Adsense

Isnin, 2 Mei 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Suami isteri lakon filem

Posted: 01 May 2011 02:37 PM PDT

MAHLIGAI mereka baru berusia dua bulan. Dengan erti lain, mereka masih lagi berada dalam fasa bulan madu. Namun pasangan yang diijabkabulkan pada 26 Februari lalu ini begitu gembira kerana sang isterinya sudah 'berisi'.

Antara percaya dengan tidak, Siti Sarah Raissuddin dan Shahmira Muhammad atau nama pentasnya, Shuib tetap melafazkan syukur kerana Tuhan memberikan rezeki lebih awal kepada mereka.

Melihat Sarah yang terpaksa duduk di kerusi ketika membuat persembahan sempena Minggu Setiausaha di Menara Kuala Lumpur, Rabu lalu, tergambar dia mula dihambat penat.

Ternyata sindrom ibu mengandung sudah mula dialaminya.


Dulu kalau di pentas, Sarah antara artis yang paling ligat.


Penyanyi lagu Kesetiaan itu berkata, mulai sekarang dia akan membuat persiapan yang perlu untuk menyambut bayi sulungnya itu.

"Semua berlaku dengan pantas baik dari segi perkenalan Sarah dengan Shuib, perkahwinan mahupun kehamilan ini.

"Semua sudah ditakdirkan dan Sarah cukup gembira dengan ketentuan ini.

"Sekarang rasa diri Sarah semakin dewasa dan menempuh fasa kehidupan yang sangat berbeza.

"Sekarang Sarah ada tanggungjawab dan komitmen yang besar.

"Tidak hanya tugas, Sarah perlu mengutamakan suami dan anak dalam kandungan ini.

"Alhamdulillah, Shuib seorang suami yang sangat penyayang dan 'caring'.

"Dia sentiasa peka dengan kesihatan dan penjagaan diri Sarah.

"Kini Sarah perlu menjaga rumah tangga dan menjalankan semua tanggungjawab secara sendirian.

"Walaupun sibuk dengan jadual nyanyian, Sarah akan tetap luangkan masa untuk memasak di rumah. Ini kerana kalau kami makan di luar, Shuib tidak makan lebih-lebih.

"Katanya, dia lebih sukakan masakan Sarah dan kalau makan nasi mesti tambah sepinggan lagi.

"Jadi Sarah akan cuba sedaya upaya menyediakan masakan untuk Shuib sebelum dia keluar bekerja.

"Memang kami rasa sungguh bahagia," katanya.

Shuib yang berada di sebelah Sarah sesekali menyampuk menceritakan detik indah sepanjang melayari bahtera perkahwinan bersama isterinya itu.

"Sarah memberikan sesuatu yang tidak pernah saya rasai sebelum ini.

"Dia satu-satunya wanita yang memikat hati saya untuk terus mendirikan rumah tangga.

"Malah, apabila Sarah disahkan mengandung, saya orang yang paling gembira dan mula sibuk memikirkan perancangan untuk keluarga kami nanti.

"Soal jantina dan nama adalah perkara kedua buat masa ini kerana apa yang lebih penting adalah kesihatan Sarah dan bayi kami itu," katanya.

Sarah yang juga pernah popular menerusi lagu Jangan Kau Mimpi berkata, dia dan Shuib baru terbabit dalam pembikinan filem komedi, Man Sewel Datang KL.

Selain berlakon, mereka turut bersatu menyanyikan lagu tema untuk filem itu berjudul Cinta Itu Nyawa.

"Man Sewel Datang KL adalah sebuah filem komedi yang menggabungkan kami berdua.
"Kelakarnya, Sarah memegang watak Salbiah kekasih kepada Shuib yang melakonkan watak utamanya iaitu Man.

"Sepanjang penggambaran kami memang seronok lebih-lebih lagi plot ceritanya sangat lucu dan gaya lakonan Shuib yang kelakar.

"Namun istimewanya lagi apabila Aidit memberi kepercayaan untuk Shuib menyanyikan lagu Cinta Itu Nyawa bersama Sarah.

"Walaupun dia bukan penyanyi profesional, Sarah gembira kerana Shuib boleh menyanyi.

"Malah Aidit juga cakap Shuib boleh menyampaikannya dengan baik.

"Lagu ini sebenarnya sudah lama Aidit simpan untuk Sarah.

"Namun selepas mengamati lirik ciptaan Ad Samad itu kebetulan sama dengan kisah cinta kami.

"Bayangkan, pernah satu masa iaitu beberapa hari sebelum melangsungkan perkahwinan dulu, hubungan kami pernah berdepan dengan kemelut.

"Sarah sendiri hampir-hampir berpisah dengan Shuib kerana dugaan itu.

"Namun kalau sudah jodoh kami, apa pun terjadi kami tetap akan bersama.

"Bukan setakat teman baik dan sahabat setia, malah Shuib adalah jiwa Sarah yang sukar dijelaskan keistimewaan itu," katanya yang mengakui single Cinta Itu Nyawa akan dipasarkan selewat-lewatnya hujung bulan depan.

Menyentuh perkembangan kerjaya, Sarah juga ada perancangan sendiri.

"Sekarang Sarah baru selesai membintangi Man Sewel Datang KL terbitan Work Move Productions.

"Ia turut dilakonkan oleh Razali Hussein, Julia Ziegler, Rosnah Mat Aris dan Fida Ibrahim.

"Alhamdulillah, kerjaya seni Sarah semakin baik selepas beberapa lama Sarah senyap. Walaupun sudah berkahwin, Sarah akan terus menyanyi dan berlakon selagi mendapat restu suami," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

‘Terpulang nak percaya atau tidak’

Posted: 01 May 2011 02:31 PM PDT

KENYATAAN terus dibuat Seniwati Datuk Rosnani Jamil atau Mak Nani berhubung saat kematian Biduanita Negara, Puan Sri Saloma pada 25 April 1983. Sebelum ini timbul kenyataan yang bercanggah antara kakak Saloma, seniwati Mariani Ismail dan Rosnani atau Mak Nani dalam akhbar ini berhubung siapa yang berada di sisi arwah ketika menghembuskan nafas terakhir.

Sebagai kawan baik, Rosnani akui tidak pernah terlintas di hatinya untuk mereka-reka cerita kerana apa yang dikatakan semuanya benar belaka. Katanya, terpulanglah kepada orang sama ada nak percaya atau tidak.

Mak Nani berkata, dia tidak akan melupakan detik apabila arwah menghembuskan nafas terakhir di pangkuannya di Hospital Assunta, Petaling Jaya. Bagi Mak Nani, detik itu sangat mengharukan.

Ini kerana seorang bintang yang cukup diagung-agungkan dan dipuja-puja kerana kemerduan suaranya hanya ditemani rakan bersama seorang ustaz. Rasa terkilan Mak Nani terhadap pengalaman hidupnya itu pada awalnya disiarkan dalam ruangan Interaksi di akhbar ini pada 6 April lalu.


Ternyata kenyataan Mak Nani itu membuatkan keluarga arwah Saloma terkilan dan mempersoalkan tujuannya berkata demikian, seolah-olah Saloma diabaikan ahli keluarganya ketika terlantar sakit dan nazak.


Dakwa Mariani, dia dan anak-anaknya memang berada di sisi Saloma ketika penghibur ternama itu pergi buat selama-lamanya.

Seterusnya artikel bertajuk 'Kenyataan tak betul!' daripada Mariani disiarkan pula dalam Harian Metro pada 28 April lalu menyebabkan Mak Nani terus menghubungi penulis semula untuk menjelaskan perkara sebenar yang berlaku pada malam kematian Saloma.

Pertemuan dengan penulis di Saloma Bistro, Jalan Ampang, petang Khamis lalu cuba memberi ruang untuk Mak Nani menceritakan detik sebenar.

"Pertamanya, saya minta maaf kepada keluarga Saloma kerana timbul salah faham mengenai kenyataan saya itu. Saya jawab kenyataan Mariani bukan sebab mahu mencari publisiti murahan terhadap orang yang sudah tiada. Saya hanya minta ruang untuk membetulkan apa yang tidak benar pada hari kematian Saloma.

"Pada malam itu, saya ingat lagi, ketika menonton TV siri Fantasy Island, saya mendapat panggilan daripada anak saudara arwah, Linda, memaklumkan Saloma yang dipanggil Mama, sedang nazak dan meminta saya mencarikan seorang ustaz.

"Saya terus membawa Ustaz Aziz dari masjid Kampung Tunku ke hospital. Sampai di sana, saya disambut Linda, Sasha, Dian, Armali, Sazali dan 'Mum' (bapa tiri Mariani) yang berada dalam bilik bersama Saloma. Saya meminta mereka keluar sekejap dan tinggalkan saya, ustaz dan Saloma.

"Saya duduk menggenggam tangan Saloma lalu berkata: "Ini I datang. I doakan you sihat ya." Ustaz Aziz kemudian membaca doa dan saya pula membaca al-Fatihah. Selepas selesai bacaan pertama hingga ketiga, saya nampak nafasnya masih naik turun.

"Selepas bacaan keempat, saya tidak nampak lagi apa-apa tanda, tapi saya terus membaca al-Fatihah sampailah ustaz menepuk bahu saya memaklumkan Salmah (Saloma) sudah tiada. Saya tak percaya kerana baru saja melihat nafasnya turun naik tapi akhirnya saya kena reda.

"Saya kemudian keluar dari bilik itu dan memanggil Dian, Armali serta Sasha dan memberitahu Mama sudah tiada lalu meminta mereka masuk melihat jenazahnya. Ketika itu, anak saya (Anwardi Jamil) sampai dan saya memintanya memanggil doktor.

"Doktor tanya, apakah saya kakak arwah dan saya cakap bukan. Doktor bertanya siapa yang dia boleh jumpa dan saya kenalkan anak arwah iaitu Armali.

"Armali bersama doktor menguruskan surat mati manakala Anwardi pula mencari kereta jenazah. Linda, Sasha dan Dian saya suruh pulang untuk bersihkan rumah bagi membawa pulang jenazah Saloma.

"Apabila dah selesai, kami tolak katil arwah keluar dari bilik menuju ke lif. Saya dan Armali tolak dari belakang manakala Anwardi dan Mum pegang di depan. Ketika masuk lif, azan Subuh berkumandang dan suasana ketika itu sangat sayu hingga saya menangis teresak-esak.

"Suasana ketika itu begitu menginsafkan saya. Bagaimana terkenalnya seseorang itu, ketika akhir hayatnya, hanya orang yang rapat akan berada di sisinya. Selepas masuk ke dalam kereta jenazah, saya menyuruh Armali duduk di sisi arwah. Mum pula di depan dengan pemandu sementara saya dan Anwardi ikut dari belakang dengan kereta menuju ke rumah arwah di SS 1, Petaling Jaya.

"Sampai di rumah, tempat jenazah sudah siap dan saya berjumpa ibu arwah. Saya katakan kepadanya: "Ibu, sebagai sahabat, tugas saya sudah habis. Saloma sekarang saya serahkan kepada ibu. Selepas itu, saya pulang ke rumah dengan rasa amat sedih.

"Itulah yang sebenar-benarnya berlaku dan kalau Linda, Sasha atau Dian mahu menidakkan cerita ini, terserahlah kepada mereka. Sebagai sahabat, saya bersyukur kerana dapat bersama Saloma ketika saat-saat terakhirnya," kata Mak Nani dengan nada sedih.

Mak Nani berkata, berita kematian Saloma kemudian disiarkan dalam akhbar New Straits Times (NST) pada 26 April 1983 yang ditulis sendiri Anwardi yang ketika itu menjadi wartawan akhbar itu.

Dalam artikel itu, Saloma meninggal dunia pada usia 48 tahun, sejurus sebelum tengah malam Ahad, selepas lima hari koma disebabkan demam kuning.

Rosnani berkata, dia tidak bermaksud bahawa tiada ahli keluarga Saloma langsung di sisi arwah ketika itu kerana mereka berada di luar bilik.

Katanya, dia datang melawat Saloma setiap hari selama arwah dirawat di hospital, tetapi bukanlah menjaganya.

"Saya luangkan masa melawatnya dan bercerita walaupun dia tidak sedar. Begitu juga dengan Latifah Omar. Saya berkawan dengan Saloma yang dikenali sebagai Salmah sejak usia 15 tahun lagi. Ketika itu Saloma menyanyi pada majlis kahwin dan saya juga bercita-cita jadi penyanyi.

"Bagaimanapun, hubungan kami terputus apabila ibu bapanya bercerai dan Salmah mengikut bapanya ke Tanjung Karang. Kami bertemu kembali secara kebetulan apabila Saloma bersama anaknya, Armali, berpindah ke sebelah rumah keluarga saya selepas dia bercerai dengan AR Tompel. Sejak itu kami terus rapat semula," katanya.

Saloma atau nama sebenarnya, Salmah Ismail dilahirkan di Singapura pada 23 Januari 1935. Beliau mula menyanyi secara profesional pada majlis kahwin sejak usia 13 tahun. Apabila mengikut bapanya ke Tanjung Karang dan hidup sebagai petani, nyata Saloma tidak menyukai kehidupan barunya lalu kembali ke Singapura dan tinggal bersama ibunya.

Dia menyanyi di New World Park dan beberapa kelab malam dan kabaret. Pada 1952, beliau berkahwin dengan AR Tompel yang mahu menjadikannya bintang filem, tetapi Saloma lebih berminat menjadi penyanyi.

Seterusnya Saloma bernikah dengan P Ramlee pada Oktober 1961. Mereka berkahwin dan dikenali sebagai pasangan ideal hinggalah P Ramlee meninggal dunia pada 1973. Sejak itu, kesihatan Saloma sering terganggu dan pada 1978 dimasukkan ke hospital kerana demam kuning.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.