Gosip Artis Malaysia |
- Kontroversi 'Halimah Jongang', Sheera Hilang Tawaran Berlakon
- Shahir Disyaki Sakit Kanser Hati
- Ainul Aishah Kemalangan Selepas Habis Penggambaran
- Bunkface tanpa Sam
Kontroversi 'Halimah Jongang', Sheera Hilang Tawaran Berlakon Posted: 24 Feb 2011 08:47 PM PST SUBANG JAYA: Pelakon Sheera Iskandar mengakui selepas tamat penggambaran dramaHalimah Jongang bersama produksi milik A.Aida, dia tidak mendapat sebarang tawaran berlakon. Menurut Sheera, dia bertambah kesal apabila kontroversi dituduh "melanggar kontrak" A.Aida sebelum ini telah memberi kesan teruk terhadap kerjaya sebagai seorang pelakon. "Perkara ini memberi kesan yang agak teruk kepada saya terutama dalam industri. Ramai produser yang takut untuk ambil saya berlakon kerana telah dituduh tamak dengan tawaran. Saya tahu ada yang penyampai dan bercakap-cakap tentang perkara itu kepada penerbit-penerbit drama. "Drama Iparku Diva yang sedang saya lakonkan sekarang itu pun sudah ditandatangani sebelum kontroversi Halimah Jongang berlaku. Kalau tidak, saya tak tahulah apa jadi dengan nasib saya," katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Pengacara dan Penyampai untuk Anugerah Bintang Popular, di sini, Khamis. Tambah Sheera, di kecewa apabila kontroversi tersebut telah menjadikannya mangsa sehingga hampir membunuh kerjayanya sebagai pelakon. "Saya malu untuk keluar menemui orang ramai terutamanya di tempat awam. Mereka yang tidak faham pasti akan menyalahkan saya seratus peratus. Jika duduk di rumah pula rasa sangat tertekan. Kalau saya terlalu fikirkan perkara itu, badan boleh jadi sakit-sakit. "Saya juga tak boleh tengok rambut palsu dan topi kerana sentiasa teringatkan watak Halimah Jongang yang hampir membunuh kerjaya saya," katanya. Bagaimanapun, menurut Shira dia menganggap kejadian itu sebagai dugaan dalam bidang lakonan dan percaya kepada rezeki daripada Allah. Ketika ditanya tentang tindakan susulan daripada tuduhan-tuduhan yang pernah dilemparkan oleh pemilik A.Aida Production itu, Sheera hanya memberitahu dia memilih untuk berdiam diri. "Kami tak akan ambil apa-apa tindakan kecuali dia sudah memulakan dahulu. Tapi sehingga kini belum ada apa-apa lagi perancangan. "Walaupun begitu, kami juga ada meminta pandangan dan khidmat nasihat daripada peguam tentang perkara ini. "Mereka menasihatkan agar berdiam dan tunggu apa yang akan mereka lakukan terlebih dahulu. Lagipun kes saman-menyaman ini perlukan kos dan bukan percuma," katanya. |
Shahir Disyaki Sakit Kanser Hati Posted: 24 Feb 2011 08:42 PM PST KUALA LUMPUR: Bekas juara Akademi Fantasia 8 (AF8), Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir, dipercayai menghidap kanser hati selepas dia membuat pemeriksaan kesihatan pada tahun lalu. Menurut Shahir, penyakitnya itu dikesan selepas sampel darahnya melalui sembilan jenis ujian dan salah satu hasil ujian mendapati bahagian hati Shahir mengalami masalah. "Ketika itu saya ditahan di wad Hospital Az-Zahra, Bangi, Selangor selama dua hari akibat tekanan darah rendah. Tak sangka pula selepas membuat ujian, keputusan itu pula yang saya peroleh. "Bagaimanapun, saya telah membuat ujian darah yang sama di hospital lain untuk mendapatkan pengesahan sebenar tentang penyakit tersebut dan Alhamdulillah, selepas diperiksa, penyakit saya ini belum sampai ke tahap serius. "Mungkin kerana masalah pemakanan serta tekanan membuatkan kesan terhadap hati saya. Setakat ini saya masih lagi membuat pemeriksaan lanjutan dan keputusan baru akan diketahui pada minggu depan," katanya. Tambah Shahir, gara-gara penyakit tersebut, dia mengambil langkah untuk berehat seketika daripada sebarang publisiti serta persembahan nyanyian pada tahun lalu. "Bila saya perlukan ruang untuk berehat, timbul pula cerita yang saya tidak berdisiplin dan menghilangkan diri, semua itu adalah tidak benar. "Sampaikan saya terpaksa menunjukkan surat doktor kepada beberapa pihak untuk memberikan penjelasan kerana saya enggan menimbulkan spekulasi," ujarnya. Walaupun terpaksa bergelut dengan penyakit dan kontroversi, Shahir menerima keadaan itu seadanya memandangkan dia faham, sebagai seorang selebriti, pelbagai dugaan yang perlu ditempuh. Pada hujung tahun lalu, penyanyi yang popular dengan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu dikatakan mula menghadapi masalah disiplin apabila beberapa sesi fotografi yang telah diatur dibatalkan pada saat-saat akhir. Malah dia juga gagal hadir semasa sesi mencabut nombor giliran sempena Anugerah Juara Lagu ke 25 (AJL25) anjuran TV3 selain tidak muncul dalam Konsert Ria 2010 di I-City, Shah Alam, Selangor. Bagaimanapun, ibunya, Mahanum Osman, berkata kesihatan penyanyi itu agak terganggu dan dia memerlukan masa untuk menenangkan fikiran di kampungnya. |
Ainul Aishah Kemalangan Selepas Habis Penggambaran Posted: 24 Feb 2011 08:39 PM PST PETALING JAYA: Pelakon Ainul Aishah mengakui akibat terlalu tergesa-gesa untuk pulang menonton drama lakoanannya menyebabkan dia mengalami kemalangan di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) pada petang Selasa lalu. Kata Ainul, selepas menjalani penggambaran salah satu daripada beberapa episod drama Begitukah Cinta kira-kira pukul 6.45 petang, dia berhasrat untuk pulang segera menonton episod terdahulu drama itu. "Selepas penggambaran saya berkejar untuk pulang segera untuk menonton episod cerita tersebut, tetapi malangnya ketika itu jalan raya agak sesak. "Saya tidak perasan sebuah kereta jenis BMW berada di hadapan saya dan melanggar kereta tersebut. Ketika kemalangan itu apa yang saya terfikir ialah tak dapat menonton cerita lakonan saya sahaja," ujarnya. Kereta jenis Honda City tersebut mengalami kerosakan agak teruk dan kini sedang dibaiki di sebuah bengkel di Kuala Lumpur. Tambah Ainul, biarpun tidak mengalami sebarang kecederaan, dia tetap berasa terkejut dan lebih berwaspada ketika memandu. "Akibat kemalangan itu, kereta saya mengalami kerosakan agak teruk dan kini berada di bengkel. Buat masa ini saya gunakan kereta abang saya sementara menunggu kereta tersebut siap dibaiki. "Walaupun saya rasa itu kemalangan kecil tapi saya seperti takut untuk memandu. Saya lebih banyak menekan brek dan tidak mahu memandu dengan jarak yang dekat," katanya. Tambah Ainul, dia mengakui sikap tergesa-gesanya mendatangkan bahaya kepada banyak pihak dan menganggap perkara tersebut sebagai pengajaran kepadanya. "Saya sedar ia mendatangkan bahaya bukan sahaja kepada saya tetapi kepada pihak lain. Allah selepas ini saya lebih berhati-hati," katanya. |
Posted: 24 Feb 2011 08:35 PM PST SEJAK tertubuhnya band baru The Azenders, vokalis band Bunkface Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Bahrom dikatakan bakal menarik diri daripada Bunkface. Malah berita itu dilihat semakin hangat apabila hanya dua ahli Bunkface iaitu Farouk Jaafar (Youk) dan Ahmad Farhan Hashim (Paan) yang kelihatan pada majlis pelancaran program terbitan RTM Xpresi Kembara yang berlangsung di Pulau Perhentian, Terengganu baru-baru ini. Bahkan pada majlis tersebut, Youk dan Paan turut membawa seorang penyanyi baru naungan Bunkface Production Sdn. Bhd. iaitu Myo yang dikhabarkan bakal menggantikan tempat Sam andai dia meninggalkan Bunkface kelak. Paan dan Youk menegaskan Sam masih lagi ahli Bunkface dan berita dia meninggalkan Bunkface hanyalah khabar angin. "Itu hanya khabar angin, Sam masih bersama Bunkface. Dia tidak dapat hadir ke majlis ini kerana dia kini sibuk dengan promosi band The Azenders yang merupakan projek sampingan Sam," ujar Paan. Disoal lagi, sampai bilakah keadaan ini akan berlarutan dan adakah benar jodoh mereka bersama Sam akan berakhir tidak lama lagi? Jawab Youk: "Saya tidak tahu jodoh kami sebagai sebuah band akan bertahan sampai bila. Kemungkinan untuk Sam keluar daripada Bunkface saya tidak tahu bila. Tetapi sekarang apa yang boleh saya cakap dia masih bersama kami." Bagaimanapun Youk tidak menafikan wujud perselisihan faham antara mereka dan perkara itu bertambah berat apabila Sam memberi lebih tumpuan kepada The Azenders. "Kami tidak bergaduh, kami masih baik dan akan sentiasa baik sampai bila-bila. Kalau berselisih faham itu biasalah, rasanya semua band pun alami perkara yang sama. Tetapi perselisihan faham itu bertambah berat bila wujudnya The Azenders. Tetapi semua perselisihan faham itu hanya kerana muzik tidak ada perkara lain," katanya. Jelas Paan pula, dia dan Youk masih berhubung dengan Sam, malah masih bersama menguruskan Bunkface Production. Dia berjanji, jika benar Sam akan keluar daripada Bunkface, ia akan diumumkan secara rasmi. Youk kemudian memberitahu, isu Sam mahu keluar daripada Bunkface merupakan dugaan terbesar mereka sebagai sebuah band dan berharap mereka dapat melaluinya sebaik mungkin. "Ini memang dugaan buat kami. Saya sendiri tidak sangka perkara seperti ini akan berlaku. Sebenarnya perkara ini orang nampak semakin berat kerana Sam kini sedang dalam rangka promosi band barunya. Hubungan persahabatan kami masih lagi seperti dahulu. Walau apa pun yang terjadi, saya berharap peminat Bunkface akan terus menyokong muzik kami," jelas Paan. |
You are subscribed to email updates from Gosip Artis Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |