Berita Harian: Hip |
Posted: 27 Mar 2011 03:13 PM PDT Hip Shahir dan Adira kian berdebar menanti 3 AprilKALAU ditanya siapakah penyanyi remaja yang kini sedang mendaki carta populariti, jawapan yang diterima sudah pasti nama dua bekas pelajar Akademi Fantasia musim kelapan iaitu Shahir dan Adira. Bersandarkan bakat dan wajah menarik serta dibekalkan pula lagu yang sedap didengar, Shahir dan Adira dilihat ramai sebagai calon pilihan untuk naik ke pentas menerima trofi pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 pada 3 April nanti. Shahir dicalonkan dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular bersama-sama Aizat, Anuar Zain, Black dan Faizal Tahir. Dia juga menjadi finalis untuk kategori Artis Baru Lelaki Popular yang turut menyenaraikan Daus, Maulana serta dua pelakon, Sharnaaz Ahmad dan Shahz Jaszle.Adira pun tidak kurang hebatnya. Dia disenaraikan bersama-sama Ana Raffali, Alyah, Stacy dan Yuna untuk kategori Penyanyi Wanita Popular. Dalam kategori Artis Baru Wanita Popular pula, Adira bersaing dengan Ana Raffali, Mizz Nina, Nurul Elfira Loy dan Nur Syuhaida atau Dottie. Memang kalau diimbas semula, pemenang Artis Baru Lelaki dan Artis Baru Wanita Popular selalunya dikuasai oleh penyanyi lepasan AF. Besar sungguh impak program itu sehingga hampir setiap tahun pemenang untuk kategori itu disapu bersih oleh bekas pelajarnya. Cuma tahun lalu, kategori Artis Baru Lelaki Popular dimenangi peserta program Mentor, Black, dan Artis Baru Wanita Popular pula menjadi milik Yuna. Diajukan pertanyaan ini kepada Shahir, jejaka kelahiran Kampar, Perak, itu membalas pertanyaan itu sambil tersenyum. Bukan teruja disebabkan terlalu yakin kemenangan di pihaknya, tetapi dia sendiri sebenarnya kurang yakin langkahnya akan semudah itu. "Persaingan ini memang sengit. Bukan saja daripada rakan saya sendiri seperti Maulana dan Daus, tetapi juga daripada dua pelakon, Sharnaaz dan Shah Jaszle. Mereka pun ada mempunyai pengikut yang ramai. "Lagi pun, tidak semestinya bekas pelajar AF berpeluang menggenggam trofi kemenangan itu. Macam tahun lalu, peminat memilih Black daripada program Mentor untuk memegang trofi Artis Baru Lelaki Popular. "Sebenarnya, apabila tersenarai sebagai Top 5, ia sudah cukup untuk membuktikan bahawa saya masih ada peminat yang sudi untuk mengundi dan meletakkan saya di kedudukan ini," katanya kepada Hip. Shahir cukup beruntung kerana mempunyai peminat yang sanggup bersusah payah kerananya. Malah menerusi laman Facebook ABPBH 2010, kempen untuk Shahir cukup giat dijalankan. Hakikat itu disedari penyanyi yang popular dengan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan ini. "Apabila dapat tahu usaha peminat saya itu, saya cukup terkejut kerana mereka sanggup susah payah kerana saya. Saya juga dapat tahu, ada peminat dari Singapura sanggup mengirimkan wang kepada rakan mereka di sini semata-mata mahu kawan-kawan di sini membeli akhbar Berita Harian dan mengundi saya. "Saya kagum dan sangat hargai usaha peminat itu. Hanya ucapan terima kasih yang mampu saya luahkan buat mereka. Kalau saya menang, Alhamdulillah, itu satu bonus buat saya dan jika kalah, saya minta peminat yang mengundi supaya tidak kecewa kerana saya tahu mereka sudah berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan saya," katanya yang akan mengenakan pakaian rekaan Rizman Ruzaini dan Riffai pada malam kemuncak ABPBH 2010 nanti. Mengenai album sulungnya yang masih ditunggu-tunggu peminat, Shahir mengharapkan mereka akan terus bersabar kerana masih ada beberapa lagu yang belum dirakam. "Selepas Kebahagiaan Dalam Perpisahan, single kedua saya yang berjudul Luar Biasa kini sedang diputarkan di corong radio. Memang sepatutnya album sulung saya keluar dalam bulan Mac, namun disebabkan masalah teknikal, ia terpaksa ditangguhkan. Saya harap peminat bersabar menanti kemunculan album saya itu," pesan Shahir pada peminatnya. Gosip jejaskan imej ADIRA pantas mengecapi populariti apabila lagu Ku Ada Kamu mudah menarik perhatian penggemar muzik. Ketika lagu ciptaan Edry KRU itu masih lagi melekat di hati pendengar, lagu terbaru nyanyian penyanyi dari Sabah berjudul Ilusi terus mengukuhkan nama Adira di persada seni. Namun, ketika dirinya enak diulit perjalanan manis dalam dunia seni yang sarat dengan glamor ini, muncul pula gosip panas yang sedikit sebanyak menjejaskan nama baiknya. Apakah kemunculan gosip itu mampu memberikan kesan kepada undian penyanyi jelita bertubuh kecil molek ini? "Dari segi reputasi, saya akui memang gosip itu sedikit sebanyak menjejaskan imej saya. Namun saya bersyukur kerana peminat lebih mempercayai saya daripada gosip terbabit. Saya juga sudah terangkan pada mereka situasi sebenar. "Soal terjejas atau tidak undian saya, semua itu saya serahkan sendiri pada peminat. Tapi berdasarkan komen yang diberikan menerusi laman sosial seperti Facebook dan juga fan page saya, mereka sentiasa memberikan dorongan dan sokongan yang tidak berbelah bagi, membuatkan saya lebih bersemangat untuk memberikan mereka yang terbaik pada masa akan datang," kata Adira yang akan menggayakan rekaan Hazwani Osman pada malam kemuncak ABPBH2010 nanti. Ditanya apakah dia turun padang untuk berkempen supaya peminat mengundinya, Adira hanya tertawa kecil. Dalam nada malu-malu, dia mengakui ada juga meminta peminat mengundi dirinya. "Selalunya saya tulis dalam laman Fan Page saya dan meminta peminat mengundi saya. Sekadar melakukan apa yang termampu. Tapi kalau boleh, biarlah pemilihan itu dilakukan dengan ikhlas. Saya tidak mahu dilihat seperti memaksa mereka pula," katanya yang kini semakin petah berkata-kata. Bakal bersaing dengan calon lain seperti Elfira Loy, Ana Raffali, Mizz Nina dan Nur Syuhaida atau Dottie dalam kategori artis baru, Adira dengan rasa rendah diri berkata tidak ada jalan mudah baginya untuk merebut gelaran itu. "Saingan saya cukup hebat dan apa yang boleh saya katakan, disenarai sama pada kedudukan Top 5 sudah cukup untuk membuatkan saya bangga kerana untuk berada pada tahap ini juga sebenarnya bukan sesuatu yang mudah," katanya sambil mengakui ABPBH turut memberi impak yang besar dalam memperkembangkan populariti serta kerjayanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: 27 Mar 2011 03:04 PM PDT Hip BAGAI ada sinar baru dalam perjuangan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) apabila Mesyuarat Agungnya yang ke-29, yang berlangsung di Hotel Istana, Sabtu lalu menyaksikan anggotanya bersepakat untuk melupakan sengketa lama, sebaliknya menyatakan sokongan padu mereka kepada barisan pucuk pimpinan baru, yang dipilih secara demokratik serta telus. Malah, kata sepakat dicapai antara mereka bagi memperjuangkan kepentingan bersama, agar industri perfileman tempatan terus berkembang dengan manfaatnya dapat dikecapi secara lebih adil. Setiausaha Kehormat PFM yang baru dilantik untuk penggal 2011-2013, Norman Abdul Halim berkata pemilihan kali ini dilihat lebih adil apabila perlembagaan dipinda dengan memastikan seorang ahli mempunyai satu undi proksi.Pendekatan itu bagi membolehkan pemilihan dilakukan dengan telus dan adil. Begitu juga perubahan dapat dilihat dalam pengstrukturan jawatan yang mana jawatan baru, Naib Presiden, diwujudkan demi mengukuhkan lagi persatuan, seterusnya menguatkan suara PFM. "Kami turut memberikan peluang kepada ahli bersekutu, iaitu penerbit yang bakal muncul bersama produk sulung, untuk sama-sama mengukuhkan lagi persatuan ini. Ini semua pendekatan yang dilakukan bagi menjaga kepentingan industri perfileman kita sendiri," katanya ketika dihubungi. Beliau berkata, walaupun pada tahun lalu persatuan itu agak hangat dengan beberapa isu seperti konflik kepentingan dalam Finas dan penganjuran Festival Filem Malaysia ke-23, namun semuanya hampir terlerai apabila masing-masing berkesempatan meluahkan pandangan, seterusnya mendengar penjelasan diberikan.
"Kali ini pula, kita tidak mahu ahli yang tidak berani ke depan apabila mempunyai sesuatu permasalahan, kerana kita semua sedar, anggota jawatankuasa cuma berusaha untuk menunaikan apa yang sudah pun diamanahkan kepada mereka. "Mesyuarat tadi berlangsung dalam suasana yang saya anggap cukup matang. Kini tiba masanya kita semua merapatkan barisan untuk menyelesaikan masalah yang kita rasa patut dicari jalan keluar. Selama ini, segala-galanya berpunca daripada sikap berpuak-puak. Kini saya dapat rasakan wujudnya barisan yang lebih dinamik, hasil gabungan muka baru dan lama dalam kepemimpinan persatuan," katanya. Norman juga menegaskan, dua penerbit yang agak panas diperdebatkan pada tahun lalu, David Teo dan Idham sendiri kini bersama-sama PFM dalam usaha membantu mengukuhkan persatuan ini. "Inilah yang bagusnya, di mana David dan Idham juga sama-sama kita dalam hal ini. Mereka turut menjelaskan segala apa yang perlu diketahui. Semuanya atas dasar memenuhi permintaan ahli. Kiranya, kini kami disokong dengan semangat yang lebih baru lagi. "Walaupun David tidak berada dalam barisan anggota jawatankuasa PFM, dek kesibukannya menguruskan perniagaan dan syarikat, namun kami meminta supaya dia tetap memberikan sokongan kepada perjuangan persatuan ini. "Kita sedar, David mempunyai kepakarannya sendiri dalam bidang berkaitan industri ini. Dia bergelar penerbit nombor satu pada tahun lalu, justeru, banyak faedah yang kita mampu kongsi daripada pengalaman dan kejayaannya itu," katanya. Normah yang mewakili KRU Studios berkata, masih ada beberapa isu yang perlu diberikan perhatian oleh persatuan terbabit, seperti mana yang disuarakan ahli.
"Mereka berkata demikian kerana pasaran filem berbahasa Melayu lebih terbatas, berbanding filem tempatan dalam bahasa lain. Filem berbahasa Cina umpamanya, masih boleh ditayangkan di Taiwan mahupun China. Pasaran mereka nyata lebih luas. "Begitu juga ada ahli berpandangan skim insentif yang diura-ura menggantikan skim pemulangan duti hiburan harus dikaji semula. Jadi, kita akan bincangkan semua isu ini bersama Finas, apabila tiba masanya," kata Norman mengenai beberapa isu yang berbangkit sepanjang mesyuarat terbabit. Ketepi soal peribadi SEMENTARA itu, Shuhaimi berkata, dia amat berbangga dengan barisan anggota jawatankuasa yang lalu, yang dianggapnya sudah membawa begitu banyak perubahan dan kebaikan kepada industri. "Mereka barisan anggota jawatankuasa paling aktif. Jadi, dari satu sudut, kerja saya seperti dipermudahkan apabila kebanyakannya sudah mereka susun dengan sebaik mungkin. Banyak sekali perubahan dilakukan, termasuk Skim Wajib Tayang dan Pemulangan Duti Hiburan. "Ahli sendiri sudah meluahkan kebimbangan mereka pada mesyuarat terbabit. Jadi, kami dapat melihat isu yang berbangkit dan dari situ, kami akan menghantar resolusi yang dicapai kepada kementerian terbabit," katanya. Antara kebimbangan yang disuarakan termasuk pendekatan tayangan sebuah filem tempatan dalam seminggu, yang ada waktunya menyaksikan tiga filem Melayu bersaing sesama sendiri dalam masa sebulan. Keadaan itu sudah pun berlaku dengan tayangan filem Hikayat Merong Mahawangsa, Ratu The Movie dan ...Dalam Botol, baru-baru ini. "Apabila Ratu masuk panggung, (filem) Merong masih dapat sambutan. Kini ...Dalam Botol pula ditayangkan, pada ketika kedua-dua filem tadi masih rancak diputarkan di pawagam. Justeru, sedikit sebanyak isu kutipan untuk sesebuah filem timbul di sini," katanya. Menyentuh kehadiran Idham dalam barisan jawatankuasa persatuan, Shuhaimi berkata, mereka sudah menjelaskan, segala tindakan yang diambil oleh PFM adalah berdasar kepada keputusan dicapai oleh ahli. "Kita melakukan semuanya atas dasar tanggungjawab menunaikan apa yang diamanahkan oleh ahli, bukan kerana soal peribadi. Namun kini, kita mempunyai barisan kepemimpinan baru, jadi kita juga kenalah melakukan kerja yang baru juga. Sekarang, kita ketepikan soal peribadi, sebaliknya bersama-sama kita akan bekerjasama demi kepentingan semua ahli. Paling penting ketika ini ialah kewujudan penyatuan dalam persatuan dan sikap menghormati apa yang dipersetujui anggota persatuan ini," katanya. INFO: Barisan EXCO PFM Penggal 2011-2013
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |