Adsense

Jumaat, 25 Februari 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Bukan sekarang

Posted: 24 Feb 2011 03:15 PM PST

Hip

pix_gal0
Kerjaya seni jadi keutamaan

TIADA perkahwinan tahun ini. Itu penjelasan Ana Raffali mengulas khabar angin yang menyatakan dia akan menamatkan zaman bujangnya akhir tahun ini.

Calon Penyanyi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2010) ini masih meletakkan kerjayanya dalam bidang seni sebagai keutamaan berbanding kepentingan peribadinya.

Tambahan pula, tanggungjawab terhadap keluarga yang membuatkannya serius melangkah ke dunia hiburan secara tidak langsung meletakkan diri gadis berusia 26 tahun itu dalam keadaan belum bersedia melangkah ke fasa seterusnya, walaupun mengakui ada insan istimewa bertakhta di hatinya. "Matlamat asal mahu membantu keluarga belum mencukupi. Tambahan pula saya bukan daripada keluarga senang. Ayah pesara manakala ibu hanya suri rumah. Banyak lagi yang perlu saya usahakan sebelum memikirkan fasa seterusnya dalam kehidupan.

"Sesiapa pun pasti ada perancangan untuk berkahwin, begitu juga saya. Namun rasanya bukan dalam waktu terdekat ini. Saya mahu membantu keluarga terlebih dulu," katanya yang baru-baru ini menerima wang tunai RM35,000 hasil kejayaan sebagai penulis lagu, penulis lirik dan penyanyi lagu Tolong Ingatkan Aku pada Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25).

Walaupun awalnya enggan mengiyakan hati sudah dimiliki, selepas lama berbual baru dia mengakui mempunyai teman istimewa yang sudah lama mengenalinya.
"Dia lebih kepada teman karib yang ada sisi saya sejak dulu lagi, ketika saya tidak punya apa-apa. Ya, dia menyokong dan memahami keutamaan saya pada masa ini," kata pemilik nama sebenar Ana Nur Hidayah Mohd Raffali itu saat ditanya soal teman istimewa.
Tambahnya lagi, bukan niat mahu menyembunyikan kekasih atau enggan berkongsi soal hati, namun pihak pengurusan 'menasihatkannya' untuk lebih banyak berbicara perihal kerjaya, bukan memperbesar-besarkan cerita berbaur peribadi.

Sebak dengan sokongan peminat

ANA tidak melupakan hajat mengadakan kenduri kesyukuran di atas kemenangan yang diraih dengan memilih Mac ini bagi meraikan mereka yang sentiasa menyokongnya, dengan menganjurkan dua majlis.

"Sebenarnya saya segan memanggil mereka peminat. Mereka ialah penyokong yang membuatkan saya mampu berdiri di sini. Saya mahu berkongsi rezeki ini dengan mereka yang sentiasa mempercayai bakat saya. Ini tanda terima kasih saya buat semua.

"Saya mahu buat dua majlis sebab berharap tiada yang tertinggal atau berkecil hati," katanya yang bercadang melancarkan kelab penyokongnya, Ana Raffali & The Marhains pada majlis terbabit.

Hingga kini, menerusi laman sosial Facebook, dirinya sudah mengumpul 142,000 rakan malah sejak memenangi AJL 25, setiap minggu bilangan pengikut (fanpage) meningkat hampir 5,000 orang setiap minggu.

"Saya mahu mengekalkan nama The Marhains iaitu nama kumpulan pengiring saya sejak dulu kerana marhain membawa maksud rakyat dan merekalah yang menyokong saya hingga kini.

"Penyokong yang tidak mempunyai akaun sosial juga ramai. Di sebalik ramai yang mengkritik dan komen negatif, ramai juga yang datang kepada saya dan meminta saya bersabar. Itu juga penguat semangat hingga membuatkan saya sebak," katanya lagi.

Tegas Ana, walau sejarah kemenangannya masih diungkit dengan kata-kata mencalar rasa, gadis itu enggan menganggap ia sebagai halangan sebaliknya melihat semua itu sebagai cabaran untuk meneruskan langkah jitu.

Bercerita soal projek terbaru, anak jati Kuala Lumpur itu bakal muncul dengan single terbaru Sehabis Baik yang juga menjadi lagu tema filem arahan Othman Hafsham, Karipap-Karipap Cinta.

"Lagu ini mempunyai nilai sentimental buat saya. Ia berkait rapat dengan pengalaman sepanjang AJL25. Ia adalah luahan hati saya terhadap segala yang berlaku sebaik saja menyertai anugerah ini," katanya penuh makna.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Cari vokalis beridentiti

Posted: 24 Feb 2011 03:13 PM PST

Hip

MUH enggan isi kekosongan dengan penyanyi tiru gaya orang lain

MENGAKUI Azlan atau Lan antara vokalis terbaik kumpulan muzik tempatan, Meet Uncle Hussain (MUH) hingga kini masih tercari-cari penyanyi yang sesuai bagi mengisi kekosongan ditinggalkan penyanyi itu, walaupun selepas lebih setahun mereka 'berpisah'.

Bagi ketua kumpulan yang memperjuangkan genre rock progresif itu, Taja, kolaborasi bersama bintang Mentor, Black, selain bakat baru kelahiran Akademi Fantasia (AF), Hazama, hanya untuk album sekali gus berasaskan situasi menang-menang.

"Bukan mengambil kesempatan atau sekadar mempergunakan penyanyi undangan, sebaliknya kedua-dua pihak mendapat manfaat malah masing-masing mempunyai projek sendiri untuk diberikan tumpuan. "Macam Hazama, selepas bergabung dengan MUH dia dapat peluang pula berduet dengan Amy Search dalam sebuah persembahan di Astro Fest. Sebagai rakan, kami bangga melihat pencapaiannya," katanya yang mewakili MUH menerima cek kemenangan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-25, di Sri Pentas, baru-baru ini.

Lagu Drama King sentuhan Taja dan Tun Teja yang disampaikan Black meraih tempat kedua pada AJL ke-25 sekali gus membawa pulang wang tunai RM15,000 serta trofi.

Hasil kemenangan itu, kata Taja, akan disalurkan untuk pembangunan kumpulan mereka termasuk pembikinan buah tangan terbaru. Menerusi projek terkini itu, mereka turut berkolaborasi dengan Hazama merakamkan single terbaru berjudul Pokok.

Sekali pun semua usaha sama bersama Black atau Hazama 'menjadi', mereka sepakat enggan mencari vokalis tetap yang cuba meniru gaya kedua-dua penyanyi berkenaan mahu pun Lan, sebaliknya penyanyi baru nanti perlu mempunyai identiti sendiri.
Tidak hairan, sejak MUH menghebahkan berita mereka memerlukan vokalis, hampir 100 calon sudah diuji bakat namun agak mengecewakan apabila kebanyakan calon yang datang sudah dibayangi imej serta gaya nyanyian penyanyi asal.

"Kita bukan mencari penyanyi 'copycat'. Memang ada sebahagian daripada calon yang datang memiliki suara bernada tinggi, tapi tak semestinya mereka perlu menjadi seperti penyanyi asal kami. Sebilangan yang lain pula memang mempunyai vokal bagus, cuma tiada hala tuju. Apa-apa pun, pencarian ini akan diteruskan.

"Sebelum ini uji bakat dijalankan secara perlahan-lahan sebaik saja Lan keluar MUH. Namun belum ada yang sesuai kerana kita mengambil kriteria tertentu. Paling utama, calon harus tampil bersama identiti sendiri.

Ditanya mengenai desas-desus pembabitan mereka dalam sebuah program berkonsepkan pertandingan realiti, Taja sekadar tersenyum dan menambah, ia masih berkaitan usaha menggilap bakat baru yang mahu diketengahkan sebagai vokalis.

Berdasarkan perancangan, uji bakat dijadualkan bermula April ini, namun Taja masih mengunci mulut apabila rantaian soalan beralih kepada pembabitan pihak stesen televisyen mahu pun kaedah pemilihan peserta.

"Semuanya sekadar rancangan. Sebarang perkembangan kita akan maklumkan bagi membolehkan ramai bakat muda di luar sana menonjolkan bakat. Mungkin mereka yang punya 'suara' dan kelainan belum lagi mencuba nasib.

"Selagi tempat itu masih kosong, kita akan menggunakan khidmat Hazama dulu. Saya pula hanya mampu mencipta lagu dan lirik, atau sekadar menjadi penyanyi latar," akuinya lagi yang enggan membuang masa orang lain meletakkan diri sendiri sebagai vokalis MUH.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.