Adsense

Khamis, 5 Mei 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Wings terbaik!

Posted: 04 May 2011 03:52 PM PDT

Hip

pix_gal0
Konsert Wings Opera Hidup catatkan sejarah tersendiri kepada rockers tanah air

BIARPUN mungkin tidak sehebat Metallica dan Scorpions, tetapi Wings boleh berasa bangga kerana persembahannya di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) meletakkan kumpulan 'sayap-sayap' ini menjadi kumpulan rock pertama di benua Asia mengadakan konsert dalam dewan dengan iringan Orkestra Simfoni Kebangsaan.

Konsert Opera Hidup juga menjadikan semua anggota utama Wings mengepak seumpama berada seiringan dengan Metallica dan Scorpions, dua kumpulan rock yang pernah menjayakan persembahan rockestra kerana persembahan yang diiringi dengan muzik orkestra.

Kalau Metallica pernah mengadakan konsert dengan iringan The San Francisco Symphony Orchestra, manakala Scorpions pula diiringi Berlin Philharmonic Orchestra, kumpulan Wings pula berbangga kerana persembahan mereka turut mendapat sokongan daripada Orkestra Simfoni Kebangsaan pimpinan Mustafa Fuzer Nawi. Pentas suka duka

WINGS memulakan Konsert Opera Hidup dengan lagu Opera Hidup dan diikut dengan Hukum Karma.

Opera Hidup adalah satu kiasan mengenai pentas kehidupan anggota kumpulan Wings yang mengharungi perjalanan suka duka kumpulan ini selama 25 tahun dalam dunia hiburan terutama dalam muzik rock.

Memang bukan mudah sesebuah kumpulan rock yang sinonim dengan imej rambut panjang ini bertahan di pentas hiburan kerana penampilan seperti itu sering saja menjadi cemuhan segelintir masyarakat.
Bukan sedikit kumpulan rock yang yang berundur dan kini hanya tinggal nama sahaja. Namun, Wings tetap bertahan. Awie sendiri mengakui sepanjang suku abad, Wings memang menghadapi pelbagai cabaran.

Namun semangat mereka untuk bertahan dalam industri muzik yang penuh pancaroba ini cukup kental, seteguh semangat yang diambil daripada Inspirasi Taming Sari, iaitu antara lagu yang disampaikan dalam konsert ini.

Anggota muziknya silih berganti. Pemain dramnya, Black pernah meninggalkan kumpulan ini dan digantikan dengan Jojet yang sempat membantu menghasilkan enam album Wings. Malahan Awie sendiri meninggalkan Wings untuk tempoh yang lama dan ketiadaannya dalam kumpulan ini digantikan dengan vokalis MAY, Mus dan Mel.

Tetapi seumpama lagu Semalam Yang Hangat, saat indah suka dan duka bersama Wings bukan mudah dilupakan, lalu Awie kembali ke pangkuan rakan-rakannya. Saat yang indah ini diabadikan selama empat malam berturut-turut dalam Panggung Sari Istana Budaya.

Bagi Awie dan kawan-kawannya juga, Konsert Wings Opera Hidup bukanlah sekadar konsert tetapi juga mempunyai ertinya yang cukup mendalam, terutama dalam mengekalkan persahabatan.

Ini terserlah apabila semua yang pernah bernaung di bawah nama Wings, berkongsi kudrat untuk menjayakan konsert yang berlangsung selama lebih dua jam itu. Joe, Eddie, Black dan Awie bersatu dengan 'penyambung hayat' Wings iaitu Sham, Jojet, Mel dan Mus lalu mereka bersatu menyanyikan lagu Biarlah Berlalu seolah-olah mengajak mereka melupakan apa yang sudah berlaku sebelum ini.

Sememangnya tidak mudah untuk mengekalkan persefahaman kerana tempoh 25 tahun bukan satu jangka masa panjang. Kepayahan untuk mewujudkan satu hubungan yang akrab itu seumpama lagu Bernafas Dalam Lumpur yang turut disampaikan oleh Awie dalam konsert ini. Mungkin ada-ada sahaja yang hendak memecah belahkan kumpulan ini dan mereka itu barangkali dianggap sebagai hantu Jerangkung Dalam Almari yang seharusnya ditembak dengan meriam Bazooka Penaka.

Opera Hidup Wings ini sebenarnya sekadar merakamkan sejarah dan perjalanan suka dan duka mereka. Sebaliknya, Wings turut merakamkan suasana politik dunia pada awal tahun 90-an menerusi lagu Romania. Lagu ini menceritakan keazaman rakyat Romania dalam satu revolusi menjatuhkan Presiden mereka, Nicolae Ceausescu.

Lagu ini dimuatkan dalam album Teori Domino pada tahun 1990 yang turut memuatkan lagu Sejati. Lagu ini yang seolah-olah menjadi kemuncak Konsert Wings Opera Hidup tetapi persembahan Awie belum sampai ke penghujungnya.

Ini kerana konsert itu diteruskan lagi dengan gabungan Awie bersama-sama Mel dan Mus untuk menyanyikan lagu Taman Rashidah Utama, Biru Hitam Mataku.

Persembahan Wings dalam dewan teater ini tidaklah mengetengahkan rentak rock secara total, tetapi sesuai dengan konsep rockestra, maka setiap lagunya memang digubah semula dan diiringi dengan Orkestra Simfoni Kebangsaan pimpinan Mustafa Fuzer Nawi. Tidak seperti kebiasaannya yang mana muzik iringan orkestra ini sekadar tempelan atau dimainkan pada bahagian tertentu, tetapi untuk konsert Wings Opera Hidup, peranan Orkestra Simfoni Kebangsaan memang cukup menonjol.

Susunan muzik Wings Opera Hidup Rockestra dan akustika memang cukup mantap kerana ia adalah hasil sentuhan genius daripada Joe, gitaris Search, Hillary dan Lee Sze Wan yang pernah terbabit dalam produksi teater muzikal seperti P Ramlee The Musical dan Puteri Gunung Ledang The Musical.

Kepuasan tidak terkata

RAUT wajah Joe agak serius. Dia memang lincah di atas pentas 'menggoreng' gitar utama dengan tangan kidalnya. Tapi apabila si penyanyinya, Awie berhenti menyanyi untuk berbual seketika dengan penonton, cepat-cepat dia menyembunyikan diri di sebalik langsir pentas.

Di sebalik wajah seriusnya, Joe mudah diajak berbual. Dia bagaikan tidak mampu untuk berkata-kata apabila ditanya mengenai konsert Wings Opera Hidup. Kepuasan memang jelas terpancar pada wajahnya. Kegembiraan yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata

Joe, adalah orang penting yang bertanggungjawab memastikan konsert Wings Opera Hidup ini menjadi kenyataan. Menjayakan konsert yang besar dan eksklusif ini ternyata memerlukan kesabaran, kesungguhan, disiplin dan persefahaman serta kerjasama yang cukup tinggi.

"Persiapan konsert ini mengambil masa lapan bulan. Ya! memang saya puas dan bangga dengan hasil konsert ini. Malahan saya bangga kerana difahamkan Wings adalah kumpulan rock ketiga di dunia yang membuat konsert dengan iringan muzik orkestra dan di adakan dalam dewan teater," katanya yang ditemui selepas konsert ini selesai.

Ketua Pengarah IB, Muhamad Juhari Shaarani juga mengesahkan Wings adalah kumpulan rock ketiga di dunia selepas Metallica dan Scorpions yang mengadakan konsert dalam dewan teater, manakala susunan muzik mereka digubah dan disesuaikan dengan iringan orkestra sepenuhnya.

"Mereka (Wings) kumpulan ketiga dan menjadi yang pertama di Asia dan sudah tentu di Malaysia sebagai kumpulan rock yang membuat persembahan dengan iringan orkestra," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Semua hanya salah faham

Posted: 04 May 2011 03:48 PM PDT

Hip

KERATAN akhbar yang menyiarkan artikel penafian penganjur.

KERATAN akhbar yang menyiarkan artikel penafian penganjur.

Walaupun kecoh, Festival Nasyid 2 berjaya dilangsungkan

BIARPUN pelbagai kekalutan berlaku ketika penganjuran Festival Lagu Nasyid 2, Ahad lalu, Mustafa Daood daripada kumpulan Debu enggan menuding jari meletakkan kesilapan itu pada sesiapa.

Meskipun ada antara artis yang terbabit dalam festival anjuran Out of This World Sdn Bhd (O2TW) itu hilang kepercayaan terhadap Ketua Eksekutifnya, Naresh Nair, bagi Mustafa, dia tetap kagum melihat kesungguhan Naresh yang mahu festival itu diteruskan biarpun dilanda pelbagai masalah.

Mustafa hadir ke Balai Berita, kelmarin, bagi menjelaskan mengenai artikel Penganjur Nafi Abaikan Artis dalam Hip, Isnin lalu. Dia bagaimanapun mengakui timbul pelbagai masalah sebelum festival berlangsung, tetapi kemelut itu berjaya diatasi dengan bantuan ahli perniagaan, Datuk Amanullah.

"Saya tampil membuat penjelasan kerana tidak mahu berlakunya babak tuduh-menuduh. Apa yang berlaku sebelum festival itu adalah di luar dugaan kita. Bagi saya, ia lebih cenderung kepada salah faham.

"Susah untuk menuding jari kepada sesiapa, tetapi secara peribadi saya amat menghormati dan mengagumi Naresh. Walaupun berdepan dengan pelbagai masalah, dia tidak cuba melarikan diri, sebaliknya dia berusaha mencari jalan penyelesaian untuk memastikan festival ini diteruskan," katanya.

Menurut jejaka terbabit, sebelum terbang ke ibu kota, dia bagai dapat berasakan seakan ada yang tidak kena apabila belum menerima 50 peratus daripada bayaran.
"Sebagai orang yang sudah lama dalam industri, artis sepatutnya menerima separuh daripada bayaran yang dijanjikan sebelum persembahan bermula. Demi rasa cinta pada agama, saya dan artis lain enggan berkira. Malah ada yang sanggup mendahulukan wang mereka membeli tiket penerbangan bagi menjayakan festival.

"Masalah penginapan yang didakwa timbul memang berlaku apabila kami tidak boleh masuk ke bilik masing-masing selepas sarapan pagi pada hari Jumaat lalu. Kami difahamkan, agensi pelancongan yang menguruskan penginapan serta pengangkutan kami masih belum menerima sebarang bayaran daripada penganjur.

"Oleh itu, mereka terpaksa membatalkan penginapan kami. Akibatnya, kami terpaksa menunggu di lobi hotel hampir lima jam sementara menanti masalah itu diselesaikan," cerita Mustafa.

Ada hikmah tersembunyi

PENYANYI nasyid itu menegaskan, dia bersyukur dengan kemuliaan hati Amanullah, yang sanggup menanggung kesemua kos seperti bayaran penyanyi, tempat penginapan serta tiket penerbangan artis yang terbabit dalam festival berkenaan.

Pertemuan dengan ahli perniagaan itu diaturkan pada Jumaat malam yang turut disertai Naresh serta beberapa artis. Tanpa banyak pertikaian, Amanullah sedia menghulurkan bantuan kerana tidak mahu mengaibkan nama negara, selain mahu melihat usaha murni seperti itu tetap diteruskan.

Bagaimanapun hanya beberapa artis ikut serta pada pertemuan terbabit kerana sesetengah daripada mereka sudah hilang kepercayaan terhadap penganjur,
"Saya umpama orang tengah kerana teman-teman tidak lagi mempercayai penganjur, jadi mereka enggan menyertai majlis makan malam itu. Oleh kerana Datuk (Amanullah) berjanji untuk menanggung semua kos, rakan-rakan bertanya, adakah saya yakin dengan janji berkenaan kerana mereka sudah serik dengan janji ditabur penganjur.

"Bagaimanapun, saya masih belum cukup yakin. Selagi belum melihat sendiri lokasi konsert seperti dijanjikan, iaitu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC), selagi itu saya tidak yakin konsert akan diteruskan.

"Kira-kira jam 1 pagi, hari Jumaat, saya berkesempatan menjengah ke lokasi. Apabila melihat persiapan sedang giat dilakukan, barulah saya yakin yang festival itu akan berlangsung juga. Perkara itu juga saya maklumkan kepada rakan yang lain. Bagaimanapun mereka hanya bersetuju untuk meneruskan persembahan jika saya bersetuju untuk berbuat demikian. Jika tidak, mereka tidak mahu.

"Saya anggap apa yang berlaku sebagai satu hikmah. Kalau sebelum ini saya lebih suka buat hal sendiri ketika membuat persembahan, tetapi dengan apa yang berlaku beberapa hari lalu, saya sebenarnya berpeluang berkenalan dengan artis nasyid lain," katanya yang tidak serik untuk terus menjayakan persembahan sedemikian di negara ini.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.