Adsense

Isnin, 28 Mac 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Generasi baru Berklee perlu progresif

Posted:

Generasi baru Berklee perlu progresif

Generasi baru Berklee perlu progresif

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar JAMEELFEERDAUS ZAMZURI dan KADIR CHAN


LOQUE kembali ke muzik akar umbi seni dan budaya warisan Melayu menerusi album Halimunan Abad Ke-21.


TIDAK ramai anak tempatan yang mendalami ilmu muzik di Berklee College of Music di Boston, Amerika Syarikat (AS).

Sejak Tan Sri Ahmad Merican muncul pemuzik tanah air pertama melanjutkan pengajian di kolej muzik terkenal itu pada pertengahan tahun 1950-an, hingga kini bilangannya masih boleh dibilang dengan jari.

Terbaru, Loque iaitu gitaris, vokalis dan keyboardis kumpulan Monoloque merupakan antara generasi baru graduan dari kolej muzik terkemuka tersebut.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Muzik Sintesis dan Komposisi itu boleh berbangga kerana dia adalah graduan Berklee terbaru yang mewakili karyawan-karyawan dalam industri muzik tempatan.

Dengan pengalamannya dalam bidang muzik hampir 15 tahun dan berbekalkan segulung ijazah, peranan dan tanggungjawab pemegang nama sebenar Khairil Ridzwan Annuar ini amat besar.

Apatah lagi, apabila Loque memilih dunia muzik sebagai gelanggang kariernya, dia tentunya mempunyai inspirasi dan aspirasinya yang tersendiri.

Melangkah pulang ke tanah air pada 2009, tekad penyanyi, pemuzik dan komposer generasi baru ini adalah bagi membawa perubahan dalam industri muzik di Malaysia ke suatu tahap yang lebih progresif.

Lambat berganjak dengan cetusan-cetusan nada melodi dan susunan muzik baru yang lebih kemas antara perkara yang menjadi perhatiannya.

Pendekatan Loque itu seolah-olah memberi tamparan hebat buat segelintir karyawan muzik tanah air yang pernah dilahirkan dari Berklee tetapi tidak banyak menyumbang ke arah arah perkembangan lebih progresif.

Jalur muzik tempatan dikatakan tidak banyak berubah dan masih berada di takuk lama daripada segi rentak serta susunan lagu-lagunya.

Karyawan muzik berusia 33 tahun itu dengan tulus mengakui sudah sampai masanya para penggiat dalam bidang itu terutama graduan yang pernah mendapat pendidikan di Berklee membuat perubahan drastik dalam karya-karya mereka.

"Kita semua (karyawan muzik) kena ubah gaya dan trend dalam industri muzik di Malaysia. Perubahan daripada segi gaya gubahan muzik yang mempunyai jati diri bangsa Melayu atau orang Malaysia.

"Sampai bila kita mahu terikat dengan gaya olahan muzik yang kebanyakannya diceduk dari Barat? Kita kena berani dan 'tebalkan' telinga. Untuk membuat perubahan bukan senang.

"Perkara-perkara baru dalam muzik biasanya pendengar memang susah hendak terima. Ia perlukan masa dan pemahaman. Sampai bilakah juga kita mahu statik dengan muzik yang ada sedangkan evolusi muzik di dunia berkembang dengan pantas," katanya kepada Mega sewaktu ditemui di Bsync Studio Production, Kuala Lumpur.

Loque yang akan muncul dengan album sulung bersama Monoloque berjudul Halimunan Abad Ke-21 sebelum hujung tahun ini menambah, dalam usaha memperkembangkan skop lagu-lagu tempatan, elemen-elemen tempatan haruslah diperbanyakkan dalam karya-karya tersebut.

Ujar Loque, pengalamannya melanjutkan pengajian di Berklee dari tahun 2006 hingga 2009 banyak mengajarnya tentang erti jati diri sebagai orang Melayu dalam memperjuangkan karya-karya muzik yang menjadi tinggalan nenek moyang.

Justeru, segala ilmu yang dipelajarinya di negara Uncle Sam itu akan dicurahkannya di negara tercinta ini kerana pengalaman belajar muzik di Berklee menjadikannya 'celik' muzik dan menyedarkannya tentang asal usul keturunansebagai anak Melayu.

"Selama ini kita terlalu banyak dijajah melalui muzik. Sudah sampai masanya kita cuba membuat haluan sendiri dalam acuan muzik yang bercirikan budaya bangsa kita.

"Sebab itu saya tubuhkan Monoloque kerana melalui kumpulan ini saya akan mengaplikasikan apa yang saya belajar di sana bagi membawa jati diri orang Melayu dalam lagu-lagu ciptaan kami.

"Contohnya, semua lagu Monoloque dalam bahasa Melayu. Malah, kami cuba menghidupkan bahasabahasa Melayu lama yang semakin dilupakan generasi baru," ujarnya.

Pendekatan karyawan muzik berasal dari Alor Setar, Kedah itu cukup ketara apabila kebanyakan bahasa yang dilontarkan menerusi lirik-lirik lagu kumpulan lima anggota itu kental dengan seni, budaya dan masyarakat Melayu.

Ia diperdengarkan dalam lagu seperti Kekanda Adinda, Gurindam Hutan Batu dan Tiada Kata Secantik Bahasa.

Tiga lagu itu antara yang akan diselitkan melalui album Halimunan Abad Ke-21 yang akan diterbitkan dalam bentuk trilogi di mana untuk terbitan pertamanya berjudul Jejak Tanah yang kini sedang dalam proses rakaman di Studio Kilang Menjahit Bunyi milik Loque yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur sejak enam bulan lalu.

Lagu-lagu dan lirik-lirik dalam album itu dicipta sendiri oleh Loque di mana ia juga diterbitkan melalui syarikat rakaman miliknya, Penerbitan Panca Sona yang menelan kos sehingga RM50,000.

Selain Loque turut menganggotai Monoloque ialah Kadax selaku bassis, Ijoo (gitaris), Loko (dram) dan Apex (keyboardis dan gitaris).

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pengorbanan Fauzi kini berbalas

Posted:

Pengorbanan Fauzi kini berbalas

Pengorbanan Fauzi kini berbalas

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar WAHIDAH ZAINAL


PADA usia 38 tahun, Fauzi masih lagi mahu meneroka watak-watak yang dapat memantapkan lagi kredibilitinya sebagai seorang aktor versatil.


PERJALANAN seninya barangkali boleh dianggap sebagai laluan yang penuh berliku dan tidak semudah seperti mana yang dikecapi oleh pelakon muda zaman ini.

Segala pahit maung dan sepak terajang dunia seni sudah dirasai oleh Mohd. Fauzi Mohd. Nawawi atau lebih dikenali sebagai Fauzi Nawawi sebelum mampu menempatkan dirinya pada kedudukan seperti hari ini.

Bermula sebagai pelakon tambahan untuk watak-watak sampingan dalam drama tempatan pada tahun 1996, perlahan-lahan Fauzi merangkak mencari dahan untuk berpaut sebelum dapat berdiri dan seterusnya berlari mengecapi kenikmatan populariti seorang aktor.

Sehinggalah pada tahun 1998, dia diberi peluang untuk menjadi pelakon lagak ngeri dan kemudian memperolehi kepercayaan produser untuk menawarkan peluang berlakon kepadanya.

"Namakan apa sahaja, semua saya sudah rasai. Bukan mudah untuk saya menjadi seorang pelakon seperti mana yang anda dapat lihat hari ini. Semuanya memerlukan pengorbanan dan apa yang penting adalah minat dalam setiap pekerjaan yang saya lakukan.

"Saya percaya dengan adanya dua kombinasi ini termasuk kerja keras, tidak mustahil kejayaan akan berpihak kepada kita walaupun ia mengambil masa yang lama.

"Alhamdulillah, apa yang saya impikan selama ini untuk berdiri sama tinggi bersama barisan aktor hebat negara kini sudah tercapai. Saya akan terus berlakon selagi kudrat dan tenaga saya mengizinkan," demikian luahan jujur Fauzi saat diminta mengulas tentang kedudukannya selepas menjulang dua trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Skrin 2010 dan Anugerah Seri Angkasa 2010, baru-baru ini.

Pelakon berusia 38 tahun itu ditemui pada majlis ramah mesra drama bersiri, Kemboja Putih yang diadakan di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Kemboja Putih arahan Haris Fadzilah itu menggandingkan Fauzi bersama Eira Syazira, Ezany Nizariff, Rahhim Omar, Fadhilah Mansor dan ramai lagi.

Fauzi yang merupakan anak kelahiran Pantai Remis, Perak dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dalam dua acara anugerah berprestij berkenaan menerusi drama Sebelum Akhirat arahan Murali Abdullah.

Apabila memperkatakan tentang kredibiliti Fauzi sebagai seorang aktor, memang agak mustahil untuk menidakkan realiti itu kerana Fauzi memang jarang mengecewakan audiens tempatan menerusi lakonannya.

Berikanlah apa sahaja watak kepadanya, dia akan mewarnakannya dengan bijak dan kreatif sekali terutama watak antagonis sehingga mampu menimbulkan perasaan benci kepada penonton.

Tidak henti mengucapkan syukur ke hadrat Allah, Fauzi memberitahu dua kemenangannya sebagai Pelakon Lelaki Terbaik telah membuka jalan yang lebih luas untuknya meneroka pelbagai watak lain sekali gus mencabar dirinya sebagai seorang pelakon.

Katanya, kini dia banyak ditawarkan dengan watak komedi dan Fauzi menyifatkannya sebagai satu peluang yang cukup baik buat dirinya. Setidak-tidaknya kata Fauzi, khalayak tidak akan lagi melabelkannya sebagai pelakon stereotaip dengan watak antagonis terutamanya.

"Dengan pengiktirafan yang saya terima, ia turut menguji kemampuan seseorang produser dalam menilai dan menguji kebolehan saya dalam mencuba pelbagai watak yang lari daripada apa yang telah saya bawakan sebelum ini.

"Namun, saya tidak mahu menjadi seorang yang tamak dan lebih selesa untuk menerima tawaran satu demi satu kerana apabila menang anugerah, ia juga bukan satu tiket untuk kita berbuat demikian.

"Saya tidak suka menyusahkan orang lain dan adalah lebih baik untuk saya berlakon dalam satu-satu masa walaupun tawaran kini semakin mencurah-curah," ujarnya yang masih mempertahankan prinsip hidupnya yang dipegang sejak menceburi bidang seni.

Sudah menjadi resmi, setiap pelakon yang diiktiraf dengan anugerah pasti akan ditebak dengan soalan tentang kenaikan harga dan bertemu dengan Fauzi, soalan itu tidak terlepas daripada ditanyakan kepadanya.

Kata Fauzi, dia tidak akan menaikkan harga sewenang-wenangnya kerana semuanya bergantung kepada tawaran yang diterimanya.

"Saya kena lihat sama ada berbaloi atau tidak jika saya menaikkan harga untuk setiap tawaran yang diterima. Jika ia menuntut masa kerja yang lebih, memang saya akan naikkan sedikit.

"Saya masih lagi rasional dan boleh dibawa berbincang. Ada juga penerbit yang sendiri sudah meletakkan harga untuk saya," jelasnya tanpa selindung.

Seperkara lagi adalah tentang isu pelakon yang memilih watak dan skrip sebaik sahaja mereka memenangi anugerah yang sering ditanyakan kepada mereka.

Mengulas situasi itu, Fauzi ternyata mempunyai justifikasi sendiri apabila dia memberitahu soal selektif itu amat perlu dalam meletakkan satu standard untuk seorang aktor sepertinya.

"Apabila memperkatakan tentang isu selektif ini, saya teringat kembali beberapa orang pelakon terdahulu yang berpegang teguh kepada soal kualiti lakonan dengan menjadi begitu memilih dalam berkarya.

"Sekarang baru saya tahu mengapa mereka berbuat demikian kerana pelbagai aspek perlu diambil kira. Kadang-kala skrip itu bagus dan kita sebagai aktor sudah memberikan yang terbaik, tetapi mungkin aspek teknikalnya gagal menyerlahkan kualiti drama itu.

"Jadi, sebagai seorang aktor kita harus memikirkan semua aspek agar karier kita sendiri tidak akan terjejas. Saya lebih selesa untuk berlakon jika saya rasa saya mampu melakukannya dan berasa puas," ujar Fauzi yang pernah membintangi filem Anak Halal dan Orang Minyak itu panjang lebar.

Katanya lagi, setiap kali berlakon dalam sesebuah drama dia langsung tidak memikirkan soal kemenangan kerana dia percaya setiap yang dilakukan dengan penuh jujur dan keikhlasan, pasti akan ada insentif yang menanti kelak.

Seboleh-bolehnya, dia mahu bekerja keras dan sedaya upaya untuk meninggalkan kesan kepada penonton menerusi lakonannya.

"Kalau ditempatkan dalam senarai lima yang terbaik pun, ia sudah memadai untuk saya kerana setidak-tidaknya bakat saya dipandang dan diterima.

"Ia juga satu pengiktirafan untuk pihak produksi berkenaan," kata Fauzi lagi yang turut mempunyai perniagaannya sendiri, Glam Beauty Studio di Melawati, Kuala Lumpur, yang baru lima bulan beroperasi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.