Kosmo Online - Hiburan |
Pertaruhkan bakat, bukan cerita sensasi Posted: Pertaruhkan bakat, bukan cerita sensasiFILEM berjudul Karak yang diterbitkan oleh KRU Studios belum lagi ditayangkan. Namun sudah ramai yang telah mengenali pelakon-pelakon utamanya seperti Kilafairy dan Shera Aiyob. Boleh dikatakan kedua-dua pelakon ini dikenali berdasarkan beberapa cerita sensasi yang tersiar sebelum ini. Masing-masing mempunyai kisah tersendiri hingga mendapat tumpuan ramai. Misalnya, Kilafairy yang juga anak kepada penyanyi terkenal era 90-an iaitu Rohana Jalil pernah digosipkan mempunyai hubungan dengan pengarah filem berkenaan iaitu Yusry Abdul Halim. Bukan itu sahaja, pelakon berusia 18 tahun itu juga dikatakan membuat suntikan di bibir setelah dilihat memiliki bentuk bibir yang seakan-akan pelakon Hollywood terkenal iaitu Angelina Jolie. "Saya sedar apabila menceburi bidang lakonan, cerita-cerita sensasi memang tidak dapat dielakkan dan itulah yang telah saya lalui pada masa ini sebagai seorang pelakon baru. "Bagaimanapun, saya sebenarnya kurang senang kalau dikenali sebagai pelakon kontroversi. Saya mahu dikenali kerana bakat lakonan yang dimiliki, bukan kerana cerita sensasi," tegasnya. Meskipun pada mulanya agak tertekan apabila dihimpit dengan kontroversi, namun dia bertuah kerana mendapat nasihat daripada ibunya yang lebih berpengalaman dalam dunia artis. Ujarnya, apa yang lebih penting sekarang adalah terus memberi tumpuan kepada kerjayanya ketika ini tanpa mempedulikan apa sahaja kisah kontroversi yang membabitkan dirinya. "Ibu ada berpesan sekiranya terbabit dalam bidang seni, mental dan fizikal harus kuat kerana banyak cabaran dan dugaan yang akan dilalui. Dengan pesannya itu, kini saya sudah lali dengan semua cerita-cerita tersebut," ujarnya. Sementara seorang lagi pelakon, Shera yang juga seorang pengacara mula dikenali ramai apabila suatu masa dahulu dia dikatakan bercinta dengan seorang pelakon lelaki yang sedang meningkat naik ketika itu. Namun begitu, hubungannya dengan pelakon berkenaan putus dan kemudian dia kini secara rasmi telah menjadi tunangan pelakon iaitu Zahiril Zahiril Adzim. "Lakonan adalah sesuatu yang agak baharu kerana saya memang tiada pengalaman langsung dalam bidang ini. Saya agak terkejut sewaktu ditawarkan berlakon dalam filem Karak. "Apa yang membuatkan saya tertarik untuk membintangi filem ini kerana tertarik dengan skrip dan jalan ceritanya. Malah, saya rasa inilah peluang untuk saya cuba cungkil bakat dalam bidang lakonan pula," jelasnya. Menurut Shera, biarpun mengakui sangat berdebar menanti reaksi peminat menerusi filem tersebut, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berlakon lagi selepas ini. Ujarnya, dia akan tetap menerima tawaran berlakon asal bersesuaian dengan jadualnya memandangkan dia juga terikat dengan tugas sebagai pengacara dan penolong penerbit dalam beberapa buah rancangan terbitan TV3. Sementara itu, ketika ditanya adakah dia sudah bersedia untuk mengharungi rintangan sebagai pelakon terutamanya dihujani dengan pelbagai cerita sensasi, Shera turut menganggap ia adalah salah satu cabaran yang harus dihadapi. "Rasanya sebelum bergelar pelakon lagi orang ramai sudah mengenali saya menerusi cerita mengenai hubungan cinta saya. Apa yang lebih penting saya tidak mahu cepat melatah kalau ada sebarang cerita yang kurang baik. "Cuma saya tidak mahu kisah peribadi saya terlalu digembar-gemburkan dan disensasikan kerana saya perlu menjaga nama baik keluarga dan tunang. Biarlah orang menceritakan tentang lakonan saya sahaja," ujarnya. Usaha sendiri Umum sudah mengetahui mengenai Kilafairy yang merupakan anak kepada penyanyi terkenal Rohana Jalil. Maka, tidak hairanlah sekiranya darah seni turut mengalir dalam diri anak bongsu kepada penyanyi berkenaan. Bagaimanapun, terdapat juga suara-suara nakal yang mengatakan bahawa pelakon itu turut menumpang populariti ibunya, malah turut dijadikan batu loncatan untuk dia bertapak dalam bidang seni. Mengulas mengenai perkara tersebut, pelakon yang sedang menuntut di Raffles International Collage itu menjelaskan segala tawaran berlakon yang diterimanya adalah tanpa pertolongan ibunya. "Selama ini saya berusaha sendiri berkecimpung dalam bidang lakonan dan tidak pernah berniat untuk menggunakan populariti ibu bagi mendapat banyak tawaran berlakon. "Sedangkan ibu pula sekadar menjadi orang tengah. Misalnya, kalau ada mana-mana pihak sama ada penerbit atau pengarah yang mahu menawarkan saya berlakon, maka mereka akan menghubungi ibu terlebih dahulu," jelasnya. Mengenai perjalanan karier seninya pula, pelakon berkenaan memberitahu bahawa dia sebenarnya turut menanam impian mengikut jejak langkah ibunya untuk bergelar seorang penyanyi. KILAFAIRY menolak dakwaan dia menjadi popular kerana kontroversi dan bantuan ibunya, penyanyi Rohana Jalil. Katanya dia berusaha keras untuk berada pada tahap sekarang. Jelasnya lagi, minat untuk menyanyi mula timbul sejak kecil lagi apabila telah didedahkan dalam dunia nyanyian kerana sering mengikuti ibunya membuat persembahan pentas. "Meskipun sibuk dengan berlakon ketika ini, hasrat untuk bergelar penyanyi tidak pernah luput. Malah, kini saya sedang dalam proses rakaman untuk menghasilkan single di bawah Edry," ujarnya. Cepat kahwin Pada tanggal 1 Mei lalu, Shera yang juga pengacara rancangan Wanita Hari Ini (WHI) telah menjadi tunangan kepada seorang pelakon yang kini sedang popular menerusi drama Juvana iaitu Zahiril Adzim. Menurut gadis kelahiran Ipoh itu, dia sememangnya sudah bersedia untuk bergelar sebagai seorang isteri dan keputusan untuk bertunang itu bukanlan satu keputusan yang tergesa-gesa. "Dulu saya sasarkan untuk mendirikan rumah tangga pada usia 27 tahun, namun tak sangka pula saya bertunang dan akan berkahwin lebih awal daripada sasaran sebelum ini. "Meskipun baru setahun kami bercinta, tetapi saya rasa sudah tiba masanya untuk melangkah ke alam perkahwinan," ujarnya yang akan bernikah pada 20 November ini. Menurut Shera, apa yang membuatnya ingin cepat mendirikan rumah tangga kerana menyedari cabaran serta dugaan yang bakal ditempuhi sepanjang tempoh pertunangan. Jelasnya, sebelum ini pernah terlintas di fikirannya untuk terus sahaja berkahwin tanpa bertunang. Namun, dia merasakan lebih baik bertunang terlebih dahulu sebagai persediaan untuk melangkah ke alam rumah tangga. Tentang pembabitannya dalam bidang lakonan pula, Shera memberitahu dia sangat beruntung kerana turut mendapat sokongan sepenuhnya daripada tunang tersayang. "Dia sendiri tidak kisah apabila saya berlakon kerana dia juga seorang pelakon. Malah, dia turut memberikan beberapa tip agar saya dapat menjadi seorang pelakon yang baik," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Peserta Sabah ungguli TLTBSSOleh SYALMIZI HAMID HADI yang memilih Mas Idayu sebagai ikon muncul juara Tiada Lama Tiada Baharu Satu-Satunya (TLTBSS). PENTAS akhir program realiti televisyen terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Tiada Lama Tiada Baharu Satu-Satunya (TLTBSS) yang berakhir baru-baru ini menyaksikan kehebatan ramai wajah baharu kelahiran RTM yang bakal mewarnai dunia hiburan. Program realiti yang disatukan melalui dua kategori iaitu Mirip Suara Ikon dan Muka Iras Artis menyaksikan dua anak jati negeri Di Bawah Bayu, Sabah telah mengungguli program yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Perdana, Angkasapuri itu. Peserta termuda TLTBSS, Hadi, 18, dari Kota Kinabalu, Sabah membolot hadiah utama apabila merangkul anugerah Penuntut Terbaik yang turut membawa pulang hadiah berupa sebuah kereta Proton Persona berserta wang tunai berjumlah RM10,000. Hadi atau nama sebenarnya Hadi Jaidi pada malam itu yang ditemani ikon beliau, Mas Idayu, bersyukur kerana berpeluang dididik oleh penyanyi dangdut itu sambil menjelaskan bahawa kemenangannya itu turut didorong oleh usaha keras ikonnya dalam memberikan tunjuk ajar. "Saya sangat bersyukur kerana berpeluang mendapat tunjuk ajar daripada Mami (Mas Idayu). Walaupun Mami garang tetapi tetap bersyukur kerana cara itu dapat mendisiplinkan saya," katanya. Hadi yang masih tidak membuat apa-apa perancangan selepas berakhirnya TLTBSS bagaimanapun merancang untuk terus menetap di Kuala Lumpur untuk meneruskan impiannya sebagai anak seni. "Saya akan terus menetap di KL (Kuala Lumpur) kerana peluang terbuka luas untuk saya di sini. Saya perlu menetap di sini untuk mencapai impian," ujarnya tanpa kelihatan gementar di hadapan wartawan.
Selain membawa pulang wang tunai dan sebuah kereta, Hadi turut membawa pulang hadiah iringan berupa trofi, iPad dan hadiah iringan lain. Sementara itu, Masri Koyoi, 38, yang mempunyai wajah persis penyanyi lagu Percaya, Mus May, menggondol anugerah Muka Iras Artis. Dia yang tidak menjangkakan kemenangan itu turut bersyukur kerana usaha kerasnya ketika masih di kampung halamannya di Kudat, Sabah kini menjadi kenyataan di Kuala Lumpur. "Usaha keras saya sejak sekian lama berbaloi juga pada hari ini. Saya sudah berusaha pelbagai cara untuk tampil diterima sebagai seorang penyanyi ketika di Kudat lagi. Kini ia menjadi kenyataan di sini (Kuala Lumpur). "Di kampung ramai rakan yang memberitahu bahawa muka saya mempunyai iras Mus May. Apabila mengetahui mengenai program ini saya terus menyertainya kerana saya melihat peluang untuk terus menonjol," kata Masri yang turut menyimpan impian untuk bertemu Mus May. Masri membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM2,000 berserta trofi dan hadiah iringan. Malam akhir TLTBSS yang berlangsung selama tiga jam itu turut menawarkan anugerah lain termasuklah anugerah Penuntut Contoh yang disandang oleh Hamim, Persembahan Terbaik (Ashraf), Peserta Popular (Umar) selain penyanyi Uji Rasyid yang membawa pulang trofi anugerah Ikon Popular. Para pemenang membawa pulang hadiah-hadiah bernilai RM250,000 tajaan daripada Ancasa Hotel & Spa, Habib Jewel, Proton, Walit Gold, Michael & Guy, Jatimas, Mac serta Poto Travel & Tours. TLTBSS merupakan sebuah program realiti TV terbaharu terbitan RTM yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu nyanyian dengan tunjuk ajar daripada ikon masing-masing termasuklah Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Mas Idayu, Datuk David Arumugam serta Hail Amir dan Uji Rashid selain kategori rupa iras artis. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Lee Seung Gi tagih wanita
PENYANYI Korea, Lee Seung Gi meluahkan rasa kecewanya sebagai selebriti lelaki apabila muncul dalam program televisyen Come To Play baru-baru ini. Kata penyanyi itu: "Saya tidak tahu jika saya tidak mempunyai tarikan atau terdapat salah faham yang saya tidak mempunyai telefon bimbit, tetapi selebriti wanita tidak pernah minta nombor telefon saya." Tambahnya lagi: "Saya lelaki yang mudah didampingi." Pengakuan Lee Seung Gi itu menyebabkan penonton ketawa besar kerana selama ini dia dikenali dengan imej sempurna dan bersih. Ramai penonton tidak menyangka akan mendengar luahan kecewa Lee Seung Gi mengenai hal itu sedangkan dia merupakan salah seorang penyanyi popular dan mempunyai ramai peminat wanita. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |