Harian Metro: Rap |
Posted: 19 May 2011 09:13 AM PDT BERULANGKAH fenomena Nur Kasih? Inilah pertanyaan yang bermain di fikiran ramai mengenai nasib filem Nur Kasih The Movie (NKTM) yang mula menemui penonton di seluruh negara semalam. Sebelum ini, drama bersiri Nur Kasih mencipta sejarah apabila ditonton 19 juta orang. Pengumuman mengenai drama ini yang dipanjangkan dalam bentuk filem disambut dengan perasaan gembira oleh penggemar setianya kerana agak kecewa dengan penamat drama yang menimbulkan banyak persoalan dan dibiarkan tergantung. Dorongan ini menyuntik semangat buat pengarahnya, Kabir Bhatia dan isteri, Mira Mustafa bekerja keras menghasilkan NKTM.
Jika rantaian Nur Kasih berkisarkan tiga watak ini, acuan serupa turut dikekalkan dalam filem terbitan bersama Primeworks Studios, Film Scape Sdn Bhd dan Juita Viden Sdn Bhd kerana inilah yang peminat mahukan. Gabungan berkenaan yang menimbulkan kesan dramatik terhadap penonton sehingga spontan membuatkan mereka mengalirkan air mata tanpa dipaksa. Komen diberikan media yang berkesempatan menonton sesi prebiu NKTM ada pro dan kontra. Di sebalik pujian yang diberikan, ada yang melihat beberapa kelemahan boleh diperbaiki bagi memantapkan lagi filem ini. Namun, semuanya tidak menjadi kudis buat peminat kerana dikhabarkan tayangan di seluruh negara semalam mendapat sambutan hebat. Malah, awal-awal lagi pencinta Nur Kasih sudah membuat tempahan tiket bagi memastikan menjadi individu terawal menonton NKTM. Turut berbuat demikian ialah kelompok peminat setia pelakon NKTM yang menubuhkan Kelab Peminat Tiz Zaqyah Razak (TZR FC) dan Kelab Peminat Remy Ishak (RIFC) serta Kelab Peminat Fizz Fairuz yang mengadakan sesi tontonan beramai-ramai awal pagi semalam. Remy dan Tiz yang hadir ke Balai Berita untuk sesi promosi NKTM mengakui sudah melakukan yang terbaik. Kini segala keputusan diserahkan kepada peminat bagi menentukannya. "Sebenarnya kami ikhlas berlakon apabila Nur Kasih diterbitkan dalam bentuk filem. Kutipannya bukanlah menjadi isu sangat kerana yang penting kami dapat mengubati kerinduan peminat setia drama ini. "Secara jujur, saya mengakui sangat puas hati dengan skrip cerita ini dan pelbagai aspek di dalamnya. "Tak dinafikan perasaan saya berdebar-debar sebelum ini menunggu tarikh tayangan. Tambahan pula komen yang diberikan oleh media merangkumi pelbagai jenis. "Bagaimanapun setiap orang mempunyai pendapat sendiri dalam perkara ini. "Walaupun ada perbezaan jalan cerita dengan Nur Kasih di mana Nur Amina digambarkan tetap kukuh sebagai isteri yang taat dan sayangkan suaminya sepenuh hati. "Cuma jika dalam drama, dia hanya berserah dengan apa yang terjadi, tetapi dalam versi filem, Nur Amina menjadi semakin matang berhadapan cabaran. Konfliknya lebih besar dan dia cuba mencari jawapan terhadap apa yang berlaku," katanya. Pelakon berusia 23 tahun ini mengakui begitu teruja apabila drama berkenaan difilemkan. Namun, perasaan ini berbaur takut kerana bimbang sentuhan Nur Amina hilang dari dalam dirinya. Dalam pada itu, ada yang beranggapan popularitinya semakin pudar kerana gagal mengekalkan gelaran Pelakon TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH 2010) yang dimenangi pada tahun sebelumnya. "Dari segi populariti, saya masih ada peminat. Cuma mungkin saya tak bernasib baik kali ini. "Sebenarnya kekalahan ini diterima dengan hati terbuka kerana saya banyak belajar dari watak Nur Amina bahawa kita tak boleh lawan ketentuan Allah. "Menerusi Nur Kasih, kemenangan saya dinilai peminat yang nampak pencapaian saya. Ia adalah bonus ketika itu. "Bagaimanapun, menang atau kalah tiada dalam kamus hidup saya kerana yang penting saya sudah diterima dalam bidang seni. Banyak perkara yang saya belajar dari skrip tulisan Mira yang bukan kosong. "Terima kasih kepada peminat yang sentiasa beri galakan dan kepercayaan serta terima kasih juga buat bapa saya yang berpesan supaya serius dalam bidang yang diceburi," katanya yang turut berduet dengan Yasin menyanyikan lagu tema NKTM. Berbeza dengan Tiz, Remy berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai Pelakon TV Lelaki Popular ABPBH 2010, buat kali kedua seperti tahun sebelumnya. Pelakon berusia 29 tahun ini menganggap NKTM lebih menarik kerana terdapat banyak konflik di dalamnya. Ia adalah penamat kesudahan cerita Nur Kasih yang tiada sambungannya lagi selepas ini. "Saya rasa seronok bercampur terharu dengan kejayaan rantaian Nur Kasih dan sambutan hebat peminat. Tak susah untuk saya gilap semula watak Adam kerana karakter ini sudah ada dalam jiwa saya. Cuma dari segi kerja produksi memang berlainan kerana lebih besar. Setiap watak dalam NKTM adalah matang. "Adam masih berdepan konflik dalam diri dalam mencari erti kehidupan yang sebenar. Elemen emosi yang dikekalkan serta beberapa adegan mencemaskan turut mewujudkan kesan dramatik NKTM. "Saya sendiri tak sangka ada elemen aksi disuntik dalam NKTM. Saya percaya NKTM hebat dan harap penonton puas apabila menyaksikannya di pawagam. "Mesej yang ditampilkan cukup padat iaitu kita hanya merancang, tapi Tuhan yang menentukan segala-galanya. Penonton akan dibawa melihat apakah yang terjadi dan pengalaman hidup yang ditempuhi Adam. "Ceritanya sangat dekat dengan semua orang kerana berlaku dalam kehidupan seharian," katanya yang begitu teruja dengan sinematografi yang ditampilkan. Beralih keluar ke dunia realiti, gandingan dua hati 'pasangan suami isteri' ini bukan saja disatukan dalam Nur Kasih dan NKTM, sebaliknya hubungan mesra ini dikatakan terbawa-bawa hingga keluar filem. Bahkan ada gosip yang mengatakan mereka sudah berani berjalan berdua-duaan di khalayak umum. Namun ada juga yang mengatakan hubungan ini hanya sebahagian gimik promosi NKTM. "Saya tak boleh terima gosip yang keluar melainkan ada bukti bergambar. Gosip ini bukan keluar dari kami sendiri. Sebenarnya, saya lebih suka bekerja dengan artis wanita termasuk Tiz atas dasar profesional. "Tunggulah hingga sampai masanya. Kalau boleh, soal cinta dan peribadi saya lebih suka simpan sendiri. Namun jika ada benda baik saya akan umumkan nanti. Buat apa nak sorok benda sebegini. Sama ada kami bercinta atau tak, semua kena menonton NKTM kerana ia jawapannya sama seperti filem ini iaitu segala yang berlaku adalah kehendak Illahi," kata Remy penuh bermakna. PROFIL NAMA: Mohammad Zalimei Ishak PROFIL NAMA: Tiz Zaqyah Abdul Razak |
Posted: 19 May 2011 08:23 AM PDT MERENTASI lima tahun pertama perjalanannya, stesen televisyen di bawah naungan Media Prima Berhad, TV9 tidak pernah berhenti dalam menyediakan kandungan terbaik buat penonton setianya. Meskipun masih baru dalam lapangan operasi penyiaran, stesen televisyen yang mengangkat tagline Dekat Di Hati ini belum pernah gagal membariskan pelbagai program berkualiti baik drama tempatan hingga ke material realiti yang boleh dibanggakan.
Lihat saja Akademi Al-Quran, Cari Menantu dan Gadis Melayu yang begitu kuat jenamanya dan mendapat jumlah penonton yang melangkaui imaginasi pihak produksi sendiri. Belum lagi dengan kejayaan dan reaksi luar biasa penonton terhadap rancangan realiti kanak-kanak, Idola Kecil yang jauh melepasi sasaran.
"Persepsi dan andaian adalah subjektif dan terpulang pada individu untuk meletakkan pandangan masing-masing. Mungkin perlu saya akui akan tanggapan kononnya TV9 bagai tersisih dan jauh tersasar popularitinya berbanding stesen lain tapi perlu juga dilihat, konsep dan penjenamaan kami berbeza. "Bukan kandungan program kami tidak baik, kurang kualiti atau tiada elemen popular, sebaliknya semua susun atur intisari rancangan yang kami sediakan mengikut piawaian asal dan mencapai objektif kami. Malah penonton sasaran kami juga berbeza kerana kebanyakan program yang kami sediakan lebih cenderung untuk tontonan keluarga dan kanak-kanak. "Bagaimanapun, suka ingin saya jelaskan, TV9 berjaya menghimpunkan jumlah penonton yang ramai hingga tersenarai sebagai stesen televisyen kedua selepas TV3 dengan 8.9 peratus terutama pada waktu puncak. Malah, kandungan kartun untuk kanak-kanak juga adalah yang terbaik hingga mencapai sasaran ditetapkan. "Justeru, saya tidak melihat andaian atau persepsi itu sebagai satu masalah kerana kayu pengukurnya adalah jumlah penonton, tarikan pihak pengiklan dan sambutan yang diberikan. Itu sudah cukup menggambarkan TV9 bukan sembarangan saluran," katanya ketika ditemui dalam satu sesi ramah mesra bersama media, baru-baru ini. Puas meneroka perjalanan lima tahun awal bagi mencari identiti terbaik, ramuan paling berkesan serta hala tuju yang mampu membawa saluran ini ke fasa seterusnya, TV9 bersedia bagi menampilkan satu lagi dimensi lain yang ada pada konsep keseluruhannya. Masih mengekalkan corak kandungan yang sama, kali ini sempena menyambut ulang tahun kelimanya, TV9 ingin mengalih sedikit haluan untuk tidak hanya meletak fokus pada golongan keluarga dan kanak-kanak, sebaliknya kini mereka ingin menakluk selera remaja pula. "Sebelum ini kita tidak pernah meletak sepenuh fokus pada kandungan muda buat golongan remaja memandangkan stesen televisyen di bawah naungan Media Prima Berhad lain sudah mengangkat tema sebegitu. Namun selepas bertahun-tahun kekal dengan formula sama, kami sepakat untuk memberi nafas baru buat stesen dengan menghidangkan kandungan buat remaja pula. "Umpamanya sebagai permulaan, kami memperkenalkan program Ekspresi Remaja bertempat di Management & Science University (MSU) di Shah Alam dengan membuka gelanggang kepada remaja menunjukkan bakat masing-masing menerusi muzik. Memang menyeronokkan kerana mereka berpeluang mengekspresikan diri dengan pelbagai idea kreatif dan gaya yang bersahaja. "Malah sempena sambutan kelima TV9 ini juga, kami menganjurkan konsert istimewa dalam konsep 'jamming' yang akan diadakan pada Jumaat di Pavilion Kuala Lumpur. Bayangkan, kami memilih dua ikon muda yang juga anak seni yang punya pengaruh kuat kepada golongan muda iaitu Aizat dan kumpulan Hujan bagi menggambarkan keseluruhan idea penganjuran. "Mereka akan berada di Pavilion bagi menghiburkan peminat, sekali gus mengajak remaja untuk memberanikan diri mencapai impian masing-masing. Selain mereka berdua, kami turut menghimpunkan beberapa kumpulan muda lain termasuk Pesawat, AwanBand, Gabba Gabba dan Grey Sky Morning. "Kemudian kami akan menganjurkan sebuah lagi konsert gigi pada 9 dan 10 Julai depan yang turut memberi peluang kepada golongan remaja untuk yang mempunyai kumpulan muzik sendiri untuk hadir dan menyertai pertandingan nyanyian yang kami anjurkan. "Ini satu lagi alternatif dan usaha yang kami lakukan bagi menarik penonton remaja pula berasak mengikuti kandungan rancangan kami," katanya. Yakin dan percaya akan usaha yang dilakukan kali ini, Sherina hanya mengharapkan remaja dan penonton muda pula memberi perhatian kepada TV9. "Percaturan strategi ini juga akan kami susun hingga ke masa depan dengan pelbagai lagi aktiviti yang mula diatur. Kemungkinan besar kami akan besarkan lagi program yang mendapat sambutan serta memperkenalkan lagi program baru yang jauh lebih berkualiti. "Jika sebelum ini kami berjaya dengan karnival Upin & Ipin, lantas kami merancang untuk mencari fenomena baru pula untuk golongan remaja yang mungkin akan membantu meningkatkan lagi peratusan tontonan TV9," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |