.

Hakikatnya, jangan menilai buku daripada kulit luarnya. Begitu jugalah dengan Redza. Janganlah ada sesiapa pun menghina filem Melayu di depannya kerana kecintaannya terhadap industri perfileman tempatan sangat tinggi kerana dia kaki wayang. Walaupun ada filem Melayu kurang dari sudut mutu dan pengisian, bagi Redza, ada sesuatu yang boleh ditimba daripada setiap karya itu.

"Saya asal orang kampung dan pernah hidup susah. Sewaktu saya kecil, ibu berpisah dengan ayah kandung. Waktu itu kami berdepan dengan kehidupan yang susah. Sehinggalah ibu berkahwin lain, barulah kami dapat hidup dengan selesa. Dalam melawan kepayahan hidup, filem menjadi 'escapism' (pelarian) buat saya untuk melupakan segala masalah. Duduk di Taiping waktu itu, pawagam hanya menayangkan filem Melayu dan ia berterusan hingga kini," katanya.


Sekiranya tidak sempat menonton filem di panggung, Redza akan mencari VCD dan DVD filem Melayu yang original. Walaupun harganya sedikit mahal, baginya itu saja cara untuk dia membantu penggiat industri filem tempatan.


"Kadang-kadang ada juga rakan dan kenalan yang memberi kenyataan buruk mengenai filem tempatan. Perkara itu membuatkan saya rasa terganggu kerana komen diberi sebelum mereka pergi ke panggung menontonnya. Menghukum sesebuah karya seni sebelum menyaksikannya pada saya adalah sangat tidak adil!

"Kadang-kadang saya sendiri jemput rakan-rakan datang ke rumah untuk menonton VCD yang dibeli. Menerusinya kami menilai dan membincangkannya. Walaupun tidak bagus sesebuah filem itu tapi sebagai penggiat saya dan rakan-rakan yang lain menggunakan ia sebagai bahan pembelajaran supaya apabila berpeluang menghasilkan karya sendiri, kekurangan itu akan dapat diubah," jelasnya.


Bagaimanapun Redza menjelaskan perkembangan filem tempatan dewasa ini boleh dibanggakan bukan saja dari sudut kutipan tetapi juga mutu penghasilan. Ini ditambah dengan bertambahnya penggiat muda yang menghasilkan filem dengan idea lebih segar.

Redza sendiri menjelaskan dia gemar terbabit dengan beberapa penerbitan filem indie kerana kebanyakan pengarah dan karyawan terbabit begitu kreatif dan bersungguh-sungguh menghasilkan karya.


Menyentuh mengenai perancangannya dalam dunia lakonan, Redza bersama beberapa orang teman merancang untuk menghasilkan produksi mereka sendiri.

>Profil
Nama Penuh: Shah Redza Minhat
Panggilan: Redza Minhat
Usia: 30 tahun
Asal: Ipoh, Perak
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan, Universiti Multimedia Malaysia (MMU)
Filem: Pisau Cukur, Gol & Gincu
Drama: Impian, Goda
Teater: Tat Nenas, Gadis Jalan Burmah, Right Toast, Serangan Zombie Pertama Di Kuala Lumpur, Medea, Romeo & Juliet

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Paling kelakar antara semua

Posted: 24 Feb 2011 11:11 AM PST

MENCARI juara antara juara adalah matlamat program terbaru Maharaja Lawak yang bakal bersiaran setiap Jumaat, jam 10 malam bermula 1 April ini menerusi Astro Warna (saluran 132) dalam Pakej Mustika.

Selepas Raja Lawak mencapai kejayaan cemerlang hingga masuk musim kelima, Astro Prima memikirkan mekanisme untuk memartabatkan pelawak tempatan dengan menghasilkan program yang menawarkan hadiah lumayan sebanyak RM300,000.


Pengurus Saluran Astro Prima yang juga merangkap Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani, berkata, program yang akan diacarakan AC Mizal ini bagaimanapun menampilkan format berbeza menyaksikan undian bukan sepenuhnya ditentukan penonton tapi turut ditentukan juri profesional dengan nisbah 50/50. Katanya, inilah masa yang sesuai untuk himpunkan semua finalis musim pertama hingga kini untuk rebut hadiah ditawarkan. "Kami berjaya kumpulkan semua mereka kecuali Along, Angah dan Azrul yang terikat dengan komitmen lain. Format yang ditampilkan memang macam Raja Lawak, tapi kami akan tampilkan tema tertentu. "Kami juga beri kebebasan untuk mereka bergabung dalam sebuah kumpulan. Mereka bebas pilih sesiapa pun asalkan memenuhi kriteria ditetapkan iaitu mestilah finalis Raja Lawak dan setiap gabungan hanya menampilkan tiga orang," katanya pada sidang media Maharaja Lawak baru-baru ini.

Peserta yang bertanding secara solo ialah Alex (Alexander Ahat), Amir (Mohammad Amirullah Azmi), Jihan (Nuur Jihan Musa) dan Nabil (Ahmad Nabil Ahmad). Peserta berkumpulan pula ialah Jozan yang dianggotai Johan (Mohd Yazid Lim Mohd Aziz dan Zizan (Mohd Razizan Abdul Razak), Kecik & Idlan (Wan-Safuan Madeaming, Achoe-Mohd Ilham Rusdy dan Idlan-Khairul Idlan Abd Razak), Sepah (Mamat -Mohd Noor Murad, Jeff-Mohd Nadzri Zainal Abidin dan Shuib-Shahmira Muhammad), XN3 (Norazhar Buyong dan Mohd Fahdil) dan Yus & Taukeh (Yussry Edoo dan Zamatul Amri Zakaria). Tiga lagi tempat akan diisi finalis Raja Lawak 5 yang akan berakhir tidak lama lagi.


Melihatkan senarai peserta, seperti dapat diagak, Jozan, Sepah, Kecik dan Nabil mempunyai kelebihan untuk muncul juara kerana aktif dalam bidang seni. Tambah lagi Jozan, kerana Johan dan Zizan turut mengacara Raja Lawak. Bagaimanapun, Nizam menafikan tanggapan itu kerana katanya semua peserta mempunyai peluang untuk menang.


"Hampir semua mereka ada program sendiri dan bergiat cergas dalam seni. Jadi peluang sama rata. Bezanya sejauh mana populariti program itu di mata peminat. Bagaimanapun, kami akan menyiarkan semua footage aksi mereka sebagai cara untuk kembalikan ingatan peminat.

"Kami tiada masalah jika Jozan kalah di tangan peserta lain kerana ini pertandingan. Kami lihat semua peserta sudah teruja dan mula buat persiapan. Tiga orang juri nanti akan bertanggungjawab untuk menilai persembahan peserta berdasarkan kriteria ditetapkan iaitu kelucuan dan elemen jenaka dalam sesebuah persembahan, keaslian dan kreativiti serta bakat dan kemahiran lakonan yang paling menyerlah," katanya.


Nizam bagaimanapun enggan memberitahu siapa juri terpilih dan menjelaskan identiti mereka hanya akan diketahui pada minggu pertama Maharaja Lawak pada 1 April nanti. Pemenang tempat kedua Maharaja Lawak akan menerima RM200,000 manakala tempat ketiga RM100,000.

Johan dan Zizan ketika ditemui menafikan bergabung kerana semata-mata mahu menang. Mereka pilih untuk bergabung kerana berasakan wujudkan keserasian apabila sering bekerjasama dalam karier.


"Apa saya buat Johan boleh bantu dari belakang. Inilah kelebihan apabila bekerjasama. Kami bukan kejar kemenangan tapi sebaliknya masuk atas jenama Jozan. Astro yang tentukan mana-mana peserta yang sesuai bertanding. Saya pernah tampil solo sebelum ini, tapi berasakan lagi kuat bila ada Johan," kata Zizan.


Johan pula berkata, menang atau kalah perlu diletak tepi dahulu kerana mereka mahu menyahut cabaran program ini. Jika ditakdirkan mereka tersingkir awal pun tapi dalam keadaan kelakar, mereka menerimanya dengan hati terbuka. Mereka juga tidak memikirkan mengenai saingan peserta lain sebaliknya mahu memberikan persembahan terbaik serta boleh mendidik masyarakat.


Pendapat Jozan dipersetujui Sepah yang berkata tiada gunanya menjadi juara jika tidak tampilkan persembahan kelakar. Yang penting mereka tampilkan persembahan yang terbaik dan boleh diterima penonton.


"Kalau teruk kena kritik dengan juri pun kami tak kisah kerana kami tak sedar kelemahan sendiri. Hanya juri yang nampak. Komen mereka pasti akan memantapkan lagi lawak kami," kata mereka yang sanggup menolak tawaran berlakon kerana menumpukan pada Maharaja Lawak. Sementara itu, Jihan pula awalnya berbelah bagi untuk bertanding kerana dia satu-satunya wanita dan berasa rendah diri. Namun apabila difikirkan semula, inilah peluang baginya untuk muncul semula di mata peminat.


"Saya bermula sebagai peserta solo, jadi biarlah saya terus tampil solo. Tak dinafikan saya berasa gentar tapi akan tunjukkan kuasa wanita dalam pertandingan ini. Sebenarnya saya lebih suka tampil solo kerana jika buat salah, pasangan saya takkan tuding jari sebagai punca kekalahan itu," katanya jujur.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.