Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Cerewet bukan besar kepalaMUNCUL tanpa solekan untuk watak Norjinah, karakternya dalam siri rantaian Trilogi Cinta yang ditayangkan bermula awal Januari lalu di saluran TV1, benar-benar memberi impak kepada pelakon yang kian mekar bunganya, Nor Fauziah Mohd. Gous. Dia yang lebih dikenali sebagai Fouziah Gous pernah sekali menepis label tangkap muat kerana menerima tawaran berlakon dalam apa jua drama dan filem yang menyapanya. Si manis berambut panjang mengurai ini bagaimanapun terus-terusan membuat penampilan untuk pelbagai watak. Lakonan mantapnya dalam drama terbitan Suhan Movies yang bergandingan dengan Rosyam Nor mengakui watak perempuan yang baik, lemah-lembut serta mudah menjatuhkan air mata itu sangat mencabar. Fouziah yang ditemui di Garden Cafe, One Utama baru-baru ini, berkata, membawa karakter baik jauh lebih susah berbanding membawa watak jahat seperti mana yang dilakonkan di dalam drama rantaian slot Seram, TV3, Mantera Anjasmoro yang bakal ditayangkan Mac nanti. "Untuk membawa watak baik sangat susah kerana yang penting emosi kita tak boleh terganggu. kalau tengah penat atau marahkan orang lain, kita kena rileks dulu, ambik nafas supaya tidak terbawa-bawa kemarahan kita di set. "Malah intonasi suara juga perlu dikawal, takut nanti tanpa disedari tercakap kasar sedangkan karakter yang dibawa itu seorang yang lemah lembut dan penyayang," katanya yang terpaksa berkorban masa selama empat bulan untuk menyiapkan drama tersebut. Walaupun di awal penerbitan drama rantaian yang diadaptasi daripada kombinasi tiga novel popular daripada penulis yang tidak asing lagi iaitu Sharifah Abu Salem, Tak Seindah Mimpi, Tak Semanis Impian dan Tiada Lagi Mimpi itu diawal penerbitannya, drama rangkaian 40 episod itu banyak diperdebatkan sebelum dipersetujui pihak RTM. Selain itu, kekangan masalah kewangan menyelubungi Suhan Movies apabila drama yang turut dilakonkan oleh Amyza Adnan itu menelan kos RM1.6 juta.
Namun kini setelah ditayangkan hampir dua bulan, drama itu berjaya mencecah rating tertinggi sejak ditayangkan 2 Januari lalu. Bukti kemampuan Bekas pramugari Malaysia Airlines (MAS) ini berkata, selain membawa watak yang diamanahkan dengan berkesan dan penuh perasaan, pemilihan pakaian juga amat dititikberatkan. "Selepas membaca skrip dengan teliti dan betul-betul memahami karakter yang akan dibawa, saya juga akan berbincang dengan pengarah mengenai pakaian yang bakal dipakai. "Saya ini bukan jenis main pakai sahaja baju yang diberikan, kerana kadangkala mereka terlepas pandang. Saya agak cerewet, tapi cerewet saya kena pada tempat," kata Fouziah yang bergandingan dengan Ady Putra dan Eja dalam drama seram, Mantera Anjasmoro. Anak kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui dia lebih selesa mengenakan pakaian serta mekap yang bersesuaian sebelum bermulanya penggambaran. "Kalau watak gadis kampung, saya hanya akan memilih pakaian yang longgar, tidak memakai bulu mata palsu dan saya akan menolak sekiranya diberikan baju-T atau seluar yang ketat. FOUZIAH GOUS dan Eja berkongsi kasih dengan menjadi 'madu' kepada Ady Putra. "Selain itu saya juga sangat teliti tentang pemilihan warna pakaian tersebut, kerana warna memainkan aspek penting untuk memberi kesan terhadap mata penonton," katanya yang tampil bertudung sebagai Juliana dalam drama rantaian 12 episod, Kala Terbit Cinta yang bersiaran di saluran televisyen AlHijrah. Mengulas perkembangan terkini, pemegang Diploma Kesetiausahaan dari Kolej Sistematik Kuala Lumpur ini berkata, dia kini lebih meneliti skrip lakonan yang ditawarkan kepadanya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Ini bukan bererti si jelita yang kini berusia 29 tahun semakin besar kepala atau memilih watak tetapi sebagai pelakon dia wajar mencari kepuasan berlakon untuk membuktikan kemampuan diri. Dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran siri kedua drama Kala Terbit Cinta dan Maya Helina untuk siaran Astro dan dia juga bakal menjejakkan kaki buat kali ketiga ke Mekah untuk penggambaran drama Tahajud Cinta bersama pengarah Erma Fatimah. Melihat pada tawaran lakonan yang diterima, tidak dinafikan bekas gadis iringan rancangan kuiz Roda Impian yang sebelum ini banyak membawa watak gila-gila sebenarnya mempunyai bakat untuk muncul dalam drama berat. "Memang pada awal kemunculan, saya banyak terbawa-bawa watak yang saya lakon seperti dalam drama Anak Mami, mungkin sebab itu saya dapat watak yang lebih kurang sahaja. "Tetapi lama-kelamaan saya sudah tidak terikut-ikut. Tapi kadang-kadang terikut juga cuma tidak lama, hanya dua tiga hari sahaja," ujarnya. Tambah pelakon filem 2 Hati 1 Jiwa itu, untuk berjaya dalam karier sebagai pelakon, dia perlu mempelbagaikan watak malah dia juga berbangga apabila penampilannya dalam dunia hiburan bukan dikenali dengan gosip atau kontroversi tetapi dia dikenali dengan bakat yang ada padanya. Kekok jadi isteri Menceritakan mengenai wataknya dalam drama terbaru Mantera Anjasmoro, Fouziah memegang watak sebagai Suria iaitu isteri kedua kepada Ady Putra (Zahid).
Fouziah yang melakonkan watak seorang wanita jahat tetapi tidak menonjolkan sisi jahatnya kerana dia terdesak menjadi jahat disebabkan terlalu kasih kepada suaminya. "Saya teruja berlakon dengan Eja dan abang Ady. Walaupun agak kekok melakonkan watak isterinya tetapi saya berjaya lakukannya dengan sebaik mungkin," jelasnya. Dalam pada itu, Siti Shahrizah Saifuddin (Eja) pula yang merupakan isteri pertama Zahid, memegang watak Sabrina. Kata Eja: "Selama 15 tahun dalam industri lakonan, drama ini merupakan drama kedua genre seram saya selepas Durja Ningsun serta filem seram Janin. "Saya memilih untuk berlakon cerita seram yang mempunyai impak dan teladan. Karakter saya dalam drama ini agak agresif, jadi saya menasihatkan kepada penonton agar tidak mengikut amalan yang dilakukan," ujar Eja. Sementara suami Suria dan Sabrina dalam drama tersebut, Zahid lakonan Ady Putra pula mengakui agak susah untuk dia menjayakan watak tersebut. Katanya: "Ini kerana ada bahagian dia perlu berimaginasi sedang sakit seperti ada sesuatu yang berat di atasnya serta membayangkan dirinya dicangkuk dengan besi." | ||||
Posted: Kareena wanita paling seksi
MASIH terkejut, pelakon jelita Kareena Kapoor sekali lagi tidak menduga apabila namanya ditempatkan di tangga teratas sebagai Wanita Bollywood Terseksi. Pengiktirafan itu telah diumumkan menerusi majalah tersohor Bollywood iaitu Stardust. Paparan majalah edisi bulan Mac itu memaparkan 10 wanita seksi yang berkecimpung dalam industri filem. Selain Kareena, aktres Kaif, Deepika Padukone dan Priyanka Chopra turut tersenarai. Muka depan majalah tersebut memaparkan penampilan Kareena yang kelihatan sungguh seksi dan glamor dengan dibaluti gaun berwarna merah. | ||||
Posted: Priyanka sukar jadi tua
BAYANGKAN pelakon seksi dan jelita, Priyanka Chopra berusia 65 tahun. Namun itulah cabaran buat Priyanka dan dia mengakui agak sukar apabila perlu melakonkan watak wanita berusia 65 tahun sedangkan dia baru berusia 28 tahun. Lakonannya menerusi filem 7 Khoon Maaf, bermula daripada usia 20 hingga 65 tahun sekali gus membuatkan Priyanka cuba untuk tampil hebat menerusi filem arahan Vishal Bhardwaj itu. "Ini merupakan cabaran yang diberikan oleh Vishal kepada saya. Karakter itu bukannya perubahan drastik dalam diri saya tetapi Vashal banyak membantu saya terutama ketika melakonkan watak wanita sekitar usia 40 dan 50 tahun," terangnya. Bagaimanapun, Priyanka langsung tidak ragu-ragu untuk kelihatan tua di skrin. "Faktor usia tidak mendatangkan masalah, tetapi untuk mendalami karakter yang susah. Saya perlu bayangkan bagaimana tanggapan masyarakat sekeliling yang memandang serong terhadap saya setelah membunuh tujuh lelaki tanpa rasa bersalah," ceritanya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |