Adsense

Rabu, 4 Mei 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Muka saja ganas

Posted: 03 May 2011 05:18 PM PDT

Hip

pix_gal0
Biarpun masih baru mereka sudah terkenal kerana kenakalan dalam kaca TV

KETIGA-tiganya masih terlalu baru dalam bidang lakonan. Memanglah ada yang terpinga-pinga siapakah tiga anak muda itu yang sekarang boleh ditonton menerusi drama bersiri Juvana di TV3.

Johan Ariff, 25 bersama-sama Syazwan Zulkifli, 23 dan Adam Shah, 30 memang beruntung kerana mendapat keyakinan daripada pengarah dan penerbit, Kabir Bathia untuk menjadi sebahagian watak utama dalam drama Juvana arahan Faizal Ishak.

Dalam drama itu, Johan membawa watak Botak dengan perwatakannya yang agak lurus bendul sehingga menjadi bahan ketawa Apek lakonan Syazwan dan Ayam dibawakan oleh Adam. Siapakah mereka ini? Adakah mereka memang orang baru dalam dunia lakonan? Menariknya mereka tidak kekok apabila diminta melakukan pelbagai aksi seperti yang diminta oleh jurugambar Hip. Walaupun membawakan watak nakal dalam siri Juvana, tetapi hakikat sebenarnya, mereka adalah ramah dan 'gila-gila'.

Beruntung dapat kepercayaan

Tidak mustahil satu hari nanti mereka bakal mengikut jejak Shaheizy Sam, Shah Jaszle dan ramai lagi. Bukan mudah orang baru seperti mereka meraih peluang muncul di waktu perdana di stesen TV terkemuka, yang menjadi idaman pelakon lama dan baru.

Johan, Syazwan dan Adam beruntung kerana mendapat kepercayaan Kabir Bhatia dan Faizal Ishak untuk menunjangi drama bersiri Juvana.
Mereka bukanlah orang baru kerana ketiga-tiganya sebelum ini pernah menimba pengalaman sebagai pelakon tambahan. Syazwan dan Adam memulakan kerjaya lakonan sejak 2008, hanya Johan yang masih baru berbanding dua rakannya itu.

Dalam Juvana, dia serius dan ganas tetapi realitinya Johan Arrif seorang yang kelakar. Barangkali kerana masih baru dalam dunia lakonan, Johan amat merendah diri, malah segera memohon maaf setiap kali berasakan terlalu banyak bercakap, bimbang ada yang tidak selesa dengan sikapnya itu.

Sengaja mengusik, sikapnya itu mungkin sementara. Setelah dikenali, dia mungkin akan berubah sikap. Tetapi Johan yang berkemampuan menghafaz dua juzuk surah ini berharap tidak berubah sikap apabila dikenali nanti.

"Memang tak dinafikan selepas episod pertama Juvana, ada yang mula memanggil saya dengan panggilan Botak. Waktu itu saya sedang makan di Perlis. Terkejut juga apabila ada yang memanggil nama watak saya. Saya akan membiasakan diri dengan keadaan itu.

"Saya minat berlakon. Tidak salah untuk meminati bidang lakonan dan agama dalam satu masa sama kerana yang penting niat kita.

"Bagaimanapun janganlah panggil ustaz atau hafiz kerana saya hanya mampu hafaz satu setengah juzuk al-Quran saja. Saya pernah menuntut ilmu agama di Jambi dan Batam, Indonesia selama setahun tetapi berhenti kerana tidak tahan dengan disiplin ketat yang dikenakan. Alhamdulillah keluarga tidak halang minat saya dalam lakonan, asalkan tahu menjaga nama baik keluarga," kata penuntut Kolej Universiti Islam Melaka dalam bidang Diploma Kaunseling itu.

Pertama kali memegang teraju utama adalah pengalaman menyeronokkan. Masih berbaki tiga semester untuk tamat pengajian, Johan meluahkan rasa beruntung kerana berlakon di sisi nama hebat seperti Bront Palare, Zahiril Adzim, Beto Khusairy dan Datuk Kuswadinata.

"Bront ada menitipkan ilmu yang sangat berguna. Dia kata untuk menjadi pelakon, ada dua perkara yang perlu dititik beratkan iaitu pendengaran dan pernafasan. Nasihat itu akan saya pegang.

"Begitu juga Zahiril. Dia menjadi rujukan kami ketika di lokasi. Dia nasihat saya supaya memastikan intonasi serta gaya lakonan konsisten dari episod pertama hingga akhir. Jadi saya agak bimbang jika tidak memberikan lakonan yang konsisten," kata Johan.

Kesungguhan untuk menjadi pelakon yang baik disebabkan minat yang sudah tertanam sejak di sekolah lagi. Johan dikatakan menangis ketika di lokasi kerana tidak mampu mengekalkan intonasi dan gaya lakonan yang sama. Perkara itu didedahkan oleh Syazwan dan Adam.

Kata mereka, disebabkan terlalu menghayati watak Botak juga, Johan tidak sengaja memukul rakannya sehingga berdarah dan lebam.

Peritnya jadi pelakon

SEBELUM berpeluang memegang watak pelakon pembantu, anak muda dari Kuala Lumpur ini terlebih mencuba nasibnya sebagai pelakon tambahan dengan mendaftar diri di agensi lakonan.

Ternyata pengalaman yang bermula pada 2008 itu menyimpan pelbagai kisah suka dan duka. Suka kerana dapat bertemu dengan pelakon yang selama ini menjadi idola tetapi pengalaman duka apabila perlu berdepan dengan pelakon yang kurang mesra.

"Tidak semua pelakon sombong. Ada yang mudah mesra malah tidak kedekut berkongsi ilmu. Rata-rata pelakon lelaki mudah didekati berbanding pelakon wanita. Malah ada yang tidak kedekut memberitahu apa perlu dilakukan untuk membantu menjayakan babak mereka," kata graduan Kolej Multimedia TM, Kuala Lumpur itu.

Syazwan yang pernah membintangi drama bersiri Gemilang juga terbitan Filmscape berkata, ketika menerima tawaran untuk membintangi Juvana, dia agak risau apabila mengetahui bakal digandingkan dengan Zahiril.

"Dalam Juvana, watak saya banyak bergandingan dengan Zahiril. Disebabkan dia seorang pelakon yang hebat, jadi bimbang kekurangan saya akan menjejaskan lakonan Zahiril. Beberapa hari sebelum penggambaran bermula, saya menghantar khidmat pesanan ringkas kepadanya untuk berbincang mengenai watak kami. Tapi Zahiril kata mahu berbincang di lokasi saja.

"Ketika sesi bacaan skrip, saya tidak sempat berbual dengannya. Jadi saya agak risau apabila mahu berjumpa dengannya. Bagaimanapun sebaik saja kami mula berbual di lokasi, Zahiril mudah didekati dan tidak lokek ilmu," kata Syazwan yang amat meminati Aaron Aziz dalam filem KL Drift hingga mampu meniru gaya pelakon itu dalam filem berkenaan.

Ikat perut untuk sara hidup

GARA-gara kilang tempat dia bekerja sebagai seorang jurutera gulung tikar pada 2008, pemuda dari Melaka ini terpaksa mencari alternatif lain untuk menyara hidupnya.

Dari Pulau Indah, Klang, Adam merantau ke Kuala Lumpur mahu meneruskan pengajian dalam bidang perniagaan tetapi akhirnya niat itu tersasar apabila dia menceburi bidang lakonan.

Melalui profil yang dihantar pada Hari Terbuka FINAS, rezeki Adam dalam bidang lakonan terbuka sedikit demi sedikit. Bermula sebagai pelakon tambahan pada 2008, akhirnya tiga tahun selepas itu, dia ditawarkan menjadi pelakon pembantu. Biar pun lambat, Adam tetap bersyukur kerana bakatnya kian disedari.

"Bermula watak tambahan, saya kemudian mendapat tawaran berlakon dalam drama Akademi Polis. Watak saya dalam drama itu boleh dikira penting juga. Selain menjadi pelakon, saya juga ada melakukan kerja-kerja di belakang tabir seperti membantu pengarah.

"Saya beruntung dan bersyukur kerana akhirnya dilamar sebuah syarikat penerbitan yang terkenal. Saya berharap bakat lakonan saya dalam drama ini dihargai," katanya yang membawakan watak Ayam.

Watak Ayam katanya, kelihatan tidak begitu jahat tetapi sebenarnya dia adalah seorang yang pandai memanipulasi keadaan. Oleh kerana bimbang dibuli, dia banyak mengawal Botak hingga Botak tidak sedar dia sebenarnya dipergunakan oleh Ayam.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Jawablah!: MUH berang

Posted: 03 May 2011 05:10 PM PDT

Hip

Azlan langgar syarat nyanyi lagu bekas kumpulan

SEBELUM ini ada tersiar gosip dalam sebuah akhbar yang mendakwa sebuah kumpulan muzik sudah buat hal hanya kerana tidak berpuas hati apabila seorang penyanyi solo menyanyikan lagu mereka pada majlis yang sama.

Tidak lama selepas itu, Hip menerima kiriman emel yang menceritakan perkara serupa. Ia lebih kepada luahan perasaan kecewa individu yang mendakwa dirinya sebagai orang di sebalik tabir penganjuran acara berkenaan terhadap kumpulan yang dimaksudkan, iaitu Meet Uncle Hussain (MUH).

Kandungan emel itu antara lain menceritakan betapa tidak profesionalnya pengurus kumpulan terbabit ketika mengendalikan isu itu. Malah mereka turut mempersoalkan tindakannya yang meminta bayaran ganti rugi sebanyak RM2,000 atas dakwaan mereka melanggar perjanjian yang sudah dibuat awal. Tegas penganjur, apa yang berlaku tidak ada kena mengena dengan mereka dan meminta MUH menyelesaikan sendiri perkara berkenaan.

Enggan mendengar kenyataan sebelah pihak, Hip menghubungi pengurus MUH, Kimi, untuk mendapatkan penjelasan berhubung kontroversi terbabit. Sambil mengakui kebenaran perkara itu, Kimi juga mempertahankan tindakannya menuntut ganti rugi kerana yakin dia berada di pihak yang benar.

Tegasnya, dua bulan sebelum acara diadakan, mereka sudah mengadakan perjanjian, setiap kali apabila MUH dan Azlan & The Typewriter diundang dalam satu persembahan, secara automatik, Azlan tidak dibenarkan membawa lagu MUH.

Disebabkan Azlan tidak mematuhi syarat yang dikenakan, mereka tiada sebarang pilihan selain membuat tindakan menuntut ganti rugi, yang sehingga kini menurut Kimi, belum dijelaskan ejen penganjur persembahan.
Hip: Dengar cerita pengurus Meet Uncle Hussain sudah bikin kecoh dalam satu majlis korporat baru-baru ini, boleh Kimi jelaskan apa sebenarnya yang berlaku?
Kimi:
Saya akui memang ada sedikit kekecohan berlaku, namun ia terjadi kerana saya mahu mempertahankan hak MUH. Baru-baru ini, kami diundang mengadakan persembahan untuk sebuah syarikat korporat. Dua bulan sebelum tarikh persembahan, saya diminta menyerahkan senarai lagu kepada pihak penganjur. Kebetulan, Azlan & The Typewriter turut dijemput menyanyi pada persembahan sama. Seperti yang sama-sama sedia maklum, jika MUH dan Azlan terbabit dalam pertunjukan pentas yang sama, penyanyi itu tidak boleh membawakan lagu MUH. Bagaimanapun, pada malam itu Azlan tidak menepati syarat yang dikenakan dan dia turut menyanyikan lagu Lagu Untukmu, yang sepatutnya kami sendiri nyanyikan malam itu. Saya ada sebab untuk mengamuk malam itu kerana saya sudah menyerahkan senarai lagu lebih awal kepada penganjur dan saya juga pasti Azlan juga membuat perkara yang sama. Malah mereka juga sudah berkali-kali memberi jaminan Azlan tidak akan menyanyikan lagu MUH pada malam itu.

Hip: Mungkin Azlan menyanyikan lagu itu atas permintaan peminat, ataupun sengaja untuk mensabotaj kalian?
Kimi:
Saya tak fikir itu permintaan peminat. Azlan sendiri sebenarnya sudah sedia maklum dia tidak boleh menyanyikan lagu MUH jika kami mengadakan persembahan bersamanya. Kalau kami tiada di situ, suka hati dialah nak nyanyikan lagu MUH atau tidak. Saya hairan bagaimana penganjur persembahan boleh melepaskan dia menyanyikan lagu itu sedangkan mereka sudah tahu Lagu Untukmu sudah termasuk dalam senarai awal lagu yang kami berikan. Lagipun, sebelum ini saya sudah berkali-kali mengingatkan mereka supaya Azlan tidak menyanyikan lagu kami dan mereka turut memberi jaminan perkara itu tidak akan berlaku. Tapi tengoklah sendiri. Saya tak rasa dia nak sabotaj kami kerana kami yakin Azlan bukan seorang yang berperangai begitu. Cuma dia tidak cukup matang dalam menangani hal seperti ini. Selepas kejadian itu, saya bersemuka dengan pihak penganjur kerana mahukan penjelasan. Sepatutnya dia ada sekali dalam pertemuan itu. Tapi belum sempat kami bersemuka, dia sudah menghilangkan diri.

Hip: Kalau begitu, mengapa sampai nak minta ganti rugi daripada pihak penganjur? Dalam emel itu pengirim mengatakan, ia masalah antara Azlan dan MUH dan tak ada kena mengena dengan mereka.
Kimi:
Kalau ikutkan hati kami, memang kami rasa nak balik masa itu juga. Tak payah nak teruskan persembahan. Bayangkan, betapa kelam kabutnya kami apabila terpaksa menyusun balik senarai lagu yang sudah dirancang awal. Perasaan masa itu memang membara kerana semua yang dirancang jadi tunggang langgang gara-gara tindakannya. Memang kami terasa mahu membatalkan saja persembahan MUH malam itu, namun disebabkan penganjur merayu-rayu supaya kami meneruskan juga persembahan, kami lakukan seperti diminta atas dasar kasihan. Sebagai syarat, ejen persembahan perlu membayar ganti rugi sebanyak RM2,000. Itulah perjanjian bersama kami. Jadi kenapa perlu pertikaikan mengapa saya perlu tuntut ganti rugi?

Hip: Nampaknya permusuhan antara MUH dan Azlan masih belum surut?
Kmi:
Bukan soal bermusuh, tetapi perkara ini sudah beberapa kali berlaku dan tindakan Azlan itu boleh menutup periuk nasi kami. Sebelum ini pun, jika kami diundang mengadakan persembahan tetapi kami tak dapat memenuhinya, kami berikan tawaran itu kepada Azlan. Saya tahu perkara ini berlaku kerana Azlan mengambil job itu tanpa pengetahuan pihak pengurusannya, Satu Entertainment. Selalunya, pihak pengurusannya, Felicia, tahu syarat itu tapi disebabkan job itu diambil tanpa pengetahuannya, jadi dia tidak boleh buat apa-apa.

Hip: MUH tak bimbang akan disenarai hitamkan selepas apa yang berlaku?
Kimi:
Siapa yang mahu menyenaraihitamkan kami? Penganjur persembahan itu? Saya tak kisah kerana apa yang saya buat ini adalah untuk mempertahankan hak MUH. Sekarang ini pun saya masih menanti ejen yang berjanji untuk membayar wang ganti rugi terbabit. Saya tak salahkan penganjur kerana mereka sudah menjelaskan semua bayaran. Apa yang saya tunggu ialah wang ganti rugi yang dijanjikan. Bila saya bertanyakan hal itu, jawapan yang diterima adalah telefon tidak berjawab dan sebagainya. Tidak mengapa, jika saya sudah tidak mampu menahan sabar, akan saya adukan perkara ini kepada pihak Akademi dan tunggulah apa pula yang akan jadi pada mereka nanti.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.