Utusan Online - Hiburan |
Posted: Eja semakin lantang bersuaraOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
SELAMA 15 tahun melayari bahtera seni, memang tidak dinafikan impak yang diberikan oleh pelakon jelita ini bukan kecil-kecil anak. Hadir dengan persona yang cukup menawan telah meletakkan nama Siti Shahrizah Saifuddin atau lebih popular dengan panggilan Eja sebagai salah seorang aktres di dalam liga yang tersendiri. Mula menempa nama menerusi drama bersiri Rahsia Demi Rahsia sekitar lewat tahun 90-an, Eja terus terbang tinggi mencipta nama sehingga dia mampu berdiri teguh seperti mana hari ini. Namun, selepas 15 tahun menjadi seorang aktres, Eja dengan penuh terbuka memberitahu dia kini semakin lantang bersuara seandainya ada perkara yang kurang menyenangkan hatinya. Memang agak mengejutkan sewaktu Eja membuka cerita itu kerana jika dilihat kepada luaran dan personalitinya yang lemah lembut itu, pasti ramai tidak menyangka Eja mempunyai sisi lain yang mampu membuat orang sekeliling kaget dengan tindakannya. "Saya rasa selepas 15 tahun di dalam industri dan dengan status saya sebagai seorang ibu sekarang ini, saya tidak boleh lagi membazir masa di lokasi terutama sekali jika saya perlu menunggu untuk masa yang agak lama. "Dalam erti kata lain, saya menjadi semakin cerewet tetapi cerewet saya itu tidak membawa konotasi buruk. Kelantangan saya mempunyai sebab tersendiri dan nampaknya pihak produksi dan krew yang bekerja dengan saya faham dengan situasi saya. "Dengan usia saya yang menghampiri 40 tahun, saya mudah menjadi penat dan akhirnya ia membuatkan saya dengan pantas untuk berasa marah," jelas pelakon kelahiran Kuala Kubu Bharu, Selangor ini tanpa selindung. Eja berkata demikian usai majlis pelancaran drama bersiri Mantera Anjasmoro yang mengisi slot Seram di TV3 di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. Drama terbitan Padi Pictures Sdn. Bhd., itu diterbitkan sebanyak 13 episod mula ditayangkan malam ini. Turut hadir pada majlis tersebut ialah pengarah drama tersebut, Aidilfitri Mohamed Yunos dan barisan pelakon lain iaitu Adi Putra, Fouziah Gous dan Raja Norbaizura. Menyambung perbualan, Eja tidak menafikan memang dia sendiri ada terdengar kata-kata orang sekeliling yang mengatakan dirinya sudah jauh berubah. Lebih tepat lagi, pada pandangan mereka, Eja kini bukan seperti Eja yang mereka kenali dulu sehingga dia dilabelkan sebagai seorang yang cukup garang. "Saya memang sedar ada yang mengatakan saya sebegitu tetapi seperti mana yang saya katakan tadi, saya melakukannya atas sebab tersendiri dan bukannya mahu menunjukkan saya ini diva atau sebagainya. "Bagi saya, dalam setiap produksi apa yang penting adalah perancangan dan pengurusan masa yang tepat agar semuanya berlangsung dengan lancar. "Disebabkan itu, saya cukup selesa jika dapat berlakon di bawah produksi yang cukup mengutamakan soal ketepatan masa dan pengurusan yang cekap. Sebagai seorang yang dilahirkan berbintang Capricorn, saya memang mementingkan kesempurnaan," ujar Eja dalam nada tegas sambil memberitahu perihal itu juga diamalkan oleh teman-teman seperjuangannya yang lain. Populariti bukan agenda Memang diakui, satu ketika dulu, wajah Eja boleh dikatakan kerap menghiasi kaca televisyen sehingga meletakkan nama Eja sebaris dengan pelakon wanita terkenal tempatan yang lain. Namun, sejak beberapa tahun ini atau lebih tepat lagi selepas dia mengandung dan melahirkan anak, namanya seakan sepi dan wajahnya juga jarang ditonton. Bertanyakan kepada Eja perihal tersebut, sedikit pun dia tidak melatah malah memberikan jawapannya dengan disulami senyuman manis di wajah lembutnya itu. Dalam hal ini, aktres filem Sepi, Kayangan dan Sara ini masih lagi berpegang teguh kepada nasihat Allahyarham Hani Mohsin Hanafi yang terus segar di mindanya. "Katanya, biarlah kerjaya kita itu yang akan bercakap tentang diri kita dan sememangnya ia sudah terbukti untuk diri saya. "Bukan untuk mendabik dada atau riak, tetapi, sehingga ke hari ini, peminat dan penonton masih lagi boleh mengingati setiap drama serta watak yang saya bawakan. "Saya memang mengelak untuk muncul kerap di televisyen melainkan skrip dan watak yang diberikan benar-benar memberi kepuasan kepada saya. "Adalah lebih baik jika peminat sendiri mengingati hasil kerja kita daripada wajah kita terlalu banyak di televisyen sehinggakan satu drama pun tidak memberikan impak kepada masyarakat," tutur pelakon yang pernah membintangi drama Salam Taj Mahal dan Rindu Semakin Jauh ini penuh berhemah. Syarat baru Eja Sejak kebelakangan ini, memang dapat dilihat Eja semakin berani berlakon dalam karya dari genre seram dan thriller. Bermula dengan filem Janin dan kemudiannya, drama bersiri Durja Ningsun yang pernah menghiasi slot Seram di TV3 sebelum ini, ternyata Eja semakin berani menongkah arus. Mana tidaknya, jika dilihat kepada portfolionya, Eja lebih selesa membintangi drama dan filem yang bercorak drama. Sedangkan sebelum ini, Eja pernah menyatakan dia agak sukar untuk membuka hatinya membintangi filem atau drama bercorak sedemikian. Bukan kerana takut tetapi dia sendiri berasa kurang selesa. Dan terbaru, Mantera Asmaradono yang menggandingkan Eja bersama Adi Putra untuk kali kedua selepas Mya Zara. "Memang seboleh-bolehnya saya mahu mengelak daripada membintangi karya sebegitu kerana ia menuntut emosi dan permainan watak yang cukup mendalam serta berat sehingga ia meletihkan saya. "Tetapi, atas sebab jalan ceritanya serta watak yang diberikan bukan karya yang tipikal seperti mana lazimnya, ia membuatkan saya tertarik untuk berlakon. "Itulah juga alasan mengapa saya membintangi Mantera Anjasmoro yang bagi saya lain daripada yang lain. Itu juga syarat saya jika ada pihak yang mahu mengambil saya berlakon dalam mana-mana karya berunsurkan seram," katanya terus-terang yang memegang watak Sabrina dalam drama tersebut. Buat peminat Eja, jangan lupa temu janji anda pada setiap hari Khamis pukul 9.30 malam untuk menyaksikan drama bersiri Mantera Anjasmoro di TV3. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Terlampau banyak cinta dalam TKCOleh ABD. AZIZ ITAR
FILEM berjudul Cinta menang kategori Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia yang ke-20 tiga tahun lalu. Ekoran sambutan penonton dan reputasi selepas kejayaan itu, jalan cerita Cinta dikembangkan lagi menjurus ke medium pementasan teater menerusi judul Terima Kasih Cinta (TKC) Teater muzikal terbitan Primework Studio dan arahan Pat Ibrahim itu yang dipentaskan dari 19 Februari lalu hingga 6 Mac ini boleh dianggap lebih rumit berbanding versi filem. Kerumitan itu dapat dilihat daripada segi plot yang banyak dan dipecah-pecahkan kepada kisah lima pasangan yang bercinta. Jika Cinta mengambil durasi tayangan sekitar dua jam, teater yang kini sedang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur itu pula berdurasi lebih dua jam. Disebabkan agak panjang, pementasan ini berhenti rehat separuh masa pertama dan ia disambung 20 minit kemudiannya. Tidak keterlaluan jika dikatakan gaya pementasan ini mirip kepada filem Hindustan di mana kisah cinta dan konflik membabitkan setiap wataknya menjadi senjata utama penceritaan. Terlampau banyak kisah cinta yang dipaparkan menerusi pementasan ini. Malah, setiap kisah cinta dalam teater ini menampilkan permasalahan yang berbeza-berbeza. Sebagai contoh, kisah cinta Elyas yang dilakonkan oleh Latif Ibrahim dan Rubiah (Safura) yang berteraskan cinta luar biasa kerana faktor perbezaan usia serta kesihatan yang menjadi penghalang hubungan tersebut. Kebanyakan cerita asal masih tidak jauh berubah daripada versi filem Cinta. Teater ini cukup menghiburkan kerana ia menampilkan kepelbagaian kisah cinta untuk dihayati. Namun, para penonton yang tidak pernah menonton Cinta mungkin agak sukar menghayati TKC kerana jalan ceritanya yang agak kompleks. Setiap plot dan kisah cinta yang membabitkan lima pasangan itu saling bertukar ganti di mana ia saling kait mengait dengan watak-watak lain. Sesuai dengan elemen drama dan lagu yang menjadikannya sebuah muzikal, banyak lagu-lagu lama dan baru diselitkan di sepanjang pementasan itu. Pat Ibrahim tidak terkecuali menyifatkan teater itu suatu perjalanan kisah-kisah cinta yang amat berbeza untuk dinilai serta dihayati oleh para khalayaknya. "TKC adalah sebuah perjalanan kisah-kisah cinta yang amat mendalam. Saya mahu ia dikongsi oleh para penonton," ujarnya. Terdapat 21 buah lagu yang diselang-selikan dalam TKC sehingga membuatkan ramai penonton yang agak gelisah menantikan saat babak-babak yang seterusnya. Malah, para penonton juga mudah berasa 'letih' apabila terlalu banyak lagu yang diselitkan dalam pementasan ini. Antaranya, lagu Permata Untuk Isteri yang dipopularkan oleh Kopratasa, Selanjur Bercinta (Aishah) dan Seribu Impian (Casey). Tidak dinafikan setiap pelakon yang menyanyikan semula lagu-lagu itu seperti Latif Ibrahim meninggalkan impak yang mendalam kerana kemantapan vokalnya. Tidak banyak keistimewaan apabila lagu-lagu lama seperti Dia (Sheila Majid), Impian Anak Jalanan (Kembara) dan Bimbang Terluka Lagi (Noor Kumalasari) didendangkan semula dalam TKC kerana ia lebih mudah dihayati oleh para penonton generasi lama. Mujurlah dalam puluhan lagu itu, ditampilkan juga dua lagu baru berjudul Kuasa Cinta dan Terima Kasih yang bergema di pementasan itu bagi memberikan suatu impak baru. Ia sebagai salah satu tanda bagi membezakan antara Cinta dan TKC. Bagaimanapun, di sebalik 'keletihan' kerana terlampau banyak sub plot tentang kisah cinta dan lagu-lagu yang boleh dijadikan dua buah album kompilasi itu, elemen drama terutama tarian yang dibimbing oleh Pat Ibrahim memperlihatkan keceriaan buat pementasan tersebut. Gaya tarian yang kebanyakannya bersifat kontemporari menjadikan TKC berjaya menonjolkan konsep muzikal sebagai teras utama selain tema lagu-lagunya yang bersesuaian dengan setiap plot yang dipaparkan. Selain itu, kombinasi ramai pelakon popular seperti Norish Karman yang melakonkan watak Airin, Vince Chong (Taufiq), Farahdhiya (Azura), Diddy Hirdy (Amin), Deja Moss (Dyan) dan Nadia Aqilah (Arianna) bolehlah dianggap sebagai penyelamat atau tarikan teater ini. Penyanyi seperti Diddy, Deja Moss dan Vince membuktikan bahawa mereka bukan sahaja boleh menyanyi dengan baik dalam TKC, tetapi mereka juga berjaya menghayati watak masing-masing sehingga ada di antaranya yang menitiskan air mata kerana penghayatan tersebut. Kekuatan elemen drama, tarian dan 21 lagu boleh dianggap sebagai penyelamat kepada set pentas yang seperti kotak-kotak besar kelihatan bagaikan sebuah bangunan dua tingkat menjadi prop utama TKC. Tidak banyak prop tambahan yang mampu merungkai pelbagai suasana terutamanya membabitkan lima pasangan bercinta dalam TKC yang tentunya mempunyai latar masa dan tempat-tempat yang berbeza-beza antara satu sama lain di sepanjang penceritaannya. Sebagai sebuah adaptasi daripada filem, TKC bolehlah dianggap berjaya kerana ia memperlihatkan kelainan berbanding versi filem daripada segi garapan dan suntikan elemen-elemen yang baru seperti tarian serta lagu-lagu yang ditampilkan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |