Adsense

Isnin, 2 Mei 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Resah gelisah

Posted: 01 May 2011 05:11 PM PDT

Hip

pix_gal0
Tiz Zaqyah bimbang penampilan sebagai Nur Amina versi filem tidak sama dengan drama di TV

DUA tahun 'meninggalkan' Nur Amina yang begitu kuat mencengkam setiap rongga sanubari. Apabila diminta membawakan watak itu semula dalam skala lebih besar, Nur Kasih The Movie, jauh di sudut hati terselit rasa bimbang kalau Nur Amina kali ini berbeza daripada sebelumnya.

Mainan emosi serta perjalanan hidup seorang gadis yang dikahwinkan pada usia 18 tahun seterusnya memendam perasaan dek menyimpan rahsia ditinggalkan suami antara karektor yang harus dipersembahkan lagi dengan plot yang lebih mencabar.

Memang impak terlalu kuat yang dicetuskan Nur Kasih versi drama bersiri hingga meraih lebih 4.5 juta penonton turut mencetuskan perasaan berbeza terhadap Tiz Zaqyah sendiri, selaku pendukung watak utama kerana selain pujian, sudah pasti harapan lebih besar dinantikan untuk produksi kali ini. Tragedi dalam Nur Kasih The Movie

"Nur Kasih adalah permulaan segala-galanya. Daripada individu yang mula-mula sekadar mahu mencuba berlakon, Khabir Bhatia mempercayai bakat saya. Peluang pertama seterusnya maklum balas khalayak membolehkan saya yakin berada di landasan betul.

"Selepas dua tahun berlalu, kami meneruskan pula NKTM yang lebih dramatik dan sarat air mata. Awalnya saya takut tidak mampu menjiwai Nur Amina yang dulu apabila jarak masa memisahkan kami, syukur sebaik di lokasi saya dapat menzahirkannya sepenuh hati," katanya mengenai filem yang bakal menemui khalayak pada 19 Mei nanti.

Ditanya kelainan selepas diangkat ke skrin lebar, perkembangan watak dan perwatakan selain plot dipertajamkan apatah lagi latar masa kisah ini menjurus terhadap kehidupan mereka kira-kira selepas lapan tahun Adam dan Nur Amina disatukan.
Sekali gus, skrip garapan Mira Mustaffa yang disuntik dengan pelbagai elemen dramatik termasuk kejadian kemalangan di Jordan memadatkan lagi kronologi kisah termasuk soal hubungan antaranya dengan abang Adam, Aidil.

"Secara jujur jika penonton merasa terkesan menonton Nur Kasih, apatah lagi saya yang begitu kagum dengan kesabaran, kesetiaan serta pengorbanan gadis ini. Rasa kagum yang membuatkan saya sedaya upaya menyelami jiwa Nur Amina dalam melalui liku harian.

"Dalam proses kehidupan, kali ini semua watak lebih matang tidak terkecuali Nur Amina yang melewati lebih lapan tahun kehidupan bersama semangat baru namun semestinya kronologi kisah Adam dan Nur Amina lebih melankolik dan terus meninggalkan 'bekas' kepada khalayak," kata aktres yang baru menjengah 23 tahun itu.

Masih berteka-teki terutama berkaitan penamat cerita, hanya beberapa babak atau kisah tertentu sedia dikongsi malah sesekali tawa empunya nama penuh Siti Zaqyah Abdul Razak itu apabila diminta membuka rahsia Nur Kasih The Movie namun dikhabarkan wujud babak kemalangan kereta api sekali gus memberikan petanda unsur tragedi.

"Biarlah penonton berteka-teki kerana filem ini sungguh di luar jangkaan. Saya sendiri teruja menanti reaksi ramai. Bagi saya mereka yang tidak mengikuti drama bersiri Nur Kasih juga dapat menghayati keseluruhan kisah ini kerana paling nyata ceritanya berdiri dengan sendiri.

"Kalau ikutkan memang Nur Amina masih kerap menitiskan air mata. Namun menangis bukan bermakna dirinya lemah, cuma situasi sebegitu mampu melegakan tatkala diri dilanda gundah. Saya sendiri seakan menempuh pengalaman baru tatkala menjejak kaki ke lokasi NKTM," katanya yang turut menyertai rombongan ke Jordan untuk babak terakhir.

Tak mungkin jadi penyanyi

SELAIN Tiz, filem yang mengambil masa hampir 45 hari untuk disiapkan bermula pada pertengahan Jun 2010 dengan memilih Jordan antara lokasi pilihan turut membabitkan Fizz Fairuz, Remy Ishak, Liza Othman, Mia Sara, Ayu Raudhah, Munif Isa dan Sara Ali.

Mengimbas semula memori di lokasi yang sudah dua kali disinggahi, anak jati Kuala Lumpur itu mengakui kali ini lebih situasi lebih mencabar apabila berlaku ribut pasir hampir tiga jam di kawasan lokasi namun krew penggambaran sempat merakam kejadian itu.

"Waktu itu kami sudah diberi amaran supaya menghentikan kerja penggambaran. Daripada laporan cuaca, keadaan agak membahayakan. Jadi saya hanya duduk dalam kereta manakala sebahagian krew meneruskan tugas mereka. Cukup menakutkan kerana jarak penglihatan ketika itu sangat terhad.

"Dari segi cuaca memang panas, syukur saya tidak berdepan masalah kesihatan. Cuma ada antara krew deman selain mengalami keracunan makanan. Dalam tempoh sembilan hari, penggambaran dapat disempurnakan," cerita pelakon genit itu lagi yang juga punya hobi melukis.

Ditanya mengenai duet bersama komposer berpengalaman, Yasin mendendangkan lagu tema Nur Kasih The Movie yang mengambil judul Nur Kasih, katanya ia sekadar percubaan malah awalnya berbelah bagi untuk menerima pelawaan yang dirasakan cukup berat.

"Sebaik masuk studio rakaman buat kali pertama saya sudah gementar apatah lagi menyampaikan lagu yang didendangkan Yasin yang juga penyanyi asal. Dia punya gaya tersendiri terutama dari segi tona vokal. Saya takut tidak mampu memenuhi kehendaknya kerana ketika itu masih tercari-cari lenggok sendiri.

"Apa pun bekerja dengannya memberikan pengalaman baru buat saya. Namun untuk bergelar penyanyi selepas ini mungkin, tidak, kerana tumpuan masih ke arah lakonan. Banyak lagi yang harus dipertajamkan terutama daripada sudut lakonan," katanya malu-malu.

Mengakui agak gementar menanti maklum balas pendengar terutama pengikut tegar Nur Kasih sebaik lagu tema itu diputarkan di radio, setakat ini, katanya peminat memberikan sokongan malah ada yang menyatakan tidak sabar ke pawagam sebaik mendengar lagu itu.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tak mampu bangun

Posted: 01 May 2011 05:02 PM PDT

Hip

ORKID disahkan menghidap ketumbuhan hormon tidak stabil.

ORKID disahkan menghidap ketumbuhan hormon tidak stabil.

Penyanyi lagu Penawar Rindu menderita kerana ketumbuhan

SECEBIS doa agar kesihatan Datin Orkid Abdullah bertambah baik lebih adalah amat bermakna buat keluarga penyanyi era 60 an itu yang kini terlantar sakit, berbanding sumbangan wang ringgit.

Itulah yang dipohon oleh anak bongsu penyanyi ini, Nur Syafinaz Mokhtar, 31 terhadap peminat ibunya berikutan kesihatan yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

Keadaan Orkid yang disahkan mengalami ketumbuhan hormon tidak stabil, semakin teruk sejak September lalu selepas penyanyi yang popular dengan lagu Penawar Rindu itu pulang dari menghantar anak ketiganya Mohd Noor Shafri bertunang di Segamat, Johor. Sejak anaknya itu, badan Orkid bertambah lemah menyebabkan dia hanya mampu berbaring. Bagaimanapun menurut anaknya Mohd Noor Shafri, ibunya seorang yang kuat semangat apabila tetap gagah berjalan walaupun cuma untuk seketika.
Tambah Mohd Noor lagi, ketika itu ibunya hanya sempat menyarungkan cincin di jari tunangnya dan selepas itu bergegas balik ke Kuala Lumpur kerana mengadu dirinya tidak selesa selain badannya mula berasa panas.

"Selain berasa panas badan, petanda lain ialah berpeluh, sakit ulu hati dan sakit belakang. Sekarang ibu hanya berbaring, jika hendak duduk, dia memerlukan bantuan untuk menyokong bahagian belakang badannya. Jika tidak, tubuhnya menggelungsur. Saya dan adik bongsu menetap bersama ibu, jadi kami bergilir-gilir menjaga ibu. Mujur saya menjalankan perusahaan katering dan memasak tempahan makanan di rumah. Jadi boleh dikatakan setiap masa saya berada di rumah.

"Jika ibu inginkan sesuatu, dia buat 'missed call' ke telefon bimbit kami. Itu isyaratnya ibu mahukan sesuatu dan kami adik beradik akan bergegas ke bilik ibu. Sebelum ini, keadaan ibu boleh dikatakan baik juga. Cuma hari ini keadaannya nampak teruk," kata Mohd Noor.
Berikutan penyakitnya yang bertambah teruk, Orkid enggan lagi berulang alik ke hospital.

Menurut Mohd Noor lagi, mereka pernah berhabis sekitar RM21,000 untuk seminggu rawatan di sebuah hospital swasta tetapi keadaan ibunya yang disahkan menghidapi penyakit itu pada 2008 semakin teruk.

Orkid kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya dan menjalani pembedahan pertama pada 2008 tetapi dimaklumkan doktor bahawa ketumbuhan itu boleh berulang, dan pada awal 2010, sekali lagi pembedahan membuang ketumbuhan itu dijalankan.

"Doktor mencadangkan supaya ibu menjalani rawatan di sebuah hospital di Amerika Syarikat dan Belanda. Rawatan di sana percuma, cuma kos penginapan perlu ditanggung sendiri. Namun dengan keadaan ibu yang tidak mampu duduk, tentulah sukar kami ke sana apatah lagi perlu menempuh penerbangan berbelas jam. Jadi hasrat itu kami batalkan saja," kata Mohd Noor.

Orkid dikenali pada 1965 selepas membuat persembahan pertama di peringkat kebangsaan pada majlis sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia. Selain menyanyi, Orkid juga guru. Beliau berkhidmat sebagai guru selama 17 tahun iaitu dari 1968 hingga 1985.

Album pertamanya dirakamkan pada 1966. Sepanjang pembabitannya dalam bidang nyanyian, Orchid sering membuat persembahan dengan diiringi kumpulan The Les Coaters.

Kunjungan rakan ringankan derita

SELAIN beruntung dijaga dengan sempurna oleh anak-anaknya, Orkid beruntung kerana tidak menanggung penderitaan itu sendirian, tetapi turut mendapat perhatian rakan seperjuangan. Menurut Mohd Noor, rakan-rakan ibunya kerap berkunjung dan ia sedikit sebanyak memberi semangat kepada ibunya.

Pada Rabu lalu, Orkid diziarahi oleh ahli Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) diketuai presidennya Datuk Freddie Fernandez serta beberapa teman lamanya, iaitu Datuk Sarimah Ibrahim, Datin Paduka Julie Sudiro, Datuk Aspalela Abdullah, MY Shamsuddin dan Shamsuddin Lamin.

Mereka meluangkan masa kira-kira satu jam bertanya khabar dan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga itu.

Suasana petang itu di kediaman Orkid sedikit bungkam apabila teman yang berkunjung turut merasai penderitaan yang ditanggung keluarga Orkid. Julie Sudiro dan Sarimah nyata tidak dapat menahan kesedihan dan sebak melihat keadaan Orkid. Apakan tidak, tubuhnya yang satu ketika dulu berisi, kini susut dek penyakit luar biasa itu.

Tiupan kata semangat dan doa yang dibacakan Julie Sudiro serta diaminkan tetamu lain, sedikit sebanyak memberikan semangat kepada wanita campuran Arab - Inggeris itu.

Pada kunjungan itu, Freddie dan teman-teman artis turut mengambil peluang menghulurkan derma buat keluarga Orkid yang dikumpul hasil sumbangan ehsan teman-teman, bukan daripada tabung KARYAWAN.

"Ini bukanlah kunjungan pertama kami. Sebelum ini pun KARYAWAN pernah melawat Datin Orkid ketika beliau dirawat di hospital tahun lalu," katanya yang enggan mendedahkan jumlah wang yang didermakan.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.